Anda di halaman 1dari 11

2.

1 Konsep Pendidikan STEM

2.1.1 STEM Dalam Konteks Pengajaran dan Pembelajaran

STEM ialah akronim kepada Science (sains), Technology (Teknologi), Engineering


(Kejuruteraan) dan Mathematics (Matematik). Dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), STEM merangkumi
pengetahuan, kemahiran dan nilai yang sedia ada dalam semua mata pelajaran STEM. STEM
merangkumi tiga aspek dalam konteks pengajaran dan pembelajaran iaitu bidang
pembelajaran, pakej mata pelajaran dan sebagai pendekatan P&P.

STEM adalah satu bidang pembelajaran di sekolah dan bidang pengajian di peringkat
tektiari. Sebagai contoh, bidang mata pelajaran STEM adalah Sains, Kimia, Asas Kelestarian,
Grafik Komunikasi Teknikal, Matematik dan Sains Komputer. Manakala di peringkat tertiari
pula, kursus STEM terdiri daripada Kejuruteraan Mekanikal, Perubatan, Bio-Kimia serta
Pengkomputeran dan Sistem Maklumat. Selain itu, Pendidikan dan Latihan Teknik dan
Vokasional (TVET) juga merupakan komponen STEM dan mempunyai nilai tambah yang
tinggi dalam sektor perindustrian seperti minyak dan gas, kejuruteraan penerbangan dan
perkapalan serta teknologi hijau.

Seterusnya, STEM adalah sebagai pakej mata pelajaran. Dalam sistem persekolahan,
murid menengah atas diberi peluang untuk memilih aliran mengikut kecenderungan mereka.
Antara aliran yang ditawarkan adalah agama, sastera dan STEM. Antara contoh kombinasi
mata pelajaran pengkhususan STEM adalah pakej sains tulen yang terdiri daripada mata
pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah dan juga mata pelajaran
elektif sains seperti fizik,kimia, biologi dan matematik tambahan.

Selain itu, STEM merupakan satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang
melibatkan penggunaan pengetahuan, kemahiran dan nilai STEM untuk menyelesaikan
masalah dalam kehidupan harian, komuniti dan alam sekitar. Pendekatan ini membantu
pelajar ke arah membudayakan amalan STEM dengan menggalakkan mereka untuk bertanya
dan meneroka persekitaran melalui inkuiri dan seterusnya mampu menyelesaikan masalah
yang berkaitan dengan dunia sebenar.
2.1.2 Elemen STEM Dalam Kurikulum

STEM merangkumi tiga elemen dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR),
Kurikulum Bersepadu Menengah (KBSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah
(KSSM) iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai. Pengetahuan STEM adalah merupakan
idea, konsep, prinsip, teori dan pemahaman dalam bidang STEM yang telah digubal dalam
kurikulum semua mata pelajaran STEM. Kurikulum yang dirancang dan dibangunkan
bertujuan untuk menyediakan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang
mencukupi melalui aktiviti yang disediakan oleh guru semasa proses Pengajaran dan
Pembelajaran (PdP) sama ada di dalam atau di luar bilik darjah. Pemerolehan pengetahuan
STEM adalah penting kepada pelajar supaya mereka mendapat pengetahuan dan
perkembangan terkini mengenai bidang STEM. Oleh itu, proses pemerolehan ini haruslah
dilakukan dengan progresif dan dinamik.

Elemen kedua STEM dalam kurikulum adalah kemahiran. Kemahiran STEM adalah
kecekapan dan kompetensi untuk meneroka, menyelesaikan masalah, mereka bentuk dan
menghasilkan produk. Kemahiran STEM ini mampu diperolehi oleh pelajar dengan
melakukan aktiviti, projek atau tugasan yang dirancang mengikut kurikulum mata pelajaran
STEM. Kemahiran STEM terdiri daripada kemahiran proses dan kemahiran teknikal.
Kemahiran proses merupakan kemahiran yang digunapakai dalam proses mempelajari dan
mengaplikasikan pengetahuan dalam menyelesaikan masalah. Kemahiran proses ini boleh
dibahagikan kepada kemahiran proses sains, kemahiran pemikiran komputasional, kemahiran
proses matematik dan kemahiran reka bentuk. Seterusnya, kemahiran teknikal ialah
kemahiran yang melibatkan psikomotor yang terdiri daripada kemahiran manipulasi,
kemahiran pengurusan dan pengendalian bahan, alatan dan mesin dengan betul dan selamat.

Elemen ketiga adalah nilai dan etika. Nilai dan etika dalam STEM merupakan moral
positif serta garis panduan yang perlu dituruti oleh pelajar STEM. Nilai dan etika STEM ini
adalah penting untuk diterapkan semasa proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk
melahirkan pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan dan kompeten tetapi juga mempunyai
keperibadian tinggi. Antara nilai yang ditekankan dalam STEM adalah nilai sistematik, tekal,
berfikiran secara rasional, objektif, tabah, komited, menyahut cabaran, berfikiran terbuka,
inovatif, berani mencuba dan lain-lain. Manakala untuk etika adalah seperti peraturan
makmal, peraturan bengkel dan langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi oleh
pelajar.
2.1.3 Ciri-Ciri Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) STEM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menggariskan tujuh ciri-ciri Pengajaran dan
Pembelajaran (PdP) STEM dalam buku “Panduan Pelaksanaan Sains, Teknologi,
Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam Pengajaran dan Pembelajaran” untuk
membimbing guru melaksanakan PdP di sekolah. Tujuh ciri Pdp STEM ini adalah:

i. Peka terhadap isu dan masalah dunia sebenar

ii. Memberi pelbagai jawapan/penyelesaian dengan justifikasi

iii. Inkuiri/ projek/ penyelesaian masalah dalam kehidupan sebenar

iv. Mengaplikasi pemahaman kandungan STEM

v. Kerja berpasukan yang produktif

vi. Memberi peluang menambah baik idea atau produk

vii. Mengaplikasi kemahiran proses mereka bentuk

Tujuh ciri yang dinyatakan di atas sangat penting untuk membantu guru
menyesuaikan dan mengintegrasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai STEM dalam proses
PdP di bilik darjah. Ciri pertama mengingatkan guru untuk meningkatkan kepekaan murid
kepada isu dan masalah dunia sebenar. Guru perlu mengaitkan kandungan pelajaran dengan
isu-isu atau perkara yang berlaku di persekitaran kehidupan harian pelajar supaya proses
Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pada hari itu menjadi menarik dan membantu pelajar
untuk peka dan sedar akan masalah yang berlaku di sekitar mereka. Selain itu, PdP STEM
memerlukan pelajar untuk memberi pelbagai jawapan atau penyelesaian dengan justifikasi.
Guru perlu memberi peluang dan masa yang mencukupi untuk pelajar berkongsi jawapan dan
guru perlu memastikan pelajar memberi jawapan yang disokong dengan maklumat atau
justifikasi yang betul dan logik.

Seterusnya, Pdp STEM juga memerlukan pelajar untuk inkuiri dan terlibat dalam
menyelesaikan masalah dalam kehidupan sebenar. Ini memerlukan guru untuk merancang
proses PdP di bilik darjah yang mampu menggalakkan pelajar untuk ingin tahu terhadap
fenomena yang berlaku di sekeliling mereka. Guru boleh menerapkan model pembelajaran
inkuiri 5E iaitu Engagement (Penglibatan), Exploration (Penerokaan), Explanation
(Penerangan), Elaboration (Pengembangan) dan Evaluation (Penilaian). Ciri PdP STEM
yang keempat adalah memerlukan pelajar mengaplikasikan pemahaman kandungan STEM.
Ini memerlukan guru untuk mengintegrasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai STEM
dalam mata pelajaran yang disampaikan dalam bilik darjah. Proses ini perlu dilakukan
dengan betul dan mendalam agar kandungan STEM itu dapat difahami oleh pelajar.

Selain itu, PdP STEM memerlukan guru untuk melibatkan pelajar dalam kerja
berpasukan yang produktif. Guru sebagai individu yang bertanggungjawab untuk proses
pengajaran di bilik darjah perlu merancang aktiviti atau tugasan yang mampu menggalakkan
pelajar untuk bekerjasama sebagai satu pasukan yang produktif. Guru juga perlu memberi
peluang kepada pelajar untuk menambah baik idea atau produk yang dibincangkan dalam
bilik darjah. Peluang ini mampu menggalakkan pelajar untuk lebih berkeyakinan dan berani
untuk meluahkan idea-idea bernas yang ada dalam fikiran mereka.

Akhir sekali, PdP STEM memerlukan guru untuk melibatkan pelajar untuk
mengaplikasikan kemahiran proses mereka bentuk. Kemahiran proses mereka bentuk ini
adalah sangat penting dan berguna kepada pelajar untuk mereka menyelesaikan masalah
secara kritis dan analitik. Guru boleh menerapkan kemahiran ini dengan merancang aktiviti
PdP yang mampu memberi peluang kepada pelajar untuk mereka bentuk sesuatu seperti
produk atau prototaip.

2.1.4 Pelaksanaan STEM

Pendidikan STEM adalah pendidikan sepanjang hayat yang terdiri daripada pembelajaran
yang mengintegrasikan sains, matematik, teknologi dan kejuruteraan secara formal
berdasarkan kurikulum. Selain itu, Pendidikan STEM juga boleh dilaksanakan secara bukan
formal melalui koakademik dan kokurikulum. Pendidikan STEM boleh membantu
mewujudkan masyarakat yang mempunyai literasi STEM dan melahirkan tenaga kerja yang
berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada inovasi baharu. Kerangka konseptual
pendidikan STEM terdiri daripada peringkat pendidikan awal, rendah, menengah rendah,
menengah atas, tertiari dan industri atau komuniti.

Pada peringkat pendidikan awal, fokus pelaksanaan pendidikan STEM adalah untuk
menggalakkan dan memupuk minat pelajar melalui aktiviti yang boleh merangsang sifat
ingin tahu mereka. Di peringkat pendidikan rendah, pelajar diajar tentang asas pengetahuan
STEM dan dilatih untuk mengaitkan pengetahuan mereka dengan situasi yang berlaku dalam
kehidupan harian mereka melalui aktiviti penyiasatan dan penerokaan.
Manakala, pembinaan dan pembangunan kemahiran STEM di peringkat pendidikan
menengah rendah adalah melalui aktiviti penganalisisan isu tempatan serta global dan
penyelesaian masalah. Di peringkat menengah atas pula, pendidikan STEM memberi
tumpuan kepada pengukuhan dan pengayaan. Konsep pendidikan STEM boleh dipamerkan
dengan kaedah ini di peringkat menengah atas. Focus pendidikan STEM pada peringkat
tertiari adalah menyediakan murid untuk menghadapi cabaran alam kerjaya STEM. Akhir
sekali, pada peringkat industri atau komuniti pendidikan STEM dapat melahirkan generasi
yang mampu menyumbang kepada produktiviti dan pembangunan negara melalui inovasi.

2.4 Isu

2.4.1 Kesediaan Guru Untuk Melaksanakan STEM

Guru merupakan tunjang utama dalam melaksanakan sebarang perubahan dalam bidang
pendidikan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan Malaysia. Kesediaan guru dari segi
pengetahuan dan motivasi adalah sangat penting untuk menjamin keberkesanan pelaksanaan
Pendidikan STEM di sekolah. Kegagalan guru untuk menyediakan diri dalam dua aspek ini
akan memberi cabaran untuk melaksanakan STEM.

Menurut Bunyiamin (2015), cabaran pelaksanaan STEM adalah pendidik mempunyai


pengetahuan yang cetek terhadap STEM. Ini dapat dibuktikan dengan dapatan kajian
daripada Fatahiyah & Diyana (2020) yang menunjukkan pengetahuan guru tentang teori-teori
dan kaedah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran pendidikan STEM adalah di tahap
sederhana. Hal ini menyukarkan guru untuk mengintegrasikan Pendidikan STEM kerana ia
mempunyai beberapa elemen kurikulum yang harus difahami oleh guru sebelum
mengaplikasikannya dalam proses PdP. Antara elemen STEM dalam kurikulum adalah
pengetahuan STEM, kemahiran STEM dan nilai dan etika STEM. Guru-guru seharusnya
mempunyai pengetahuan asas dan kemahiran STEM yang secukupnya sebelum
melaksanakannya dalam proses PdP.

Selain itu, tahap motivasi guru terhadap pelaksanaan Pendidikan STEM juga
merupakan salah satu faktor yang perlu dititikberatkan untuk memastikan pengintegrasian
Pendidikan STEM berlaku dalam bilik darjah. Dapatan kajian daripada Jekri & Han (2020)
mendapati motivasi merupakan cabaran utama para guru dalam melaksanakan PdP STEM.
Dapatan kajian ini turut disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Abdul Halim et al (2017)
dan Naziah Sahat et al (2018) yang mendapati bahawa motivasi adalah penggerak atau
perangsang utama kepada seorang individu untuk melaksanakan inovasi kurikulum seperti
PdP STEM. Guru yang tidak bermotivasi akan menyukarkan hasrat kerajaan untuk
melahirkan pelajar-pelajar yang berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi dan
seterunya mampu mendepani cabaran industri 4.0. Sikap dan kesediaan guru terhadap
pelaksanaan Pendidikan STEM ini adalah sangat penting dan menjadi penentu keberkesanan
pengintegrasian Pendidikan STEM dalam proses PdP di bilik darjah.

3.1 Dapatan Kajian

3.1.1 Profil Responden Kajian

Kajian ini melibatkan seramai 15 orang responden yang merupakan guru daripada beberapa
buah sekolah menengah di sekitar Kelantan dan Selangor. Profil responden secara terperinci
dipaparkan dalam Jadual 1.

Jadual 1. Analisis Profil Responden

Item Demografi Responden Kajian Kekerapan Peratus (%)


Jantina Lelaki 10 66.7
Perempuan 5 33.3
Umur 20 hingga 30 6 40
31 hingga 40 5 33.3
41 hingga 50 3 20
51 hingga 60 1 6.7
Tempoh berkhidmat Kurang 10 tahun 8 53.3
sebagai guru
Lebih 10 tahun 7 46.7

Berdasarkan Jadual 1, responden untuk kajian ini terdiri daripada 10 orang guru
lelaki (66.7%) dan lima orang guru perempuan (33.3%). Manakala dari segi umur, responden
terdiri daripada guru yang berumur lingkungan 20 hingga 30 adalah enam orang (40%), 31
hingga 40 tahun sebanyak lima orang (33.3%), 41 hingga 50 tahun sebanyak tiga orang
(20%) dan seterusnya yang berumur dalam lingkungan 51 hingga 60 tahun terdapat satu
orang (6.7%). Tempoh berkhidmat juga disoal kepada responden untuk mentukan dapatan
kajian ini diperoleh daripada guru yang berpengalaman atau kurang berpengalaman. Untuk
itu, guru yang berkhidmat kurang daripada 10 tahun dikategorikan sebagai guru kurang
pengalaman dan guru yang mengajar lebih daripada 10 tahun dikategorikan sebagai guru
berpengalaman. Jika rujuk kepada Jadual 1, kajian ini mendapat dapatan daripada lapan
orang guru kurang berpengalaman dan tujuh orang guru berpengalaman.

3.1.2 Dapatan Kajian Daripada Responden

Untuk kajian ini, maklum balas responden adalah berdasarkan aras persetujuan mereka
terhadap item-item yang dinyatakan dan mengikut skala likert empat mata seperti yang
dinyatakan dalam Jadual 2 iaitu sangat setuju, setuju, tidak setuju dan sangat tidak setuju.
Untuk memudahkan penjelasan dapatan kajian di fahami, tahap persetujuan ini dibuat
pengkelasan seperti sangat setuju (1), setuju (2), tidak setuju (3) dan sangat tidak setuju (4).

Jadual 2: Pengkelasan Tahap Persetujuan

Tahap persetujuan Pengkelasan


Sangat setuju 1
Setuju 2
Tidak setuju 3
Sangat tidak setuju 4

Jadual 3: Persedian Guru Mengintegrasikan Pendidikan STEM di Sekolah

No. Pernyataan Item Kekerapan dan Skala Peratusan (%)


1 2 3 4
1 Adakah guru faham tentang Pendidikan STEM 9 6 0 0
(60%) (40%)
2 Guru bersedia melaksanakan Pendidikan STEM 9 5 1 0
dalam proses PdP (60%) (33.3% (6.7%)
)
3 Kekangan masa merupakan satu cabaran untuk 11 3 1 0
mengintegrasikan Pendidikan STEM di sekolah (73.3%) (20%) (6.7%)
4 Pelajar bersedia menerima konsep STEM dalam 8 4 3 0
pendidikan (53.3%) (26.7% (20%)
)
5 Bahan dan kemudahan infrastruktur di sekolah 8 2 5 0
lengkap dan mencukupi untuk melaksanakan (53.3%) (13.3% (33.3%)
Pendidikan STEM )

Jadual 4: Cadangan Penyelesaian Isu Berkaitan Pelaksanaan Pendidikan STEM di Sekolah

No. Pernyataan Item Kekerapan dan Skala Peratusan (%)


1 2 3 4
1 Melaksanakan bengkel latihan Pendidikan 14 0 0 1
STEM untuk guru. (93.3%) (6.7%)
2 Pihak KPM perlu memberi masa untuk guru 15 0 0 0
menyediakan bahan bantu mengajar (100%)
berkonsepkan Pendidikan STEM.
3 Guru perlu menerapkan Pendidikan STEM 12 1 2 0
kepada murid dari awal persekolahan. (80%) (6.7% (13.3%)
)
4 Kerajaan perlu meningkatkan peruntukan 15 0 0 0
kepada sekolah untuk mengintegrasikan (100%)
Pendidikan STEM di sekolah.
3.3 Cadangan Penyelesaian
3.3.1 Memberi Pendedahan dan Latihan Khusus Berkenaan Pendidikan STEM Kepada
Guru

Kualiti guru merupakan salah satu faktor penting dalam menentukan keberkesanan
pengintegrasian Pendidikan STEM dalam kurikulum di sekolah. Guru yang mempunyai
kesediaan dalam melaksanakan STEM akan dapat menghasilkan proses PdP yang baik dan
mampu menerapkan konsep STEM dalam pembelajaran pelajar di bilik darjah. Namun
begitu, dapatan kajian daripada Jekri & Han (2020) yang telah melaksanakan tinjauan
terhadap guru sekolah menunjukkan bahawa kesediaan atau sikap guru merupakan cabaran
utama dalam melaksanakan Pendidikan STEM. Hal ini mungkin berlaku kerana guru-guru
kurang pengetahuan dan tidak memahami konsep dan teori Pendidikan STEM. Ini akan
membantutkan semangat dan keupayaan guru untuk mengintegrasikan Pendidikan STEM
dalam proses PdP di bilik darjah. Ini dapat disahkan melalui dapatan kajian Bell (2016), yang
mendapati kekurangan pengetahuan akan menyebabkan guru tidak bersedia untuk
melaksanakan pengajaran STEM.

Untuk mengatasi masalah ini daripada terus berlarutan dan memastikan kejayaan
Pendidikan STEM, pihak sekolah ataupun pihak kementerian perlu berusaha untuk
menanganinya. Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan mengadakan program
latihan atau kursus profesional yang mendedahkan guru-guru dengan pengetahuan asas dan
konsep-konsep penting dalam melaksanakan Pendidikan STEM. Program ini haruslah
melibatkan semua guru yang terdiri daripada pelbagai subjek dan tidak hanya terbatas
penyertaan kepada guru sains dan matematik sahaja. Hal ini adalah penting untuk
memastikan semua guru di sekolah bersedia dan mempunyai keyakinan untuk mengalas
tanggungjawab menintegrasikan Pendidikan STEM dalam proses PdP di bilik darjah.

Di samping itu, program latihan dan kursus profesional ini juga boleh dijadikan
sebagai satu wadah kepada para guru untuk bertukar-tukar pengetahuan dan pengelaman
berkenaan STEM. Untuk itu, penyertaan program ini haruslah melibatkan beberapa sekolah
dan lokasi sekolah yang berbeza untuk membolehkan proses perkongsian ilmu dan
pengalaman antara guru-guru lebih meluas dan pelbagai. Hal ini kerana, cabaran dan kaedah-
kaedah menintegrasikan Pendidikan STEM di sekolah-sekolah mungkin berbeza mengikut
jenis dan lokasi sekolah.

Rujukan

Bunyamin, M. A. H., & Finley, F. 2016. STEM education in Malaysia: Reviewing the current
physics curriculum. Kertas kerja pembentangan dalam International Conference of
Association for Science Teacher Education (ASTE), 7-9 Januari, Nevada, Amerika Syarikat.

Fatahiyah Mohamed & Diyana Mahmud. 2020. Kesediaan Guru Sains dan Matematik dalam
Melaksanakan Pendidikan STEM dari Aspek Pengetahuan, Sikap dan Pengalaman
Mengajar: Akademika 90 (Isu Khas 3), 2020: 85-101

Naziah Sahat, Adina Yantiaryanie Abd Rahman, Khairul Amilin Tengah, Hui- Chuan Li &

NorAzura Abdullah .2018. A Study of Mathematics’ Teacher Motivation towards Teaching


in Brunei Darussalam. Journal of Studies in Education, 8(2), 18-28

Abdul Halim Abdullah, Mohd Hilmi Hamzah, Raja Haffizah Soffia Raja Hussin, UmarHaiyat

Abdul Kohar, Sharifah Nurarfah S. Abd Rahman & Juhazren Junaidi .2017. Teachers'
Readiness in Implementing Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM)
Education from the Cognitive, Affective and Behavioural Aspects.IEEE 6th International
Conference on Teaching Assessment and Learning for Engineering (TALE)

Jekri, A., & Han, C. G. K. (2020). Cabaran dalam Melaksanakan Pengajaran dan
Pembelajaran STEM di Sekolah Menengah. International Journal of Education, Psychology
and Counseling, 5 (34), 80-79.

Bell, D. (2016). The Reality of STEM Education, Design and Technology Teachers’
Perceptions: A Phenomenographic Study. International Journal of Technology and Design
Education. 26(1), 61-79
Kementerian Pendidikan Malaysia, Buku Panduan Pelaksanaan Sains, Teknologi,
Kejuruteraan dan Matematik dalam Pengajaran dan Pembelajaran,Kementerian
Pendidikan Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai