Anda di halaman 1dari 4

ISLAMOFOBIA: HATI-HATI ATAU DISKRIMINASI?

Ditulis oleh: Noor Aina Yasmin Binti Kamarulzaman


Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

Akhir-akhir ini, Islamofobia juga menjadi gejala trend yang dianggap biasa dalam
kalangan masyarakat terutamanya remaja di negara-negara barat. Islamofobia yang disebut
sebagai takut kepada Muslim atau ironinya lebih cenderung kepada diskriminasi dan prejudis
terhadap penganut-penganut agama Islam itu sendiri. Islamofobia ini bukanlah satu isu yang
baharu, malah telah lama dan semakin merawak dalam kalangan masyarakat termasuk
Malaysia. Isu ini amat merunsingkan memandangkan keselamatan umat Islam berada dalam
ancaman. Golongan ini bukan sahaja mengancam keselamatan orang dewasa, malah kanak-
kanak juga menjadi sasaran mereka. Islamofobia ini ditunjukkan dengan pelbagai cara seperti
ucapan kebencian (hate speech). Mereka melemparkan pelbagai kata-kata kesat kepada orang
Islam dan menimbulkan prasangka buruk dan kebencian masyarakat terhadap orang Islam.
Golongan Islamofobik ini juga melabelkan umat Islam sebagai pengganas (terrorist). Tanpa
disedari, mereka telah pun dimomokkan dengan stigma negatif terhadap orang Islam. Pada
awalnya, kebanyakan daripada golongan Islamopfobik ini hanyalah termakan dengan
kepercayaan bahawa umat Islam adalah pengganas dan pemberontak. Lama kelamaan, mula
timbul rasa tidak suka dan diskriminasi terhadap Muslim.

Kita dapat melihat pelbagai naratif-naratif yang mengelirukan disebarkan bukan


sahaja di negara-negara barat malah ke serata dunia. Kebimbangan dan ketakutan orang-
orang Islam semakin marak setelah pelbagai tuduhan dilemparkan demi menutup kesalahan
ekstremis dan teroris di luar sana dengan menjadikan umat Islam sebagai mangsa fitnah.
Contoh yang dapat dibuktikan adalah mereka memfitnah orang Islam melakukan keganasan
yang mengancam nyawa kepada orang ramai walhal keganasan itu dilakukan oleh kelompok
ekstremis dan teroris, sedaya upaya mereka cuba untuk menutup gejala yang dilakukan oleh
kelompok ini dengan meletakkan kesalahan terhadap umat Islam. Isu Islamofobia ini tidak
datang secara bermusim, malah semakin marak diperbualkan dari hari ke hari. Terdahulu,
pada 21 Januari 2023, seorang ahli politik Denmark-Sweden iaitu Rasmus Paludan telah
menunjukkan kegiatan yang melampaui batas dengan membakar naskhah kitab suci Al-Quran
yang mana telah sedia maklum diketahui bahawa Al-Quran adalah kitab suci dan panduan
hidup umat Islam. Aksi tersebut telah dicaci dan dikutuk oleh umat Islam seluruh dunia
memandangkan isu ini berkaitrapat dengan Islamofobia dan ia menjatuhkan maruah umat
Islam dan agama Islam. Hal ini jelas menunjukkan bahawa isu Islamfobia ini bukan sahaja
wujud dalam kalangan orang awam bahkan dalam kalangan ahli politik. Ia cukup
membahayakan kerana ahli-ahli politik ini membawa pengaruh besar dan setiap gerak-geri
mereka dicontohi oleh orang awam. Tidak cukup dengan itu, ramai wanita beragama Islam
yang memakai tudung atau hijab untuk menutup aurat telah dikecam dan disisihkan di negara
barat. Mereka menganggap pakaian umat Islam yang telah menjadi kewajipan ini, sebagai
suatu perbuatan untuk menunjukkan keganasan. Prejudis dan stigma ini telah menimbulkan
rasa takut dan waspada umat Islam untuk menetap di negara-negara barat untuk menyambung
pengajian mahupun mencari nafkah. Lebih teruk lagi, mereka menyasarkan ramai umat Islam
yang tidak bersalah sebagai mangsa untuk diseksa, dibunuh dan sebagainya, mengingatkan
kepada sebuah kes pembunuhan yang menggemparkan umat Islam seluruh dunia setelah 4
orang lelaki beragama Islam dibunuh di Albuquerque. Gabenor negeri di New Mexico juga
menyifatkan pembunuhan ini sebagai ‘pembunuhan disasarkan’. Pihak polis New Mexico
bertungkus-lumus mencari suspek yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan keempat-
empat mangsa itu. Selain itu, umat Islam juga telah banyak menjadi mangsa buli siber
(cyberbully) melalui pelbagai platform sosial media. Mereka menyifatkan umat Islam sebagai
pengganas, pemberontak dan sebagainya. Perbuatan ini bukan sahaja menjatuhkan maruah
umat Islam bahkan mengganggu emosi dan mental orang-orang Islam terutamanya remaja
yang baru setahun jagung dalam dunia sosial media.

Isu Islamofobia ini dikaitkan dengan pelbagai punca. Antaranya, imereka berasa takut
dengan pengaruh dan ajaran Islam yang telah tersebar ke serata dunia. Hal ini cukup
membimbangkan mereka dan menimbulkan rasa syak wasangka. Kemunculan propaganda ini
juga adalah rentetan daripada sebuah insiden keganasan yang membabitkan orang Islam. Hal
ini dapat dijadikan sebagai alasan untuk mereka mengeruhkan lagi keadaan dan memarakkan
lagi isu Islamofobia. Selain itu, lumrah hidup beragama, haruslah mengikuti kewajipan dan
larangan agama, termasuklah agama Islam, menepati pegangan, Islam adalah cara hidup. Hal
yang demikian, umat Islam enggan mengikuti pengaruh budaya barat seperti mendedahkan
aurat, minum arak dan sebagainya. Hal ini menanamkan lagi rasa ketidakpuasan hati yang
lebih dalam terhadap umat Islam. Lebih-lebih lagi, masyarakat muslim adalah masyarakat
yang terkenal dengan sifat yang lebih tertutup dan menjaga, terutamanya kaum perempuan.
Bagi orang-orang barat, masyarakat muslim adalah masyarakat yang rasis dan perlu
diasingkan. Mereka sering mempamerkan ketidakselesaan, kejanggalan dan kemarahan
apabila berdekatan dengan orang Islam. Sentimen agama ini diperkuatkan lagi apabila
wujudnya perselisihan faham merentasi budaya, ilmu dan sebagainya. Ketegasan Islam dalam
mendidik umatnya memperkukuhkan lagi rasa kemarahan golongan Islamofobia ini. Budaya
yang dibawa mereka kebanyakannya bercanggah dengan syariat agama Islam, menyebabkan
umat Islam enggan mengamalkan budaya mereka kerana bimbang akan merosakkan aqidah
dan pegangan mereka.

Justeru, pelbagai inisiatif yang cuba dilakukan oleh pemimpin dan umat Islam demi
mengatasi propaganda Islamofobia ini dan untuk menjaga kemaslahatan diri dan agama.
Antaranya, menyebarkan dakwah yang benar dan positif agar agama Islam dipandang tinggi.
Contohnya, dakwah juga dapat dilakukan melalui perdebatan intelektual dan berwibawa
tanpa melibatkan unsur keganasan. Selain itu, penyebaran agama melalui pendidikan awal
juga penting dalam mengelakkan mitos yang berunsur fitnah terhadap agama serta
melahirkan rasa hormat. Dalam pada itu, penting juga untuk orang Islam patuh pada undang-
undang negara terhadap kebebasan beragama, demi meraikan perbezaan kepercayaan dan
menangani isu diskriminasi yang membawa kepada jenayah yang meragut nyawa. Akhir
sekali, besar harapan saya taruh agar isu Islamofobia ini dapat dikurangkan demi
kemaslahatan bersama di samping menanam rasa hormat antara satu sama lain tanpa mengira
agama dan kepercayaan.

RUJUKAN

1. https://oarep.usim.edu.my/jspui/bitstream/123456789/16350/1/Perkembangan
%20Trend%20Gejala%20Islamofobia%20Di%20Negara%20Majoriti
%20Bukan%20Islam_Satu%20Analisa.pdf

2. https://www.ikim.gov.my/new-wp/index.php/2019/12/12/menangani-isu-
islamofobia/

3. https://malaysiagazette.com/2023/04/24/islamofobia-perlu-dihentikan/

4. https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/03/tangani-islamofobia-dari-
pelbagai-aspek/

Anda mungkin juga menyukai