Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN KETUA MURID – MAJLIS APRESIASI SKPJP 2023/2024

Terima kasih juruacara majlis.


Yang berusaha _____________________________, Pegawai Pendidikan Daerah Beaufort.
Yang berusaha, Pn Hjh Lila Hj Latip, Guru Besar SK Pengiran Jaya Pimping,
_______________________________ Yang DiPertua Persatuan Ibubapa dan Guru SK Pengiran Jaya Pimping,
Guru-guru penolong kanan,
Ibubapa, rakan-rakan seperjuangan dan hadirin yang dirahmati Allah.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Sejahtera.

Izinkan saya memulakan bicara dengan memetik kata-kata Pendeta Hamka:


“Kejayaan bukan diukur dengan pencapaian tetapi usaha.”
Hadirin,
Hari ini adalah hari usaha kami selaku pelajar dihargai. Penat lelah, jerih payah sepanjang setahun menimba ilmu
menemui tempat persinggahan pada hari ini. Mengapa saya katakan tempat persinggahan? Kerana menuntut ilmu
ini umpama perjalanan yang panjang. Di sepanjang perjalanan itu akan ada tempat persinggahan untuk
menyegarkan diri. Demikianlah juga Majlis Apresiasi ini yang dijadikan sebagai penyegar semangat, jiwa dan
minda yang lelah belajar sebelum kami meneruskan pembelajaran kami ke peringkat seterusnya. Seperti mana
dalam satu jalan, ada kereta yang laju. Ada yang perlahan dan santai malah ada juga yang awal berhenti sebelum
persinggahan. Begitu juga kami sebagai murid, ada yang cepat menangkap ilmu. Ada yang bertenang, malah ada
yang masih bermain-main tetapi hakikatnya semuanya menuju ke titik persinggahan yang sama iaitu kejayaan.

Hadirin yang dihormati,


Saya selaku wakil 147 orang murid SK Pengiran Jaya Pimping ingin menitipkan penghargaan yang tidak terhingga
kepada ibubapa dan guru-guru kami yang tidak pernah berputus asa mendidik dan memastikan kami tercorak
dengan indah sebagai insan berguna. Tahun ini juga adalah tahun terakhir saya dan rakan-rakan di 6 Patinggi Ali
melakar memori di SK Pengiran Jaya Pimping. Sejak prasekolah, guru-guru mengajar kami membaca bermula dari
mengenal huruf, suku kata hinggalah dapat memahami naskhah yang kompleks. Dari guru juga kami dapat
memegang pensil, menulis satu persatu huruf dan nombor hingga kini mampu mengarang meluahkan buah fikiran
dan isi hati. Kerana cikgu-cikgu juga, kami mengenal bakat kami waima dalam bidang ko-akademik, sukan
mahupun seni. Terima kasih guru-guru, insyaAllah ilmu yang ada ini akan kami gunakan sebaiknya sampai bila-
bila.

Buat rakan seperjuangan, jangan mengalah. Perjalanan kita masih jauh tetapi janganlah leka dan alpa. Usah
direnung letihnya berusaha tetapi renunglah manisnya kejayaan. Hari ini mungkin rakan yang duduk disebelah kita
naik ke pentas menerima anugerah. Tidak mustahil suatu masa nanti kita juga akan merangkul kejayaan yang sama
malah mungkin lebih besar sesuai dengan usaha yang kita berikan. Jadikan hari ini sebagai pembakar semangat dan
titik mula untuk menjadi yang lebih baik dari sebelum ini. Remember, our only competition is the person we were
yesterday. Berpesan-pesanlah sesama kita untuk menjadi lebih baik dan lebih cemerlang di masa depan.

Akhir kata, saya mewakili rakan yang lain memohon ampun dan maaf andai ada perilaku dan kata kami yang
menyinggung hati, menjentik rasa guru-guru dan ibubapa tercinta. Jutaan terima kasih buat warga SK Pengiran
Jaya Pimping khasnya dan ibubapa amnya kerana meraikan kejayaan kami pada hari ini. Doakan kami kekal
berjaya dan menjadi insan yang berguna kepada keluarga, agama dan negara.
Sekian, Putri Aqhasha Raihanna mengundur diri.
Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai