Anda di halaman 1dari 4

Apabila dunia kita menjadi lebih saling berkaitan, keperluan untuk memahami dan terlibat dengan

isu global semakin meningkat. Universiti semakin berusaha untuk mengintegrasikan Pendidikan
Kewarganegaraan Global (GCED) ke dalam kurikulum mereka. Apakah objektif khusus GCED, dan
mengapa ia penting dalam dunia global hari ini?

GCED adalah transformasi, memberikan pelajar peluang dan kecekapan untuk menyedari hak dan kewajipan
mereka untuk membangunkan dunia yang lebih baik pada masa hadapan. Objektif khusus GCED adalah
untuk memupuk rasa hormat kepada semua, membangunkan rasa kepunyaan sesama manusia dan
membantu pelajar menjadi warganegara global yang bertanggungjawab dan aktif. GCED bermatlamat untuk
memperkasakan pelajar supaya mereka boleh terlibat dan mengambil peranan yang aktif di peringkat
tempatan dan global. Hal ini demikian, untuk membolehkan generasi muda berhadapan dan menyelesaikan
cabaran global dan akhirnya, menjadi penyumbang yang proaktif demi mencapai dunia yang lebih adil, aman,
bertoleransi, terangkum, selamat dan lestari. Sehubungan itu, berdasarkan UNESCO tahun 2015 terdapat tiga
dimensi konseptual utama GCED iaitu kognitif, sosio-emosi dan tingkah laku. Pertama, kognitif adalah
dimensi konseptual untuk memperoleh pengetahuan, pemahaman dan pemikiran yang kritis tentang isu-isu
global, serantau, kebangsaan dan tempatan serta ke saling hubungan dan ke saling bergantungan antara
pelbagai negara dan penduduk. Kedua, sosio-emosi adalah dimensi konseptual untuk memiliki rasa
kepunyaan sesama manusia, berkongsi nilai dan tanggungjawab, empati, solidariti dan menghormati
perbezaan dan kepelbagaian. Ketiga, tingkah laku adalah dimensi konseptual untuk bertindak secara
berkesan dan bertanggungjawab pada peringkat tempatan, kebangsaan dan global demi mencapai dunia
yang aman dan lestari. Natijahnya, GCED berkepentingan dalam memperkasakan pelajar untuk berfikir,
berkongsi dan bertindak demi dunia yang lebih adil, aman, terangkum dan lestari.

Seterusnya, kepenting GCED dalam dunia global hari ini adalah untuk memperkembangkan peranan
pendidikan dalam menangani masalah global. Oleh itu, peranan pendidikan pada abad ke-21 harus bergerak
lebih jauh menjangkaui standard pembelajaran tradisional yang diajar di dalam kelas atau dewan kuliah.
Justeru itu, GCDE mengutamakan warga global mempraktikkan teori, konsep atau model pendidikan dalam
kehidupan seharian kita. Kini masalah pencemaran alam yang berleluasa memberikan impak yang buruk
kepada muka bumi terutamanya akibat pelupusan sampah yang tidak teratur serta pembakaran yang terbuka
menyebabkan dunia menghadapi krisis global. Berdasarkan matlamat SDG ke-11 iaitu mewujudkan komuniti
dan bandar yang lestari. Warga global seharusnya bertanggungjawab dalam membentuk bandar dan
komuniti yang lestari dengan memastikan kelestarian alam sekitar dan penggunaan sumber alam secara
lestari. Pembangunan bandar yang mapan dapat meningkatkan ekonomi masyarakat dan pembangunan
ekonomi sesebuah bandar. Pembangunan bandar dapat didefinisikan sebagai mewujudkan bandar yang
berkekalan yang mewujudkan peluang kerjaya dan perniagaan yang selamat. Oleh itu pendidikan
pembangunan lestari perlu diterapkan dengan menumpukan kepada tindakan dan amalan dalam kehidupan
harian. Lazimnya, pendekatan tentang 3R iaitu kurangkan, guna semula dan kitar semula telah dipupuk dalam
kalangan masyarakat sekian lama, tetapi kini terdapat pendekatan 5R malah 6R iaitu menolak, kurangkan
guna semula, guna untuk tujuan lain, kitar semula dan perbaiki yang tidak diketahui oleh kebanyakan warga
global. Pendekatan kepada amal 5R dan 6R amatlah penting dalam merealisasikan matlamat SGD ke-11 ini.
Tuntasnya, memperkembangkan peranan pendidikan dalam masalah global kepada penerapan dalam
kehidupan harian dapat membantu dalam menangani masalah global.

Selain itu, kepentingan GCED dalam dunia global kini adalah untuk memupuk rasa hormat antara negara dan
sesama insan. Sifat hormat antara warga global memainkan peranan dalam memastikan keamanan antara
negara dan membolehkan mereka meraikan perbezaan sesama insan. Hal ini demikian, penting untuk
membentuk masyarakat yang memahami kepelbagaian dalam dunia agar warga global dapat bertindak balas
dengan rasa empati terhadap perkara yang tidak dikenali serta memperkasakan belia dalam memimpin
masyarakat secara adil dan saksama. Hal ini demikian, tidak boleh dinafikan bahawa dunia yang kita diami
sekarang lebih kompleks dan mencabar. Jelas dunia menjadi semakin saling bergantungan dan saling
berkaitan dan setiap tindakan yang terjadi pada peringkat tempatan akan memberi kesan kepada masyarakat
kita, bandar kita malahan, kepada diri kita sendiri dan juga kepada dunia. Oleh yang demikian, kita perlu
saling memahami, hidup sebagai satu warga dunia dan mempersiapkan generasi muda untuk mencari jalan
penyelesaian terhadap cabaran-cabaran di dunia yang saling berkaitan ini. Berdasarkan matlamat SGD ke-17
perkongsian untuk matlamat, hasrat Malaysia adalah untuk menjadi negara maju dan sejahtera telah lama
menjadi agenda utama kerajaan. Terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha mencapai
matlamat ini, termasuklah cabaran ekonomi global, krisis kewangan, harga komoditi antarabangsa, peraturan
perdagangan, dan masalah kekurangan buruh. Dalam usaha mencapai matlamat ini, rakyat perlu bersatu
padu dan fokus untuk membawa kemajuan kepada Negara. Hormat-menghormati antara negara dan warga
global dapat membantu mengurangkan konflik dan meningkatkan pemahaman antara negara. Sikap hormat
terhadap warga global dapat diwujudkan dengan cara menghargai perbezaan budaya dan agama antara satu
sama lain. Natijahnya, interaksi antara negara dan budaya semakin meningkat maka rasa hormat ini dapat
membantu membangunkan hubungan yang harmoni antara negara dan budaya, serta mendorong kerjasama
dalam berbagai bidang seperti perdagangan, pendidikan, dan lain-lain.

Bagaimanakah kurikulum universiti harus dibangunkan untuk menggabungkan prinsip


GCED dengan berkesan? Apakah subjek atau topik yang perlu dititikberatkan?

GCED mempunyai agenda tersendiri iaitu Agenda Pembangunan 2030, yang bertajuk “Mengubah dunia kita :
Agenda 2030 untuk Pembangunan Lestari”. Sehubungan dengan ini, satu set yang baharu Matlamat
Pembangunan Lestari (SDG) atau juga dikenali sebagai Matlamat Global terdiri daripada 17 matlamat, yang
menetapkan 169 sasaran dan 232 petunjuk bertujuan mencapai masa depan yang lebih baik dan lestari untuk
semua. Matlamat pembangunan Lestari ini dibina atas prinsip “Tiada Sesiapa Yang Ditinggalkan” telah
menegaskan bahawa semua orang di dunia ini harus dilayan sama rata tanpa mengira usia, gender,
ketidakupayaan, bangsa, etnik, asal usul, agama, status ekonomi atau lain-lain demi mengekalkan masa
depan yang lebih baik untuk semua. Berteraskan 17 matlamat CGED semuanya saling berkaitan yang
merangkumi pelbagai cabaran global yang kita hadapi sekarang seperti kemiskinan, perubahan iklim,
kemerosotan alam sekitar, keamanan dan ketidaksamaan. Salah satu matlamat SDG iaitu Matlamat ke 4
adalah Pendidikan Berkualiti. Berdasarkan sasaran 4.7 secara khusus menyatakan bahawa “Menjelang tahun
2030, pastikan semua pelajar memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mempromosi
pembangunan lestari, termasuk, antara lain, pendidikan menyeluruh tentang pembangunan lestari dan cara
hidup lestari, hak asasi manusia, kesamarataan gender, mempromosikan budaya keamanan dan tanpa
keganasan, kewarganegaraan global dan menghargai kepelbagaian budaya serta sumbangan budaya kepada
pembangunan lestari”. Natijahnya, sasaran ini jelas menekankan kepentingan GCED dan pendidikan untuk
pembangunan lestari bagi generasi muda demi mempersiapkan diri mereka menjadi lebih berpengetahuan,
sedar dan prihatin terhadap cabaran global dalam dunia yang saling bergantung untuk 7 tahun akan datang
pada 2030. Oleh itu, GCED penting dan harus aplikasikan ke dalam sukatan pelajaran pendidikan bagi mana-
mana kursus. Menurut bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, tindakan mengaplikasikan GCED ini
adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang membolehkan setiap pelajar yang telah
meninggalkan zaman persekolahan menjadi warga global yang memiliki nilai teras dan sejagat serta identiti
rakyat Malaysia yang kukuh.

Sehubungan dengan itu, perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam GCED adalah pendidikan
keamanan, pendidikan hak asasi manusia, pendidikan untuk pemahaman antarabangsa dan pendidikan
pembangunan lestari. Konteks pendidikan nasional adalah penting dalam menyepadukan GCED dalam
sistem pendidikan bagi mana-mana negara sekalipun sama ada kurikulum sekolah, kurikulum latihan
perguruan, pentadbiran sekolah dan dalam program latihan tidak formal untuk kedua-dua organisasi
kerajaan dan bukan kerajaan. Hal ini kerana, GCED bukan tentang anda atau saya, tetapi tentang kita
dan kami warga global. GCED bukanlah perkara yang asing dalam konteks pendidikan kerana telah
wujud dalam sistem pendidikan kita sejak di peringkat sekolah rendah dan menengah seperti mata
pelajaran Bahasa, Sejarah, Geografi dan Pendidikan Sivik. Justeru itu, tema-tema GCED yang difokuskan
adalah berkaitan pendidikan keamanan, kemiskinan, hak asasi, kepelbagaian budaya dan sebagainya
telah diserapkan masuk ke dalam subjek-subjek ini. GCED boleh diserap masuk ke dalam pengajaran
dan pembelajaran mengikut tema GCED. Oleh itu, pada peringkat universiti Kursus teras mengenai isu
global hendaklah diperkenalkan yang memberi tumpuan kepada isu-isu global utama seperti perubahan
iklim, kemiskinan, hak asasi manusia, dan kesihatan global. Selain itu, kursus komunikasi silang budaya
juga boleh diterapkan khusus dalam menangani kemahiran komunikasi silang budaya. Kursus-kursus ini
boleh meneroka strategi komunikasi yang berkesan dalam konteks budaya yang pelbagai, menekankan
kepentingan empati, mendengar aktif, dan sensitif budaya Kursus-kursus ini boleh menyediakan pelajar
dengan pemahaman asas tentang cabaran yang saling berkaitan yang dihadapi dunia. Kita memerlukan
pendidikan yang boleh membantu pelajar-pelajar kita belajar bagaimana untuk hidup bersama dalam
harmoni, membina rasa hormat dan empati untuk orang lain dan memberi inspirasi kepada mereka
untuk mengambil tindakan positif hari ini. Dengan menggabungkan unsur-unsur ini ke dalam kurikulum,
universiti boleh mewujudkan persekitaran pendidikan yang memupuk kewarganegaraan global,
memupuk pemahaman silang budaya, dan menyediakan pelajar untuk menangani cabaran kompleks
dunia yang saling berkaitan. Tegasnya, GCED sewajarnya dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran
pendidikan pada setiap tahap pendidikan bagi mana-mana kursus kerana GCED adalah satu bentuk
pembelajaran sivik yang bertujuan untuk memperkasakan pelajar dari semua peringkat umur untuk
memainkan peranan aktif di dalam dan di luar negara untuk membina masyarakat yang lebih aman,
bertolak ansur dan selamat.

Oleh itu, pada peringkat universiti pihak universiti boleh menganjurkan program seperti seminar,
bengkel, dan program sukarelawan atau membuat projek GCED bagi memperkukuhkan pemahaman
pelajar tentang isu-isu global. Warga global dan ekonomi semakin saling berkaitan dan saling
bergantung. Isu global yang berterusan memberi kesan kepada semua orang. Projek yang diaturkan
oleh pihak universiti haruslah memberi tumpuan kepada tema penting dan membawa pelajar melalui
penerokaan pendidikan untuk menjawab soalan-soalan penting. Pelajar belajar melalui video,
perbincangan dan aktiviti interaktif dengan tema yang berbeza seperti perubahan iklim, ketidaksamaan
jantina, membina bandar mampan untuk menamakan beberapa untuk memberi inspirasi kepada
mereka untuk menyelesaikan masalah yang paling mendesak di dunia, hari ini. Sebagai contoh, program
pemulihan alam sekitar yang melibatkan aktiviti seperti penanaman pokok, inisiatif pengurangan sisa,
atau membangunkan program pendidikan bagi menjaga kelestarian alam. Setiap projek haruslah direka
bentuk menjadi buku kerja yang interaktif dalam talian di mana pelajar boleh bekerja secara bebas dan
dapat menjadi rujukan kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk mengikatkan kesedaran berkaitan
GCED. Kaedah ini membolehkan pelajar menjadi lebih peka, proaktif dan berjaga-jaga apabila
merungkap beberapa isu yang berlaku di dunia realiti dari segi politik, sosial, budaya dan ekonomi serta
secara langsung dapat meningkatkan penglibatan graduan dalam menyumbang kepada usaha
pencapaian matlamat GCED. Kesimpulannya, GCED bukan proses pembelajaran yang pasif mengenai
warga dunia sejagat atau kosmopolitanisme, tetapi satu proses untuk mempergiatkan kefahaman yang
membawa kepada tindakan dalam kalangan warga global pada peringkat tempatan dan antarabangsa.

Berdasarkan matlamat GCED ke-16 iaitu kemakmuran, keadilan dan institusi yang kukuh sebagai warga
global kita seharusnya mempunyai rasa empati terhadap isu Palestin dan Israel. Mengikut perkembangan
dunia pertikaian ini bermula sejak penubuhan Israel pada 14 Mei 1948, walaupun telah berdekad pertikaian
ini masih berterusan sehingga kini. Penindasan secara sistematik dan diskriminasi ini berlaku pada setiap hari
terhadap masyarakat Palestin. Warga global sewajarnya menghormati pendirian dan pengorbanan Palestin
dan rakyatnya dalam mempertahankan hak mereka. Maka kita boleh memainkan peranan untuk mencipta
dan memberikan kesedaran berkaitan isu ini kepada masyarakat kita dalam usaha menegakkan keadilan.
Usaha dan tindakan kita ini mampu memberikan semangat kepada rakyat Palestin untuk terus berjuang serta
membuka mata dunia dalam mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan pertikaian ini dalam
mewujudkan bumi yang aman dan damai.

Anda mungkin juga menyukai