Anda di halaman 1dari 17

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

TEKS UCAPAN
MENTERI PENDIDIKAN

SEMPENA

BICARA PROFESIONAL KEMENTERIAN PENDIDIKAN


MALAYSIA
KURIKULUM PERSEKOLAHAN 2027

PADA
6 DISEMBER 2023
Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Malaysia Madani

(SAPAAN)

Sidang hadirin yang dihormati,

1. Syukur alhamdulillah kerana dengan limpah kurnia serta


keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada petang ini,
bagi membicarakan Kurikulum Persekolahan 2027. Dalam
kesempatan ini saya akan berkongsi mengenai kerangka
Kurikulum Persekolahan 2027 untuk sama-sama kita
fahami dan seterusnya menyibukkan diri dengan sesi-sesi
perbincangan dan percambahan idea dalam usaha kita
meningkatkan kualiti pendidikan negara. Hari ini merupakan
hari pembukaan gelanggang diskusi dan saya
mengharapkan keterujaan buah fikir daripada semua
lapisan masyarakat dalam kita membangunkan kurikulum
baharu #kurikulumkita.

DI MANA KITA SEKARANG?

2. Saya ingin bermula begini. Pada hari ini, kita bukan lagi
berada pada era moden. Kita sudah menjangkaui
pascamoden dan pemikir seperti Dr Ziauddin Sardar
menyatakan kita sudah berada pada era Pascanormal.
Dalam keadaan normal, kita yakin dengan fakta dan nilai
kita, dan kita boleh mengambil masa untuk membuat
keputusan yang betul dan sesuai. Dalam era pascanormal,
terdapat rasa kecemasan, dan masa depan terasa seperti
keretapi laju meluncur ke dalam ketidaktahuan.

3. Justeru itu, untuk melangkah ke luar dari era pascanormal,


kita perlu merenung dengan mendalam tentang bagaimana
kita hidup dan bertindak, tentang pilihan yang kita buat, dan
cara kita membayangkan masa hadapan kita. Isu seperti
Perubahan Iklim, Kenderaan elektrik (eV), peperangan
antarabangsa yang mengakibatkan krisis kemanusiaan dan
serangan pandemik serta ledakan Artificial Intelligence (Ai),
telah dan akan memberikan impak dalam banyak hal dalam
kehidupan kita; dan sudah semestinya terkait dengan
pendidikan; sejauh mana kita menyediakan pendidikan
yang sesuai untuk generasi masa hadapan? apa lagi
generasi yang memiliki kompetensi, sahsiah, jati diri,
berdaya tahan dan kalis masa hadapan, dan yang
utama, pendidikan yang berwajah dan berkarakter
bangsa Malaysia.

4. Justeru itu, satu anjakan paradigma dalam kurikulum perlu


dilakukan dengan segera agar selari dengan perubahan
dunia semasa dan akan datang. Cabaran ini perlu kita
tangani dengan solusi yang seimbang dan saksama bagi
memastikan kesejahteraan murid dalam apa jua keadaan.
Solusi ini tidak hanya berpaksikan kepada teknologi
semata-mata, tetapi hendaklah boleh diterima dan
diadaptasi oleh semua pihak tanpa mengira etnik, status
sosioekonomi dan wilayah. Oleh itu, saya sentiasa
memberikan fokus kepada sistem pendidikan yang
menekankan nilai-nilai kemanusiaan yang bukan sahaja
kaya dengan budaya ilmunya tetapi juga tinggi sahsiah dan
adabnya dalam membentuk generasi MADANI.
Hadirin sekalian,

5. Kurikulum merupakan nadi kepada sistem pendidikan yang


akan menentukan corak generasi masa hadapan. Konsep
karamah insaniah yang menekankan pembentukan adab,
akhlak dan integriti menjadi tunjang dalam kita
membangunkan Kurikulum Persekolahan 2027. Hal ini
adalah selari dengan Rukun Negara dan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.

LATAR BELAKANG

6. Untuk berada di sini pada hari ini, kita tidak bermula dari
kosong. Sepanjang tahun 2022 hingga 2023, KPM telah
melaksanakan sesi libat urus yang melibatkan pelbagai
pihak berkepentingan di seluruh negara bagi mendapatkan
pandangan dan cadangan berkaitan pelaksanaan kurikulum
pendidikan negara. Persidangan Kurikulum Kebangsaan
juga telah diadakan bagi mendapatkan input daripada pihak
pelaksana yang terdiri dalam kalangan guru, pentadbir
sekolah dan pegawai peringkat daerah, negeri serta
kebangsaan. Penyusunan semula kandungan kurikulum
dan penelitian tentang pembangunan karakter murid adalah
antara penambahbaikan yang dicadangkan.

7. Secara keseluruhannya, kurikulum yang dihasratkan


mestilah bersifat fleksibel, relevan dan kontekstual bagi
mencapai aspirasi budaya pembelajaran sepanjang hayat.
Murid perlu dilengkapkan dengan kompetensi yang
bersesuaian untuk membentuk generasi yang memiliki
growth mindset atau bermentaliti pertumbuhan, berdaya
saing dan berdaya tahan. Maknanya, murid berkeyakinan
bahawa keupayaan, kebolehan boleh berkembang melalui
usaha, pembelajaran dan ketekunan; suatu ciri yang amat
diperlukan pada generasi millenials ini.

8. Dalam kehidupan sebenar, anak-anak kita akan sentiasa


berdepan dengan masalah dan rintangan. Dengan memiliki
sifat yang saya nyatakan tadi, anak-anak ini mampu
menerima kekecewaan dan bangkit semula dengan lebih
kuat dan tabah untuk meneruskan kehidupan. Pepatah
Jepun ada mengatakan “Nana korobi yaoki” bermaksud
tujuh kali jatuh lapan kali bangkit. Dalam kehidupan ini kita
akan menempuh beberapa kali kegagalan namun jangan
sesekali kita berputus asa untuk bangkit dan berjaya.

9. Selain itu, pembangunan Kurikulum Persekolahan 2027


juga merujuk kepada dasar-dasar negara yang utama
seperti Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kanak-kanak
Negara, Dasar Perpaduan Negara, Rangka Tindakan
Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Pendidikan Digital.
Dasar Kanak-kanak misalnya, berhasrat melahirkan
individu yang sihat, cergas, berilmu, inovatif, kreatif, berjati
diri, berdaya saing, progresif dan mempunyai nilai-nilai
murni.

10. Dasar Perpaduan Negara pula diambil kira kerana dasar ini
merupakan payung yang melakarkan usaha berterusan
bagi memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan
dalam kalangan rakyat. Konsep perpaduan dalam
kepelbagaian digunakan untuk melestarikan keharmonian
masyarakat majmuk di negara ini. Yang terbaharu, Dasar
Pendidikan Digital yang baru dilancarkan, bermatlamat
menyediakan generasi fasih digital, meningkatkan
kompetensi dan pembangunan profesionalisme serta
merapatkan jurang digital. Dasar ini membawa kepada
pengintegrasian teknologi digital dalam pendidikan.

11. Dalam konteks teori pembelajaran, kurikulum yang


dibangunkan turut mengambil kira pelbagai teori seperti
teori konstruktivisme, behaviorisme dan humanistik, prinsip
perkembangan kognitif dan prinsip pembelajaran
kanak-kanak bagi memastikan penggubalan kurikulum
memenuhi keperluan semua murid dan tiada murid yang
tertinggal. Prinsip perkembangan kognitif ini perlu dalam
menentukan fokus, kandungan kurikulum dan tahap
persekolahan.

12. Enam aspirasi murid yang dihasratkan dalam Pelan


Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,
iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran
memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian
serta identiti nasional akan diteruskan dan diperkasakan.
Hal ini penting kerana kurikulum persekolahan haruslah
berupaya menyediakan murid yang memiliki keyakinan diri,
rasa ingin tahu, mempunyai daya imaginasi, berdaya tahan,
boleh mengurus risiko dan berupaya mengatasi cabaran
kehidupan.

Hadirin sekalian,

13. Kita menyedari bahawa pencapaian Malaysia dalam


pentaksiran antarabangsa Trends in International
Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme
for International Students Assessment (PISA) masih belum
mencapai kedudukan sepertiga teratas sebagaimana yang
dihasratkan dalam PPPM 2013-2025. Di samping itu, KPM
juga telah meneliti Laporan Bank Dunia yang menunjukkan
masih terdapat kemiskinan pembelajaran dalam kalangan
murid yang perlu diberikan perhatian, khususnya ketika
baru bangkit setelah berhadapan dengan pandemik
COVID-19. Maka, kurikulum baharu perlu memfokuskan
kembali kepada kemahiran asas literasi membaca,
menulis dan mengira (3M) agar kemiskinan
pembelajaran ini dapat dikurangkan.

14. Dalam pada itu, KPM telah dan sedang melaksanakan


pelbagai inisiatif seperti Program Literasi dan Numerasi
(PLaN), Modul Bimbingan (MOBIM) dan Program STEM
Executive Consultation (STEMEC) bagi menangani
kesenjangan pembelajaran. Kesenjangan pembelajaran ini
adalah isu kita bersama dan perlu ditangani dengan cara
berbeza dan lebih kreatif untuk mendapatkan impak yang
lebih ketara.

15. Isu alam sekitar sering dibincangkan pada peringkat


nasional dan antarabangsa yang menyentuh pembangunan
lestari misalnya melalui persidangan UNESCO dan ASEAN
Working Group on Environmental Education. Kesemua
persidangan tersebut merumuskan bahawa terdapat
keperluan untuk setiap negara memainkan peranan dan
bertanggungjawab menangani isu berkaitan alam sekitar.
Hal ini juga adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan
Mampan (SDG) yang disarankan oleh UNESCO.

16. Seterusnya, dasar Malaysia MADANI yang dicetuskan oleh


YAB Perdana Menteri menuntut perhatian terhadap 6 rukun
yang menjadi nilai teras atau tonggaknya, iaitu
kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat,
berkeyakinan dan ihsan. Hal ini juga selari dengan 7 Teras
Nadi Keunggulan KPM yang telah kita jadikan pegangan
selama setahun, iaitu Teras 2 yang memberikan penekanan
kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan
adab, akhlak dan integriti.

SARANAN - TINJAUAN PELAKSANAAN KURIKULUM 2027

Hadirin yang dihormati,

17. Baru-baru ini, KPM ada melaksanakan juga Tinjauan


Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 secara dalam
talian. Seramai 61,084 orang responden, telah memberikan
maklum balas. Daripada jumlah itu, 45.0% merupakan ibu
bapa atau penjaga dan 46.8% adalah dalam kalangan
pendidik. 65% responden adalah mereka yang berada di
bandar manakala 35% di luar bandar.

18. Antara saranan untuk kurikulum masa hadapan yang


dikemukakan ialah kurikulum yang dibangunkan perlu
memberikan fokus kepada kesihatan dan kesejahteraan
mental, meningkatkan kemahiran hidup, menekankan
isu alam sekitar dan kelestarian tanpa mengabaikan
pendidikan jasmani dan sukan. Responden juga
menyatakan harapan agar kurikulum perlu berupaya
memupuk semangat perpaduan, memupuk nilai-nilai
murni, menyokong perkembangan sosial dan emosi
serta mengambil kira keperluan kepelbagaian murid.
Dapatan tinjauan juga menunjukkan terdapat keperluan
untuk menambahkan unsur-unsur yang relevan untuk
memenuhi keperluan masa kini dan masa hadapan.
REKA BENTUK KURIKULUM

Tuan-puan sekalian,

19. Baik, sekarang saya akan membawa tuan-puan kepada


reka bentuk kurikulum 2027. Penerangan saya selepas
ini akan memperlihatkan perbezaan antara kurikulum
sedia ada dan kurikulum baharu kelak.

KURIKULUM BERASASKAN STANDARD -


BERORIENTASIKAN KOMPETENSI

20. Untuk makluman yang lain, Kurikulum yang sedang diguna


pakai pada masa ini adalah kurikulum berasaskan
standard, kita namakan sebagai Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah
Menengah (KSSM). Kurikulum ini menetapkan sasaran
yang harus dicapai oleh murid dalam pengetahuan,
kemahiran dan nilai tertentu dan tahap tertentu.

21. Namun, trend kurikulum bagi negara seperti Singapura,


Finland, Perancis, Kanada, dan Amerika Syarikat adalah
berfokuskan kepada kompetensi bagi memenuhi keperluan
dan tuntutan perubahan kehidupan. Kurikulum
berorientasikan kompetensi ini menekankan keberhasilan
proses pembelajaran yang holistik dan membolehkan murid
mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan sikap
berasaskan standard yang telah ditetapkan. Kurikulum
berorientasikan kompetensi menggalakkan
pembelajaran aktif murid, menyediakan pengalaman
pembelajaran dan penilaian yang lebih autentik serta
bermakna. Kurikulum ini juga dapat memenuhi keperluan
industri dan meningkatkan kebolehpasaran murid. Fokus
utama adalah kepada proses pembelajaran yang
membekalkan pengalaman pembelajaran (dan kehidupan);
bukan semata-mata kepada keputusan di akhir.

22. Justeru, Kurikulum Persekolahan 2027 akan


menggabungkan kedua-dua pendekatan ini dalam
pembangunan bagi melahirkan murid yang berpengetahuan
dan kompeten serta mencapai keseimbangan yang
optimum dalam memberikan pendidikan yang berkualiti.

MATLAMAT KURIKULUM - INSAN SEJAHTERA

23. Kedua, sukacita saya umumkan bahawa Kurikulum


Persekolahan 2027 direka bentuk dengan
bermatlamatkan melahirkan Insan Sejahtera yang:
a. mengamalkan kehidupan seimbang dalam segala
aspek;
b. sentiasa membudayakan pembelajaran sepanjang
hayat;
c. menghargai perpaduan dan keharmonian kaum serta
menghormati kepelbagaian;
d. menjadi warganegara yang beradab dan
bertanggungjawab; dan
e. berdaya saing pada peringkat global.

24. Konsep Insan Sejahtera ini juga menekankan kepada


keupayaan murid dalam membangunkan hubungan sosial
yang sihat dalam lingkungan kehidupan mereka, serta
menekankan soal keterangkuman kepada semua pihak,
iaitu tidak ada pihak yang akan terpinggir atau ketinggalan.
Hal ini bermakna murid selain arus perdana seperti kaum
minoriti, murid kawasan pedalaman, murid berkeperluan
pendidikan khas dan murid pintar cerdas turut diberikan
peluang yang sama rata dalam mencapai matlamat insan
sejahtera.

TUJUH DOMAIN KURIKULUM

25. Ketiga, Reka bentuk Kurikulum Persekolahan 2027


terdiri daripada tujuh domain yang disampaikan melalui
kandungan, pedagogi dan pentaksiran. Tujuh domain ini
saling berkait bagi melahirkan insan sejahtera yang
mengamalkan kehidupan seimbang dalam segala aspek
kehidupan, iaitu domain:
a. Perkembangan Diri;
b. Komunikasi;
c. Tanggungjawab;
d. Fasih Digital;
e. Literasi Pelbagai;
f. Kemahiran Berfikir; dan
g. Pembelajaran Sepanjang Hayat.

26. Domain ini juga telah mengambil kira semua elemen


merentas kurikulum dan enam tunjang dalam kerangka
KSSR dan KSSM. Fokus pembelajaran dan pembentukan
karakter dalam pelbagai disiplin ilmu akan disesuaikan
dengan setiap tahap bermula daripada tahap prasekolah
sehinggalah ke tahap pendidikan menengah atas yang
melibatkan murid tingkatan empat dan tingkatan lima.

PRASEKOLAH

27. Kurikulum prasekolah akan dibangunkan dengan memberi


fokus untuk melahirkan murid yang mempunyai kebolehan
berkomunikasi dan bersosialisasi dengan yakin serta
memiliki sifat kasih sayang, berdaya tahan, mampu
menyelesaikan masalah dan berkeinginan untuk belajar.
Melalui kaedah bermain dan meneroka, murid memperoleh
pengalaman pembelajaran yang bermakna dan
menyeronokkan. Sebagai persediaan awal, murid akan
terus diberikan ruang untuk pembelajaran dalam medium
bahasa melayu dan bahasa inggeris.

PENDIDIKAN RENDAH - TAHAP I, II DAN III

28. Bagi memudahkan guru memberi fokus pembelajaran


sejajar dengan kematangan usia murid, maka tahap
persekolahan dan fokus kurikulum perlu disusun semula.
Untuk itu, pendidikan rendah akan dibahagikan kepada 3
tahap. Pembahagian ini merupakan suatu pendekatan
baharu bagi kejelasan fungsi fokus utama pembelajaran.

29. Pendidikan Rendah Tahap I akan melibatkan kumpulan


murid Tahun 1 dan Tahun 2. Fokus utama pembelajaran
ialah penguasaan literasi dan numerasi serta
pembangunan karakter. Murid akan melalui pengalaman
pembelajaran secara didik hibur agar mereka berminat
untuk mengikuti pembelajaran secara formal dan
bermotivasi untuk hadir ke sekolah. Intervensi awal akan
dilaksanakan bagi memastikan murid menguasai
kemahiran literasi dan numerasi.

30. Pendidikan Rendah Tahap II pula melibatkan kumpulan


murid Tahun 3 dan Tahun 4. Fokus utama pembelajaran
adalah kepada penguasaan kemahiran mengaplikasi
pengetahuan untuk menyelesaikan masalah serta
pembangunan karakter. Pembelajaran pada tahap ini
boleh diperluaskan kepada perkara yang lebih mencabar
dan memerlukan rangsangan kognitif yang lebih tinggi.
Murid di tahap ini berpeluang untuk mempelajari dan
meneroka elemen TVET seperti Kemahiran Hidup,
Teknologi dan Digital lebih awal.

31. Pendidikan Rendah Tahap III pula akan melibatkan


kumpulan murid Tahun 5 dan Tahun 6. Fokus utama
pembelajaran ialah penguasaan kemahiran
menganalisis dan menghasilkan inovasi. Pembelajaran
juga berfokus kepada peningkatan keupayaan kognitif
dan pembangunan karakter. Tahap ini merupakan
persediaan ke sekolah menengah.

PENDIDIKAN MENENGAH

32. Pendidikan Menengah Rendah melibatkan murid


Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Murid diberi peluang
meneroka pelbagai bidang ilmu dan didorong
mengenali minat dan potensi diri termasuk
perkembangan bakat dan pembentukan karakter. Fokus
pembelajaran murid diperluaskan kepada disiplin ilmu yang
baharu sebagai persediaan pembelajaran pada peringkat
menengah atas.

33. Pendidikan Menengah Atas melibatkan murid


Tingkatan 4 dan 5. Murid disediakan dengan laluan
bidang yang ingin diceburi ke peringkat pengajian
tinggi dan dipersiapkan untuk menjadi sebahagian
daripada masyarakat. Fokus pembelajaran dan
pembentukan karakter dalam pelbagai disiplin ilmu akan
lebih mendalam dan meluas. Murid juga diperkenalkan
dengan pengalaman bekerja melalui perantisan.
PENDIDIKAN KARAKTER

34. Pembentukan karakter yang dihasratkan adalah


berteraskan kepada prinsip Rukun Negara dan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan ini bertujuan untuk
membentuk individu yang dapat menyumbang kepada
pembentukan negara Malaysia yang sejahtera melalui
kurikulum yang terancang dan berstruktur. Pendidikan
karakter ini memberi penekanan kepada pembangunan diri
murid yang berdaya tahan, tangkas, memiliki kesedaran
sivik yang tinggi, dan mempunyai growth mindset atau
mentaliti pertumbuhan.

35. Maka, untuk kurikulum 2027 ini, sukacita saya maklumkan,


kita memilih pendekatan yang lebih segar, iaitu Pendidikan
karakter ini akan dilaksanakan sebagai satu slot masa
yang khusus dan berfokuskan kepada pembelajaran
sosioemosi secara amali bermula dari Prasekolah sehingga
ke peringkat Menengah Atas. Malah, untuk memberikan
makna kepada kehidupan sebagai warganegara yang
bertanggungjawab, pendidikan karakter juga akan
diterapkan dalam konteks pembinaan karakter bangsa
Malaysia.

LITERASI 3M

36. KPM juga komited dalam memastikan murid menguasai


literasi asas membaca, menulis dan mengira (3M) seawal
yang mungkin bagi membolehkan mereka bersedia
mengikuti pembelajaran pada tahap seterusnya. Kegagalan
untuk menguasai kemahiran asas ini akan mengekang
murid daripada merealisasikan potensi mereka. Intervensi
awal akan diberikan bagi membantu murid yang
menghadapi masalah menguasai kemahiran literasi dan
numerasi sebelum murid berpindah ke tahap II dan
tahap III.

KELAS PEMBELAJARAN BERSEPADU

37. Untuk memberikan makna bagi menjelmakan


pendidikan bersepadu dalam pengalaman
persekolahan, satu slot khusus akan diperuntukan bagi
Kelas Pembelajaran Bersepadu yang juga akan
diperkenalkan bermula di sekolah rendah. Kelas
Pembelajaran Bersepadu ini merupakan satu pendekatan
pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan isi
kandungan dan kemahiran dari pelbagai disiplin ilmu. Murid
akan belajar mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan
nilai dalam satu pengalaman pembelajaran yang holistik,
bermakna, relevan dan berhubung kait dengan dunia
sebenar. Maka, Pentaksiran akan dilaksanakan secara
berterusan sebagai sebahagian daripada proses
pengajaran dan pembelajaran. Slot pembelajaran ini akan
dimasukkan dalam jadual waktu bagi membolehkan
pelaksanaan yang lebih terstruktur dan lebih berkesan.

PENTAKSIRAN

38. Bagaimana pula dengan pentaksiran? Kurikulum


Persekolahan 2027 akan memperkasa pelaksanaan
pentaksiran bilik darjah. Pentaksiran Bilik Darjah bertujuan
untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dan
bagaimana pengajaran dan pembelajaran diubah suai bagi
meningkatkan tahap penguasaan murid. Guru akan menilai
proses pembelajaran yang dilalui oleh murid secara holistik
bagi membantu murid meningkatkan keupayaan dan
potensi mereka dalam tugasan yang diberi. Tumpuan tidak
lagi diberikan kepada hasil tugasan semata. Dengan cara
ini, proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih
fleksibel, menyeronokkan dan bermakna bagi guru dan
murid.

GARIS MASA

39. Kurikulum Persekolahan 2027 akan dilaksanakan secara


berperingkat-peringkat, dimulai dengan Tahun 1 dan
Tingkatan 1 pada tahun 2027. Bagi murid prasekolah,
kurikulum kebangsaan yang baharu akan diperkenalkan
bermula pada tahun 2026.

PENUTUP

Sidang hadirin yang saya hormati sekalian,

40. Jadi, apa selanjutnya? Sebagaimana yang telah saya


ungkapkan di awal bicara tadi, pembangunan kurikulum
merupakan usaha kita bersama. Semua pihak mempunyai
peranan masing-masing yang signifikan dalam menyokong
pembangunan dan pelaksanaan kurikulum. Keberhasilan
kurikulum memerlukan kolaborasi dan kesefahaman
bersama bagi mencapai tujuan pendidikan yang bersifat
holistik dan relevan dan seterusnya memenuhi keperluan
masyarakat dan negara.

41. Apa yang saya kongsikan sebentar tadi hanyalah kerangka


besar kepada kurikulum 2027, dan ini merupakan langkah
awal kepada pencetus gerak kerja yang lebih besar.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, mulai hari ini,
elemen-elemen dalam kurikulum baharu ini akan
dibincangkan, dibahaskan, diperincikan, dan diulaskan
secara tuntas melalui Program Jelajah Pendidikan Masa
Hadapan dan sesi libat urus yang bersasar dalam masa
terdekat. Kita masih mengharapkan pandangan, cadangan
serta buah fikiran tuan puan untuk kita bersama-sama
mencorakkan kurikulum persekolahan kali ini. Kurikulum ini
#kurikulumkita.

42. Seiring kaki waktu yang semakin menjejak perbatasan akhir


tahun 2023, saya harap semangat dan resolusi yang kita
telah tekadkan, akan terus menyala dan menyuluhi
sepanjang perjalanan kita dalam usaha memastikan
pendidikan negara terus berada di mercu kegemilangan
untuk tahun ini dan tahun-tahun yang mendatang.

43. Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan dan


ucapan terima kasih sekali lagi kepada semua pihak yang
memberikan sumbang saran, pandangan dan pengalaman
dalam usaha memastikan kurikulum yang dibangunkan
bukan sahaja berkualiti, tetapi juga mencerminkan aspirasi,
keperluan dan harapan masyarakat kita dalam memacu
hala tuju pendidikan yang dinamik dan terus cemerlang
setanding dengan pendidikan antarabangsa. Bak kata
pepatah, “Jika pengayuh sayang dibasahkan, sampan
takkan sampai ke seberang”, “it takes a village to raise a
child”.

Sekian, wabillahitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum WBT.

- TAMAT -

Kementerian Pendidikan Malaysia


6 Disember 2023

Anda mungkin juga menyukai