Anda di halaman 1dari 5

Sertai kami

Kes Buli di Sekolah: Faktor, Kesan dan Cara Tangani


Hampir setiap orang mengalami trauma dalam tempoh usia hayat mereka.

Akan tetapi, trauma yang dialami pada zaman kanak-kanak boleh meninggalkan

kesan yang sukar dibaik pulih. Keperitan yang dialami sewaktu usia rentan boleh

berkekalan hingga menghantui kehidupan dewasanya. Maka, memahami kesan

jangka panjang trauma boleh mengubah keadaan.

Justeru, perkara terbaik yang boleh dilakukan selaku orang dewasa yang

menjaga kanak-kanak adalah mendapatkan ilmu dan kemahiran keibubapaan atau

pendidikan bagi mengasuh dan mengurus mereka dengan cara terbaik,

berbekalkan sabar dan kasih sayang. Apabila perkembangan mental dan fizikal

kanak-kanak difahami secara baik, mudah bagi golongan dewasa mengurus mereka

dengan lapang dada. Terpenting, anak-anak dapat tumbuh besar dengan lebih

sempurna dan gembira.

Kes buli memberikan kesan serius terhadap mangsa, pembuli dan saksi

yang mengetahuinya. Oleh itu, perbuatan ini sepatutnya mendapat perhatian dan

intervensi dari awal sebelum melarat.

Perbuatan membuli dikaitkan dengan niat untuk menyakiti secara mental

atau fizikal secara berulang dan mahu menampakkan kuasa. Tindakan ini boleh

terjadi secara depan-depan atau tersembunyi seperti dalam talian melalui media

sosial menyebabkannya lebih sukar disedari.

Jangan dibiar berpanjangan


Membiarkan buli berpanjangan dengan tanggapan keadaan akan beransur

pulih boleh mengakibatkan kesan yang sebaliknya. Masalah sering kali bertambah

kritikal apabila dibiarkan tanpa tindakan berkesan sehingga boleh membawa

kepada tragedi yang tidak boleh dilupakan. Oleh sebab itu, membiarkan kegiatan

buli boleh jadi sesuatu yang membahayakan. Sebagaimana luka yang tertampak

dirawati dengan ubat, begitu juga luka mental yang tersembunyi tetap harus

mendapat perhatian yang sama.

Kanak-kanak yang dianggap lemah biasanya menghadapi risiko yang lebih

tinggi untuk dibuli. Mereka ini selalunya adalah kanak-kanak daripada komuniti

terpinggir, keluarga miskin, dilihat lain dan berbeza, serta kanak-kanak kurang

upaya.

Menyaksikan anak melalui mengalami kesakitan fizikal dan emosi akibat

buli boleh meruntun jiwa. Segelintir ibu bapa tidak pasti harus bermula dari mana

untuk melindungi anak mereka daripada buli dan kesakitan.

Bagi kanak-kanak yang membuli, tindakan mereka salah, namun adalah

penting untuk beringat bahawa mereka tidaklah jahat. Kita masih ada peluang

untuk memulihkan kelakuan mereka agar kelakuan negatif ini tidak terbawa

hingga dewasa. Oleh yang demikian, penting agar mereka diberikan bimbingan,

sentuhan dan panduan agar kelak mampu menjadi ejen perubahan dalam

masyarakat pula.

Tindakan negatif tersebut berkemungkinan boleh terjadi disebabkan

beberapa faktor di sekeliling. Didapati kanak-kanak yang sering membuli

kebiasaannya hanya mahu menyesuaikan diri, memerlukan perhatian atau caranya

bertindak balas menangani emosi yang rumit.


Dalam sesetengah kes, pembuli sendiri adalah mangsa atau saksi kepada

keganasan di rumah atau dalam komuniti mereka.

Hakikatnya, walaupun usia mereka telah menginjak umur remaja, namun

perkembangan otak mereka masih membangun dan kurang kemampuan untuk

berfikir secara matang seperti selayaknya orang dewasa.

Mengapa perlu intervensi?

Ketahuilah, kes buli merupakan perbuatan yang mampu mendatangkan

impak sepanjang hidup dan penting untuk ditangani semasa di peringkat awal.

Penyelesaiannya menjadi lebih rumit dan sukar sekiranya tiada intervensi

awal dilakukan. Sudah terjadi begitu banyak kes buli dalam kalangan kanak-kanak

dan remaja yang mengakibatkan tekanan yang teruk sehingga akhirnya membawa

kepada penyakit mental.

Dalam sesetengah keadaan, tekanan yang dihadapi mangsa tidak berjaya

dikesan di peringkat awal sehingga mendorong kepada suatu peristiwa di luar

jangkaan. Ini terjadi kerana mangsa buli sering memendam perasaan, apatah lagi

jika tiada tindakan diambil terhadap pembuli.

Perasaan yang tidak terluah atau disantuni dengan baik menyebabkan

mangsa mungkin bertindak di luar batas kemanusiaan dan di luar kawalan. Maka,

ibu bapa harus ambil cakna anak yang mendakwa dibuli dan tidak memaksa anak

bertahan dalam situasinya.

Selain membuat aduan kepada pihak sekolah dan pihak polis, ibu bapa

harus membawa kes buli ke meja perbincangan dan bertindak memindahkan anak

ke sekolah lain jika perbuatan buli berterusan dan tiada tindakan efektif diambil.

Mengalah tidak semestinya kalah sekiranya boleh mengelakkan kemudaratan yang


lebih besar. Sekali gus, ini menjadikan peranan guru sekolah sangat penting

dalam memantau aktiviti buli daripada berterusan.

Mewujudkan persekitaran sekolah yang positif, penggunaan bahasa

komunikasi yang positif dalam kalangan guru dan pelajar boleh membantu

mengurangkan tekanan pembelajaran dan masalah yang dialami.

Pentadbiran sekolah seharusnya memandang berat perbuatan buli dan

mengambil tindakan tegas terhadap pembuli. Mewajibkan sesi kaunseling kepada

pembuli merupakan salah satu langkah berkesan yang boleh dibuat selain

tindakan disiplin.

Semua harus berperanan

Sudah terlalu lama kanak-kanak dihidangkan dengan kekerasan dan

keganasan sehingga menjadi suapan harian daripada persekitaran termasuk

media sosial. Jenayah terhadap kanak-kanak oleh pelaku orang dewasa juga

sangat serius di negara ini.

Namun, keadaan ini boleh berubah sekiranya semua pihak bersatu dan

bertekad untuk menghentikannya seterusnya bersama dan bergerak memimpin

perubahan dalam masyarakat demi masa depan generasi yang lebih baik.

Perbincangan tentang kesan buli harus digalakkan dari masa ke masa supaya isu

ini dapat diatasi secara menyeluruh.

Advokasi secara berterusan harus dilakukan dengan mesej menolak

kekerasan dan keganasan dan bersama kita bekerja untuk menoktahkannya. Kita

semua berperanan tanpa kecuali, bermula daripada sifat terbuka dan kesediaan

untuk membaik pulih keadaan.


Sekiranya golongan dewasa menghadapi kesulitan menangani hal ini, maka

tentunya ia lebih sukar bagi kanak-kanak. Oleh sebab itu, golongan dewasa harus

bertindak dahulu melangkah ke hadapan, memimpin melalui teladan.

Anak-anak mesti diberitahu dan mempercayai bahawa apa sahaja tindakan

buli yang terjadi, mereka ada ruang selamat untuk merujuk dan bersedia untuk

mendengar dan menyokong mereka. Kebiasaannya kanak-kanak sukar

menyuarakan kesukaran atau bahaya yang dialami mereka. Kitalah sebagai orang

dewasa yang harus menjadi suara itu.

Anda mungkin juga menyukai