Anda di halaman 1dari 16

FAKULTI PENDIDIKAN

DIPLOMA PENDIDIKAN LEPASAN IJAZAH


SEMESTER 1 2023/2024

KOD DAN SUBJEK


GGGD 5022: SEKOLAH DAN MASYARAKAT

TUGASAN INDIVIDU
ISU PONTENG SEKOLAH DALAM KALANGAN PELAJAR

DISEDIAKAN UNTUK
DR JOHDI SALLEH

DISEDIAKAN OLEH
AMIRAH ZULAIKHA KAMARUZAMAN (P136244)
1.0 PENGENALAN

Sekolah merupakan sebuah tempat untuk mengajar dan belajar. Sekolah merupakan tempat
menimba ilmu kedua selepas pembelajaran di rumah. Sekolah juga didefinisikan sebagai
tempat untuk memberi dan menerima pendidikan formal. Sekolah dianggap sebagai pusat
menimba ilmu khususnya kepada kanak-kanak iaitu bermula dari peringkat pra sekolah,
sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya ke peringkat pengajian tinggi. Setiap
kategori dikenali dengan nama-nama yang berlainan seperti Pra Sekolah untuk kanak-kanak
yang berusia 5 dan 6 tahun, Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Rendah bagi peringkat usia 7
hingga 12 tahun, Sekolah Menengah bagi peringkat usia 13 hingga 19 tahun manakala
Universiti, Maktab dan sebagainya adalah pusat-pusat pengajian tinggi. Di sekolah terdapat
guru yang telah dilatih dengan baik untuk mengajar pelajar. Namun begitu, tidak semua pelajar
suka untuk ke sekolah bagi menimba ilmu. Menurut Mat Daud (2021), masalah ponteng
sekolah semakin berleluasa dalam kalangan pelajar dan telah menjadi masalah disiplin yang
serius kerana masalah ini amat sukar untuk diatasi.

Ponteng merupakan satu perbuatan salah laku yang melanggar peraturan sekolah.
Ponteng adalah perbuatan tidak hadir ke sekolah pada hari persekolahan tanpa keizinan pihak
sekolah. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), ponteng didefinisikan sebagai tingkah
laku lari dari tanggungjawab atau kebenaran yang telah ditetapkan. Ponteng kelas
didefinisikan sebagai perbuatan keluar atau tidak berada di kelas tanpa kebenaran daripada
guru (Ramlah Jantan dan Mahani Razali, 2004). Sementara itu, Abdullah Sani Yahaya (2005)
pula menjelaskan bahawa gejala ponteng ini adalah merujuk kepada tindakan seorang pelajar
yang tidak mengikuti sesuatu pelajaran pada waktu sepatutnya pelajar itu wajib mengikutinya
di dalam bilik darjah. Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM), seramai 32,092 pelajar terlibat dalam gejala ponteng pada tahun 1993,
manakala seramai 80,937 pelajar terlibat dalam gejala ponteng pada tahun 1997. Hal ini
membuktikan bahawa masalah ponteng ini masih belum menemui jalan penyelesaian walaupun
sudah menjangkau tempoh 20 tahun malahan masalah ponteng sekolah ini semakin meningkat
saban tahun.
Terdapat 2 kategori ponteng sekolah iaitu ponteng sekolah secara berterusan dan
ponteng sekolah secara berkala. Ponteng sekolah secara berterusan adalah perbuatan
ketidakhadiran pelajar ke sekolah tanpa kebenaran secara berturut-turut dalam jangka masa
yang lama manakala ponteng sekolah secara berkala adalah perbuatan ketidakhadiran pelajar
ke sekolah tanpa kebenaran dalam jangka masa singkat dan berkemungkinan untuk berulang
(Mat Daud et al. 2021). Terdapat juga pendapat lain yang mengatakan 2 kategori ponteng ini
terbahagi kepada ponteng sekolah tanpa kebenaran dan ponteng sekolah dengan kebenaran.
Ponteng sekolah tanpa kebenaran ialah pelajar yang tidak hadir ke sekolah tanpa menyertakan
sebarang penyataan sama ada dalam bentuk bertulis ataupun lisan. Manakala ponteng sekolah
dengan kebenaran ialah pelajar yang tidak hadir ke sekolah atas sebab yang tidak dapat
dielakkan atau di luar bidang kawalan pelajar. Syaratnya adalah pelajar perlu memberitahu
pihak sekolah secara lisan ataupun bertulis tentang sebab ketidakhadiran ke sekolah.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah antaranya adalah
faktor keluarga, pengaruh rakan sebaya, persekitaran dan sebagainya. Ponteng sekolah ini
dapat memberikan kesan buruk atau kesan negatif kepada pelbagai pihak antaranya kepada ibu
bapa, sekolah, dan negara. Oleh itu, semua pihak haruslah melakukan pelbagai usaha bagi
mengatasi isu ponteng sekolah dalam kalangan pelajar masa kini.
2.0 Faktor-Faktor Ponteng Sekolah Dalam Kalangan Pelajar

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada berlakunya gejala ponteng sekolah dalam
kalangan pelajar. Faktor-faktor ini dibahagikan kepada 4 aspek iaitu faktor pengaruh rakan
sebaya, persekitaran, keluarga, dan sekolah.

2.1 Pengaruh Rakan Sebaya

Pengaruh rakan sebaya adalah salah satu punca pelajar ponteng sekolah. Rakan
sebaya menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) ialah sahabat yang sama
umurnya. Rakan sebaya juga ialah sahabat daripada lingkungan latar belakang yang
sama dan suka bersama dalam pelbagai aktiviti dan matlamat atau dalam kata lain
mempunyai minat yang sama. Rakan sebaya dapat mempengaruhi perwatakan
seseorang. Rakan sebaya yang baik akan membawa pengaruh yang baik kepada pelajar
manakala rakan sebaya yang jahat akan membawa pelajar kearah keburukan. Pelajar
adalah remaja yang sentiasa mempunyai sifat ingin mencuba pelbagai perkara bagi
mencari identiti diri mereka Oleh sebab itu, pelajar mudah terpengaruh dengan ajakan
rakan sebaya tanpa berfikir panjang. Contohnya, apabila rakan mengajak untuk ponteng
sekolah bagi mengelakkan diri daripada didenda oleh guru kerana mereka tidak
menyiapkan kerja sekolah. Oleh kerana takut tanpa berfikir panjang pelajar itupun
mengikut rakannya untuk ponteng. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa pengaruh
rakan sebaya dapat menjadi faktor untuk pelajar ponteng dari sekolah. Disebabkan itu,
ibu bapa perlulah mengambil cakna tentang dengan siapa anak mereka berkawan dan
sebagai pelajar pula mereka perlulah bijak dalam memilih rakan sebaya yang baik.

2.2 Persekitaran

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), persekitaran adalah kawasan di


sekeliling sesuatu tempat atau kawasan sekitar. Persekitaran yang baik atau kondusif di
sekolah adalah amat penting bagi seseorang pelajar. Persekitaran yang selesa, bersih,
cantik dan sebagainya dapat menarik pelajar untuk pergi ke sekolah. Namun, sekiranya
sekolah berada dalam persekitaran yang tidak baik seperti kotor, suasana yang suram
dan tidak selesa akan menjadikan murid malas untuk ke sekolah. Contohnya, bilik
darjah yang tidak ceria, kotor dan suram akan menghilangkan minat pelajar untuk ke
sekolah. Di samping itu, peralatan sekolah seperti meja dan kerusi yang tidak selesa,
patah dan sebagainya juga akan menyebabkan pelajar tidak selesa untuk belajar di
sekolah. Selain itu, faktor persekitaran dari segi terdapatnya kemudahan-kemudahan
hiburan di sekeliling kawasan sekolah seperti pusat membeli-belah, kafe siber, pusat
permainan video, pusat karaokae dan sebagainya juga dapat mendorong pelajar untuk
ponteng sekolah. Persekitaran seperti ini akan membuatkan pelajar kerap ponteng dari
sekolah kerana tertarik dengan pelbagai kemudahan hiburan disekeliling mereka.
Contohnya, mereka lebih memilih untuk merayau-rayau di pusat membeli-belah
bersama rakan sebaya mereka berbanding pergi ke sekolah.

2.3 Keluarga

Keluarga adalah satu kumpulan manusia yang dihubungkan melalui pertalian


darah, perkahwinan atau pengambilan anak angkat. Ibu bapa merupakan satu unit asas
dalam keluarga. Peranan ibu bapa adalah sangat penting dalam pembentukan keluarga
bahagia. Keruntuhan institusi kekeluargaan dapat memberikan impak yang besar
kepada anak-anak. Hal ini dibuktikan dengan kebanyakan pelajar yang terlibat dengan
gejala ponteng sekolah ini datangnya dari keluarga yang bermasalah. Contohnya,
pelajar yang datang dari ibu bapa yang sudah bercerai, sering bergaduh, kaki pukul,
kaki judi dan sebagainya lebih kerap ponteng sekolah kerana kebajikan mereka
diabaikan. Apabila anak-anak tidak diberikan perhatian dan kurang mendapatkan kasih
sayang secukupnya akan menyebabkan mereka memberontak dengan melakukan
perkara tidak baik dengan tujuan untuk menarik semula perhatian ibu bapa mereka.
Contohnya, pelajar melanggar peraturan sekolah seperti ponteng sekolah, merokok,
membuli, vandalisme dan sebagainya bagi menarik perhatian ibu bapa mereka. Selain
itu, ibu bapa yang terlalu sibuk dengan pekerjaan siang dan malam bagi mencari rezeki
juga dapat menyebabkan pelajar ponteng sekolah. Ibu bapa yang tidak sempat untuk
mengambil tahu tentang perbuatan anak mereka akan memberi ruang dan peluang
kepada anak-anak untuk ponteng sekolah. Anak-anak yang berasa sunyi kerana
ketiadaan ibu bapanya yang sering sibuk akan menyebabkan mereka mencari orang luar
untuk menghilangkan kesunyiannya. Oleh itu, pelajar akan ponteng sekolah untuk
berhibur dan mencari keseronokan di luar.
2.4 Sekolah

Sistem pengajaran dan pembelajaran yang kurang menarik di sekolah adalah


salah satu faktor pelajar ponteng sekolah. Proses pengajaran dan pembelajaran yang
membosankan mengakibatkan pelajar tidak berminat untuk ke sekolah. Hal ini
dikatakan demikian kerana, masih terdapat ramai guru yang menggunakan kaedah
pengajaran secara tradisional iaitu dengan menulis di papan putih. Kaedah ini
membuatkan pelajar sering mengantuk dan tidur di dalam kelas. Pelajar masa kini
memerlukan kaedah pengajaran baharu yang dapat menarik perhatian mereka seperti
penggunaan video, rakaman suara, dan sebagainya. Penggunaan aplikasi kuiz atas
talian seperti Kahoot, WordWall, Quizizz, Educandy dan sebagainya untuk pelajar
membuat latihan juga dapat menarik minat pelajar untuk ke sekolah. Selain daripada
faktor sistem pengajaran dan pembelajaran yang kurang menarik, faktor kawalan
disiplin yang longgar di sekolah juga dapat menjadi punca kepada pelajar ponteng
sekolah. Apabila guru disiplin dan pengawas tidak melaksanakan tugas dengan baik
maka ia akan memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk ponteng sekolah.
Hukuman dan denda yang lemah menyebabkan murid tidak serik dan tidak takut untuk
terus ponteng dari sekolah.
3.0 Kesan Ponteng Sekolah Dalam Kalangan Pelajar

Ponteng sekolah adalah satu perbuatan yang hanya akan merugikan pelajar. Ponteng sekolah
bukan hanya memberikan kesan kepada pelajar malah akan memberikan banyak kesan buruk
atau kesan negatif kepada pelbagai pihak. Antara kesan-kesan ponteng sekolah dalam kalangan
pelajar terbahagi kepada 4 aspek iaitu kesan kepada pelajar, ibu bapa, sekolah dan negara.

3.1 Individu/Pelajar

3.1.1 Masa Depan Tidak Terjamin

Pelajar yang kerap ponteng sekolah akan merosakkan masa depan mereka. Hal
ini dikatakan demikian kerana, pelajar yang kerap ponteng akan banyak ketinggalan
dalam pelajaran. Bayangkan dengan hanya satu hari sahaja pelajar ponteng sekolah
telah menyebabkan pelajar ketinggalan banyak perkara dalam setiap subjek.
Contohnya, dalam sehari terdapat 5 subjek yang diajar oleh guru. Sekiranya guru
mengajar bab baharu pada hari pelajar tersebut ponteng akan mengakibatkan mereka
ketinggalan dalam pelajaran. Apatah lagi bagi pelajar yang kerap dan berterusan
ponteng sekolah dalam jangka masa yang lama. Apabila pelajar ketinggalan dalam
pelajaran mereka akan gagal mendapatkan keputusan peperiksaan yang baik. Hal ini
akan menyebabkan mereka gagal untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih
tinggi seperti ke universiti, kolej, maktab dan sebagainya. Oleh itu, jelaslah ponteng
sekolah dapat merosakkan masa depan pelajar.

3.1.2 Dipandang Serong Oleh Masyarakat

Pelajar yang ponteng sekolah akan dipandang serong oleh masyarakat. Hal ini
dikatakan demikian kerana, masyarakat menganggap pelajar yang ponteng sekolah ini
adalah pelajar yang bermasalah dan tiada masa depan. Pelajar yang ponteng sekolah
akan dikutuk dan dihina kerana dianggap sebagai sampah masyarakat. Pelajar itu juga
akan dipandang rendah kerana melakukan perbuatan buruk dengan melanggar
peraturan sekolah. Oleh itu, jelaslah bahawa ponteng sekolah dapat menyebabkan
seseorang pelajar itu dipandang serong oleh masyarakat.
3.1.3 Pembaziran Masa Dan Tenaga

Pelajar yang ponteng sekolah akan membazirkan masa dan tenaga mereka.
Masa itu dikatakan emas kerana masa adalah sesuatu yang sangat penting dan berharga
kerana masa tidak dapat diganti dan diputarkan kembali. Pelajar yang ponteng sekolah
akan membazirkan masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral dan
tidak berfaedah sedangkan masa yang ada itu seharusnya digunakan dengan sebaik
mungkin untuk menjamin masa depan mereka pada masa akan datang. Tenaga yang
dibazirkan untuk bersuka-ria seharusnya digunakan untuk menimba ilmu pengetahuan.
Oleh itu, jelaslah ponteng sekolah menyebabkan masa dan tenaga pelajar terbazir begitu
saja.

3.1.4 Rekod Kehadiran Terjejas

Pelajar yang ponteng sekolah akan menjejaskan rekod kehadiran mereka ke


sekolah. Syarat wajib kehadiran pelajar ke sekolah adalah sebanyak 85% sekurang-
kurangnya. Sekiranya peratus kehadiran pelajar rendah maka berkemungkinan rekod
peribadi pelajar akan dicatatkan sebagai tidak cemerlang. Hal ini justeru akan
memberikan impak yang besar kepada masa depan pelajar. Contohnya, apabila pelajar
ingin memohon pekerjaan, majikan akan melihat rekod kehadiran pelajar dalam sijil
berhenti sekolah mereka. Sekiranya rekod pelajar kurang atau tidak cemerlang peluang
untuk mendapatkan pekerjaan tersebut adalah rendah. Hal ini dikatakan demikian
kerana, kehadiran adalah amat penting ketika bekerja. Majikan perlu memastikan
pekerjanya sentiasa bertanggungjawab untuk hadir bekerja. Jelaslah bahawa ponteng
sekolah dapat mengakibatkan rekod kehadiran pelajar terjejas.

3.2 Ibu bapa

Pelajar yang ponteng sekolah turut memberikan kesan kepada ibu bapa. Ibu
bapa akan dipandang serong oleh keluarga, jiran, rakan sekerja dan sebagainya kerana
anak mereka berperangai buruk. Ibu bapa akan dilabel tidak pandai mengajar anak oleh
masyarakat sekeliling. Hal ini dikatakan demikian kerana, ibu bapa adalah orang
pertama yang mencorak peribadi anak-anak. Oleh itu, apabila anak-anak melakukan
perbuatan yang tidak elok seperti ponteng sekolah, masyarakat sekeliling akan
menyalahkan ibu bapa yang tidak mendidik anak mereka dengan betul. Hal ini akan
menjatuhkan maruah ibu bapa yang sebenarnya sudah mendidik anak mereka dengan
baik. Ibu bapa akan malu untuk berhadapan dengan ahli keluarga yang lain, jiran, rakan
sekerja dan sebagainya. Perkara ini juga akan membuatkan ibu bapa tertekan dengan
sikap anak mereka yang sukar dibimbing. Jelaslah ibu bapa turut terjejas dengan sikap
anak-anak yang gemar ponteng sekolah.

3.3 Sekolah

Antara kesan gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar terhadap sekolah
adalah akan mencemarkan nama baik sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana,
pelajar yang ponteng dari sekolah selalunya akan memakai seragam sekolah yang
membawa nama sekolah seperti pada lencana sekolah, baju kokurikulum, baju sukan
sekolah, baju batik sekolah dan sebagainya. Nama baik sekolah akan lebih tercemar
apabila pelajar-pelajar yang ponteng ini melakukan kes-kes jenayah sehingga
melibatkan pihak polis dan sebagainya. Dengan ini, masyarakat sekeliling akan
memandang serong kepada sekolah tersebut. Apabila imej sekolah sudah terjejas maka
ibu bapa tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah tersebut kerana menganggap
sekolah tersebut tidak bagus untuk anak-anak mereka. Selain itu, prestasi sekolah turut
terjejas disebabkan oleh pelajar-pelajar yang ponteng sekolah. Hal ini dikatakan
demikian kerana, apabila pelajar ponteng sekolah mereka akan banyak ketinggalan
dalam pembelajaran sehingga menyebabkan keputusan peperiksaan mereka teruk dan
merosot. Keputusan peperiksaan segelintir pelajar yang merosot akan menyebabkan
peratus kecemerlangan menurun. Oleh itu, prestasi sekolah akan terjejas akibat pelajar
yang kerap ponteng sekolah. Jelaslah sekolah turut terjejas dengan tindakan pelajar
yang ponteng sekolah.

3.4 Negara

Negara turut mendapat kesan akibat gejala ponteng sekolah dalam kalangan
pelajar. Antaranya, meningkatkan kadar pengangguran dalam negara. Apabila pelajar
tidak berjaya mendapatkan keputusan peperiksaan dengan cemerlang akibat sering
ponteng sekolah maka mereka akan sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Jadi ramai
antara mereka yang menjadi penganggur kerana tidak mempunyai kelayakan untuk
bekerja dalam negara apatah lagi di luar negara. Di samping itu, dengan meningkatnya
kadar pengangguran secara tidak langsung akan meningkatkan jumlah kes-kes jenayah
dalam negara. Antaranya seperti merompak, merogol, membunuh, pemerdagangan
manusia, dadah, dan sebagainya. Walaupun pada dasarnya hanyalah perbuatan ponteng
sekolah dalam kalangan pelajar sahaja namun impaknya adalah sangat
membimbangkan apabila pelajar tersebut dewasa nanti. Nama baik negara turut
tercemar sekaligus menghalang negara daripada terus maju. Oleh itu, isu ponteng
sekolah dalam kalangan pelajar ini tidak boleh dipandang remeh kerana impaknya
sangat besar kepada negara.
4.0 Langkah-langkah Untuk Mengatasi Isu Ponteng Sekolah Dalam Kalangan
Pelajar

Isu ponteng sekolah dalam kalangan pelajar adalah sangat sukar untuk diatasi secara
menyeluruh. Hal ini dikatakan demikian kerana, banyak pihak yang perlu memainkan peranan
bagi membanteras gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar. Antara pihak-pihak yang
berperanan untuk mengatasi isu ponteng sekolah dalam kalangan pelajar adalah pihak individu,
ibu bapa, sekolah, dan kerajaan.

4.1 Individu/Pelajar

Antara langkah untuk mengatasi isu ponteng sekolah ini adalah melalui sikap
individu atau pelajar itu sendiri. Pelajar haruslah cekal dan mempunyai semangat jati
diri yang tinggi dalam menimba ilmu. Apabila seseorang pelajar sudah menanam azam
yang tinggi untuk cemerlang dalam pelajaran mereka dapat fokus untuk belajar dan
tidak akan terjebak dalam kesalahan salah laku seperti ponteng sekolah. Pelajar
haruslah bijak dalam membezakan nilai positif atau nilai negatif untuk mereka lakukan.
Hal ini dikatakan demikian kerana, pelajar yang dapat membezakan perkara baik dan
buruk dapat mengelakkan mereka daripada terpengaruh dengan rakan sebaya yang
tidak baik. Apabila mereka bijak dalam memilih rakan sebaya, mereka dapat menuju
ke arah kebaikan dan lebih bersemangat untuk belajar. Pelajar juga harus sedar bahawa
pelajaran sangatlah penting untuk masa depan mereka. Kini, untuk mendapatkan
sesuatu pekerjaan bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini dikatakan demikian kerana,
terlalu ramai pelajar yang bijak sehingga menyebabkan berlakunya persaingan yang
sengit untuk mendapatkan pekerjaan. Kelulusan akademik yang cemerlang menjadi
penanda ukur ketika ingin mendapatkan pekerjaan. Oleh itu, sekiranya pelajar tidak
mengambil serius tentang pelajaran masa depan mereka akan terjejas. Selain itu, sikap
pelajar yang malas juga perlu dibuang demi masa depan mereka. Walaupun peranan
semua pihak penting namun sekiranya sikap pelajar itu sendiri tidak diubah maka isu
ponteng ini masih akan berlanjutan. Oleh itu, pentingnya bagi seseorang pelajar itu
untuk mengubah sikap mereka sendiri.
4.2 Ibu Bapa

Peranan ibu bapa adalah sangat penting dalam membanteras gejala ponteng
sekolah ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, anak-anak dilahirkan bagai kain putih
yang bersih dan ibu bapa adalah orang pertama yang mencorak mereka. Ibu bapa
haruslah mengajar serta menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak sejak kecil.
Ibu bapa perlulah menyemai sifat berdisiplin, berbudi pekerti, berakhlak mulia dan
patuh kepada ajaran agama kepada anak-anak sejak kecil lagi. Dengan itu, anak-anak
akan membesar dengan baik dan tidak akan terpengaruh dengan aktiviti-aktiviti sosial
yang boleh merosakkan masa depan mereka seperti merokok, membuli, ponteng
sekolah dan sebagainya. Selain itu, ibu bapa juga haruslah mencurahkan kasih sayang
sepenuhnya kepada anak-anak. Walaupun sibuk dengan pekerjaan, ibu bapa perlulah
sentiasa memberikan perhatian kepada anak-anak. Sekiranya anak-anak tidak mendapat
kasih sayang dan perhatian secukupnya mereka akan memberontak dan akan
melakukan perkara tidak elok bagi menarik perhatian ibu bapa mereka. Ibu bapa juga
perlulah sentiasa mengambil tahu dan prihatin dengan hal anak-anak di sekolah.
Contohnya, menghubungi guru kelas untuk bertanyakan keadaan anak di sekolah serta
memastikan anak mereka benar-benar pergi ke sekolah. Hal ini dikatakan demikian
kerana, anak-anak tidak akan menceritakan perbuatan buruk yang mereka lakukan di
sekolah kepada ibu bapa kerana takut akan dimarahi. Jadi apabila ibu bapa sentiasa
berhubung dengan guru mereka dapat mengetahui masalah anak-anak mereka di
sekolah. Dengan ini, pelajar akan takut untuk ponteng dari sekolah kerana risau akan
diketahui oleh ibu bapanya. Jelaslah ibu bapa berperanan penting dalam membanteras
gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar.

4.3 Sekolah

Pihak sekolah ataupun guru adalah individu yang memainkan peranan yang
sangat penting bagi menangani isu ponteng sekolah dalam kalangan pelajar. Antara
punca pelajar ponteng sekolah adalah kerana suasana sekolah yang membosankan.
Pelajar lebih memilih untuk pergi berhibur ke pusat-pusat hiburan seperti kafe siber,
pusat membeli-belah dan sebagainya daripada ke sekolah. Antara langkah yang boleh
diambil oleh pihak sekolah adalah dengan menceriakan kawasan sekolah serta bilik
darjah supaya pelajar bersemangat untuk ke sekolah. Pihak sekolah boleh
menggunakan dana yang diberikan oleh pihak kerajaan atau meminta sumbangan
daripada ibu bapa bagi menceriakan kawasan sekolah. Contohnya, memastikan
perpustakaan kemas dengan buku yang tersusun, ceria dengan pelbagai hiasan, sejuk,
selesa, bersih dan sebagainya supaya murid suka untuk ke perpustakaan bagi membaca
buku. Pihak sekolah juga boleh menyediakan satu ruang untuk pelajar-pelajar bersantai
bersama rakan-rakan pada waktu rehat. Contohnya, menyediakan satu ruang yang
mempunyai banyak permainan seperti uno, catur, monopoli, jengga dan sebagai nya
untuk pelajar. Dengan ini, pelajar lebih bersemangat ke sekolah kerana bukan hanya
menimba ilmu tetapi turut dapat bermain bersama rakan pada waktu rehat. Selain itu,
pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan pengajaran dan pembelajaran yang
dijalankan dapat menarik perhatian dan minat pelajar. Pendekatan dan strategi
pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti perlu dipelbagaikan dan diperbaharui untuk
menjana perkembangan kognitif pelajar. Guru boleh memperbanyakkan penggunaan
bahan bantu mengajar yang kreatif dan menarik ketika mengajar. Selain itu, guru juga
boleh mengadakan pelbagai aktiviti menarik seperti perkhemahan, lawatan sambil
belajar, sukan dan sebagainya bagi menarik minat pelajar untuk ke sekolah. Pihak
sekolah juga perlu giat mengadakan kempen kesedaran tentang kesan buruk sekiranya
pelajar ponteng sekolah. Kempen ini boleh dilakukan di sekolah atau di media massa
supaya pelajar sedar akan kesan buruk akibat ponteng sekolah. Kemudian, pihak
sekolah juga boleh mengetatkan lagi peraturan sekolah. Contohnya, dengan
menghubungi ibu bapa untuk hadir ke sekolah sekiranya pelajar ponteng. Hal ini akan
membuat pelajar lebih takut untuk ponteng kerana risau dimarahi ibu bapa mereka.
Jelaslah bahawa banyak langkah yang boleh dilakukan oleh guru atau pihak sekolah
bagi membanteras gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar.

4.4 Kerajaan

Antara langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan atau Pihak Kementerian
Pendidikan adalah dengan memberikan dana atau peruntukan yang cukup kepada guru
atau pihak sekolah supaya mereka dapat menaiktaraf sekolah dari segi fasiliti,
persekitaran sekolah dan sebagainya. Dengan adanya bantuan kewangan yang cukup
daripada kerajaan guru juga dapat lebih kreatif dan inovatif dalam menjalankan proses
pengajaran dan pembelajaran. Di samping bantuan kewangan, kerajaan juga boleh
mengurangkan bebanan kerja guru di sekolah supaya guru dapat fokus untuk mengajar.
Kini, bebanan tugas guru sangat banyak sehingga guru terlalu sibuk dan tidak dapat
memberikan perhatian sepenuhnya untuk membimbing pelajar dan menyebabkan
pelajar hanyut dengan masalah mereka. Contoh bebanan kerja guru adalah seperti
mengurus kegiatan kokurikulum dan kurikulum pelajar, mengurus buku rekod dan
laporan pelajar, mengurus pentadbiran sekolah, mengurus fail dan data, dan sebagainya.
Selain itu, kerajaan atau pihak kementerian boleh menubuhkan satu pasukan khas yang
ditugaskan untuk menangkap pelajar-pelajar yang ponteng sekolah. Mereka juga boleh
bekerjasama dengan pihak polis bagi membanteras gejala ini. Hal ini dikatakan
demikian kerana, pelajar yang ponteng dari sekolah kebanyakannya terlibat dengan
kes-kes jenayah seperti meragut, mencuri, merogol dan sebagainya. Oleh itu, masalah
ini dapat dibanteras dengan lebih awal sebelum menjadi semakin teruk. Selain itu,
kerajaan juga boleh mengadakan kempen kesedaran secara besar-besaran di semua
tempat bagi memberikan kesedaran bukan sahaja kepada pelajar malah kepada ibu bapa
tentang kesan buruk sekiranya anak mereka ponteng sekolah.
5.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, isu ponteng sekolah dalam kalangan pelajar adalah satu isu yang
sangat penting untuk diulas. Berdasarkan beberapa faktor dan kesan ponteng sekolah dalam
kalangan pelajar yang telah dikemukakan dapat dilihat bahawa semua pihak haruslah bersama-
sama berganding bahu dalam membanteras gejala ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, isu
ponteng sekolah semakin hari semakin menular dalam kalangan pelajar. Walaupun agak sukar
untuk menanganinya namun semua pihak haruslah tidak berputus asa dalam membanteras isu
ini. Impak yang akan diterima oleh seluruh masyarakat adalah sangat besar sekiranya perkara
ini tidak dipandang serius oleh semua pihak. Masa depan negara turut terjejas apabila gejala
ponteng sekolah ini berlarutan kerana pelajar adalah orang yang akan mencorakkan masa depan
negara. Mereka adalah orang yang bakal memegang peranan penting dalam politik, ekonomi,
dan kemasyarakatan di negara kita. Jadi ayuh kita bersama-sama memerangi isu ponteng
sekolah dalam kalangan pelajar ini secara habis-habisan demi masa hadapan individu,
masyarakat dan negara.
Rujukan

Arsaythamby, V. & Ng, C. K. (2014). Jenis Amaran dan Faktor Ponteng Sekolah dalam

Kalangan Pelajar Sekolah Menengah di Sabah. Asia Pacific Journal of Educators and
Education, 29, 125–139

Azhar bin Hamzah (2003), “Faktor, Aktiviti Dan Kesan Ponteng Sekolah Terhadap Akhlak

Pelajar Di Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Tanah Merah, Kelantan.” Universiti


Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda.

Azizi, Y. & Rosnah, B. (2007). Punca Berlakunya Masalah Gejala Gengsterisme Di Kalangan

Remaja Di Beberapa Buah Sekolah Menengah Di Empat Buah Negeri. Universiti


Teknologi Malaysia:Tesis Sarjana Pendidikan.

Berita Harian, 20 Jun 2019, Kuala Lumpur: Malaysia.

Muhammed Sharif, M. & Suria, A. J. (2012). Mengenal Pasti Puncapunca Ponteng Di

Kalangan Pelajar Sekolah Rendah: Satu Kajian Kes. Journal of Educational


Psychology & Counseling, 6, 50-73

Nosiah, A. W. (2014). Faktor-faktor yang mempengaruhi masalah ponteng di Sekolah

Menengah Daerah Segamat. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Pendidikan.

Sinar Harian, 22 April 2022, Kuala Lumpur: Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai