Anda di halaman 1dari 11

 

LIBERALISME: DI ANTARA
KEBEBASAN DAN
KEBABASAN
OLEH:
DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN
PARTI ISLAM SEMALAYSIA

Akhir-akhir ini kalangan anti Islam atau nama


glamornya kumpulan liberal, menunjukkan
kesombongan mereka menentang Syariat Allah,
sehingga dalam urusan perkara wajib, halal dan haram
dengan menolaknya bagi memuaskan nafsu semata-
mata, berpandukan slogan kebebasan atau liberalisme
tanpa perhitungan akal manusia yang waras. Namun
merasakan diri mereka sangat bijak.
Segala bahasa daripada semua bangsa yang berakal
waras dalam dunia
menafsirkan kebebasan
itu adalah boleh
melakukan apa sahaja
mengikut sempadan
naluri masing-masing
dengan selamat. Apabila
terkeluar daripadanya menjadikan tidak selamat yang
disebut sebagai terbabas dan terjerumus kepada
kemusnahan, bukan lagi kebebasan yang asalnya
bermaksud positif.
Kita lihat binatang tanpa akal melakukan aktiviti
kehidupan secara fitrah (naluri) mengikut kebebasan
dalam had sempadan naluri dan sifat
kebinatangannya. Haiwan air hidup di atas konsep
kebebasan dengan tidak melompat ke daratan untuk
hidup, begitu juga haiwan daratan tidak terjun untuk
hidup di dalam
air.
Apabila boleh
hidup di dua
alam, maka
sifatnya sangat
jelek.
Binatang yang hidup dalam air terlompat ke darat dan
mati atau yang di darat terhumbam ke dalam air dan
mati, ini disebut binatang itu sudah terbabas daripada
kawasannya. Oleh kerana makhluk itu tidak berakal,
maka peraturan pilihan secara akal tidak diwajibkan
kepadanya.
Adapun manusia yang berakal, ada undang-undang
naluri yang sama tanpa mengira bangsa dan
agamanya. Namun ditambah dengan peraturan agama
dan undang-undang serta hukum yang berkait dengan
akal dan fitrah serta naluri bagi mengawal supaya
tidak terkeluar daripada sempadan naluri dan
merosakkan sifat kemanusiaannya dari segi individu
dan bermasyarakat.
Dalam fitrah yang sama di antara lelaki dan wanita,
ada hukum dan undang-undangnya sama seperti
hukum halal dan haram dalam perkara makan dan
minum. Tetapi dalam naluri dan peranannya yang
berbeza, maka hukumnya juga berbeza, seperti hukum
yang berkait dengan pusaka dan aurat yang berbeza di
antara lelaki dan wanita.
Selain itu, perkara urusan penjagaan anak di antara
ibu dan bapa, ada perkara yang sama dan ada peranan
yang berbeza. Ini menunjukkan ada hukum yang sama
dan ada hukum yang berbeza.
Kadang-kadang terdapat kemampuan yang berbeza,
maka hukumnya juga berbeza, kerana haram
membebankan seorang itu dengan sesuatu yang di
luar kemampuan sifat nalurinya atau kemampuan
lahiriahnya. Ini kerana setiap individu mempunyai
tahap tenaga yang berbeza, maka tidak seharusnya di
atas konsep persamaan diletakkan bebanan yang sama
berat kepada yang tidak berkemampuan.
Allah S.W.T yang menciptakan seluruh alam dan
makhluk manusia adalah Tuhan yang Maha
Mengetahui, lagi bersifat Rahmat, Bijaksana dan Adil
terhadap hamba-Nya. Walaupun Allah itu Maha
Kuasa, namun Allah menetapkan sempadan kepada
makhluk manusia yang baligh (berusia matang) dan
berakal dengan menetapkan Hukum Syariat yang
menjadi sempadan bagi kebaikan mereka semua.
Adapun mereka yang tidak matang dan tidak berakal
yang disebut sebagai tidak mukallaf dikecualikan
daripada hukuman apabila melakukan kesalahan.
Kewajipan mereka
dibebankan kepada penjaga
di kalangan keluarga dan
masyarakat.
Dalam undang-undang
ciptaan manusia yang bijak juga ada sempadan bagi
perjalanan hidup individu dan bermasyarakat yang
boleh menggunakan akal mengikut kemampuan
kebijaksanaannya.
Contohnya undang-undang jalanraya bagi mengawal
keselamatan, pemandu yang berlesen bebas memandu
tetapi mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.
Oleh itu, jika berlaku kemalangan disebabkan
terbabas, maka bukannya kerana memandu dengan
bebas.
Begitu juga ada had kadar muatan dan tanggungan
yang berbeza yang tidak boleh disamakan, maka ada
undang-undang bertindak ke atas muatan yang lebih
daripada kadarnya. Kalau diizinkan di atas nama
kebebasan dan persamaan, maka banyak jalan dan
kenderaan yang rosak, bahkan menempah
kemalangan bagi manusia.
Arak diharamkan oleh semua agama yang ada kitab
petunjuk, khususnya Al-Quran. Pengharaman ini
merupakan sempadan bagi memelihara kemuliaan
akal dan kesihatan jasad. Semua kajian yang matang
menunjukkan itulah hikmahnya. Walaupun tidak
boleh menganggu penganut agama lain yang
menghalalkan arak, tetapi sempadan hidup
bermasyarakat hendaklah dihormati, kerana boleh
menimbulkan
mudarat yang lebih
besar kepada
masyarakat umum.
Konsep kebebasan
beragama bukan
bermaksud bebas mengamalkan apa sahaja yang
dibenarkan tanpa mengira sensitiviti pihak lain
sehingga menyebabkan ketegangan yang
menghilangkan keharmonian dalam masyarakat
majmuk. Menjaga kepentingan umum hendaklah
diutamakan, maka wajib dilarang pesta arak supaya
tidak terbabas sehingga merosakkan hubungan
bermasyarakat majmuk yang lebih besar mudaratnya
kalau dibiarkan. Syariat Islam menamakannya Feqah
Muwazanat.
Ada perkara yang dikawal dengan lesen seperti arak
bagi menetapkan sempadan kepada penagihnya sahaja
mengikut agama dalam konsep kebebasan beragama.
Tetapi apabila mahu disebarkan kepada umum dengan
menganjurkan pesta yang terbuka dan untuk
mengheret pihak lain kepadanya, maka sudah
terbabas daripada sempadan.
Ada perkara haram wajib ditutup rapat, sehingga tidak
boleh dilesenkan sekali-kali, yang bertepatan dengan
hukum agama dan fitrah, seperti mencuri, merompak
dan menyamun. Maka tidak ada negara dalam dunia
mengeluarkan lesen mencuri, merompak dan
menyamun di atas konsep kebebasan yang salah.
Di sana banyak maksiat yang diharamkan oleh semua
agama dan hukum akal, seperti berjudi, bebas berzina,
berliwat dan sebagainya. Maka kita tidak boleh
mengikut dan terikut dengan negara-negara yang
sudah terbabas daripada hukum semua agama, naluri
dan akal, sehingga melesenkannya.
Ternyata dengan terang lagi bersuluh bahawa tidak
boleh melampaui batas dalam semua perkara,
termasuk dalam urusan agama dan perkara lain dalam
segala urusan kehidupan manusia, kerana boleh
menyebabkan kemusnahan diri dan masyarakat. Maka
tidak boleh diizinkan kalangan pelampau yang
memainkan slogan di atas nama kebebasan, kerana
pengertiannya salah dari segi bahasa, agama dan
budaya. Tegasnya adalah kerana mereka terbabas
daripada sempadan kehidupan manusia dan itu bukan
kebebasan yang sebenarnya.
Islam bukan sahaja mengharamkan pelampau
individu, bahkan juga mengharamkan negara yang
menggunakan senjata pemusnah terhadap manusia
dan alam sekitar. Walaupun di atas nama jihad, ianya
diluar takrif jihad yang sebenarnya sangat murni dan
mulia.
Apabila sudah membunuh orang awam yang tidak
berdosa, atau pun menyasarkan serangan di tempat
maksiat yang diharamkan oleh agama Islam, tindakan
itu sebenarnya melampaui sempadan agama yang
berkonsepkan wasatiyah (kesederhanaan), keadilan
dan hikmah. Tegasnya, mencegah kemungkaran juga
diharamkan sekiranya mencetuskan kemungkaran
yang lebih besar dan lebih parah mudaratnya.
Kita wajib memahami dengan akal yang betul
terhadap perbezaan di antara hak kebebasan manusia
dan makhluk yang bermasyakat madani dengan
kebebasan binatang di rimba belantara dan tidak
bermasyarakat madani. Namun, malangnya ada
manusia yang berkonsepkan haiwan yang tidak
berakal, seperti dinyatakan oleh firman Allah:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka


Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia yang
mempunyai hati (akal) tetapi tidak mahu memahami
dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai
mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti
keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi)
tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan
nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan
mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang
yang lalai.” (Surah Al-Aaraf: 179)
Terpulang kepada masing-masing, sama ada memilih
kebebasan tanpa sempadan, atau mengikut sempadan
kejadiannya yang ditetapkan oleh Tuhan Pencipta
alam, masyarakat dan alam sekitar. Adalah salah
berdasarkan perhitungan agama dan akal yang waras
menganggap bahawa yang terbabas melanggar
sempadan itu adalah kebebasan mengikut tafsirannya.
Lebih malang kalau sehingga tidak percaya pula
adanya keputusan bagi manusia selepas kematian
kerana tidak percaya kepada Allah dan melawan
Tuhan yang menciptakannya dan alam seluruhnya.
Binatang juga ada sempadan tabiinya. Maka tidak ada
undang-undang yang adil boleh mengizinkan binatang
dan manusia yang
berlagak seperti binatang
itu melakukan sebebasnya
di atas nama kebebasan
sehingga merosakkan
makhluk yang lain di
sekelilingnya. Tuhan
Pencipta berhak menghukum sesiapa sahaja yang
melawan ciptaannya.
Allah Pencipta Alam yang Maha Bijaksana dan Maha
Adil terhadap makhluknya, terus membuka pintu
taubat seluas-luasnya, dengan sifat Maha Pengampun
lagi Maha Penyayang. Hanya kalangan manusia yang
tidak sayang kepada dirinya sendiri sehingga terbabas
dalam cara hidup yang menyebabkan kecelakaan di
dunia dan menderita di akhirat.
“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG


Presiden PAS
Bertarikh: 6 Muharram 1439 / 27 September 2017
 

Anda mungkin juga menyukai