Anda di halaman 1dari 8

Sajak Keindahan Yang Hilang Shamsuddin Jaafar I Sayup-sayup undan tua berlagu hiba terbang beriring di rembang petang

g renik-renik mengirai bulu carik melayang satu-satu berbaur debu lesu berapungan di air lalu. Daun-daun menghijau alangkah segar kemilau danau disinar mentari kali tenang betapa lembut mengalir ke muara kedamaian melingkar rimba lalu tumpah kasih nan jernih erat bertaut cinta kasih. Malam hiba dadanya ungu luka pungguk tersedu pilu di atas batu bulan tiada lagi mendandan wajah bintang malam pudar sinarnya. II Orang bicara bulan bintang di makmal pada buku, data dan komputer lalu bulan dan cakerawala bisa diteroka bisa kembara di planet dan angkasa. Undan patah sayap gugur bulunya bertaburan Suara siapa parau mendera di malam lara Kali tenang tiba-tiba airnya bengis melanda Kepada siapa anak-anak kota desa berhutang nyawa? III Bulan kini bukan menara kasih jernih bintang-bintang bukan lagi saksi sumpah kekasih.

ULASAN SAJAK: KEINDAHAN YANG HILANG (SHAMSUDDIN JAAFAR) 1. MAKSUD: Rangkap 1: digambarkan burung undan tua berada dalam keadaan yang tidak bermaya kerana tubuhnya dicemari debu dan bulu-bulu carik. Rangkap 2: dilukiskan pula tentang keindahan alam semula jadi yang dapat menimbulkan kedamaian dan kasih sayang. Rangkap 3: digambarkan pula burung pungguk yang menanti kehadiran bulan dan bintang. Rangkap 4: kemajuan yang dicapai oleh sains dan teknologi, manusia kini menganalisis bulan melalui komputer, buku dan data-data yang dikumpul, sehingga manusia dapat menguasai angkasa luas dan meneroka bulan yang selama ini tidak pernah terimpikan. Rangkap 5: penyair memaparkan segala macam kesan daripada penerokaan hutan sehingga menerbitkan pelbagai pencemaran termasuk kejadian yang meragut nyawa manusia yang tidak bersalah. Rangkap 6: disimpulkan bahawa fungsi alam seperti bulan dan bintang yang asal ialah sebagai simbol kasih sayang tetapi kini telah hilang. 2.TEMA: - Kemusnahan keindahan alam semula jadi akibat daripada kemajuan sains dan teknologi. 3. PERSOALAN: a. Persoalan menekan kepada dua kesan: i. ketika alam sentiasa dapat dinikmati ii. selepas alam telah musnah. timbul keresahan, terharu, kebimbangan kerana manusia sentiasa mencari kemegahan, kekuasaan dan keagungan melalui teknologi moden. 4. MESEJ: a. alam semula jadi perlu dijaga. keindahan tidak hilang dan musnah. b. manusia perlu mengekalkan keindahan yang sedia ada. c. jangan terlalu mengejar kemajuan teknologi tanpa mengambil kira kesan yang akan dihadapi pada masa akan datang. 5. LATAR: - awal tahun 70-an - masyarakat Malaysia mula menerima kemajuan dari pertanian ke perindusterian. - kemusnahan berlaku kerana kerakusan manusia meneroka hutan. - masyarakat yang kian moden. - manusia mula angkuh.

- mereka mula memahami pelbagai fenomena. - mereka tidak menyanjung sunsur alam tapi mereka mendabik dada bahawa merekalah yang telah menguasai alam sebenarnya. 6. INTUISI: Rasa kecewa dan sedih penyair terhadap kemusnahan alam sekitar. Penyair sedih kerana keindahan alam yang dipuja selama ini sudah musnah kerana kerakusan manusia mengejar kemajuan teknologi moden. Selain menyesali sikap manusia yang semakin rakus meneroka alam tanpa memperdulikan kesan kepada makhluk lain. 7. PERANAN/FUNGSI: Sajak ini membawa peranan sosial. Penyair menyampaikan sajaknya melalui perasaannya tentang keindahan alam yang semakin terhakis akibat mengejar pembangunan. Perkara ini menjelaskan bahawa alam sekitar perlu dijaga agar kekal dengan keindahan dan fungsinya. 8. NADA: - melankolik. 9. BENTUK. - bebas 10. GAYA BAHASA: a. Personifikasi malam hiba dadanya ungu luka - kali tenang tiba-tiba airnya bengis melanda b. metafora punguk tersedu pilu di atas batu bulan kini bukan lagi menara kasih jernih c. Asonansi d. Aliterasi. Ulasan Sajak Keindahan Yang Hilang - Shamsuddin Jaafar oleh ADIBAH AMIN Apakah nada Bahagian I rangkap pertama? ( Nadanya sayu dan tidak bermaya. Mengapa anda berkata demikian? Lagu undan itu hiba, iaitu sedih atau sayu. Tua membayangkan keadaan uzur; mungkin undan itu berlagu kali akhir sebelum mati. Bulunya carik, tidak lagi teguh melekat pada badannya, gugur ke bumi. Bulu itu melayang bercampur dengan debu di udara, lambang pencemaran. Lesu menunjukkan kehilangan tenaga hidup. Diksi (kata-kata) tersebut membawa nada sayu dan tidak bermaya.

Nyatakan sumbangan unsur bunyi dan gaya bahasa terhadap nada ini: Ulangan vokal u dalam rangkap ini menyumbang terhadap nada sayu. Dalam baris pertama terdapat asonansi vokal u; hampir setiap kata mempunyai vokal itu: sayap-sayup, undan, tua, berlagu. Dalam baris keempat dan kelima terdapat rima dalaman yang menekankan lagi bunyi u, iaitu satu-satu dengan debu, lesu dengan lalu, serta rima hujung iaitu debu dengan lalu. Aliterasi lesu dengan lalu menarik perhatian terhadap kata-kata yang membawa erti tidak bermaya dan membayangkan peredaran. Gaya bahasa personifikasi memberi sifat manusia, iaitu lesu kepada bulu yang berapungan dan menambah kesan kehilangan tenaga. Bagaimana pula nada Bahagian I, rangkap kedua? Rangkap ini bernada segar, riang, damai dan mesra. Sokong jawapan anda. Dari segi diksi iaitu kata-kata, nada segar dicipta dengan menghijau dan segar; nada riang dengan kemilau dan disinar; nada damai dengan tenang, lembut dan kedamaian; nada mesra dengan kasih, erat, bertaut dan cinta. Dari segi unsur bunyi, aliterasi daun-daun dalam baris pertama, danau disinar dalam baris kedua dan mengalir muara dalam baris ketiga memusatkan perhatian pembaca terhadap bahagian-bahagian alam yang segar, riang dan damai. Rima dalaman iaitu kasih dengan jernih dalam baris kelima, juga rima hujung iaitu jernih dalam baris kelima dengan kasih dalam baris keenam menekankan kasih sayang sejati dan menyumbang terhadap nada mesra. Dari segi gaya bahasa, metafora tumpah kasih nan jernih menguatkan lagi nada mesra tersebut; begitu juga ulangan perkataan kasih. Komen tentang nada rangkap ketiga, Bahagian I. Rangkap ini bernada sayu. Dari segi diksi, kata-kata yang membina nada ini ialah hiba, luka, tersedu, pilu dan pudar. Dari segi gaya bahasa, penggunaan mitos pungguk dan bulan pula menambah kesan nada ini: dulu, sekurang-kurangnya pungguk masih dapat menatap wajah jelita kekasihnya bulan walaupun dari jauh, tetapi kini bulan tidak menjaga kecantikannya lagi. Pungguk, bulan dan malam diberi sifat manusia iaitu tersedu pilu, mendandan wajah dan hiba; penggunaan gaya bahasa personifikasi ini mendalamkan lagi kesayuan nada. Hiba merupakan ulangan kata dari rangkap pertama; penggunaan ulangan ini mengukuhkan nada sayu dalam keduadua rangkap tersebut. Dari segi unsur bunyi, aliterasi iaitu pungguk pilu menarik perhatian terhadap pungguk yang kini lebih sedih daripada dulu. Rima dalaman iaitu pilu dengan batu menekankan bunyi u yang sayu.

Nada apakah terdapat dalam Bahagian II, rangkap pertama? Nada di sini dingin, memendam perasaan. Penyajak menyatakan betapa cakerawala dikaji dan dijelajah akibat kemajuan sains dan teknologi. Perasaan yang dipendam ialah nostalgia terhadap misteri dan keindahan yang hilang kerana manusia hanya mementingkan sains. Dari segi diksi, nada dingin dibina dengan kata-kata makmal, buku, data, komputer, diteroka dan planet. Dari segi unsur bunyi, aliterasi bicara bulan bintang menekankan betapa bulan bintang dibincangkan secara sains, dan tidak lagi ditatap keindahannya. Beri ulasan anda tentang nada Bahagian II, rangkap kedua. Rangkap ini membawa nada ganas, ketika alam mengamuk membalas perbuatan manusia mencemarkannya. Dari segi diksi, kata-kata yang mencipta nada ganas ialah parau, mendera, bengis, melanda dan berhutang nyawa. Dari segi gaya bahasa, personifikasi airnya bengis melanda menguatkan kesan nada ganas; begitu juga metafora berhutang nyawa. Dari segi unsur bunyi, aliterasi suara siapa dan mendera malam memusatkan perhatian terhadap kata-kata yang membayangkan ancaman keganasan dari pihak yang tidak diketahui, kemudian tiba-tiba disedari ialah alam yang membalas dendam. Aliterasi tenang tiba-tiba menitikberatkan perubahan mendadak yang berlaku pada sungai, daripada tenang tiba-tiba menjadi bengis, iaitu ganas. Terangkan nada Bahagian III. Bahagian III yang terdiri daripada satu rangkap sahaja mempunyai nada sayu penuh nostalgia. Penyajak sedih dan merindui masa silam ketika bulan dihubungkan dengan cinta murni sepasang kekasih yang berikrar setia sehidup semati bersaksikan bintang. Penyajak menyesali hilangnya sikap manusia yang mengaitkan keindahan dan kasih sayang dengan alam. Dari segi diksi, nada sayu penuh nostalgia dicipta dengan kata-kata bukan lagi. Dari segi gaya bahasa, ulangan digunakan untuk menekankan bukan lagi. Personifikasi bintang-bintang bukan lagi saksi juga menarik perhatian terhadap perubahan sikap yang menyedihkan. Dari segi unsur bunyi, aliterasi bulan bukan dan bintang bukan menitikberatkan hilangnya peranan bulan dan bintang dalam kasih sayang. Pada pendapat anda, adakah penyajak menentang kemajuan sains dan teknologi? Pada pendapat saya, penyajak tidak menentang kemajuan sains dan teknologi. Yang ditentangnya ialah penumpuan terhadap sains dan teknologi sehingga mengabaikan serta merosakkan segala yang lain. Berbaur debu dalam Bahagian I, rangkap pertama, baris keempat membayangkan pencemaran udara. Bahagian I rangkap kedua menggambarkan kesegaran, keriangan, kedamaian dan kemesraan alam sebelum tercemar. Yang tersirat pada rangkap ketiga, Malam hiba dadanya ungu luka ialah segala ini telah dibinasakan dengan pencemaran serta penebangan hutan. Penyajak tidak menentang perbuatan mengkaji dan meneroka cakerawala tetapi bersedih kerana manusia

hanya menerima hasil kajian sains dan tidak lagi menikmati keindahah alam, hinggakan cinta pun tidak lagi dikaitkan dengannya. Penyajak menentang perbuatan mencemarkan serta merosakkan alam atas nama kemajuan sains dan teknologi. Beliau mengingatkan bahawa bencana seperti banjir yang banyak meragut nyawa sebahagiannya merupakan akibat perbuatan manusia yang tamak mengejar keuntungan melalui pembangunan tidak terkawal. Apakah tema sajak ini? Tema sajak ini ialah sikap manusia yang terlalu bertumpu pada sains dan teknologi sehingga tidak lagi menghargai keindahan alam atau menghubungkannya dengan kasih sayang, malah merosakkan serta mencemarkannya atas nama kemajuan, maka padahnya bencana alam yang dahsyat. Jelaskan beberapa persoalan sajak ini. (For persoalan, break up the tema into parts.) Salah satu persoalan sajak ini ialah keadaan alam yang layu, tidak bertenaga dan kian musnah akibat pencemaran serta pembinasaan yang dilakukan oleh manusia; ini dilambangkan dengan undan tua yang berlagu hiba sebelum mati, bulunya gugur dan kemudian sayapnya patah. Satu persoalan lagi ialah penumpuan yang keterlaluan terhadap sains dan teknologi hinggakan keindahan serta misteri bulan bintang tidak dirasakan lagi. Persoalan seterusnya ialah bencana alam seperti banjir yang secara mendadak meragut nyawa sebagai akibat perbuatan manusia merosakkan keseimbangan ekologi alam. Perubahan sikap manusia yang tidak lagi mengaitkan cinta dengan keindahan alam juga merupakan persoalan sajak ini. Bincangkan nilai dan pengajaran sajak ini. (Nilai and pengajaran have the same isi but different formats. Note the way to express them.) Salah satu nilai sajak ini ialah memelihara alam sekitar. Pengajarannya ialah kita harus menjaga alam semulajadi di sekeliling kita. Kita tidak harus mencemarkan alam seperti udara dan sungai, atau membinasakan alam seperti menebang hutan secara berleluasa. Satu nilai lagi ialah bergerak maju dalam sains dan teknologi tanpa mengetepikan keindahan alam. Pengajarannya ialah kita harus meninggikan pengetahuan serta prestasi kita dalam sains dan teknologi tetapi tidak pula mengikis penghargaan terhadap alam yang indah lagi penuh misteri. Mengkaji dan meneroka bulan bintang malah seluruh cakerawala itu memang baik; namun demikian, kita juga harus menikmati keindahan serta mengagumi kehebatan alam. Nilai selanjutnya ialah beringat-ingat tentang apa yang kita lakukan terhadap alam. Pengajarannya ialah kita tidak harus berbuat sekehendak hati terhadap alam tanpa memikirkan akibatnya. Perbuatan yang tidak menentu mengikut dorangan nafsu rakus merebut keuntungan akan menerima padah daripada alam itu sendiri.

Nilai lain ialah mengekalkan hubungan antara kasih sayang dengan keindahan alam. Pengajarannya ialah kita harus sedar bahawa kasih sayang antara manusia tetap murni jika dipelihara perkaitannya dengan rasa kagum akan keindahan alam ciptaan Tuhan. Sepasang kekasih yang bersumpah setia bersaksikan bintang merupakan lambang pasangan yang memelihara kesucian dan kesetiaan cinta mereka. Setakat manakah sajak ini berbentuk bebas? Dengan bebas dimaksudkan tidak terikat oleh peraturan tradisional seperti pantun dan syair. Dari segi bilangan baris serangkap, sajak ini bebas: 5, 6, 4, 4, 4 dan 2. Dari segi bilangan sukukata sebaris juga sajak ini tidak mengikut peraturan pantun dan syair iaitu 8-12 sukukata. Ada baris yang panjang, contohnya kali tenang betapa lembut ke muara yang mempunyai 16 sukukata, dan ada baris yang pendek, seperti erat bertaut cinta kasih dengan hanya 9 sukukata. Dari segi rima pula sajak ini tidak mematuhi peraturan seperti abab bagi pantun, aaaa bagi syair, atau aa bagi gurindam. Contohnya, Bahagian I rangkap pertama abcdd, rangkap kedua abccdd, rangkap ketiga abca dan seterusnya, tidak sekata. Nyatalah sajak ini sangat bebas bentuknya. Bincangkan perlambangan atau simbolisme yang digunakan dalam sajak ini. Perlambangan atau simbolisme digunakan dalam sajak ini untuk menyampaikan perutusan dengan lebih berkesan melalui deria, perasaan dan daya khayal pembaca. Salah satu lambang yang digunakan ialah undan. Undan tua berlagu hiba melambangkan keadaan alam yang hampir musnah, kerana undan menurut mitos berlagu sebelum mati. Bulunya yang gugur dan dikatakan lesu berapungan menjadi simbol kehilangan tenaga alam. Undan patah sayap merupakan lambang kebinasaan alam sekitar. Simbolisme ini mengharukan dan menyedarkan pembaca tentang perbuatan manusia merosakkan alam. Pungguk dan bulan diambil dari satu mitos lain untuk melambangkan keindahan yang hilang dan ditangisi oleh pencintanya. Menurut mitos ini, sepasang kekasih telah dipisahkan, si gadis menjadi bulan manakala si teruna dijelmakan sebagai pungguk. Zaman-berzaman pungguk menatap keindahan wajah bulan sambil mendayu. Pada zaman moden ini, bulan tidak mempertahankan kecantikannya lagi kerana gambar-gambar teleskop menunjukkan mukanya tidak licin, maka pungguk lebih sedih lagi daripada dahulu. Perlambangan ini berjaya memberi kesan hebat betapa pandangan berdasarkan fakta sains semata-mata dapat merosakkan nikmat menatap keindahan alam yang dicintai. Terangkan maksud ungkapan-ungkapan berikut: a) Melayang satu-satu berbaur debu b) Malam hiba dadanya ungu luka

c) Orang bicara bulan bintang di makmal d) Suara siapa parau mendera di malam lara e) Kepada siapa anak-anak kota desu berhutang nyawa? a) Bulu undan gugur sehelai demi sehelai bercampur dengan debu di udara, iaitu keindahan alam dirosakkan oleh pencemaran. b) Suasana malam dipenuhi kesedihan, seolah-olah malam itu sendiri menderita kepiluan dan tikaman kerana bulan tidak lagi dianggap indah. c) Bulan dan bintang dibincangkan dari segi kajian sains, tidak lagi dikagumi keindahannya, kehebatan serta misterinya. d) Dalam suasana yang sedih akibat kerosakan alam sekitar di tangan manusia, terdengar suara yang tidak dikenali penuh kemarahan, iaitu suara alam yang akan mengganas. e) Apakah dosa orang di bandar dan di kampung maka dibayar dengan kematian dalam bencana alam? Jawapannya tentu sekali dosa merosakkan alam sekitar.

Anda mungkin juga menyukai