Anda di halaman 1dari 12

Pengucapan Awam ialah satu bidang yang perlu dikuasai bukan sahaja oleh pimpinan masyarakat, organisasi, agensi-agensi

kerajaan dan swasta tetapi juga individu yang sentiasa berhadapan dengan orang ramai yang memerlukan ia berkomunikasi dengan lebih dari seorang. Pengucapan awam merupakan komunikasi berteraskan adanya penyampai mesej dan ada pihak yang menerima mesej. Ucapan juga membawa definisi sebagai idea, suara, pergerakan fizikal individu yang merangsang audien untuk mendengar serta yang boleh mempengaruhi pemikiran dan perasaan pendengar Wilson & Arnold Pengucapan awam merupakan pelahiran bahasa dengan penuh makna melalui komunikasi lisan (suara dan perkataan) dan bukan lisan (anggota tubuh perucap). Dilakukan dalam situasi yang terancang iaitu tempat, masa, dan isu yang disampaikan telah ditetapkan. Abdul Muati Ahmad (1994), dalam bukunya; Panduan Pengucapan Awam, menyatakan bahawa pengucapan umum menggunakan anggota komunikasi verbal dan bukan verbal. Ucapan melibatkan proses komunikasi yang disampaikan oleh individu secara oral kepada audien. Mesej ucapan boleh disampaikan secara terus atau langsung kepada audien secara bersemuka atau melalui media tertentu seperti radio, televisyen, internet, multimedia dan lain-lain. Proses ucapan terdiri daripada empat perkara utama iaitu perucap yakni individu yang bertanggungjawab meluahkan isi bicaranya di khalayak ramai dengan tujuan tertentu yang digelar sebagai pengucap. Selain itu bahan ucapan atau skrip juga amat penting dalam proses ucapan. Bahan ucapan atau skrip merupakan kandungan isi bicara yang diluahkan oleh perucap. Manakala audien memainkan peranan yang penting dalam proses ucapa. Audien yang juga dikenali sebagai sekumpulan manusia yang mendengar bicara dan seterusnya bertindak balas terhadap bicara tersebut. Proses ucapan yang terakhir ialah

persembahan atau gaya ucapan yang dipersembahkan oleh perucap serta situasi atau keadaan yang berlaku disekeliling ketika pengucapan awam berlangsung. Seorang pengucap yang baik perlu memiliki ciri-ciri tertentu seperti berpengetahuan. Pengucap yang berpengetahuan akan menguasai bidang topik atau tajuk ucapan yang akan disampaikan. Pengucap harus berpengtahuan luas dan sensitif pada topik yang disentuh. Selain itu pengucap juga perlu berkemahiran dalam berucap yakni berkeupayaan untuk mengawal dan menarik perhatian khalayak kepada ucapannya. Pengucap juga perlu mempunyai keyakinan tinggi terhadap dirinya dalam menyiapkan persediaan dan penguasaan topic yang bakal disampaikan. Audien akan menilai keperibadian dan perwatakan pengucap menjadikan hal ini merupakan antara ciri yang penting yang perlu ada pada seorang pengucap. Cara penampilan dan berpakaian pengucap perlulah bersesuaian dan menarik perhatian khalayak termasuklah cara berjalan, gerak-geri fizikal dan juga bahasa tubuh pengucap. Orang yang menyampaikan ucapan atau pengucap hendaklah memiliki kredibiliti, karisma, dan imej yang baik. Terdapat sepuluh komponen penting mengenai imej dan pendapat beberapa langkah untuk memaparkan imej. Ciri-ciri imej pengucap yang baik ialah kebolehpercayaan. Kebolehpercayaan merupakan suatu keupayaan untuk meningkatkan keyakinan. Perucap hendaklah berkeupayaan mempertahankan perkara yang dipercayai seperti yang cuba disampaikan kepada audien. Ciri seterusnya ialah kepakaran pengucap dirujukkan kepada pengetahuannya yang mendalam terhadap perkara yang diperkatakannya. Hal ini bererti pengucap harus mempunyai pengalaman serta menguasai bidangnya. Selain itu pengucap yang dinamik ialah pengucap yang aktif, bertenaga dan penuh minat tehadap perkara yang diperkata. Pengucap yang pasif ialah perucap yang tidak menguasai subjeknya,kurang bertenaga dan tidak tegas, kelihatan seolah-olah tidak mengambil berat terhadap subjek dan mesejnya. Ciri seterusnya ialah cirri ketetapan dirujuk kepada kemampuan perucap memegang pendapat dan kedudukannya dalam jangka masa tertentu.Ini bererti sekiranya terdapat faktor-faktor atau idea-idea baru yang lebih

meyakinkan bahawa pendapatnya sebelum ini salah atau kurang matang,perucap berkenaan seharusnya mampu menukar fikiran mereka. Bagaimanapun selagi pendapat atau pegangan asalnya boleh diterima perucap perlu tetap dengan pendiriannya. Seorang pengucap perlu memiliki sifat keramahan. Ini bererti perucap tidak boleh mengasingkan dirinya daripada audien. perucap harus menekankan persamaan di antara dirinya dengan audien. Sifat-sifat meyukai, mengambil berat, lemah lembut dan merendah diri dapat membantu meningkat krebidiliti keramahan. Perucap haruslah memastikan wujudnya pandangan khalayak bahawa mereka (perucap) itu jujur. Ini penting supaya tidak timbul rasa syak wasangka audien terhadap subjek atau perkara yang disampaikannya. Perucap juga haruslah memastikan wujudnya pandangan khalayak bahawa mereka (perucap) itu ikhlas. Ini penting untuk mempertingkat kredibiliti perucap pada persepsi audien. Apatah lagi apabila isu yang diperkata oleh perucap merupakan isu-isu yang kontroversial. Pengucap juga perlu mengambil perhatian terhadap mesej, Perucap hendaklah memastikan bahawa kenyataan dalam subjek atau perkara yang diperkatakannya bukan sahaja benar malah penting. Peranan perucap ialah untuk membuat persembahan yang meyakinkan. Perucap hendaklah bersungguh-sungguh menyampaikan subjek atau mesejnya supaya audien akan terdorong untuk berbuat yang sama. Perucap perlu menunjukkan bahawa mereka mengambil berat tentang kepentingan serta kebajikan audien. Ciri imej pengucap yang terakhir ialah perucap hendaklah berwajah menarik, berpakaian kemas serta mampu memperaga keramahan dan daya tarikannya. Di antara perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk mengekalkan, menjaga dan memperbaiki imej ialah pengenalan diri. Perucap hendaklah memperkenal diri atau meminta orang lain memperkenal anda. Cara ini boleh meningkatkan kesan kepercayaan audien terhadap anda. Selalunya pengenalan meliputi hal-hal yang berkaitan dengan kelayakan perucap atau berkaitan dengan subjek atau perkara yang hendak disampaikan. Perucap boleh mengenalkan diri sendiri dalam ucapan pembukaan bagi mendapatkan perhatian audien. Lakukan secara sederhana. Nyatakan sebab mengapa tajuk itu yang diucapkan. Perkara ini sering diabaikan, pengucap boleh menyatakan berucap kerana tugas, pengalaman dan seumpamanya. Proses ini boleh meningkatkan lagi, minat audien untuk

mendengar ucapan anda. Perucap tidak boleh kelihatan muram. Oleh itu anda hendaklah menunjukkan tingkahlaku yang boleh meyakinkan audien bahawa anda telah memberi tumpuan yang penuh terhadap tajuk yang diperkata. Perucap hendaklah memastikan audien anda merasakan bahawa anda terlibat dengan kedua-duanya iaitu tajuk dan audien. Oleh itu pastikan anda tidak kelihatan resah atau tidak berdedikasi. Pastikan anda memperaga sifat riang, bersungguh-sungguh dan dinamik. Sekiranya anda merasakan bahawa anda mengetahui sedikit sahaja mengenai tajuk, jangan sekali-sekali anda cepat mengakui akan keterbatasan pengetahuan anda. Oleh itu anda perlu positif dan hendaklah menekankan apa yang anda lebih maklum. Audien merupakan orang atau kumpulan orang yang akan mendengar sesuatu perucapan. Pengetahuan mengenai audien seperti latar belakang, kepercayaan, kedudukan sosial, pengetahuan, serta penglibatan mereka dalam topik sangat penting. Seseorang perucap perlulah menganalisis audiennya bagi menyesuaikan topik sangat penting, mesej dan bahasa serta gaya bahasa pengucapannya. Analisis audien juga boleh memberi gambaran umum tentang sifat-sifat dan sikap-sikap audien terhadap idea dan diri perucap. Antara analisis-analisis yang penting ialah seperti ciri-ciri demografi audien. Di antara maklumat-maklumat demografi yang perlu diketahui ialah umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, status politik dan pengaruh-pengaruh lain. Pengetahuan kepada ciri-ciri demografi membolehkan perucap membuat jangkaan terhadap tindak balas audien terhadap cadangan-cadangan yang dikemukakan dan membantu perucap memilih strategi yang paling berkesan. Sikap-sikap umum audien juga boleh memberi gambaran reaksi yang bakal ditonjolkan oleh audien terhadap idea, mesej, cadangan dan harapan perucap. Maklumat demografi boleh memberi gambaran reaksi yang bakal ditonjolkan oleh audien idea, mesej, cadangan dan harapan perucap. Maklumat demografi biasanya boleh memberi gambaran kepada perucap akan tanggapan audien terhadap perucap. Lebih-lebih lagi jika kalangan audien merupakan kenalan perucap. Penentuan bahan-bahan perucapan melibatkan proses-proses memilih topik, penyelidikan tajuk, merangka dan menyusun tajuk ,menyusun idea, merangka ucapan dan sebagai.

Kesemua pekara tersebut merupakan proses menyusun ucapan. Proses ini membolehkan perucap meneliti dan membatas idea-idea serta menentukan maklumat-maklumat yang ada itu sesuai atau tidak. Memilih tajuk merupakan langkah-langkah untuk mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diucapkan. Tajuk merupakan idea utama dalam pengucapan. Kesemua pemilihan tajuk sangat penting kepada perucap supaya mesej yang disampaikannya dapat dihayati oleh audien dengan berkesan. Pilihlah subjek yang telah biasa, diminati atau benar-benar dipercayai. Memilih topik yang baik yang dapat mengutus maklumat baru kepada audien serta sesuai dengan minat mereka dengan menggunakan kemudahan perpustakaan untuk membuat penyelidikan tentang tajuk atau membuat temu bual secara persendirian semasa menyelidik. Setelah memilih tajuk, perucap hendaklah menyusun penyampaiannya supaya dapat difahami oleh audien dengan berkesan. Di antara panduan yang boleh dituruti ialah menyusun ucapan bagi membolehkan anda menentukan maklumat yang penting. Tajuk hendaklah ditulis sebelum menyusun ucapan dan menjelaskan huraian tajuk sehingga menjadi rangka ucapan. Penggunakan ayat-ayat yang penuh semasa merangka teks ucapan membantu memmudahkan pencarian isi ketika berucap. Pastikan rangka ucapan adalah ringkas dan senang untuk diikuti. Bahan-bahan penyokong ialah bukti digunakan untuk mengukuhkan lagi hujah perucap. Bahan-bahan sokongan juga dapat menjelaskan idea-idea perucap. Alat bantuan tampak ialah apa-apa bentuk alat yang dilihat oleh audien untuk membantu perucap menyampaikan utusannya kepada audien. Alat bantuan tampak memudahkan perucap menyampaikan mesejnya kepada audien. Apa yang perlu diingatkan oleh perucap ialah alat yang digunakan itu hendaklah sesuai dengan audien dan sesuai dengan tajuk. Jenis-jenis alat bantuan tampak ialah gambar-gambar (foto atau lukisan), papan hitam atau papan putih, filem, audio (perakam pita dan rekod), maklumat edaran bertulis, pita video, graf, model, carta dan gambar rajah, dan lain-lain lagi. Terdapat dua aspek yang perlu diberikan perhatian semasa menyampaikan ucapan iaitu aspek lisan dan aspek bukan lisan. Untuk memenuhi keperluan ini perucap hendaklah

berkemampuan serta mahir dalam penggunaan bahasa seperti yang dijelaskan sebelum ini. Ini penting bagi menghasilkan maklumat yang berkesan serta ekspresif. Aspek lisan dalam penyampaian ucapan boleh diperjelas melalui penggunaan aspek-aspek bukan lisan seperti gerak badan iaitu tingkah laku fizikal yang merupakan sebahagian daripada perutusan mereka. Bagaimanapun perucap hendaklah memastikan tidak ada tingkah laku yang mengganggu penyampaian ucapannya seperti memegang barang yang tidak berkaitan, atau menggerakkan anggota badan tanpa tujuan tertentu. Sifat fisiologi iaitu bentuk fizikal perucap seperti bentuk tarikan keseluruhan, kebersihan diri ,badan rambut serta warna kulit. Pengucap perlu memastikan pemaparan yang sesuai, kemas, bersih dan menarik. Kesempurnaan aspek ini boleh memaparkan rasa keyakinan serta pengetahuan dan pengalaman perucap. Aspek seterusnya ialah aspek sentuhan yang boleh dilakukan dalam kumpulan audien yang kecil. Maksud sentuhan di sini ialah seperti bersalaman dan cara ini boleh menimbulkan rasa mesra dan keramahan perucap. Dari aspek suara pula boleh dirujukkan kepada mutu suara perucap sama ada nyaring, besar kecil, lembab pantas dan vokalizer, seperti ya, um, er dan kata-kata atau frasa-frasa tertentu yang sering dimasukkan dalam ucapan. Bunyi-bunyi ini boleh mengganggu kelancaran penyampai. Oleh itu patutlah tidak digunakan. Kebijaksanaan dalam penggunaan ruang boleh memberi peluang kepada perucap untuk mewujudkan hubungan fizikal. Ini dapat dilakukan dengan berkesan dalam keadaan yang tidak formal dan jumlah audien yang sedikit. Perucap hendaklah menggunakan kebijaksanaannya dalam penggunaan masa. Umpamanya menepati waktu, merancangkan dengan baik masa untuk setiap bahagian dan ucapannya mewujudkan hentian yang baik serta memperuntuk waktu yang tertentu untuk audien mengemukakan pertanyaan. Aspek sahsiah rupadiri pula meliputi segala perkara yang berkaitan dengan perucap yang berfungsi sebagai rangsangan bukan lisan umpamanya pakaian, perhiasan, solekan dan seumpamanya. Perucap hendaklah memastikan bahawa sahsiah rupa dirinya sesuai dengan acara, sama ada rasmi atau tidak rasmi. Hubungan mata boleh membantu mengekalkan minat audien. Perucap perlu mengekalkan hubungan mata yang langsung untuk sekurang-kurangnya tiga perempat daripada masa berucap. Elakkan

penumpuan sepenuh perhatian kepada nota. Hubungan mata membolehkan perucap mengesan daya tumpuan audien terhadap ucapannya. Kaedah-kaedah penyampaian pengucapan awam yang berkesan dapat menarik audien untuk memberikan tumpuan dan perhatian. Terdapat empat kaedah asas dalam penyampaian ucapan iaitu hafalan. Perucap menulis kemudian menghafal seluruh ucapannya. Walaupun cara ini berkesan tetapi aspek-aspek kesegaran ucapan agak terbatas dan perucap mungkin menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan perkaraperkara atau masalah-masalah yang tidak dijangkakan berlaku sewaktu menyampaikan ucapannya. Kaedah spontan, keadaan ini berlaku apabila seseorang perucap itu diminta menyampaikan ucapan secara tiba-tiba. Kaedah ini juga boleh bertukar dengan berucap seringkas dan seumum mungkin bagi mengelakkan kekaburan maklumat. Seelok-eloknya gunakan pengalaman peribadi untuk merangka isi ucapan spontan ini. Kaedah membaca teks merupakan kaedah yang paling lumrah digunakan oleh perucap iaitu menumpukan perhatian kepada manuskrip dan sekali sekala memandang audien. Walaupun ketepatan dapat dijamin namun wujud masalah untuk menambah isi ucapan dan untuk mengekalkan hubungan mata dengan audien. Kaedah merujuk rangka, pengucap hanya menyediakan rangka ucapannya dengan memiilih kata-kata kunci bagi intipati ucapannya. Cara ini sangat ekspresif dan akan menghasilkan ucapan yang bersahaja, dapat mengekalkan hubungan mata serta mudah mengubahsuai fakta. Bagaimanapun kesan-kesan sedemikian hanya dicapai sekiranya perucap telah membuat persediaan yang lengkap sebelumnya. Langkah-langkah penyediaan dan persembahan ucapan yang berkesan mampu menjadikan pengucapan awam disampaikan dengan baik. Teknik penyampaian yang berkesan terbahagi kepada beberapa peringkat. Peringkat persediaan ialah peringkat bagi pengucap untuk menetapkan tujuan ucapan tersebut disampaikan agar pengucap dapat menyediakan tajuk yang bersesuaian dan menganalisis majlis yang bakal berlangsung. Selain itu pengucap juga perlu menganalisis diri sendiri dan juga bakal audiens yang akan mendengar ucapan tersebut. Pengucap juga perlu menulis teks ucapan dan membuat latihan sebagai persediaan sebelum majlis berlangsung. Peringkat seterusnya ialah peringkat penyampaian, di mana pungucap memainkan peranan yang penting dan perlu bersedia dari segi mental dan fizikal.

Pengucap perlu menunjukkan keyakinan semasa berdiri untuk berucap. Peringkat refleksi pula memerlukan pengucap yang baik yang akan sentiasa memperbaiki diri. Salah satu cara ialah dengan memberi borang untuk diedarkan kepada khalayak., contohnya Borang Penilaian. Kepentingan pengucapan awam ialah untuk memudahkan penerimaan idea dan meluaskan pengaruh seseorang. Hal ini akan membantu meningkatkan kerjaya seseorang di alam pekerjaan serta mempromosikan bisnes. Selain itu pengucapan awam juga penting bagi memudahkan idea disampaikan kepada orang ramai dalam jangka masa yang pendek sekaligus membantu sesuatu keputusan dibuat dengan lebih mudah dan tepat. Pengucapan awam juga penting ketika memberikan semangat kepada khalayak dalam melakukan sesuatu tindakan dan membantu seseorang berfikir secara tepat, cekap, imiginatif, dan kritis. Pengucapan awam ini juga meningkatkan keupayaan daya ingatan, keyakinan, ketrampilan, dan kepimpinan diri seseorang. Pengucapan bertujuan untuk memberi maklumat. Matlamat pengucap adalah untuk memaklumkan atau menerangkan kepada khalayak tentang sesuatu konsep, fenomena, perkara, proses, idea, dan sebagainya contohnya seperti ceramah motivasi. Selain itu pengucapan awam bertujuan memujuk khalayak atau audiens. Menerusi ucapan, pengucap cuba mempengaruhi fikiran khalayak untuk menghasilkan perubahan dari segi citarasa, sikap, kepercayaan, fahaman atau tindakan. Contohnya jurujual, hakim, peguam, ahli politik atau pegawai motivasi. Pengucapan awam juga bertujuan untuk menghibur akan membangkitkan suasana ceria dan menyeronokkan. Conthnya di majlis keraian, tetamu khas yang diminta berucap menyentuh hal-hal yang melucukan dan menarik minat khalayak. Pengucapan awam juga bertujuan untuk member ucapan ketika dalam sesuatu Majlis Khas atau majlis yang bersifat rasmi. Teks ucapan akan disediakan oleh ahli jawatankuasa untuk tetamu yang dijemput berucap. Jenis pengucapan awam yang ialah berdasarkan cara impromptu, iaitu disampaikan secara spontan. Pengucap hanya membicarakan isu-isu ringan yang menyentuh hal-hal yang telah berlalu, isu semasa, harapan, dan ramalan masa hadapan. Isu ucapan selalunya berdasarkan

pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang ada pada pengucap. Pengucapan awam berdasarkan cara hafalan, memerlukan pengucap untuk menghafal teks ucapan yang telah disediakan dengan lengkap, contohnya perbahasan dan pidato. Manakala jenis pengucapan berdasarkan cara membaca teks ialah pengucap memberikan ucapan dengan membaca sebuah skrip atau teks. Ucapan ini dilakukan sekiranya terdapat fakta-fakta penting yang setiap perkataan tercatat perlu dibaca. Contohnya Pembentangan Belanjawan Tahunan oleh Perdana Menteri atau Menteri Kewangan. Jenis pengucapan yang akhir sekali ialah berdasarkan cara Ekstemporaneous, iaitu ucapan yang cukup persediaan dengan menggabungkan ketiga-tiga jenis ucapan berdasarkan cara. Pengucap hanya perlu menghafal bahagian-bahagian tertentu. Contohnya seperti seorang penceramah agama menggunakan jenis ucapan berdasarkan cara impromptu dengan berucap berdasarkan pengalaman dan kemahiran yang dimilikinya. Beliau juga menggunakan jenis ucapan berdasarkan cara hafalan dengan menghafal petikan-petikan atau contoh-contoh dari hadis dan Al-Quran. Malah beliau juga membaca teks bagi menyediakan isi-isi utama yang perlu diucapkan ketika ceramah berlangsung. Pengenalan ucapan merupakan asas kepada sesuatu ucapan. Dalam pengenalan perlulah dinyatakan mengapa anda memerlukan tajuk berkenaan. Pengenalan yang baik boleh berfungsi untuk menjalinkan hubungan perucap dengan audien ialah bagi memastikan audien menerima baik ucapan anda. Pengenalan yang baik juga boleh mempertingkat imej perucap. Dalam pengenalan juga anda memperkenalkan tajuk serta mewujudkan tanggapan awal audien. Kesimpulan merupakan unsur terakhir dalam pakej ucapan. Bahagian ini menyimpulkan ucapan dengan merumuskan semula fakta-fakta dan bahagian-bahagian yang tertinggal atau tidak kukuh. Di antara perkara-perkara yang ditekankan dalam kesimpulan ialah mengulas perkara-perkara utama dalam mesej. Iaitu dengan menekankan idea-idea pokok tanpa memperincinya, memberi penekanan kepada hujah yang paling penting, mengukuhkan hujuh-hujah yang masih lemah dan meninggalkan tanggapan yang positif terhadap perkaraperkara utama agar audien dapat bertindak balas terhadap perkara-perkara utama ucapan itu.

Selain itu untuk membantu menyampaikan sebuah pengucapan awam yang cemerlang, pengucap perlu datang 15 minit lebih awal untuk persiapan yang rapi supaya tidak kelihatan kelam kabut. Pengucap juga boleh memberikan statistic yang menarik atau memeranjatkan, contohnya setiap orang akan menipu sekurang-kurangnya tiga kali dalam sehari. Selain itu pengucap juga boleh mengajukan soalan-soalan pidato atau rhetorika, iaitu soalan-soalan yang mendorong audiens untuk berfikir atau memberikan petikanpetikan dari orang terkenal atau kitab-kitab seperti Al-Quran, Al-Hadith, injil dan sebagainya. Pengucapan awam yang baik akan menghasilkan penyaluran dan aliran maklumat yang berkesan kepada audiens dan dapat meningkatkan keyakinan audiens terhadap diri pengucap seterusnya meningkatkan kefahaman dan keyakinan audiens mengenai topik yang dibincangkan. Perucap yang cemerlang merupakan perucap yang sentiasa berupaya dalam menyamp aikan setiap ucapannya dengan baik dan berkesan tanpa mengira audiens, suasana, dan saluran berucap.

BIBLIOGRAFI - Abdul Muati Ahmad, (1994)Panduan Pengucapan Awam. Dewan bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. - Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (2001). Teori & teknik ucapan berpengaruh. Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. - Carnegie, D. (2000). Cara cepat & mudah berbicara efektif: Teknik modern untuk komunilasi yang dinamik (Terjemahan oleh Ana Budi Kuswadani SS). Jakarta: Pustaka Delapratasa. - Dale,P. & Wolf, J.C. (2000). Speech communication made simple A multicultural perspective. New York: Addison Wesley Longman, Inc. - Fletcher, L. (1995). How to design and deliver a speech (5th. Edition). New York: HarperCollins College Publishers Inc. - Kulwindr Kaur Sidhu (2006). Pengucapan awam dan kemahiran persembahan. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. - Md Izuddin Ali & Zetty Zahureen Mohd Yusoff (2005). Berucap dengan yakin. Batu Caves, Selangor: PTS Millennia Sdn. Bhd. - Rahmat Ismail (2000). Pidato & berpidato: Seni dan teknik. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. - Sallehuddin Hj. Mohd Noor, Jallaluddin Hj. Mohd Noor & Ishak Hj. Abdul Rahman (2003). Pengucapan awam. Kuala Lumpur: Thomson Learning (a division of Thomson Learning Pte. Ltd.)

http://www.scribd.com/doc/24986888/PENGUCAPAN-AWAM

http://mindataqwa.blogspot.com/2009/04/teknik-pengucapan-awam.html

Anda mungkin juga menyukai