Anda di halaman 1dari 4

2.

Teori Atribusi-Motivasi Pencapaian Weiner

Atribusi boleh dianggap sebagai satu cabang atau pendekatan motivasi berbentuk kognitif. Teori ini berandaian manusia akan berusaha untuk memahami, menjelas serta meramalkan situasi yang akan berlaku berdasarkan kepada persepsi kognitif atau pemikiran mereka. Manusia berkeinginan untuk menjelaskan apa yang berlaku berdasarkan kepada persepsi mereka tentang sebab ia berlaku. Teori atribusi berkait rapat dengan teori motivasi dan hal ini akan dijelaskan berdasarkan pembinaan model, atribut penyebab dan isu egosentrik dalam atribusi.

2.1

Pengasas model atribusi

Fritz Heider (1944, 1958) merupakan pengasas Teori Atribusi. Beliau berandaian manusia berusaha untuk meramal dan memahami perjalanan hidup seharian bagi memudahkan jangkaan serta kestabilan hidup. Berdasarkan model tersebut, sebarang keputusan yang terhasil boleh diatributkan secara dalaman kepada individu (pengaruh individu) atau secara luaran kepada persekitaran (pengaruh persekitaran). Pengaruh individu yang efektif terdiri daripada faktor kebolehan dan faktor usaha, sementara pengaruh persekitaran yang efektif pula terdiri daripada faktor tahap kesukaran tugasan dan faktor nasib.

Menurut operasi model ini,interaksi di antara pengaruh individu dan pengaruh persekitaran akan berlaku dan menghasilkan satu dimensi baru yang dikenali sebagai boleh atau tidak boleh.

Sebagai contoh, sekiranya sesuatu tugasan agak sukar untuk dilaksanakan tetapi ia dapat dilaksanakan dengan baik maka ia mungkin disebabkan faktor kebolehan individu yang tinggi. Sementara itu, faktor nasib yang merupakan faktor tidak stabil, boleh memasuki situasi atribusi dengan pelbagai cara. Ia merupakan faktor yang mampu mengubah keputusan secara mendadak serta sukar untuk diramal dan faktor nasib juga bergantung kepada tafsiran individu. Keempatempat faktor ini iaitu usaha, kebolehan, tahap kesukaran tugasan dan nasib bergabung dan membentuk perlakuan yang boleh diatributkan sebabnya oleh seseorang individu. Justeru, Heider

menjelaskan bahawa pengaruh individu dan pengaruh persekitaran bergabung, seterusnya menghasilkan perlakuan yang diingini.

2.2

Model atribusi-motivasi Weiner

Weiner (1972) memudahkan lagi pemahaman kita tentang Teori Atribusi dengan membuat sedikit penambahan kepada asas yang telah dibina oleh Heider (1944, 1958). Dengan mengambil empat faktor atribusi iaitu usaha, kebolehan, tahap kesukaran tugas dan nasib, Weiner mengatur semula keempat-empat faktor tersebut menjadi dua dimensi penyebab yang utama iaitu kestabilan dan lokus kawalan. 2.2.1 Dimensi sebab dan kesan

Weiner telah mengkategorikan atribusi pencapaian kepada tiga dimensi. Setiap dimensi berbentuk bipolar. Pertama, dimensi lokus sebab yang dianggap berkaitan dengan ciri-ciri dan tingkah laku pelajar yang juga dikenali sebagai dalaman dengan sebab yang berkaitan dengan faktor persekitaran atau luaran pelajar. Dimensi ini mempunyai persamaan dengan teori kawalan lokus.

Dimensi kedua ialah kestabilan yang dilihat dari segi setakat mana sesuatu sebab akan berulang bagi peristiwa pencapaian yang sama. Sekiranya sesuatu sebab dianggap bersifat sementara dan tidak akan berulang pada masa akan datang maka ia adalah tidak stabil. Sebaliknya jika sebab tersebut diangggap berkekalan dan tidak akan berubah maka ia dikatakan stabil. Terdapat

penyelidik lain yang melihat kestabilan dari sudut global iaitu merentasi situasi atau merangkumi banyak bidang pencapaian. Namun begitu sudut ini tidak diberi perhatian di dalam teori atribusi Weiner.

Dimensi ketiga ialah kawalan, iaitu sama ada sesuatu sebab yang diberikan itu boleh dikawal atau tidak boleh dikawal oleh pelajar atau orang lain. Weiner juga mengemukakan dimensi ini dari aspek niat pelaku sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Tetapi aspek niat pelaku tidak begitu diberi tumpuan di dalam kajian atribusi pencapaian.

2.2.2 Lokus kawalan

Lokus kawalan dalaman dan luaran dikaitkan dengan sebab sesuatu itu terjadi. Ringkasnya, individu atau pelajar yang lokus kawalannya didorong oleh faktor dalaman akan beranggapan bahawa setiap keputusan yang dicapai samada berjaya atau gagal adalah kerana daya usaha sendiri. Jika dirinya rajin, mahir, tepat perhitungan, maka tidak ada sebab dia tidak boleh berjaya. Sementara pelajar yang lokus kawalannya didorong oleh faktor luaran percaya bahawa setiap keputusan yang berlaku ditentukan oleh faktor luaran seperti nasib, pertolongan orang lain dan sebagainya. Jika dirinya gagal, dia akan menyalahkan faktor luaran tadi kerana telah menggagalkan usahanya. 2.2.3 Lokus kawalan dalaman berdasarkan kestabilan

Weiner menyusun semula keempat-empat faktor utama dimensi penyebab kepada empat klasifikasi yang baru. Usaha diklasifikasikan sebagai faktor dalaman yang tidak stabil kerana ia boleh berubah mengikut keadaan., manakala kebolehan diklasifikasikan sebagai faktor dalaman yang stabil. Kedua-dua faktor ini dianggap sebagai faktor dalaman kerana ia bersifat personal.

Contohnya, apabila seseorang pelajar bermotivasi untuk mencapai keputusan yang cemerlang, pelajar ini akan melipatgandakan usaha untuk mencapai apa yang diingininya. Sebaliknya, jika seseorang pelajar tidak bermotivasi untuk mencapai sesuatu tahap, usaha beliau sudah pasti menurun. Justeru, faktor usaha dianggap tidak stabil kerana ia boleh berubah-ubah mengikut tahap motivasi individu tersebut, manakala kebolehan pula dianggap stabil kerana ia tetap dan tidak akan berubah. Contohnya, Suria boleh menunggang basikal, tetapi hampir dua tahun dia tidak menunggang basikal, namun masih lagi mampu menunggangnya dengan baik. Ini menunjukkan kebolehan dianggap sesuatu yang stabil kerana tidak akan berubah.

2.2.4 Lokus kawalan luaran berdasarkan kestabilan

Berdasarkan lokus kawalan, tahap kesukaran tugas serta nasib dianggap sebagai faktor luaran dan faktor tahap kesukaran tugas dianggap stabil kerana faktor ini tidak berubah. Contohnya,

seorang pelajar Tingkatan 3, bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hendak berpindah ke sekolah lain, pelajar ini tetap akan menduduki peperiksaan yang sama di mana tahap kesukaran soalan tersebut masih sama walaupun di sekolah lain kerana soalan peperiksaan telah diselaraskan seluruh Malaysia. Faktor nasib pula dianggap sebagai tidak stabil kerana ada kalanya nasib tidak menyebelahi kita dan kadang kala nasib juga akan menyebelahi kita. Justeru, nasib dianggap sebagai elemen lokus kawalan luaran yang tidak stabil.

Kesimpulan dari teori Weiner menunjukkan bahawa individu yang tinggi motivasi pencapaiannya akan kuat berusaha untuk berjaya di samping kebolehan yang sedia ada, manakala individu yang rendah motivasi pencapaiannya akan meletakkan faktor nasib dan kesukaran kerja sebagai penentu kejayaan

Anda mungkin juga menyukai