Anda di halaman 1dari 13

Topik X Budaya dan

1
1. 2. 3. 4. Mendefinisikan budaya;

Masyarakat

HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat: Menjelaskan bidang antropologi; Menghuraikan ciri-ciri budaya; dan Menjelaskan konsep manusia sebagai insan sosial.

X PENGENALAN
John seorang pelancong dari Amerika Syarikat yang baru sahaja sampai ke Malaysia untuk mengunjungi rakannya Ahmad. Beberapa tahun yang lalu mereka pernah belajar bersama di Universiti Yale di Amerika Syarikat. Pada masa itu Ahmad banyak menceritakan tentang negara Malaysia. Ini telah menanam minat pada John untuk melawat negara rakannya itu serta menziarahi keluarganya. Setelah John dibawa bersiar-siar oleh Ahmad ke beberapa tempat pelancongan yang menarik di sekitar Malaysia, Ahmad akhirnya membawa John ke kampungnya di Jemapoh, Negeri Sembilan. Apabila tiba di rumah orang tua Ahmad, John dengan selambanya melangkah masuk ke dalam rumah tanpa menanggalkan kasutnya (sila rujuk Rajah 1.1).

Rajah 1.1: Kurang ajar?

TOPIK 1 BUDAYA DAN MASYARAKAT

Pada tanggapan anda adakah John seorang yang kurang ajar? Sebenarnya John tidak bermaksud untuk bersikap biadap. Dia hanya berkelakuan seperti yang lazim dilakukannya di Amerika Syarikat, iaitu melangkah masuk rumah tanpa membuka kasut. Ini menunjukkan bahawa kelakuan manusia itu berbeza mengikut masyarakat masing-masing, bak kata pepatah Lain padang lain belalang. Sebagai pelajar antropologi anda seharusnya mengetahui sedikit sebanyak tentang apa itu budaya dan komponen-komponen yang mencirikan budaya. Inilah yang akan anda pelajari dalam Topik 1.

AKTIVITI 1.1
1. 2. Pada pendapat anda, apakah yang seharusnya Ahmad lakukan untuk mengelakkan situasi sebegini daripada berlaku? Cuba anda fikirkan contoh-contoh lain yang memperlihatkan pertembungan budaya.

1.1

DEFINISI BUDAYA

Apakah yang anda bayangkan apabila anda bertemu dengan perkataan budaya? Mungkin anda terbayang perkara-perkara seperti tarian, muzik, adat resam dan sebagainya. Anda tidak tersasar jauh, tetapi konsep budaya dalam antropologi merangkumi lebih daripada perkara-perkara di atas. Mari kita mempertimbangkan salah satu definisi budaya yang dianggap klasik dan diguna pakai secara sejagat oleh sarjana-sarjana antropologi. Antropologis E. B. Tylor (sila lihat Rajah 1.2) berpendapat bahawa:

Rajah 1.2: E. B. Tylor

TOPIK 1 BUDAYA DAN MASYARAKAT

Culture is that complex whole which includes knowledge, belief, arts, morals, law, custom and any other capabilities and habits acquired by man as a member of society.
(Budaya merujuk kepada suatu keseluruhan yang merangkumi pengetahuan, kepercayaan, seni, tatasusila, serta sebarang kemahiran dan tingkah laku yang dipelajari oleh manusia sebagai ahli sesebuah masyarakat.)

Definisi Tylor tertumpu kepada sifat-sifat yang diperolehi oleh manusia hasil daripada membesar di dalam masyarakat di mana mereka telah didedahkan kepada tradisi budaya tertentu. Sebagai insan sosial, manusia mempelajari tentang peranannya dalam masyarakat melalui proses pembudayaan (enculturation). Adalah penting untuk pelajar memahami bahawa proses ini bukanlah proses biologi di mana budaya itu diturunkan dari generasi ke generasi secara genetik. Hakikatnya, budaya itu dipelajari melalui interaksi sosial antara ahli-ahli masyarakat. Untuk tujuan perbincangan kita, definisi budaya yang paling sesuai digunakan adalah seperti berikut: Budaya itu suatu cara hidup yang dikongsi bersama yang merangkumi nilai-nilai, kepercayaan dan pantang-larang yang diperturunkan dalam sesebuah masyarakat daripada satu generasi ke generasi melalui proses pembudayaan.

1.2

BIDANG ANTROPOLOGI

Apakah perisian antropologi secara ringkas? Antropologi terdiri daripada dua patah perkataan Greek, anthropos (manusia) dan logos (huraian). Justeru, antropologi bermakna huraian atau pengetahuan tentang manusia. Antropologi sosial pula bermakna pengetahuan tentang manusia dalam masyarakat. Kita juga boleh menyebut bahawa antropologi adalah ilmu tentang manusia, masyarakat dan budayanya. Antropologi berminat untuk mengetahui serba serbi tentang manusia, tentang wujudnya mereka sebagai insan sosial (bukan sebagai insan biologi), tentang bagaimana mereka hidup dalam berbagai-bagai jenis masyarakat di serata pelosok dunia yang mempunyai iklim, ekologi dan suasana alam semulajadi

TOPIK 1 BUDAYA DAN MASYARAKAT

yang berbeza-beza. Manusia sebagai insan sosial (sila lihat Rajah 1.3) tidak mampu hidup bersendirian dan perlu bekerjasama dengan manusia-manusia lain untuk mencapai matlamatnya, bak pepatah Inggeris No man is an island.

Rajah 1.3: Manusia sebagai insan sosial

Bidang kajian antropologi agak luas, kerana kalau kita mengkaji manusia sebagai insan sosial, maka kita harus juga mengkaji dengan terperinci berbagai-bagai aspek kemanusiaan dan aspek kemasyarakatan yang lain, yang merangkumi disiplin-disiplin serumpun seperti sosiologi, psikologi, sains politik, ekonomi, sejarah, biologi manusia, dan juga falsafah dan kesusasteraan. Oleh itu, antropologi bersifat holistik atau mempunyai pendekatan yang menyeluruh. Istilah budaya (culture) pula berasal daripada perkataan Latin colere, iaitu kata kerja yang bermakna mencambah (cultivate). Dalam hal ini apa yang dicambah itu ialah budaya yang mesti diterapkan pada diri seseorang secara sedar atau tidak sedar untuk menjadikan ia seorang insan sosial. Antropologi budaya pula bermakna pengetahuan berkenaan dengan manusia yang telah dicambah atau diterapkan dengan budaya. Apakah hubungan antara budaya dan masyarakat? Budaya merujuk kepada aspek kehidupan yang dipelajari oleh seseorang atau yang dicambah pada diri seseorang, yang bersifat kognitif dan simbolik, manakala masyarakat merujuk kepada organisasi sosial yang merangkumi kehidupan manusia, dari segi pola pergaulan (atau interaksi), iaitu bagaimana kita harus bertindak apabila berdepan dengan orang lain. Adakah kita bertegur sapa, mengelak atau melakukan sesuatu yang boleh menunjukkan bentuk hubungan status antara kita dan orang berkenaan. Soalnya ialah bagaimanakah kita memberikan pengiktirafan sosial kepada seseorang yang terserempak dengan kita?

TOPIK 1 BUDAYA DAN MASYARAKAT

SEMAK KENDIRI 1.1


1. Jelaskan definisi budaya menurut Taylor. 2. Apakah itu proses pembudayaan (enculturation)?

1.3

CIRI-CIRI BUDAYA

Setelah mendefinisikan maksud budaya, sudah tentu anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang ciri-ciri budaya. Ferraro (2006) menyenaraikan lapan ciri-ciri budaya: (a) (b) (c) (d) (e) (f) (g) (h) Budaya dikongsi Budaya dipelajari Budaya tidak kelihatan Budaya mempengaruhi proses-proses biologi Budaya saling berubah Kesejagatan budaya Budaya adaptif dan maladaptif Budaya bersifat integratif

1.3.1

Budaya Dikongsi

Budaya adalah sesuatu fenomena sosial yang dikongsi oleh sekumpulan ahli masyarakat. Ini bermaksud bahawa ahli-ahli masyarakat yang berkongsi sesuatu budaya masing-masing maklum tentang maksud sesuatu objek, idea atau kelakuan dalam konteks budaya tersebut. Sebagai insan sosial, kita akan berasa selamat jika kita mampu menjangka tindakan anggota-anggota masyarakat yang lain. Sebagai contoh, masyarakat Melayu di sini mengamalkan adab bersopan-santun ketika menziarahi rumah orang lain. Secara lazimnya, kita akan memberi salam ketika sampai ke rumah jiran dan menghulurkan tangan untuk bersalaman (sila lihat Rajah 1.4). Perkara ini difahami antara orang Melayu sebagai adab sopan ketika menziarahi rumah orang. Sudah tentu kita tidak akan menganggap bahawa tangan yang dihulurkan itu bermaksud agresif!

TOPIK 1 BUDAYA DAN MASYARAKAT

Rajah 1.4: Bersalaman

Jika kita tidak berkongsi sesuatu budaya, pelbagai perkara yang canggung dan melucukan boleh berlaku. Renung kembali situasi yang digambarkan dalam pengenalan topik ini. John menjadi mangsa pertembungan budaya dan secara tidak sengaja melakukan sesuatu yang menyinggung orang tua Ahmad (tidak menanggalkan kasutnya ketika memasuki rumah). Inilah yang dipanggil kejutan budaya (culture shock), iaitu ketidakpastian dan kekaburan yang dialami seseorang apabila dia cuba bertindak dalam suatu budaya yang asing.

1.3.2

Budaya Dipelajari

Kita sudah maklum bahawa budaya itu tidak diwarisi secara genetik. Budaya itu dipelajari ketika kita berinteraksi dengan persekitaran sosial kita melalui proses enkulturasi. Kita memperolehi budaya ketika kita sedang membesar dalam masyarakat di mana kita dilahirkan. Budaya itu penting kerana ia membantu kita menangani cabaran-cabaran kehidupan yang bakal kita lalui. Sebenarnya, apa-apa masalah yang kita hadapi telah pun dihadapi dan ditangani oleh orang-orang terdahulu yang lebih berpengalaman. Kanak-kanak cuma perlu mempelajari caracara menangani masalah tersebut daripada senior-senior mereka.

Rajah 1.5: Pengantin Melayu Sumber: kedahlanie.blogspot.com/2008_11_24_archive.html

TOPIK 1 BUDAYA DAN MASYARAKAT

Katakan anda berminat untuk berpasangan dengan kekasih anda. Sudah tentu anda telah mempelajari daripada budaya anda cara-cara bagaimana untuk mencapai hasrat anda. Sebagai contoh, dalam masyarakat Melayu, sepasang kekasih lazimnya akan bertunang dan seterusnya berkahwin untuk mendirikan rumahtangga (sila lihat Rajah 1.5). Adat-adat seperti ini dikekalkan dari generasi ke generasi melalui proses enkulturasi

1.3.3

Budaya Tidak Kelihatan

Budaya tidak kelihatan? Apakah yang dimaksudkan di sini? Jika kita fikirkan dengan lebih mendalam, budaya itu sebenarnya sudahpun sebati dengan jiwa kita sebagai insan sosial sehinggakan ia tidak kelihatan. Kita tidak menyedari bahawa budaya sentiasa mempengaruhi tindak-tanduk dan pemikiran kita kerana ia telah menjadi tabiat yang dilakukan secara automatik. Contohnya, semua orang pasti memberus gigi pada pagi hari. Ini sudah menjadi kelakuan biasa dalam rutin harian anda sehinggakan anda tidak perlu berfikir tentangnya dan mengarah diri anda: Saya perlu gosok gigi pada pagi ini.

AKTIVITI 1.2
Cuba anda senaraikan perkara-perkara seharian yang telah anda pelajari daripada budaya anda tetapi diamalkan oleh anda secara tidak sedar. Malangnya, kerana budaya yang kita amalkan tidak kelihatan, secara tidak langsung kita akan menganggap bahawa amalan budaya kita sama sahaja dengan amalan budaya lain. Ini boleh membawa kepada konflik kerana salah faham yang tidak disengajakan. Sama seperti apa yang telah berlaku dalam cerita tentang John di atas tadi. Dengan tidak sengaja, John telah melanggar salah satu daripada etika budaya masyarakat Malaysia.

1.3.4

Budaya Mempengaruhi Proses-proses Biologi

Sebagai insan biologi, kita semua mempunyai kehendak-kehendak biologi yang sama. Kita semua perlu makan, minum, tidur, berlindung, berkumuh, dan sebagainya. Walaubagaimanapun, cara kita memenuhi kehendak-kehendak tersebut bergantung kepada adat resam budaya kita tersendiri.

TOPIK 1 BUDAYA DAN MASYARAKAT

Sebagai insan sosial, kita merujuk kepada budaya kita untuk melaksanakan proses-proses biologi menurut norma-norma yang diterima pakai oleh masyarakat kita. Sebagai contoh, masyarakat Melayu di sini mementingkan sama ada makanan mereka halal atau tidak (sila lihat Rajah 1.6). Oleh itu, jika kita mengadakan rumah terbuka dan kita ingin menjemput rakan-rakan berbangsa Melayu, kita seharusnya memastikan bahawa makanan yang dihidang untuk mereka sesuai menurut kepercayaan agama mereka.

Rajah 1.6: Logo halal Sumber: usrahkeluarga.blogspot.com

SEMAK KENDIRI 1.2


Bezakan antara insan biologi dan insan sosial.

1.3.5

Budaya Saling Berubah

Dalam perbincangan setakat ini, budaya telah dipersembahkan kepada anda seolah-olah ianya sesuatu yang kekal dan statik. Ia tidak semudah itu. Hakikatnya, budaya saling melalui proses perubahan dari masa ke semasa. Perubahan ini boleh berlaku melalui dua cara: (a) Inovasi Ini merujuk kepada idea-idea baru yang boleh digunakan untuk memajukan sesebuah masyarakat. Jika sesuatu inovasi itu diterima pakai oleh masyarakat secara meluas, ia akan mencetus perubahan budaya. Contohnya, penciptaan kereta sebagai kenderaan utama yang digunakan untuk pengangkutan telah mengubah cara hidup dan budaya masyarakat moden.

TOPIK 1 BUDAYA DAN MASYARAKAT

(b)

Difusi Budaya Ini berlaku apabila elemen-elemen dalam sesuatu budaya merebak kepada budaya-budaya yang lain. Sebagai contoh, budaya MTV, yang berasal daripada industri muzik Amerika Syarikat, telah banyak mempengaruhi tingkah laku remaja secara global (sila lihat Rajah 1.7).

Rajah 1.7: MTV

Sumber: ms.wikipedia.org Difusi budaya lebih kerap mempengaruhi perubahan budaya berbanding inovasi kerana ianya lebih mudah untuk meniru corak hidup budaya lain daripada mencipta sesuatu yang baru.

1.3.6

Kesejagatan Budaya

Walaupun di mana anda berada, anda akan dapati bahawa banyak perkaraperkara asas yang dikongsi bersama. Lihatlah di sekeliling anda, di negara Malaysia yang muhibah ini: orang Melayu beragama Islam, manakala orangorang bukan Melayu (Cina, India, dan lain-lain) beragama Kristian, Hindu, Buddha dan sebagainya. Tetapi mereka semua mempunyai sistem kepercayaan yang menggariskan nilai-nilai moral dan cara hidup yang tersendiri. Agama mungkin berbeza, tetapi yang penting mereka mempunyai panduan tentang moraliti dan perlakuan baik, iaitu mereka mempunyai agama. Inilah yang dimaksudkan dengan konsep kesejagatan budaya: ekspresi luaran mungkin berbeza-beza, tetapi konsep teras yang ingin disampaikan adalah sama, iaitu keteraturan hidup mengikut apa yang yang telah ditentukan oleh sistem moraliti, nilai dan norma dalam setiap budaya. Peraturan inilah yang menjadi garis panduan bagi seseorang itu bertindak dalam pergaulannya sebagai individu sesama insan sosial yang lain. George Murdock, seorang ahli antropologi yang menjurus kepada analisa silang budaya, telah mendokumentasikan unsur-unsur budaya sejagat seperti dalam Jadual 1.1.

10 X

TOPIK 1 BUDAYA DAN MASYARAKAT

Jadual 1.1: Unsur-unsur Budaya Sejagat Menurut Murdock Bahasa Berkabung Bertukar-tukar hadiah Cerita dongeng Dalam pantang Dandanan rambut Dasar penduduk Etika Gotong royong Gurau senda Hak milik Hiasan badan Ilmu tumbuhtumbuhan Istilah kekerabatan Kalendar Kebersihan Kehamilan Keluarga Kenduri kendara Keperkasaan Keraian Konsep semangat Kosmologi Kumpulan kerabat Kumpulan umur Larangan seksual Magis Masak memasak Membuat peralatan Mencari jodoh Mengawal cuaca Menggores api Mentafsir mimpi Menziarah Metos Muzik Nama peribadi Nombor Pantang larang makan Pembahagian kerja Pemujaan makhluk halus Pendidikan Peraturan tempat tinggal Perbezaan darjat Perbomohan Perkahwinan Permainan Perniagaan Pertubuhan sosial Pewarisan harta Rumah kediaman Seni Hiasan Sumbang muhrim Tarian Tata susila Tegur sapa Tertib pakaian Ubat-ubatan Upacara keagamaan Upacara pengebumian Waktu makan

Sumber: Scupin, Raymond & DeCorse, Christopher R. (2004). Anthropology: A global perspective (5th ed.). New Jersey: Pearson Education, Inc.

AKTIVITI 1.3
Selain daripada unsur-unsur budaya universal yang dipaparkan dalam Jadual 1.1, bolehkah anda fikirkan lagi unsur-unsur yang lain?

TOPIK 1 BUDAYA DAN MASYARAKAT

11

1.3.7

Budaya Adaptif dan Maladaptif

Salah satu sifat budaya yang memastikan kelangsungan masyarakat manusia ialah sifat adaptifnya. Pada zaman dahulu, manusia primitif perlu mendapatkan sumber-sumber daripada alam semula jadi seperti makanan, air, kayu api, kulit binatang dan sebagainya untuk terus hidup. Budaya memungkinkan manusia mengawal dan menggunakan alam persekitarannya untuk kepentingan diri sendiri. Sebagai contoh, manusia telah mencipta peralatan untuk memburu binatang, menebang pokok, menghidupkan api dan sebagainya (sila lihat Rajah 1.8). Sifat adaptif budaya memastikan manusia terus kekal dan dominant di muka bumi.

Rajah 1.8: Masyarakat primitif

Pada masa yang sama, budaya juga boleh bersifat maladaptif, iaitu tidak menyumbang kepada kelangsungan masyarakat manusia. Aspek negatif boleh membawa kepada kehancuran masyarakat manusia dalam jangka masa panjang. Misalnya, tabiat merokok adalah suatu budaya yang agak meluas dan diterima secara global. Tetapi jika kita merenung sejenak tentang fenomena sosial ini, sudah tentu kita akan bersetuju bahawa merokok merupakan budaya yang maladaptif kerana ia boleh menjejaskan kesihatan dan mencemarkan udara.

1.3.8

Budaya Bersifat Integratif

Budaya sebenarnya merangkumi pelbagai aspek yang saling berkait rapat antara satu sama lain. Budaya terdiri daripada aspek-aspek seperti ekonomi, pendidikan, keluarga, agama, kerajaan, kepimpinan, teknologi, keluarga, sistem perubatan, seni hiburan dan keupacaraan. Aspek-aspek ini tidak berdiri sendiri tetapi saling mempengaruhi antara satu sama lain. Sesuatu perubahan kepada mana-mana aspek budaya akan mencetuskan perubahan pada aspek-aspek yang lain. Inilah yang dimaksudkan dengan budaya bersifat integratif. Justeru pendekatan antropologi cuba melihat masyarakat secara menyeluruh atau holistic.

12 X

TOPIK 1 BUDAYA DAN MASYARAKAT

Misalnya, apabila sesebuah negara mengalami kemelesetan ekonomi, ini akan turut menjejaskan aspek-aspek budaya yang lain. Institusi keluarga mungkin goyah kerana ramai orang akan berasa tertekan akibat dibuang kerja. Sistem pendidikan pula mungkin berkembang kerana mereka yang dibuang kerja mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran. Pada masa yang sama, teknologi akan berkembang dengan munculnya inovasi-inovasi yang mampu menjimatkan kos kehidupan, contohnya penggunaan gas cecair asli (liquefied natural gas) atau LNG dalam kenderaan NGV sebagai alternatif kepada bahan bakar petrol.

SEMAK KENDIRI 1.3


1. 2. Bezakan budaya adaptif dan budaya maladaptif. Budaya bersifat integratif. Huraikan dengan contoh-contoh yang sesuai.

Terdapat pelbagai definisi yang boleh digunakan untuk menggambarkan budaya. Namun untuk tujuan modul ini, budaya didefinisikan sebagai suatu cara hidup yang dikongsi bersama yang merangkumi nilai-nilai, kepercayaan dan pantang-larang yang dipancarkan dalam sesebuah masyarakat daripada satu generasi ke generasi yang lain. Antropologi berminat untuk mengetahui serba serbi tentang manusia, tentang wujudnya mereka sebagai insan sosial (bukan sebagai insan biologi), tentang bagaimana mereka hidup dalam berbagai-bagai jenis masyarakat di serata pelusuk dunia yang mempunyai iklim, ekologi dan suasana alam semulajadi yang berbeza-beza. Dalam membincangkan budaya, kita seharusnya prihatin terhadap ciri-ciri yang mencorakkan budaya. Antara ciri-ciri tersebut adalah: (a) (b) (c) (d) (e) (f) Budaya dikongsi Budaya dipelajari Budaya tidak kelihatan Budaya mempengaruhi proses-proses biologi Budaya saling berubah Kesejagatan budaya

TOPIK 1 BUDAYA DAN MASYARAKAT

13

(g) (h)

Budaya adaptif dan maladaptive Budaya bersifat integratif

Sebagai insan sosial, kita tidak mampu lari daripada pengaruh budaya. Dalam interaksi sosial seharian, banyak yang kita pelajari dan amalkan tentang budaya kita sendiri. Budaya itu merupakan lumrah kehidupan kita sebagai manusia.

Antropologi Antropologi budaya Antropologi sosial Budaya Difusi budaya

Inovasi Kejutan budaya Pembudayaan Unsur-unsur budaya universal

Ferraro, Gary. (2006). Cultural anthropology: An applied perspective (6th ed.). Belmont: Thomson Wadsworth. Kottak, Conrad Phillip. (2006). Anthropology: The exploration of human diversity (11th ed.). Boston: McGraw Hill Higher Education. Scupin, Raymond & DeCorse, Christopher R. (2004). Anthropology: A global perspective (5th ed.). New Jersey: Pearson Education, Inc.

Anda mungkin juga menyukai