Anda di halaman 1dari 5

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA SULTAN MUHAMMAD, 75350 BATU BERENDAM, MELAKA.

TAJUK: AMALAN BERZIKIR DALAM KALANGAN PELAJAR TINGKATAN DUA DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA SULTAN MUHAMMAD

PEMBENTANG: AHMAD NUR AMSYAR BIN ZAINAL MUHAMMAD FAUZI BIN YUSOF SYAFIQ HARIZ BIN MOHD HANAFIAH MOHAMAD SHAMIR FIKRI BIN MOHD SALLEH ABDUL MUADZ BIN ISMAIL

GURU PEMBIMBING: EN. ROZAILI BIN MOHD ALI

PENGENALAN Secara keseluruhannya, terdapat pelbagai zikir yang diamalkan dalam kalangan pelajar. Antaranya ialah zikir harian, zikir taubat, zikir munajat, zikir selepas solat dan sebagainya. Amalan ini sering diamalkan oleh mereka tanpa mengetahui fadhilat-fadhilat sebenar mengenai zikir tersebut. Zikir menurut buku Kuliah Subuh pada Membicarakan Hadis 40 yang disusun oleh Syed Ahmad Semait, bermaksud mengingati Allah, dan mengingati Allah akan menyebabkan hati lunak dan jiwa tunduk terhadap kebesaran Tuhan yang kita sembah. Sementara itu, Ibnu Abbas dalam buku Bimbingan Mukmin (Ringkasan Ihya Ulumuddin Karangan Imam al-Ghazali) karya Ustaz Johari dan Ustaz Azhari, zikir dapat ditafsirkan sebagai jadi maksudnya ialah jangan lalai dari berzikir, baik di waktu malam atau siang, di daratan atau di lautan, di saat bermusafir atau di rumah, dalam keadaan kaya atau miskin, waktu badan sihat atau sakit dan dalam keadaan sunyi atau ramai orang. Maksud zikir menurut Ustaz Hj Ali bin Hj Mohamad dalam bab ilmu akhlak bahagian tiga yang diambil daripada laman sesawang www.khadijahmosque.org zikir dari segi bahasa ialah melepaskan diri daripada lalai dan lupa dengan menghadirkan hati atau sedar secara berterusan. Sementara dari segi istilah, zikir ialah menyebut nama sesuatu dengan hati dan lisan, baik menyebut nama Allah atau sifat-Nya, hukum-Nya, perbuatan-Nya atau menyebut nama para Rasul-Nya, para Nabi-Nya atau berbuat amal kebajikan seperti membaca Al-Quran, bertasbih, memberi nasihat dan sebagainya. Antara fadhilat yang diperolehi dari laman sesawang www.muftins.gov.my menyatakan bahawa dengan berzikir dapat menggilap dan menyucikan hati daripada kekotoran sifat tercela. Selain itu, zikir dapat menyedarkan hati yang lalai kerana setiap orang yang telah melakukan kejahatan, kemudian dia ingat kepada Allah, maka dia akan mengalami kesedaran jiwa (intibah). Tambahan pula, zikir berperanan menghapuskan dorongan hawa nafsu jahat yang menguasai diri sehingga seseorang terdorong melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan suruhan agama.

LATAR BELAKANG KAJIAN Kami memilih Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Muhammad sebagai lokasi kajian atas beberapa faktor. Antara faktor utama kami memilih sekolah ini kerana ia merupakan kawasan persekolahan kami. Maka dengan itu, mudahlah untuk kami melaksanakan serta menjalankan kajian ini. Kami juga mendapati kefahaman pelajar tingkatan dua tentang amalan berzikir. Hal ini dapat dibuktikan menerusi bacaan zikir selepas solat, zikir pada waktu pagi di perhimpunan dan amalan zikir sebelum memulakan majlis. Ini jelas menunjukkan pelajar ini tahu mengenai amalan berzikir. PENYATAAN MASALAH Amalan berzikir sering dilakukan oleh pelajar pada setiap hari. Namun begitu, ramai pelajar tingkatan dua yang masih tidak mengetahui dan mengamalkan amalan ini. Hal ini disebabkan kebanyakan pelajar kurang berminat untuk mengamalkannya dalam setiap aktiviti sepanjang hari seperti membaca zikir selepas solat. OBJEKTIF KAJIAN Kajian ini dilakukan untuk mengetahui sejauh mana kefahaman pelajar asrama tingkatan 2 SMK Agama Sultan Muhammad mengenai zikir Kajian ini juga dilakukan untuk mengenalpasti zikir-zikir harian yang diketahui oleh pelajar asrama tingkatan 2 SMK Agama Sultan Muhammad.

RASIONAL KAJIAN Kajian ini untuk melahirkan pelajar yang sentiasa mengamalkan zikir harian secara istiqamah. Dengan terhasilnya kajian ini dapat menjadikan zikir harian sebagai suatu amalan rutin yang akan memberi manfaat kepada pelajar. Seterusnya diharapkan dapat membantu pelajar mengetahui jenis-jenis zikir dan cara mengamalkannya.

BATASAN KAJIAN Kajian ini dilakukan terhadap pelajar asrama tingkatan 2 di SMKA Sultan Muhammad, Batu Berendam, Melaka. Bilangan responden yang terlibat adalah seramai 30 orang pelajar asrama tingkatan 2 bagi tahun 2012.Kajian ini dilakukan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman serta melatih pelajar asrama tingkatan 2 mengamalkan zikir harian sebagai amalan harian mereka kelak. PERSOALAN KAJIAN Berpandukan objektif kajian di atas, persoalan kajian yang dapat dihasilkan ialah: Adakah pelajar asrama tingkatan dua SMK Agama Sultan Muhammad memahami apa itu zikir? Selain itu, persoalan yang lain ialah apakah zikir-zikir yang diketahui oleh pelajar asrama tingkatan dua SMK Agama Sultan Muhammad? TINJAUAN LITERATUR Ustaz Johari Yaman dan Ustaz Azhari bin Haji Ibrahim pengarang buku yang bertajuk Bimbingan Mukmin. Melalui sinopsis buku ini dalam bab zikir ia menerangkan mengenai keutamaan berzikir. Buku ini juga memaparkan keutamaan majlis zikir, keutamaan bertasbih, bertahmid, dan rahsia keutamaan zikir. Zikir ini memberi kesan kepada jiwa iaitu memberi ketenangan kepada diri manusia. (Ustaz Johari Yaman dan Ustaz Azhari Haji Ibrahim, 2010: 175-180). Syed Ahmad Semait pengarang buku yang bertajuk Kuliah Subuh. Melalui sinopsis buku ini dalam bab zikir ia menyatakan zikir ialah mengingat Allah yang menyebabkan hati lunak dan jiwa tunduk terhadap kebesaran Tuhan yang kita sembah. Selain itu, ia juga menyentuh mengenai zikir, penerangan yang jelas telah diberikan pada setiap lafaz zikir serta fadhilatnya. Contohnya lafaz zikir Alhamdulillah bermaksud bersyukur kepada Allah. Nikmat Allah yang diberikan kepada manusia terlalu banyak dan tidak dapat dihitung. (Syed Ahmad Semait, 2009: 387)

Rumusannya, zikir ini merupakan suatu perbuatan yang boleh menenangkan hati dan jiwa seseorang mukmin. Zikir juga ialah ruang kepada manusia untuk mengingati Tuhan Yang Maha Agung. Zikir itu ada permulaannya dan ada akhirnya. Permulaannya ialah ketenangan dan kecintaan dan akhirnya ialah ketenangan dan kecintaan yang dapat menjelma dan timbul dari dalam diri. Oleh itu, maksud yang dituju adalah ketenangan dan kecintaan. (Ustaz Johari Yaman dan Ustaz Azhari Haji Ibrahim, 2010: 181).

Anda mungkin juga menyukai