Anda di halaman 1dari 3

PERNYATAAN PROFESIONAL PRAKTIKUM FASA 1 19 MAC 13 APRIL 2012

Sebelum Praktikum Seminggu sebelum praktikum bermula, saya telah selesai membuat persediaan dari segi bahan pengajaran, portfolio, tempat tinggal, dan kenderaan ke sekolah. Saya memastikan semua perkara tersebut selesai sebelum menjalankan praktikum agar tidak kelam kabut kelak. Ini merupakan kali pertama saya akan berpraktikum. Saya merasa teruja dan juga gementar. Saya sedar bahawa saya tidak mampu untuk terus melakukan yang terbaik seperti mana yang diharapkan sebagai guru. Walau bagaimanapun, saya ingin berusaha bersungguh-sungguh dan mendapatkan sebanyak-banyak

pengalaman. Saya tidak berharap untuk menjadi cemerlang dalam praktikum kelak. Apa yang saya harapkan ialah peningkatan dari segi mutu pengajaran dari minggu ke minggu. Saya akan mempraktik apa yang telah saya pelajari di IPG Kampus Rajang selama tiga tahun di sekolah kelak. Inilah masanya untuk saya mencuba kerana saya akan dipantau dan dibimbing oleh pensyarah penyelia dan guru pembimbing. Maka saya akan mendapat teguran dan dapat memperbaiki mutu pengajaran saya. Jika saya tidak mencuba sekarang, saya akan rugi kerana apabila saya menjadi guru kelak, tiada siapa yang akan menegur saya.

Semasa Praktikum Berpraktikum adalah jauh lebih sibuk berbanding menghadiri kuliah di kampus. Ini kerana banyak perkara yang perlu diuruskan seperti membuat Rancangan Pengajaran Harian, Bahan Sumber Pengajaran dan Pembelajaran, refleksi, jurnal, dan tugasan projek. Walau bagaimanapun, saya sangat seronok menjalani praktikum kerana banyak perkara yang saya alami dan pelajari. Apa yang selama ini saya pelajari di kampus, dapat saya praktikkan di sekolah. Juga banyak cabaran yang perlu saya tempuhi sebagai contoh masalah utama saya iaitu bagaimana untuk menguruskan bilik darjah. Semasa kuliah di kampus, saya menjangkakan bahawa menguruskan bilik darjah tidak sukar sekiranya kita mempraktikkan kemahiran yang telah dipelajari, namun begitu ia tidaklah semudah yang disangkakan. Ini kerana terdapat ramai murid dengan pelbagai ragam dan karenah. Benar apa yang telah dikatakan oleh pelajar senior yang telah atau sedang menjalani praktikum bahawa tidak mungkin kita dapat banyak berehat dan bersantai seperti mana di kampus kerana sepanjang masa kita sibuk dengan hal sekolah. Dari jam 5 pagi hingga 4 petang kita berada di sekolah untuk menjalankan p&p, kegiatan kokurikulum, dan tugasan projek. Dari jam 4 petang hingga 12 tengah malam atau lebih dari itu, kita sibuk menyiapkan RPH, BSPP, dan mengemas kini portfolio. Walau sesibuk manapun, saya lebih suka untuk berpraktikum berbanding menghadiri kuliah di kampus. Mungkin juga kerana faktor persekitaran baru yang membuatkan saya teruja untuk menerokainya. Mungkin juga kerana saya dapat mempraktik cara mengajar di sekolah berbanding hanya mendengar dan mencatat nota dalam kuliah. Banyak kesilapan yang telah saya lakukan dan saya mempelajari kesilapan tersebut. Saya berharap kemajuan saya makin meningkat pada setiap minggu.

Selepas Praktikum Sebulan berpraktikum dirasakan sekejap sahaja. Saya berpendapat bahawa tidak cukup jika hanya sebulan masa yang diperuntukkan untuk berpraktikum. Ini kerana saya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, lebih-lebih lagi ini merupakan kali pertama saya berpraktikum. Saya teringat kata-kata seorang rakan yang baru sahaja tamat pengajian di kampus dan mula mengajar. Beliau berkata bahawa pada tahun pertama menjadi seorang guru, beliau merasakan seperti hilang punca kerana belum dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Pada tahun kedua, barulah beliau mula dapat mengajar dengan baik. Saya bersetuju dengan usul baru iaitu praktikum untuk fasa yang seterusnya dijalankan di sekolah yang sama kerana guru pelatih sudah biasa dengan persekitaran sekolah tersebut dan dapat merancang pengajaran dengan lebih baik. Dari segi lain, ada kebaikan praktikum fasa I dijalankan dalam masa sebulan sahaja. Guru pelatih dapat segera membuat refleksi mengenai praktikum fasa I dan merancang tindakan susulan pada praktikum seterusnya yang lebih panjang tempohnya. Ini kerana, semasa berpraktikum, guru pelatih tidak dapat berfikir dengan baik kerana sibuk dengan urusan praktikum. Selepas tamat berpraktikum, barulah guru pelatih dapat melakukan refleksi dan menyedari kekuatan dan kelemahan diri. Maka guru pelatih mempunyai banyak masa lagi pada praktikum seterusnya untuk membetulkan kesilapan dan mencuba perkara baru. Apa yang saya sedari dari praktikum ini ialah saya terlalu kelam kabut kerana banyak perkara yang saya tidak tahu atau tidak mahir. Sebagai contoh mengenai RPH. Banyak langkah atau aktiviti yang saya tidak dapat jalankan seperti mana yang dirancangkan kerana salah satu sebab ialah ketidaksesuaian dengan murid. Maka pada praktikum seterusnya, saya ingin merancang RPH yang sesuai dan dapat mencapai objektif dan hasil pembelajaran. Oleh kerana itulah, lebih baik ditempatkan di sekolah yang sama pada fasa yang akan datang supaya kita dapat mempelajari kesilapan lalu dan cuba memperbaikinya semula.

Anda mungkin juga menyukai