Anda di halaman 1dari 2

Jangan sempitkan pemikiran anda dengan dua pilihan

Selalunya manusia membuat pertimbangan hanya antara baik dan buruk. Ya benar kita perlu memilih yang baik dan menolak keburukan kerana itu yang dituntut oleh Allah SWT. Tetapi kita jangan lupa, biasanya pilihan yang berada didepan kita bukan hanya antara baik dan buruk, kadang-kadang kita terpaksa membuat pilihan diantara dua keburukan atau dua kemudharatan dan mungkin juga antara dua kebaikan. Jika kita terpaksa memilih antara dua kebaikan atau kemaslahatan tentunya pilihan itu lebih ringan. Kalaupun kita tersalah, hasilnya masih lagi KEBAIKAN. Namun jika diperincikan banyak juga perlu dipertimbangkan; misalnya kebaikan mana yang memberi kesan lama dan bermakna. Ada juga kebaikan yang segera tetapi hayatnya pendek dan ada pula kebaikan yang lambat hasilnya tetapi berpanjangan. Namun jiwa manusia sering menjadi sempit dan pemikirannya tepu apabila berdepan dengan dua kemudahratan atau keburukan sedangkan tidak ada pilihan yang ketiga iaitu kemaslahatan atau kebaikan. Kita secara fitrahnya inginkan kebaikan namun yang berada didepan kita adalah dua pilihan yang terpaksa dipilih salah satunya dan kedua-duanya mendatangkan kemudharatan. Saya berikan satu contoh; Katakan anak kita merenget atau merajuk kerana inginkan sesuatu (misalnya HP) yang pada pandangan kita masih tidak perlu atau membazir. Jika kita penuhi permintaannya, tentunya membazir (negatif) bahkan menjadikan anak kita terbiasa dengan keborosan. Namun pada zaman ini hampir semua kawan-kawannya ada HP dan anak kita juga merupakan seorang yang keras hati dan bila merajuk memang luar biasa. Sekarang ini kedua-dua tindakan kita mendatangkan kemudharatan yang mengundang masalah. Sebenarnya banyak lagi kes-kes yang lebih rumit dalam kehidupan kita dimana kita berdepan dengan dua pilihan dan kedua-duanya memudharatkan. Secara fitrahnya jiwa kita akan meronta inginkan kebaikan sebagai pilihan hingga fikiran kita jadi sempit dan buntu. Kadang-kadang kita menjadi tertekan dan tidak tahu tindakan yang perlu kita ambil. Sebenarnya ada panduan lain yang ditentukan oleh syarak iaitu pilihlah sesuatu yang lebih kurang mudharat atau keburukannya. Pilihlah sesuatu yang kemudharatannya lebih sedikit hingga kita mampu mengatasinya dimasa hadapan. Jiwa kita sebenarnya akan menjadi lebih tenteram dan fikiran kita menjadi lapang apabila kita menyedari bahawa tidak semua pilihan yang ada dalam kehidupan kita adalah antara baik dan buruk. Menyedari hakikat ini bermakna kita menyedari hakikat kehidupan yang lebih realistik hingga kita mampu menghadapi kehidupan dengan jiwa yang lapang. Satu lagi panduan syarak dalam kita menentukan sikap hidup kita ialah menolak kemudharatan adalah lebih utama dari mengambil maslahat.

Kenapa? Kebaikan sifatnya adalah menambah. Kalau tidak adapun tidak mengapa tetapi kalau ada, Alhamdulillah ia merupakan bonus. Namun kemudharatan atau keburukan itu sifatnya mengikis, memporakperandakan dan akan menjadi beban dalam kehidupan kita jadi menolak mudharat ini lebih utama dari mengambil maslahat. Saya berikan satu contoh. Katakan kita lelaki dan ada seorang gadis cina yang menyatakan minatnya untuk mendalami Islam. Ya, tentu kita terimpi-impikan balasan yang Allah janjikan sekiranya gadis ini (cantik pula) masuk Islam. Gadis itu pula menyatakan hanya ingin belajar dari kita kerana katanya dia yakin dengan kebaikan dan kejujuran kita (Kalau pembaca adalah wanita bayangkan sebaliknya; iaitu seorang jejaka india yang tampan dan sebagainya). Bagaimana sekarang? Kalau kita menerima hajatnya mungkin dia akan masuk Islam dan kita akan tumpang pahala yang begitu besar (lebih baik dari dunia dan isinya; Mafhum hadis) dan jika kita enggan, tentunya melepas. Mari kita perincikan masalah ini. Jika kita menerima cadangannya; maslahat atau kebaikannya ialah dia mendapat hidayah tetapi kemungkinan juga kita akan terdedah kepada fitnah besar iaitu pergaulan yang mungkin membawa kepada zina. Bayangkan setiap hari bertemu, tentu syaithan yang sudah beribu tahun pengalamannya dalam nenyesatkan dan menyelewengkan manusia ada strategi yang cukup ampuh dan berkesan untuk mengendalikan kes ini. Jika kita menolak; maka tidak ada maslahatnya. Dia akan terus kekal dengan agamanya dan kitapun tidak dapat pahala. Disini kita perlu membuat pertimbangan adakah kita ingin mengambil maslahat tetapi mengundang kemudhratan atau tidak dapat maslahat tetapi juga menjauhkan kemudharatan. Dalam kes ini, katakan saja padanya jika ia jujur ingin mendalami Islam kita akan perkenalkannya pada seorang ustazah atau seorang perempuan yang kita kenali dan kita tidak mampu mendidiknya sendiri kerana takut ditimpa mudharat yang akan merosakkan agama kita. Rumusannya, Allah SWT tidak membiarkan kita terkapar-kapar dalam membuat pilihan tetapi membekalkan kita manhaj hidup yang begitu lengkap dan sempurna untuk kebahagiaan kita dunia dan akhirat. Apa yang saya lontarkan disini adalah panduan ringkas tentang Fiqh keutamaan. Jika ada yang ingin mendalami, sila baca buku Fiqh keutamaan yang ditulis oleh Dr Yusuf Qardawi

Anda mungkin juga menyukai