Anda di halaman 1dari 8

Pemikiran Dakwah dalam Tafsir Muhammad Asad

Abstrak Kertas ini mengkaji pemikiran dan kefahaman dakwah dalam tafsir Muhammad Asad, The Message of the Quran. Kitab The Message yang dihasilkan selama lebih 17 tahun oleh Allamah Muhammad Asad ini merupakan tafsiran moden yang cukup berpengaruh di abad ke 20 yang mengetengahkan manhaj akliah yang tuntas dan kefahaman hermeneutik yang ideal. Ia mengangkat tafsiran ulama dari aliran sunni (al-Razi - Mafatih al-Ghayb), zahiri (Ibn Hazm alMuhalla) mutazili (Zamakhshari - al-Kashshaf) dan salafiyah moden (Muhammad Rashid Rida dan Muhammad Abduh - Tafsir al-Manar). Menarik untuk dikaji kupasannya terhadap ayat-ayat dakwah dan garapannya tentang uslub dakwah dalam al-Quran (tawjihat al-ayat), yang membahas secara ekstensif kefahaman dan tema dakwah yang penting seputar konsep al-targhib dan al-tarhib, dan al-amr bi al-maruf wa al-nahy an al-munkar. Kertas ini berusaha meneliti dan merungkai metode yang digariskannya dalam perbincangan ayat-ayat dakwah dan melihat kekuatan hujah dan fikrah yang dikemukakannya tentang gagasan dakwah dalam konteks moden.

1. Pendahuluan

Muhammad Asad (1900-1992) merupakan seorang pentafsir, diplomat, wartawan, penulis dan penterjemah yang aktif. Beliau telah menghasilkan karya-karya besar yang signifikan yang membangkitkan kekuatan baru dalam dunia Islam dengan pesan kebangkitan, dan pencerahan yang ditiupkannya. Dalam magnum opusnya The Message of the Quran, beliau membawa idealisme pembaharuan dan ijtihad yang dikemukakan oleh Shaykh Muhammad Abduh dan Muhammad Rashid Rida dalam Tafsir al-Manar dan berusaha menghidupkan warisan intelek dan tradisi akliah yang diperjuangkan mereka. Kejituannya dalam membela ide-ide moden dan rasional ini diungkapkan dengan jelas dalam The Message of The Quran: Every Quranic verse or statement is directed to reason and therefore must be comprehensible [setiap ayat atau pernyataan al-Quran ditujukan kepada akal dan kerana itu harus dapat difahami], dan The spirit of the Qurn could not be correctly understood if we read it merely in the light of later ideological developments, losing sight of its original purport and meaning. In actual fact we are bent to become intellectual prisoners of others who were themselves prisoners of the past and had little to contribute to the resurgence of Islam in the modern world. [semangat al-Quran tidak dapat difahami sepenuhnya sekiranya kita membacanya hanya dalam rangka perkembangan ideologi setelahnya, terlepas dari menilik tujuan dan maknanya yang asli. Pada kenyataan yang sebenar kita telah terikat dan menjadi tawanan intelek kepada yang lain yang juga telah tertawan oleh pemikiran yang lepas dan hanya sedikit yang dapat disumbangkan kepada kebangkitan Islam dalam dunia moden]. (Asad, 2008)

2. Biografi Muhammad Asad

Nama asalnya ialah Leopold Weiss, berketurunan Yahudi dengan kekuatan pengaruh Rabbi yang diwarisinya. Beliau dilahirkan pada 2 Julai 1900 di bandar Lviv (Lemberg), Ukraine, yang terletak di timur Galicea, yang dahulunya merupakan sebahagian dari empayar AustroHungarian. Sejak kecilnya beliau telah mempelajari kitab Lama (Old Testament) dan mendalami teks Talmud, Mishna, Gemarra dan Targum (tafsiran Bible). Beliau turut menguasai bahasa Hebrew dan Aramaic. Beliau mengambil pengajian falsafah dan sejarah seni di University Vienna pada tahun 1918. Pada tahun 1920 beliau meninggalkan pengajiannya di Vienna dan berhijrah ke Berlin untuk menceburi bidang kewartawanan. Beliau bekerja dengan pereka filem Fritz Lang, dan menjawat sebagai operator bagi agensi berita Amerika di Berlin. Pada tahun 1922 beliau berhijrah ke Palestine, dan menetap bersama pakciknya Dorian Feigenbaum, seorang ahli psikologi di Jerusalem. Di sana beliau bekerja dengan agensi berita Franfurter Zeitung sebagai wartawan luar. Pekerjaan tersebut membawanya merentasi Mesir, Maghribi, Arab Saudi, Iran, Afghanistan, Syria, Amman, Iraq, Kurdistan, Asia Tengah dan selatan Russia untuk mengenali dunia Islam secara lebih dekat. Beliau bertemu dengan reformis Islam di Kaherah, Shaykh Mustafa al-Maraghi (1881-1945) dan memeluk Islam pada tahun 1926. Asad telah menghasilkan karya-karya yang prolifik dalam ilmu tafsir, hadith, sejarah, sastera, perundangan dan kesenian Islam. Antaranya termasuklah: The Message of the Quran, Sahih alBukhari: The Early Years of Islam, The Road to Mecca, My Discovery of Islam, This Law of Ours, The Spirit of Islam, Islam at the Crossroads, The Unromantic Orient, The Principles of State and Government in Islam, Arafat (jurnal) dan lain-lainnya. Pada tahun 1932, dari kehidupan padang pasir dan pergunungan tanah Arab Asad berhijrah ke India, di mana beliau menghasilkan karyanya yang monumental, terjemahan dan syarah Sahih alBukhari dalam Bahasa Inggeris, yang diusahakan selama sepuluh tahun. Ide untuk menguraikan kitab Sahih ini tercetus sewaktu beliau menuntut ulum al-hadith di Madinah dan ilmu-ilmu yang berkaitan selama lima tahun di sana. Jilid pertama kitab ini yang mengandungi lima bahagian sempat diterbitkan pada tahun 1935 sebelum meletusnya perang dunia kedua. Tiga puluh lima bahagian lain yang sempat diterjemah dan disyarah musnah dalam rusuhan kaum di Punjab, dan manuskripnya bersama lembaran-lembaran kitab dari perpustakaannya hanyut dalam arus sungai Ravi. Asad telah mendapat pengiktirafan besar kerana perjuangannya membebaskan masyarakat Islam dari cengkaman kolonial. Pada awal 1940-an beliau berkunjung ke Lahore, India dan bertemu dengan tokoh-tokoh hadith terkemuka seperti Maulana Muhammad Ali, Dr. Saeed Ahmad dan

Mahmud Shaukat. Pada tahun 1947 beliau mengepalai Department of Islamic Reconstruction dan menyertai Muhammad Iqbal (1876-1938) menubuhkan negara Islam Pakistan. Pada 1949 beliau berkhidmat dengan kementerian luar Pakistan sebagai ketua jurusan Timur Tengah dan dilantik sebagai duta Pakistan yang pertama ke PBB. Beliau turut diangkat sebagai Penasihat Raja Saud (1880-1953), dan Raja Faysal (p. 1964-75) bagi kerajaan Arab Saudi dan menjalin hubungan baik dengan Putera Salman (l. 1936), Gabenor Riyadh dan Shaykh Ahmad Zaki alYamani (w. 1930), Menteri Minyak dan Sumber Asli di Saudi. Pada tahun 1987, Asad menerbitkan This Law of Ours and Other Essays, yang menghimpunkan koleksi artikelnya tentang pemikiran politik dan aliran mazhab umat Islam yang ditulisnya sepanjang tahun dan tidak diterbitkan. Beliau terus aktif dalam lapangan intelektual dan melanjutkan pengembaraannya ke timur dan barat, menempuh hidup selama 19 tahun di Tangier, Maghribi, sebelum berhijrah ke Mijas, Andalusia, salah sebuah daerah di Sepanyol. Beliau meninggal dunia pada 20 Februari 1992 di Granada, Andalus (Sepanyol) dalam usia 91 tahun dan meninggalkan seorang balu, Puan Paola Hameeda Asad. (Muzaffar Iqbal, 1998)

3. Kitab The Message of the Quran Asad memulakan usahanya menulis kitab The Message of the Quran ini di Geneva pada tahun 1960. Jilid pertama dari karya ini diterbitkan pada tahun 1964 yang memuatkan tafsirannya hingga surah al-Taubah. Terjemahan ini disempurnakan pada tahun 1980 dan diterbitkan oleh Dar al-Andalus, Gibraltar. The Message yang diusahakan selama tujuh belas tahun ini diiktiraf sebagai salah sebuah karya terbaik dan terunggul dalam bahasa Inggeris. Ia merupakan tafsiran yang terpenting di abad moden yang telah berhasil mengemukakan, sedekat mungkin, terjemahan al-Qurn yang bebas daripada konsepsi yang membebankan yang lahir dalam perkembangan Islam sebelumnya. Sebelum memulakan usaha penterjemahannya, beliau telah menghabiskan lebih tiga dekad mempelajari al-Qurn, hadith dan disiplin pengajian Islam yang lain. Beliau bertekad untuk menetap di semenanjung Arab dan, dari kelangsungan hubungan dengan masyarakatnya, telah dapat mengenal dengan lebih sempurna lenggok loghat Arab yang meletakannya melangkaui zaman dalam misi intelektuilnya untuk mengangkat ketinggian al-Qur'n dan memahami kemurnian teksnya yang mengatasi mana-mana penterjemah al-Qurn dari barat. Beliau turut menjalinkan hubungan yang akrab dengan sebahagian dari cendekia Muslim yang paling ideal di zamannya. Hasan Gain Eaton, sarjana Muslim British yang terkemuka, dalam prolog barunya kepada The Message of the Qurn mengungkapkan bahawa tidak ada satu nukilan yang lebih berguna sebagai petunjuk kepada al-Qurn dalam bahasa Inggeris dari terjemahan dan komentar Muhammad Asad, yang memuatkan huraian dan interpretasi yang ekstensif yang dinukil dari

mufassir besar, yang karya aslinya hanya dapat diakses oleh ulama Arab. Obituari Muhammad Asad dalam majalah Independent mengangkat magnum opusnya, The Message of the Qurn sebagai satu karya yang tiada tandingan dalam bahasa Inggeris dalam tafsiran terhadap al-Quran, tidak hanya dalam hubungan intelektualnya dengan teks malah pada keintiman, kehalusan dan kefahaman yang mendalam terhadap keaslian ungkapan klasik Arab yang dilantunkan dalam al-Qurn. Tafsirannya disandarkan dari penghujahan teks-teks klasik dan kontemporer dan karya-karya tafsir yang muktabar yang dirujuknya secara ekstensif seperti tafsir Al-Tabari, Al-Zamakhshari, Ibn Hazm, Al-Razi, Al-Baydawi, Abi Suud, Al-Qurtubi, Ibn Kathir, Al-Suyuti, Muhammad Abduh, Rashid Rida dan al-Maraghi. Ia turut menggembling makna yang signifikan dari perbahasan hadith, seperti yang dirakamkan dalam karyanya Sahih al-Bukhari: The Early Years of Islam: Karya yang saya kerjakan sepanjang hidup telah selesai disempurnakan dengan judul The Message of the Quran; dan intelektual yang membaca karya tersebut dapat mengesan dengan mudah sejauh mana semangat hadith dan dengannya, daya usaha al-Bukhari yang segar, telah meresap dalam terjemahan saya terhadap kalam Ilahi. (Asad, 2003) Tema utama yang diketengahkan dalam komentarnya adalah kebebasan akal dan ijtihad. Asad mengarahkan kitab The Message kepada mereka yang berakal budi [li qaumin yatafakkarun]: kepentingan untuk menggunakan fakulti intelek seseorang untuk memahami teks suci, fakta yang ditekankan dalam al-Qur'n sendiri, seperti dinyatakan oleh Khaleel Mohammed: Muhammad Asad, contohnya, menampilkan terjemahan yang tepat dan jelas...dan berusaha menzahirkan kelainan dari kaedah tafsir tradisional dengan menekankan kebebasan akliah. (Khalil Mohammed, 2005). Dengan falsafah pemikirannya yang rasional Asad cuba menjawab tuntutan zaman secara realistik, dengan pentafsirannya yang jitu dan klasik, Setiap zaman menuntut pendekatan yang baru terhadap al-Quran dengan alasan yang mudah bahawa al-Quran diturunkan untuk semua zaman. Ia merupakan tugas kita untuk mencari makna yang lebih mendalam di dalam al-Quran bagi meningkatkan pengetahuan dan pengalaman kita. Al-Quran ingin daya intelek kalian sentiasa aktif dan cuba untuk mendekati pesan ketuhanan. Tuhan sendiri mendedikasikan kitab ini kepada mereka yang berfikir. (Asad, 2008) Menurut Asad, setiap ayat atau kenyataan al-Qur'n dihalakan kepada fikiran dan lantaran itu harus dapat digarap dan ditanggapi. Kriteria penting yang ditekankan dalam tafsirnya adalah prinsip ijtihad dan takwil, yang terkesan dari pemikiran Abduh dalam Tafsir al-Manar, seperti dinyatakan dalam nota kaki pada pengantarnya: Pembaca akan dapati banyak rujukan yang dibuat dari pandangan Muhammad Abduh (1849-1905) di nota kaki. Pengaruh beliau dalam dunia moden Islam tidak mampu untuk dijelaskan sepenuhnya. Cukup untuk dinyatakan bahawa setiap aliran pemikiran Islam yang tumbuh di zaman moden adalah berakar dari pengaruh yang bercambah dari tradisi pemikiran dan idealisme beliau, secara langsung atau tidak. Tafsiran al-Quran yang direncana dan dirintis beliau telah terjejas dengan kewafatannya pada tahun 1905; dan diteruskan (namun sayangnya

tidak dapat disempurnakan sepenuhnya) oleh murid beliau Rashid Rida berjudul Tafsir alManar, dan telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh saya. Lihat juga Rashid Rida, Tarikh al-Ustadh al-Imam ash-Shaykh Muhammad Abduh (kaherah 1350-1367 H.), sebuah biografi ulung tentang Shaykh Abduh yang pernah diterbitkan, dan juga C.C. Adams, Islam and Modernism in Egypt (London 1933). (Asad, 2008) Sejajar dengan agenda reformisnya, The Message adalah terjemahan yang koheren yang memberikan pertimbangan dan fokus yang tuntas terhadap diskursif modernis yang khusus tentang al-Qurn. Hasil dari pendekatan ini jelas terlakar dalam stail terjemahannya tatkala mengungkapkan makna dan interpretasi yang mempertahankan agenda reform sambil meresapkan tafsiran tradisional dan mengangkatnya dalam sebuah komentar yang paling komprehensif yang pernah dihasilkan dalam mana-mana bahasa.

4. Tafsir ayat-ayat dakwah Tafsirnya terhadap ayat-ayat dakwah dilakarkan dengan tuntas dengan penggarapan tema-tema pokok seputar falsafah dan prinsip dakwah yang signifikan dari setiap surah. Ini dapat diteliti dari tafsir surah 3:103, 11:88, 16:125, 25:51 dan 47:37. Dalam sura al-Nahl ayat 126, yang berbunyi hence, if you have to respond to an attack [in argument], respond only to the extent of the attack leveled against you (kerana itu, jika kamu terpaksa menangkis serangan [dalam berhujah], tangkis sejauh kadar serangan yang dikenakan ke atas kamu) Asad menghuraikan: makna literal, balas [atau tangkis] dengan yang setimpal seperti yang ditimpakan kamu dengannya: dengan itu: orang-orang beriman diingatkan untuk mengawal-diri dalam berhujah dengan kalangan yang menganut kepercayaan lain, dan tidak sekali-kali melanggar batas kesopanan dan kewajaran intelek. Walaupun pembalasan dalam berhujah diizinkan sekiranya integriti seseorang dicabar oleh lawan, rentetan akibatnya membuatkannya jelas bahawa ianya lebih baik dari segi moral untuk meninggalkannya seluruhnya dan menanggung serangan yang tidak adil itu dengan sabar. Dari penjelasannya yang jitu ini Asad menzahirkan prinsip dakwah yang adil yang berasas kepada keinsafan dalam menegakkan kebenaran dan mempertahankan adab yang tinggi dalam berhujah. Tafsiran Asad ini, sebenarnya menjawab pertanyaan kunci yang hendak dijawab Al-Quran, iaitu: Bagaimana semestinya saya berperilaku agar meraih kehidupan yang baik di dunia dan kebahagiaan dalam kehidupan yang akan datang? (prakata, ms. i). Dalam tafsirannya tentang petunjuk Tuhan, Asad memutuskan bahawa hidayah hanya dicapai dengan ikhtiar dan kemahuan, seperti ditekankan dalam huraiannya terhadap ayat 2: 213 for God guides onto a straight way him that wills [to be guided], (kerana Tuhan menunjukkan kepada jalan yang lurus dia yang ingin [ditunjuki]), dalam nota kakinya dijelaskan: that intellectual cognition of the truth cannot, by itself be a means of attaining to ultimate bliss: it must be complemented by readiness to sacrifice and spiritual purification through suffering

(bahawa kesedaran intelek terhadap kebenaran tidak dapat, dengan sendirinya, menjadi sarana untuk mencapai kebahagiaan yang tertinggi: ia harus disempurnakan dengan kesediaan untuk berkorban dan penyucian rohani melalui penderitaan). Kefahaman Asad ini juga diperkuat oleh pandangan Hamka dalam Tafsir al-Azhar yang menegaskan bahawa kesedaran jiwa yang menggarisbawahi semua asas dalam pembentukan sendi kehidupan masyarakat: Islam memperbaiki masyarakat dan meratakan keadilan sosial dengan menekankan terlebih dahulu dasar sendi pertama sosial (masyarakat). Dasar sendi pertama ialah jiwa seseorang. Ditanamkan terlebih dahulu dalam jiwa seseorang iman kepada Allah dan hari akhirat, lalu iman itu menimbulkan rasa kasih-sayang dan dermawan. Kesedaran peribadi setiap orang dalam hubungannya dengan Allah, manusia, alam sekitar dan kedudukan dirinya di tengah semuanya itu, di sanalah sumber keadilan sosial. Sebab itu pernah tersebut di dalam suatu hadis, bahawasanya jika ajaran ini telah diamalkan, akan datang suatu masa tidak ada lagi orang yang berhak menerima zakat, kerana semua orang wajib berzakat. Dan ini pernah tercapai dalam masyarakat Islam, sebagaimana disaksikan dalam sejarah Khalifah Umar bin Abdul Aziz (rad). (Hamka, 1990) Dakwah Islam, menurut Asad, adalah bersifat universal sebagai rahmat lil-Alamin (rahmat bagi sekalian alam) yang digerakkan oleh kekuatan umat yang bangkit dengan nilai perjuangan yang tulen dan autentik sebagai umat yang pertengahan (ummatan wasatan), yang diterjemahkan Asad sebagai a community of the middle way (umat pertengahan) [2:143]. Ini diungkapkan oleh Prof. Ismail Raji al-Faruqi sebagai an ecumenical community par excellence atau Ahmad Syafii Maarif sebagai komunitas jalan tengah, umat yang medium, tidak ekstrem yang mempertahankan hujah Islam yang rasional dan meraikan prinsip keterbukaan dan maslahah: Islam harus dikemukakan tanpa sebarang fanatisme. Tanpa sebarang penekanan hanya kita yang menempuh jalan petunjuk dan kalangan yang lain terpesong. Kesederhanaan dalam semua bentuk adalah tuntutan basik dalam Islam. (Asad, 2008) Asas dakwah juga dikaitkan dengan prinsip keadilan sebagaimana ditafsirkan oleh Asad dalam surah al-Nisa ayat 58: Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat. [4:58] Asad menerangkan kefahamannya yang luas mencakup faham hukum dan prinsip dakwah yang universal yang berteraskan tuntutan keadilan: iaitu (adil), dalam maksud perundangan, dan juga dalam pengertian menghukum niat, sikap dan laku orang lain. Dalam Apendiknya tentang Perjalanan Malam, Asad merumuskan bahawa perjuangan dakwah Islam adalah kesinambungan dari risalah langit yang dipikul oleh para Anbiya (as) yang diutuskan sebelum kerasulan Nabi Muhammad (saw), seperti dijelaskannya: Sebagai kesimpulan, harus diperhatikan bahawa Perjalanan Malam Rasulullah (saw) dari Mekah ke

Baitulmaqdis, berlaku sebaik sebelum Pengangkatannya, membuktikan bahawa Islam bukanlah suatu kepercayaan baru tetapi merupakan tradisi yang berkesinambungan dari risalah suci yang sama yang disampaikan oleh Nabi-Nabi terdahulu, yang menempati Baitulmaqdis sebagai kediaman rohani mereka. Pandangan ini diperkukuh oleh hadith (dipetik dalam Fath al-Bari VII, 158), yang mana Nabi (saw), dalam Perjalanan Malamnya, telah menunaikan solat di Yathrib, Sinai, Bethlehem, dan lain-lainnya. Pertemuan Baginda (saw) dengan Nabi-Nabi yang lain, yang disebut dalam peristiwa ini, menyerlahkan idea yang sama. Hadith yang masyhur daripada babak penting Perjalanan Malam ini di mana Nabi (saw) telah memimpin jemaah solat dalam sebuah kuil suci di Baitulmaqdis, yang mana semua para Nabi berdiri membentuk saf di belakang Baginda (saw), menunjukkan secara figuratifnya tentang kepercayaan bahawa Islam, sebagaimana disampaikan oleh Nabi Muhammad (saw), adalah pelengkap dan penyempurna kepada tradisi agama manusia, dan Nabi Muhammad (saw) adalah Rasul pembawa risalah Allah yang terakhir dan teragung. (Asad, 2008)

5. Kesimpulan Dari tafsirannya tentang intipati dakwah dalam al-Quran, Asad telah mengemukakan pandangan dakwah yang universal dan meluas yang digarap dari maqasid dan semangat al-Quran. Komentarnya mengilhamkan kebangkitan ide yang rasional dan mengapungkan cita-cita nahdah dan tajdid yang jelas. Ia membahas falsafah dan khittah dakwah yang segar dengan keutamaan terhadap tema pembaharuan dan ijtihad. Perbincangan tentang aspek dakwah dalam kitab The Message of the Qurn ini harus diperluas bagi mengangkat kefahaman tentang perjuangan dakwah dan pencerahan yang dibawa al-Qurn di saat bangkitnya kesedaran dan kecenderungan sejagat untuk menyingkap pesan universal yang dikemukakan Islam kepada bangsa manusia, seperti diungkapkan oleh Ahmad Syafii Maarif dalam artikelnya Muhammad Asad tentang Alquran: Asad dengan The Message-nya tidak diragukan lagi telah memberikan sumbangan yang sangat berharga kepada khazanah ilmu pengetahuan dan kemanusiaan.

Rujukan Asad, Muhammad. (2002). Sahih al-Bukhari: The early years of Islam. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust. Asad, Muhammad. (2003). Sahih al-Bukhari: The early years of Islam. Kuala Lumpur: A.S. Noordeen. Asad, Muhammad. (2008). The Message of the Quran. Watsonville, CA: The Book Foundation. Hamka. (1990). Tafsir al-Azhar. Singapura: Pustaka Nasional. Khaleel Mohammed. (2005). Assessing english translations of the Quran, Middle East Quarterly, xii (2): 58-71. Muzaffar Iqbal. (1998). Muhammad Asad: A biography. Islamic Studies, 37 (3): 411-414.

Anda mungkin juga menyukai