Anda di halaman 1dari 1

Perkataan psikologi (Psychology) berasal daripada gabungan dua perkataan Greek iaitu Psyche (Psiko) yang membawa maksud

jiwa, rohani atau mental dan -logos (-logi) yang bermakna kajian. Sebagai satu perkataan, ia membawa maksud kajian jiwa, mental atau rohani manusia.

Daripada makna perkataan ini sahaja, beberapa definisi telah disarankan oleh pakar-pakar psikologi dari seluruh dunia. Mengikut pergerakan sejarah serta perkembangan psikologi, William James (1890) mendefinisikan psikologi sebagai sains kehidupan mental (Bruno, 1984). Beliau menekankan kepentingan unsur-unsur subjektif atau kemanusiaan yang tidak dapat didaftarkan oleh sistem deria manusia. John Watson (1919) pula menyarankan supaya definisi psikologi dikaji semula bagi membolehkannya dilihat dari segi tingkah laku yang berunsur objektif, iaitu yang boleh didaftarkan oleh sistem deria manusia. Daripada dua pandangan tersebut, psikologi moden boleh kita definisikan sebagai satu kajian yang saintifik tentang jiwa dan tingkah laku manusia.

Daripada definisi tersebut, kita boleh membahagikan psikologi kepada beberapa bahagian. Pertama, psikologi sebagai satu kajian yang saintifik. Ini bermakna kajian-kajian yang dilakukan dalam disiplin psikologi menggunakan kaedah-kaedah penyelidikan yang saintifik seperti kajilidikan, peninjauan, korelasi, pemerhatian, kes kajian, dan lain-lain. Kesemua metodologi tersebut mempunyai ciri-ciri tertentu dan menggunakan prosedur-prosedur yang saintifik.

Kedua, psikologi mengkaji tingkah laku manusia. Tingkah laku manusia ialah perbuatan yang boleh kita lihat. Dalam erti kata lain, semua tingkah laku ini di dalam bentuk lampau (overt behavior) seperti berjalan, makan, memandu, menerajang, memukul, dan lain-lain lagi.

Ketiga, dan yang terakhir, pakar-pakar psikologi juga menjalankan kajian-kajian ke atas prosesproses mental manusia, yang lebih dikenali sebagai tingkah laku terselindung (covert behavior). Ini merupakan sesuatu tingkah laku yang tidak dapat kita lihat seperti bayangan, perasaan, mimpi, fantasi, khayalan, dan lain-lain.

Secara keseluruhan, psikologi mengkaji semua jenis tingkah laku manusia. Kadangkala, kajian-kajian ke atas binatang juga dilakukan, seperti melihat kesan dadah ke atas tingkah laku seekor tikus. Kajian ini perlu kerana ia tidak boleh dilakukan ke atas manusia. Walau bagaimanapun, semua kajian tersebut mempunyai darjah signifikan yang tinggi ke atas penggunaannya untuk manusia sama ada secara langsung atau pun tidak. Tugas manusia pula ialah untuk memahami sedikit sebanyak tentang dirinya sendiri, mengetahui jenis-jenis proses dan perasaan-perasaan yang dialami serta menghayatinya dengan secara keseluruhan.

Anda mungkin juga menyukai