Anda di halaman 1dari 3

SITI AISHAH BINTI ABDUL LATIFF

D20081032348

Tempoh remaja merupakan suatu proses peralihan yang normal daripada umur
kanak-kanak kepada umur dewasa. Perubahan sewaktu remaja melibatkan perubahan dari
segi fizikal, mental, sosial dan kognitif seseorang individu. Setiap remaja juga mengalami
perkembangan keyakinan dalam diri mereka. Keyakinan diri atau self-esteem merupakan
suatu perkataan yang digunakan secara meluas dalam bidang bahasa dan psikologi.
Menurut Blascovich & Tomaka (1991), keyakinan diri merujuk kepada perasaan
seseorang individu terhadap diri sendiri atau penilaian mereka terhadap setakat mana
nilai diri seseorang, menerima dan menghargai pendapat orang lain serta memberi
penghargaan terhadap diri sendiri. Secara umumnya, keyakinan diri merupakan penilaian
yang tinggi terhadap diri sendiri.

Keyakinan diri remaja pada amnya merujuk kepada keupayaan remaja menilai
komponen-komponen konsep kendiri yang ada dalam diri mereka serta merupakan suatu
gambaran yang lebih luas termasuklah yang berkaitan dengan aspek-aspek kognitif dan
kelakuan. Keyakinan diri atau harga diri ini juga berkait rapat dengan sosioekonomi serta
tahap kesihatan yang berbeza. Remaja yang dikelilingi oleh keluarga dan masyarakat
yang baik akan mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Sebaliknya, remaja yang berada
dalam kelompok keluarga yang berpecah belah akan mengalami masalah kurang
keyakinan diri akibat daripada tekanan persekitaran yang menjadikan mereka individu
yang meletakkan nilai yang rendah terhadap diri sendiri. Mereka sering menganggap
bahawa diri mereka tidak sebagus orang lain, sentiasa gagal melakukan sesuatu perkara
serta sering menganggap diri mereka tidak disayangi oleh orang lain.

Terdapat pelbagai faktor yang dapat melahirkan seorang individu yang


mempunyai keyalinan diri yang tinggi. Antara faktornya ialah faktor persekitaran. Faktor
persekitaran ini turut melibatkan keluarga, rakan-rakan serta masyarakat sekeliling.
Sebagai contoh, remaja yang mempunyai hubungan kekeluargaan yang baik dan harmoni
bakal melahirkan individu yang berani bersuara dan memberi pendapat. Hal ini demikian
kerana, dalam suasana kekeluargaan yang baik, mereka berasa lebih yakin kerana
pendapat mereka turut diambil berat dan tidak diperlekehkan. Sebaliknya, dalam suasana
keluarga yang berantakan, remaja tidak dapat melahirkan perasaan tidak puas hati mereka
sekaligus membuatkan mereka sering memendam perasaan dan kurang keyakinan diri.
Selain itu, pengalaman hidup yang kurang baik dari segi aspek seksual, fizikal serta
emosi bakal mendorong ke arah kerosakan tahap keyakinan diri seseorang. Di samping
itu, cara ibu bapa yang terlalu memberikan kritikan serta mempersendakan anak
memungkinkan keyakinan dalam diri individu itu menebal. Faktor yang turut memainkan
peranan dalam melahirkan keyakinan diri yang tinggi ialah pendidikan. Faktor ini sangat
memberi kesan kepada individu tersebut kerana melalui ilmu, seseorang itu dapat
meningkatkan prestasi dirinya. Peningkatan prestasi diri mampu mendorong kepada
peningkatan self esteem dan lebih positif. Selain itu juga, rakan yang baik turut
berperanan dalam usaha meningkatkan keyakinan diri seseorang kerana mereka boleh
saling memberikan semangat dan dorongan ke arah sesuatu yang lebih baik.

Secara umumnya, terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan bagi meningkatkan
tahap keyakinan diri seseorang sama ada oleh ibu bapa, masyarakat mahupun individu itu
sendiri. Antaranya ialah ibu bapa hendaklah memberi peluang kepada anak-anak
terutamanya remaja bagi meluahkan pendapat mahupun perasaan mereka supaya mereka
sentiasa rasa diri disayangi dan dihargai. Perasaan tersebut mampu meningkatkan
keyakinan diri mereka ke arah yang lebih baik. Selain itu, masyarakat seharusnya
memberi sokongan kepada usaha murni yang dilakukan oleh remaja sama ada
penglibatan mereka dalam aktiviti sosial supaya penghargaan yang diberikan mampu
meningkatkan keyakinan diri mereka untuk terlibat di dalam masyarakat sama ada
melalui aktiviti kemasyarakatan mahupun ilmiah. Namun begitu, sekiranya seseorang
individu itu tidak mempunyai motivasi diri yang baik, walaupun dorongan dan sokongan
telah diberikan oleh ibu bapa dan masyarakat, individu tersebut masih tidak mampu
meningkatkan keyakinan dirinya. Justeru, sebagai remaja, adalah penting bagi mereka
untuk sentiasa memotivasikan diri sendiri sama ada melalui pembacaan, penglibatan
dalam aktiviti sukan atau sosial mahupun mempunyai kawalan emosi yang baik. Kajian
telah menunjukkan bahawa remaja yang terlibat dengan sukan biasanya mempunyai
keyakinan diri yang tinggi. Hal ini demikian kerana salah satu jenis keyakinan diri ialah
keyakinan diri fizikal yang merangkumi perasaan daya penarik fizikal, serta menerima
kecekapan fizikal. Mereka yang terlibat dengan sukan biasanya sering dianggap hebat
dan dipandang tinggi sekaligus mereka tahap keyakinan diri mereka meningkat supaya
prestasi mereka dapat ditingkatkan.

Kesimpulannya, keyakinan diri atau self esteem turut memainkan peranan yang
penting dalam diri seseorang. Justeru, keyakinan diri yang tinggi mampu dicapai
sekiranya semua pihak memainkan peranan mereka di samping motivasi kendiri yang
tinggi dalam diri individu itu sendiri.

Rujukan:
• http://www.macses.ucsf.edu/Research/Psychosocial/notebook/selfesteem.html
• http://findarticles.com/p/articles/mi_qa3717/is_200607/ai_n17180830/

Anda mungkin juga menyukai