Anda di halaman 1dari 8

1.

0 DEFINISI DAN KONSEP TATABAHASA WACANA



Menurut Abd. Aziz Abd Talib (2000), pengajaran tatabahasa membolehkan murid-
murid berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik. Pengetahuan dan
kemahiran berkomunikasi ini membantu murid menghasilkan ayat yang gramatis dan
berkomunikasi dengan berkesan. Menurut Nik Safiah Karim et.al (2008), wacana
pula ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat. Wacana boleh terdiri daripada ayat,
sejumlah ayat, ceraian, dialog, bab, buku, siri buku dan sebagainya, yang
memperlihatkan hubungan dan perkembangan fikiran yang berurutan dan lengkap.
Harimurti Kridalaksana (1984), menyatakan bahawa wacana adalah satuan
bahasa terlengkap; dalam hirarki tatabahasa merupakan satuan tatabahasa tertinggi
atau terbesar. Wacana ini direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti
novel, buku, ensiklopedia, dan sebagainya, paragraf, ayat atau kata yang membawa
amanat yang lengkap.
Wacana yang terdiri dalam bentuk tulisan atau lisan, diujarkan untuk
menyampaikan maklumat berkaitan sesuatu topik. Wacana tulisan ialah wacana
yang disampaikan secara bertulis yang melibatkan hubungan antara penulis dan
pembaca. Wacana lisan dihasilkan melalui media lisan yang melibatkan hubungan
pembicara dan pendengar.
Pengajaran tatabahasa wacana dalam penulisan secara umum meliputi
pengaplikasian aspek-aspek bahasa yang lain seperti tatabahasa, fonetik, fonologi
dan semantik.Dalam pengajaran penulisan di sekolah-sekolah, di peringkat sekolah
rendah mahupun menengah, pelajar di l atih untuk mengungkapkan gagasan
dan buah fikiran(idea) dengan tepat dan jelas tentang segala perkara,
sama ada yang berbentuk akademik ataupun kegiatan-kegiatan harian serta
pengalaman dalam berbagai-bagai jenis penulisan.
Konsep tatabahasa wacana bagi penulisan ialah membolehkan pelajar :
mengenal pasti dan menggunakan penanda wacana yang sesuai dalam satu
perenggan bagi sesebuah karangan.
Membina wacana yang sempurna bagi keseluruhan karangan.
Menulis surat kiriman, berita dan rencana
Menulis beberapa ayat tentang diri, benda sekeliling dan orang yang ada kaitan
dengan pelajar ( Kamarudin Haji Husin, 1998)

Wacana yang utuh mempunyai dua ciri utama iaitu kohesi (tautan) dan
koheran (runtutan). Kohesi ialah ciri wacana yang membawa keserasian hubungan
antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana
untuk menghasilkan wacana yang lengkap. Keserasian dilihat melalui hubungan
suatu perkataan, frasa atau ayat, dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam
wacana yang sama. Koheren pula ialah kesinambungan idea yang terdapat dalam
sesbuah wacana sehinga menjadikan teks itu bermakna. (Nik Safiah Karim et.al,
2008).

1.1 Penanda wacana

Penanda wacana digunakan untuk mewujudkan kesinambungan antara ayat dengan
frasa dalam sesuatu wacana. Terdapat lima jenis penanda wacana iaitu :

i)Penanda penghubung
Perkataan atau frasa yang menghubungkan sesuatu maklumat dengan maklumat
lain. Penanda ini dapat dikategorikan kepada empat jenis iaitu :

a) Penghubung tambahan ialah penghubung yang memberi maklumat tambahan
kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelum ini. Antara penanda wacana
jenis ini ialah dan, lalu, malahan, tambahan pula, lebih-lebih lagi, di samping itu,
dan selanjutnya.
b) Penghubung tentangan merupakan penghubung yang menunjukkan
pertentangan maklumat antara suatu perkara yang baharu dengan yang
sebelumnya. Antaranya ialah tetapi, sebaliknya, namun, namun begitu dan walau
bagaimanapun.
c) Penghubung musabab ialah penanda wacana yang merupakan sebab berlakunya
sesuatu. Contoh penanda musabab ialah kerana, oleh sebab, oleh itu, oleh hal
demikian, dengan itu dan maka itu.
d) Penghubung tempoh pula merupakan penanda penghubung yang menunjukkan
urutan masa atau siri berlakunya sesuatu. Contoh penanda wacana jenis ini ialah
pertama, seterusnya, kemudian, selanjutnya, selepas itu, maka dan akhirnya.


ii) Penanda rujukan

Penanda rujukan ialah kata ganti nama yang digunakan bagi merujuk perkataan dan
frasa lain. Kata ganti nama rujukan terdiri daripada kata ganti nama orang (pertama,
kedua dan ketiga) dan kata ganti nama tunjuk (ini, itu, sini, sana dan situ ).
Contoh dalam ayat : Encik Dani mengajar di Sekolah Kebangsaan Sena. Beliau
bekerja di situ sejak tahun lalu.

iii) Penanda penggantian

Penanda ini merupakan perkataan atau frasa yang menggantikan perkataan atau
frasa lain dalam wacana yang sama. Penanda jenis ini terdiri daripada frasa nama,
frasa kerja atau klausa.
Contoh dalam ayat: Penagihan dadah merupakan salah satu masalah besar di
negara kita. Kerajaan sedang menyusun langkah untuk
membanteras gejala ini.

iv) Penanda leksikal

Penanda jenis ini melibatkan pertautan perkataan atau frasa melalui pengulangan
kata. Pengulangan terdiri daripada:
pengulangan perkataan yang sama:
Guru mengucapkan tahniah kepada Alia atas kejayaannya. Kami juga
mengucapkan tahniah.
Perkataan yang sama makna (sinonim) :
Sungguh cantik pemandangan di kawasan itu. Semua orang menyatakan tempat
itu sungguh indah.
Pengulangan yang melibatkan perkataan yang umum makna dengan yang
khusus maknanya (hiponim)
Pasar itu menjual pelbagai jenis sayur; ada lobak, sawi, kangkung dan kacang
panjang.
Pengulangan perkataan yang kehadiran saling berkait (kolokasi).
Abang suka menonton permainan bola sepak. Babak yang paling digemarinya
ialah apabila berlaku tendangan percuma dan tendangan sudut.
v) Penanda pengguguran

Penanda ini melibatkan pengguguran perkataan atau frasa yang telah dinyatakan
dalam ayat sebelumnya.
Contoh ayat: Minggu lalu Kak Maya dan keluarganya berkelah di Port Dickson .
Demikian juga keluarga kami.
















4.0 Aplikasi Penulisan Wacana Yang Berbentuk Fakta di Peringkat Sekolah
Rendah
Penulisan jenis fakta bertujuan untuk menguji tahap pengetahuan dalam sesuatu
perkara. Penulisan jenis ini menggunakan format biasa dan bahasa yang digunakan
mestilah ringkas, padat dan mudah difahami. Peribahasa boleh diselitkan di tempat-
tempat yang sesuai. Tajuk perlu dikaji terlebih dahulu, kemudian mencari isi-isi
penting yang sesuai dengan tajuk. Penulisan fakta ini mempunyai bahagian
pendahuluan, isi-isi penting dan bahagian penutup. Perenggan isi perlu mempunyai
isi, huraian serta contoh.
Contoh penulisan fakta
Gejala ketagihan dadah semakin meruncing dalam kalangan remaja. Nyatakan
faktor-faktor yang menyebabkan gejala ini berlaku.
Pendahuluan
- Gejala penyalahgunaan dadah sering disiarkan
- Melibatkan golongan remaja
- Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan gejala ini
Isi
1) Sifat ingin mencuba
- Dunia remaja yang penuh fantasi
- Tidak memikirkan akibat yang
terjadi

2) Pegangan agama yang rapuh
- kurang didikan agama terutama
daripada ibu bapa
- tidak tahu dosa dan pahala
3) Tekanan hidup
- mengambil jalan mudah menagih dadah
- untuk penyelesaian masalah tekanan
hidup

4) Rakan sebaya
- tempat mengadu masalah
- rakan mempengaruhi untuk terjebak
dengan penagihan dadah

Penutup
Semua pihak berganding bahu menangani masalah ini supaya generasi masa
hadapan dapat diselamatkan.

Era globalisasi hari ini, gejala penyalahgunaan dadah semakin menular dalam
kalangan rakyat Malaysia. Penularan gejala penyalahgunaan dadah sering disiarkan
dalam media massa hampir setiap hari dan golongan remaja merupakan golongan
yang sering terjebak dengan gejala yang tidak bermanfaat ini. Prof. Madya Dr. Lekra
Ramal daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia
(UPM) berkata 14.6 peratus daripada remaja yang berumur antara 15- 19 tahun
sudah mula berjinak-jinak dengan najis dadah. Terdapat pelbagai faktor yang
menyebabkan senario ini terus menular dalam kalangan remaja dan perlu
diperincikan demi kebaikan bersama dalam membasmi masalah ini sehingga ke akar
umbi.
Salah satu daripada faktor penyalahgunaan dadah ialah sifat naluri yang ingin
mencuba sesuatu yang baharu. Dunia remaja adalah dunia yang indah. Hidup
mereka lebih banyak berdasarkan alam fantasi daripada alam realiti. Mereka ingin
mencuba apa- apa yang baharu bagi mereka tanpa memikirkan akibat yang akan
terjadi. Faktor ingin mencuba inilah menyebabkan para remaja terjebak dalam
penagihan dadah. Penagih dadah sememangnya tidak berfikir panjang untuk
mengambil dadah. Mereka hanya mahukan kepuasan sehingga sanggup mencuri,
membunuh serta melakukan perkara yang boleh membantu mereka mendapatkan
dadah.
Pegangan agama juga memainkan peranan penting bagi mengatasi masalah
ini. Kebanyakan remaja yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah berlatar
belakangkan pegangan agama yang rapuh. Mereka tidak tahu maksud dosa atau
pahala. Bagi mereka dadah ialah sebahagian daripada hidup. Pegangan agama
yang rapuh adalah kerana kurangnya didikan agama daripada ibu bapa. Ibu bapa
yang terlalu sibuk mengejar harta duniawi sehingga mengabaikan tanggungjawab
mereka dalam menerapkan didikan agama dan nilai moral kepada anak-anak
menyebabkan anak-anak mereka melakukan apa apa sahaja perkara yang
dikehendaki.
Pada arus pemodenan hari ini, kerap berlaku tekanan hidup kepada
seseorang khususnya remaja. Bagi mengatasi masalah tekanan hidup ini, remaja
akan mengambil jalan mudah, iaitu dengan menagih dadah. Bagi mereka, dadahlah
jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah mereka. Dalam hal ini, ibu bapa perlu
membantu dan membimbing anak mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu faktor yang menyebabkan
gejala penyalahgunaan dadah ini semakin menular dalam golongan remaja. Remaja
beranggapan kawan-kawan ialah tempat mengadu masalah. Jika kawan mereka
ialah seorang yang bertanggungjawab, mungkin masalah mereka dapat
diselesaikan, namun sebaliknya jika kawan mereka suka mengambil kesempatan.
Justeru, rakyat seharusnya bersatu padu antara satu sama lain bagi
membentuk negara Malaysia yang bebas dadah. Rakyat tidak seharusnya berpeluk
tubuh dan menyerahkan semua perkara kepada pihak kerajaan. Elakkanlah setelah
nasi menjadi bubur barulah kita berganding bahu dengan kerajaan bagai aur dengan
tebing untuk menjayakan dasar negara tanpa dadah. Janganlah kita menyesal
setelah anak kita menjadi seperti bangkai bernyawa kerana sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.












Rujukan
Abd. Aziz Abd. Talib (2000). Pedagogi Bahasa Melayu: Prinsip, Kaedah dan Teknik.
Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributors
Harimurti Kridalaksana (1984). Kamus Linguistik. Indonesia :Gramedia
Kamarudin Haji Husin (1998). Pedagogi Bahasa Perkaedahan. Kuala Lumpur :
Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa dan Abdul Hamid Mahmood
(2008). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai