Anda di halaman 1dari 3

Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama

bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata ini jelas
menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting
dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang
tidak ternilai . Ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai
kerana anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan
melindungi diri anak-anak mereka. Anak-anak ibarat sehelai kain putih , ibu bapalah yang
mencorakkan warna pada kain tersebut. Persoalannya , apakah peranan keluarga khususnya ibu
bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ? Pada pendapat saya,jawapannya sudah pasti tugas
dan peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga terutama seorang insan yang bergelar ketua
keluarga amat penting dan pelbagai dalam melahirkan sahsiah terbilang dalam kalangan anak-anak
mereka.

Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak
dengan memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering
menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan
bahawa pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar anak-anak
dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam perlakuan negatif .
Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan antara baik dan buruk
perlakuan yang akan dilakukan . Selain itu , anak-anak juga akan membesar dengan perpandukan
ajaran agama . Didikan agama yang sempurna merupakan benteng yang ampuh untuk mengelakkan
anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang
mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya . Sebagai contoh ,
jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat, anak-anak mereka akan mempunyai
tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa
pendidikan agama yang secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.


Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak
bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini demikian kerana anak-anak yang
berusia setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih
dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah
yang baik, sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi . Sebagai contohnya , jika ahli
keluarga yang lebih dewasa rajin membaca , sudah pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana
demikian akan mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar membaca. Tokoh-tokoh pujangga
pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke
udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar. Pernyataan di atas jelas menunjukkan
betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-
anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh dicontohi anak-anak . Ibu bapalah yang
akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan
cantik , maka akan baik dan eloklah pembentukan akhlak anak-anak. Anak anak yang sering
mencontohi perbuatan ibu bapa yang baik , tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang boleh
menconteng arang atau menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan
penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak.


Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan
berkasih sayang bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu bapa perlulah
memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak yang penuh agar
anak-anak tahu menghargai hidup untuk saling berkasih sayang . Ibu bapa perlu meletakkan
panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi anak sulung dan
Kak Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama ahli
keluarga tidak luput. Budaya terima kasih juga perlu diajarkan kepada anak-anak supaya wujud rasa
penghargaan terhadap orang lain setiap kali menerima bantuan. Ibu bapa juga hendaklah melatih
anak-anak bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara dan kerja rumah agar anak-anak
membesar dalam suasana yang saling bekerjasama . Perbuatan seperti ini akan terbawa-bawa
apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang
berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat
melahirkan warga yang bersatu-padu dan saling menghormati.
Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan
bertanggungjawab . Ibu bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih
bertanggungjawab. Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh baju,
menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam almari . Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat
sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka . Hal ini amat penting
untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu bapa juga perlu
menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar anak-anak dapat menjadi insan yang
sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja . Anak-anak yang sudah diterapkan
dengan hidup yang sederhana akan membesar sebagai seorang yang sederhana sikapnya , tidak
sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan
penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan generasi
masa depan yang berpandangan jauh. Tegasnya , pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat
dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana dan
bertanggungjawab .

Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak khususnya
anak-anak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang
dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya anak-anak.
Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar terhadap masa depan
anak-anak kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau
kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak
wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak
yang diberi kebebasan penuh oleh ibu bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak
bermoral yang boleh menconteng arang di muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal
pasti perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh bertindak
lebih awal, bak kata pepatah , beringat sebelum kena , berjimat sebelum habis. Ibu bapa perlulah
mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan mengetahui tujuan anak
keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal , sudah pasti masa
hadapan anak-anak dapat diselamatkan. Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi
gerak-geri anak-anak agar dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia .
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa ibu bapa memainkan
peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak yang
bersahsiah baik , ibu bapa perlulah menyedari akan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-
anak menjadi insan yang mulia . Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri mereka dengan
pengetahuan dan ilmu keibubapaan . Hal ini penting kerana pembentukan sahsiah anak-anak harus
bermula dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu bapa harus membetulkan diri mereka terlebih dahulu
agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan keperibadian mereka kerana mereka
merupakan role model bagi anak-anak. Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur
untuk melahirkan insan yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia. Rumahku, Syurgaku

Anda mungkin juga menyukai