Anda di halaman 1dari 7

REFLEKSI FASA SEBELUM

Program Bina Insan Guru (BIG) Fasa V memerlukan kami sebagai guru pelatih
untuk mengadakan lawatan penanda aras di sekolah untuk memperkembangkan
kemahiran latihan, kepimpinan serta mendedahkan guru pelatih dengan pengurusan
sekolah, iklim sekolah dan infrastruktur yang terdapat di sekolah. Justeru, bagi
menyempurnakan program BIG pada kali ini, kumpulan kami telah bersepakat untuk
mengadakannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar atau juga dikenali dengan nama Malay
College Kuala Kangsar (MCKK) di Perak. Namun, atas beberapa masalah yang berlaku,
kami menukar tempat program dan mengadakannya di Sekolah Kebangsaan Ibrahim,
Sungai Petani yang merupakan salah sebuah sekolah berprestij tinggi dan antara 10
buah sekolah rendah terbaik di negeri Kedah. Melalui perancangan dan gerak kerja
sebelum melaksanakan lawatan penanda aras tersebut, pelbagai kekuatan, kelemahan,
peluang dan ancaman yang dikenal pasti.
Dari aspek kekuatan, salah satunya ialah persediaan awal yang dibuat.
Persediaan dimulakan dengan pelantikan jawatankuasa yang diadakan pada semester
empat. Ahli-ahli jawatankuasa yang telah dilantik memulakan tindakan awal dengan
mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan yang lain bagi menentukan tempat
lawatan dan semua telah mempersetujui bahawa program kali ini akan diadakan di Kolej
Melayu Kuala Kangsar. Setelah membuat perbincangan, jawatankuasa telah
menyediakan kertas kerja dengan cepat dan menghantarnya untuk diluluskan. Segala
gerak kerja berjalan dengan cepat dan lancar sejak bulan Januari hingga bulan Mac. Di
samping itu, unit kokurikulum juga telah memberikan senarai nama sekolah yang sesuai
untuk diadakan lawatan penanda aras. Dengan adanya senarai ini, gerak kerja kami
menjadi lebih mudah. Kekuatan lain yang turut dikenal pasti ialah semangat kami semua
untuk melaksanakan program Bina Insan Guru pada kali ini. Ini adalah kerana program
BIG pada kali ini adalah bertemakan lawatan penanda aras yang berbeza daripada
program-program BIG sebelum ini yang bertemakan perkhemahan dan khidmat
masyarakat. Selain itu, baju korporat yang akan digunakan untuk program ini telah kami
terima pada bulan Februari. Penyediaan baju korporat yang dibuat awal menunjukkan
bahawa semua gerak kerja telah dilakukan dengan cepat dan pantas serta kumpulan
kami telah sedia untuk melaksanakan program ini.
Sudah menjadi lumrah di dunia, setiap sesuatu pasti ada kekuatan dan
kelemahannya. Begitu juga kami sebagai manusia biasa yang tidak dapat lari daripada
melakukan kesilapan. Walau sebagaimana kuat pun usaha yang kami laksanakan
dalam menjayakan program ini, pastinya ada kelemahan. Salah satunya kelemahan
yang telah dikenal pasti adalah kekangan masa disebabkan menjalankan praktikum.
Seperti yang sedia maklum, semester lima merupakan semester pertama kami keluar
untuk menjalankan praktikum. Pastinya pengalaman kali pertama ini bukanlah sesuatu
yang mudah kerana banyak perkara yang perlu kami pelajari. Oleh itu, banyak gerak
kerja yang tertangguh dan tidak dilaksanakan. Keadaan ini telah mengganggu
perancangan dan gerak kerja yang dilaksanakan dengan baik pada awalnya kerana
timbul masalah sehingga mendesak kami untuk menukar tempat program. Selain itu,
kelemahan lain yang dikenal pasti ialah kertas cadangan yang disediakan terlalu
kompleks atau rumit dan menyebabkan timbulnya salah faham kepada pelbagai pihak.
Kelemahan lain yang turut dikenal pasti ialah halangan daripada unit kokurikulum yang
tidak membenarkan kami untuk melaksanakan program BIG yang dirancang untuk
diadakan pada awal bulan tiga bagi mengelakkan gangguan semasa tempoh praktikum.
Sebaliknya, unit kokurikulum meminta kami untuk memilih tarikh lain selepas praktikum
dan menimbulkan sedikit kekecewaan kepada pihak kami memandangkan kami sudah
menjangkakan bahawa kebanyakan sekolah akan sibuk dengan peperiksaan pada
bulan empat kerana sudah menghampiri cuti penggal pertama. Namun, kami akur juga
dengan arahan pihak atasan. Di samping itu, kelemahan yang timbul semasa
perancangan program ialah kertas kerja yang lambat diluluskan. Kami tidak pasti sebab
kertas kerja lambat diluluskan namun kelewatan kelulusan kertas kerja menyebabkan
semangat untuk melaksanakan program ini mulai berkurang. Kelemahan lain yang turut
ada dalam perancangan program ini ialah kurang mesyuarat diadakan untuk menyemak
gerak kerja ahli jawatankuasa dan mencapai kata sepakat bagi sesuatu keputusan.
Meskipun terdapat kelemahan dalam proses gerak kerja sebelum pelaksanaan
program ini, terdapat beberapa peluang yang ada dalam perancangan dan gerak kerja
sebelum pelaksanaan program ini. Salah satunya ialah semangat kami untuk
melaksanakan program Bina Insan Guru (BIG). Semangat yang ada ini berupaya untuk
menggalakkan kami untuk mempercepatkan proses gerak kerja sebelum pelaksanaan
program ini. Di samping itu, peluang yang lain yang ada ialah jawatankuasa yang
dilantik merupakan individu-individu yang prihatin dan gigih bekerja dalam memastikan
program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Selain itu, kemudahan yang disediakan
oleh pejabat untuk urusan faksimili dengan pihak sekolah berupaya memudahkan
semua urusan perhubungan dengan pihak sekolah.
Dalam urusan gerak kerja kami, kami turut menyedari bahawa timbulnya
beberapa ancaman yang mengganggu kami sepanjang proses melaksanakan gerak
kerja sebelum pelaksanaan program. Salah Satunya ialah penukaran tempat dan tarikh
yang kerap telah menambahkan lagi bebanan kerja kerana kami terpaksa menguruskan
perkara yang sama berulang kali kerana penukaran tarikh. Selain itu, ketiadaan bas
maktab untuk digunakan sebagai pengangkutan ke sekolah menyebabkan kami semua
terpaksa mengeluarkan duit sendiri seta menggunakan kenderaan sendiri. Ancaman lain
yang turut mengganggu kami sepanjang melaksanakan gerak kerja sebelum
pelaksanaan ialah terdapat individu di dalam jawatankuasa yang sering menimbulkan
masalah sehingga mengganggu gerak kerja. Sikap individu ini sering menimbulkan
perasaan tidak puas hati individu lain dalam jawatankuasa.
Secara ringkasnya, pelbagai kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang
ada dalam proses gerak kerja sebelum pelaksanaan program ini. Namun, perkara yang
pastinya terjadi ialah kami semua belajar melalui situasi yang timbul dan pastinya segala
pengalaman yang diperoleh dalam melaksanakan perancangan dan gerak kerja
sebelum pelaksanaan program dapat dijadikan bekalan apabila bergelar seorang guru
kelak.

REFLEKSI FASA SELEPAS PROGRAM

Setelah pelbagai usaha dilaksanakan dan dugaan yang ditempuhi, kami akhirnya
telah berjaya melaksanakan program Bina Insan Guru (BIG) Fasa V dengan bertemakan
lawatan penanda aras di Sekolah Kebangsaan Ibrahim, Sungai Petani. Usai lawatan
tersebut, kami berkumpul di suatu tempat bagi membincangkan faedah dan manfaat
yang diperoleh dalam lawatan dan serta merta jawatankuasa bagi program Bina Insan
Guru (BIG) fasa V dibubarkan. Dalam menyempurnakan dan mengakhiri program
tersebut, pelbagai kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman dikenal pasti dalam
pelaksanaan program tersebut.
Melalui lawatan yang telah diadakan, pelbagai kekuatan yang ada. Salah
satunya ialah kami berpeluang untuk mempelajari tentang pentadbiran di sekolah
berprestij tinggi seperti Sekolah Kebangsaan Ibrahim. Kami mendapati sekolah ini
sangat mengutamakan pencapaian akademik dan dalam masa yang sama turut
menggalakkan murid-murid untuk menggiatkan diri dalam kokurikulum. Sekolah ini turut
menekankan apek pembinaan sahsiah dalam membina jati diri murid-murid. Selain itu,
kami juga mempunyai kesempatan untuk berkenalan dengan guru-guru yang sangat
berpengalaman seperti Encik Khairil, penolong kanan pentadbiran dan Puan Haslinda ,
penyelia sekolah berprestij tinggi. Kami juga turut berkesempatan untuk mendengar
perkongsian tentang pengalaman mereka. Melalui pengalaman yang telah dikongsikan,
kami mendapat pelbagai input-input terutamanya aspek kawalan kelas dan bagaimana
menarik minat murid terhadap pengajaran memandangkan murid-murid ini
kebanyakannya mempunyai intelek yang tinggi. Di samping itu, kami juga diberikan
ruang untuk meligat sendiri rekod-rekod pencapaian murid-murid dalam akademik dan
kokurikulum. Kami berasa amat kagum melihat pencapaian mereka di mana murid-
murid bukan sahaja telah menaikkan nama sekolah dengan mencapai gred purata
sekolah sebanyak 1.89 dan peratus lulus sebanyak 89 % bahkan telah berjaya
membawa nama sekolah ke peringkat antarabangsa melalui penyertaan dalam
permainan kriket, permainan chess dan sebagainya. Kekuatan yang seterusnya ialah
kami diterangkan dan didedahkan tantang program-program yang dilaksanakan dalam
usaha pemantapan akademik murid. Antara program-program yang dilaksanakan yang
berbeza berbanding sekolah-sekolah lain ialah program Segar Minda dan program
Permata Putera. Program Segar Minda merupakan kelas yang dijalankan di awal pagi di
mana minda murid-murid masih segar dan lebih mudah untuk menerima ilmu manakala
program Permata Putera merupakan kelas lanjutan selama sejam selepas waktu
sekolah di mana setiap guru akan menjadi mentor untuk tiga orang murid. Tambahan
pula, sekolah ini turut meminta murid-murid menyediakan buku impian dan harapan
yang diisi dengan impian mereka dan usaha yang mereka akan lakukan untuk mencapai
impian. Seterusnya, impian dan azam mereka akan dibacakan kepada ibu bapa mereka
sewaktu majlis perjumpaan bersama waris. Lawatan ini juga telah memberi peluang
kepada kami untuk melihat bagaimana sebuah sekolah berprestij tinggi membina
sahsiah murid dan kami diterangkan bahawa pelbagai budaya yang diterapkan iaitu
adab bersalam, gerabak kereta api, melibatkan murid dalam khidmat masyarakat dan
sebagainya. Melalui budaya yang diterapkan secara tidak langsung ini, murid-murid
dilatih untuk terbiasa mempraktikkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Di samping itu,
perkongsian yang diadakan sepanjang lawatan itu telah membuka peluang kepada kami
untuk mengetahui tentang usaha yang dijalankan oleh sekolah dalam sukan kriket
sehinggakan murid-murid berjaya menempa nama sekolah di peringkat antarabangsa.
Antara usaha yang dijalankan ialah menjemput jurulatih yang berpengalaman dan ada
juga yang datang dari luar negara. Sekolah juga telah menghantar beberapa orang
murid untuk mengikuti kursus sukan kriket di luar negara. Tidak ketinggalan, kami juga
ditunjukkan bagaimana sistem pemfailan dibuat di dalam sekolah ini dengan
merekodkan segala pencapaian murid dan data-data penting sekolah. Kekuatan yang
terakhir semasa lawatan ialah kami diberi peluang untuk melawat sekitar sekolah dan
melihat infrastruktur yang disediakan bagi pembelajaran yang kondusif untuk murid-
murid.
Sementara itu, kekuatan yang telah dikenal pasti bagi fasa selepas program
ialah sesi post-mortem dilaksanakan. Sesi ini berupaya memberikan ruang kepada
jawatankuasa untuk mengimbas kembali masalah, isu atau situasi yang timbul
sepanjang menjalankan gerak kerja. Jadi, rakan-rakan yang lain berpeluang untuk
memahami situasi mereka dan berupaya mencadangkan tindakan susulan terutamanya
bagi program yang akan datang. Selain itu, laporan bagi setiap jawatan kuasa akan
disediakan dan didokumentasikan. Dengan cara ini, laporan ini boleh digunakan pada
masa akan datang sebagai panduan untuk melaksanakan program seterusnya.
Meskipun pelbagai kekuatan yang ada dalam lawatan yang diadakan ini, kami
masih menemui beberapa kelemahan. Salah satunya ialah masa yang diperuntukkan
untuk membuat lawatan adalah agak singkat dan rasa seperti tidak puas untuk
mendengar perkongsian daripada piah sekolah. Di samping itu, kami juga tidak
berpeluang untuk mengikuti kelas mata pelajaran matematik oleh Puan Rosna ma.
lahan tidak berpeluang pun untuk menemu bual beliau. Beliau merupakan seorang guru
yang sangat dipuji kebolehannya dalam pengajaran dan kesungguhannya dalam
menyampaikan ilmu pengetahuan. Kelemahan yang lain yang ditemui ialah subjek
matematik bukan merupakan subjek kebitaraan di sekolah tersebut. Jadi, program
Matematik yang dilaksanakan di sekolah itu tidaklah sehebat program Bahasa Inggeris
yang merupakan subjek bitara sekolah itu. Kami juga tidak berkesempatan untuk
bertemu dengan guru besar Sekolah Kebangsaan Ibrahim yang telah sudi untuk
menerima kedatangan kami di sekolah itu.
Melalui lawatan ini juga, pelbagai peluang yang telah diperoleh. Salah satunya
ialah kami diberikan kesempatan untuk berinteraksi dengan penolong kanan
pentadbiran, penolong kanan hal ehwal murid, kaunselor dan penyelaras sekolah
berprestij tinggi bagi Sekolah Kebangsaan Ibrahim. Saya yakin ini bukanlah peluang
yang mudah diperoleh kerana mereka merupakan individu yang sentiasa sibuk. Bahkan
sewaktu perkongsian diadakan, mereka masih setia bersama komputer riba dan telefon
yang tidak henti berdering. Selain itu, kami juga berpeluang bertemu dengan Encik Amir
Khan yang merupakan jurulatih kriket dari India yang dipanggil khas untuk melatih
pasukan kriket sekolah tersebut. Peluang lain yang telah kami peroleh ialah berupaya
mendapatkan gambaran ringkas pendekatan yang sesuai digunakan di dalam kelas dan
mendapat tauladan serta pengalaman melalui pengalaman yang telah dikongsi oleh
guru-guru yang berpengalaman. Saya yakin perkongsian yang diadakan semasa
lawatan merupakan peluang keemasan yang tidak boleh didapati dengan mudah.
Dalam melaksanakan lawatan ini, kami juga telah melalui beberapa ancaman
yang sedikit mengganggu perancangan kami. Salah satunya ialah kami diuji dengan
cuaca di mana hujan turun dengan lebat. Seperti yang telah dimaklumkan, kami
menggunakan pengangkutan sendiri untuk ke sekolah tersebut. Oleh itu, keadaan hujan
yang lebat sedikit membimbangkan kerana bukan semua yang membawa kereta adalah
cekap memandu. Di samping itu, kebanyakan guru di Sekolah Kebangsaan Ibrahim
sentiasa sibuk kerana status sekolah sebagai sekolah berprestij tinggi. Jadi, mereka
perlu melaksanakan perlu melaksanakan pelbagai tugas demi untuk mengekalkan
status mereka sebagai sekolah berprestij tinggi. Ancaman yang lain ialah pada tarikh
kedatangan kami, pihak Jabatan Pendidikan Negeri juga turut datang dan menyebabkan
pihak sekolah berada dalam keadaan yang sangat sibuk. Ancaman terakhir yang dikenal
pasti merupakan tarikh program ini yang diadakan sewaktu minggu ulang kaji. Seperti
yang sedia maklum, minggu mengulang kaji merupakan minggu di mana para pelajar
akan menghabiskan masa sepenuhnya untuk mengulang kaji sehingga tidur lewat. Oleh
itu, keadaan ini menyebabkan ramai antara kami yang kelihatan mengantuk dan tidak
bermaya semasa perkongsian itu dilaksanakan.
Secara ringkasnya, pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh semasa
melaksanakan program ini adalah sesuatu yang amat berharga yang sukar untuk
diperoleh dari tempat lain. Justeru, saya akan berusaha untuk menggunakan sebaik
mungkin ilmu yang dikutip sebagai panduan saya.

Anda mungkin juga menyukai