Anda di halaman 1dari 3

CONTOH TEKS PIDATO :

MENTALITI KELAS PERTAMA TONGGAK KEJAYAAN NEGARA


Salam Sejahtera,
Terima kasih peneraju acara, dif-dif kehormat berkarisma, panel juri teguh
saksama dan seluruh warga dewan berbahagia. Salam 1Malaysia.
Sungguh hairan, melihat setiap hari orang menyisir rambutnya tetapi tidak
pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya tetapi tidak pernah
menyucikan hatinya, menggilap kasutnya tetapi tidak akalnya. Walhal,
kejayaan sesuatu perkara itu bukanlah bergantung kepada penampilan zahir
semata-mata tetapi juga ketinggian pemikirannya. Atas pedoman yang sama,
percayalah bahawa Mentaliti Kelas Pertama Tonggak Kejayaan Negara.
Sesungguhnya, mentaliti kelas pertama bolehlah ditakrifkan sebagai
anjakan paradigma pemikiran manusia yang tinggi akal budinya, cemerlang
gaya hidupnya dan teguh nilai moralnya sehingga mampu menghijrahkan
dirinya daripada gelita kemunduran kepada cahaya kemajuan.
Maka, prakarsa merakyatkan mentaliti kelas pertama diyakini mampu
mengharmonikan perpaduan disulami penghayatan terhadap prinsip
penerimaan, kenegaraan dan keadilan demi menjayakan
gagasan
1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Persoalannya, bagaimanakah kita dapat menjadikan mentaliti kelas pertama
sebagai tonggak kejayaan negara?
Maka, hayatilah cetusan minda kurniaan Tuhan, pragmatik pertama;
Budaya Ilmu Disemai, Insan Berkualiti Dicanai.
Perhatian hadirin, pidato ini tiada selingan iklan...
Kita sedar bahawa kalimah iqra, kalam Pencipta mentamsilkan ilmu sebagai
cahaya, pelita hidup manusia. Dengan menguasai ilmu berguna, mentaliti kita
tidak akan terkongkong bagai katak di bawah tempurung sebaliknya mampu
melihat dunia dengan pandangan mata burung.
Lantaran itulah, transformasi ke arah pendidikan global yang kita laksanakan
menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 banyak
mengubah persepsi dan mentaliti rakyat kita dalam membudayakan ilmu.
Akses kepada pembelajaran sepanjang hayat kita sediakan, gerakan membaca

kita perkasakan, program i-Think dan Permata Negara kita arusperdanakan,


kemahiran dwibahasa kita tekankan, penguasaan ICT kita utamakan,
semuanya atas nama pendemokrasian pendidikan demi melahirkan modal
insan berminda kelas pertama yang kita impikan.
Hakikatnya, Laporan Daya Saing Global 2012, Forum Ekonomi
Duniameletakkan kualiti pendidikan kita di tangga ke-14 daripada 142 buah
negara
dengan kadar
literasi 95.7% dan
indeks
kebolehpasaran
graduan 88.4%.Angka-angka kejayaan ini membuktikan bahawa dengan
keterbukaan minda rakyat menguasai ilmu berguna, terbentuklah mentaliti
kelas pertama menunjangi keadilan sosial teras gagasan 1Malaysia.
Hadirin sekalian, pragmatik kedua; Budaya Inovasi Dijulang, Mentaliti
Rakyat Cemerlang,
Dalam melakar kejayaan 1Malaysia, warga Jepun dan Korea Selatan menjadi
idola berteraskan inovasi dalam aspek pengurusan masa, disiplin diri dan
etika kerja, lambang mentaliti kelas pertama mereka.
Lantaran itu, pelbagai inovasi telah kita perkenalkan. Menerusi Program
Transformasi Ekonomi misalnya, inovasi keusahawanan mampu
menganjakkan pemikiran rakyat daripada mentaliti pengguna kepada
budaya pencipta dan daripada mentaliti subsidi kepada semangat berdikari,
sekaligus memungkinkan rezeki secupak boleh menjadi segantang asalkan
kita bijak merebut peluang. Dalam Program Transformasi Kerajaan pula,
kualiti perkhidmatan awam sentiasa ditingkatkan selaras dengan indeks
pencapaian utama dan bidang keberhasilan utama negara.
Hasilnya kini, permit pembantu rumah dapat diuruskan dalam tempoh hanya
3 hari, pendaftaran perniagaan baru pula kurang 6 jam, bahkan MyKad boleh
siap diproses dalam tempoh 1 jam. Bukankah inovasi budaya kerja cemerlang
sebegini mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan kualiti
pencapaian? Hakikatnya jelas, mentaliti rakyat yang inovatif inilah yang
mampu menunjangi kejayaan 1Malaysia kelak.
Hadirin sekalian, pragmatik ketiga; Nilai-Nilai
Kesejahteraan Negara Dinikmati.

Murni

Dihayati,

Pujangga Melayu selalu berpesan;


Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa,
Tegak bangsa kerana budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.
Dalam kita mengejar mentaliti kelas pertama, nilai-nilai murni adalah
pelengkapnya ibarat isi dengan kuku, irama dengan lagu, aur dengan tebing.

Maka, demi mengubah mentaliti masyarakat 1Malaysia agar menjiwai nilainilai murni, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita mantapkan, kempen budi
bahasa kita jayakan, budaya integriti kita amalkan bahkan pembinaan sahsiah
kita pergiatkan, semuanya atas kesedaran bahawa apalah gunanya
ketinggianakal fikir manusia tanpa keluhuran budi bahasa.
Tatkala indeks jenayah seluruh negara dilaporkan menurun 11.1% dan indeks
keamanan global meletakkan Malaysia di tangga ke-20 paling aman daripada
158 buah negara, apakah yang memungkinkan semua ini berlaku? Pastinya
nilai kesefahaman dan prinsip penerimaan menyuburkan mentaliti kelas
pertama yang memacu perpaduan bangsa dan kemakmuran negara ke arah
kejayaan 1Malaysia.
Ya, hadirin sekalian. Secara tuntasnya, prakarsa membentuk mentaliti kelas
pertama menuntut kepada pembudayaan ilmu yang berguna, aplikasi inovasi
yang bermakna dan penghayatan nilai-nilai murni sepanjang masa. Apabila
kesemua ramuan ini mampu kita adun bersama-sama, maka transformasi
minda rakyat dapat kita jana sekaligus menjayakan hasrat pembinaan citra
gagasan 1Malaysia. Benarlah bahawa Mentaliti Kelas Pertama Tonggak
Kejayaan Negara.

Anda mungkin juga menyukai