Anda di halaman 1dari 4

TAJUK BUKU

: IBN KHALDUN : PEMIKIRAN IBN KHALDUN & RELEVANSINYA DALAM TAMADUN


KONTEMPORARI
DISUNTING OLEH : AZIZAN BAHARUDDIN, ZAID AHMAD, NURDENG DEURASEH, SRI RAHAYU ISMAIL,
HASLINDA ABDULLAH
PENERBIT
: PUSAT DIALOG PERADABAN UNIVERSITI MALAYA, KUALA LUMPUR & JABATAN
PENGAJIAN KENEGARAAN DAN KETAMADUNAN
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, SELANGOR
http://halaqah.net/v10/index.php?topic=11533.0
Antara yang menarik di dalam buku ini adalah Legasi Pemikiran Ibn Khaldun dalam Bidang Pendidika n.
Menurut beliau, terdapat 10 perkara penting yang perlu diketengahkan dalam menghasilkan satu
pendidikan yang berkesan. Antara yang disarankan ialah tentang aspek berfikir sebagai satu cabang
pendidikan. Hindari pelajar dari sikap meniru semata-mata. Dalam proses pembelajaran, perkara yang
mudah perlu didahulukan dan dipastikan bahawa mereka memahami sepenuhnya sebelum berpindah ke
suatu perkara yang lebih sukar. Pelajar tidak boleh dipaksa untuk menghafal di mana ini akan
menghilangkan kreativiti dan mengakibatkan kejumudan fikiran. Seterusnya, subjek yang diajar perlu
ada kesinambungan antara yang satu dengan yang lain dan dua subjek yang berlainan tidak boleh
diajar secara serentak demi memastikan satu-satu subjek benar-benar difahami. Menurut Ibn Khaldun
lagi, kecenderungan meringkaskan teks sehingga hilang fakta-fakta penting menjadikan matlamat
sebenar penyampaian ilmu terbantut. Pelajar perlu dilayan dengan penuh hikmah dan tindakan secara
tegas perlu dielakkan kerana memberi kesan yang negatif dalam diri pelajar. Tanggungjawab seorang
guru bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi juga harus mempamirkan akhlak yang terpuji. Para
sarjana pula digalakkan untuk mengembara dan menghadiri majlis-majlis ilmu di luar negara.
Pendidikan perlulah sesuatu yang praktikal dan ilmu yang disampaikan perlu kepada rasional akal
fikiran terutama yang berkaitan dengan sejarah dan peristiwa-peristiwa kemasyarakatan. Akhir sekali
di dalam bukunya tentang pendidikan ialah dalam mempelajari sains, kemahiran amat diperlukan.
Satu bab yang menarik adalah mengenai kupasan Ibn Khaldun Terhadap Pendidikan Awal Kanak Kanak. Lima perkara penting yang diketengahkan oleh beliau yang paling utama adalah penyediaan
pendidikan agama iaitu pengajaran Al-Quran, penyediaan teknik pengajaran yang berkesan,
penyediaan pendidikan akhlak, penyediaan pendidikan psikologi dan penyediaan pendidikan sosial. Ibn
Khaldun telah menekankan bahawa anak-anak di peringkat awal haruslah didedahkan dengan
pengajaran Al-Quran. Ini kerana selain dapat memperkukuhkan aqidah dan keimanan, ia juga dapat
membentuk malakah (bererti bakat atau tabiat manusia). Ibn Khaldun telah mengembara ke merata
tempat dan melihat pelbagai teknik telah digunakan untuk mengajar anak-anak. Pada akhir fasal ke 40
Muqaddimah, Ibn Khaldun menyatakan teknik yang terbaik adalah teknik yang diarahkan oleh Khalifah
Al-Rasyid kepada Khalifah Al-Ahmar yang diamanahkan mendidik anaknya Muhammad Al-Amin.
Antaranya adalah tegahan mengajar dua disiplin ilmu secara sekaligus dalam satu wak tu kecuali
terhadap anak-anak yang memiliki kecerdasan otak dan semangat yang tinggi. Seterusnya, tentang
bahayanya hukuman keras ke atas anak-anak, tidak boleh melakukan paksaan, menegur kesalahan
anak-anak dengan kasih sayang dan sekiranya tiada perubahan barulah kekerasan digunakan. Anakanak tidak boleh dipukul lebih dari tiga kali dalam satu-satu masa. Walau bagaimanapun, ibubapa
dilarang untuk terlalu berlemah lembut kerana ini boleh melalaikan anak-anak. Juga disarankan untuk
membiasakan anak-anak untuk menghormati tetamu dan melarang mereka kecuali pada waktu yang
sesuai.
Berbincang mengenai isu perpaduan, terdapat beberapa cadangan yang diinspirasikan oleh konsep
Asabiyah Ibn Khaldun. Pertama, mengutamakan kehidupan yang sederhana berasaskan aja ran agama.
Kedua, mengukuhkan semangat kekeluargaan. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam
menekankan aspek keagamaan dan menjadi role model kepada anak-anak sepanjang masa. Ibu bapa
perlu mengambil berat mengenai kegiatan dan tingkah laku anak mereka dari semasa ke semasa. Ibn
Khaldun menyarankan kemewahan dalam masyarakat moden menyebabkan kehilangan nilai murni yang
terdapat dalam kehidupan penduduk luar bandar. Masyarakat moden hanya mementingkan diri dan
tidak mementingkan perhubungan memupuk perpaduan. Kehidupan moden dan kemewahan turut
menyebabkan sikap materialisme dan hedonisme muncul secara agresif dalam kehidupan masyarakat
kini.
Walaupun Ibn Khaldun tidak dikenali sebagai seorang pemikir atau ahli ekonomi, namun idea -idea
beliau mengenai ekonomi diiktiraf oleh sarjana-sarjana kotemporari yang mengkaji pemikiran beliau

seperti Adam Smith, Karl Marx dan John Maynard Keynes. Beberapa idea ekonomi yang kemukakan
oleh beliau di dalam Muqaddimah adalah mengenai teori harga barangan, teori nila i kerja, teori
percukaian, teori pengkhususan kerja dan hasil pengeluaran, teori mengenai perbelanjaan kerajaan dan
kesannya ke atas ekonomi. Dalam konteks pengurusan urusan kenegaraan, beliau menegaskan
keperluan kepada asas agama sebagai teras dan panduan. Selain itu, menurut beliau pencapaian
ekonomi mempengaruhi sistem nilai kehidupan masyarakat. Semakin tinggi kuasa membeli yang ada
dalam masyarakat, pola kehidupan akan berubah di mana ia akan membawa satu bentuk transformasi
sosial, hubungan, organisasi dan interaksi. Semakin majunya manusia, maka semakin runtuhnya nilai
moral dan nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan, manusia semakin cenderung untuk sukakan harta,
ingin hidup senang lenang hingga sanggup melakukan penipuan dan korupsi. Menurut beliau,
pencapaian ketinggian atau kemuncak sesuatu tamadun, maka semakin hampir kepada era
kejatuhannya. Analisis ini turut diakui oleh Macionis, Persel dan Farley.
Ulasan Buku
Membaca Legasi Pemikiran Ibn Khaldun dalam Dunia Pendidikan membuatkan penulis benar-benar
terpegun. Sesungguhnya Ibn Khaldun adalah perintis dalam bidang pendidikan di mana beliau banyak
mengemukakan idea-idea besar tentang bagaimana sikap yang sepatutnya ada dalam proses
pendidikan. Lihat sahaja saranan beliau tentang aspek berfikir. Kini, Kemahiran Berfikir secara Kritis
dan Kreatif (KBKK) telah diterapkan di dalam kurikulum sekolah. Ini menunjukkan, kemahiran berfikir
ini telah lama disarankan oleh Ibn Khaldun lebih dari 600 tahun yang dulu. Betapa hebatnya pemikiran
beliau di mana beliau dapat memberi idea yang segar dan masih relevan walaupun kini kita telah
memasuki abad 21.
Selain itu saranan beliau bahawa pembelajaran perlu bermula dari yang mudah kepada yang sukar
adalah relevan dengan salah satu kaedah pedagogi pengajaran dan pembelajaran iaitu Kaedah Masteri.
Selain itu, saranan beliau iaitu amalan menghafal ilmu semata-mata tanpa kefahaman boleh
menghilangkan kreativiti dan mengakibatkan kejumudan fikiran adalah benar. Kini, kebanyakkan
soalan-soalan peperiksaan tidak hanya berkenaan hafalan fakta semata-mata, tetapi terdapat juga
soalan-soalan berbentuk aplikasi. Penulis sebagai seorang guru dapat menilai bahawa soalan aplikasi
hanya dapat dijawab oleh pelajar-pelajar yang benar-benar mahu berfikir. Seterusnya berkenaan
saranan beliau berkenaan pelajar perlu dilayan secara berhikmah juga adalah benar dan guru harus
menunjukkan akhlak yang terpuji. Pelajar tidak boleh dilayan dengan kekerasan dan hukuman
sepanjang masa. Hukuman adalah perlu tetapi ia juga perlu diseimbangkan. Kini, wujudnya jawatan
kaunselor sepenuh masa sedikit sebanyak dapat meredakan ketegangan antara pelajar dan guru.
Kemungkinan sikap dan akhlak guru sendiri yang negatif telah memberi kesan kepada pelajar. Sikap
seperti mengajar sambil lewa dan tidak ikhlas serta tidak menepati masa sedikit sebanyak menjadi
ikutan kepada pelajar dan hilang rasa hormat pelajar kepada guru-guru.
Penulis tertarik sekali dengan teknik terbaik mengajar anak seperti yang dirumuskan oleh Ibn
Khaldun di dalam kitab agungnya Muqaddimah. Masyarakat hari ini berdepan dengan krisis sosial
remaja yang kian meruncing terutamanya yang melibatkan golongan remaja Melayu Islam. Kes zina,
buang bayi remaja membunuh dan banyak lagi semakin menjadi-jadi kini. Dalam berhadapan dengan
era globalisasi dunia tanpa sempadan, ibubapa haruslah kembali menjadikan agama sebagai panduan.
Semoden mana pun hidup kita sekarang, pendidikan Al-Quran, hadis dan ilmu-ilmu lain berkaitan
agama harus diterapkan dalam jiwa anak-anak sejak dari peringkat awal lagi. Ini kerana ia dapat
dijadikan benteng kepada anak-anak tersebut yang bakal terdedah dengan pelbagai tarikan dunia yang
melalaikan.
Kaedah dan teknik mengajar anak-anak juga tidak boleh dipandang ringan. Teknik pengajaran yang
tidak betul akan menyebabkan anak-anak merasakan sesuatu yang diajar itu sukar dan membosankan.
Saranan ini dapat dipraktikkan oleh guru-guru dalam sentiasa mencari formula yang berkesan dalam
penyampaian pengajaran. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah pelajar ponteng,
tidur di dalam kelas, mengganggu pelajar lain dan sebagainya. Selain itu, pendidikan akhlak juga amat
penting untuk dititikberatkan di dalam jiwa anak-anak. Anak-anak kecil tidak seharusnya didedahkan
dengan perlakuan seperti menyanyi dan menari di khalayak ramai, berpakaian mendedahkan dan
sebagainya kerana kelak akan hilang sifat malu di dalam diri mereka apabila dewasa. Walau
bagaimanapun, anak-anak tidak wajar dihalang untuk diberi pendidikan sosial seperti berkawan,
bertukar-tukar pendapat, menyertai pertandingan, bersukan dan lain-lain. Ini kerana pendidikan sosial
dapat memberi bimbingan kepada anak-anak kelak dalam proses pembesaran dan seterusnya mencari
pekerjaan apabila tiba masanya.

Seterusnya Ibn Khaldun memberi penekanan kepada pendidikan psikologi. Tidak dinafikan anak-anak
pasti akan ada melakukan kesalahan. Ketegasan adalah perlu tetapi haruslah dengan penuh kasih
sayang. Hukuman perlu menjadi pilihan yang terakhir. Berbeza dengan kebanyakkan ibubapa kini,
hukuman dan leteran yang panjang menjadi pilihan pertama. Apabila anak-anak itu memberontak
dengan cara lari dari rumah dan sebagainya, barulah kita mahu menggunakan pendekatan psikologi
dengan memujuk dan mengajak untuk berbincang.
Menyentuh tentang teori kemasyarakatan dan kenegaraan, Malaysia masih mencari satu formula
yang kukuh bagi membentuk sebuah masyarakat yang menekankan semangat perpaduan dan integrasi.
Terkini, kerajaan telah memperkenalkan konsep 1 Malaysia. Ibn Khaldun memberi tumpuan kepada
konsep Asabiyah. Konsep Asabiyah mungkin boleh digunakan sebagai cetusan idea untuk merapatkan
hubungan etnik di Malaysia. Menurut Ibn Khaldun, kelanjutan dan kemakmuran sesuatu masyarakat
adalah amat bergantung kepada semangat Asabiyah. Kemewahan dalam masyarakat moden
menyebabkan kehilangan nilai murni dalam kehidupan. Masyarakat moden menuju ke arah cara hidup
yang hanya mementingkan diri dan tidak mementingkan perhubungan dalam perpaduan. Sebab itulah
dapat kita lihat, semakin mewah sesuatu kawasan perumahan itu, semakin sunyi persekitarannya.
Masing-masing membuat hal sendiri di dalam rumah agam masing-masing hingga jiran sebelah rumah
pun kadang-kala tidak dikenali. Apa yang paling baik ialah kesederhanaan dalam kehidupan dan
berpegang kepada ajaran agama.
Perubahan sosial dari kehidupan besederhana kepada kehidupan mewah juga telah menyebabkan
masyarakat begitu menghargai masa. Sebagai contoh, penyediaan makanan di dalam majlis kenduri kendara telah diganti dengan sistem catering. Cara tradisi bergotong-royong antara ahli komuniti telah
terhapus, bukan sahaja mengurangkan peluang berinteraksi bahkan boleh merosakkan hubungan
perpaduan. Restoran-restoran makanan segera yang giat berkembang kini juga ekoran dari kehidupan
manusia yang mengejar masa. Akibatnya, jiwa anak-anak kian keras dek kerana sering benar makan
makanan yang syubhah dan bukan dari air tangan ibu yang diiringi dengan ucapan Basmallan dan
selawat.
Pemikiran Ibn Khaldun berhubung dengan ekonomi mampu menjadi penggerak dan pencetus idea
pembangunan masyarakat terkini. Pemikiran beliau dilihat tidak bertentangan dengan nilai -nilai
kehidupan yang sedang masyarakat lalui kini. Analisis beliau mengenai perubahan masyarakat dan
ekonomi masih relevan hingga kini. Membaca pemikiran beliau tentang ekonomi membuatkan penulis
berasa kagum dengan idea-idea segar, logik dan masih relevan untuk diguna pakai hingga sekarang.
Melihat kepada teori beliau dalam bidang ekonomi, membuatkan kita terlupa bahawa teori -teori ini
telah diketengahkan lebih dari 600 tahun dahulu. Beliau juga mengingatkan kita untuk hidup dalam
kesederhanaan di mana kemewahan akan menyebabkan kita lupa diri, seterusnya boleh menjatuhkan
sesuatu tamadun. Dalam bidang ekonomi, Ibn Khaldun telah meletakkan tiga bidang utama iaitu
pertanian, kemahiran dan perdagangan. Kita seharusnya mengambil pandangan Ibn Khaldun ini di
mana negara kita sememangnya kaya dengan sumber alam. Disebabkan terlalu terikut -ikut dengan
trend barat, kita telah memberi fokus kepada bidang perindustrian. Situasi ini lebih banyak
mendatangkan kerugian berbanding keuntungan. Dalam bidang industri, modal yang banyak
diperlukan. Modal yang berjutaan ringgit ini dilaburkan oleh pelabur-pelabur luar. Mereka ini
kebanyakkannya tidak ikhlas di mana selepas satu tahap tertentu iaitu apabila keuntungan telah
diperoleh, mereka akan pergi tanpa meninggalkan apa-apa keuntungan untuk negara kita. Begitu juga
dengan isu tenaga buruh. Pengambilan pekerja asing bagi memenuhi permintaan sumber tenaga
manusia dalam bidang industri telah menimbulkan banyak kesan sampingan yang lebih banyak negatif
berbanding positif. Ibn Khaldun juga ada menyatakan secara sinis tentang budaya menindas orang lain
dan mendapatkan perlindungan politik dengan tujuan untuk menjaga kedudukan dan kekayaan.
Ketidakadilan pemerintah juga dihuraikan oleh beliau sebagai satu bentuk penindasan ke atas rakyat.
Penutup
Pemikiran-pemikiran utama Ibn Khaldun sama ada berkaitan dengan hal ehwal masyarakat,
perkembangan ekonomi, politik mahupu hal ehwal kenegaraan ternyata masih relevan. Ini diakui oleh
kebanyakkan pengkaji baik di barat mahupun timur. Umpamanya A.J.Toynbee menganggap
Muqaddimah sebagai ...the greatest work of its kind that has ever created by any mind in any time or
place. Tidak keterlaluan jika dikatakan sebahagian daripada konsep-konsep yang pernah dikemukakan
oleh pengkaji barat kotemporari kelihatan telah dibincangkan oleh Ibn Khaldun dalam Muqaddimahnya.
Pemikiran Ibn Khaldun mendahului zamannya dan telah dipersembahkan semula dalam bentuk baru
dan lebih terperinci oleh pemikir-pemikir di abad ke 19 dan 20. Persoalan-persoalan yang dikemukakan

oleh Ibn Khaldun bukan hanya relevan dengan perkembangan semasa rakyat tetapi juga relevan untuk
dijadikan panduan masyarakat kontemporari. Ibn Khaldun telah lama meninggalkan kita, namun beliau
pergi dengan meninggalkan satu warisan besar untuk dibaca dan diambil pengajaran daripadanya.
Keintelektualan Ibn Khaldun harus dijadikan teladan dan perangsang bagi umat Islam zaman ini, yang
cuba menghasilkan ilmu dalam acuan tradisi ilmu Islam, untuk dimanfaatkan oleh umat Islam sendiri.

Anda mungkin juga menyukai