Anda di halaman 1dari 6

Adat Resam kaum Kadazandusun

Asal usul makanan


Lazimnya, menurut kepercayaan suku kaum Kadazandusun, padi berasal
daripada isi manusia yang bernama Huminodun. Huminodun ialah seorang gadis
jelita anak kepada Kinoingan. Kinoringan ialah nama Tuhan bagi nenek moyang
suka kaum Kadazandusun.
Kinoringan telah mengorbankan anaknya Huminodun demi mengatasi masalah
kebuluran di dunia. Menurut kepercayaan suku kaum ini, segala jenis bahan
makanan yang utama berasal dari pelbagai bahagian badan Huminodun. Beras
dari isinya yang putih melepak; darahnya yang merah telah bertukar menjadi
lada; halia pula adalah jari jemari Huminodun; bawang 'tagaas' berasal dari
rambut Huminodun; giginya bertukar menjadi jagung; kepalanya pula menjadi
kelapa dan sebagainya.
Oleh itu demi menghormati dan mensyukuri pengorbanan Kinoringan dan
Huminodun, nenek moyang suku kaum ini mengadakan upacara-upacara adat
seperti Momohizan dan Humabot.
Upacara Momohizan
Upacara Momohizan ini diadakan pada bulan Ogos atau bulan September
apabila padi selesai dituai. Upacara momohizan diadakan untuk memuja
semangat padi dan memberi makan kepada penjaga semangat padi supaya
membantu untuk menyuburkan padi dan melindungi padi dari sebarang penyakit
atau bencana alam. Upacara momohizan biasanya berlangsung dirumah
keluarga suku kaum Kadazandusun golongan berada. Sementara itu golongan
yang kurang berada akan meminta untuk didoakan bersama ataupun dalam
bahasa Kadazandusun 'mikiompit'.
Dua minggu sebelum upacara ini diadakan tuan rumah akan meminta para
penduduk kampung untuk menolongnya menyediakan 'tapai' iaitu sejenis
minuman keras tradisi Kadazandusun. Upacara Momohizan dimulakan pada
sebelah malam iaitu setelah semua jemputan hadir. Beberapa orang Bobohizan
(bomoh suku kaum Kadazandusun) yang berpakaian serba hitam akan
berkumpul dan memulakan upacara ini dengan memanggil 'miontong
pomumuon' (penjaga rumah/semangat padi) Apabila selesai membaca mantera

pemanggilan dalam kata lain apabila semua miontong dan 'tasab' (malaikat padi)
sudah dihimpunkan maka Bobohizan akan menaburkan serbuk ragi (manasad)
di atas nasi yang telah dihidangkan di atas nyiru dan diletakkan di ruang tengah
rumah.
Adalah dipercayai bahawa perbuatan manasad dilakukan bersama-sama dengan
miontong. Setelah selesai manasad, nasi yang ditabur dengan ragi itu kemudian
diisi ke dalam sukat (saging) dan diatas nasi itu diletakkan arang (popou),
kemudian mulut sukat ini akan ditutup dengan daud simpur (daingin). Kemudian
Bobohizan akan mengisi beras ke dalam nyiru yang berbentuk segitiga (hihibuh),
ketua Bobohizan akan memungut sedikit beras dari nyiru dan meletakkannya ke
atas gendang.
Sambil membaca mantera, Bobohizan akan mengetuk gendang dan
kemudiannya memakan beras itu, tujuannya ialah untuk menjemput miontong
sama-sama memakan beras tersebut. Selepas itu beberapa orang pelatih
Bobohizan yang terdiri daripada sumandak (gadis-gadis sunti) akan berkumpul
dan memukul gendang sambil menyanyi dan membaca mantera 'tumingak' dan
diikuti dengan mantera 'sumava'. Seiringan dengan itu Bobohizan akan
membungkus nasi dengan daun simpur. Nasi yang dibungkus ini kemudiannya
dipungut sedikit-sedikit lalu diisi ke dalam tempayan kecil. Tempayan ini
kemudiannya diletakkan di atas batang bambu yang tingginya kira-kira tiga kaki
dan hujung bambu itu diletak untuk tempayan itu diletakkan. Batang bambu ini
diikat pada tiang rumah dengan menggunakan tali kyang diperbuat daripada
kelapa (hisad).
Setelah itu Bobohizan akan menjemput 'miontong' untuk minum tapai (moginum)
bersama-sama. Setelah itu bobohizan akan bersedia untuk menjemput dewata
dari kayangan untuk turut serta makan minum dan memohon kepada mereka
untuk menjaga dan melindungi padi serta keluarga suku kaum Kadazandusun.
Pelatih Bobohizan akan membaca mentara'mingau' dan diikuti dengan mentera
'kumodong sakazan' ini ialah untuk memanggil semangat kenderaan yang
menurut mereka berbentuk perahu dan akan belayar terapung-rapung di udara.
Para Bobohizan akan menutup muka mereka dengan kain sambil membaca
mantera 'modsuut/soikung' iaitu memanggil roh-roh kayangan. Para Bobohizan
ini akan menentukan arah tujuan masing-masing, biasanya dua orang Bobohizan
akan belayar ke kayangan (minsavat).
Acara 'modsuut' ini diiringi dengan paluan gong tanpa henti dan Bobohizan pula
membaca mantera dan mengoncang-goncangkan alat bunyian mereka yang

diperbuat serpihan-serpihan besi disangkutkan pada serpihan tulang rusuk


manusia yang dipercayai diturunkan oleh nenek moyang mereka yang
merupakan pahlawan peperangan (misasangod). Alat bunyian ini dipanggil
'sindayang'.
Antara bahan makanan yang dihidang di tengah rumah sebagai jamuan 'mintong'
ialah nasi, tapai, jeruk ikan (nosom) yang digaul dengan halia dan padi
(santadang paai). 'Modsuut' memakan masa yang agak lama iaitu lebih kurang
dari jam 1.00 tengah malam hingga jam 5.00 subuh. Apabila roh Bobohizan itu
sudah turun ke bumi dengan roh-roh kayangan, maka Bobohizan akan berehat
sebentar, samada mereka akan tidur atau makan.
Semasa Bobohizan berehat, para jemputan akan menarikan tarian tradisional
Kadazandusun iaitu sumazau. Di sebelah pagi pula iaitu lebih kurang jam 6.00
pagi Bobohizan akan memalu gendang sambil membaca mantera 'mihung',
'painsan', 'monduvazan dan Bobohizan akan menyanyikan mantera 'momosik'
tompuvan' (mengejutkan pari-pari yang menjaga rumah).
Seterusnya Bobohizan akan menarik sehelai bulu dari seekor ayam yang telah
disediakan sebagai korban. Korban biasanya ialah seekor ayam dengan seekor
babi. Jantina korban mestilah bertentangan misalannya ayam jantan dengan
babi betina dan sebaliknya. Sehelai bulu ayam tadi akan diikat pada hisad dan
ianya akan dikuis pada tuan rumah dan para tetamu.
Ini ialah untuk melindungi mereka daripada serangan penyakit agar mereka akan
sentiasa sihat dalam mengerjakan sawah padi masing-masing. Setelah itu
tetamu akan dijamu dengan makanan yang telah disediakan seperti nasi, tapai,
daging ayam, daging babi dan sebagainya. Setelah Bobohizan menjamu selera,
mereka akan turun ke bawah rumah dan membawa korban itu bersama-sama
mereka. Bobohizan akan membaca mantera sambil memegang ayam korban
dan sumazau.
Selepas membaca mantera, ayam akan disembelih dengan menusuk kepala
ayam itu dengan benda tajam, kadangkala Bobohizan akan menggunakan klip
rambut yang besar(titimbok). Setelah ayam itu mati, bulunya akan dibakar
sehingga terhidu baunya. Ertinya ayam itu kini telahpun dikorbankan kepada
miontong. Seterusnya Bobohizan akan memanggil 'miontong' untuk minum tapai
iaitu dengan menuangkan sedikit tapai ke tanah.
Setelah itu Bobohizan akan memotong, rumput dengqn parang dan membaca
mantera 'manau' untuk meminta dewata pulang ke kayangan. Kemudiannya

korban-korban itu akan dibawa naik semula ke rumah. Semasa para Bobohizan
naik ke rumah, salah seorang tuan rumah akan merenjiskan air kepada
Bobohizan sebagai membersihkan Bobohizan yang telah turun ke tanah.
Bobohizan pula akan menyanyikan mantera 'sumamboi'.
Bobohizan akan berehat seketika, kemudian acara 'magampah' akan diadakan
dimana tetamu dan ahli keluarga tuan rumah terutamanya kanak-kanak akan
duduk berkumpulan pada suatu tempat (lazimnya ditengah ruang tamu) lalu
ditutup dengan kain yang besar sambil Bobohizan menari-nari mengelilingi
mereka dengan membaca mantera dan memukul dua bilah parang (tandus atau
ilang) di atas kain yang menutuoi kumpulan itu untuk menghalau penyakit.
Bobohizan yang lainnya juga akan menari-nari mengelilingi kumpulan ini dengan
menguis kain penutup dengan batang Lengkuas (tumbu) dan ohok (bunga).
Apabila mantera selesai dibaca, Bobohizan akan mengangkat kain penutup dan
mereka yang ditutup oleh kain itu akan bertempiaran lari kononya untuk
meninggalkan penyakit ditempat mereka berekumpul tadi.
Setelah itu Bobohizan dan para tetamu akan para tetamu akan sumazau.
Selepas jamuan tengah hari, Bobohizan akan membaca mantera 'papasazau
miontong' ini ialah untuk menjemput roh-roh penjaga rumah/padi berpesta
menari sumazau bersama-sama. Sambil sumazau, Bobohizan akan memotong
batang bambu (binabat) yang telah disediakan, kemudian disangkut pada
dinding rumah.
Hisad juga akan dihiris-hiris oleh Bobohizan. Hisad yang jatuh ke lantai
akandipungut dan ditabur diatas padi yang dipersembahkan sebagai korban
kepada 'miontong'. Selepas itu Bobohizan akan berehat dan pada waktu inilah
korban-korban seperti daging babi dan ayam dibersihkan dan dibahagibahagikan. Bahagian usus korban ini akan dibawa oleh Bobohizan ke sungai
untuk dibersihkan. Upacara ini dinamakan 'humanau', ini juga bertujuan untuk
memberi makan kepada miontong .
Setelah itu kesemua Bobohizan akan mandi, membersihkan diri mereka.
Semasa perjalanan kembali ke rumah tempat momohizan itu diadakan,
Bobohizan dilarang untuk menoleh ke belakang atau tersadung kaki semasa
berjalan. Upacara momohizan ini diadakan selama dua malam dan setengah
hari. Malam keduanya Bobohizan akan membaca mantera 'modsuut' lagi tapi
dengan roh penjaga rumah/padi saja.

Di sebelah pagi hari kedua, bahan korban akan dibahagi-bahagikan kepada para
Bobohizan sebagai sogit dan selepas itu mereka akan dijamu dengan makanan
dan minuman tapai, ketika inilah para tetamu dan Bobohizan akan berbalas
pantun (kizat) atau syair (hius) dan acara ini sememangnya merupakan acara
untuk berhibur yang di selangi dengan gelak ketawa dan usik mengusik. Setelah
selesai makan, Bobohizan akan pulang ke rumah masing-masing dengan
berbekalkan sogit (huus).
Humabot
Upacara Humabot ialah adat suku kaum Kadazandusun yang diamalkan oleh
nenek moyang suku kaum ini apabila mendirikan rumah baru. Sebuah keluarga
suku kaum ini yang akan mendirikan rumah akan meminta Bobohizan untuk
menjampi tanah tapak rumah itu didirikan.
Bobohizan memasukkan benda-benda seperti garam, butang baju dan kayu
sapad ke liang tanah tempat tiang dipacakkan. Selepas itu Bobohizan akan
merenjis air disekitar kawasan tapak rumah sambil membaca mantera, ini
bertujuan untuk menghalau roh-roh jahat yang berkeliaran di tapak rumah
tersebut yang dipercayai akan mendatangkan malapetaka ataupun dalam
bahasa kadazandusun 'kopizo' Tiang akan dipacakkan jika tuan rumah termimpi
baik, tetapi jika sebaliknya, maka tapak tiang akan dialihkan sedikit dari tapak
asal.
Apabila rumah sudah didirikan, Bobohizan akan dipanggil lagi dan kali ini
upacara 'momodu' atau memandikan rumah akan dijalankan. Bobohizan akan
membaca mantera sambil kaum lelaki akan menyalakan apai pada bambu yang
hujungnya dibungkus dengan getah (sikalap) dan membawa obor ini mengililingi
rangka-rangka atap rumah sambil bertempik sorak atau 'memangkis'. Ini
bertujuan untuk menghalau roh-roh jahat pembawa malapetaka.
Upacara ini biasanya disambut dengan keramaian dan para jemputan akan
dihidangkan dengan jamuan. Tuan rumah juga akan memjemput ketua keluarga
yang mempunyai ramai anak yang semua masih 'hidup', ke rumahnya dan
meminta ketua keluarga itu baring sebentar pada alas tidur tuan rumah. Ini
dipercayai bertujuan untuk menjemput rezeki yang berpanjangan kepada
keluarga tuan rumah itu.
Sebulan selepas tuan rumah tinggal di rumah itu maka upacara 'momohontog
sisit' iaitu upacara menghormati tiang rumah akan diadakan ianya merupakan
acara keramaian seperti magagung, sumazau dan makan besar. Setahun

selepas tuan rumah tinggal di rumah baru itu, upacara magavau akan diadakan
untuk memuja semangat rumah.
Seminggu selepas magavau diadakan upacara Humabot pula menyusul,
upacara ini juga adalah upacara menghormati rumah dan ianya disambut
dengan meriah sekali. Tapai akan disediakan untuk menjamu jemputan yang
datang.
Dalam upacara itu Bobohizan akan menjampi nasi untuk membuat tapai
kemudian meletakkanya diatas daun simpur. Air perahan nasi tapai itu akan
diminum dan nasinya pula dilontarkan ke dalam ketawai besar (bekas
menyimpan padi), ini adalah untuk memberi makan kepada semangat padi
'bambazon' makan. Kaum lelaki juga akan melontarkan nasi tapai pada daun
simpur itu ke dalam ketawai sambil bertempik sorak (memangkis) .
Acara ini berterusan sehingga kesemua nas tapai yang diletakkan atas daun
simpur itu habis. Upacara Humabot diadakan setiap selang satu tahun selepas ia
diadakan dan lima tahun selepas rumah itu dihumi. Upacara ini juga merupakan
upacara keramaian iaitu makan besar dimana seekor kerbau akan ditumbangkan
sebagai sogit (korban).
Nenek moyang suku kaum ini mempercayai bahawa sekiranya upacara-upacara
menghormati rumah baru ini tidak dilakukan maka malapetaka pasti akan
menimpa keluarga yang tinggal dirumah baru itu, penyakit akan berleluasa,
perkara-perkara ganjil dan mengerikan akan terjadi dirumah itu seperti beratusratus ekor tabuan (potizukon) akan mengelilingi rumah atau biawak akan tibatiba muncul dirumah baru itu.

Anda mungkin juga menyukai