Anda di halaman 1dari 1

Zon Industri Akuakultur (ZIA)

Pengenalan
Permintaan terhadap makanan berasaskan ikan dijangka terus meningkat dengan meningkatnya
penggunaan per kapita ikan negara daripada 49 kg kepada 56 kg menjelang tahun 2010. Oleh yang
demikian, bagi mengurangkan pergantungan yang tinggi terhadap ikan yang diimport, pengeluaran ikan
negara perlu ditingkatkan sejajar dengan peningkatan penggunaan isirumah serta permintaan daripada
sektor pemprosesan. Pengeluaran akuakultur juga perlu di tingkatkan selaras dengan matlamat
Imbangan Dagangan Negara untuk meningkatkan pendapatan eksport makanan.

Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) telah mengenalpasti akuakultur sebagai satu subsektor
perikanan yang boleh menyumbang kepada peningkatan pengeluaran ikan negara. Akuakultur yang
berskala besar atau komersial juga boleh dibangunkan sebagai satu industri yang dapat meningkatkan
pengeluaran ikan. Sehubungan dengan itu, penyertaan sektor swasta dalam pengeluaran makanan
berasaskan ikan akan dipertingkatkan, sama ada melalui akuakultur berskala komersial atau sederhana
selaras dengan matlamat DPN3.

Bagi menjamin penggunaan sumber yang rasional dan mapan, pembangunan akuakultur hendaklah
dijalankan secara terancang melalui pengezonan kawasan pembangunan akuakultur supaya lebih
berpusat dan tersusun.

Konsep Zon Industri Akuakultur (ZIA)

Program Zon Industri Akuakultur (ZIA) merupakan program pengezonan kawasan tanah dan perairan
yang dikenalpasti sesuai untuk dibangunkan dengan projek akuakultur berskala komersial sebagai salah
satu strategi untuk meningkatkan pengeluaran ikan, udang dan kerang-kerangan yang ditetapkan di
bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3). Oleh sebab kriteria utama pemilihan zon industri
akuakultur bergantung kepada kewujudan kawasan yang mempunyai kualiti dan kuantiti air yang
mencukupi, bebas pencemaran dan mempunyai kemudahan infrastruktur yang sesuai, maka satu zon
khas akuakultur perlu disediakan bagi tujuan ini.
Objektif Zon Industri Akuakultur (ZIA)

Mengekalkan kawasan akuakultur daripada ditukarkan kepada aktiviti ekonomi yang lain. Ini perlu
bagi memastikan pembangunan akuakultur secara berpusat dan lebih produktif, ekonomik, mesra alam,
konsisten, mapan, sistematik serta mudah dikawal.

Memudahkan Kerajaan menyediakan khidmat sokongan dengan lebih cekap dan berkesan.

Mengurangkan kos pembangunan dan pengurusan melalui penyediaan dan penggunaan kemudahan
infrastruktur secara berpusat.

Pelaksanaan projek akuakultur berskala besar dijangka dapat menerapkan unsur-unsur komersial,
mengurangkan kos, meningkatkan daya saing dan memudahkan proses pemindahan teknologi baru.

Boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan cergas aktiviti hiliran seperti pengeluaran produk
dengan nilai tambah (value-added) dan "agro-tourism".

Menyokong langkah mewujudkan pelan pembangunan bersepadu di sesuatu kawasan/daerah.

Anda mungkin juga menyukai