Anda di halaman 1dari 8

ILMU, ADAB, BELAJAR & MENGAJAR *

(Oleh: Ahmad Fauzi bin Mohamed)


Pendahuluan
Ilmu pengetahuan amat penting dalam kehidupan manusia. Dalam perkembangan berkaitan,
budaya ilmu merupakan prasyarat penting ke arah pembinaan sahsiah yang unggul, pembangunan
bangsa yang kuat serta pembinaan tamadun yang tinggi. Sejarah telah membuktikan hakikat tersebut
dalam semua tamadun yang pernah dan sedang mempengaruhi dunia seperti tamadun Yunani, Islam,
Barat Moden, Jepun dan Korea Selatan. Menurut ahli sosiologi Ezra Vogel dalam bukunya Japan as
Number 1: Lessons for America, salah satu faktor terpenting kejayaan bangsa Jepun ialah terdapatnya
komitmen yang mendalam terhadap ilmu dan maklumat pada setiap individu bangsa tersebut.
Perancangan dalam bidang ilmu di Jepun adalah hasil gerakan penyuburan budaya ilmu yang
dipelopori di bawah Reformasi Meiji sejak tahun 1960-an.
Peri pentingnya ilmu pengetahuan dalam kehidupan manusia, maka adalah wajar dan lebih
bererti jika perbincangan tentangnya dapat dihubungkaitkan dengan satu soal yang amat kudus, suci,
mulia dan agung iaitu kaitannya dengan agama. Ini akan menjadikan perbicaraan lebih menyeluruh,
mendalam, lengkap dan mantap. Dalam perkembangan berkaitan, agama Islam bukan sahaja telah
meletakkan ilmu pengetahuan di tahap yang tinggi tetapi juga menganjurkan agar umatnya sentiasa
mementingkan ilmu pengetahuan. Hal ini selari dengan firman Allah s.w.t (Az-Zumar: 9) yang
bermaksud Katakanlah: Tiada serupa orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang
yang tiada berilmu pengetahuan .
Ilmu pengetahuan yang sungguhpun dilihat sebagai satu fenomena hidup yang biasa dan
mudah, sebenarnya adalah sesuatu yang amat kompleks. Ruang litup pembicaraannya boleh
menjangkau dimensi yang tidak ada batasnya. Ini adalah kerana sifat ilmu itu sendiri yang amat luas.
Perbincangan tentang ilmu pengetahuan bukanlah sekadar persoalan-persoalan tentang pengertian,
konsep, tanggapan dan teori tetapi haruslah juga mencakupi hal-hal yang bersangkutan dengan
permasalahan tentang aktiviti mengenai ilmu pengetahuan itu sendiri.
Antara aktiviti atau kegiatan utama mengenai ilmu pengetahuan ialah proses belajar dan
mengajar. Apabila kita menyebut belajar dan mengajar sebagai satu proses, maka sudah pastilah
terdapatnya prosedur-prosedur yang tertentu (the course of being done). Dalam prosedur belajar dan
mengajar yang melibatkan proses hubungan di antara pelajar dan guru, maka ketika pelaksanaannya
sudah tentulah ada kaedah, tertib atau adab yang harus dihayati dan dipatuhi oleh kedua-dua pihak.
Islam sebagai agama yang syumul telah menggariskan panduan-panduan tertentu tentang adab ketika
belajar dan mengajar. Dari sudut perspektif Islam terdapat hubungan yang erat di antara ilmu dengan
pendidikan yang membentuk peradaban. Menurut Rosenthal (1992) hubungan tersebut dicirikan
sebagai kombinasi ilm dengan adab di satu pihak dan dengan talim (arahan) dan taallum (belajar) di
pihak yang lain.
Definisi & Konsep
Sebelum membicarakan tentang adab belajar dan mengajar dengan lebih terperinci adalah
mustahak bagi kita untuk memahami takrif serta konsep beberapa istilah penting yang berkaitan
dengan topik yang akan dibicarakan. Pemahaman yang menyeluruh tentang definisi dan konsep istilahistilah ini adalah penting agar skop perbincangan terhadap ilmu pengetahuan khususnya dalam konteks
pendidikan menjadi lebih mendalam dan mantap. Antara istilah yang perlu didefinisikan ialah ilmu,
adab, belajar dan mengajar dalam konteks pendidikan.
Pengertian Ilmu
Sama seperti sifat dan skopnya yang tidak terbatas, pengertian dan konsep mengenai ilmu
juga agak luas. Secara amnya, ilmu mempunyai definisi-definisi dan membawa pengertian yang
sarwajagat. Dalam memberi definisi dan mentakrifkan konsep ilmu, kebanyakan ahli falsafah dan
cerdik pandai Barat telah menyatakan ilmu adalah semata-mata hasil perkembangan mental dan
pengalaman-pengalaman yang berasaskan ujikaji dari semasa ke semasa. Dengan perkataan lain,
mereka meletakkan ilmu dan agama dalam konsep yang bukan sahaja berlainan tetapi terpisah dan
terasing. Ini bermaksud mereka menafikan kesepaduan di antara ilmu dan agama.
Walaupun menerima ilmu dan falsafah Islam, kebanyakan mereka menolak agama sebagai
ad-din. Penolakkan tersebut menyebabkan pelbagai kekalutan dan kecelaruan berlaku di kalangan
masyarakat. Sememangnya tidak dapat dinafikan ilmu Barat berjaya melahirkan para ilmuan tetapi
pada masa yang sama ilmu tersebut tidak akan menjamin kelahiran insan yang tinggi moralnya. Hass
(1981) mendefinisikan ilmu sebagai suatu kelompok fakta dan konsep yang tersusun yang merujuk
kepada pengalaman manusia. Ilmu adalah fleksibel iaitu boleh ditokok tambah dengan setiap rekaan

2
atau perkembangan dari semasa ke semasa. Gagne (1985) pula merujuk ilmu sebagai semua fakta yang
telah dipelajari dan semua pengalaman yang diperoleh.
Lefrancois (1991) pula merujuk ilmu sebagai maklumat, cara-cara mengendalikannya dan
kaedah maklumat tersebut diperolehi. Confucius pula menegaskan bahawa ilmu adalah kebenaran yang
bermaksud mengetahui, mengenali, memahami, mengenalpasti dan menyakini. Takrif serta konsep
tersebut dilihat sebagai menghampiri aliran fahaman Islam. Sebenarnya dalam membicarakan definisi
ilmu, dimensinya tidak hanya terhad kepada yang bersifat objektif dan empirikal sahaja tetapi harus
wujud juga dimensi dalaman yang bersifat subjektif. Dalam perkembangan berkaitan, Bowes (1959)
menegaskan bahawa "a value of thing or idea (ilmu) is able to satisfy the inner call of man, to evolve
his responsive feelings, and finally help him attain a pervasive and comprehensive happiness.
Sesungguhnya, amat banyak definisi dan konsep ilmu yang diberikan. Oleh yang demikian,
ada ketikanya ungkapan-ungkapan yang kemukakan menimbulkan lebih banyak kekeliruan daripada
menampilkan suatu kepastian pengertian yang perlu ada pada sesuatu doktrin yang boleh dijadikan
asas serta penentuan. Namun begitu, pengertian ilmu yang dijadikan asas dan premis perbincangan
topik ini ialah berdasarkan perspektif Islam. Ilmu adalah berasal daripada perkataan Arab iaitu 'ilm
yang bermaksud pengetahuan dan 'alimun yang bermaksud mengetahui. Menurut Prof. Syed
Muhammad al-Naquib al-Attas (1976) pengertian ilmu mengikut perspektif Islam adalah sesuatu yang:
dapat memberitahu serta menjelaskan tempat yang tepat dan betul
dan benar bagi sesuatu; dapat menjelaskan batasan dan had dan
kegunaan dan maksud sesuatu; dapat menjelaskan perbezaan di antara
yang benar dan hak dengan yang palsu dan bathil, yang dapat
membimbing ke arah kebenaran
(Faham Agama dan Asas Akhlak, 1976, hal. 57)
Terdapat lebih kurang 140 kali perkataan alimun' disebut di dalam Al-Quran yang mengikut
ahli tafsir menerangkan tentang sifat-sifat Allah s.w.t sebagai pemilik ilmu yang mutlak. Dalam
perkembangan berkaitan, ahli-ahli tafsir telah merumuskan bahawa daripada keseluruhan kandungan
Al-Quran hanya terdapat kira-kira 600 ayat yang berhubung hukum syarak manakala selebihnya adalah
berkaitan dengan bidang ilmu pengetahuan dan kehidupan manusia.
Konsep ilmu mengikut Islam adalah berasaskan tauhid (kepercayaan) kepada Allah yang
berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Ruang litup ilmu dalam perpektif Islam adalah hal-hal yang
mencakupi semua perkara yang berkaitan dengan dunia dan akhirat. Fakhruddin al-Razi (1209) telah
mendefinisikan ilmu sebagai satu pertalian antara sesuatu atau beberapa fakta, idea, konsep dan hukum
yang benar dengan diri perseorangan atau kumpulan sosial untuk kebaikan jangka pendek dan jangka
panjang. Dengan kata lain, insan yang mempunyai pengetahuan akan dapat memberikan makna kepada
diri dan kemanusiaan.
Pengertian Adab
Adab yang pada pandangan mata kasarnya hanya dibina dengan empat huruf sahaja
sebenarnya mendokong maksud dan konsep yang juga amat luas. Ia boleh dikatakan merangkumi
konsep keseluruhan kehidupan dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Pelbagai pendapat dan kupasan
telah diutarakan oleh para sarjana mengenai adab sejak bermulanya tamadun ilmu itu sendiri. Kamus
Dewan (1989) mendefinisikan adab sebagai tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan), budi
bahasa, budi pekerti, kesopanan. Sekali imbas definisi yang diberikan amat mudah dan ringkas, namun
jika diteliti maka ia merupakan kata-kata yang amat besar konotasinya.
Tingkahlaku, tutur kata, budi bahasa, budi pekerti dan kesopanan semuanya mempunyai
kaitan dengan pendidikan dan etika manusia itu sendiri. Menurut Rosenthal (1992) adab adalah istilah
yang lebih luas kerana ia memasukkan perkara etika, moral, kelakuan dan adat istiadat, sebagai
tambahan kepada perkara pembelajaran. Berdasarkan huraian tersebut, adab boleh juga dikaitkan
dengan kesopanan dan ketertiban. Menurut Kamus Dewan (1989) sopan bermaksud hormat, baik budi
bahasa, tahu tertib peraturan atau beradab, manakala tatatertib adalah peraturan yang baik yang telah
ditetapkan. Oleh yang demikian, konsep adab ini turut mengheret kita memperjelaskan maksud dan
perkaitan antara nilai, norma, sikap etika dan moral.
Penjelasan-penjelasan adalah perlu kerana eratnya hubungan perkataan-perkataan ini dengan
perkataan adab itu sendiri. Menurut Kamus Dewan (1989) orang yang beradab dikatakan telah maju
dalam tingkat kemajuan (jasmani dan rohani) atau telah bertamadun. Ini turut membawa maksud
bahawa manusia yang beradab mengetahui dan dapat membezakan antara kejahatan dengan kebaikan,
keindahan dengan keburukan, sesuatu yang berharga daripada yang tidak berharga, dan sesuatu yang
benar dengan yang palsu. Plato dalam Rosenthal (1992) menyatakan bahawa:

3
tujuan adab ialah untuk melahirkan manusia yang baik dan mampu
menahan diri daripada nikmat fizikal dan material, dan yang
menunjukkan kestabilan emosi pada raut muka gembira dan sedih dan
segala kejadian yang lain, dan juga tetap berada dalam keadaan yang
tidak diganggui dan tidak aktif, kecuali apabila sebab dan pemikiran
menandakan keinginan atau keperluan kepada tindakan.
(Keagungan Ilmu, 1992, hal. 312)
Nilai-nilai yang diterima oleh sebahagian besar masyarakat disepakati sebagai nilai-nilai yang
mencerminkan kemahuan masyarakat itu, akhirnya akan menjadi nilai bersama dan disusun mengikut
keutamaannya. Nilai-nilai tersebut pula akan membentuk sikap-sikap tertentu terhadap sesuatu. Dalam
memperkatakan perkaitan antara nilai, norma, sikap, dan etika, INTAN (1994) merumuskan bahawa
nilai bolehlah dianggap sebagai benih kehidupan bermasyarakat, manakala sikap pula adalah pohonnya
yang dapat dilihat dalam pelbagai wajah dan bentuk, dan etika adalah buahnya. Berasaskan sikap
terhadap sesuatu, kehidupan manusia disusun dalam peraturan-peraturan hidup yang dinamakan
norma-norma masyarakat.
Seorang pemikir Islam, Ibn Abd-Rabbih dalam Rosenthal (1992) menegaskan bahawa
keseluruhan adab mengandungi semua aspek tingkah laku manusia. Konsep tersebut, mengaitkan adab
dengan keseluruhan tindak tanduk, perbuatan dan perlakuan manusia. Hal ini menguatkan lagi konsep
adab yang dibicarakan. Keseluruhan perbincangan tentang adab ini akhirnya membawa kita kepada
keperluan memahami hubungan antara adab dengan pendidikan yang menjadi teras kepada
perbincangan tugasan ini iaitu belajar dan mengajar.
Pengertian Belajar & Mengajar
Belajar dan mengajar adalah dua elemen utama yang terdapat di dalam proses mencari ilmu.
Dengan perkataan lain, belajar dan mengajar merupakan sesuatu yang penting bukan sahaja dalam
proses pendidikan, tetapi dalam keseluruhan kehidupan seseorang individu itu sendiri. Dalam
pendidikan, proses belajar dan mengajar adalah saling melengkapi dan dua golongan yang terlibat
dalam proses tersebut ialah pelajar dan guru. Kamus Dewan (1989) mendefinisikan belajar sebagai
satu usaha untuk memperoleh ilmu pengetahuan atau sesuatu kepandaian. Belajar juga dikonotasikan
sebagai suatu aktiviti menuntut ilmu pengetahuan atau menjalani latihan dan sebagainya. Perkataan
mengajar pula merupakan satu aktiviti menyampaikan ilmu pengetahuan atau kemahiran dan
sebagainya kepada orang lain, mendidik, melatih, memberikan petunjuk-petunjuk dan memperbaiki
kelakuan dengan memberi nasihat dan sebagainya.
Dalam perkembangan yang sama, Websters Newworld Dictionary (1980) mendefinisikan
belajar sebagai satu proses to get knowledge or skill by study, experience or to come to know, hear or
memorize. Sementara mengajar pula didefinisikan sebagai to show how to do something that is to
give lessons or to provide with knowledge or insight.
Secara simplistic dapatlah dirumuskan bahawa belajar dan mengajar dari segi konsepnya
adalah merupakan satu proses yang terkandung dalam pendidikan iaitu mendidik atau dididik (the act
or process of educating or being educated). Apabila kita memperkatakan tentang usaha mendidik dan
dididik, ia berkait rapat pula dengan proses yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran (the
field of study concerned with teaching and learning). Dalam konteks agama Islam, belajar dan
mengajar dikaitkan dengan proses memanusiakan manusia dan dua golongan utama yang terlibat
dalam proses ini ialah pelajar atau murid di satu pihak manakala pengajar atau guru atau ulama di
pihak yang lain.

4
Konsep Ilmu & Adab
Dunia dan masyarakat amat menganjurkan umatnya menghargai dan menuntut ilmu. Dengan
perkataan lain, ilmu amat besar dan tinggi darjat serta kedudukannya. Agama Islam tidak terkecuali
dan dalam perkembangan berkaitan, Dr. Sidi Ghazaiba (1979) menegaskan dua sikap Islam terhadap
ilmu ialah (a) menyuruh orang tidak berilmu mencari atau mempelajarinya, dan (2) menyuruh orang
yang berilmu mengajarkannya.
Dalam perspektif Islam, ilmu mestilah dicintai, dicari dan disebarkan sebagai keutamaan
tertinggi. Usaha ke arah ini dianggap sebagai jihad ke jalan Allah. Agama Islam amat mementingkan
ilmu pengetahuan yang di dalamnya terkandung dua aktiviti pendidikan yang utama iaitu belajar dan
mengajar. Dari segi konsepnya, kedua-dua aktiviti tersebut adalah sesuatu yang amat dituntut oleh
agama Islam. Ini ditegaskan oleh hadis Rasullulah S.A.W seperti yang diriwayatkan oleh Abu Syaikh
yang bermaksud pengetahuan (ilmu) itulah hidupnya Islam dan tiang iman. Barang siapa
mengajarkannya, Allah menyempurnakan pahalanya dan barang siapa mempelajarinya dan (terus)
mengamalkannya, Allah akan menunjukkan hal-hal yang belum diketahui.
Dorongan Manusia Menimba dan Mencipta Ilmu
Ilmu tidak statik tetapi sentiasa berkembang dan bertambah. Ini adalah hasil daripada sikap
manusia yang tidak jemu-jemu mencipta dan mempelajari ilmu. Salah satu faktor utama manusia
bertindak sedemikian adalah kerana ilmu dapat memberi kebahagiaan hidup dan menyelesaikan
pelbagai masalah kehidupan. Menurut Ahmad Muhamad Said (1990), pembudayaan ilmu ialah untuk
melahirkan masyarakat yang cinta akan ilmu dan kebenaran serta meletakkan ilmu di tempat tertinggi
dalam sistem nilai hidup mereka. Masyarakat sebegini sentiasa berlumba-lumba untuk memiliki,
memperkembang, memanfaat dan menghayati ilmu untuk kepentingan kehidupan seluruh manusia dan
alam jagat. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin (1993) pula menegaskan bahawa ilmu adalah prasyarat
ke arah menjayakan cita-cita membangun sebuah negara bangsa yang maju, berwibawa dan cemerlang.
Tuntutan keagamaan juga mendorong manusia mencipta dan menimba ilmu pengetahuan.
Agama Islam, melalui al-Quran dan hadis amat menganjurkan umatnya berlumba-lumba mencari,
menimba dan mencintai ilmu. Di dalam salah satu ayatNya (al-Mujadalah: 11) Allah berfirman yang
bermaksud Allah telah mengangkat orang-orang yang beriman dari golongan kamu, dan begitu pula
orang-orang yang dikurniai ilmu pengetahuan beberapa darjat.. Dalam ayatNya yang lain (an-Nahal:
43) Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Maka tanyakanlah kepada orang yang mempunyai
pengetahuan, kalau kamu tidak mengetahuinya" .
Rasulullah S.A.W. sebagai khalifah Allah di muka bumi ini tidak terkecuali dalam
merangsangkan dan mendorong umatnya agar sentiasa berlumba-lumba mendapatkan ilmu
pengetahuan. Antara hadis-hadis Rasullulah S.A.W yang berkaitan ialah yang bermaksud: "Menuntut
ilmu itu adalah wajib kepada lelaki muslim dan perempuan muslim, "Orang yang berilmu jadi
kepercayaan Allah di muka bumi, "Barang siapa yang berpergian untuk menuntut ilmu pengetahuan,
dipermudahkan Allah
jalannya ke syurga, "Ilmu hikmat (filasat) menambah kemuliaan orang
bangsawan dan mengangkat darjat hamba sahaya sehingga sampai menjadi raja. "Kelebihan orang
berilmu dan orang beribadat seperti kelebihan bulan purnama dan segala bintang-bintang di langit.
Menurut Ahmad Muhamad Said (1990) dalam kertas kerja bertajuk Budaya Ilmu, tanggapan
dan fahaman masyarakat terhadap ilmu pengetahuan yang dapat dihubungkaitkan dengan dorongan
manusia mencipta dan menimba ilmu adalah seperti: setiap manusia wajib menuntut ilmu; dengan
ilmu manusia dapat memahami hakikat diri, hakikat manusia, hakikat alam, dan hakikat Tuhan Maha
Pencipta; dengan ilmu manusia dapat membangunkan diri dan martabat insan serta melaksanakan
amanah dengan baik dan sempurna; dengan ilmu manusia dapat membangunkan alam serta
mengambil manfaat darinya untuk kemakmuran dan kesejahteraan hidup manusia; dengan ilmu
manusia dapat mendekatkan diri kepada Tuhan, Maha Pencipta; dan dengan ilmu manusia dapat
mencapai kemenangan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Walaupun ajaran Islam amat mendorong umatnya agar sentiasa berlumba-lumba menuntut
ilmu pengetahuan tetapi dalam usaha tersebut umat Islam diingatkan agar mematuhi beberapa garis
panduan. Di antara landasan yang diletakkan oleh Islam dalam matlamat dan usaha menuntut ilmu
pengetahuan mengikut az-Zarnuji dalam Rosenthal (1992) ialah:
Belajar sepatutnya dilakukan kerana Tuhan. Adalah mendatangkan
kecelakaan untuk melakukan sebarang pengajian bagi tujuan
keduniaan. Adalah mustahak bagi seorang pelajar memilih guru yang
betul, dan beliau mesti selalu bersungguh-sungguh memelihara
persahabatan yang betul. Beliau mestilah sedar akan nilai meminta
nasihat. Beberapa kualiti diperlukan oleh pelajar, begitu juga oleh

5
guru-guru. Pelajar mestilah mempunyai rasa hormat yang sangat
mendalam kepada ilmu, kepada guru mereka, dan kepada buku.
Belajar tidak pernah merupakan suatu usaha yang berakhir, dan usaha
ikhtiar yang banyak dan berterusan mestilah dihabiskan dari dalam
buaian hingga ke liang lahad.
(Keagungan Ilmu, 1992, hal. 320)
Kepentingan Ilmu Dalam Kehidupan
Islam sebagai agama yang diturunkan untuk kebahagiaan dan kesejahteraan manusia sentiasa
memberi keutamaan kepada ilmu pengetahuan. Tidak terdapat pertentangan antara agama dengan ilmu
pengetahuan dalam Islam. Ini adalah kerana agama Islam itu sendiri adalah ilmu pengetahuan. Agama
Islam adalah agama yang bukan sahaja cinta kepada ilmu pengetahuan tetapi juga menyuruh umatnya
menuntut dan mengejar ilmu pengetahuan di mana saja ia berada. Oleh sebab peri pentingnya ilmu
pengetahuan dalam kehidupan maka tugas seseorang muslim tidak terhad sekadar menuntut ilmu
semata-mata tetapi disuruh pula untuk mengembangkannya (mengajar) sebanyak mungkin demi
manfaat ummah.
Sesungguhnya ilmu Islam yang terkandung di dalam ayat-ayat al-Quran tidak terhad di dalam
lingkungan ibadat sahaja tetapi melengkapi perkara-perkara duniawi dan ukhrawi. Ini adalah selaras
dengan matlamat penurunan agama Islam ke muka bumi ini bukan untuk Allah Taala tetapi adalah
untuk kepentingan dan kesejahteraan manusia itu sendiri. Sejarah telah membuktikan bahawa
kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini bergantung erat dengan kemajuan ilmu yang ada pada bangsa
tersebut. Ilmulah yang akan membawa sesuatu bangsa itu ke tahap kemuliaan, kebahagiaan dan
kekuasaan. Nabi Muhammad S.A.W. telah melihat peri pentingnya peranan ilmu dalam kemajuan
sesuatu bangsa kerana ajaran Islam mengangkat tinggi darjat ilmu, yang dalam mencari ilmu
pengetahuan tidak mengenal batas waktu, sempadan negara, perbezaan bahasa atau kelainan agama
sekalipun.
Peri pentingnya ilmu pengetahuan dalam Islam dapat dilihat melalui wahyu yang pertama
yang diturunkan oleh Allah Taala (al-Alaq: 1-6) melalui Nabi Muhammad S.A.W. iaitu perintah
membaca dan menulis yang maksudnya Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan, yang telah
menjadikan manusia dari segumpal darah, bacalah dan Tuhanmu itu yang maha mulia, yang mengajar
dengan pena, yang mengajar manusia apa-apa yang belum ia ketahui. Menurut Dr. Haji Abdullah
Siddik (1980) membaca di dalam ayat tersebut bererti mengenali, memahami dan berusaha untuk
menyakininya. Inilah revolusi pertama yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Bukankah sendi
kemusyrikan dan keingkaran kepada Allah dihancurkan dan diganti dengan menegakkan sendi
kepercayaan dan pengabdian kepada Allah Yang Maha Esa.
Di dalam al-Quran terdapat banyak sekali ayat-ayat yang menunjukkan kepentingan atau
keutamaan ilmu pengetahuan. Di antaranya ialah (ali-Imran: 18) yang bermaksud Allah telah
menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia jua, begitu juga para malaikat dan para ahli
ilmu pengetahuan turut menyaksikan sama, iaitu Tuhan yang berdiri di atas keadilan. Maksud ayat
tersebut sudah cukup untuk membuktikan ketinggian dan kelebihan ilmu pengetahuan apabila Allah
s.w.t telah memulakan penyaksian tersebut dengan diriNya sendiri, keduanya para malaikat dan
sesudah itu dengan para ahli ilmu pengetahuan. Kepentingan ilmu pengetahuan di dalam Islam dapat
dilihat melalui ayat Allah (Fatir: 28) yang lain yang bermaksud Hanyasanya orang yang takut kepada
Allah dari golongan hamba-hambaNya itu, ialah orang-orang yang berilmu pengetahuan.
Dalam ayat yang lain (an-Nisa: 83), Allah s.w.t. bersabda yang bermaksud Andaikata
mereka mengembalikannya (berita itu) kepada Rasul dan kepada orang-orang yang memegang urusan
pemerintahan di antara mereka tentulah halnya telah dimengerti oleh orang-orang yang menelitinya
dalam golongan mereka itu.
Penyingkapan hukum-hukum Allah s.w.t. mengenai perkara-perkara yang berlaku harus
dikembalikan kepada kebijaksanaan orang-orang yang berilmu pengetahuan kerana martabat mereka
telah ditingkatkan setaraf martabat para nabi. Dalam perkembangan berkaitan, terdapat juga banyak
hadis berkaitan dengan keutamaan ilmu dan pentingnya ilmu pengetahuan kepada manusia. Salah satu
hadis Rasulullah S.A.W. berkaitan dengan perkara tersebut ialah yang bermaksud Siapa yang
dikehendaki baik oleh Allah s.w.t., maka Allah akan meluaskan pengetahuannya dalam hukum-hukum
agama dan akan diilhamkanNya petunjuk di dalamnya.
Orang yang berilmu pengetahuan juga adalah tinggi kedudukannya bukan sahaja di kalangan
anggota masyarakat tetapi juga di sisi agama. Sudah pastilah tiada martabat yang lebih tinggi dari
martabat kenabian. Bagi insan biasa tidak ada kemuliaan yang lebih besar dan utama dari kemuliaan
mewarisi martabat tersebut. Dalam perkembangan berkaitan Rasulullah S.A.W bersabda yang

6
maksudnya: Para ulama itu adalah warisan para nabi. Dalam hal menuntut ilmu, agama Islam
berkehendakkan agar umatnya sentiasa berusaha dipertingkatkannya dari masa ke semasa. Ini
bermaksud kita tidak harus statik dan jumud dengan ilmu yang ada tetapi haruslah berusaha untuk
mencapai sebanyak ilmu selagi hayat dikandung badan. Ini adalah penting dalam usaha kita
mendekatkan diri kita dengan Allah Taala. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W berpesan yang
maksudnya: Apabila datang kepadaku satu hari, sedang pada hari itu aku tiada bertambah ilmu
pengetahuan untuk mendekatkan diriku kepada Allah azzawajalla, maka tiada akan diberkati bagiku
terbitnya matahari hari itu.
Di dalam Islam, ilmu pengetahuan juga adalah lebih tinggi kedudukannya berbanding segala
bentuk ibadat. Ilmu pengetahuan dipersamakan seiring dengan darjat kenabian. Sesuatu amalan tanpa
ilmu pengetahuan, meskipun orang yang beribadat itu cukup mengetahui, tidak boleh dinamakan
ibadat. Rasulullah S.A.W. bersabda dengan maksudnya: Keutamaan seorang yang berilmu
pengetahuan ke atas seorang yang banyak ibadatnya, laksana keutamaanku ke atas serendah-rendah
orang dari golongan sahabatku. Dalam hadis yang lain, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
Kelebihan seorang alim ke atas seorang abid (ahli ibadat), laksana kelebihan bulan purnama ke atas
seluruh bintang gemilang.
Agama Islam juga menggalakkan orang-orang yang tidak berilmu agar sentiasa mendampingi
individu-individu yang berilmu pengetahuan kerana perdampingan tersebut akan juga membawa
keberkatan. Oleh sebab yang demikianlah maka di antara wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya
ialah: Wahai anakku! Pergaulilah alim ulama dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, sebab
Allah s.w.t. menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmat, sebagaimana dia menghidupkan bumi
dengan hujan lebat dari langit (Bimbingan Muminin, 1979, hal.13).
Ilmu pengetahuan ternyata amat penting dalam kehidupan manusia. Menurut Dr. Sidi
Ghazaiba (1979) ilmu pengetahuan itu adalah menjadi bahan-bahan pemikiran. Pengajaran yang teratur
dan bersistem mendidik budi untuk berfikir secara sihat dan teratur. Prof. Syed Muhammad al-Naquib
al-Attas (1976) menjelaskan bahawa ilmu ialah kebenaran yang tiba di dalam rohani manusia (kalbu,
roh, nafs dan akal). Dalam perkembangan yang sama, beliau juga menganggap ilmu pengetahuan
secara analoginya merupakan makanan kehidupan dan jiwa (analogically that knowledge is the food
and life of soul).
Syaidina Ali bin Abi Talib r.a. menanggap ilmu pengetahuan itu lebih baik daripada harta.
Sesungguhnya ilmu menjaga harta manakala harta dijaga. Ilmu menghukum manakala harta terhukum.
Harta akan berkurangan apabila dibelanjakan manakala ilmu pula akan sentiasa bertambah apabila
diberi. Dari segi konsepnya, ilmu dari perspektif Islam haruslah merupakan kesepaduan di antara ilmu
ciptaan manusia (ilmu aqli) dan ilmu agama (al-Quran dan hadis). Kesepaduan tersebut adalah untuk
kepentingan serta kebahagiaan manusia di dunia dan di akhirat. Dalam perkembangan berkaitan, Prof.
Syed Muhammad al-Naquib al-Attas (1976) telah menegaskan bahawa ilmu ciptaan manusia dan ilmu
agama haruslah merupakan satu kesatuan yang saksama dan sempurna serta tidak harus ditafsirkan
secara terpisah.
Sementara itu, Dr. Wan Mohd Noor Wan Daud (1990) pula mengatakan "ciri terpenting
pendidikan dan konsep ilmu Islam ialah sifatnya yang bersepadu. Penekanan kesepaduan berurutan
dari ajaran Tauhid itu sendiri dengan hal ehwal keagamaan tidak ditafsirkan terpisah daripada
perkara-perkara keduniaan dan sebaliknya.
Kepentingan Adab Dalam Kehidupan
Adab amat penting dalam kehidupan manusia. Islam amat menuntut umatnya agar sentiasa
mempunyai adab-adab yang baik. Islam sebagai agama yang lengkap menggariskan berbagai-bagai
adab dalam pelbagai kegiatan harian. Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Haji Abdullah Siddik
(1980) telah mengaitkan adab sebagai satu dasar Ahkam al-Syariati iaitu salah satu garis panduan
yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Menurut beliau Ahkam al-Syariati ialah tata tertib
yang mesti dilakukan oleh umat manusia selama hidup di dunia, satu undang-undang Allah untuk umat
manusia, yang sempurna, yang praktis, yang dapat dipakai untuk segala zaman dan yang dapat
dilakukan oleh manusia sesuai dengan kemampuan dan keperluannya dalam masalah hidup.
Pada dasarnya, manusia yang dilahirkan ke dunia ini adalah ibarat kain putih yang belum
dicorakkan. Adab-adab yang telah digariskan dengan dengan terperinci oleh Islam akan menjadi
panduan kepada ibu bapa, guru, pemimpin, masyarakat dan individu itu sendiri dalam mencorakkan
warna hidup seseorang insan. Adab memainkan peranan penting dalam menilai buruk dan baik budi
seseorang. Sebagai seorang muslim, kita dituntut supaya menuruti adab-adab yang mulia yang telah
dianjurkan oleh ajaran Islam. Semua ini adalah bertujuan agar kita menjadi insan yang akan mendapat
ganjaran baik di dunia dan di akhirat.

7
Adab-adab yang digariskan oleh Islam termasuklah yang meliputi kehidupan harian, seperti
adab berpakaian, adab ke masjid, adab ketika makan, dan sebagainya. Pendek kata adab-adab yang
digariskan adalah lengkap dan meliputi keseluruhan aktiviti dan kegiatan harian seseorang individu
muslim. Dalam hal ini, dari segi konsepnya termasuklah adab-adab yang bersangkutan dengan
kegiatan pengajaran dan pembelajaran.
Sumber-Sumber Ilmu
Dalam ajaran Islam, al-Quran dan hadis adalah sumber utama ilmu pengetahuan. Prof. Syed
Muhamad Al-Naquib Al-Attas (1976) telah membahagikan ilmu kepada dua iaitu ilmu yang diberi
oleh Allah s.w.t. sebagai kurniaNya kepada insan iaitu melalui wahyu dan kedua ilmu yang dicapai dan
diperolehi oleh manusia itu sendiri berdasarkan daya usaha aqliahnya yang berpunca daripada
pengalaman hidup, indera, jasmani dan nazar-aqali berdasarkan pemerhatian, penyelidikan dan
pengkajian.
Berdasarkan kenyataan di atas, sumber-sumber utama ilmu dapatlah dikategorikan seperti
berikut; iaitu dari sumber agama, pancaindera, penaakulan, intuisi dan autoriti. Ilmu yang utama dalam
Islam sudah pastilah ilmu yang satu yang berasal dari Allah Taala (wahyu) dan hadis-hadis Rasulullah
S.A.W. Ilmu dari Allah disalurkan kepada RasulNya untuk mengatur tindakan manusia agar wujud
keharmonian antara manusia dalam kehidupan mereka. Melaluinya manusia
memperolehi
pengetahuan agama, akhlak dan alam ghaib.
Ilmu dari sumber pancaindera pula adalah berdasarkan apa yang dilihat, dirasa, dihidu,
disentuh dan sebagainya. Melalui pancaindera manusia akan membentuk suatu corak maklumat
emperikal yang membolehkan kita membuat tafsiran, menganalisis serta membuat penilaian. Sumber
ini akan melahirkan ilmu emperikal. Berdasarkan penaakulan pula, akan melahirkan ilmu rasional.
Proses sumber ini adalah berdasarkan penaakulan manusia terhadap sesuatu insiden, benda atau
perkara. Manusia akan memerhati, mentafsir dan seterusnya membuat keputusan yang bijaksana
setelah membuat pertimbangan wajar tentang baik dan buruknya sesuatu perkara.
Sumber yang keempat ialah berdasarkan intuisi (ilham) iaitu idea yang datang secara tiba-tiba
dalc) am penyelesaian masalah. Ilmu ini bergantung pada gerak hati atau celik akal seseorang.
Melaluinya manusia mendapat pengetahuan rasa serta emosi dan sumber ini akan melahirkan ilmu
intuitif. Manakala sumber ilmu yang kelima dan terakhir ialah autoriti iaitu mempercayai atau
menerima dapatan-dapatan berdasarkan eksperimen yang telah dijalankan oleh ahli-ahli sains. Sumber
ini menghasilkan ilmu autoritif. Namun begitu, mengikut perspektif Islam semua bentuk ilmu adalah
berasal daripada Allah pencipta alam. Walau apa pun namanya, pemilik mutlak sesuatu ilmu itu adalah
Allah s.w.t. Ini selaras dengan ajaran Islam yang menekankan bahawa segala yang ada di muka bumi
dan langit adalah milik Allah Taala.
Martabat Ilmu
Ilmu dan orang yang berilmu sangat tinggi kedudukannya dalam masyarakat dan di sisi
agama. Sesebuah negara dan masyarakatnya akan dicontohi sekiranya bangsa negara tersebut
mempunyai tahap ilmu yang tinggi. Individu yang berilmu akan disanjung oleh masyarakat. Dalam
perspektif agama, ilmuan mempunyai martabat serta taraf yang tinggi. Contohnya dalam agama Hindu,
seorang guru (orang yang berilmu) adalah berada kedudukan kedua selepas Tuhan. Martabat ilmu
sedemikian adaIah kerana ilmu adalah wadah penting untuk pembangunan negara dan ummah.
Menurut Ahmad bin Muhamad Said (1990) ilmu adalah alat utama dan berharga, justeru ilmu dapat
merubah diri manusia daripada bebal kepada cerdik, jahil kepada tahu, gelap kepada cahaya dan
daripada derita kepada bahagia.
Semua aktiviti yang berkaitan dengan ilmu (mencari, mengajar, sumbangsaran, diskusi dan
sebagainya) amat tinggi kedudukannya dalam Islam. Berikut adalah antara hadis Nabi Muhammad
S.A.W. yang menunjukkan ketinggian martabat ilmu ialah: (a) Tinta seorang terpelajar adalah lebih
suci daripada darah seorang yang mati syahid.; (b) Seorang ahli ilmu lebih baik pada sisi Allah
daripada seribu abid (ahli ibadat).; (c) Manusia yang mulia adalah seorang Mukmin yang berilmu.;
(d) Sesiapa yang berbicara tentang ilmu bererti memuji Tuhan, sesiapa berusaha mencari ilmu bererti
menyembah Tuhan, barang siapa mengajarkan ilmu, Allah menyempurnakan pahalanya dan barang
siapa mempelajari ilmu dan mengamalkannya, Allah akan menunjukkan hal-hal yang belum
diketahuinya.; (e) Ilmu pengetahuan menuntut kita kepada kegembiraan hidup, memberi kita
kekuatan dalam kesusahan dan kesulitan, adalah lambang apabila kita berdekatan dengan temanteman kita dan perisai dalam musuh-musuh kita. dan (f) Keberesan dunia (negara) akan tercapai
dengan menggunakan kecerdasan akal dan keruntuhan dunia (negara) adalah kerana kejahilan
(kebodohan).

8
Berdasarkan semua perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa martabat ilmu adalah (a)
orang yang berilmu disanjung tinggi oleh agama; (b) orang yang berilmu disanjung tinggi oleh setiap
anggota masyarakatnya; (c) taraf kehidupan (ekonomi, produktiviti, perubatan, perindustrian dan
sebagainya) dapat ditingkatkan; (d) meningkatkan bidang atau disiplin ilmu itu sendiri; dan (e) aset
terpenting untuk pembangunan ummah dan negara.
Rumusan & Kesimpulan
Islam amat mementingkan ilmu pengetahuan. Kedudukan ilmu serta orang yang berilmu amat
tinggi kedudukannya bukan sahaja di kalangan masyarakat tetapi juga di sisi agama. Islam
menggariskan keutamaan ilmu pengetahuan sebegitu tinggi kerana hanya dengan ilmu sahajalah akan
dapat mengeluarkan manusia daripada kegelapan justeru dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan
terhadap Allah Taala. Dunia dan manusia tanpa ilmu pengetahuan ibarat padang pasir yang tandus.
Dalam perkembangan berkaitan, Fatah al-Maushili rahimullah:
Bukankah si pesakit itu bila tidak diberikan makan atau minum ubat,
ia akan mati! Orang ramai menjawab: Benar katamu! Dia berkata
pula: Demikianlah juga sifatnya hati, kiranya ia tidak diberikan hikmat
dan ilmu pengetahuan selama tiga hari sahaja, akan matilah ia.
(Bimbingan Muminin, 1979, hal. 14)
Hubungan manusia dengan manusia atau alam adalah untuk kesejahteraan manusia itu sendiri.
Hubungan tersebut penting agar kehidupan manusia di muka bumi menjadi lebih teratur, tersusun,
berdisiplin dan sistematik. Justeru itu, ajaran agama Islam menggariskan adab-adab yang tertentu yang
harus dijadikan pedoman dan dipatuhi dalam menjalani, mengharungi dan melaksanakan pelbagai
kegiatan harian. Begitulah juga halnya dengan belajar dan mengajar, di mana terdapatnya adab-adab
yang tertentu yang telah dikemukakan oleh ajaran Islam. Adab-adab tersebut adalah penting diikuti
bukan sahaja untuk keberkatan ilmu itu sendiri tetapi juga mengamalkannya . Pengamalan bererti
memperoleh ganjaran pahala daripada Allah azzawajala.
Sesungguhnya, ilmu dan adab adalah saling melengkapi. Kedua-duanya saling berkait di
antara satu sama lain yang membentuk suatu hubungan yang sentiasa bergerak seiringan. Dalam
hubungan ini, Samani dalam Franz Rosenthal (1992) menyatakan Ilmu dan adab merupakan
kepunyaan satu sama lain yang tidak dapat dipisahkan.Ilmu tanpa adab umpama api tanpa kayu api.
Adab tanpa ilmu umpama roh tanpa jasad.
Demikianlah secara ringkas, perbincangan mengenai beberapa aspek yang berkaitan dengan
prinsip dan konsep ilmu. Seperti yang telah diterangkan, adalah amat sukar untuk membincangkan
tentang ilmu kerana disiplin ilmu itu sendiri mempunyai sifat yang bukan sahaja luas tetapi tetapi amat
kompleks. Namun begitu, kesimpulan terbaik yang mungkin dapat dibuat renungan tentang prinsip
dan konsep mengenai ilmu seperti yang terdapat dalam hadis yang bermaksud:
Pelajarilah ilmu pengetahuan, sebab mempelajarinya kerana Allah
adalah
tanda takut kepadaNya, menuntutnya adalah ibadat,
menelaahnya
adalah
tasbih,
mencarinya
adalah jihad,
mengajarkannya kepada yang belum mengetahui adalah sedekah,
memberinya kepada ahlinya adalah kebaktian. Dialah kawan
semasa kesepian dan teman semasa kesunyian. Dialah pentunjuk jalan
kepada agama dan pendorong kepada kesabaran semasa kepayahan
dan kesempitan.
Catatan:
Artikel ini merupakan sebahagian artikel penulis semasa mengikuti pengajian ijazah pertama
di Universiti Utara Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai