Anda di halaman 1dari 5

Buku Life Cycle of the Career Teacher (LCCT) telah disusun oleh Betty E.

Steffy,
Micheal P. Wolfe, Suzanne H. Pasch dan Billie J. Enz. Steffy, antara penyusun buku ini
merupakan seorang Profesor dalam Pentadbiran Pendidikan di Iowa State University,
Wolfe; bekas profesor dan pentadbir dalam pendidikan guru, Pasch; Dekan
Pendidikan dan Pengajian Siswazah di College of New Jersey dan Enz yang bertugas
di Kolej pendidikan, Arizona State University. Kesemua penulis buku ini menurut
Wolfe dalam kata-kata aluannya terdiri daripada pendidik guru dan sarjana yang
begitu mengambil berat dalam persediaan dan perkembangan profesional guru.
Dengan itu pasti tulisan dan kajian yang ditulis di dalam buku ini akan dapat
membantu setiap guru kerana ianya ditulis oleh kalangan guru sendiri. Buku ini
telah diterbitkan pada tahun 2000 oleh Kappa Delta Pi dan Corwin Press. Buku
setebal 139 muka surat ini menghimpunkan hasil kajian bersama 18 orang penulis
selama setahun. Ianya bertujuan untuk membantu mengekal dan meningkatkan
kecemerlangan seseorang guru sepanjang kariernya dalam bidang pendidikan.
Tema buku ini adalah tentang kitaran hidup guru. Menurut Wolfe model LCCT ini
merentasi sepanjang karier seorang guru daripada peringkat persediaan
praperkhidmatan hingga waktu seseorang guru itu bersara. Oleh itu Wolfe
menjanjikan model ini dapat membantu guru-guru baru untuk meningkat sebagai
guru pakar dalam masa 5 tahun dan mengekalkannya sepanjang karier mereka. Itu
pun jika mereka bersedia menjadi seorang profesional. Justeru buku ini sangat
sesuai dibaca oleh semua lapisan guru daripada guru pelatih hinggalah pentadbir
dalam bidang perguruan. Buku Life Cycle of the Career Teacher telah dibahagikan
kepada 8 bab. Bab 1 membincangkan tentang Model dan Aplikasinya yang ditulis
sendiri oleh keempat-empat penyusun buku ini. Bab 2 hingga 7 disusun mengikut
urutan peringkat-peringkat dalam perkembangan karier seorang guru, bermula
daripada peringkat novice (praperkhidmatan), apprentice (guru permulaan),
profesional, pakar (expert), distinguished (ternama) dan guru emeritus yang ditulis
oleh pakar-pakar pendidikan daripada universiti terkemuka di Amerika Syarikat. Bab
8 pula membincangkan tentang Aplikasi Model Kitaran Hidup Guru. Ulasan
Kandungan Buku Bab 1 bertajuk Model dan Aplikasinya dibahagi kepada beberapa
subtopik. Steffy dan rakan-rakannya percaya bahawa guru-guru yang banyak
menghabiskan masa di dalam kelas berupaya mengekalkan kecemerlangan mereka
untuk selama-lamanya. Model Kitaran Hidup Guru (LCCT) ini berasaskan
kepercayaan bahawa semua guru boleh mencapai satu standard kecemerlangan
dalam tempoh lima tahun mereka mengajar. Dengan sokongan yang bersesuaian,
guru-guru ini dapat meningkatkan keupayaan di sepanjang kariernya. Penulis juga
menjelaskan bahawa model LCCT ini dapat menjelaskan tentang fasa-fasa dalam
pengembangan karier guru serta kesan positif yang diperolehi yang akhirnya
melahirkan guru yang cekap, mengambil berat dan berkelayakan . Model ini juga
akan menjelaskan penambahbaikan yang perlu disetiap peringkat kitaran hidup
guru. Model LCCT ini dikatakan dapat mencadangkan strategi dan pendekatan
untuk memastikan sokongan yang sepatutnya diberikan kepada guru-guru. Oleh itu
dengan memahami dan mengaplikasikan model ini pihak pengurusan sekolah
misalnya dapat meningkatkan kemajuan dan profesionalisme guru-gurunya. Model

LCCT ini adalah satu model pengembangan yang terdiri daripada 6 fasa. Steffy dan
rakan-rakannya telah mengenalpasti dan menamakan fasa-fasa tersebut sebagai
novice, apprentice, profesional, expert, distinguished dan emeritus berasaskan
kepada pengalaman seseorang guru sepanjang kariernya. Setiap orang guru pasti
dapat mengenalpasti dimana kedudukan mereka setelah membaca buku ini samada
di peringkat novice, profesional atau sebagainya. Justeru tidak rugi memiliki buku ini
kerana ianya boleh menjadi rujukan sepanjang karier seseorang guru itu. Steffy dan
rakan-rakannya telah memberikan gambaran yang jelas bagi setiap fasa dalam
kitaran hidup seorang guru. Mereka menyatakan permulaan bagi setiap peringkat
serta ciri-ciri guru berkenaan. Ini memudahkan setiap pembaca untuk membuat
refleksi berkaitan dengan kedudukan mereka dalam kitaran tersebut. Daripada
pembacaan ini dapat dirumuskan beberapa perkara tentang setiap fasa dalam
kitaran hidup guru menurut buku tersebut. Karier seorang guru itu bermula apabila
seseorang pelatih itu memulakan praktikumnya di sekolah. Guru ini dikenali sebagai
guru praperkhidmatan (novice). Diperingkat ini guru mula menimba pengalaman
sebagai seorang pendidik di dalam kelas. Mereka ini sememangnya kekurangan
pengalaman. Oleh itu ramai yang bimbang dan was-was dengan keupayaan
mereka. Tetapi setelah beberapa ketika keyakinan mereka akan bertambah setelah
melalui proses refleksi daripada proses pembelajaran yang mereka alami di dalam
kelas. Akhirnya mereka memasuki fasa kedua dalam kitaran hidup guru iaitu fasa
apprentice atau guru permulaan. Guru permulaan atau apprentice ini bermula
apabila mereka mula menerima tugas sebagai perancang dan penyampai instruksi
di dalam kelas atas tanggungjawab mereka sendiri. Kalau di Malaysia, peringkat ini
bermula apabila seseorang itu memulakan perkhidmatannya secara rasmi sebagai
guru di sekolah setelah menamatkan latihan perguruannya. Menurut buku LCCT ini,
fasa guru permulaaan ini berterusan sehinggalah guru tadi mampu menyepadukan
pengetahuan, pedagogi dan keyakinannya di dalam pengajarannya. Sesuatu yang
mengejutkan, menurut penulis ini ialah satu pertiga daripada guru-guru baru ini
meninggalkan bidang perguruan selepas beberapa tahun berkhidmat kerana kurang
memahami peranan sebenar seorang guru. Fasa ketiga dalam kitaran hidup guru
adalah fasa profesional. Fasa ini bermula apabila keyakinan diri guru semakin
berkembang. Antara ciri-ciri guru profesional ini adalah perhubungan yang rapat
antara guru dengan pelajar-pelajarnya. Guru profesional juga dilihat sebagai tulang
belakang profesion perguruan serta bidang subjek di sekolah mereka serta dilihat
tidak berminat menjadi pentadbir. Pelajar dilihat sebagai sumber motivasi. Bagi
guru-guru profesional ini penghargaan yang diterima daripada pelajar-pelajarnya
adalah hadiah yang paling bernilai. Fasa keempat dalam kitaran hidup guru adalah
fasa pakar, iaitu gambaran tentang standard pencapaian tinggi. Menurut penulis
buku ini, model LCCT diharap dapat membantu guru membina kemahiran mereka
bagi mencapai peringkat guru pakar. Dalam situasi di Malaysia juga, adalah menjadi
cita-cita guru dan pihak pentadbir pendidikan agar semua guru mencapai tahap ini.
Antara ciri guru pakar ialah amalan mereka yang mengharapkan respon daripada
pelajar dan melakukan modifikasi dan pengubahsuaian dalam pengajaran dalam
usaha mencapai kemajuan pelajar-pelajarnya. Guru pakar juga memberikan

sokongan, memudahkan dan menyuburkan kemajuan dan perkembangan


pelajarnya tanpa mengira latarbelakang atau keupayaan mereka.Guru pakar juga
seorang yang mampu membuat relfeksi dalam amalan pengajarannya. Mereka juga
sangat komited dengan idea-idea baru dan besar yang dapat meningkatkan
profesion guru. Fasa kelima dalam kitaran hidup guru menurut model LCCT ini ialah
distinguished teacher iaitu guru ternama iaitu yang dianugerah bakat atau
kepakaran tertentu dalam bidangnya. Kehadiran mereka ini amat dirasakan di
peringkat daerah, negeri atau nasional. Guru ternama ini adalah terdiri daripada
guru-guru yang telah mencapai fasa guru pakar dan bilangannya sangat kecil.
Menurut penulis buku ini, dengan model yang mereka cadangkan, bilangan guru
ternama ini boleh bertambah sekiranya sekolah dapat mengurangkan guru yang
berpotensi daripada meninggalkan alam perguruan dan melakukan penolakan. Fasa
keenam iaitu yang terakhir dalam kitar hidup guru diistilahkan sebagai fasa
emeritus. Jika seseorang guru itu memasuki fasa emeritus, iannya menandakan
pencapaian sepanjang hayat dalam karier seseorang guru itu. Ianya bermula
selepas guru itu bersara dari perkhidmatan. Seseorang guru emeritus sebaik sahaja
bersara akan meneruskan komitmen mereka terhadap pelajar seperti bertukar
mengajar di pusat pengajian tinggi. Guru emeritus juga merujuk kepada bekas guru
yang menggunakan kemahiran mereka dengan menjadi penasihat (konsultan) atau
pembimbing kepada guru-guru permulaan. Di Malaysia antara tokoh yang boleh
digolongkan sebagai guru emeritus ialah Tan Sri Wan Zahid dan Allahyarham Tan Sri
Murad Mohd Noor. Untuk memahami dan mengaplikasi model LCCT ini, pembaca
mestilah memahami proses refleksi dan membuat pembaharuan (reflection and
renewal) menjadi satu aspek yang penting disini. Ini kerana model LCCT ini
mengandaikan berlakunya amalan refleksi serta berusaha menimba ilmu baru dan
memberi tumpuan kepada reflection - on-practice dan seterusnya melakukan
pembaharuan (renewal). Dengan itu barulah seseorang guru itu dapat
mengembangkan profesionnya. Untuk memahami dengan lebih lanjut pembaca
boleh merujuk kepada tulisan Steffy dan Wolfe dalam The Life Cycle of the Career
Teacher:Maintaining Excellence for a Lifetime (1997). Dalam bab ini penulis juga
membicarakan tentang penolakan (withdrawal) guru terhadap proses refleksipembaharuan-berkembang (reflection-renewal-growth process). Guru-guru dalam
kumpulan ini dibahagikan kepada tiga tahap iaitu permulaan, kerap dan tinggi
(initial,persistent dan deep withdrawal). Kemudian penulis telah membincangkan
proses-proses lain yang mempengaruhi perkembangan seseorang guru serta faedah
dan kebaikan model LCCT ini. Adalah jelas Steffy dan rakan-rakannya telah
berusaha memberikan gambaran yang jelas dan komprehansif mengenai model
LCCT ini. Dalam bab 2 hingga 7, setiap satunya diperkukuhkan dengan satu atau
dua kajian kes melibatkan guru-guru bagi setiap peringkat dalam kitaran hidup
guru. Bab 2 bertajuk Novice Teacher ditulis oleh Micheal J. Berson dan Rick A.
Breault. Mereka telah mengemukakan satu kajian kes untuk menunjukkan satu
contoh guru praperkhidmatan atau guru pelatih yang tipikal. Satu perkara yang
selalu dihadapi oleh setiap guru baru yang turut terdapat dalam tulisan mereka ini
ialah pertembungan antara jangkaan dan harapan guru-guru baru ini dengan realiti

sebenar dalam bilik darjah. Dalam bab The Apprentice Teacher yang ditulis oleh
Mary C. Clement, Billie J. Enz dan George E. Pawlas mereka telah mengemukakan
dua kajian kes. Menurut penulis ini, peralihan daripada fasa praperkhidmatan
(latihan perguruan) ke fasa guru permulaan adalah perubahan yang melibatkan
aspek intelektual dan emosi yang kompleks iaitu untuk memenuhi keperluan
peribadi dan profesional, kejutan realiti dan suasana pengajaran. Antaranya ialah
guru permulaan terpaksa bekerja secara bersendirian serta bertanggungjawab
sepenuhnya merancang, pengurusan kelas, instruksi dan penilaian ke atas pelajar.
Ini ditambah lagi dengan situasi tempat mengajar yang diluar dari jangkaan guru
tersebut. Contohnya jika seorang guru itu dilatih dalam bidang matematik, tetapi
apabila melaporkan diri diminta untuk mengajar mata pelajaran fizik. Satu dapatan
yang menarik daripada tulisan Billie J. Enz dan rakan-rakannya ialah sikap pihak
pentadbir yang tidak responsif yang membawa kepada tindakan penolakan
(withdrawal) oleh guru-guru ternama (distinguished teacher). Antaranya sikap
pengetua yang tidak menggalakkan pembangunan profesional guru. Dalam bab
akhir yang membincangkan tentang penggunan model LCCT, Pasch dan rakanrakannya telah menerangkan implikasi dan cadangan-cadangan mereka bagi
membangunkan karier guru sepanjang hayatnya. Antaranya ialah mengekalkan
amalan refleksi dan melaksanakan proses pembaharuan (renewal). Menerut
mereka, model LCCT ini dapat memastikan guru-guru berkembang dengan
profesional. Ianya juga menjadi kerangka untuk mereka bentuk aktiviti-aktiviti
perkembangan profesional guru. Keduanya menyokong perkembangan guru sebagai
individu dan ahli dalam komuniti pendidikan. Justeru guru mestilah diiktiraf sebagai
orang dewasa yang turut menghadapi tekanan dan pasang surut dalam
kemampuan bekerja. Maka guru-guru perlu diberi sokongan. Konflik yang wujud
perlu dilihat sebagai satu peluang untuk menggalakkan perkembangan yang lebih
positif. Ini kerana ianya memberi peluang kepada pentadbir untuk mengenalpasti
masalah yang mengganggu. Dijelaskan juga beberapa faedah daripada penggunaan
model LCCT ini. Antaranya guru akan memahami bahawa karier guru melibatkan
perkembangan yang berterusan dan motivasi untuk menjadi seorang guru yang
pakar atau cemerlang. Pihak pentadbir pula dapat memahami peranan mereka
untuk menyediakan peluang dan ruang di setiap fasa kitaran hidup guru dengan
cara membantu amalan refleksi-pembaharuan-perkembangan dikalangan guru.
Guru-guru yang berada di dalam zon penolakan proses refleksi pula dapat dibantu
dan dibimbing. Dibahagian lampiran disediakan juga satu ringkasan tentang
keperluan-keperluan yang unik bagi setiap fasa dalam kitaran hidup guru iaitu
perkembangan profesional yang sepatutnya ditangani supaya seseorang guru itu
dapat meningkat dari satu fasa ke satu fasa dengan lancar dan berkesan. Penutup
Buku The Life Cycle of the Career Teacher ini sangat sesuai dan mesti dibaca oleh
semua guru. Model The Life Cycle of the Career Teacher ini mencabar setiap guru
untuk mengambil tindakan bagi membangunkan karier mereka hingga ke tahap
maksima. Penulis-penulisnya telah dapat memberikan gambaran rasionalnya buku
ini dibaca dan menggunakan model yang dicadangkan. Setiap mereka percaya, jika
guru termasuk pentadbir di sekolah dapat menggunakan dengan betul, ianya bukan

sahaja dapat memberi faedah kepada guru malah pelajar-pelajar juga. Ini kerana
pelajar akan mendapat sekumpulan guru yang berkelayakan, berkemahiran tinggi
dan bermotivasi. Buku ini telah disusun dengan menarik kerana menyediakan
bebarapa kajian kes bagi menggambarkan tentang proses refleksi perubahan dan
perkembangan yang berlaku. Justeru dapat memberikan gambaran yang jelas
tentang setiap fasa kitaran hidup guru yang dimaksudkan. Kesimpulannya kitaran
hidup guru bermula diperingkat praperkhidmatan (novice), diikuti fasa
pembelajaran iaitu seseorang guru itu berusaha untuk menjadi guru yang ideal
(apprentice), diikuti fasa membuat refleksi (profesional) seterusnya menguasai
sepenuhnya proses pengajaran dan pembelajaran (expert). Ini diikuti dengan
kemampuan guru tadi menyumbang dalam pembentukan polisi-polisi pendidikan
dan melengkapkan kitaran kariernya dengan menyumbang semula kemahirannya
kepada
profesion
(emiritus).
Copy and WIN : http://bit.ly/1J3vX3K

Anda mungkin juga menyukai