Anda di halaman 1dari 8

Salah Laku Guru Mencalar Kewibawaan Profesion Perguruan

Posted by Ann Law at 20:50


(1) Pengenalan
Dalam era globalisasi kini, seseorang yang ingin berjaya dalam apa jua bidang
haruslah mempunyai ciri-ciri berdisiplin, bertanggungjawab, amanah, ikhlas dan nilai-nilai
murni. Nilai-nilai murni ini akan membentuk etika seseorang individu tersebut (Syed
Ismail etc., 2010:24). Menurut Kamus Dewan (1995), etika bermaksud satu sistem dasar
akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Dengan erti kata lain, etika menjadi teras dan
tunggak kepada keperibadian atau tatakelakuan penjawat awam supaya berurusan dengan apa
yang baik dan tidak baik mengikut kewajiban dan tanggungjawab moral mengikut profesion
tersebut. Etika juga dikatakan sebagai satu garis panduan yang menyenaraikan prinsip-prinsip
tingkah laku untuk tujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam
perkhidmatan. Justeru, adalah wajar setiap kerjaya yang digelar profesional menyenaraikan
kod etika kerja supaya memastikan pekerja-pekerja terlatih tertakluk kepada kod etika
tersebut untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti.
Memandangkan setiap organisasi perlu mempunyai kod etika profesion sebagai
panduan tingkah laku setiap ahli, bidang pendidikan juga tidak terlepas dari membina kod
etikanya sendiri. Menurut kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia
sehingga 30 Jun 2008, bilangan guru yang berkhidmat di sekolah rendah dan sekolah
menengah di seluruh negara adalah seramai 369,928 orang dengan guru lelaki sebanyak
118,380 orang dan guru perempuan sebanyak 251,548 orang. Tahun demi tahun, jumlah
bilangan guru di seluruh Negara meningkat dan sebagai usaha memartabatkan profesion
perguruan ini sebagai profesion yang profesional, sebuah Etika Profesion Perguruan telah
dicadangkan oleh Laporan Suruhanjaya Diraja Mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia
Barat (Laporan Aziz, 1971) bagi pembentukan tatasusila guru. Semua guru yang menjawat di
sekolah perlu mematuhinya yang mana etika kerja guru diwujudkan adalah untuk
memastikan guru akan dapat menjalankan tugas yang diamanahkan mengikut panduan yang
menjadi pegangan setiap warga Kementerian Pelajaran Malaysia berdasarkan nilai-nilai
akhlak mulia.
Antara rumusan Etika Profesion Perguruan secara keseluruhan adalah seperti yang
disenaraikan dalam karya Syed Ismail, etc. (2010:46-47):
i. Guru tidaklah harus bertingkahlaku begitu rupa sehingga boleh mencemarkan
sifat profesionalnya yang akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap
profesion perguruan
x. Guru tidaklah harus bertingkah laku terhadap muridnya begitu rupaya yang boleh
membawa jatuhnya darjat profesion perguruan
xiii. Guru tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh
mengurangkan keyakinan diri murid dan ibu bapa terhadapnya
Begitulah suaranya antara kandungan Etika Profesion Perguruan yang mengingatkan guru
kita agar tidak melibatkan diri dalam salah laku semasa memberi perkhidmatan pendidikan di
Negara kita. Tetapi sehinggakan hari ini, berita-berita yang tidak menyenangkan baik dari
segi tindakan atau hukuman terhadap pelajar yang melampau mahupun salah laku guru

sendiri yang masih lagi kedengaran. Persoalannya adakah guru-guru di sekolah pada zaman
kini tidak menyedari keruntuhan akhlak di kalangan profesion ini sehinggakan mencalar
kewibawaan profesion perguruan di Negara kita?
2) Isu : Salah Laku Guru
Sebuah artikel bertarikh Ogos 2009,(Kosmo! Online) berjudul Rogol, cabul murid
dalam makmal yang dikarang oleh Adham Shadan telah dimuat turun dari laman web
Kosmo Online. Menurut sumber artikel, kes ini berlaku di sebuah sekolah rendah jenis
kebangsaan di Pasir Puteh, Kota Bharu dimana seorang guru lelaki berusia 29 yang mengajar
Sains dan Bahasa Cina di sekolah tersebut telah didakwa merogol mangsa yang ketika itu
berusia 12 tahun tiga bulan di makmal sains di antara pukul 8 pagi hingga 3 petang. Bagi
pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mencabul kehormatan mangsa di tempat sama pada
pukul 12.15 tengah hari 17 Ogos 2009 mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan(KK) iaitu
menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan. Tertuduh didapati bersalah oleh
Hakim Rofiah Mohamad selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan
munasabah terhadap kedua-dua tuduhan itu. Dalam penghakimannya, Rofiah mengatakan dia
mengambil kira kepentingan awam serta hubungan tertuduh dengan mangsa sebagai guru dan
murid dalam menjatuhkan hukuman. Kata Rofiah Selepas mendengar hujahan pihak
pendakwa dan pembela, saya menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan sebatan bagi
kesalahan merogol serta tiga tahun penjara dan dua sebat bagi kesalahan mencabul.
Guru yang terbabit sebenarnya juga telah melanggarkan peraturan dalam kod Etika
Profesion Perguruan dengan melakukan tingkah laku mencabul anak murid perempuan yang
mana ini telah menyebabkan pihak ibu bapa dan khalayak ramai tidak percaya kepada sifat
profesional profesion perguruan. Seperti mana yang dikemukakan sebelum ini, salah sebuah
kod yang terkandung dalam Etika Profesion Perguruan adalah menegaskan bahawa guru
haruslah sentiasa menjaga tingkah lakunya supaya keprosefionalannya tidak tercemar akibat
kehilangan kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan. Pernyataan ini
menjelaskan bahawa setiap tindak tanduk dan sikap yang guru lakukan adalah mendapat
perhatian masyarakat sekeliling terutamanya pelajar dan ibu bapa.
Sesungguhnya, amat penting bagi seseorang guru agar menjada perlakuan agar tidak
mencalar kewibawaan profesion perguruan sehingga boleh menghilangkan kepercayaan
masyarakat terhadap nilai-nilai murni seorang guru yang sepatutnya membawa
tanggungjawab dan amanah untuk mendidik anak bangsa supaya bertingkah laku baik dan
berakhlak mulia. Jika seorang guru gagal untuk menjaga tingkah laku dan sikapnya, maka
imej guru seluruh Negara akan dipersoalkan dan pada akhirnya, masyarakat tidak akan
mempercayai guru dalam peranan sebagai pengganti ibu bapa di sekolah untuk mendidik
anak-anak mereka. Pendek kata, tindakan guru disiplin lelaki yang dianalisis dalam sumber

artikel telah membuat pihak masyarakat mempersoalkan sifat profesional guru dan ini
sebenarnya telah mencabar kewibawaan profesion perguruan di Negara kita.
(2.1) Sebab: Guru kurang menghayati dan memahami kod etika
Jika diteliti, apakah sebenarnya sebab-sebab yang menyebabkan berlaku kes salah
laku di kalangan guru? Pada pendapat penulis, senario ini berlaku dengan antara sebabnya
ialah guru terbabit kurang menghayati dan memahami kandungan yang tertera dalam kod
Etika Profesion Perguruan. Sesungguhnya, kod etika yang disediakan dapat dijadikan suatu
garis panduan kepada para guru di Negara kita tentang bagaimana tingkah laku yang sesuai
dilakukan apabila diri individu itu telah menceburi profesion perguruan. Ini bermakna jika
guru yang terbabit dengan kes salah laku dapat menghayati dan memahami peraturanperaturan yang disenarai dalam kod Etika Profesion Perguruan, maka, beliau akan
mengetahui apa yang boleh dilakukan dan apa yang kurang sesuai dilakukan sebagai seorang
guru. Beliau juga akan mengetahui bahawa tindak-tanduk seorang guru yang buruk mampu
mencemarkan nama seluruh ahli komuniti guru justeru berusaha untuk mengelakkan dirinya
untuk terlibat dengan kes-kes salah laku. Natijahnya, penulis berasa bahawa salah satu sebab
yang menyebabkan guru terbabit melibatkan diri dalam kes salah laku adalah berpunca
daripada kekurangan pemahaman dan penghayatan keperluan mengikuti peraturan mengikut
kod Etika Profesion Perguruan.
(2.2)Sebab: Kursus, Latihan dan Bengkel mengenai kod etika kurang berkesan
Selain itu, penulis juga terfikir sejenak mengenai satu lagi punca yang mana mungkin
secara tidak langsung telah menyebabkan keadaan ini berlaku. Apakah sebab sebenar yang
menyebabkan guru-guru di Malaysia mengambil sikap tidak acuh kepada kod Etika Profeion
Perguruan? Mungkin kita perlu berhenti untuk menilai dan mempersoalkan keberkesanan
kursus dan latihan yang diberikan kepada guru mengenai kod etika serta kepentingan
mematuhi kod etika guru tersebut. Pada pendapat penulis, pihak kerajaan juga memainkan
peranan yang sama kritikal dalam menyebarkan pemikiran mengenai kepentingan guru
mematuhi kod etika kerja. Namun, realitinya, kursus dan latihan serta bengkel berkenaan kod
etika profesion guru masih lagi kurang dan tidak memadai untuk memberi pendedahan yang
tegas kepada guru-guru di Negara kita mengenai kepentingan menjaga tingkah laku mereka
berdasarkan tatatertib etika. Rumusnya, penguatkuasaan dan pemantauan yang kurang
berkesan akan menyebabkan berlakunya kes salah laku di kalangan guru.
(2.3) Sebab: Tekanan Emosi
Pada masa yang sama, penulis juga berpendapat bahawa kes guru terlibat dalam kes
salah laku berpunca daripada tekanan emosi atau lebih dikenali sebagai stres. Kyriacou
(2000) menjelaskan stres guru sebagai pengalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini
seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan kemurungan akibat daripada
tugasnya sebagai seorang guru. Stres juga didefinisikan sebagai tindak balas fizikal yang
biasa terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan
berlaku. Sebenarnya, setiap individu mengalami kelima-lima jenis stres yang disenaraikan,
apa yang membezakan adalah kekerapan dan tahap keseriusan tekanan emosi tersebut kepada
setiap individu, menurut Noriati A. Rahid, etc. (2010:67).

Dengan perkembangan yang pesat pada abad ke-21 ini, guru di sekolah bukan sahaja
menghadapi cabaran dalam menguruskan perihal pengajaran dan pembelajaran di
sekolah, malah golongan tersebut juga menghadapi cabaran yang lebih ketara dengan
tuntutan daripada ibu bapa, masyarakat, pihak pengurusan sekolah dan kementerian demi
meningkatkan kualiti pendidikan. Dalam proses menjalankan tugas dan tanggungjawab, guru
kian menghadapi halangan, kesuntukan masa, perselisihan faham antara guru justeru tekanan
emosi sememangnya berlaku jika guru tidak dapat menyelesaikan masalah atau menangani
cabaran yang dihadapi.
Dalam kes yang dirujuk, guru lelaki tersebut mungkin telah mengalami tekanan emosi
yang mana pada akhirnya menyebabkan dia bertindak terpesong daripada etika kerjaya
sebagai seorang guru. Stres yang hasil daripada tekanan kerjaya berkaitan yang
menyebabkannya mengalami kekangan dalam menyelesaikan ketidak-seimbangan yang
berlaku dalam dirinya. Kita faham bahawa kecelaruan dalam diri seseorang akan membawa
kepada tindakan yang berada pada luar jangkaan diri sendiri yang amat berbeza dengan
personaliti asalnya, dimana guru terbabit mungkin mencabul murid perempuan berkaitan
walapun dirinya sendiri tidak sedar bahawa dia sedang melakukan salah laku terhadap
muridnya.
(2.4) Implikasi Salah Laku Guru
Menurut laporan Magendran Rajagopal dan Norliza Wasilan dalam Berita Harian
secara online, Kementerian Pelajaran telah menerima 200 aduan berhubung pelbagai salah
laku guru di seluruh Negara sejak tahun 2007. Sumber menjelaskan baahwa antara kesalahan
yang dilakukan oleh guru ialah tidak hadir bertugas (37%), cabul dan gangguan seksual
(17%), terbabit dalam rasuah dan disiasat Badan Pencegah Rasuah (15%), penyalah-gunaan
dadah (9.5%), kecurian (6%), jenayah syariah (7%) dan keterhutangan serius (1%).
Peningkatan bilangan guru-guru di Malaysia yang terbabit dalam kes salah laku
sesungguhnya mendatangkan kesan yang amat buruk jika masalah ini dibiarkan berterusan.
Antara kesan yang dapat dilihat daripada permasalahan ini adalah merosotnya
kewibawaan profesion perguruan. Seperti mana yang dinyatakan oleh Syed
Ismail etc. (2010:190), Pada zaman ini guru bukan sahaja sebagai pendidik tetapi pengganti
ibu bapa, kaunselor, pembimbing dan rakan. Peranan guru begitu penting memandangkan
beliau merupakan individu yang paling dekat dengan murid semasa mereka berada di
sekolah. Namun, apakah pandangan ibu bapa di luar persekitaran sekolah yang
mengharapkan guru menjadi penggantinya, melihat kes-kes salah laku yang berlaku di
kalangan guru di sekolah? Adakah masyarakat di Negara kita akan terus menyanjung,
menghormati dan mempercayai profesion perguruan sebagai suatu jawatan yang mulia
apabila guru-guru sekarang terjurus untuk terbabit dalam salah laku?
Realitinya, peningkatan kes-kes salah laku melibatkan guru-guru di sekolah telah
menyebabkan ibu bapa dan masyarakat Negara kita memandang sinis terhadap profesion
perguruan. Mereka tidak yakin dengan kebolehan guru seluruh negara dalam mendidik anakanak mereka walaupun hanya berakibatkan tindakan salah seorang guru di Malaysia.

Nampaknya, pengaruh yang dibawa oleh permasalahan tidak mematuhi kod etika kerja guru
terhadap profesion perguruan di Malaysia adalah begitu luas sehingga menjejaskan imej
semua guru di Negara kita. Malah sesetengah pihak telah melabelkan profesion ini sebagai
pilihan terakhir setelah tiada kerjaya profesional yang lain atau disebabkan ingin
mengelakkan diri daripada menganggur. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Di samping itu, kes salah laku yang berlaku di kalangan guru juga memaksa pihak
berkuat-kuasa melucutkan jawatan guru di sekolah. Ini secara tidak langsung menyebabkan
kekurangan sumber guru yang berkualiti di sekolah-sekolah seluruh Negara. Menurut sumber
pada tahun 2010, bilangan sekolah rendah yang didirikan di Malaysia adalah sebanyak 7,714
buah. Cuba bayangkan sekiranya seluruh sekolah di Malaysia mempunyai hanya seorang
guru yang membabitkan diri dalam kes salah laku. Dengan ini, pihak berkuat-kuasa terpaksa
melucutkan kira-kira 7 ribu orang guru yang memegang jawatan di sekolah. Ini sudah tentu
menimbulkan permasalahan yang tidak berterusan kepada proses pembelajaran murid-murid
di sekolah, malah sistem pendidikan di Negara kita. Jadi, jelaslah bahawa tindakan salah laku
guru akan menyebabkan sistem pembelajaran di Negara kita tergendala.
(2.5) Cara mengatasi isu ini
Memandangkan isu atau permasalahan salah laku guru di Negara kita akan membawa
kesan yang begitu serius kepada imej guru dan sistem pendidikan di Negara kita, langkahlangkah yang sesuai serta berkesan haruslah diambil supaya isu ini dapat diturunkan
kadarnya, diperbaiki keadaannya dan pada akhirnya dibasmi permasalahannya. Terdapat
beberapa pihak yang terlibat dalam usaha mengatasi isu salah laku di kalangan guru di
Negara kita. Antaranya ialah pihak pentadbir sekolah, pihak rakan sejawat guru dan juga
pihak individu yang tertuduh tersebut.
Pertama sekali, pihak pentadbir sekolah haruslah mempertingkatkan lagi sistem
pemantauan (monitoring) dan susulan yang sedia ada supaya lebih berkesan dan cekap dalam
pemantauan terhadap guru-guru di sekolah agar isu salah laku di kalangan guru dapat
dielakkan. Pihak tersebut seharusnya mewujudkan sebuah sistem pantau yang dapat
menghalang guru-guru untuk melibatkan diri dalam perkara-perkara yang dikatakan telah
melanggar peraturan kod Etika Profesion Perguruan. Sekiranya betul didapati guru berkenaan
masih tidak terlepas dari terbabit kes salah laku, pihak pentadbir sepatutnya membuat
persediaan untuk memberi perkhidmatan nasihat dan kauseling kepada guru tersebut supaya
dia sedar bahawa dirinya sedang menjurus ke arah yang terpesong daripada profesionnya.
Walau-bagaimanapun,jika guru terbabit masih ingkar, maka amaran dan tindakan
tatatertib harus dilaksanakan dengan tegas agar kes salah laku tidak berterusan. Ketegasan
pihak pentadbir dalam menguruskan hal salah laku sememangnya membantu pihak berkuasa
membasmi isu salah laku di kalangan guru. Pihak pentadbir juga berperanan memastikan

guru di sekolah, khususnya guru permulaan yang baharu saja dilantik agar memahami dan
menghayati kod Etika Profesion Perguruan. Sekiranya perlu, kursus, latihan, seminar dan
bengkel menerangkan tentang etika kerja tersebut harus diadakan dengan kerap agar guruguru sentiasa peka dengan tindak-tanduk sendiri.
Selain itu, rakan sejawat guru juga memainkan peranan kritikal dalam mengatasi
masalah salah laku di kalangan guru. Sebagai salah seorang ahli dalam komuniti pendidik,
individu tersebut seharusnya sentiasa berusaha menjadi teladan kepada ahli-ahli lain dalam
komuniti berkaitan. Adalah diingatkan bahawa sebagai seorang guru, tingkah laku beliau
bukan sahaja sentiasa menjadi role model kepada murid-muridnya di dalam kelas, malah
rakan-rakan sejawatnya yang sentiasa berkomunikasi dengannya. Jadi, adalah wajar sebagai
seorang guru untuk sentiasa menjaga tindak-tanduknya. Sebagai rakan sejawat, individu
tersebut juga bertanggungjawab memberi dorongan dan nasihat sewajarnya kepada guru yang
didapati terbabit dengan kesalahan.
Kita dididik agar tidak menjaga tepi kain orang dan ini menyebabkan kita jarang
mengambil peduli tentang hal-hal yang tidak berkaitan dengan kita. Namun, sebagai rakan
sejawat, sikap ini haruslah diubah dimana individu tersebut haruslah berusaha mengamalkan
pendekatan kepedulian. Dari segi moral, pendekatan kepedulian merupakan kesanggupan
seseorang untuk berkorban demi orang lain. Dalam konteks ini, kepedulian dapat diertikan
sebagai perasaan ambil berat terhadap orang lain. Oleh yang demikian, setiap guru haruslah
memikul tanggungjawab sebagai seorang rakan sejawat untuk mempedulikan masalah salah
laku yang dihadapi orang guru sejawat di sekolah.
Pada masa yang sama, rakan sejawat juga perlu sentiasa saling memberi peringatan
dan nasihat agar tidak terjurus daripada terlibat dalam kes salah laku. Menurut Syed
Ismail, etc. (2010:56), kita perlua sama-sama menjaga nama baik profesion perguruan
supaya pelanggan danstakeholder kita berasa berpuas hati dan kehendak mereka yang sah
dapat dipenuhi. Beliau juga menyatakan bahawa Sebagai seorang guru yang
berakauntabiliti terhadap rakan, kita hendaklah sentiasa berusaha membantu rakan sejawat
terutamanya mereka yang baharu dalam terlibat dalam profesion peguruan ini. (Syed
Ismail, etc., 2010:57) Oleh yang demikian, jelaslah bahawa tugas kita sebagai guru
sebenarnya tidak terhad kepada murid, ibu bapa, masyarakat dan Negara. Kita sebenarnya
mempunyai tanggungjawab untuk melindungi dan menjaga nama baik rakan sejawat kita
yang berkecenderung untuk melakukan tindakan terpesong agar kewibawaan profesion
perguruan ini tidak tercalar.
Di samping itu, setiap orang guru di Negara kita sebenarnya mempunyai peranan
masing-masing dalam memastikan kes salah laku berhenti dari terus berlaku dalam kalangan
pendidik. Sebagai seorang guru yang bertanggungjawab, beliau sepatutnya sentiasa
bermuhasabah dan membuat reflektif diri mengenai apa yang dilakukan olehnya. Dengan
cara ini, kekuatan dan kelemahan diri akan dapat dikenal-pasti dan dibaiki dengan kadar yang

cepat. Ia juga menimbulkan kesedaran untuk menjadikan diri individu itu berkembang ke
arah lebih baik. Umpamanya jikalau guru berkaitan mendapati dirinya mempunyai masalah
tekanan emosi yang menyebabkannya terjurus untuk melakukan tindakan terpesong, maka
beliau bolehlah dapatkan nasihat dan kaunseling dari pihak berpengalaman sebelum kes salah
laku berlaku. Sikap kepekaan dan rendah diri terhadap keperluan diri untuk menerima nasihat
amat membantu dalam konteks ini. Sudah tentu masalah salah laku di kalangan guru dapat
diselesaikan sebelum keadaan berkenaan berubah menjadi jenayah serius sehinggakan
didakwa.
Seterusnya, guru juga haruslah bijak memilih kawan yang mampu menjadi teladan
dan contoh kepada profesion perguruan beliau. Seperti peribahasa dalam Bahasa Inggeris
yang menyatakan bahawa A man is known by the company he keeps. Ini bermakna seorang
individu akan menerima pengaruh daripada teman-teman yang berdampingan dengannya.
Sekiranya seorang guru sentiasa berkawan dan berdampingan dengan golongan guru yang
dikatakan mempunyai sikap negatif, maka lama-kelamaan guru tersebut juga akan terjurus
untuk melakukan tingkah laku negatif akibat pengaruh rakan tersebut. Sebaliknya, sekiranya
guru berkenaan berdampingan dengan rakan sejawat yang mampu menjadi teladan dan
contoh malah model tiruan dalam profesion perguruan, maka guru tersebut akan terarah untuk
mengikuti arus supaya menjadi seorang guru yang ideal.
(3) Kesimpulan
Sebagai rumusan kepada ulasan-ulasan yang telah dikemukakan, Etika Profesion
Perguruan sebenarnya diwujudkan dengan hasrat untuk membentuk tingkah laku positif dan
membaiki potensi sesetengah individu pada satu-satu masa. Etika juga bertujuan mengawal
tingkah laku para profesional agar lebih beretika dalam bidang yang diceburi dan pada
akhirnya membimbing para profesional ke menara berjaya suatu hari nanti. Begitu juga
keadaannya dalam kerjaya guru. Dengan adanya Etika Profesion Perguruan, para guru di
Malaysia akan dapat merujuk dan mendapatkan garis panduan untuk menjadi seorang guru
yang bertanggungjawab dan berakauntabiliti terhadap semua pihak termasuk pelajar, ibu
bapa, masyarat dan Negara serta rakan sejawat.
Pada masa yang sama, adalah wajar bagi setiap individu bagi memahami bahawa
pelaksanaan Etika Profesion Perguruan bukanlah untk membebankan individu yang terlibat
dalam profesion tersebut. Tujuannya seperti yang dinyatakan sebelum ini, sesungguhnya
adalah untuk membantu dalam guru yang berkhidmat dalam bidang pendidikan untuk
menjadi lebih komited, dan dapat memupuk akauntabiliti dalam menjalankan kerja atau
profesion beliau. Dengan pemahaman tentang kepentingan kewujudan etika kerja, maka
diharapkan guru-guru di Malaysia akan lebih menyedari keperluan diri mereka mematuhi

peratuan kod etika seperti yang tertera bagi menjaga imej profesion guru serta memelihara
kelancaran dalam pelaksanaan sistem pendidikan di Negara kita.
Menurut Baharin Abu, etc. telah mengunkapkan bahawa Guru adalah pendidik dan
pembimbing kepada para pelajar yang akan menjadi warisan kebudayaan dan ilmu
pengetahun untuk kemajuan bangsa dan Negara pada masa hadapan. Semamangnya guru
memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan Negara. Selain meyebar ilmu, segala
tingkah laku guru akan menjadi contoh teladan kepada pelajar selain mereka dapat membina
masyarakat yang mempunyai budaya yang bertamadun tinggi. Seseorang guru yang baik
seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi seperti baik hati, pandai berjenaka, sabar,
bertanggungjawab, yakin pada diri dan mempunyai sifat kepimpinan (Mook Soon Sang,
1988). Sesungguhnya, guru-guru harus merenungkan kenyataan yang diungkapkan oleh
Imam Ghazali (1980) dalam buku Ihya Ulumiddin yang berbunyi rosaklah pemimpin
kerana guru yang jahat.

Anda mungkin juga menyukai