Anda di halaman 1dari 8

TUMPAT Kemalangan jalan raya yang meragut nyawa ibu dan abangnya serta turut menyebabkan

kaki serta tangan kanannya patah, sekali gus menyebabkan dia tidak dapat hadir ke sekolah selama
setahun.
Namun di sebalik peristiwa hitam itu, Wan Nor Sofiana Wan Ghazali bangkit dan membuat kejutan
dengan mencatatkan keputusan cemerlang 9A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang
diumumkan semalam.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut itu berkata, dia sendiri tidak
menyangka mendapat keputusan A penuh setelah melalui detik-detik sukar akibat tragedi
kemalangan dalam perjalanan pulang dari Terengganu ke rumahnya di Kampung Laut, di sini,
semasa masih di tingkatan empat.
"Hampir setahun saya tak ke sekolah akibat kemalangan itu. Saya tak dapat berjalan dan terpaksa
guna kerusi roda...tambahan pula...melihat ibu dan abang maut di depan mata meninggalkan kesan
trauma mendalam kepada diri saya.
"Bagaimanapun saya kuatkan semangat untuk menempuh ujian itu. Hanya saya yang terselamat
tetapi cedera parah. Hampir setahun tak dapat berjalan dan persekolahan saya juga terjejas,"
katanya.
Menurutnya, dia bangkit bersama semangat baharu ketika meneruskan pelajaran di tingkatan lima
sekali gus cuba melupakan tragedi pilu berkenaan bersama azam untuk mencapai kecemerlangan
dalam SPM.
Katanya, dia berhasrat melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Pahang kerana arwah abangnya
merupakan bekas pelajar institusi pendidikan tinggi itu, namun tidak sempat menerima ijazahnya.

"Saya mahu hadiahkan keputusan cemerlang ini kepada ayah saya, Wan Ghazali Ab Rahman, 70,
dan berterima kasih kepada guru-guru dan kawan-kawan yang banyak memberi sokongan," kata
anak bongsu daripada sembilan beradik itu.
Sementara itu, Pengetua SMK Kampung Laut, Jamari Othman memaklumkan, seorang lagi pelajar
sekolah itu yang mendapat keputusan 9A ialah Mohd Fitri Hanif Che Roslan,
"Sekolah ini berada di tempat kedua pencapaian kelulusan SPM di bawah Pejabat Pendidikan
Daerah (PPD) Tumpat dengan peratus lulus 92.6 peratus, di belakang Sekolah Menengah
Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah. Manakala dari segi Gred Purata Sekolah (GPS) kita berada di
tempat keempat dalam PPD Tumpat dengan 5.16 peratus," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Athir Mustaffar dari SMKA Falahiah, Pasir Pekan, muncul pelajar terbaik
peringkat negeri bagi SPM 2015 dengan keputusan 11A+ dan sekolah tersebut turut mencatat
kelulusan 100 peratus.

JERANTUT - Hormat ibu bapa dan guru jadi pegangan dua pelajar cemerlang Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Agama Tengku Ampuan Hajah Afzan (Tahap) yang memperoleh keputusan
cemerlang 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mustafa Lutfi Sabar, 18, anak seorang peniaga pasar malam dan Che Wan Ahmad Aiman Che Wan
Ahmad Shaifuddin, 18, anak penghulu Mukim Batu Talam, masing-masing teruja.

Bagi Mustafa Lutfi yang bercita-cita mahu menjadi seorang ahli kimia, kejayaannya itu merupakan
berkat doa ibu bapanya selain tunjuk ajar guru.
Kejayaan Mustafa turut diraikan kedua ibu bapanya, Sabar Husin, 49, dan Jamilah Tan, 50, yang
datang dari Temerloh.
Menurut Sabar, dia dan isteri yang juga seorang guru sentiasa menyokong kejayaan anaknya itu dan
berharap anaknya terus cemerlang.
Bagi Che Wan Ahmad Aiman pula, kejayaannya itu akan menjadi batu loncatan untuk dia
menyambung pelajaran di Universiti Malaya (UM) dalam bidang perubatan.
Menurutnya, untuk mencapai keputusan cemerlang, seseorang pelajar harus sentiasa hormat ibu
bapa dan guru.
Dalam pada itu, Pengetua SMK Agama Tahap, Syed Mahdzir Syed Nordin berkata, meskipun
mengalami sedikit penurunan dari sudut GPS berbanding tahun, sekolah itu masih lagi mengekalkan
kedudukan sebagai antara 10 sekolah terbaik negeri.

PASIR MAS - Penyakit kanser tulang yang dideritai seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) Tok Uban menyebabkan dia terpaksa menggunakan alat bantu berjalan untuk hadir ke sekolah
setiap hari.

Namun kecekalan Nik Nur Aisyah Amalyn Nik Sen, 18, terbalas apabila dia mendapat keputusan A
dalam semua mata pelajaran untuk peperiksaan SPM yang diumumkan semalam.
Bagi anak keempat daripada enam beradik itu, kejayaannya adalah di luar jangkaan kerana dia hanya
mampu hadir ke sekolah semasa berada di tingkatan lima akibat penyakit dideritainya itu.
"Saya diberikan cuti dua tahun kerana perlu jalani pembedahan serta rawatan di hospital sehingga
tidak berpeluang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR).
"Malah sepanjang berada di tingkatan lima, saya perlu berulang alik ke hospital pada setiap bulan
untuk mendapatkan rawatan kemoterapi. Semua ini tidak mematahkan semangat saya kerana ibu
dan ayah sentiasa di sisi," katanya.
Nik Nur Aisyah Amalyn berkata, dia amat berterima kasih kepada kedua-dua orang tuanya kerana
sentiasa memberi sokongan dan sanggup berjaga malam semata-mata menemaninya mengulangkaji
pelajaran untuk menduduki SPM.
Hasilnya, dia mendapat keputusan 5A+ bagi subjek Pendidikan Islam, Tasawur Islam, Matematik,
Ekonomi dan Sains, A bagi subjek Bahasa Melayu dan Sejarah serta A- bagi subjek Bahasa Inggeris.
"Selain ibu bapa, guru-guru turut memainkan peranan penting dalam membantu saya di sekolah dan
saya amat berterima kasih kepada mereka, begitu juga rakan-rakan. Ia mencerahkan peluang saya
untuk mengejar cita-cita sebagai guru.
"Sungguhpun nasib diri saya berbeza, saya tetap menerima layanan sama seperti pelajar lain dan
saya bersyukur dengan kejayaan ini," katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Tok Uban, Mohd Saudi Abd Rahman berkata, kejayaan Nik Nur Aisyah
Amalyn meruapkan sejarah kepada sekolah kerana dia menjadi pelajar pertama mendapat semua A
dalam SPM semenjak 51 tahun sekolah itu dibuka, iaitu pada 1965.
"Nik Nur Aisyah Amalyn menjadi kebanggaan SMK Tok Uban. Dia harus menjadi contoh kepada
pelajar-pelajar lain kerana, sungguhpun terpaksa bertarung dengan kesakitan, dia membuktikan ia
bukan halangan untuk mencapai kecemerlangan.
"Tahniah kepada kedua-dua ibu bapanya, Asimah Abdullah, 50, dan Nik Sen Nik Mat, 55, yang juga
guru di sekolah ini," katanya.

MACHANG - Menyifatkan kejayaannya mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diduduki pada
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 di luar jangkaan, Ain Syafiqa Abdul Khalid percaya itu adalah
hasil doa dan sokongan kedua ibu bapanya.
Pelajar terbaik sekolah harian biasa dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkal Meleret itu
berkata, sekalipun dikenali sebagai pelajar sasaran, namun dia seolah-olah tidak percaya apabila
mendapat A bagi subjek Matematik Tambahan dan Pendidikan Seni Visual.
Selepas selesai peperiksaan, saya jangka mungkin hanya mampu dapat 9A, sebab dua subjek
tersebut tak berjalan lancar. Tapi, Alhamdulillah... ALLAH tolong saya bila hari ni (semalam)
keputusan diumumkan saya berjaya dapat 11A.
Saya percaya dan yakin ini adalah hasil doa yang tidak putus-putus oleh kedua ibu bapa saya.
Mereka selalu solat hajat dan melakukan solat sunat yang lain bagi tujuan kejayaan saya, katanya.
Pada masa yang sama, anak bongsu kepada bekas pesara tentera, Abdul Khalid Jantan dan
Hamidah Mohamad Nor itu berkata, kejayaan dua kakak dan dua abang Ain Syafiqa banyak
memberikan inspirasi dan cabaran untuknya berjaya.
Katanya, sekalipun dia tidak mampu menandingi kehebatan mereka, namun dia sedaya upaya cuba
untuk jadi yang terbaik dan lebih penting menggembirakan kedua orang tuanya.
Tambahnya, selain ibu bapa, guru-guru adalah orang penting yang menjadi tulang belakang
kejayaannya dalam pelbagai aspek.
Saya tak pernah buat jadual atau tetapkan masa tertentu belajar... saya belajar ikut mood sendiri.
Tapi pada minggu terakhir sebelum menduduki peperiksaan, saya akan bekerja keras.

Saya baca buku rujukan dan juga buku latihan berserta jawapan bagi bantu saya menjawab soalan
pada peperiksaan sebenar, kongsinya.
Berharap dapat menyambung pengajian dalam bidang perubatan, anak kelahiran Kampung Awah itu
bercita-cita bergelar seorang doktor suatu hari nanti.

BANTING - Pasangan suami isteri yang menjual air tebu di pasar malam sekitar Banting tidak dapat
menahan sebak apabila anak bongsu mereka, Mohd Radzi Solihan, mendapat 9A dalam Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan Pengetua Sekolah Menengah (SM) Sains Banting,
Kamaludin Taib, semalam.
Rukinah Salim, 60, berkata, dia menitiskan air mata apabila nama anak bongsunya dipanggil ke
pentas apabila nama tersenarai dalam pelajar mendapat semua A dalam semua mata pelajaran.
Menurutnya, dia menganggap usaha gigih bersama suaminya, Solihan Hasan, 66, menjual air tebu
sejak 30 tahun lalu terbayar apabila anak lelakinya mendapat keputusan cemerlang.
Makcik hanya minta dia berdoa dan mengaji setiap kali waktu solat supaya diberikan hati yang
tenang untuk terima ilmu.
Kami bukanlah keluarga yang senang dan hanya berniaga di pasar malam empat kali seminggu.
Tu pun kalau cuaca baik, dapatlah makcik dan pakcik rezeki lebih, kalau tak, pendapatan kami tak
seberapa.., katanya yang hadir sama melihat keputusan anaknya.

Bagi Solihan pula, dia turut menganggap keputusan anaknya adalah restu pihak sekolah terutama
guru yang membimbing anaknya terus berjaya.
Katanya, walaupun dia sudah berumur tetapi masih meneruskan kerja berniaga menjual air tebu
untuk memberi pendidikan terbaik buat anak-anaknya.
Lepas ni pakcik kena usaha lebih sikit untuk tambah pendapatan sebab Radzi bakal melanjutkan
pendidikan ke universiti pula.
Macam mana susah pun kami, kami nak tengok anak-anak berjaya... itu harapan kami walaupun jual
air tebu saja. Itu sudah bantu kami mendapat rezeki yang halal, katanya yang tinggal di Kanchong
Darat, Banting.
Mohd Radzi berkata, dia antara 34 pelajar SM Sains Banting yang mendapat semua A dalam SPM,
semalam.
"Tiap-tiap pagi saya telefon mak, mak akan doa.. Ya ALLAH Ya Tuhanku, permudahkan urusan anak
ku menjawab peperiksaan dengan tenang...Amin.
Kalau setiap pagi saya telefon sebelum masuk dewan peperiksaan, hari-hari tu juga mak akan doa
yang sama walaupun melalui telefon hingga peperiksaan hari terakhir selesai, katanya.

KEPALA BATAS - Baca al-Quran sebelum ke sekolah antara rahsia kejayaan seorang anak pesara
tentera yang mendapat keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, semalam.

Norkhairun Nisa Zuzaini, 17, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muda, Penaga,
memperoleh A dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam, Kimia,
Biologi, Tasawuf Islam manakala B dalam mata pelajaran Fizik dan Matematik Tambahan.
Norkhairun berkata, solat tahajud dan membaca al-Quran dijadikan amalannya setiap hari.
Setiap malam, saya akan peruntukan masa untuk menunaikan solat tahajud. Saya letakkan
kebergantungan sepenuhnya kepada ALLAH agar diberikan kejayaan kepada saya.
Sebelum pergi sekolah, saya akan baca al-Quran. Insya-ALLAH, amalan ini akan saya praktik
sepanjang masa biarpun SPM sudah berlalu, katanya.
Dalam pada itu, katanya, kejayaannya itu juga adalah hadiah untuk ibu bapanya termasuk guru-guru
yang banyak mengajarnya.
Menurutnya, ibu dan ayahnya sanggup menghantarnya ke sekolah semata-mata mahu bersamasama melihat keputusan SPM.
"Dahulu saya sekeluarga menetap di Penaga, namun selepas ayah bersara, kami berpindah ke Kuala
Lumpur.
Ayah sanggup memandu kereta dari Kuala Lumpur bawa saya dan ibu untuk mengambil keputusan
SPM ini, katanya.
Bagi pasangan suami isteri, Zuzaini Md Yusoff, 45, dan Noriya Mat Jusin, 42, pula berkata, kejayaan
ini didorong oleh cita-cita anak sulung dari tiga beradik itu untuk bergelar doktor.
"Norkhairun selalu cakap kat saya yang dia nak jadi doktor, sebagai ayah saya sentiasa beri galakan
kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh mengejar cita-citanya itu.
Pada saya, kejayaan yang diperolehnya ini akan menjadi aspirasi buat kedua adiknya yang kini
masih bersekolah, katanya.
Ibunya, Noriya berkata, anaknya itu cemerlang dalam pelajaran sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kejayaan anak saya ini dan saya akan berdoa yang terbaik
untuknya.
Sejak dari sekolah, dia memang menunjukkan minat yang tinggi dalam pelajaran, memang saya
jangka dia akan dapat keputusan cemerlang dalam SPM ini, syukur, katanya.
Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muda mencatatkan sejarah tersendiri apabila mencatatkan
keputusan yang memberangsangkan pada SPM tahun ini.
Pengetuanya, Mohd Nor Yusof berkata, keputusan SPM bagi SMK Sri Muda ini mencatatkan
keputusan yang memberangsangkan tahun ini.
Gred Purata Kumulatif SPM bagi sekolah ini mencatatkan 5.35 tahun ini berbanding 5.50 pada 2014.
Ini merupakan satu keputusan yang baik memandangkan sekolah di kawasan luar bandar, katanya.

Anda mungkin juga menyukai