Anda di halaman 1dari 8

Perkongsian Pengetahuan Ugama Islam

Petikan dari bharian/utusan

Home

 Isu Semasa
 Time Solat Malaysia
 Kamus Inggeris - Melayu
 Naruto
 Ilmu untuk dikongsi

Amalan tak memerlukan seseorang berwuduk, menutup


aurat dan batas waktu
Tajdid Iman: Zikir ibadat paling mudah dapat pahala

Bersama Dr Juanda Jaya

PENGARANG kitab Shafwah al-Shafwah menceritakan seorang ahli ibadah melihat seekor burung
yang selalu membawa sepotong daging setiap hari. Burung itu hinggap di atas pokok kurma.

Ahli ibadah itu hairan kerana tidak ada seekor burung pun yang mempunyai sarang di situ.

Beliau berkata: "Saya memanjat pokok itu dan melihat di sana ada seekor ular buta. Setiap kali
burung itu mendekatinya, ia pun bersuara, lalu ular itu membuka mulutnya, sang burung meletakkan
sepotong daging itu ke mulut ular dan kemudian terbang. Perbuatan itu dilakukannya setiap hari."

Kisah berkenaan mengajar kita bahawa kemuliaan itu terletak pada seberapa besar manfaat yang
boleh diberikan kepada orang lain, manakala, kehinaan itu kerana mensia-siakan potensi dan
kekuatan jasmani dan rohani yang Allah kurniakan kepada kita.

Haiwan bekerja mencari makanan tanpa tangan dan kaki yang sempurna. Tetapi, manusia masih lagi
diulit mimpi angan-angan yang panjang.

Haiwan dan alam semesta semua berzikir kepada Allah, tetapi manusia sibuk melupakan Allah.

Allah berfirman menyeru kepada orang yang mengaku beriman bermaksud: "Bekerjalah kamu,
nescaya Allah dan rasul-Nya serta orang beriman akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan
dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu
diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." (Surah al-Taubah, ayat 105)

Bekerja adalah ibadat. Bahkan, nafkah yang dihulurkan kepada ahli keluarga adalah sedekah yang
paling utama. Tetapi, sifat malas sering timbul ketika melakukan jihad ini. Ia sentiasa hadir dalam
kehidupan pekerja yang beriman.

Di manakah kelemahannya hingga semangat bertempur untuk mendapatkan keuntungan dunia yang
halal itu menjadi kendur?

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Jika datang hari kiamat dan di tangan seorang daripada
kamu ada satu bijian tanaman, maka jika dia mampu menanamnya, hendaklah dia melakukannya."
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Ahmad)

Semangat kerja Nabi Idris patut dicontohi. Baginda adalah seorang tukang jahit yang mencari nafkah
dengan hasil usaha tangannya sendiri.

Pada suatu hari, Allah berfirman bermaksud: "Wahai Idris, tahukah kamu mengapa Aku mengangkat
darjatmu hingga ke tempat yang sangat tinggi? Seperti firman Allah bermaksud: "Dan kami
mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi." (Surah Maryam, ayat 57).

Nabi Idris menjawab: "Saya tidak tahu wahai Tuhanku." Allah berfirman: "Setiap hari amalanmu
terangkat ke sisi-Ku seperti setengah amalan penduduk dunia ini kerana kamu banyak berzikir.

Allah berfirman yang maksudnya: "Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal
yang soleh." (Surah Fatir, ayat 10)

Demikianlah keutamaan Nabi Idris kerana setiap kali baginda menusukkan jarumnya, pasti kalimah
zikrullah yang empat diucapkan iaitu Subhanallah, Walhamdulillah, Walailahaillallah, wa Allahu Akbar.

Pekerjaan yang dilakukan sambil berzikir sungguh berat timbangannya di sisi Allah dan boleh
menyuntikkan semangat untuk berjaya semata-mata kerana keredaan Allah.

Zikir adalah amalan yang paling mudah dan ringan tetapi amat berat pahalanya. Syaikh al-Islam al-
Imam Ibnu Taimiyah dalam kitab agungnya, Majmu' al-Fatawa menyatakan – amalan yang paling
utama selepas amalan yang fardu adalah zikrullah.

Dalam hadis sahih riwayat al-Imam Ahmad dan at-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah kamu
aku tunjukkan amalan paling utama dan yang paling bersih di sisi Allah? Lebih baik daripada kamu
bertemu dengan musuh-musuhmu, lalu kamu memenggal leher mereka dan mereka juga memenggal
leher-lehermu?” Sahabat menjawab: “Tentu wahai Rasulullah SAW.” Rasulullah SAW bersabda:
“Zikrullah."

Demikianlah zikir yang dilakukan. Ia tidak memerlukan wuduk atau menutup aurat.

Ia tidak dibatasi oleh waktu dan tempat. Di mana dan bila-bila saja dan dalam keadaan apa pun,
ibadat ini boleh dilakukan. Sungguh senang tetapi ramai manusia yang meninggalkannya.

Al-Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan: "Baginda memberi petunjuk supaya berzikir dalam setiap
ucapan, tindakan, tarikan nafas, kala berdiri, duduk dan berbaring, gerak geri baginda adalah zikir
kepada Allah."

Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang paling sibuk dengan dunianya dan paling bersedia
untuk bekalan akhiratnya.

Baginda adalah ketua negara yang amanah, mahaguru yang dihormati, pakar motivasi, jeneral perang
dan penganalisis politik yang hebat. Rasulullah SAW juga ketua rumah tangga yang adil, pendakwah
yang karismatik, ayah penyayang dan saudara lelaki penyantun.

Seluruh masa dan tenaga dikerahkan untuk memastikan mereka yang hidup di sisi Baginda mendapat
kebahagiaan dunia dan akhirat.

Begitu juga dengan kita yang memenuhi hari-hari dengan kerja dan zikrullah, pastikanlah ia tidak
terhenti kecuali kedua-dua kaki ini sampai di pintu kenikmatan tertinggi, syurga abadi!

INTI PATI
Berkat berzikir

·  Bekerja adalah ibadat kerana nafkah yang dihulurkan kepada ahli keluarga adalah sedekah paling
utama.

·  Ia tidak memerlukan wuduk atau menutup aurat malah tidak dibatasi waktu atau tempat.

·  Haiwan dan alam semesta berzikir kepada Allah.


Al-Quran usah sekadar jadi bahan hiasan
RAMAI yang mengenal Allah dan ‘menjumpai’ Tuhannya melalui renungan dan tafakur terhadap
kejadian alam, diikuti kajian, penerokaan bagaimana alam ini bermula. Adakah ia bermula dengan
suatu cara atau sesuatu yang mempunyai sistemnya ataupun dia bermula secara sembrono?

Al-Quran menjawab persoalan yang disebutkan itu melalui firman Allah SWT yang bermaksud:
“Apakah orang yang tidak beriman itu tidak mengetahui bahawa langit dan bumi kedua-duanya dulu
adalah suatu yang padu. Kemudian kami pisahkan antara keduanya.” (Surah Al-Anbia, ayat 30)

Dalam ayat ini ada dua kalimat yang indah dan perlu kita fahami dengan betul iaitu ‘ratqa’ bermaksud
sesuatu yang ditampal ataupun yang dijahit dan ‘fatqa’ bermaksud sesuatu yang dibuka dan di koyak.
Allah mengatakan langit dan bumi pada asalnya ratqa (ditampal dan dijahit), kemudian kami buka atau
mengoyak dan kami mengembangkannya.

Ayat ini menceritakan mengenai permulaan alam semesta ketika tidak ada orang pun yang bercakap
bahasa seperti al-Quran ini sebab ia baru ditemui hakikatnya pada abad ke 20.

Yang cantiknya, ulama dulu sudah ada pemikiran sains sebab mereka mengkaji al-Quran. Walaupun
mereka hidup pada zaman dulu, minda mereka adalah minda sains.

Sebagai contoh, Imam Said Jubir selepas membaca ayat ini beliau berkata, “Ya, langit dan bumi
sebelum ini melekat antara satu dengan yang lain. Apabila langit ditinggikan dan dengan itu zahirlah
bumi maka berlakulah pemisahan dan itulah yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat ini.”

Pada hari ini kita sama-sama sudah maklumi bahawa menurut teori sains cakerawala, permulaan
alam semesta bermula dengan satu yang kita kenali sebagai ‘Big Bang’.

Mengikut laporan di laman web NASA, pakar mengatakan bahawa kejadian alam bermula antara 12
hingga 14 bilion tahun dulu dan panjang alam ketika ia bermula ialah beberapa milimeter saja.

Itu yang sempat dilihat oleh saintis dengan menggunakan alat teleskop yang canggih dan terkini.

Namun dalam masa yang singkat ia mengembang sehingga menjadi seperti apa yang kita lihat pada
hari ini.

Jadi ramai orang bertanya mengenai masa yang ‘singkat’ ini apa maksudnya? Jelas maksudnya
dalam masa yang tidak sampai satu saat.

Hal ini dilaporkan pada 1929 oleh Edwin Hubble dengan menggunakan teleskop berkuasa tinggi yang
kita kenali pada hari ini sebagai Hubble Telescop kemudian disokong pakar astrofizik dari Amerika
seperti Arno Penzias dan Robbert Wilson pada tahun 1965.

Dan begitulah juga disokong saintis lain yang semuanya mengatakan bahawa alam bermula daripada
sesuatu yang bercantum padu sebelum berlaku letupan yang dikenali sebagai ‘Big Bang’.

Selepas berlaku letupan yang hebat itu barulah alam mengembang dan daripada situ lahirlah bintang-
bintang dan akhirnya bumi terbentuk.

Segalanya bermula di sini dan serentak dalam masa yang sama iaitu bermula dengan suatu titik yang
sama dan berlaku letupan Big Bang selepas itu.
Jelaslah al-Quran begitu hebat sekali kerana menyatakan mengenai perkara itu yang baru difahami
pada abad yang ke-20.

Disebabkan itu, beberapa saintis mengagumi al-Quran antaranya Dr Alfred Kroner, yang pernah
menjadi dekan di jabatan geologi di Institute Of Geosciences di sebuah universiti di Jerman.

Beliau pernah berkata berhubung ayat ini, “Melihat asal usul Muhammad, saya rasa hampir mustahil
untuk beliau mengetahui bahawa langit dan bumi mempunyai asal usul yang sama. Ilmu mengenainya
hanya baru diketahui beberapa tahun ini menggunakan alat-alat yang canggih. Seorang yang tidak
mengetahui ilmu fizik nuklear 1,400 tahun dulu, saya rasa tidak akan mampu mengetahui
mengenainya. Tetapi mengagumkan, Muhammad mengetahuinya.”

Kita yang beriman dengan Allah dan Rasulnya mengakui perkara di luar jangkaan akalnya itu adalah
daripada wahyu Allah diturunkan kepada beliau.

Saya tertarik dengan ucapan Yvonne Ridley yang baru-baru ini bercakap di International Islamic Fair
bertempat di Kuala Lumpur yang antara lain mengatakan, “Saya tidak pernah mengenali Muhammad
sebelum ini tetapi pada hari ini saya sanggup mati demi Muhammad SAW.”

Al-Quran memiliki mutiara yang tidak ada tolok bandingannya yang berjaya mengetuk hati Profesor
Jeffry Land, seorang pakar matematik di Barat yang selepas mengkaji al-Quran memeluk Islam.

Begitu juga Dr Gary Miller, seorang pakar matematik dan tokoh dalam bidang ilmu teologi kristian dari
Toronto Kanada yang memeluk Islam selepas mengkaji al-Quran dan mengetuk hati Profesor Tejatat
Tejasan dari Thailand.

Al-Quran membuka hati insan lain sedangkan antara kita yang Islam bukan saja kurang membacanya
malah ada yang membaca tetapi tidak memahaminya.

Sampai bilakah kita hendak menjadikan al-Quran sebagai buku dan kitab pinggiran dan menjadikan
bahan-bahan lain sebagai buku dan keutamaan. Sudah sampai masanya untuk kita menyedari
bahawa kita memiliki mutiara tetapi kita ketepikannya.

Kita disibukkan dengan benda lain yang kurang utama dan memberi fokus kepada perkara lain hingga
lupa perkara utama.

Oleh Dr Danial Zainal Abidin


Penulis ialah seorang doktor perubatan dan perunding motivasi boleh dihubungi emel
wanitajim@jim.org.my

Gambar Kaabah
Dosa manusia ubah warna Hajarul Aswad jadi hitam
PADA keseluruhannya Kaabah adalah suatu binaan mulia yang penuh dengan keberkatan. Al Tabrani
meriwayatkan di dalam al-Mu`jam al-Kabir daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW menyatakan:
"Sesungguhnya Allah menurunkan 120 rahmat ke atas Kaabah, setiap hari 60 untuk orang yang
melakukan tawaf, 40 untuk orang yang solat dan 20 untuk orang yang memandangnya."

Bagaimanapun, ada beberapa bahagian Kaabah yang menjadi tumpuan dan perhatian lantaran
kelebihannya.

1. Hajarul Aswad

Hajarul Aswad adalah sepotong batu yang berasal dari syurga. Warna asalnya adalah lebih putih
daripada susu. Dikatakan ia menjadi hitam kerana luruhnya dosa manusia yang mengucupnya.
Pelbagai peristiwa sejarah dilalui oleh Hajarul Aswad. Hinggalah ke hari ini yang masih tinggal
daripada Hajarul Aswad adalah sebanyak lapan kepingan sebesar biji tamar yang diikat pada lilin
yang dicampur kasturi di dalam lingkungan perak. Sesiapa yang ingin mengucupnya hendaklah
meletakkan mukanya ke atas kepingan itu.

2. Rukun Yamani

Rukun Yamani adalah penjuru Kaabah yang bertepatan dengan Rukun Hajarul Aswad bagi orang
yang sedang tawaf. Ia adalah salah satu daripada dua rukun yang didirikan di atas asas binaan Nabi
Ibrahim. Rasulullah SAW menyentuh rukun itu ketika tawaf.

3. Hijr Ismail

Pada asalnya kawasan Hijr Ismail termasuk dalam binaan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim. Ia
dikeluarkan dari Kaabah ketika binaan Quraisy. Justeru, solat di dalamnya menyamai solat di dalam
Kaabah.

4. Multazam

Multazam adalah kawasan hadapan Kaabah di antara Hajarul Aswad dan pintu kaabah. Dikatakan
Multazam adalah kawasan yang paling mustajab doa. Menurut sebahagian riwayat orang Quraisy
sebelum Islam menjadikan Multazam tempat melafazkan sumpah terutama bagi menyelesaikan
perbalahan di kalangan mereka.

5. Mizab

Mizab adalah pancuran emas yang diletakkan bagi menjadi laluan air dari bumbung Kaabah masuk ke
dalam Hijr Ismail. Menurut sebahagian pendapat di bawahnya adalah di antara tempat paling
mustajab berdoa.

6. Syazarwan

Syazarwan adalah jubin yang dibina di bahagian bawah dinding Kaabah. Tingginya lebih kurang dua
kaki. Ia diletakkan untuk menandakan saiz asal Kaabah yang dikurangkan ketika binaan Quraisy
berbanding binaan Nabi Ibrahim. Justeru, ia adalah sebahagian daripada Kaabah. Bertawaf di atasnya
atau sebahagian anggota badan di atasnya menyebabkan tawaf tidak sah.

7. Kiswah

Kiswah adalah kelambu atau kain yang menutupi Kaabah. Diriwayatkan orang pertama yang
meletakkan kiswah Kaabah adalah Tubba al Himyariyy As`ad Abi Karb. Kiswah Kaabah diperbuat
daripada 658 kilogram sutera mentah yang ditenun. Ukurannya selepas siap ditenun adalah 658
meter persegi. Kos pembuatannya adalah 17 juta Riyal Arab Saudi. Kiswah akan diganti dengan yang
baru pada pagi 9 Zulhijah (hari Wuquf) setiap tahun.

8. Makam Ibrahim

Makam Ibrahim adalah batu yang ada kesan dua tapak kaki Nabi Ibrahim. Batu itu sekarang ini diikat
dengan perak dan diletakkan di dalam sebuah tempat yang diperbuat daripada tembaga berwarna
keemasan. Menunaikan solat di sisi Makam Ibrahim adalah suatu yang mempunyai kelebihan yang
besar. Allah berfirman bermaksud : “Dan ingatlah ketika kami jadikan Baitullah sebagai tempat
berhimpun bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian dari Makam Ibrahim
sebagai tempat solat." (Surah al-Baqarah, ayat 125)

9. Telaga Zamzam

Telaga Zamzam adalah sebuah telaga di hadapan Kaabah di kawasan di antara Hajarul Aswad dan
Multazam. Ia dikatakan terbit daripada terjahan kaki Nabi Ismail. Ada riwayat yang menyatakan ia
terbit hasil pukulan sayap Jibrail. Kelebihan air dari Telaga Zamzam ini dinyatakan di dalam beberapa
hadis.

Akidah dorong naluri insan memakmurkan alam


Oleh Mohd Zamri Shafie

MANUSIA adalah makhluk Allah daripada dua unsur jasmani dan rohani. Unsur rohani mempunyai
dua naluri (penggerak semula jadi) atau dua tenaga.

Pertama ialah naluri yang membina dan tunduk di bawah akal yang waras dan boleh membezakan di
antara perkara baik dan buruk, betul atau salah.

Tenaga naluri inilah yang boleh mengarahkan kepada kebajikan, keadilan, perasaan kasih sayang,
kerjasama dan sebagainya. Ia boleh melaksanakan matlamat damai dan kesejahteraan sama ada
bagi individu, keluarga, masyarakat, negara atau dunia amnya seperti dianjurkan Islam.

Kedua ialah naluri yang merosak atau meruntuh yang tunduk di bawah pengaruh runtunan hawa
nafsu. Contohnya, kemarahan, keangkuhan, tamak, dengki, keganasan yang mendorong manusia
melakukan kerja tidak bertanggungjawab seperti menindas, merogol, menumpah darah, membunuh
dan sebagainya. Sifat ini boleh melemahkan dan meruntuhkan kesejahteraan dan kedamaian.
Allah Yang Maha Bijaksana dalam penciptaan manusia meletakkan asas iman berteraskan akidah
tauhid iaitu keimanan kepada Allah sebagai sumber tenaga membina dalam diri manusia bagi
memakmurkan alam ini.

Iman adalah penggerak atau dasar bagi segala kemakmuran dan kebajikan dalam sejarah
ketamadunan umat manusia seperti termaktub dalam al-Quran. Tauhid tercermin dalam kesaksian
tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah utusan-Nya.

Di dalam roh tauhid, tersimpan segala aspek kehidupan manusia, menjadikan keperibadian penuh
dengan perhiasan diri yang unggul, sumber ketenteraman dan kekuatan jiwa.

Memahami roh kalimah tauhid dan menghayati dengan sepenuhnya dalam jiwa akan mendekatkan
dirinya kepada Allah yang Maha Esa.

Keindahan Islam meletakkan asas pertama dalam ajarannya ialah mengenal Allah sebagai Pencipta
yang wajib ditaati dan dipatuhi segala suruhan dan larangan-Nya. Perkara pertama yang diajarkan
dalam sekolah kehidupan manusia juga adalah mengenal Allah seperti terkandung dalam wahyu
pertama.

Perkara pertama dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam menyebarkan risalah Islam dan syariatnya
ialah meletakkan akidah Islam sebagai asas utama bagi memperbetulkan kefahaman, kepercayaan
kufur dan syirik kepada keimanan Allah.

Berdasarkan sirah Nabawiyyah, orang Arab jahiliah (Musyrikin) terasa keberatan atau enggan untuk
mengucapkan kalimah tauhid ini (La Ilaha Illa Allah).

Ia kerana mereka faham makna, maksud, syarat dan tuntutan kalimah ini. Di samping itu, masih
tersemat perasaan sombong (tidak ikhlas) di hati mereka.

Namun, selepas Islam mula bertapak dalam sanubari, cahaya kesejahteraan dan kedamaian mula
menyinari kehidupan mereka. Ia diungkapkan Allah sebagai peringatan kepada umat manusia
menerusi firman-Nya bermaksud: "(Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika
orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap
kebenaran Islam) - perasaan sombong angkuh secara jahiliah (yang menyebabkan kamu panas hati
dan terharu), lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada rasul-Nya dan kepada orang
yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada
"kalimah takwa", sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang yang sangat berhak dengan "kalimah
takwa" itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap
sesuatu." (Surah al-Fath, ayat 26)

Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah mengutarakan bahawa, kalimah Tauhid akan memisahkan seseorang itu
daripada kabus kegelapan syirik kepada kecerahan hidup kerana nur iman yang menyinari hidupnya.
Manusia yang disimbahi nur iman, hatinya akan diterangi bak mentari menerangi bumi.

Manusia yang hayatnya sentiasa terikat dengan kehidupan akhirat yang pasti ditempuhinya, akan
mengambil berat perjalanan hidupnya di dunia. Hatinya, lidah dan seluruh anggota tubuhnya akan
dipelihara dengan sebaiknya daripada terjebak dalam kancah yang boleh mengundang kemurkaan
Allah.

Mereka tergolong dalam firman Allah bermaksud: "(Iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah
ketika mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan
mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau
menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada
azab neraka." (Surah Ali Imran, ayat 191).

Allah membuat perbandingan di antara orang beriman dengan kufur sebagai amaran dan peringatan
melalui firman-Nya bermaksud: "Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami
hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang
menerangi (sehingga dapatlah dia membezakan di antara yang benar dengan yang salah, dan
dapatlah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang
demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat
keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya
kepada orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang yang kafir itu akan keelokan
apa yang mereka telah lakukan (daripada perbuatan kufur dan segala jenis maksiat)." (Surah al-
An'am, ayat 122).

Penulis ialah Imam Masjid Putra, Putrajaya dan boleh dihubungi pada
mzumairi78@islamway.net

Islam utamakan perancangan hadapi masa depan


Oleh Mohd Shukri Hanapi```````````````````````````````````````````````````````````

Anda mungkin juga menyukai