Anda di halaman 1dari 21

AMALAN ADAT PERPATIH DI TAMAN-TAMAN PERUMAHAN

Oleh: Dato’ Haji Sudin bin Kamari

Apabila idea ini diajukan kepada rakan-rakan ramai beranggapan bahawa idea ini adalah satu

yang amat sukar dilaksanakan memandangkan keadaan taman perumahan yang kebanyakannya

terletak di bandar dan keadaan penduduknya yang pelbagai etnik dan keturunan. Bukan itu

sahaja, orang-orang Melayu sendiri bukan semua penduduk asal Negeri Sembilan malah datang

dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Malah yang lebih menyedihkan, penduduk

Negeri Sembilan itu sendiri tidak tahu apa itu Adat Perpatih!

Tidak kurang juga yang beranggapan agak sinikal. Mengapa kita hendak hidupkan adat yang

telah ‘lapuk’ itu. Adat banyak menyusahkan hidup kita, banyak peraturan, remeh- temeh dan kita

mahu cepat, ringkas dan tidak membazir masa dan mungkin wang ringgit. Kita telah selesa hidup

dalam keadaan moden ini, kita seharusnya terus memandang ke hadapan, kenapa kita harus

berpatah balik ke belakang, biarlah adat-adat lama itu tinggal menjadi kenangan sejarah sahaja.

Ada pula terus mengatakan, Adat Perpatih ini bertentangan dengan ajaran Islam. Na’uzubillah!

Jika difikirkan memang banyak persoalan yang timbul. Akhirnya mereka mengatakan tak

usahlah, tak perlulah adat dan biarlah kita selesa dalam keadaan sekarang. Namun begitu di

sebalik beberapa persoalan dan permasalahan yang timbul, terdapat segelintir masyarakat kita

yang peka terhadap ‘kekosongan’ hidup kita, tidak mempunyai daya kekuatan dan jati diri,

ikatan kekeluargaan yang semakin longgar dan rapuh, gejala sosial yang terus menerus berlaku

tanpa sebarang penyelesaian. Generasi pewaris kita semakin hilang daya tuju hidup dan semakin

melupai nilai-nilai sejarah, lebih-lebih lagi adat istiadat yang menjadi tunjang kehidupan

masyarakat kita semenjak zaman berzaman.

1
Dalam menilai kehidupan seharian, kita sebenarnya gagal menilai diri kita, kekuatan dan potensi

yang ada dalam diri kita. Selanjutnya, kita juga gagal menilai kekuatan dan potensi yang ada

dalam masyarakat kita, kita tidak pernah berusaha berbincang mencari masalah dan

menyelesaikan masalah dalam masyarakat kita secara serius yang akhirnya kita membawa

haluan hidup masing-masing. Sebenarnya, dalam masyarakat kita hari ini terlalu banyak

kekuatan dan potensi yang boleh kita gerakkan untuk memacu ke arah kejayaan termasuk dalam

usaha melaksanakan amalan Adat Perpatih di taman-taman perumahan.

Justru, dalam proses untuk melaksanakan amalan Adat Perpatih di taman-taman perumahan, kita

harus memahami beberapa perkara agar proses tersebut dapat dilaksanakan dengan baik dan

tidak menimbulkan sebarang kontroversi atau penentanganyang membawa perpecahan, ibarat

‘menarik rambut dalam tepung’. Apa yang penting harus kita ingat ialah Adat Perpatih adalah

satu perundangan atau peraturan hidup yang ekslusif yang harus kita hormati dan tidak boleh kita

jadikan bahan jenaka atau gurauan yang boleh membawa perpecahan dan menyinggung perasaan

sesuatu pihak.Untuk perbincangan selanjutnya, saya akan membahagikan tajuk ini kepada

beberapa sub-topik seperti berikut:

• Memahami pengertian Adat dan konsep adat dalam Adat Perpatih


• Memahami dasar dan falsafah Adat Perpatih
• Cadangan Amalan Adat Perpatih di taman-taman perumahan
• Kekuatan yang ada dalam masyarakat kita hari ini
• Kesimpulan.

2
MEMAHAMI PENGERTIAN ADAT DAN KONSEP ADAT DALAM ADAT
PERPATIH

Adat dari bahasa Arab bermaksud kebiasaan. Mengikut Kamus Dewan Adat bermaksu peraturan

yang sudah diamalkan di dalam sesuatu masyarakat sehingga merupakan hukum dan perturan

yang harus dipatuhi. Adat Perpatih adalah satu sistem hidup yang menyeluruh yang termasuk

sistem sosial, kepercayaan dan perundangan dan bukan hanya membawa maksud istiadat atau

upacara sahaja. Aturan Adat Perpatih ada empat jenis:-

1. Adat yang sebenar adat -

Adat ini aturan alam semula jadi yang tidak boleh diubah seperti dalam perbilangan:

Adat tajam melukai


Adat air membasahi
Adat api menghanguskan

Adat dan peraturan jenis ini dikatakan sebagai:

Tak lapuk den hujan


Tak lekang dek panas

2. Adat yang teradat -

Adat ini terdiri dari warisan turun temurun dari nenek moyang.Prinsip-prinsip utama

seboleh-bolehnya dikekalkan. Keputusan dalam sesuatu keadaan harus dilakukan atau

diambil berdasarkan prinsip ini. Ia adalah kerangka kerja dalam sistem sosial Adat

Perpatih dan oleh kerana sistem ini berdasarkan peraturan alam semula jadi, ia juga

dianggap Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

3. Adat yang diadatkan -

Kebiasaan yang telah dijadikan adat. Adat ini boleh diubahsuai mengikut keadaan dan

persekitaran hidup

3
4. Adat istiadat -

Adat ini boleh berubah, ditokok tambah atau berbeza dari tempat ke tempat. Adat ini

dikatakan:

Lain padang lain belalang


Lain lubuk lain ikannya

Dari satu segi, adat dalam Adat Perpatih ialah hukum hidup, adat yang mengandungi peraturan

hidup. Peraturan-peraturan hidup ini disesuaikan dengan kehendak-kehendak hidup masyarakat

atas prinsip budi dan masyarakat. Peraturan-peraturan ini menyarankan cara-cara yang patut

dalam melakukan sesuatu supaya masyarakat dapat bergerak dengan licin dan tenteram. Timbul

perbilangan:

Biar mati anak


Jangan mati adat.

Bermaksud: Jika anak melanggar adat atau peraturan (sabit kesalahannya) anak itu boleh

dihukum tetapi adat tetap dipelihara (tidak dibuang).Oleh itu setiap orang dalam masyarakat

Adat Perpatih mesti mematuhi hukum dan peraturan adat:

Hidup dikandung adat


Mati dikandung tanah.

Adat Perpatih berasaskan kekeluargaan. Sistem kekeluargaan dalam Adat Perpatih adalah

berdasarkan nasab ibu atau matrilineal iaitu pertalian keluarga atau keturunan mengikut keluarga

sebelah ibu. Salah satu sebab kenapa keturunan ditarik dari sebelah ibu agar manusia yang

dilahirkan (oleh kaum ibu tentunya) terutama lelaki, menghormati dan memuliakan kaum yang

sejenis atau sejentina dengan ibunya tanpa memandang bulu. Konsep hidup dalam Adat Perpatih

ialah bersuku-suku. Terdapat 12 suku dalam Adat Perpatih iaitu: Biduanda, Seri Lemak, Batu

4
Hampar, Paya Kumbuh, Seri Melanggang, Tanah Datar, Tiga Batu, Tiga Nenek, Mungkal, Batu

Belang, Anak Melaka, Anak Aceh. Suku diwarisi dari sebelah ibu.

Adat Perpatih selaras dengan kehendak agama Islam seperti kata perbilangan:

Adat bersendi hukum


Hukum bersendi Kitabullah
Kuat Adat tak gaduh hokum
Kuat hukum tak gaduh adapt
Ibu hukum muafakat
Ibu adat muafakat
Adat memakai

Dalam Adat Perpatih, hubungan antara adat dengan syarak Islam adalah saling lengkap

melengkapi:

Adat dipakai syarak diturut


Syarak mengata adat memakai

Adat Perpatih tidak pernah ditulis dan hanya diturunkan dari satu generasi berdasarkan terombo.

Terombo bermaksud penceritaan tentang sejarah asal usul yang diceritakan dalam bentuk

perbilangan atau gurindam. Pengkaji Adat Perpatih mesti memahami baris-baris dalam

perbilangan kerana ia mempunyai pengertian yang tersirat.

Kata Adat banyak kiasan


Ditunjuk ia tetapi bukan
Bergulung pendek panjang direntang
Tak faham kalau tak direnungkan.

5
MEMAHAMI DASAR DAN FALSAFAH ADAT PERPATIH

Kewujudan Adat Perpatih di Negeri Sembilan adalah atas beberapa dasar seperti berikut:

1. Dasar hidup bersuku-suku

Dalam Adat Perpatih dasar hidup bersuku-suku adalah menjadi dasar yang penting sekali.

Penentuan suku adalah dari suku ibu. Mereka yang tergolong dalam satu suku adalah dianggap

sebagai bersaudara atau adik beradik dan berasal dari moyang perempuan yang sama. Keahlian

dalam sesuatu suku adalah kekal sepanjang hidup seseorang. Pada idealnya, masyarakat Adat

Perpatih dapat dikelompokkan kepada 12 suku iaitu:

a. Biduanda
b. Batu Hampar
c. Paya Kumbuh
d. Mungkal
e. Tiga Nenek
f. Seri Melenggang
g. Seri Lemak
h. Batu Belang
i. Tanah Datar
j. Tiga Batu
k. Anak Melaka
l. Anak Aceh

Kehidupan dalam suku digambarkan seperti perbilangan berikut:

Sesusun bak sirih


Serimbun bak serai
Seharta sebenda
Sepandam seperkuburan
Sehina semalu
Malu seorang, malu semua

Walaupun hidup nampak berpuak-puak atau berpecah-pecah melalui suku-suku tertentu, mereka

masih bergerak dalam satu kesatuan kelompok adat seperti kata perbilangan:

Berumpun bak serai


Berlopak bak sawah
Beruang bak durian

6
Bersuku-suku anak buah
Adat datar pusaka satu.

Keanggotaan dalam suku boleh juga dibuat melalui upacara kedim (masuk suku). Terdapat dua

jenis kedim iaitu pertama, berkedim pinang sebatang iaitu dilakukan kepada diri seseorang

individu lelaki sahaja, kedua, berkedim aur serumpun iaitu yang melibatkan diri seorang

perempuan. Ada dua kategori berkedim iaitu:

a. kedim adat iaitu berkedim mengikut adat istiadat sahaja iaitu orang yang dikedimkan

hanya diiktiraf sebagai ahli, tidak berhak menyandang gelaran pusaka atau mewarisi

harta.

b. kedim adat dan pusaka iaitu jika seorang perempuan ia berhak kepada harta pusaka suku,

dan seluruh anggota keluarga yang dikembangkannya menjadi ahli suku yang

mengedimkannya, tidak lagi suku asal mengikut kelahirannya. Jika yang mengikuti

upacara ini seorang lelaki, dia berhak menyandang pusaka yang dijunjung, yakni gelaran

yang terdapat dalam sukunya.

2. Dasar kekeluargaan / kekerabatan

Dalam Adat Perpatih, ibu bapa sebagai keluarga asas memainkan peranan yang amat penting

sekali. Sehari ada, sehari bernama. Sehari terhutang ibu bapa atas enam perkara:

a. Kerat pusat
b. Upah bidan
c. Diserah mengaji
d. Khatam Al-Quran dan berkhatan
e. Khatam Al-Quran dan tindik-daing (anak perempuan)
f. Nikah kahwin iaitu hutang adapt dan pusaka

7
Dasar kehidupan berkeluarga, kekeluargaan / kekerabatan dalam Adat Perpatih amat rapat. Asas

kekeluargaan bermula dari keluarga asas terdiri dari ibu bapa dan anak-anak, seterusnya kepada

keluarga lanjutan (extended family). Perkembangan keluarga ini jika disusurgalurkan dari

keturunan sebelah ibu dapat membentuk satu kelompok kecil yang dipanggil rumpun. Selalunya

kelompok kekeluargaan rumpun merupakan sebuah keluarga luas yang terdiri sekurang-

kurangnya tiga generasi. Hubungan di kalangan ahli sesuatu rumpun, biasanya tidak melebihi 50

orang amat rapat sekali dan bersifat bersemuka dalam kehidupan sehari-hari. Rumpun

mempunyai seorang ketua dikenal sebagai Kadim atau Tua Rumpun atau Tua Waris. Jawatan

atau pusaka ini tidak membawa gelaran tertentu.

Kelompok rumpun membentuk satu kelompok yang lebih besar dinamakan ruang. Ruang

selalunya merupakan sebuah kelompok kekeluargaan yang tergolong dalam keturunan satu

nenek. Hubungan kekeluargaan dalam satu ruang juga rapat. Ketua kelompok ruang dikenal

sebagai Besar atau Besar Waris atau Tua Waris.

Kelompok ruang akan membentuk keluarga yang lebih besar iaitu perut. Perut ialah kelompok

kekeluargaan yang berasal dari satu keturunan moyang yang sama antara 5 hingga 10 generasi.

Hubungan kekeluargaan dalam satu-satu perut lebih jelas dan rapat dan mereka sering

bermuafakat dalam mengadakan sesuatu aktiviti. Ketua sesuatu perut dinamakan Buapak.

Buapak berperanan sebagai penjaga hal ehwal ahli-ahli perutnya atau anak buahnya. Seseorang

Buapak dipilih secara bergilir dengan kebulatan dari kalangan anggota perutnya yang dewasa.

Dalam satu-satu suku terdapat beberapa orang buapak. Kebulatan buapak akan melantik ketua

suku iaitu Lembaga. Lembaga bertanggungjawab terhadap kebajikan ahli-ahli sukunya dan

8
beliau akan dibantu oleh Buapak dan Besar dalam menjalankan tugasnya. Dalam sesebuah luak

terdapat beberapa orang Lembaga / Ketua Suku bergantung bilangan suku yang terdapat dalam

luaknya. Kebulatan Lembaga inilah yang melantik Penghulu (bagi Luak Tanah mengandung)

dan Undang bagi Luak Berundang (Empat Luak Berundang). Hanya Undang Yang Empat

berhak menentukan perlantikan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan (Keadilan).Adalah

nyata dalam Adat Perpatih, sistem kekeluargaan telah disusun bagitu rupa dan setiap individu

dalam Adat Perpatih mempunyai peranan dan tidak berasa dirinya tersisih. Dari sini wujudlah

sistem pimpinan dalam Adat Perpatih.

3. Dasar Kepimpinan Dalam Adat Perpatih.

Kepimpinan dalam Adat Perpatih bermula dari peringkat rumpun, ruang, perut, suku, luak dan

negeri seperti berikut:

Rumpun - Kadim
Ruang - Besar
Perut - Buapak
Suku - Lembaga
Luak - Undang / Penghulu
Negeri - Yang Dipertuan Besar / Keadilan.

Masing-masing pemimpin mempunyai tugas dan peranan masing-masing demi menjaga

keharmonian masyarakat berjalan dengan baik. Proses perlantikan adalah berdasarkan semangat

permuafakatan.

Ibu hukum muafkat


Ibu adat muafakat
Adat menimbulkan yang baik
Menghilangkan yang buruk
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia kerana muafakat
Hilang adapt kerana muafakat.

9
Majlis perlantikan Buapak, Lembaga, Undang / Penghulu dinamakn Kerjan bermaksud

‘mendirikan kerajaan’ manakala perlantikan Yang Dipertuan Besar dinamakan ‘Pertabalan’.

4. Dasar perkahwinan

Perkahwinan adalah sesuatu yang amat murni dalam Adat Perpatih kerana ia boleh meluaskan

keluarga. Orang lelaki tidak digalakkan berkahwin dengan orang perempuan dalam sukunya

tetapi dengan suku lain dengan tujuan untuk meluaskan hubungan kekeluargaan. Istilah

berkahwin selalu juga disebut ‘semondo menyemondo’. Adat perkahwinan lazimnya bermula

dengan merisik, menghantar cincin Tanya, bertunang, mengembang cincin, menjemput

mempelai, ijab dan kabul, bersanding, terinai, jamuan dan menyalang.

Terdapat juga perkahwinan yang tidak mengikut kelaziman iaitu “menyerah” dan “merumah”.

Kedua-dua perkahwinan berpunca si lelaki ditolak peminangan oleh keluarga perempuan dan

lelaki nekad masuk ke rumah perempuan pada waktu malam dengan ditemani lelaki lain, dan

duduk di serambi rumah dan tidak akan keluar rumah sehingga hajatnya tercapai.Orang lelaki

yang berkahwin di sebelah keluarga isteri dinamakan orang semenda (orang mondo) manakala

orang lelaki di sebelah keluarga isteri ialah orang tempat semenda (tempat mondo).

Jenis-jenis orang semenda:

a. Orang semenda sahaja


b. Orang semenda bapa budak
c. Orang semenda langau hijau
d. Orang semenda kumbang jantan
e. Orang semenda alas / pelapik tempat mondo

10
Pantang tempat mondo:
a. Beri satu dua ditarik
b. Pelesit dua sekampung
c. Enau dua sigai

Pantang orang mondo

a. Sudah diberi ditarik balik


b. Diuja dipegang ekor
c. Pesan taruh dipermalami

5. Dasar Harta Pusaka

Tanah pusaka adat adalah hak milik orang perempuan dalam satu-satu suku itu. Pertelingkahan

pemilikan tanah pusaka adat hanya boleh diselesaikan oleh Dato’ Lembaga (Ketua suku).

Terbit pusaka daripada saka


Si lelaki menyandang pusaka
Si perempuan yang punya pusaka
Orang semenda yang membela

Tanah pusaka adat ampuh dan kebal dilembagakan:

Dijual tak dimakan beli


Dicagar tak dimakan sanda
Tak kuning dek kunyit
Tak lemak dek santan

Tanah pusaka adat boleh dijual, boleh digadai tetapi dalam anggota suku itu sahaja. Orang luar

tidak dibolehkan. Dalam kehidupan seharian, masyarakat mempunyai empat jenis harta iaitu

harta pusaka, harta pembawaan, harta dapatan dan harta carian. Apabila berlaku perceraian hidup

atau mati, Adat Perpatih mempunyai cara tertentu untuk membahagikan harta tersebut:

Pembawa kembali
Dapatan tinggal
Carian bahagi
Mati laki tingal ke bini
Mati bini tinggal ke laki.

11
6. Nilai-nilai murni dalam Adat Perpatih

Berdasarkan keakraban kekeluargaan dan corak kepimpinan Adat Perpatih, Adat Perpatih amat

mementingkan nilai-nilai murni dalam kehidupan, antaranya:

a. Nilai kerjasama, muafakat dan bergotong-royong, digambarakan seperti perbilangan:

Seperigi sepermandian
Sejamban seperulangan
Sehalaman sepermainan

Berat sama dipikul


Ringan sama dijinjing
Bukit sama didaki
Lurah sama dituruni

Laba sama dikutip


Rugi sama ditatang
Hati kuma sama dicecah
Hati gajah sama dilapah
Cicir sama rugi
Dapat sama laba

Pangkal sama dipupuk


Pucuk sama digentas
Buahnya sama dipetik

Jika air sama disauk


Jika ranting sama dipatahkan
Nan mati sama ditanam
Nan hidup sama dipelihara

Berkawan maka berjalan


Muafakat maka berkat
Diela kerja maka berusaha
Diirik parang maka berani
Orang nan banyak menuruti

Dibuat bonda nan berliku


Tiba di bukit dikalisi

12
Tiba di batu dipahati
Tiba di batang dikabungi.

Kok alim minta doanya


Kok rajin minta kerjanya
Kok kaya minta ringgitnya
Kok cerdik minta berunding
Kok bodoh disuruh arah

b. Nilai kesatuan dan perpaduan masyarakat

Muafakat, kerjasama dan gotong royong bermakna perpaduan di kalangan ahli-ahlinya. Untuk

mencapai aspek ini, sebelum sesuatu kegiatan dijalankan, kehadiran semua ahli adalah wajib.

Untuk itu adat menegaskan:

Nan jauh dijemputkan


Nan dekat dikampungkan
Hilang dicari
Cicir dipungut.

Tegasnya sistem adat mahu setiap anggota masyarakatnya terlibat bersama. Maka berlakulah

majlis perkampungan atau timbang salah. Dalam majlis ini dicari penyelesaian:

Yang kusut diselesaikan


Yang keruh dijernihkan

7. Adat dan perubahan

Adat Perpatih bukanlah statik atau ketinggalan zaman bergantung kepada kesatuan dan

permuafakatan ahli-ahlinya. Perbilangan mengatakan:

Ibu adat muafakat


Usang-usang diperbaharui
Yang lapuk dibuang
Yang elok dipakai

Melihat contoh pada yang lampau


Melihat tuah pada yang menang

13
Yang senteng dilabuhkan
Yang panjang dikerat
Yang rumpang disisik

Sekai air bah


Sekali pasir berubah
Sekali raja mangkat
Sekali adat beralih
Sekali tahun beredar
Sekali musim bertukar.

Tegasnya Adat Perpatih sentiasa ke hadapan dalam memacu perubahan. Kesemuanya bergantung

kepada permuafakatan, kesatuan dan perpaduan.

CADANGAN AMALAN ADAT PERPATIH DI TAMAN-TAMAN PERUMAHAN

Berdasarkan kepada dasar dan falsafah Adat Perpatih kita dapat membuat beberapa andaian atau

cadangan untuk melaksanakan Adat Perpatih di taman-taman perumahan seperti berikut:

1. Menghidupkan semangat hidup bersuku-suku

Dalam Adat Perpatih keakraban dan kerapatan kekeluaragan dapat dipupuk dan

dihidupsuburkan melalui sistem 12 suku dalam Adat Perpatih. Dalam sesebuah taman dirasakan

mesti ada sekurang-kurangnya 50 – 60 peratus penduduk asal Negeri Sembilan sama ada si

suami atau isteri selebihnya penduduk dari luar Negeri Sembilan. Penduduk asal Negeri

Sembilan sama ada suami atau isteri mesti mempunyai suku atau boleh dicarikan sukunya.

Penduduk asal Negeri Sembilan ini boleh menjadi asas untuk menghidupkan semula sistem suku

seperti berikut:

14
Isteri dan suami ( kedua-dua Negeri ambil suku sebelah isterinya, anak-anak
Sembilan ) ikut suku sebelah isteri

Isteri dan suami (suami luar NS) ambil suku sebelah isteri, anak-anak ikut
suku sebelah isteri

Isteri dan suami (kedua-dua luar NS) Oleh kerana dalam Adat Perpatih ada suku
Anak Melaka dan suku Anak Aceh (bagi
orang keturunan Melaka dan Aceh),
kekalkan sahaja Suku Anak Selangor,
Anak Pahang, Anak Kedah dan sebagainya
bagi isteri-isteri yang demikian mengikut
negeri asalnya.

Sebagaimana dikatakan Adat Perpatih sedia dan boleh menerima perubahan. Suku boleh

ditambah mengikut keadaan malah Suku Seri Lemak juga boleh dipecahkan menjadi Suku Seri

Lemak Pahang dan Seri Lemak Minangkabau, malah boleh lebih daripada 12. Perlu difahami,

mengkelompokkan masyarakat seperti ini, bukan untuk memecahbelahkan atau mengasing-

asingkan penduduk, tetapi lebih untuk mewujudkan satu identiti satu-satu kelompok dalam satu

kesatuan yang lebih besar iaitu kesatuan Adat Perpatih. Jika terdapat seseorang itu tidak mahu

menggunakan atau mengekalkan sukunya, contohnya, Suku Anak Selangor, ia boleh menukarkan

sukunya kepada mana-mana suku yang dua belas melalui proses berkedim. Proses berkedim

hanya boleh dilakukan kepada suku yang dua belas sahaja dan tidak boleh dilakukan seperti Suku

Anak Pahang berkedim dengan Suku Anak Johor. Melalui proses bersuku dan penerimaan suku

ini sesiapa sahaja yang menetap di Negeri Sembilan akan mempunyai suku dan diwariskan

kepada anak-anaknya. Ikutlah konsep Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Jika

sekiranya mereka keluar dari Negeri Sembilan, mereka boleh terus mengekalkan nama suku ini

atau sebaliknya tetapi bagi anak-anak Negeri Sembilan yang ibunya berasal dan mewarisi salah

satu 12 suku, diharap mereka itu terus menerus mengekalkan suku dan identiti suku mereka

walaupun di mana mereka berada.

15
2. Menghidupkan semangat kekeluargaan dan kekerabatan melalui sistem hidup bersuku

Melalui hidup bersuku-suku itu, semangat kekerabatan dan kekeluargaan boleh dipupuk

di kalangan ahli dalam sesuatu suku itu. Masing-masing ahli akan menjaga nama baik dan

integriti diri agar tidak mencemarkan nama baik suku. Konsep Beranak seorang, menjaga rama ,

malu seorang malu semua boleh digunakan. Bukan itu sahaja, kegiatan ekonomi melalui

koperasi dan sebagainya boleh dijalankan melalui permuafakatan.

3. Mewujudkan kepimpinan

Proses mendaftarkan semua ahli dalam masyarakat mengikut suku harus dilakukan

supaya dapat memudahkan melantik kepimpinan seperti dalam Adat Perpatih. Dalam sesebuah

taman, Kadim, Besar, Buapak boleh diwujudkan mengikut saiz sesebuah taman itu seperti

berikut:

Bilangan ahli kurang dari 30 orang - Kadim


Bilangan ahli kurang dari 60 orang - Besar
Bilangan ahli melebihi dari 120 orang – Buapak

Ahli-ahli boleh bergabung dengan taman-taman lain. Sepuluh orang Buapak boleh melantik

seorang Lembaga. Kepimpinan tertinggi Adat Perpatih di taman-taman perumahan hanya setakat

Lembaga sahaja. Lembaga ini tidak sama kedudukannya dengan Dato’-Dato’ Lembaga / Tiang

Balai Undang Yang Empat dan tidak boleh mencampuri urusan Undang Yang Empat (kecuali

jika mendapat restu daripada YAM Undang Yang Empat dan YAM Tunku Besar Tampin).

Setiap pemimpin di peringkat Adat Perpatih mestilah mematuhi etika dan prinsip kepimpinan

Adat Perpatih. Orang bukan Melayu tidak boleh menyertai Adat Perpatih kecuali memeluk

Agama Islam dan boleh memilih suku mengikut negeri asalnya.

16
4. Perkahwinan

Acara atau majlis perkahwinan dapat diuruskan dengan baik dalam masyarakat kita,

bermula dari majlis merisik, bertunang, ijab kabul, bersanding, berinai dan menyalang dan

berbelanja beribu-ribu ringgit. Majlis seperti ini akan menjadi lebih menarik dan bernilai jika

diberikan sedikit nilai tambah (value-added) melalui penerapan unsur-unsur Adat Perpatih

seperti peranan Buapak dan Lembaga. Bagi seseorang lelaki yang menyemenda akan merasakan

dirinya begitu terhormat, diterima dan dihargai dalam masyarakat atau taman keluarga isterinya

dan dia tidak berasa terasing atau kekok apabila bergaul dengan masyarakat di tempat barunya.

Majlis pertunangan dan perkahwinan adalah majlis yang paling gembira bagi mereka yang

berkahwin dan juga rakan-rakan atau adik beradik sebaya. Dalam Adat Perpatih, konsep

berpantun, berseloka, membaca perbilangan, usik mengusik dan gurauan adalah satu ciri

penting dan jika konsep ini dapat digunakan dengan baik dan berkesan, ia dapat meninggalkan

satu kenangan yang amat manis bagi mereka yang diraikan. Dalam majlis pertunangan, baik

pihak pengantin lelaki maupun perempuan akan menyediakan barang hantaran yang mahal dan

cantik dihias, tetapi terbiar begitu sahaja tanpa sebarang pengertian. Adalah lebih baik barang-

barang tadi diperkenalkan dalam bentuk pantun atau seloka, mungkin serangkap dua pantun

membawa erti seribu makna dan kenangan. Dalam hal perkahwinan ini, larangan berkahwin

sesama suku adalah tidak relevan kerana tidak ada ikatan persaudaraan antara ahli dalam suku

berkenaan.

17
5. Tanah dan harta pusaka

Tidak ada tanah adat dalam mana-mana taman perumahan di Negeri Sembilan. Hartanah

boleh diuruskan melalui hukum faraid atau Amanah Raya (Wasiat). Apabila berlaku kematian

atau perceraian hidup, dasar pembahagian harta dalam Adat Perpatih ialah:

Bawaan kembali
Dapatan tinggal
Carian bahagi

6. Nilai-nilai murni dalam Adat Perpatih

Nilai-nilai murni dalam Adat Perpatih boleh diserap dan dihidupsuburkan dalam

masyarakat di taman-taman perumahan memandangkan kini nilai-nilai tersebut ada

dilaksanakan. Konsep bermuafakat, bermuzakarah, bergotong royong, berkampung bila hendak

mengadakan majlis perkahwinan dan sebagainya memang banyak terdapat di taman-taman

perumahan. Apa yang lebih penting ialah kesedaran, penglibatan, peranan dan rasa

tanggungjawab keseluruhan ahli masyarakat dari semua peringkat. Konsep ringan tulang,

disuruh pergi dipanggil datang, mesti ada dalam diri setiap ahli masyarakat. Dengan adanya

semangat Adat Perpatih, konsep ini akan lebih bermakna dan bersemarak.

7. Adat dan perubahan

Adat Perpatih boleh menerima perubahan dari semasa ke semasa mengikut permuafakatan di

kalangan ahli. Adat mempunyai daya luntur yang boleh dan mudah diubah dan berubah asalkan

ada kata muafakat di kalangan ahli-ahli adat:

Ibu adat muafakat


Adat menimbulkan yang baik
Menghilangkan yang buruk

18
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia kerana muafakat
Hilang adat kerana muafakat.

KEKUATAN DALAM MASYARAKAT TAMAN PERUMAHAN KE ARAH


MELAKSANAKAN AMALAN ADAT PERPATIH

Jika kita teliti keadaan masyarakat di taman-taman perumahan, kita mempunyai beberapa

kekuatan untuk melaksanakan amalan Adat Perpatih antaranya:

a. Kebanyakan ahli masyarakat di taman-taman perumahan rata-rata terdiri dari golongan

pertengahan dan berpendidikan dan mereka mempunyai kemampuan untuk menilai

kewajaran Adat Perpatih ini sebagai satu wadah untuk menjaga integriti masyarakat yang

berteraskan budaya Melayu yang tulen dan sejati. Ramai pengkaji atau sarjana Barat yang

memuji keindahan dan kemurnian Adat Perpatih ini dan kita hendaklah berusaha

merealisasikan hakikat ini agar Negeri Sembilan Negeri Beradat menjadi kenyataan yang

sebenar.

b. Masih ramai penduduk Negeri Sembilan yang masih mencintai Adat Perpatih ini tetapi

malangnya mereka tidak faham tentang Adat Perpatih ini dan tidak ada ‘jalan’ bagaimana

Adat ini boleh dihidupsuburkan semula. Mereka ini boleh digunakan atau diketengahkan

sebagai pemimpin atau pelaksana aktiviti-aktiviti adat.

19
c. Bidang penyelidikan dan kajian sentiasa dijalankan oleh pelajar-pelajar universiti melalui

program kesarjanaan. Seminar dan kertas-kertas seminar sentiasa diadakan oleh pihak

berkuasa dan bahan-bahan ini sentiasa boleh digunakan untuk memantapkan pelaksanaan

Adat Perpatih.

d. Amalan murni Adat Perpatih seperti permuafakatan dan gotong royong masih hidup subur

dalam taman-taman perumahan. Adat perkahwinan masih berjalan dan terurus dengan baik.

Ini menjadi aset terpenting dalam penerapan nilai-nilai Adat Perpatih di taman-taman

perumahan.

e. Kemudahan asas seperti balai raya, surau, masjid, komputer, internet dan sebagainya

terdapat di taman-taman perumahan dan ini juga merupakan aset ke arah melaksanakan

amalan Adat Perpatih.

20
KESIMPULAN

Dari huraian ringkas di atas nyatalah bahawa Adat Perpatih adalah satu fakta sosial yang

bersepadu ke dalam satu peraturan hidup yang melibatkan seluruhan yang berorientasikan

organisasi nasab ibu. Jadi Adat Perpatih adalah budaya dan bukan aspek budaya kerana ia

mempunyai fungsi menyeluruh dalam semua sistem kemasyarakatan: ideologi, kenegaraan,

politik, ekonomi, sosial dan kepercayaan.Setiap anggota masyarakat mengutamakan kepentingan

bersama yang boleh mewujudkan semangat nasionalisme dan jati diri:

Adat bersaudara,
Saudara dipertahankan;
Adat berkampung,
Kampung dipertahankan;
Adat bersuku,
Suku dipertahankan;
Adat bernegeri,
Negeri dipertahankan;
Sandar menyandar,
Seperti aur dengan tebing.

Seterusnya:

Jika khabar baik diberitahu,


Jika khabar buruk serentak didatangi;
Jika jauh ingat mengingat,
Jika dekat temu-menemui.

Sekian, terima kasih. Wallahua’lam.

Tarikh: 19 Januari 2010.

21

Anda mungkin juga menyukai