Anda di halaman 1dari 2

Buli semakin berleluasa di sekolah kita.

Keadaan ini menyebabkan masyarakat


semakin gusar. Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.

............Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan
seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang
dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa
dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini
telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak
seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

............Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam
kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok
bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat
beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

............Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar
yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya
untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain.
Ringkasnya, mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri mereka sendiri.

............Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin
kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk
mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap
anak mereka.

............Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah
setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-
kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya
supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga
menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan
pembulian mereka terhadap pelajar lain.

............Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai


langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.
Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus
menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran
tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya.
Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan
pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan
membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.

............Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara
berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar
menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh
dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.

............Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di
setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah
yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang
mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya.

............Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab
Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih
banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi
pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh
itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.

............Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para
pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika
kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca
bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam
kes buli di sekolah.

............Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam
usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau
menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah
dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan
sekolah.

............Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga
harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya
dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan,
masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.

.............Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes
buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut
dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal
kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan
sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

............Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk
membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-
anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan
anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa
berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek,
menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam
mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.

............Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk


bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka
semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka
supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka
sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan
isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.

............Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin
melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai
khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal
sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset
negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa
Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah
sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita
terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha
yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan
mengangkat martabat bangsa di persada dunia.

Anda mungkin juga menyukai