Anda di halaman 1dari 7

KONSEP ASAS BAITULMAL MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

Oleh; Ridhwan Bin Abdul Rahman Pegawai Baitulmal MAIK

A. PENGENALAN

Baitulmal menurut bahasa berasal dari perkataan Arab dari dua kosakata iaitu

Al-Bait dan Al-Mal di mana yang pertama bererti rumah dan kedua bererti harta atau ringkasnya rumah harta (Perbendaharaan). Menurut lisan al-Arab
(rujukan asas Bahasa Arab) ia bermaksud rumah yang menerima sesuatu harta

dan menyimpannya untuk diagihkan.

Pada hakikatnya Baitulmal merupakan satu bentuk institusi kewangan harta dalam Islam. Ia terdiri dari pelbagai sumber hasil seperti zakat, harta wakaf, cukai-cukai (kharaj) dan lain-lain sumber yang pengumpulan dan penggunaannya untuk kepentingan masyarakat dan negara.

Baitulmal dalam Islam mempunyai konsep penggunaan harta yang amat luas dan berteraskan 3 asas falsafah utama yang merangkumi 3 unsur penting iaitu:

1. Konsep harta 2. Konsep amanah 3. Konsep keadilan sosial

- ekonomi (Sumber) - pentadbiran (Proses) - penggunaan (Tujuan)

B. SEJARAH PENUBUHAN BAITULMAL DALAM ISLAM

Pada awal penubuhan kerajaan Islam oleh Rasulullah s.a.w. istilah Baitulmal tidak wujud secara formal disebabkan usaha pada peringkat ini lebih kepada menyampaikan risalah dakwah dan penyebaran Islam. Apalagi kerana harta yang diperolehi tidak sempat terkumpul lama kerana ianya terus diagihkan kepada mereka yang memerlukan tanpa tertangguh-tangguh lagi.

Bagaimanapun semasa pemerintahan Rasulullah s.a.w. di Madinah, beliau telah menukarkan corak pentadbirannya sesuai keadaan semasa dan di sinilah terbentuknya institusi kewangan secara tidak rasmi di mana masjid merupakan pusat pentadbiran yang menguruskan hal-ehwal ibadat dan kemasyarakatan.

Keadaan tersebut berterusan sehingga zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan menjadi lebih meluas pada masa Saidina Umar ibn Al-Khattab apabila perluasan wilayah baru yang dikuasai banyak mendatangkan perubahan dan perlu diatasi dengan bijaksana, sehingga pada masa ini harta yang diperolehi telah digunakan untuk membayar gaji pekerja, membiayai perbelanjaan negara, pembangunan ekonomi dan sebagainya. Pada masa ini sumber Baitulmal meliputi:

(i)

Kharaj Iaitu cukai dikenakan terhadap tanah yang dibuka oleh orang-orang Islam secara peperangan atau perdamaian yang tidak dibahagi kepada pejuang Islam tetapi dijadikan harta negara dengan pemiliknya yang asal.

(ii)

Jizyah Iaitu cukai (diri) yang dikenakan terhadap non muslim (kafir zimmi) yang tinggal di negara Islam.

(iii)

Usyur Iaitu cukai yang dikenakan ke atas tanah yang dimiliki oleh orang kafir yang memeluk Islam tanpa melakukan peperangan dan juga tanah yang dimiliki oleh pejuang Islam yang diperolehi daripada rampasan perang yang dibahagikan oleh khalifah.

(iv)

Wakaf/Wasiat Iaitu penyerahan penggunaan harta secara manfaat untuk kebajikan umat Islam.

(v)

Harta/Kafarat Iaitu dikenakan bagi seseorang yang melakukan kesalahan syara seperti melanggar sumpah, nazar, jima pada bulan Ramadhan dan melakukan zihar.

(vi)

Harta Zakat Iaitu kadar yang tertentu dari harta yang tertentu yang wajib dibelanjakan kepada golongan-golongan yang tertentu dan ianya adalah salah satu daripada rukun Islam.

C. KONSEP BAITULMAL MASA KINI

Pelaksanaan Baitulmal di Malaysia pada masa kini baik dari segi teori dan amalan telah disesuaikan dengan kehendak perlembagaan Malaysia di mana ianya terletak di bawah struktur kuasa perundangan negeri. Ini jelas dari Jadual ke Sembilan Perlembagaan menyenaraikan hak kerajaan negeri termasuk hak penentuan hukum agama yang berkaitan dengan harta seperti zakat, wakaf,

Baitulmal dan yang berkaitan dengan hal-ehwal agama di mana pada masa ini dan dalam konteksnya di negeri Kelantan adalah di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan Jadual ke sembilan Senarai 2 Senarai Negeri bahawa Wakaf Islam dan taarif serta peraturan mengenai

amanah khairat dan khairat ugama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama Islam dan khairat, yayasan amanah, khairat dan yayasan amanah yang dijalankan, kesemuanya sekali dalam negeri; adat istiadat melayu, zakat fitrah dan Baitulmal atau hasil ugama Islam yang seumpama....

D. PERANAN BAITULMAL MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

Baitulmal negeri Kelantan merupakan satu unit yang penting dalam Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan penyumbang hasil yang kedua kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan selain zakat. Ia ditubuhkan seiring dengan penubuhan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada tahun 1915 tetapi secara rasminya ditubuhkan di bawah Enakmen MAIK 1966. Secara jelasnya Penubuhan Baitulmal sebagaimana yang terdapat dalam Seksyen 41 (1) Enakmen MAIK Bil. 4 /1994 menyebutkan:

Suatu dana yang diberi nama Baitulmal adalah dengan ini ditubuhkan. Kumpulan wang itu hendaklah mengandungi semua wang dan hartabenda alih atau tak alih yang menurut Hukum Syarak atau peruntukan Enakmen ini atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya, diperolehi atau disumbangkan oleh mana-mana orang atau pihak kepada kumpulan wang itu.

Selaras dengan fungsinya sebagai sebuah perbendaharaan, ianya ditubuhkan untuk menambahkan sumber kewangan dan meningkatkan taraf ekonomi umat Islam khususnya di Kelantan dengan cara:

i.

Menguruskan kutipan harta-harta wakaf dan harta umat Islam dari pelbagai sumber.

ii.

Menambahkan pendapatan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan melalui urusan penyewaan premis-premis dan pajakan tanah-tanah Baitulmal dan tanah-tanah wakaf.

iii.

Berusaha mendapatkan sumber harta pusaka umat Islam yang ditetapkan syara.

iv.

Berusaha menjadi sebuah institusi kewangan yang berupaya membangun ekonomi serta menyajikan keadilan sosial dan

kebajikan umat Islam.

E. BIDANG KUASA DAN SUMBER HARTA BAITULMAL MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

Bidang kuasa Baitulmal Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan adalah sebagaimana peruntukan Seksyen 42 Enakmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Bil. 1/1994 yang menyebut:

Majlis hendaklah mempunyai kuasa memegang, mentadbir, menukar, memajak, menggadai, menjual, membuat pawahan melabur wang atau harta-harta Baitulmal alih atau tak alih, bagi maksud memaju dan mengembangkan pendapatan dari harta-harta itu, meliputi

i. ii. iii. iv. v. vi.

Kutipan sewa gudang (rumah-rumah kedai, Baitulmal/wakaf) Kutipan sewa atau pajak tanah (Baitulmal/Wakaf) Cucuran pusaka Baitulmal Harga/pampasan tanah Dalal (komisyen)Baitulmal Pelbagai hasil Baitulmal (seperti Luqatah, hibah dan interest dari simpanan bank)

vii.

Perolehan dari Pelaburan Baitulmal

Sesuai dengan seksyen yang berlainan antara zakat dan Baitulmal maka pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan telah mengasingkan kedua-dua sumber penting ini kepada 2 akaun yang berlainan demi memudahkan proses pengagihan iaitu akaun Zakat dan akaun Baitulmal.

Sungguhpun demikian, ciri-ciri pengagihan kedua-dua sumber ini,tetap tidak berubah, di mana zakat diagihkan kepada lapan asnafnya yang khas manakala sumber Baitulmal kepada manfaat am umat Islam di mana prinsipnya tidak lari maslahah (kebajikan) dan adalah (keadilan).

F. KESIMPULAN

Baitulmal merupakan sebuah institusi kewangan yang penting dalam sebuah negara Islam. Sungguhpun peranannya pada masa ini agak berbeza dengan era kegemilangannya namun sumbangan dan fungsi yang dimainkannya tidak dapat dinafikan telah berjaya mengangkat taraf sosio ekonomi umat Islam melalui pembangunan yang telah dilaksanakan.

Menjadi harapan kepada seluruh masyarakat umat Islam khasnya di Kelantan baik yang telah terlibat dengan penyewaan harta-harta Baitulmal ataupun tidak untuk bersama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan mengangkat institusi ini menjadi pemangkin kepada arus ekonomi perdana negeri dan negara demi manfaat umat Islam seluruhnya.

Anda mungkin juga menyukai