Anda di halaman 1dari 13

UNIT 1 SEJARAH KARYA AGUNG MELAYU

1.1 OBJEKTIF : i) Mendefinisi istilah karya agung. ii) Meneliti pengaruh asing, khususnya pengaruh HinduBuddha dan Islam terhadap karya agung Melayu. iii) Membincang perkembangan kesusasteraan Melayu klasik. 1.2 PENGENALAN Dalam pengertian umum, karya agung merujuk kepada karya sastera yang dapat bertahan berabad lama dan masih diminati dan dikaji orang bak kata orang tua-tua tak lut ditelan zaman. Sesebuah karya sastera dianggap agung adalah disebabkan karya berkenaan isimewa dari segi bentuk, kandungan, memiliki nilai keindahan (estetika), cara penyampaian yang istimewa dan nilai intelek. Sesetengah pengkaji sastera menggunakan istilah karya klasik, yang menurut Harun Mat Piah et. al (2000: 7) merujuk kepada karya yang mempunyai nilai dan mutu tinggi serta popular sepanjang zaman. Bagi Harun Mat Piah et.al (2000: 8), sastera tradisional yang mantap turut memiliki ciri-ciri klasik. Dengan kata lain, banyak karya sastera tradisional yang bakal dibincangkan dalam modul ini tergolong sebagai karya agung belaka. Dalam modul ini, kata karya agung dan karya klasik adalah dianggap seerti. Bangsa yang bertamadun tua seperti orang Yunani memiliki karya agung mereka, iaitu Iliad and Odyssey. Karya ini pada asalnya diceritakan oleh seorang pencerita buta, iaitu Homer dan pada hari-hari terkemudian menjadi karya agung kebangaan orang Yunani tua. Orang Hindu memiliki epik agung mereka, iaitu kitab

Ramayana dan Mahabharata, yang mempengaruhi tradisi sastera, seni ukir dan
wayang kulit di rantau ini. Begitu juga dengan bangsa Cina dan banyak lagi bangsa lain di serata dunia turut mempunyai karya agung masing-masing. Dalam konteks karya agung Melayu, karya-karya klasik seperti Sulalatus Salatin atau Sejarah

Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Maha Wangsa dan Misa Melayu
(sekadar beberapa contoh) dianggap pengkaji sastera tradisional sebagai karya agung jua. Rakyat Malaysia harus berbangga dengan karya agungnya kerana karya agung ada lambang ketinggian karya sastera sesuatu bangsa.

Jika diamati, kemunculan karya agung berkait rapat dengan terciptanya sistem tulisan oleh manusia. Kisah yang terkandung dalam karya agung seperti Iliad and

Odyssey, Ramayana dan Mahabharata, Sulalatus Salatin dan banyak lagi karya
agung klasik lain pada asalnya merupakan cerita mulut yang diturkan oleh rakyat jelata yang kreatif. Apabila terciptanya sistem tulisan, maka pengarang tempatan yang kreatif telah menyusun cerita rakyat semula dalam bentuk bahasa yang indah agar kisah-kisah berkenaan diabadikan. Winstedt (1969:3), seorang pengkaji sastera tradisional Melayu menyatakan:

Literature strictly came into being with the art of writing, but long before letters were shaped, there existed the material of literature: words spoken in verse to wake emotion by beauty of sound, and words spoken in prose to appeal to reason by beauty of sense.
Pernyataan Winstedt (1969) di atas jelas menunjukkan bahawa tradisi lisan dalam bentuk puisi dan prosa mendahului karya sastera bertulis. Sehubungan itu, Harun Mat Piah et.al (2000: 27) menegaskan bahawa istilah sastera hanya menjadi matang dan sempurna setelah wujudnya bentuk sastera lisan dan tulisan. Dalam menjejaki sejarah karya agung Melayu awal, tiga tahap perkembangan kesusasteraan Melayu tradisional penting, iaitu tahap hubungan alam Melayu dengan budaya India, tahap kedatangan Islam ke alam Melayu dan tahap Kesultanan Melayu Melaka akan dibincang. 1.3 PENGARUH TRADISIONAL Richard Olaf Winstedt (1878-1966) dianggap umum sebagai pengkaji Barat yang paling banyak menulis tentang pengaruh Hindu dalam kesusasteraan Melayu tradisional (M. Rajantheran, 1999:7). Winstedt (1969) dalam buku tersohornya, A HINDU-BUDDHA DALAM KESUSASTERAAN MELAYU

History of Classical Malay Literature antaranya membincangkan pengaruh Hindu


dalam karya Melayu silam yang bercorak sejarah, karya zaman Hindu-Buddha dan zaman peralihan Hindu-Islam. M. Rajantheran (1999:9), semasa memberikan komen tentang buku Winstedt (1969) ini menyatakan bahawa tumpuan perbincangan 2

Winstedt (1969) hanya terhad kepada beberapa motif dan episod yang terpilih, namun tulisannya bernilai dari segi bukti dan rujukan jitu yang disertakannya. Dalam penelitian penulis, A History of Classical Malay Literature (1969) merangkumi satu skop yang amat luas tentang kesusasteraan Melayu klasik. Winstedt (1969) telah memuatkan topik-topik bermula dari sastera rakyat Melayu, epik Hindu, karya berunsur Jawa, roman Melayu (Malay romances), sastera Melayu pengaruh Islam, sejarah Melayu (Malay histories), kanun Melayu, puisi Melayu tradisional dan tokoh persuratan Melayu, iaitu Munsyi Abdullah. Dari segi kesusasteraan Melayu, Winstedt (1969[1996]) antaranya menyatakan bahawa kesusasteraan Melayu tradisional banyak terpengaruh dengan unsur asing, khususnya Hindu dan Arab-Parsi. Sehubungan pengaruh Hindu sebagai contoh, Winstedt (1969: 26) mencatatkan:

Already in a survey of the Malay language and of Malay folk-tales, we have found an inextricable thread of Indian influence. And when we come to literature proper, we are confronted at the outset with relics of the end of the Hindu period of Malay culture, a period that lasted more than a thousand years.
Atas sebab pengaruh Hindu di alam Melayu telah berlanjutan hampir sepuluh abad lamanya sebagaimana yang dilaporkan oleh Winstedt (1969: 26), maka pengaruh Hindu atas bahasa dan kesusasteraan Melayu tradisional bukanlah sesuatu yang menghairankan kita. Seperkara yang harus kita fahami adalah bukan semua kesusasteraan Melayu tradisional dicipta di bawah pengaruh Hindu. Dapatan kajian Harun Mat Piah (1989) tentang pantun Melayu sebagai contoh telah menunjukkan bahawa pantun Melayu ialah karya sastera lisan yang dicipta oleh orang Melayu tanpa pengaruh asing seperti Hindu, Cina dan Arab-Parsi. Pengkaji berbalah pendapat tentang bilakah orang Hindu mula datang ke sekitar Asia Tenggara. Nilakanta Sastri (1949: 2) dalam kajiannya melaporkan bahawa penduduk peribumi di Kepulauan Melayu telah memiliki kemahiran perkapalan sebelum pedagang India awal sampai di rantau ini. Penduduk awal di Kepulauan Melayu berkembang di tebing sungai atau berdekatan dengan laut. Keadaan alam sedemikian mewujudkan keperluan penduduk tempatan mencipta alat 3

pengangukatan di sungai dan laut, yakni pelbagai jenis kapal bagi tujuan pelayaran di sungai dan di laut. Solheim (1975:157), pengkaji arkeologi Asia Tenggara dalam kajiannya melaporkan bahawa pelayar tempatan telah berhubung dan mengenali pantai timur India sebelum zaman Masihi lagi dan menjalin hubungan dengan penduduk di pantai timur India pada awal abad tahun Masihi. Menurut Harun Mat Piah et. al (2000: 30), walaupun dikatakan hubungan dunia Melayu dan India telah berlaku pada tahun-tahun pertama Masihi lagi namun hubungan yang menyeluruh dan meninggalkan kesan hanya berlaku dalam zaman yang terkemudian. Jadi, kajian yang bersangkut paut dengan pengaruh Hindu atas kesusasteraan tradisional Melayu perlu dibincang dalam konteks kerajaan HinduJawa. Menurut sejarawan, kerajaan Hindu Sriwijaya telah ditubuhkan di Palembang, Sumatera, dan Mataram di Jawa Tengah. Di Palembang, terdapat pusat pengajian agama Buddha dan kegiatan menyalin karya sastera sebagaimana yang dilaporkan oleh I-Tsing, yang melawat Palembang pada 671 T.M. (Harun Mat Piah et. al , 2000: 30). Sejarawan sastera membahagikan tahap perkembangan kesusasteraan HinduJawa kepada empat tahap. Jadual 1.1 berikut menunjukkan keempat-empat tahap perkembangan kesusasteraan Hindu-Jawa yang dimaksudkan. Tahap 1 2 3 4 Zaman Zaman Mataram Zaman Kediri Zaman Majapahit awal Zaman Majapahit akhir Masa Abad ke-9 abad ke-10 Abad ke-11 abad ke-12 Abad ke-14 Abad ke-14 abad ke-16

Jadual 1.1: Empat tahap perkembangan kesusasteraan Hindu-Jawa. (Sumber: Harun Mat Piah et. al, (2000: 31) Pada zaman tersebut, karya terjemahan dan karya penyesuaian daripada epik India dan yang dikarang sendiri oleh pujangga Jawa telah ditulis dalam huruf Pallava dan kemudian aksara Jawa-kuno atau Kawi. Ditinjau dari segi jumlah dan kepelbagaian karya, dan sebahagian besarnya masih didapati dan diketahui umum, tahulah kita betapa luasnya pengaruh kesusasteraan Hindu-Jawa pada masa itu. 4

Antara contohnya seperti

Kitab Candra Kirana, Kitab Ramayana, Kakawin

Arjunawiwaha dan banyak lagi karya lain (Harun Mat Piah et. al, 2000: 31).
Pengaruh kesusasteraan Jawa-Hindu ini tersebar luas ke luar Jawa, termasuk Semenanjung Tanah Melayu melalui proses sejarah biasa seperti hubungan politik, kebudayaan, perniagaan, pelajaran agama dan penaklukan. Dalam konteks ini, didapati hubungan budaya Melayu dengan India yang berkait dengan perkembangan kesusasteraan Melayu klasik berlaku melalui Jawa. Menurut Harun Mat Piah et. al, (2000: 34), banyak hikayat Melayu lampau memperoleh inspirasi dariada dua buah epik Hindu yang tersohor, iaitu epik Ramayana dan Mahabharata. Pengarang

Hikayat Seri Rama sebagai contoh telah mengambil inspirasi daripada Ramayana,
yang telah disesuaikan daripada Kakawin Ramayana dalam bahasa Jawa kuno. Bagi

Mahabharata, proses yang sama turut berlaku. Ditemui beberapa judul hikayat
Melayu yang hampir sama isinya dengan Mahabharata. Antaranya termasuk Hiakayat

Pandawa, Hikayat Perang Pandawa Jaya, Hikayat Sang Samba dan banyak lagi.
Winstedt (1969: 30) turut mencatatkan bahawa:

As an example of the influence of Indias epics on Malay literature, one may take a passage from the Hikayat Pandawa Jaya that occurs with minor differences in the Mahabharata in the Malay Hikayat Raja-Raja Pasai, the Sejarah Melayu, the Hikayat Hang Tuah and many Malay folk-tales and romances.
Satu lagi genre kesusasteraan klasik yang berkembang di Jawa pada sekitar abad yang ke-14, iaitu zaman kegemilangan Majapahit akhir ialah sastera panji. Sastera panji turut disebut sebagai sastera pahlawan atau sastera epik wira (heroic

epic). Cerita panji Jawa mengandungi unsur pengaruh Hindu, mitologi dan mistik.
Perkembangan cerita panji ke luar Jawa, termasuk Semenanjung Tanah Melayu adalah melalui permainan wayang kulit (Harun Mat Piah et. al, 2000: 36). Antara karya panji yang terkenal ialah Hikayat Panji Kuda Semirang, Hikayat Misa

PerabuJawa, Syair Ken Tambuhan dan banyak lagi. Karya-karya sedemikian pernah
digunakan sebagai teks bacaan bagi pelajar sekolah di Malaysia. 1.4 PENGARUH ISLAM DALAM KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL 5

Seperti pengaruh Hindu-Buddha terhadap kesusasteraan Melayu klasik, Kedatangan Islam ke alam Melayu turut mempengaruhi perkembangan kesusasteraan Melayu klasik. Apa yang nyata bagi kita adalah pendakwah awal Islam membawa bersama mereka bentuk kesusasteraan Islam awal. Apabila Islam mula bertapak di alam Melayu selepas kurun ke-11, kita tahu bahawa kesusasteraan Melayu telah mengalami pengaruh Hindu buat sekian lamanya. Pada peringkat awal pengaruh Islam, pengkaji menamakan tempoh itu sebagai peringkat peralihan Hindu-Islam. Dengan kedatangan Islam, aksara India seperti Pallava dan Kawi yang digunakan secara terhad dalam penulisan bahasa Melayu telah digantikan dengan huruf Arab, iaitu tulisan jawi. Menurut Harun Mat Piah et.al (2000: 37) kata jawi berkait rapat dengan panggilan yang digunakan oleh orang Arab di Mekah terhadap orang Melayu dari dahulu hingga sekarang. Perkataan ini ialah kata sifat yang membawa erti orang Jawa. Huruf Jawi diperkenalkan oleh pendakwah Islam bagi membolehkan orang Melayu membaca alQuran dan menelaah pelbagai jenis kitab dalam pelbagai bidang ilmu.Tradisi tulisan orang Melayu disemarakkan lagi dengan kedatangan buku-buku dari Timur Tengah, Arab, Parsi dan India, yang telah lebih dulu menerima Islam. Pada peringkat awal perkembangan Islam di alam Melayu, bahan sastera awal yang disebarkan ialah cerita para nabi dan tokoh-tokoh Islam dengan tujuan menguatkan keimanan dan kepercayaan penganut baharu. Para pengkaji percaya bahawa cerita-cerita itu diceritakan secara lisan kerana kebanyakan penduduk peribumi masih buta huruf. Besar kemungkinan kisah Iskandar Zulkarnain, Muhammad Hanafiah dan Amir Hamzah telah tersebar dalam kalangan orang Melayu secara lisan sebelum kisah mereka ditulis dalam bentuk hikayat pada hari-hari terkemudian. Jika diamati, pengaruh Hindu dan Islam di alam Melayu telah

menambahkayakan khazanah kesusasteraan Melayu tradisional dengan usaha penyaduran, pengubahsuaian dan penterjemahan. Wisntedt (1969: 50) dalam tulisannya telah memberikan komen tentang kesusasteraan Melayu dalam zaman peralihan Hindu-Islam berikut:

Not always in time, because many belong to the Muslim period of Malay history, but at any rate in contents and in spirit, most of them may be assigned to the era of transition between Hinduism and Islam.
Ali Ahmad et. al (2005:7) menyatakan bahawa karya seperti Hikayat Seri Rama dan roman yang lebih ringan seperti Hikayat Serangga Bayu yang diberikan nama Islamnya Hikayat Ahmad Muhammad cuba diwarnai unsur-unsur Islam dengan menukarkan nama Brahma kepada nama Allah dll, namun pewarnaan sedemikian amat kecil tanpa menukar sifat kehinduannya. Winstedt (1969: 52) menggunakan istilah semi-Muslim atas unsur pewarnaan Islam dalam karya Hindu pada zaman peralihan Hindu-Islam. Dalam cerita panji

Perabu Jaya sebagai contoh, wirawati yang nama asalnya Chandra Kirana telah
dipanggil sebagai Chandra Nur Lela. Penjaga tempat berehat di bawah pokok rendangnya dikenali sebagai Malik Indra. Apabila wira naik takhta, nama asal Maharaja Bikrama Indra Dewa telah ditukar menjadi Paduka Sri Sultan Putra Jaya Pati Sifat Alau-udin Syah.

Seterusnya Winstedt (1969:54) mencatatkan:

It is quite obvious that many romances of this type were not invented after Islam was firmly established but are relics of Hinduism adapted to a changed world. Many of this Malay works have Muslim titles as well as Hindu.
Antara contoh yang diberikan oleh Winstedt (1969) disenaraikan dalam Jadual 1.2 berikut: Bil. 1. 2. 3. 4. Judul Hindu Judul Islam

Hikayat Maharaja Bikrama Sakti Hikayat Marakarma Hikayat Indra Jaya Hikayat Serangga Bayu

Hikayat Nakhoda Muda Hikayat Si Miskin Hikayat Shahi Mardan Hikayat Ahmad Muhammad

Jadual 1.2: Judul Hindu yang diubah suai menjadi judul Islam. Kedatangan Islam turut membawa sumber cerita bayan (Tales of a Parrot) dari Parsi, yang terkenal ialah Hikayat Bayan Budiman, kemudian diikuti dengan cerita Kalila dan Damina, campuran karya Parsi-India yang dikenali sebagai

Panchatantra serta cerita berbingkai Bakhtiar dari Parsi dan Arab. Panchatantra pada
asalnya ialah sebuah buku cerita Sanskrit yang terkenal. Setiap cerita dalam

Panchatantra diikuti dengan satu unsur moral, buku ini telah diterjemahkan ke 80
bahasa yang berlainan. Koleksi cerita dalam Panchatantra pada asalnya bertujuan mendidik putera diraja berkenaan aspek kelakuan dan etika melalui cerita yang menarik. Ali Ahmad et. al (2005:7) berpendapat bahawa pengaruh Hindu-Jawa hanya memberikan sumbangan terhad dari segi mempelbagaikan jenis kesusasteraan ataupun dalam pengembangan fikirannya. Roman Hindu dan Jawa hanya menonjolkan kompleksiti plot tetapi tidak memperkembangkan kepelbagaian genre sastera yang baharu. Perkembangan cerita dengan tujuan mencari jodoh, mencari tunang yang hilang, usaha menebus kekalahan dan banyak lagi berulang-ulang diceritakan. Pada Ali Ahmad et. al (2005:7), persolan taakulan dan fikiran bukan menjadi perkara yang diutamakan. Sebagai rumusan, boleh dikatakan kedatangan Islam pada peringkat awal di kepulauan Melayu telah membawa pengaruh besar atas karya kesusasteraan yang dihasilkan di rantau ini. Selain itu, pengaruh Parsi dan Arab turut mengambil alih tempat pengaruh Hindu dalam karya kesusasteraan di kepulauan Melayu.Perkembangan sastera Melayu bercorak Islam bertambah pesat dan mencapai puncaknya setelah kerajaan Islam Melayu mencapai kegemilangannya. Antara kerajaan Melayu yang penting adalah seperti Kesultanan Melayu Melaka (abad ke-15 hingga ke-16), Kesultanan Acheh (abad ke-17), Riau-Lingga pada abad ke-18 hingga ke-19 dan banyak lagi. Tumpuan perbincangan tentang kesusasteraan Melayu klasik akan memfokuskan Kesultanan Melayu Melaka sahaja.

1.5

PERKEMBANGAN KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL DALAM ZAMAN KESULTANAN MELAYU MELAKA Perkembangan sastera Melayu tradisional tidak dapat dipisahkan daripada peranan istana, raja-raja dan golongan elit pada zaman kesultanan Melayu. Mereka bukan sahaja memberikan peluang dan kemudahan kepada pujangga untuk mengarang, tetapi juga dijadikan sumber ilham kepada bahan karangan para pujangga. Akibatnya, karya yang dilahirkan di istana bukan sahaja ekslusif untuk raja mempertahankan kedudukan mereka sebagai golongan pemerintah malah menjadi santapan rohani mereka (Ding Choo Ming, 2003: 10). Terdapat pengkaji yang menamakan karya sastera klasik yang dihasilkan di istana sebagai sastera istana atau sastera sejarah. Tradisi sastera istana dianggap Noriah Taslim (1993: 128) sebagai gagah dan abadi. Gagah kerana tradisi ini dilindungi sultan atau raja yang berupa golongan pemerintah yang tertinggi dalam hierarki feudal. Abadi kerana karya sastera istana ditulis dan diabadikan. Walaupun terdapat sastera istana yang tidak mementingkan siapakah pengarangnya namun sastera istana tetap memperlihatkan ciri-ciri keindividuan dan keterlibatan pengarang yang terbabit. Sastera sejarah yang dihasilkan di istana kesultanan Melayu dianggap sebagai satu genre baharu dalam warisan sastera Melayu tradisional (Noriah Taslim, 1993: 130). Sastera sejarah hanya muncul setelah kedatangan Islam pada sekitar kurun ke-14 hingga kurun ke-15. Hal ini disebabkan pendakwah awal Islam telah memperkenalkan huruf Arab kepada penduduk peribumi, yang dikenali dalam konteks tempatan sebagai tulisan Jawi. Tradisi tulisan ini berkembang di istana sultan Melayu kerana pencelik huruf Jawi perlu merakam geneologi, biografi dan catatan harian istana, yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada asas pembinaan teks sastera bercorak sejarah di istana (Noriah Taslim, 1993: 131). Kesultanan Melayu Melaka merupakan titik tolak permulaan suatu tradisi, yang menjadi dasar budaya Melayu. Penghasilan adikarya, iaitu Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu dalam istana dipandang penting oleh sarjana disebabkan hampir semua perkembangan budaya Melayu kini boleh dicari dasarnya dalam adikarya ini (Haron Daud, 1989: 218). 9

Harun

Mat

Piah

(2000:

39)

melaporkan

bahawa

perkembangan

kesusasteraan di istana Kesultanan Melayu Melaka sukar dijejaki. Hal ini disebabkan tidak ditemui mana-mana nashkah atau manuskrip yang dihasilkan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sejarah Melayu atau Sulaltus Salatin, yang mengisahkan kegemilangan zaman empayar Melayu Melaka pun dihasilkan pada zaman kesultanan di Johor, iaitu pada tahun 1612, sebagaimana yang dicatatkan dalam karya ini. Namun menurut keterangan Winstedt (1938: 27), isi Sejarah Melayu naskah Raffles No. 18 sebenarnya telah ditulis pada zaman Sultan Mahmud Syah.

Sejarah Melayu ialah satu-satunya sumber maklumat penting bagi kita


mengetahui perkembangan kesussasteraan klasik pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Dalam Sejarah Melayu tercatatnya orang Melaka pada masa itu sudah mengenali beberapa buah karya agung seperti Hikayat Iskandar Zulkarnain, Hikayat

Muhammad Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah.


Melalui Hikayat Iskandar Zulkarnain, tahulah kita bahawa orang Melayu pada zaman itu bukan sahaja sudah megenali wira hikayat tersebut namun membolehkan pengarang Sejarah Melayu mengaitkan keturunan raja Melaka yang pertama dengan nasab Iskandar Zulkarnain. Bukti berkenaan orang Melayu Kesultanan Melaka mengenali Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah adalah melalui catatan dalam Sejarah Melayu, yang mengisahkan pada saat-saat genting sebelum angkatan laut Portugis menyerang kota Melaka, pahlawan Melayu yang bersedia mempertahankan kota Melaka memohon diberikan Hikayat Muhammad Hanafiah agar mereka memperoleh semangat perjuangan daripadanya. Akan tetapi, mereka dibekalkan Hikayat Amir Hamzah dengan alasan jikalau ada seperti Amir Hamzah pun padalah; maka kita beri Hikayat Amir Hamzah. (Shellabear (ed.), 1978: 265). Dalam Sejarah Melayu juga tertonjolnya unsur cerita panji, khususnya

Hikayat Damar Wulan dan Syair Ken Tambunan. Ketika menggambarkan kehebatan
Hang Tuah serta pengisahan puteri Galuh Cendera Kirana, iaitu puteri Betara Majapahit yang dikahwinkan kepada Raja Melaka, adalah unsur cerita panji belaka. Puteri Galuh Cendera Kirana ialah watak utama dalam cerita panji Jawa (Harun Mat Piah, 2000: 39).

10

Peranan istana sultan Melayu terserlah sebagai tempat menghasilkan karya klasik Melayu, khususnya sastera istana yang bercorak sejarah jelas dilihat apabila kita mengambil kira karya klasik yang dihasilkan di pelbagai istana di alam Melayu secara menyeluruh. Disenaraikan beberapa contoh karya klasik bercorak sejarah yang dihasilkan di istana-istana Melayu di rantau ini (Jadual 1.3). Bil. 1. 2. 3. 4. 5. 6. 7. 8. Karya sastera istana Tempat Pasai Melaka Kedah Aceh Perak Riau Siak Johor

Hikayat Raja-raja Pasai Sejarah Melayu Hikayat Merong Mahawangsa Hikayat Aceh Misa Melayu Sejarah Raja-raja Riau Hikayat Siak Hikayat Raja-raja Johor

Jadual 1.3: Beberapa contoh karya klasik yang dihasilkan di istana sultan-sultan Melayu (Diubah suai daripada Ali Ahmad, 1987: 7-8). 1.6 RUMUSAN Berdasarkan perbincangan tiga tahap perkembangan sejarah kesusasteraan Melayu yang dikaji oleh beberapa orang pengkaji Barat dan tempatan, jelas bahawa unsur asing (Hindu-Buddha dan Islam) mendominasi karya kesusasteraan Melayu awal. Kejadian yang sedemikian menyebabkan R.O Winstedt, iaitu pentadbir selaku pengkaji kesusasteraan Melayu yang dianggap berwibawa tentang kesusasteraan dan kebudayaan Melayu pada zamannya melihat pegaruh asing begitu menonjol sekali dalam kesussteraan Melayu awal. Noriah Taslim (1993: 16) semasa berbiraca tentang teori dan kritikan sastera Melayu tradisional mencatatkan bahawa tulisan Winstedt terpengaruh dengan teori evolusi budaya, yang melihat budaya tinggi mendominasi budaya rendah. Dalam konteks ini, hasil kesusasteraan Melayu awal dikelompokkan ke dalam beberapa bahagian pengaruh budaya tinggi. Sebagai rumusan, kita tidak dapat menafikan unsur pengaruh asing dalam kesusasteraan Melayu klasik. Masing-masing pengkaji Barat dan pengkaji tempatan 11

mempunyai bukti dan pandangan mereka tersendiri terhadap isu setakat manakah pengaruh asing dalam kesusasteraan Melayu klasik. Dalam konteks ini, penulis memilih kedudukan di tengah, yakni sastera Melayu klasik sememangnya dipengaruhi budaya tinggi (Hindu-Buddha dan Islam), namun pengarang tempatan yang kreatif turut menggunakan kreativitinyanya bagi mengubah suai dan menyelitkan unsur-unsur tempatan ke dalam karya sastera klasik pada hari-hari terkemudian. Terdapat juga pengarang istana yang telah menghasilkan karya sastera sejarah. 1.7 KATA KUNCI Karya agung Melayu Karya klasik Melayu Pengaruh Hindu-Buddha Pengaruh Islam Sastera istana

12

1.8

LATIHAN Jawab soalan-soalan berikut: i) Jelaskan maksud karya agung, karya klasik dan sastera istana. ii) Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan karya klasik Melayu terpengaruh oleh pandangan dunia (world view) Hindu-Buddha. iii) Apakah yang terjadi kepada karya klasik Melayu yang dihasilkan dalam zaman pengaruh Hindu-Buddha pada peringkat awal penyebaran Islam ke alam Melayu?

1.9

AKTIVITI Baca buku Winstedt (1969) yang berjudul A History of Classical Malay Literature dan buat catatan ringkas dari segi ciri-ciri karya klasik Melayu dalam zaman HinduBuddha dan zaman peralihan Hindu-Islam. Bandingkan persamaan dan perbezaan yang terdapat dalam karya klasik Melayu antara kedua-dua zaman tersebut.

13

Anda mungkin juga menyukai