Anda di halaman 1dari 2

Mengajar Murid Cara Menulis

Salam sejahtera,
Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat dan ceria di samping dapat menjalankan tugas
harian dengan sempurna. Semoga apa jua yang anda lakukan pada ketika ini akan memberi
manfaat kepada diri anda dan orang-orang di sekeliling anda. Terima kasih atas kesudian anda
melakukan kunjungan rasmi ke laman ini.
Baiklah, topik yang hendak saya kongsikan pada hari ini adalah tentang kemahiran pra-tulis.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya dikekalkan oleh pihak pentadbir untuk terus memegang
kelas paling hujung dan secara langsung mengajar murid-murid LINUS.
Di dalam kelas saya ada seramai 29 murid. 6 murid perempuan dan selebihnya adalah murid
lelaki. Setiap kali mengajar, saya dapati murid mengambil masa yang terlalu lama untuk menulis
sesuatu perkataan. Ada murid yang mengambil masa 30 minit untuk menulis satu perkataan.
Apabila ditegur mengapa lambat menulis? murid ini akan menangis.
Saya mula membuat pemerhatian selama 30 minit terhadap cara murid menulis, apa yang
mereka buat ketika menulis, mengapa satu patah perkataan pun tidak disalin ke dalam buku,
dan macam-macam lagi. Segala aktiviti murid ketika itu saya tidak ganggu. Maka banyaklah
jawapan dan kemungkinan yang saya peroleh dalam tempoh 30 minit itu.
Ada murid boleh menulis, tetapi disebabkan hilang fokus kerana asyik berbual daripada menulis
menyebabkan kerja yang hendak disalin dalam buku tidak menjadi. Ada pula murid berangan,
berkhayal dan bermain dengan pemadam, pembaris. Bila ditegur, satu-satu abjad disalin.
Apabila dibiar, mereka akan bermain semula dengan pemadam, botol air dan sebagainya.
Dalam 29 murid saya ini, cuma 4 orang sahaja yang saya dapati memang mereka betul-betul
tidak boleh menulis kerana tiada asas menulis. Jadi, saya tidak boleh mendesak mereka untuk
menyiapkan kerja yang diberi. Melihat kepada cara mereka berempat ini memegang pensel
yang tidak betul, arah menulis yang salah, postur badan tidak betul semasa menulis, maka saya
harus perbetulkan semua itu.
Oleh yang demikian, langkah yang saya ambil adalah seperti berikut :
Minggu Ke-4 dan ke-5 : Mewarnakan gambar, menyambung titik-titik membentuk
gambar, menyambung garisan putus-putus membentuk abjad. Tujuannya untuk membiasakan
murid memegang pensel dengan cara yang betul dan menulis atau mewarna mengikut arah
yang sesuai. Tujuan lain juga adalah untuk melembutkan tangan murid ketika memegang
pensel agar tidak terlalu kaku. Latihan ini dapat memperbetul koordinasi mata dan tangan. Pada
minggu ini juga, postur duduk murid dibetulkan supaya mereka tidak salah semasa menulis.
Menulis mesti dalam keadaan menegak, bukan kepala disengetkan. Cara memegang pensel
juga harus diperbetul. Tidak boleh pegang terlalu pendek atau terlalu panjang.
Minggu Ke-6 dan ke-7 :Menulis abjad di papan putih, menulis abjad di dalam buku
bergaris, menulis suku kata di dalam buku. Bimbingan menulis secara individu, guru akan bantu
murid menulis dengan memegang tangan murid dan membimbing murid menulis abjad
mengikut arah yang betul. Mulakan dengan menulis abjad yang mudah seperti huruf a, c, i,
l, t, v dan u.
Minggu ke-8 : menulis suku kata kv dan kvk. bimbingan berterusan daripada guru.
Jika murid melakukan kesilapan semasa menulis, jangan izinkan murid memadam kesalahan
itu. Biarkan kesalahan itu dan minta murid menulis di tempat yang baru. Kemudian minta murid
bandingkan tulisan yang mana lebih baik. Minta murid ulang tulis suku kata atau perkataan
yang betul dengan kerap. Ingatkan murid supaya lebih berhati-hati semasa menulis dan
kurangkan kesilapan. Sentiasa berada di sisi murid setiap 10 minit untuk memastikan murid
menulis mengikut arahan.
Pada minggu ke-7, saya mula mendapat hasil bagi dua orang murid yang dapat memahami
konsep menulis. Mereka mula menunjukkan peningkatan dalam aspek menulis. Walaupun
masih ada kesalahan, tetap saya benarkan dua orang murid ini memadam kesalahan dan
memperbetulkannya kerana mereka sudah tahu bagaimana hendak menulis abjad mengikut
bentuk dan arah.

Dua orang murid lagi masih ketara kelemahan dilihat dalam menulis. Kadang-kadang
mengambil masa satu jam untuk menulis empat abjad. Perkara ini tidak merisaukan saya
kerana saya faham mereka tiada asas pendidikan diterima sebelum ke tahun satu. Oleh yang
demikian, saya perlukan masa yang panjang untuk memperbaiki segala kelemahan yang
dikesan. Insyaallah, jika semuanya berjalan lancar tanpa sebarang halangan, baki dua murid ini
lagi akan mengikut jejak rakan-rakan mereka yang sudah boleh menulis.
Sekian,
NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Admin,
Teachers Department
Dicatat oleh Program Intergrasi Pendidikan Khas SMK Kolombong

Anda mungkin juga menyukai