Anda di halaman 1dari 2

1.

REFLEKSI AMALAN PENGAJARAN & PEMBELAJARAN YANG LALU

Saya telah mengajar Jawi selama 9 tahun. Selama itu jugalah saya menghadapi masalah yang
sama, iaitu pelajar begitu mengambil masa untuk menguasai Jawi. Sudahlah peruntukan masa
untuk bidang ini cuma setengah jam sahaja. Bagi saya, mengajar Jawi ini sama sahaja seperti
mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu, cuma tulisannya sahaja yang berbeza. Jadi peruntukan
waktu selama setengah jam memang tidak memadai. Ketidakmampuan murid menguasai Jawi
memberi implikasi negatif kepada mereka, iaitu tidak minat dengan mata pelajaran Jawi. Kaedah
pengajaran saya juga sama sahaja sebagaimana yang saya gunakan sejak mula mengajar Jawi.
Saya tidak dapat lari daripada kaedah chalk and talk. Saya akhirnya berfikir adakah kaedah ini
sahaja yang sesuai untuk saya gunakan dalam mengajar Jawi. Mengapa hanya chalk and talk?
Sedangkan sudah terbukti ramai murid saya yang tidak dapat saya tingkatkan kemahiran mereka
dengan kaedah tersebut. Tidak adakah kaedah lain yang lebih berkesan? Perkara ini memang
saya sudah terfikir sejak sekian lama.
Mesti ada sesuatu yang saya boleh lakukan! Bukan hanya di satu dua kelas, saya berhadapan
masalah yang sama tetapi semua kelas yang saya ajar termasuk kelas Tahun 2 Optimis. Perkara
ini amat membimbangkan saya. Saya tidak boleh membiarkan situasi ini terus berlarutan. Saya
harus memulakan usaha untuk memperbaiki situasi ini. Selain memikirkan masalah ini berpunca
daripada diri saya sendiri, saya perlu mendekati murid untuk mendalami masalah mereka dan
mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah pengajaran dan pembelajaran yang
dihadapi. Mungkinkah persekitaran kelas yang masih sama sejak mereka menjejakkan kaki ke
sekolah dan latar belakang keluarga yang tidak ada pengetahuan mendalam tentang Jawi turut
mempengaruhi kemahiran mereka? Setelah berfikir berkali-kali, akhirnya saya memutuskan
untuk memulakan Kajian Tindakan ini dengan memilih 10 orang murid Tahun 2 optimis sebagai
sasaran pertama saya. Ini kerana, saya dapati 10 orang murid ini menghadapi masalah yang
sangat kritikal untuk menulis Jawi. Walaupun kadang-kadang mereka kelihatannya cuba
menumpukan perhatian semasa saya mengajar, tetapi kelihatannya mereka sukar untuk
mengikuti pengajaran apatah lagi untuk memahami apa yang saya ajarkan.. Banyak soalan yang
sama saya terima daripada murid, antaranya Ustazah, huruf K sama dengan huruf apa?,
Ustazah, huruf zal boleh disambungkan dengan huruf dal tak?, Ustazah, huruf alif boleh
disambungkan dengan huruf dal tak?, Ustazah, boleh tak huruf kaf disambungkan dengan huruf
ya? dan soalan-soalan lain yang sering kali berulang-ulang yang sama! Kekerapan menerima
soalan dan memberi jawapan yang sama memberi saya idea untuk menghasilkan satu formula
bagi membantu mereka memahami dan memberi jawapan bagi persoalan yang timbul dalam
pemikiran mereka.
Pertanyaan yang sama berulang kali juga meyakinkan saya bahawa tentu ada kelemahan dalam
amalan pengajaran yang telah saya gunakan menyebabkan murid-murid tidak dapat menguasai
kemahiran yang diperlukan. Selain cara pengajaran saya yang mungkin tidak berkesan dan tidak
menarik, murid juga agaknya tidak mendapat tunjuk ajar atau bantuan ibu bapa dalam
mengulangkaji mata pelajaran Jawi di rumah. Saya dapat memahami masalah tersebut kerana

mungkin latar belakang ibu bapa mereka juga tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran
yang berkaitan dengan mata pelajaran Jawi. Mereka juga mungkin merasakan Jawi tidak penting
kerana tidak dinilai dalam UPSR. Hakikat sebenarnya, walaupun bidang Jawi yang menjadi sub
mata pelajaran Pendidikan Islam ini tidak dinilai dalam peperiksaan UPSR namun penilaian akan
tetap dilakukan dalam peperiksaan PMR dan SPM di sekolah menengah nanti. Hakikatnya
kemahiran menulis Jawi perlu dipupuk sejak di sekolah rendah bagi memastikan mereka
mempunyai minat yang berterusan terhadap mata pelajaran Jawi serta bagi memastikan mereka
dapat menguasai mata pelajaran Jawi. Ringkasnya, mahir atau tidak mahir seseorang murid itu
menulis dan membaca Jawi, adalah bertitik tolak di sekolah rendah lagi.
Saya bertambah yakin keputusan saya untuk bertindak dengan menghasilkan formula atau teknik
baru mengajar Jawi akan dapat dapat membantu saya mengatasi masalah ini. Dengan teknik baru
itu nanti, saya bukan sahaja dapat memperbaiki amalan pengajaran saya tetapi juga mungkin
akan dapat meningkatkan minat murid saya terhadap mata pelajaran Jawi. Saya semakin pasti
dengan fokus kajian saya, menghasilkan teknik atau formula baru untuk meningkatkan
kemahiran murid menulis Jawi, bermula dengan murid Tahun 2 Optimis! Mula-mula saya akan
menghasilkan teknik untuk membantu mereka mengenali huruf Jawi yang mewakili huruf Rumi
serta menulis perkataan Jawi menggunakan suku kata mudah, kemudian saya akan menghasilkan
teknik atau formula untuk membantu mereka mengenali huruf Jawi yang boleh disambung dan
tidak boleh disambung. Mudah-mudahan hasrat saya untuk meningkatkan kemahiran mereka
menulis Jawi akan tercapai.

Anda mungkin juga menyukai