Anda di halaman 1dari 10

1.

0: PENGENALAN
Pengajaran merupakan satu proses yang diusahakan dan dipraktikkan secara bersama
oleh guru dan murid melalui sesuatu tugasan dan aktiviti yang dijalankan di dalam persekitaran
pembelajaran. Maka, perancangan yang teliti dan sistematik haruslah dilaksanakan oleh guru
tersebut yang dilengkapi dengan aspek seperti kaedah dan teknik yang bersesuaian mengikut
tahap pengetahuan murid, menerapkan unsur motivasi dalam diri murid untuk belajar sesuatu
pengetahuan yang baru dan bermakna, dan membantu murid mengusai sesuatu topik
pembelajaran dengan baik dan sempurna. Ringkasnya, pengajaran ialah pendekatan awal untuk
menyediakan murid-murid dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh mereka
melalui perpindahan maklumat daripada seorang guru kepada seorang pelajar. Manakala,
pembelajaran pula, boleh didefinisikan sebagai perubahan tingkah laku yang dialami oleh
seseorang murid hasil daripada pengalaman yang sedia ada. Bahkan, antara perubahan yang
dapat diperhatikan ialah murid tersebut akan mula menunjukkan perubahan tingkah laku dari
aspek meta kognitif, sikap emosi, kepercayaan, nilai estetika dan seumpamanya.
Kami telah membuat ulasan tentang sebuah rakaman video yang dijalankan pada tahun
1987. Seorang guru pelatih telah dirakam yang bernama Norizan Binti Seman yang sedang
mengikuti latihan mengajar di Sekolah Menengah Perempuan Kalsum, Kuala kangsar. Oleh itu,
mata pelajaran Sejarah telah diajar oleh beliau yang bertajuk Kejatuhan Melaka Di Tangan
Portugis Adalah Disebabkan Kelemahan Yang Terdapat Di Negeri Melaka Sendiri. Dalam
laporan ini, kami menfokuskan kepada model yang diprakktikan, kekuatan yang dimiliki
olehnya, kelemahan yang dapat dikesan semasa proses pengajaran dan pembelajaran, dan
penambahbaikan yang perlu diperkemaskan agar dapat memastikan kemahiran yang akan
diterapkan kelak adalah yang terbaik dan sempurna bagi masa yang akan datang.
1

2.0 MODEL PENGAJARAN


Model pengajaran boleh didefinisikan sebagai satu pelan atau pola yang boleh
diaplikasikan untuk memberi panduan dalam bilik darjah. (Esah Bt Haji Sulaiman, 2004:23).
Dalam erti kata yang lebih mudah, model pengajaran adalah sebuah perancangan bagi
melaksanakan sebarang aktiviti kurikulum, penyusunan bahan mengajar dan panduan
melaksanakan pengajaran di dalam kelas supaya objektif pengajaran dapat disampaikan dengan
sempurna. Berdasarkan buku wajib untuk melaksanakan tugas ini, buku karangan Joyce dan Weil
(1986) yang bertajuk The Models of Teaching, membahagikan model pengajaran kepada empat
komponen utama iaitu Sistem tingkah laku, Pemprosesan maklumat, Pembinaan peribadi, dan
Interaksi sosial. Namun demikian, berdasarkan pengamatan kami dalam video rakaman ini, kami
mendapati bahawa guru pengajar hanya menggunakan komponen model pemprosesan maklumat
dan pembinaan peribadi sahaja.
Model pertama yang digunakan oleh guru pelatih adalah model pemprosesan maklumat.
Model ini adalah suatu model di mana dapat membentuk kefahaman murid berkenaan dengan
tajuk yang diajar. Guru pelatih, mengemukakan satu bentuk perbincangan secara perdebatan
untuk menguji sejauh mana pelajar dapat memproses maklumat pembelajaran dengan tepat dan
cepat memandangkan setiap murid mempunyai masa yang tertentu untuk membahaskan hujah
masing-masing. Model ini melibatkan tiga komponen utama seperti pemahaman konsep (tajuk
perdebatan), inkuiri atau pemikiran induktif serta pengembangan intelek. Murid yang mengikuti
perdebatan perlu memahami konsep kerana ia merupakan suatu proses di mana melibatkan murid
untuk mengkategorikan maklumat dan membina konsep. Seterusnya, proses penaakulan,
mentafsir data dan membina teori akan dilakukan oleh pelajar. Hal ini dapat dilihat apabila murid
berusaha untuk mentafsir tajuk perdebatan baik dari pihak pencadang mahupun pembangkang.
2

Setiap wakil dari kedua pihak bangun untuk menghujahkan isi yang telah ditafsir. Manakala
proses pengembangan intelek berlaku seiring apabila murid mencari isi untuk setiap hujah
dimana perkembangan intelek turut sama berkembang.
Model pembelajaran kedua yang digunakan oleh guru pelatih pula adalah model
pengajaran pembinaan peribadi. Guru pelatih telah berjaya menggunakan konsep model
pengajaran ini dalam aktiviti perdebatan. Tiga komponen utama dalam model pembinaan
peribadi ini adalah pengajaran fasilitatif, peningkatan kepekaan peribadi dan sintetik. Hal ini
dapat dilihat apabila pada awal pengajaran guru menjadi fasilitator dengan mengawal seluruh isi
kelas sebelum tugas tersebut diambil alih oleh pelajar yang bertugas sebagai pengerusi debat.
Selain itu, melalui aktiviti perdebatan ini, karakter murid dapat juga dibentuk, daripada seorang
murid yang mungkin takut berhadapan dengan khalayak menjadi berani berhadapan dengan
khalayak. Selain itu, murid-murid juga akan rasa lebih terdorong untuk melaksanakan aktiviti
seumpama ini kerana tiada sekatan untuk berkomunikasi. Hal ini turut disokong oleh Abdullah
Sani Yahya (2007:56) yang mengatakan bahawa pembentukan peribadi dalam bilik darjah adalah
amat penting untuk perkembangan kognitif pelajar.

3.0: KEKUATAN YANG DIMILIKI


Berdasarkan pengamatan dan pemerhatian kami berkaitan rakaman video ini, kami dapati
terdapat beberapa kekuatan dan kelebihan yang dimiliki oleh guru tersebut yang perlu
diketengahkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Antaranya ialah,
mempersembahkan teknik mempelbagaikan kaedah yang menarik sebelum memulakan
pengajaran di dalam kelas. Hal ini kerana, beliau telah menggalakkan muridnya mengambil
bahagian dalam sesuatu perbincangan di dalam bilik darjah yang berkonsepkan perdebatan di
antara mereka yang dibahagikan kepada dua pihak iaitu pihak pencadang dan pihak
pembangkang. Secara tidak langsung, dapat mengubah pendekatan pembelajaran yang
berpaksikan pengajaran sepenuhnya oleh guru kepada percambahan ilmu pengetahuan yang
berkembang hasil daripada masalah yang mencabar dan kritis yang harus diselesaikan oleh para
pelajar di dalam kelas sekali gus berpusatkan murid. Bahkan, beliau juga berjaya membuat
perancangan yang teliti dan cermat dengan memastikan agar murid-muridnya telah menguasai
tajuk tersebut semasa proses pengajaran dan pembelajaran dengan sebaik mungkin sebelum
menjalankan aktiviti perdebatan di dalam kelas. Buktinya, kesemua murid yang mengikuti
aktiviti tersebut sama ada peserta atau pendengar dapat memberi hujah dan pendapat yang baik
sepanjang perdebatan di antara mereka sedang berlangsung.
Selain itu, beliau juga memiliki ciri-ciri seorang guru yang bermutu dan berkualiti.
Menurut Earl V. Pullias dan James D. Young (1982), guru perlu mengambil kira tentang
penggunaan bahasa sebagai alat perhubungan dan dalam menyampaikan pendapat dan idea.
Maka, dapat dilihat bahawa semasa proses pengajaran dan pembelajaran beliau telah
berkomunikasi dengan lancar terutamanya melalui penggunaan bahasa baku yang baik. Bahkan,
beliau turut melontarkan suara dengan jelas dan yakin semasa memberi arahan kepada murid4

murid bagi mengendali aktiviti perdebatan yang akan dijalankan di dalam kelas. Hal ini kerana,
berkemungkinan besar para murid akan keliru dan tidak memahami dengan arahan dan kehendak
yang diberikan oleh guru sekiranya komunikasi atau bahasa yang disampaikan tidak jelas dan
tepat. Lantas dapat dilihat bahawa beliau telah mengusai teknik kemahiran menggunakan bahasa
dengan baik sebelum memulakan pengajaran di dalam kelas. Malah, beliau turut mempunyai
personaliti yang menarik dari segi penampilan luaran dan dalaman kerana mampu menarik
tumpuan dan perhatian para murid untuk mendengar dan memberi perhatian semasa beliau
sedang bercakap di hadapan sekali gus telah memenuhi kretiria yang diperlukan oleh seorang
guru dalam mendidik anak murid semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Disamping itu, beliau juga turut mempraktikkan teknik penutupan pengajaran semasa
tamat seisi pembelajaran di dalam kelas. Hal ini kerana, beliau telah mengamalkan konsep
penutupan sosial iaitu membangkitkan perasaan kepuasan di dalam kalangan pelajar apabila
berjaya mendapat pencapaian yang cemerlang bagi topik atau tajuk yang telah diajar olehnya.
Buktinya, beliau telah memuji salah seorang peserta debat iaitu Azimah dengan
mengumumkannya sebagai pemidato terbaik kerana telah mengutarakan hujah dan pendapat
yang bernas semasa perdebatan sedang berlangsung di dalam kelas. Secara tidak langsung, akan
mengukuhkan daya ingatan murid terhadap mata pelajaran yang telah diajar oleh gurunya dan
akan mendorong mereka untuk mengikuti pelajaran yang berikutnya dengan penuh semangat dan
didikasi bagi memenuhi naluri ingin tahu yang sedia ada dalam mindanya. Bahkan, beliau turut
membuat rumusan dan kesimpulan kepada pelajar di akhir pengajaran dari dua aspek iaitu sudut
positif dan negatif untuk mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada dengan tajuk
pelajaran yang baru sahaja diperolehi oleh mereka. Lantas, akan dapat diaplikasi dalam
kehidupan yang akan disesuaikan dengan pengalaman sedia ada oleh mereka.
5

4.0: KELEMAHAN YANG DIKESAN


Namun, terdapat juga beberapa kelemahan dan kekurangan yang dapat dikesan di dalam
rakaman yang dijalankan oleh beliau sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran sedang
berlangsung di dalam kelas. Antaranya ialah, teknik pengawalan kelas yang agak lemah
terutamanya semasa di bahagian pertengahan aktiviti yang sedang dijalankan. Hal ini kerana,
terdapat sebilangan kecil pelajar yang tidak menumpukan perhatian dan konsentrasi semasa
aktiviti perdebatan sedang berlangsung di dalam kelas seperti bercakap dalam nada yang tinggi
di antara mereka, tidak memberi kerjasama semasa proses mengemukakan pendapat dan
pandangan dijalankan dan sebagainya. Secara tidak langsung, tindakan murid yang tidak
bekerjasama dan memberi toleransi sedikit sebanyak telah menggangu kelancaran proses
pengajaran dan pembelajaran yang sedang dijalankan di dalam kelas yang mempraktikkan
konsep perdebatan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid-murid.
Malah, beliau juga bersifat autokratik di dalam kelas terutamanya semasa akhir aktiviti
sehingga menimbulkan perasaan tidak yakin dan takut untuk mengemukakan hujah serta
pendapat mereka berkaitan tajuk aktiviti yang sedang berlangsung di dalam kelas. Menurut
Lippit dan White (1958), kawalan secara kekerasan ialah pimpinan yang terlalu tegas dan segala
aktiviti pelajar diarahkan oleh guru. Hal ini kerana, tindakan guru yang hanya memanggil
muridnya secara sewenang-wengangnya untuk memberi hujah dan pendapat telah menyebabkan
mereka berasa takut dan kurang yakin untuk mencuba kerana dikuatiri akan dimarahi dan
dihukum oleh guru yang menggunakan nada suara yang agak tinggi dan lantang sekali gus tidak
melontarkan senyuman semasa berkomunikasi dengan murid.

Selain itu, beliau juga memiliki kelemahan dalam mengusai teknik kemahiran
mengemukakan soalan kepada muridnya di dalam kelas. Hal ini kerana, soalan yang
dikemukakan kepada murid agak tidak jelas sehinggakan terdapat sebilangan kecil yang tidak
memahami dan mengetahui bentuk soalan yang diajukan kepada mereka. Misalnya, Norlizawati
telah melakukan kesilapan kerana tidak dapat memahami kehendak soalan yang diutarakan oleh
beliau yang berkemungkinan kerana arahan yang diberikan yang agak berputar-belit dan tidak
tersusun semasa seisi soal jawab diadakan. Bahkan, beliau juga tidak mempraktikkan beberapa
prinsip sebelum mengemukakan soalan iaitu tidak berhenti sejenak untuk memberi masa kepada
murid agar berfikir tentang jawapan yang tepat bagi menjawab soalan tersebut, tidak melayan
pelajar seperti memberi pujian dan galakan kerana mencuba untuk menjawab soalan yang
dikemukakan walaupun cubaannya tidak tepat dengan mengatakan cubaan yang baik atau
terima kasih kerana berani mencuba dan sebagainya. Oleh itu, murid akan tidak terangsang
untuk cuba berfikir dan memahami persoalan yang ditimbulkan oleh guru sekali gus bersifat
pasif semasa aktiviti soal jawab sedang berlangsung di dalam kelas.
Disamping itu, beliau tidak menerapkan penggunaan bahan membantu mengajar di
dalam pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung. Hal ini kerana, beliau hanya bergantung
kepada sebuah alat iaitu loceng untuk menjalankan aktiviti perdebatan di dalam kelas tanpa
menyelitkan peralatan yang lain bagi mengukuhkan ilmu pengetahuan dan pemahaman yang
bakal diperoleh oleh murid-murid. Sebaliknya, beliau haruslah menyediakan beberapa lakaran
atau peta yang menunjukkan kawasan dan kekuatan yang dimiliki serta bagaimana kuasa
Portugis dapat menawan negeri Melaka pada 1511 berdasarkan teknologi yang sedia ada . Secara
tidak langsung, murid-murid akan mendapat gambaran yang jelas tentang perbezaan dari aspek
kekuatan dan kelemahan di antara kedua-dua pihak yang sedang berada dalam alam peperangan.
7

5.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN


Berdasarkan pengamatan kami melalui video rakaman ini, setelah dikaji daripada
pelbagai aspek, kami mendapati terdapat beberapa kelemahan, justeru segala bentuk kelemahan
tersebut akan diberi cadangan penambahbaikkan. Tujuan utama cadangan penambahbaikkan ini
adalah untuk memperbaiki segala bentuk kelemahan supaya tidak diulangi. Bukan itu sahaja
penambahbaikkan ini seterusnya mampu membantu melancarkan proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas.
Antara cadangan penambahbaikkan yang paling utama sekali adalah, guru pelatih harus
mahir teknik pengawalan kelas. Hal ini adalah kerana guru pelatih dilihat kurang mampu
mengawal kelas. Kelas menjadi sedikit bising dan tidak teratur sewaktu proses pendebatan
berlaku. Pengelolaan kelas merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh setiap
guru kertiga bertugas di dalam kelas. (Omardin Ashaari, 1997:54). Pengawalan kelas yang lemah
oleh guru mampu menggangu gugat ketenteraman kelas seterusnya mampu merencatkan proses
pembelajaran. Objektif pengawalan kelas yang utama adalah untuk mewujudkan suasana yang
sesuai untuk pembelajaran dan pengajaran disamping melicinkan proses tersebut. Guru pelatih
boleh melaksanakan beberapa prinsip pengawalan kelas untuk menangani masalah ini. Sebagai
contoh guru pelatih perlu bertanggungjawab untuk menyelia dan mengarahkan semua aktiviti
dalam kelasnya termasuk disiplin. Jika pelajar membuat bising, guru pelatih berhak untuk
menyuruh pelajar berkenaan supaya senyap.
Cadangan penambahbaikkan yang kedua adalah sikap guru yang dilihat bersifat
autokratik. Autokratik disini bermaksud, guru pelatih dilihat terlalu garang dan tidak melunakkan
lansung suaranya sebaliknya suara guru pelatih selalu meninggi. Hal ini menyebabkan murid-

murid teragak-agak dan takut untuk bertanyakan soalan dan memberikan respon terhadap
pembelajaran. Sebaliknya, guru pelatih perlulah lebih demokrasi dengan memberikan kebebasan
kepada para pelajar untuk bertindak dalam kumpulan. Bukan itu sahaja, guru pelatih juga harus
pandai mengawal intonasi suara agar tidak terlalu meninggi sebaliknya, ada intonasi lembut dan
tegas pada saat dan ketika ia di perlukan. Hasilnya murid akan berasa lebih selesa untuk belajar
dan mampu memberikan respon yang baik terhadap pembelajaran.
Cadangan penambahbaikkan yang terakhir pula adalah penguasaan teknik menyoal yang
lemah oleh guru pelatih. Guru pelatih tidak menguasai kemahiran ini dengan baik. Hal ini
membuatkan murid berasa keliru dengan soalan yang diajukan. Sebagai contoh adalah apabila
guru pelatih menyoal murid yang bernama Norliza, murid tersebut telah salah tafsir akan soalan
yang diajukan oleh guru pelatih kerana guru pelatih tidak menguasai kemahiran menyoal dengan
betul. Objektif utama kemahiran menyoal adalah untuk mendorong pelajar untuk terlibat secara
cergas dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Namun demikian guru pelatih dilihat telah
gagal untuk mendorong muridnya kerana teknik menyoal yang digunakan adalah tidak tepat.
Teknik yang paling penting semasa ingin menyoal murid adalah dengan memastikan bahawa
soalan diajukan terlebih dahulu kemudian, berhenti seketika untuk murid berfikir sebelum
membuka soalan kepada murid. Jika tiada yang mahu menjawab soalan tersebut maka barulah
guru menyebut nama mana-mana pelajar untuk menjawab soalan tersebut.

6.0: KESIMPULAN
Kesimpulannya, berdasarkan rakaman video yang telah ditonton dan dinilai, kami dapati
bahawa terdapat beberapa kelebihan dan kelemahan yang dapat dikesan dan harus diketengahkan
sebagai panduan dan pedoman agar proses pengajaran dan pembelajaran yang akan dijalankan
kelak akan dapat dihasilkan dengan lebih bermutu dan sistematik. Hal ini kerana, bagi
melahirkan warga pendidik yang berketrampilan tinggi dan memiliki ciri yang sempurna
haruslah diperkemaskan melalui penguasaan pelbagai kemahiran dan teknik yang meliputi aspek
kemahiran memulakan pengajaran, kemahiran memberi penerangan, kemahiran memberi contoh,
kemahiran mempelbagaikan kaedah pengajaran, kemahiran menggunakan bahasa dan
seumpamanya. Secara tidak langsung, akan membantu guru untuk melancarkan dan
memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di dalam kelas sekali gus
mewujudkan implikasi positif dalam kalangan pelajar dengan menerapkan semangat juang yang
kental untuk menimba ilmu pengetahuan dan memiliki motivasi yang tinggi semasa mengikuti
pengajaran yang disampaikan oleh guru.
Bahkan, model pengajaran yang diambil menerusi guru pelatih yang sedang melakukan
latihan mengajar dapat membantu kita untuk memahami pendekatan dan konsep yang
bersesuaian untuk diaplikasikan kelak apabila menjadi seorang guru. Maka, dapat dijadikan
wadah ilmu untuk mempelajari dan mengusai kemahiran yang diperlukan berteraskan aspek
praktikal setelah melengkapkan diri dengan teori dan pendekatan yang harus dititikberatkan
sepanjang berkecimpung dalam profesion perguruan. Oleh itu, pengajaran mikro yang
disarankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sememangnya amat berguna kepada bakal
pendidikan dalam memperkemaskan diri dengan teknik dan kemahiran pengajaran yang
sistematik sekali gus akan dapat melahirkan murid yang berkualiti bagi pembangunan negara.
10

Anda mungkin juga menyukai