Anda di halaman 1dari 7

PERANAN GURU BIASA DALAM MEMBANTU PERKHIDMATAN BIMBINGAN

DAN KAUNSELING DI SEKOLAH

Guru biasa turut memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi serta
kejayaan murid. Meskipun guru biasa tidak mempunyai kelayakan serta kemahiran
khusus untuk mengendalikan program bimbingan dan kaunseling di sekolah, namun
peranan guru biasa dalam menjayakan program-program tersebut tidak dapat dinafikan.
Seorang guru kaunseling tidak mungkin dapat melihat keperluan semua murid-murid
yang berada di sekolah. Oleh itu, guru biasalah yang berfungsi sebagai mata dan
telinga untuk guru bimbingan dan kaunseling.

Antara peranan utama yang dapat dimainkan oleh guru biasa adalah sebagai
pengumpul maklumat murid serta mengenalpasti masalah murid-murid di bawah
jagaannya. Segala maklumat yang diperoleh akan diberikan kepada guru bimbingan
dan kaunseling untuk tindakan selanjutnya.

Tugas seorang guru bukaN hanya sekadar mengajar di sekolah atau memberi
ilmu kepada murid-murid sahaja, malah semua guru yang terlatih berperanan sebagai
guru bimbingan ataupun guru pembimbing. Sepertimana yang telah diketahui,
perkhidmatan bimbingan di sekolah bukan semata-mata dijalankan oleh guru bimbingan
dan kaunseling sahaja. Setiap guru sama ada guru mata pelajaran atau guru kelas
mampu memainkan peranan sebagai guru pembimbing dengan mengambil kira
pengalaman hidup dan kematangan emosi serta kognitif masing-masing.

Guru biasa boleh membantu guru bimbingan dan kaunseling dengan


mengumpulkan pelbagai maklumat mengenai murid-murid mereka. Pengumpulan
maklumat oleh guru biasa ini amat membantu guru bimbingan dan kaunseling untuk
membuat semakan serta digunakan sebagai rujukan untuk tindakan susulan, sama ada
dalam bentuk sesi kaunseling atau intervensi yang lain.

Peranan guru biasa sebagai guru bimbingan amatlah besar dan penting. Antara
peranan seorang guru biasa sebagai guru pembimbing ialah dengan membantu murid-
murid dibawah jagaannya untuk membuat penyesuaian. Dalam hal ini, guru biasa boleh
membantu muridnya menyesuaikan diri mereka dalam pelbagai aspek seperti fizikal,
mental, emosi, persekitaran dan sebagainya.

Seterusnya, guru biasa yang berperanan sebagai guru pembimbing juga dapat
menolong dan membantu murid-murid di bawah jagaannya dalam pelajaran mereka.
Murid pada masa kini menghadapi pelbagai masalah. Masalah-masalah tersebut
kadang-kala menjadi satu bentuk halangan kepada mereka untuk mengikuti atau
menguasai proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bagi mengatasi masalah
tersebut, guru biasa boleh membantu murid-murid ini dalam pelajaran mereka.

Sebagai contoh, sekiranya murid menghadapi masalah dalam mata pelajaran


Bahasa Melayu, guru boleh menolong murid berkenaan dalam mata pelajaran tersebut.
Segala kemusykilan dan masalah yang wujud dalam kalangan murid perlulah
diselesaikan oleh guru dengan mengambil tindakan sewajarnya seperti memberi
penerangan yang ringkas, tepat dan jelas, memberikan contoh-contoh yang
bersesuaian dengan topik yang diajar serta menggunakan pendekatan, strategi, kaedah
dan teknik yang bersesuaian dengan tahap dan penerimaan murid tersebut. Selain itu
juga, guru juga boleh membuat perancangan yang sistematik serta melaksanakan
proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih menarik agar dapat membantu
menarik minat murid untuk mengikuti pembelajaran di dalam bilik darjah.

Selain dari itu juga, guru biasa boleh berperanan dengan memberikan kesedaran
tentang betapa pentingnya pelajaran kepada murid-murid di bawah jagaanya. Terdapat
murid yang sangat aktif untuk belajar, dan pada masa yang sama juga terdapat murid
yang datang ke sekolah hanya sebagai rutin harian mereka. Dalam hal ini, guru biasa
boleh memberikan kesedaran kepada murid-murid ini bahawa betapa pentingnya
pelajaran pada masa kini. Hai ini kerana pendidikan yang diperoleh oleh seseorang
murid pada masa kini akan menentukan masa depan mereka pada suatu hari yang
akan datang. Apabila guru memberikan kesedaran, murid-murid akan berpeluang untuk
mengubah diri mereka dan bersedia untuk menghadapi cabaran di dalam dunia
pendidikan ini.
Di samping itu juga, guru biasa boleh membantu murid dalam membuat
keputusan yang rasional. Murid-murid di sekolah rendah berupaya mengambil
keputusan sendiri. Namun begitu, mereka masih tidak dapat berfikir sama ada
keputusan yang diambil itu adalah rasional atau tidak. Oleh yang demikian, adalah
menjadi tugas kepada guru biasa untuk membantu murid-murid ini dalam membuat
pertimbangan, mengenal pasti baik atau buruk akan sesuatu tindakan dan sebagainya.

Seterusnya, guru biasa juga boleh membantu menyelesaikan masalah


pembelajaran murid dengan memberi tumpuan yang lebih kepada mereka,
melaksanakan aktiviti yang sesuai dengan tahap dan minat mereka, serta memberikan
tugasan yang boleh meningkatkan kefahaman murid terhadap sesuatu pembelajaran.

Selain itu, guru biasa juga perlu membentuk tabiat kerja murid yang positif.
Pembentukkan tabiat positif ini mampu memberikan kesan yang baik ke arah
peningkatan prestasi dalam pembelajaran mereka. Di antara tabiat positif yang perlu
dibentuk ialah seperti positif terhadap kesukaran yang dihadapi, peka terhadap masa,
yakin terhadap kebolehan diri, berani mencuba untuk kebaikan dan lain-lain lagi.
Pembentukan tabiat positif ini haruslah diberi penekanan oleh guru sejak dari awal
tahun lagi agar segala masalah dapat dibendung dan dapat dijadikan sebagai iktibar
dalam menghadapi cabaran yang pastinya menguji murid dalam usaha mencapai
kejayaan.

Bidang tugas guru biasa sebagai guru pembimbing yang seterusnya ialah
sentiasa merujuk kepada guru bimbingan dan kaunseling. Sekiranya guru biasa
menghadapi sebarang masalah dalam menguruskan murid-murid di bawah jagaannya,
mereka boleh merujuk kepada guru bimbingan dan kaunseling untuk mendapatkan idea
atau pendapat yang sepatutnya di samping untuk mendapatkan maklumat.

Seterusnya, guru biasa juga boleh bekerjasama dengan guru bimbingan dan
kaunseling sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap murid-murid mereka.
Mengisi kad 001 bagi murid-murid sekolah rendah juga merupakan salah satu dari
tugas seorang guru biasa. Antara butir-butir peribadi murid yang perlu diisi oleh guru
ialah seperti rekod berat, tinggi, rabun atau tidak, markah peperiksaan pertengahan dan
akhir tahun, sikap pelajar dan cita-cita murid tersebut. Kad 001 ini, adalah satu-satunya
kad peribadi murid yang diterima pakai dalam mahkamah. Sekiranya terjadi apa-apa
musibah ke atas murid-murid ini semasa dalam tempoh usia mereka bersekolah,
pampasan yang sewajarnya boleh diberi berdasarkan rekod peribadi dan cita-cita murid
tersebut.

Di samping itu juga, guru biasa hendaklah bekerjasama dengan ibu bapa atau
penjaga murid-murid. Hal ini adalah kerana guru merupakan ibu bapa kedua di sekolah
bagi setiap murid. Oleh itu, mereka perlu sentiasa memaklumkan perkembangan murid
dari masa ke masa. Kerjasama antara kedua-dua pihak ini iaitu guru dengan ibu bapa
akan dapat membantu kedua-dua pihak untuk mengenali tentang murid atau anak
mereka. Hal ini akan mendorong kepada guru atau ibu bapa untuk mengambil sebarang
tindakan yang seterusnya.

Guru biasa berperanan untuk membantu dengan mengumpul maklumat murid-


murid di bawah jagannya. Terdapat dua teknik yang biasa digunakan oleh guru untuk
mengumpul maklumat murid-murid, iaitu teknik ujian dan teknik bukan ujian. Secara
amnya, teknik ujian merujuk kepada ujian-ujian piawai yang dibentuk untuk mengukur
ciri-ciri murid seperti kebolehan, pencapaian, aptitud, minat, sikap, nilai dan personaliti.
Ujian-ujian tersebut yang bersifat formal biasanya ditadbirkan secara individu atau
kelompok. Hasil penganalisian skor murid-murid dalam ujian digunakan sebagai rujukan
dalam sesi bimbingan dan kaunseling kelak. Bagi memperoleh satu gambaran yang
komprehensif dan menyeluruh, teknik bukan ujian turut digunakan oleh seseorang guru
biasa. Teknik bukan ujian ini bersifat subjektif berbanding dengan teknik ujian yang
bersifat objektif.

Penglibatan guru biasa sebagai guru pembimbing dalam aspek mengenalpasti


masalah yang berlaku dalam kalangan murid sekolah sangat mendorong kepada guru
untuk mengenali tentang murid-muridnya. Kebanyakan masalah yang diceritakan oleh
murid kepada guru boleh diklasifikasikan seperti berikut.
Konflik Interpersonal

Murid-murid yang sedang menghadapi masalah komunikasi dengan ibu bapa, guru-
guru atau rakan sebaya.

Konflik Intrapersonal

Murid-murid menghadapi masalah yang berkaitan dengan membuat keputusan dan


perlukan penjelasan mengenai alternatif-alternatif penyelesaian dan akibat.

Kekurangan Maklumat tentang Diri

Murid-murid yang ingin mengenali diri secara lebih mendalam dari segi kebolehan,
kekuatan, minat dan nilai.

Kekurangan Maklumat tentang Persekitaran

Murid-murid perlukan maklumat tentang cara mencapai kejayaan dalam bidang


akademik serta kerjaya di dunia pekerjaan.

Kekurangan Kemahiran

Murid-murid perlu belajar mengenai satu-satu kemahiran seperti cara belajar yang
berkesan, tingkahlaku asertif, kemahiran mendengar yang berkesan dan sebagainya.

Dalam usaha mengenal pasti masalah murid-murid sekolah rendah, terdapat


pelbagai cara yang sering digunakan oleh guru-guru biasa. Antara cara-cara yang
selalu digunakan oleh guru-guru bagi mengenal pasti masalah murid-muridnya ialah
pemerhatian, senarai semak, sosiogram, hasil karya murid, foto serta audio dan video.

Walaupun terdapat banyak cara untuk mengenal pasti masalah, kebanyakkan


guru menggunakan cara pemerhatian sebagai cara utama untuk mengenal pasti
masalah murid-muridnya.

Semasa membuat pemerhatian, guru atau pemerhati perlu mengikuti beberapa


prosedur yang penting. Yang pertama, sebelum sesi pemerhatian, guru hendaklah
menentukan objektif atau tujuan pemerhatian, sasaran yang akan diperhatikan, tempoh
pemerhatian iaitu jangka masa, dan cara merekod hasil pemerhatian. Prosedur yang
kedua, guru perlu masuk ke kelas atau tempat di mana murid-murid sedang berkumpul
dan menjalankan aktiviti pembelajaran. Ketiga, pemerhati hendaklah duduk di belakang
kelas atau di tempat yang sesuai supaya tidak mengganggu proses pengajaran dan
pembelajaran. Manakala, prosedur yang keempat ialah pemerhati membuat
pemerhatian sambil mencatat nota lapangan yang relevan. Hasil pemerhatian
dicatatkan dalam borang-borang pemerhatian khusus seperti rekod anekdot, rekod
running, persampelan masa, persampelan peristiwa, dan penulisan dairi yang dijadikan
sebagai bahan-bahan bukti bagi pemerhatian yang telah dijalankan.

Selain pemerhatian, guru biasa juga menggunakan senarai semak yang berguna
untuk guru mengetahui tentang penguasaan kemahiran murid. Ia juga digunakan
apabila guru sedang memerhatikan satu aspek tingkah laku murid. Senarai semak
mempunyai kekurangan yang paling ketara berbanding dengan cara pemerhatian iaitu
ia tidak mengambil kira konteks di mana satu-satu tingkah laku itu berlaku ataupun
perbezaan individu. Oleh itu, senarai semak digunakan sebagai tambahan kepada
maklumat yang telah dikumpul dengan menggunakan cara pemerhatian yang lain.
Berdasarkan senarai semak yang disediakan oleh guru biasa, maka guru bimbingan
dan kaunseling akan memperoleh satu gambaran ringkas mengenai perkembangan
murid-murid dari aspek fizikal, kognitif, sosial dan emosi. Hal ini memudahkan beliau
untuk merancang tindakan susulan yang munasabah bagi murid-murid berkenaan.

Seterusnya, satu lagi cara yang berkesan bagi mengenal pasti perkembangan
sosial murid-murid iaitu dengan menggunakan sosiogram. Sosiogram merupakan satu
peta atau rajah yang menunjukkan pola interaksi satu kumpulan murid-murid. Ia dapat
menunjukkan dengan jelas siapa yang disukai ramai, siapa yang perlukan bantuan,
siapa yang mempunyai kemahiran sosial yang baik dan sebagainya. Sosiogram dapat
menggambarkan siapa dalam pasukan atau kumpulan menjalani interaksi dan siapa
dalam kalangan ahli yang seolah-olah disingkir. Sebagai tindakan susulan, guru
bimbingan dan kaunseling boleh merujuk kepada maklumat awal ini untuk
mendapatkan jawapan kepada beberapa persoalan yang timbul hasil analisis
sosiogram.
Selain itu, koleksi hasil karya murid yang dikumpul merentasi satu tempoh masa
juga boleh memberi maklumat yang bernilai mengenai perkembangan murid-murid.
Hasil karya yang dimaksudkan adalah seperti lukisan, kolaj, penulisan dan gambar foto
projek dan sebagainya. Hasil karya yang asli membuktikan kebolehan kognitif dan
kreativiti masing-masing. Berdasarkan hasil karya murid, guru dapat melihat dengan
mata sendiri pertumbuhan dan perkembangan murid sama ada yang telah atau yang
belum berlaku pada murid-murid berkenaan. Hasil karya yang dikutip itu boleh disimpan
dalam bentuk buku skrap atau folio untuk dikongsi bersama serta sebagai bahan bukti.

Rakaman audio dan video juga dapat membantu seorang guru untuk
mengenalpasti masalah yang wujud dalam kalangan murid-murid. Dengan
menggunakan rakaman video, guru dapat merakam segala gerak-geri murid sama ada
secara sengaja atau tidak sengaja. Manakala, rakaman audio pula memberi satu
gambaran mengenai kemahiran bertutur murid-murid. Cara ini banyak digunakan oleh
guru Bahasa Melayu untuk mengetahui tentang kemahiran bertutur murid-muridnya.

Berdasarkan pandangaan saya dan perbincangan dengan guru-guru di sekolah


saya berpraktikum, saya dapati guru biasa sebagai guru pembimbing memainkan
peranan yang amat penting dalam membantu guru bimbingan dan kaunseling
memperoleh satu profil awal murid-murid. Guru biasa juga selalu berkolaborasi dengan
guru bimbingan dan kaunseling dari segi mengumpul data dan menyediakan maklumat
murid. Jadi, jelaslah kepada kita bahawa guru biasa sebagai guru pembimbing dan guru
bimbingan dan kaunseling saling melengkapi keperluan satu sama lain.

Anda mungkin juga menyukai