Anda di halaman 1dari 8

UCAPAN ALU-ALUAN

KETUA PENGARAH FRIM


YBHG. DATO DR ABD LATIF MOHMOD

SEMPENA SEMINAR TUMBUHAN UBATAN DAN BERAROMA


KALI KE-14 (MAPS 14)

INSTITUT PENYELIDIKAN PERHUTANAN MALAYSIA


11-12 OKTOBER 2016

Terima kasih saudara/saudari Pengerusi Majlis.

YB DATUK IR. HAJI HAMIM BIN SAMURI


Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE)

YB DATUK IBRAHIM BIN AHMAD


Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA)

YANG BERUSAHA DR. RASADAH MAT ALI


Pengerusi Jawatankuasa Seminar Tumbuhan Ubatan dan Beraroma 2016 kali ke 14

Wakil-wakil Kementerian, para peserta seminar, tuan-tuan serta puan-puan yang


dihormati sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan Salam 1 Malaysia.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB


DATUK IR. HAJI HAMIM BIN SAMURI, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam
Sekitar kerana dapat meluangkan masa untuk merasmikan seminar ini.

Pertama sekali, marilah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat IIahi yang telah
melimpahkan rahmat-Nya agar kita dapat bersama-sama hadir di majlis perasmian
SEMINAR TUMBUHAN UBATAN DAN BERAROMA kali ke-14.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Datang dan terima
kasih kepada semua yang sudi melapangkan masa bagi menghadiri seminar ini.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Malaysian Bioeconomy
Development Corporation Sdn. Bhd. (dahulu dikenali sebagai Malaysian Biotechnology
Corporation Sdn. Bhd.) sebagai penaja bersama di dalam penganjuran seminar ini.
1) Dalam wawasan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, kita
mengalami beberapa masalah yang negara maju telah lama alami termasuk
masalah pencemaran alam sekitar yang sedikit sebanyak meningkatkan statistik
penyakit-penyakit tertentu dan juga kewujudan semula penyakit-penyakit yang
merbahaya dan tiada penawar. Bermula tahun ini kita juga merasa bahang
kegawatan ekonomi. Jadi, dimana dan apa peranan kita dalam menangani masalah
tersebut memandangkan Malaysia kaya dengan sumber biologinya. Hutan hujan di
Malaysia adalah kaya dengan tumbuh-tumbuhan yang dikatakan mempunyai
pelbagai nilai ubatan. Namun masih banyak lagi tumbuh-tumbuhan yang belum
diterokai dari segi potensi ubatan dan nilai komersialnya. Tema MAPS-14 pada kali
ini, iaitu Penawar dari Alam Semulajadi: Trend dan Perspektif Semasa adalah
bertepatan dengan situasi semasa yang akan dibincangkan sepanjang tempoh dua
hari ini.

Dato-Dato/ Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

2) Penubuhan Bahagian Tumbuhan Ubatan di FRIM atas mandat kerajaan pada tahun
1995 bertujuan untuk menjadi pemangkin kepada industri herba negara dengan
menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi yang pada awalnya
memfokus kepada tumbuhan ubatan (termasuk herba) dan beraroma. Kini,
bahagian ini dinamakan Bahagian Hasilan Semula Jadi kerana penilaian ubatan dan
juga pengenalpastian potensi serta penghasilan produk-produk kesihatan daripada
sumber biologi bukan sahaja berasaskan tumbuh-tumbuhan (herba dan bukan
herba) tetapi juga mikro-organisme (aktinobakteria dan kulat). Ini merupakan
langkah baru FRIM untuk membantu meningkatkan keupayaan dan pendapatan
kerajaan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam era bioekonomi
ini.

Dato-Dato/ Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,


3) Industri herba telah dikenal pasti sebagai salah satu sumber yang boleh membantu
melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara di bawah bidang Ekonomi Utama
Negara (NKEA) dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP). Dasar Bioteknologi
Negara turut menggariskan sektor pertanian herba sebagai salah satu initiatif atau
pemacu bioekonomi negara.

Di Malaysia, permintaan dalam pengeluaran ubat-ubatan tradisional semakin


meningkat dan nilai produk herba adalah dianggarkan lebih daripada RM 4.5 bilion
setahun. Manakala pasaran antarabangsa hasilan semula jadi diunjurkan berjumlah
RM2.33 trilion pada tahun 2020. Pasaran antarabangsa ini bukan sahaja
memasarkan ubat-ubatan tradisional tetapi produk berasaskan herba yang bernilai
tinggi (termasuk esktrak piawai atau ramuan aktif, produk suplemen, fitoubatan dan
lain-lain yang dibangunkan dengan teknologi terkini dan disokong dengan data-data
R&D).

Anjakan paradigma amat diperlukan dalam industri herba Malaysia bagi penghasilan
produk herba bernilai tinggi untuk menembusi pasaran antarabangsa ini.
Pembangunan industri herba yang bernilai tinggi di negara kita memerlukan
komitmen daripada pelbagai pihak. Selaras dengan hasrat dan aspirasi ini, FRIM
memainkan peranan dalam R&D dan menjadi rujukan bagi bidang herba dan hasilan
semula jadi daripada peringkat huluan ke hiliran, termasuk pengurusan sumber
biologi, penghasilan bahan mentah berkualiti, penggunaan teknologi pemprosesan
lepas tuai, penilaian bioefikasi dan penilaian terapeutik pelbagai spesies tumbuh-
tumbuhan, pengesktrakan, pemprofailan dan pemencilan sebatian penanda kimia
serta pembangunan dan pengilangan produk herba.
Stesen Penyelidikan FRIM di Maran, Pahang merupakan salah satu
sumber rujukan bagi penanaman sekurang-kurangnya 20 spesies tumbuhan
herba seperti tongkat Ali, kacip Fatimah, hempedu bumi, mas cotek, misai
kucing, legundi, patawali, limau nipis, limau purut, patawali, kalampayan dan
asam gelugor. Stesen ini mengamalkan pengurusan dan penanaman herba
melalui Amalan Perladangan Baik (GAP) ke arah meningkatkan produktiviti
bahan tanaman dan penghasilan produk berkualiti. FRIM juga telah memperoleh
Sijil Skim Organik Malaysia (SOM) bagi penanaman patawali dan usaha ini akan
diperkembangkan untuk spesies herba yang lain pada masa akan datang.
Sebagai agensi di bawah NRE, FRIM turut terlibat dalam konservasi ex-situ
tumbuhan ubatan dan beraroma, iaitu FRIM mempunyai koleksi lebih daripada
200 spesies herba di Taman Etnobotani, dan 1,150 baucer spesimen tumbuhan
ubatan beraroma yang boleh dirujuk. Usaha ke arah menghasilkan klon elit atau
baka bermutu juga telah dimulakan bagi kacip Fatimah dengan mengadakan
koleksi germplasma spesies tersebut.

Bagi hasil penyelidikan FRIM pula, sehingga kini FRIM mempunyai koleksi
hasilan semulajadi sekurang-kurangnya 1090 ekstrak tumbuhan herba, 35
ekstrak piawai, 200 minyak pati, 145 sebatian kimia dan 10,000 kultur
aktinobakteria yang telah terkumpul. Ekstrak-ekstrak ini kebanyakannya telah
diuji potensi aktiviti terhadap beberapa penyakit sasaran seperti anti-oksidan,
anti-mikrob, anti-diabetik, anti-inflammatori, anti-kanser, anti-kolesterol,
biopestisidal dan anti-protozoa menggunakan fasiliti (di peringkat in vitro, in vivo
dan in siliko) di makmal-makmal FRIM. Terdapat sekurang-kurangnya 25 bioesei
yang boleh dijalankan oleh pihak FRIM. Oleh itu, FRIM mengalu-alukan
kerjasama dalam bentuk perkongsian pintar untuk memajukan hasilan
semulajadi yang berpotensi ini agar dapat digunakan dalam penjagaan kesihatan
atau pencegahan penyakit-penyakit tertentu, serta pihak-pihak yang mempunyai
inisiatif dalam memberi dana penyelidikan dan pembangunan.

Pusat Teknologi Herba FRIM berstatus GMP turut membantu industri


herba dan pemakanan dalam menyediakan khidmat nasihat dan pemprosesan
herba untuk penghasilan produk berkualiti. Lebih daripada 200 perkhidmatan
pemprosesan herba telah dijalankan sehingga kini.
4) Kawalan kualiti produk herba memainkan peranan penting dalam menyokong
penghasilan produk berkualiti dan selamat untuk dipasarkan sama ada di dalam
atau luar negara.
Sayugia itu, FRIM telah mula mengorak langkah untuk memantapkan makmal-
makmal ujian termasuk meningkatkan taraf dan akreditasi makmal. Empat
makmal di Bahagian Hasilan Semula Jadi telah memperoleh taraf BioNexus
sejak tahun 2011 iaitu satu pengiktarafan terhadap kredibiliti makmal-makmal ini
dalam menjalankan ujian mengikut piawaian yang ditetapkan. Makmal-makmal
ini adalah:
o Makmal Fitokimia
o Makmal Farmakognosi
o Makmal Pembangunan Herba
o Makmal Teknologi Herba
Terima kasih kepada Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn. Bhd.
kerana penganugerahan status tersebut.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah menetapkan beberapa garis panduan


bagi pihak yang menghasilkan dan memasarkan produk-produk berasaskan
herba. Selaras dengan itu, 14 skop ujian kawalan kualiti yang ditawarkan oleh
Makmal Natural Product Quality Control FRIM di dalam bidang mikrobiologi
dipastikan patuh kepada akreditasi MS/ISO 17025 yang diperoleh sejak tahun
2013 daripada Jabatan Standard Malaysia. Ujian-ujian ini penting bagi
memantau kualiti produk herba dan antara lain merangkumi ujian beban mikrob
dan pengesanan mikrob serta kimia iaitu ujian logam berat.

FRIM turut menyahut cadangan pihak Kementerian dalam menjadi badan


autentikasi dan pensijilan bahan mentah herba. Rang Undang-Undang baharu
FRIM 2016 (RUU FRIM) telah dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen pada
April 2016 dan telah diwartakan pada 1 Oktober 2016. Penggubalan RUU
ini membolehkan FRIM menjana pendapatan melalui komersialisasi produk R&D
serta penubuhan syarikat milikan FRIM. Akta FRIM ini juga diharap dapat
menyokong kemajuan bidang penyelidikan, pembangunan dan komersialisasi
hasil penyelidikan dalam sektor perhutanan huluan atau hiliran negara agar
dapat menyumbang kepada pengurusan sumber asli secara mapan serta
menjana pertumbuhan ekonomi negara.

5) Satu kajian rantaian nilai industri herba telah dilakukan sejak tahun 2011 untuk
mendapatkan maklumat-maklumat asas dan isu yang timbul bagi membantu
menaiktaraf industri herba di Malaysia. FRIM telah memulakan kajian berkenaan
bekalan sumber bahan mentah tumbuhan ubatan dan beraroma di Semenanjung
Malaysia, diikuti dengan satu bancian ke atas industri herba pada tahun 2014-2015.
Kajian ini mengumpul maklumat daripada pembekal, penanam, pengilang,
pemborong dan peruncit; dan sebanyak 6,570 pemain industri dalam rantaian nilai
industri herba telah dikenalpasti. Berikutan itu penerbitan berjudul Directory of
Herbal Cultivators in Peninsular Malaysia telah diterbitkan.

6) FRIM juga terlibat dalam pemindahan teknologi melalui kursus-kursus yang


dianjurkan kepada pihak luar dari semasa ke semasa, seminar (seperti MAPS ini)
dan juga perkongsian pintar melalui kolaborasi dengan pihak industri, akademik dan
pihak yang berkepentingan. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, seramai
275 orang usahawan herba telah dilatih. Pemindahan teknologi ini dilakukan bagi
membantu industri herba dalam meningkatkan mutu produk masing-masing.

Program Teknousahawan FRIM-MARA merupakan usahasama antara FRIM dan


Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) MARA bagi membantu industri herba
meningkatkan mutu produk yang dihasilkan. Pemindahan teknologi telah dilakukan
oleh FRIM dalam siri pertama pada tahun 2012 dan Program Teknologi Herba siri
kedua pada tahun 2014. Program Simbion Bioherba adalah program tambahan
dalam kerjasama ini.

Produk-produk yang dihasilkan bagi Program Teknologi Herba adalah di bawah


kategori ubatan tradisional, kosmetik dan minuman yang berasaskan herba-herba
terpilih; asam gelugor, tunjuk langit, labu serta bidara. Manakala bagi Program
Simbion Bioherba, beberapa rangkaian produk dan teknologi telah dihasilkan,
seperti, rangkaian produk jagaan diri berantiseptik dan mesra alam, rangkaian
produk herba untuk penjagaan ibu bersalin, biskut serat berkhasiat serta teknologi
pengekstrakan entiti polisakarida daripada herba terpilih.

Bersempena majlis perasmian ini, produk-produk dan prototaip yang terhasil akan
dilancarkan. Manakala penyampaian sijil juga akan dilakukan sebentar lagi kepada 8
syarikat ini. Tahniah diucapkan kepada mereka. Diharap program ini akan
melahirkan lebih ramai usahawan herba dengan produk yang lebih berkualiti di
samping memenuhi piawaian yang telah ditetapkan serta mampu menembusi
pasaran di peringkat global.

Dato-Dato/ Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

7) Kesedaran mengenai potensi dan penghasilan produk bernilai tinggi berasaskan


hasilan semula jadi termasuk herba daripada sumber hutan kita yang mempunyai
ciri-ciri Berkualiti, Selamat dan Berkesan perlu diterapkan bukan sahaja kepada
pihak industri kecil dan sederhana, namun juga kepada industri farmaseutikal
negara yang masih memfokus ke arah penghasilan ubatan generik. Terdapat
sekurang-kurangnya 1200 spesies tumbuhan bernilai ubatan berdasarkan
pengetahuan tradisi di dalam hutan Malaysia yang masih belum diterokai
sepenuhnya.

8) Sehubungan dengan itu, seminar MAPS ke-14 kali ini telah dibahagikan kepada lima
sesi iaitu (1) Etnobotani, Agronomi dan Pemuliharaan, (2) Penemuan Hasilan
Semula Jadi, (3) Pemiawaian, Kawalan Kualiti dan Teknologi Pemprosesan, (4) Pra-
klinikal, Klinikal dan Pembangunan Produk dan (5) Pemasaran, Perdagangan,
Potensi Perniagaan dan Legislasi. Terdapat 23 kertas kerja yang akan dibentangkan
secara oral daripada 15 penceramah jemputan dan 8 pakar dalam bidang masing-
masing; manakala 45 kertas kerja dipamerkan sebagai poster. Semoga maklumat
yang diperoleh daripada pembentangan-pembentangan tersebut memberi manfaat
kepada kita dan selain membuka peluang untuk bertukar-tukar pendapat dan
menjalinkan jaringan kerjasama dalam bidang tersebut.

9) Sebagai mengakhiri ucapan, saya mengambil kesempatan untuk merakamkan


setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan
MAPS-14 ini. Semoga kerjasama yang terjalin untuk menjayakan seminar ini serta
aktiviti-aktiviti lain bagi membangunkan industri herba dan hasilan semula jadi di
Malaysia dapat memberi impak yang lebih tinggi di masa akan datang.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai