Anda di halaman 1dari 4

Kelebihan 10 hari-hari pertama Zulhijjah

Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10 malam-malam terakhir


Ramadhan. Tetapi adakah ramai di kalangan umat kita yang maklum
kelebihan 10 hari-hari pertama dalam bulan Zulhijjah?

Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a


bahawa Nabi s.a.w bersabda bermaksud, Tiada suatu hari pun,
amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada
hari-hari ini iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda
bertanya, Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan
hari-hari tersebut)? Ujar baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah
kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan
tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan
untuk memenangkan agama Allah).

Imam Ahmad r.a. meriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah
s.a.w bersabda, Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya
mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini,
oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa
Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa
Baginda s.a.w bersabda, Seutama-utama hari adalah hari Arafah.

Amalan yang dianjurkan padanya:

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik


amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya:
Sabda Nabi s.a.w.: Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan
(dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima)
tiada baginya balasan melainkan syurga.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya


terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di
antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang
dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, Puasa itu adalah bagiKu dan
Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya,
makanan dan minumannya semata-mata keranaKu.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah


s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan
menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang
mendatang.Puasa ini adalah bagi mereka yang tidak berwuquf di padang
Arafah.
3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang
bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa
hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di
bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya
diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum
hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya,
Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah),
takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah).

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan


amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana
maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari
rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya
Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat


tambahanseperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru
kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana
semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai
oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang
besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan
yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu
melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh
(binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu
siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu
yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari
waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya
takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya
berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari


raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan
sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah
menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan
seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi


s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan
ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan),
hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan
kukunya. Di dalam riwayat lain: Maka janganlah dia memotong rambut
dan kukunya sehinggalah dia berkorban.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi


mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari
kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan
janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan
(yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu
sampai ke tempatnya).

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus
kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri
dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan
seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan
menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara


berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya
mendapat pengajaran daripadanya.

Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia


merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan.
Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan
kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan,
pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada
terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah,


berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya,
mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan
keampunan-Nya.

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,


Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku

Me says: untuk students contohnya, jika seorang guru berkata: "siapa


nak dapat semua A dalam peperiksaan akhir tahun nanti, buatlah apa
yang saya suka depan saya, jangan buat mende yang saya tak suka.
Nanti saya bagi kamu free 'A' dalam exam." pasti semua pelajar akan
mula buat apa yang cikgu tersebut suka depan cikgu tu dan juga
menjauhi apa yang cikgu tersebut tak suka.
Begitulah perumpamaannya 10 hari-hari terawal Zulhijjah ini. Amal-amal
soleh pada tempoh ini adalah amal yang terbaik berbanding hari-hari lain.
Adakah kita dapat melihat kelebihan-kelebihan ini? Atau pandangan
menjadi kabur akibat tabir dunia?

Muhasabahlah...truly, we have no reason at all untuk melepaskan


kelebihan-kelebihan ini kerana kita hidup untuk akhirat. Mari beramal!!

Anda mungkin juga menyukai