Anda di halaman 1dari 31

Huraikan Masalah Sosial Yang Di Kesan Di Kalangan Pelajar

1.0 Pengenalan

Banyak yang telah kita dengar tentang gejala sosial. Berbagai gejala sosial telah melanda masyarakat
kita dan aktiviti yang terlibat begitu pelbagai sekali baik yang dilakukan oleh remaja mahupun orang
dewasa. Namun, oleh kerana golongan remaja dan pelajar merupakan bakal pewaris negara, maka
kegiatan merekalah yang hangat diperkatakan dan mendapat perhatian daripada segenap lapisan
masyarakat. Media massa seringkali menyiarkan pelbagai berita dan cerita tentang kenakalan
remaja yang masih bersekolah dan pelbagai masalah sosial yang melanda mereka ini. Melihat
kepada masalah sosial dan perbuatan jenayah membabitkan pelajar dan remaja benar-benar
membimbangkan kita.

Pada peringkat pelajar dan remaja, seseorang individu mengalami perubahan yang amat pesat
sekali, sama ada dari segi fizikal, emosi mahupun sosial. Pada zaman inilah para remaja mula
terdedah kepada alam luas di luar rumah, malah persekitaran ini sudah merupakan rumah kedua
kepada mereka. Remaja juga belajar banyak perkara yang tidak semuanya datang dari ibu bapa
tetapi kebanyakannya daripada persekitaran sosial yang mana ia membesar. Pada tempoh-tempoh
inilah para remaja mula mengubah tingkah laku, sikap, dan nilai, malahan seluruh cara hidup
daripada alam kanak-kanak kepada alam yang lebih matang dan dewasa (Bettelheim, 1950).

Mereka bukan sekadar nakal dengan menghisap rokok, bergaduh sesama sendiri atau berkelakuan
tidak senonoh malah gejala seperti membuang bayi, ponteng sekolah , lari dari rumah , seks bebas
serta serta lagi melepak tidak memeranjatkan kita.. Mereka kini sudah berani melakukan perbuatan
jenayah berat seperti menganggotai kumpulan samseng seperti kumpulan gengsterisme ,
membunuh, samun tanpa senjata api mahupun dengan senjata api, merogol, pelacuran, judi,
vandalisme penyalahgunaan dadah , minum minuman keras, terbabit video lucah dan sebagainya.
Keadaan seperti ini bukan sahaja berlaku disekolah bandar dan di pinggiran bandar, malah disekolah
luar bandar. Pelajar yang sering melanggar disiplin atau salah laku sekolah digelar pelajar devian.

2.0 Teori Punca Salah Laku Dan Masalah Sosial Pelajar


Terdapat beberapa penjelasan mengenai punca devian. Teori fungsionalisme menganggap devian
sebagai disfungsi pada struktur sosial. Teori konflik mengatakan devian merupakan tindakan
golongan tertindas terhadap pihak minoriti yang menindas. Teori subbudaya dan deprivasi status
pula berpendapat devian berpunca daripada budaya kumpulan yang berbeza dengan budaya
masyarakat besar. Deprivasi selalu berpunca daripada kekurangan ekonomi dan kelemahan emosi.
Remaja terutamanya daripada latar belakang kelas sosial rendah yang tidak berjaya dalam akademik
mengalami kekecewaan dan tekanan status lalu bertindak melakukan devian.

Teori interaksionisme melihat devian sebagai sesuatu yang subjektif dan merupakan suatu proses
sosial. Pelajar sengaja memilih tingkahlaku tertentu mengikut kemahuan mereka yang sesuai dengan
cara mereka menginterpretasi sesuatu. Kajian Tattum (1986) mendapati bahawa pelajar sengaja
melakukan devian sebagai teknik neutralisasi dalam interaksi mereka. Menurut Merton (1938)
terdapat empat jenis devian iaitu inovasi (suatu cara memenuhi matlamat dengan cara yang salah),
ritual (tindakan mengulang perbuatan), undur (seseorang yang tidak lagi berminat dengan
matlamatnya lalu melakukan alternatif lain sebagai tindakan ) dan menentang (menolak matlamat
persekolahan dan menggantikannya dengan matlamat lain).

3.0 Masalah-Masalah Sosial Pelajar

3.0.1 Seks Bebas Dan Jenayah Seksual

Seks bebas dan jenayah seksual di kalangan pelajar kini semakin menular dan membimbangkan kita
terutamanya pelajar di kawasan bandar dan kota. Apa yang menyedihkan kita ialah penglibatan
mereka mula dikesan seawal usia 13 tahun ketika mereka mereka berada di tingkatan satu dan dua.
Seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah mendedahkan bahawa beliau menemui kondom
yang disimpan dalam beg oleh pelajar wanita di sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Kondom itu ditemui ketika pemeriksaan mengejut dilakukan di sekolah tersebut Peningkatan
pembabitan remaja perempuan dalam aktiviti maksiat juga adalah satu lagi petanda bahawa
keruntuhan akhlak remaja di Malaysia bertambah serius.

Seorang lagi guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur mendedahkan bahawa beliau pernah membuat
tinjauan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada waktu malam dan merasa sungguh terkejut kerana
mendapati pelajarnya, lelaki dan perempuan meneguk minuman keras tanpa segan silu di khalayak
ramai. Beliau juga mendedahkan terdapat seorang pelajar wanita di sekolahnya terlibat dalam
pengedaran pil ecstasy. Pelajat terbabit kerap ponteng sekolah dan apabila disiasat , pihak sekolah
mendapati pelajar itu adalah ketua pengedar pil ecstasy di sekolah itu.

Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, jenayah seksual di
kalangan pelajar terutamanya di sekitar Kuala Lumpur semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Di
antara jenayah seksual yang mereka lakukan seperti mencabul kehormatan , merogol dan juga
pelacuran . Mangsa yang dicabul oleh mereka bukan sahaja pelajar wanita tetapi juga wanita-wanita
dewasa. Selain jenayah seksual, beliau mendedahkan mengenai masalah seks rambang, hamil luar
nikah dan pelacuran dikalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurutnya, sehingga bulan Jun tahun ini, seramai 141 gadis bawah umur berjaya diselamatkan
daripada kancah pelacuran dan kegiatan seks haram di seluruh negara dan sepanjang tahun lalu pula
seramai 230 remaja bawah umur yang terlibat berjaya diselamatkan dan dihantar ke pusat
pemulihan akhlak.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seks oral dibawah meja di bilik darjah oleh empat orang
murid tahun dua di sebuah sekolah rendah di Taiping. Hasil siasatan guru-guru, didapati bahawa
seorang daripada murid itu mengulangi apa yang yang dilihatnya dalam sebuah filem lucah,
bersama-sama ibu bapanya pada malam sebelumnya. Di sebabkan oleh sebab sifat ingin tahu, dia
meminta rakan-rakannya untuk mencubanya di bawah meja selepas guru mereka meninggalkan bilik
darjah.

Namun apa yang sangat menyedihkan ialah sikap ibu bapa itu sendiri yang sanggup mendedahkan
anaknya kearah gejala sosial dengan menonton video lucah bersama-samanya. Bagaimanakah ini
boleh terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini ? Apakah faktor yang menyebabkan berlakunya
semua ini ? Adakah anak yang perlu dipersalahkan atau ibu bapa yang tidak berakhlak yang perlu
dipersalahkan? Ibu bapa hendaklah menjadi pemangkin dan contoh teladan yang baik bagi anak-
anak kerana pengaruh media massa pada zaman ledakan maklumat dan lambakan bahan-bahan
lucah seperti majalah dan VCD lucah amat mudah mempengaruhi tingkah laku anak-anak dan para
pelajar.
Remaja dan pelajar merupakan golongan pewaris kepimpinan hari ini dan penerus wawasan negara.
Kepesatan pembangunan ekonomi dan teknologi telah memberikan kesan kepada pembangunan
sosial dan insaniah para pelajar. Minda mereka menjadi lebih terbuka dan bebas. Salah satu
daripada gejala yang berlaku pada masa kini ialah masalah penyalahgunaan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) di kalangan remaja.

Aktiviti seperti "Lepak Siber", melayari halaman lucah dan hiburan keterlaluan, penyebaran fitnah
dan sebagainya merupakan gejala negatif yang semakin menular di kalangan remaja. Justeru itu,
satu bentuk langkah pembendungan dan penyelesaian terbuka yang sesuai dengan minat dan
citarasa mereka ini perlu dilaksanakan agar mereka dapat mempertingkatkan potensi diri mereka
dan memanfaatkannya ke arah yang lebih positif.

3.0.2 Samseng Dan Gengsterisme

Gejala samseng atau gengsterime di sekolah menengah di seluruh negara juga semakin
membimbangkan. Mereka ternyata semakin berani mencabar undang-undang dan tidak takut
melakukan kesalahan jenayah termasuk menggunakan senjata merbahaya. Berita Harian , 12 Julai
2001 lalu melaporkan dalam tempoh 10 tahun antara 1989 hingga 1998 kadar jenayah membabitkan
remaja lelaki dan pelajar meningkat sebanyak 35 peratus dan 25 peratus bagi remaja perempuan.
Kemeterian Pendidikan dengan kerjasama polis telah mengenal pasti pelajar di 456 sekolah
menengah di seluruh negara terdedah kepada kegiatan samseng. Angka ini bukan sedikit dan
menunjukkan gejala ini ini berada pada tahap membimbangkan.

Kalau kita menyorot kembali gejala ini, kita akan diperlihatkan kepada pembabitan pelajar dalam kes
jenayah berat seperti membunuh, merogol, menyamun, mengugut dan kes pukul. Terdapat juga
pelajar yang terlibat dengan dadah, mabuk, memiliki senjata api menceroboh , judi dan membuli.

Peristiwa terbaru ialah kejadian membakar sekolah dan rumah guru yang dilakukan oleh pelajar
sekolah. Seawal belasan tahun pelajar sudah terjebak dengan jenayah ekstrem seperti membunuh ,
merogol dan menyamun. Mereka yang sudah menjinakkan diri dengan kes seperti mencuri
motosikal, pecah rumah dan memukul orang, tidak mustahil akan terbabit dengan jenayah berat
seperti membunuh, sindiket senjata api , pengedaran dadah dan juga rompakan senjata api.
Mengikut laporan Menteri Pendidikan semasa persidangan di Parlimen, statistik kesalahan
membunuh, merompak, merogol dan dadah yang dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah menengah
di seluruh mengikut negeri-negeri dari tahun 1999 hingga tahun 2000 dan pertengahan tahun 2001
ialah 12 kes bunuh, 123 kes rogol dan 51 kes samun dan rompakan.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya gejala-gejala tersebut seperti faktor rumah
tangga, sekolah, persekitaran, media massa dan diri pelajar itu sendiri. Ramai pelajar dan remaja
mudah terpengaruh dengan media yang memberikan ganjaran keseronokan dan mula tersesat
dengan meniru apa yang dilihat dan dibaca. Kewujudan media berteknologi tinggi mendedahkan
remaja kepada pelbagai budaya luar yang kebanyakannya merosakkan pemikiran mereka. Selain itu
rumah tangga yang porak peranda dan persekitaran yang tidak sihat juga menyumbang kearah
kelakuan tidak baik di kalangan remaja. Sekiranya ini berlaku pelajar atau remaja akan mengambil
jalan singkat dengan menjadikan perbuatan tidak sihat sebagai jalan keluar kepada permasalahan
mereka.

3.0.3 Ponteng Sekolah

Senario ponteng sekolah bukanlah merupakan masalah sosial yang baru di kalangan pelajar sekolah
di negara kita. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan pelajar
terbabit dengan gejala itu agak membimbangkan iaitu 32092 orang pada tahun 1993, 154305 (1995)
dan 80937 pada 1997. Pelajar sekolah menengah, terutama di peringkat usia antara 14 hingga 15
tahun dikenal pasti sebagai kumpulan majoriti yang terbabit dengan gejala ponteng. Daripada
keseluruhan pelajar yang dikenal pasti terbabit dengan masalah ponteng, kira-kira 97 peratus adalah
dari kalangan pelajar lelaki dan baki 3 peratus adalah pelajar perempuan.

Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan , Datuk Mahadzir Mohd Khir, masalah
ponteng lebih ketara berlaku di kalangan pelajar peringkat menengah iaitu tingkatan dua dan tiga
terutama mereka yang bersekolah di kawasan bandar dan sekolah di pinggir bandar.

Di antara faktor-faktor yang menyumbang kearah berlakunya gejala ponteng di kalangan pelajar
sekolah ialah tiadanya minat atau motivasi untuk ke sekolah, tiada kesedaran betapa pentingnya
ilmu pengetahuan , pengaruh persekitaran seperti melepak di pusat hiburan, pusat membeli belah,
melayari internet di kafe siber dan terikut-ikut atau terpengaruh dengan rakan sebaya.
Sesungguhnya gejala ponteng sekolah adalah masalah serius yang perlu diberi perhatian.dengan
mengambil pendekatan bersepadu dengan mengesan punca pelajar terbabit dengan gejala itu dan
kaedah yang berkesan untuk menanganinya.

3.0.4 Black Metal

Saban hari bilangan remaja yang terjebak dengan gejala sosial kian meningkat. Yang lebih
menyayatkan adalah gejala ini seolah-olah epidemik atau wabak yang menjangkiti remaja melayu
babak demi babak, peringkat demi peringkat dan yang terakhir dan masih terasa bahangnya ialah
masalah Black Metal dan kini Pink Metal. Semua ini sebenarnya adalah masalah lama yang diberi
manifestasi baru kerana kelekaan sendiri. Masalah Black Metal misalnya merupakan masalah
masyarakat yang telah membelakangkan adab dan budayanya sendiri sehingga wujud satu
kekosongan atau vacum yang kaku dan bisu. Kegiatan Black Metal adalah suatu kegiatan yang
mempunyai unsur pemujaan dan penyembahan syaitan malah ada pengikut mereka yang sudah
meminum darah kambing sebagai tanda setia kepada kumpulan mereka.. Hasil daripada siasatan,
polis mendapati 10 pelajar dari sebuah sekolah menengah di Parit Buntar mula terbabit dengan
kumpulan Black Metal sejak 1999. Ada diantara pelajar berkenaaan terbabit dalam upacara
membakar ayat Al Quran dan mengikuti upacara yang diketuai `tok guru` yang berselubung hitam.

Akibat dari ketandusan aqidah , pelajar Islam mula terpengaruh dengan agenda Yahudi dengan
menafikan tauhid Uluhiyyah. Adalah menjadi perkara yang sangat menyedihkan dan mengecewakan
apabila terdapat golongan pelajar Islam di negara ini yang terpengaruh dengan budaya yang kurang
sihat ini. Ilmu dan pengajaran daripada simpulan bahasa dan perumpamaan melayu misalnya, tidak
langsung mendapat tempat sebagai pegangan hidup kita.

Membenteras gejala negatif ini merupakan tanggungjawab sosial semua pihak dari seluruh anggota
masyarakat. Usaha ini memerlukan kerjasama yang padu di kalangan anggota masyarakat. Dengan
komitmen, kesungguhan dan keikhlasan semua pihak, gejala ini akan dapat ditangani dengan
sebaiknya, tanpa kita membebankan mana-mana pihak.
3.0.5 Dadah, Merokok dan Lari Dari Rumah

Penglibatan pelajar sekolah di negara kita dalam kes merokok, dadah, lari dari rumah dan judi
bukanlah perkara yang baru. Bagi kesalahan menyalahgunakan dadah yang dilakukan oleh pelajar
sekolah bagi tahun 1999 ialah sebanyak 328 kes manakala bagi tahun 2000 ialah sebanyak 448 kes.
Diantara jenis-jenis dadah yang dikesan dikalangan pelajar ialah ganja, heroin, pil ectasy, menghidu
gam, meminum ubat batuk dan lain-lain bahan yang mempunyai kesan-kesan dadah. Akhbar Utusan
Malaysia yang bertarikh 25.08.2000 melaporkan bahawa 10 orang pelajar ditahan dalam serbuan
polis yang disyaki ponteng dan menghidu gam.

Masalah merokok di kalangan pelajar pula semakin bertambah bilangannya dari sehari ke sehari.
Akhbar Berita Harian bertarikh 30.03 1998 melaporkan terdapat lebih 7000 murid tahun 4 telah
merokok diseluruh negeri. Terdapat beberapa sebab pelajar merokok seperti ingin menonjolkan
emej yang hebat dan kedewasaan, ingin mencuba, dan mengikut tingkah laku ibu bapa , pengaruh
rakan sebaya dan iklan serta mudah diperolehi di pasaran. Manakala satu lagi kesalahan yang selalu
melibatkan para remaja ialah lari atau hilang dari rumah. Statistik untuk tahun-tahun kebelakangan
ini menunjukkan remaja yang lari atau menghilangkan dari rumah semakin membimbangkan
Masalah ini mungkin akan menyebabkan wujudnya masalah yang lebih besar apabila mereka
menghadapi kesulitan hidup setelah dari dari rumah seperti terlibat dalam pelacuran, pelayan di
kelab malam atau disco dan sebagainya.

4.0 Penutup

Melihat kepada permasalahan dan gejala sosial yang melanda para pelajar dan remaja kita pada hari
ini amatlah mencemaskan. Tindakan untuk mengawalnya sudah sampai ke tahap yang dianggap
terdesak. Pertaruhannya adalah masa depan negara dan generasi Malaysia. Walaupun sudah banyak
kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak mengenai sikap dan tingkahlaku pelajar dan remaja tetapi
kajiannya lebih bersifat tujuan akademik dan tertumpu kepada punca masalah dan biasanya bersifat
umum sahaja. Di sebabkan terlalu banyak punca yang diramalkan, tindakan untuk membendung
masalah tidak lagi berfokus.
Meskipun ada cadangan mengenai cara mana mengatasi masalah, namun ia hanya berakhir di meja
perbincangan, forum atau seminar. Memang ada program yang dirangka untuk remaja dan pelajar
tetapi ianya hanya memberi manfaat kepada segelintir mereka sahaja dan lebih bersifat komersial.
Ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat perlulah berganding bahu dan bekerjasama dalam memikul
tanggungjawab mendidik anak-anak dan para pelajar. Sebagai masyarakat mikro, sekolah sepatutnya
mempunyai ciri-ciri yang ada dalam masyarakat makro. Oleh itu adalah wajar supaya pelajar
didedahkan akan kesan buruk dalam masyarakat malalui interaksi mereka di sekolah. Kerajaan juga
perlu melancarkan satu kempen yang menyeluruh untuk menyedarkan remaja dan pelajar supaya
menghindarkan diri dalam apa jua bentuk gejala buruk yang boleh merosakkan diri dan nama baik
keluarga mereka. Golongan ini juga perlu didedahkan dengan pengetahuan undang-undang agar
mereka gementar dengan hukuman.

Pelajar dan remaja adalah kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan masa depan negara.
Mereka adalah aset kekayaan semulajadi yang bakal memegang peranan penting dalam politik,
ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini. Namun demikian, masalah akhlak di kalangan remaja
adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia yang akan merugikan negara
dalam jangka masa panjang. Oleh itu segala masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja harus
dibendung dan di atasi supaya ia tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap aset yang tidak
ternilai ini.

Masalah Sosial di Kalangan Remaja Kini Makin Meruncing

Pengenalan

Berbagai ragam krisis akhlak dan moral kini terus menular, merebak dan mewabak dalam
masyarakat kita khasnya di kalangan remaja. Daripada kes bosia, hamil luar nikah yang diikuti
dengan pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalisme, rogol,
sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit.

Pelbagai kes jenayah berlaku turut melibatkan kes Juvana. Dalam tahun 1995 ,1,895 kes melibatkan
Juvana. Daripada jumlah itu 406 kes curi kenderaan atau (21.42 peratus), lain-lain kecurian 451 kes
(23.80%), pecah rumah malam hari 324 kes (17.10%), curi dalam bangunan/orang gaji 277 kes
(14.62%), mendatangkan kecederaan 154 kes (8.13%), pecah rumah siang hari 148 kes (7.81%), rogol
70 kes (3.70%) dan samun 58 kes (3.06%). Perangkaan-perangkaan yang menggerunkan ini
menyerlahkan kepada kita betapa seriusnya krisis akhlak yang melanda remaja di negara kita ketika
ini.
Ternyata bahawa pendidikan moral kita dengan enam belas nilai teras, pendidikan sivik, pendidikan
Islam, pendidikan jarak jauh dan sebagainya; masih jauh untuk dapat menangani kegawatan dan
kemerosotan dalam bidang ini. Faktor-faktor tertentu seperti mencari kepuasan nafsu, ingin
membebaskan diri dari kemiskinan,kongsi gelap, dadah, bertelingkah dengan ibu bapa , gagal dalam
peperiksaan , bosan duduk di rumah, trauma akibat perbuatan seks dan sebagainya rupa-rupanya
lebih berpengaruh dari asuhan institusi pendidikan yang sedia ada.

Perkembangan akhlak seseorang boleh dibahagikan kepad tiga tahap :

a) Tahap awal kanak-kanak

b) Tahap pertengahan dan akhir kanak-kanak

c) Tahap baligh dan remaja

Peringkat pertama

Dalam peringkat ini kanak-kanak mula membentuk keyakinan kepada persekitarannya. Proses ini
amat bergantung kepada belaian ibu yang berterusan di mana ibu memenuhi keperluan emosi dan
fisiologinya. Hubungan ibu dan anak dalam peringkat ini perlulah dijaga dan perkukuhkan sehingga
kanak-kanak mempunyai keyakinan kepada lingkungan dan alam sekitarnya. Anak-anak yang tidak
memperolehi perhatian serta kasih sayang ibu dalam tahap ini perkembangan emosional dan
fizikalnya mungkin akan terbantut. Anak tersebut kelihatan lebih kecil dari umurnya yang sebenar.

Dalam peringkat 18 bulan hingga 3 tahun kanak-kanak mula beralih daripada bersandarkan kepada
ibu semata-mata. Kanak-kanak mula membentuk keperibadiannya tersendiri, di mana ia bertarung
untuk memastikan pilihannya sendiri. Dalam peringkat ini ibu wajar memberikan penuh perhatian.
Kegagalan kanak-kanak tersebut dalam merealisasikan kemandiriannya menyebabkannya ia akan
ragu terhadap dirinya serta kurang yakin dengan kemampuannya sekaligus mengakibatkan
berkurangnya keyakinan kepada orang lain. Anak-anak akan bersifat malu dan merasa serba
kekurangan.

Keupayaan anak-anak untuk mandiri serta merasakan kewujudan dirinya yang tersendiri cukup
penting dalam peringkat ini. Dalam tahap inilah berkembangnya sifat-sifat personal seperti sayang,
benci, ego serta kebebasan untuk mengungkap perasaan. Dalam peringkat umur 3 hingga 6 tahun
kanak-kanak tersebut terus mengembangkan kemandirian dengan kegiatan yang lebih meluas; di
mana mereka lebih aktif bergerak, mempunyai tahap prihatin yang lebih tinggi, banyak bertanya dan
bercakap. Ibu bapa dan pengasuh wajar mengarahkan kanak-kanak dengan bijak agar mereka
memperoleh kemahiran-kemahiran mengatur dan menyusun sesuatu sehingga kanak-kanak berjaya
melaksanakannya. Layanan yang kasar serta kekerasan yang berlebihan boleh menjejaskan jiwa,
mental dan fizikal kanak-kanak.

Ibu bapa tidak wajar menganggap kanak-kanak pada peringkat ini seperti orang tua dalam erti kata
meletakkan tanggungjawab moral dan akhlak terhadap perbuatan dan reaksinya kerana kanak-kanak
masih belum mampu membezakan dengan tepat dan memahami sesuatu. Mereka hendaklah
dikasihi, diperlakukan secara lemah lembut dan sikap toleransi. Rasulullah S.A.W. sendiri pernah
menunjukkan sifat-sifat yang demikian. Abu Qatabah meriwayatkan pada suatu hari Nabi keluar
menemui kami. Beliau mendokong Umamah Abu 'Asr. Beliau bersembahyang sambil mendokong
Umamah, apabila Baginda ruku', beliau meletakkan dan apabila ia bangun ia dukung semula
Umamah. Hadis ini membayangkan betapa kasihnya Rasulullah kepada cucunya.Beliau tidak
memperlakukannya sebagai manusia yang mengerti segala-galanya.Beliau membenarkan anak
tersebut bersamanya ketika sembahyang walhal sembahyang itu adalah ibadah yang suci dalam
Islam.

Peringkat pertengahan dan akhir kanak-kanak

Dalam peringkat ini kanak-kanak mula memperluas arena hubungan sosial dan pergaulannya dengan
orang lain yang sekampung atau sesekolah atau juga rakan sebaya dengannya. Kanak-kanak mula
menyesuaikan diri dengan situasi dan kondisi baru dalam hidupnya. Ia mula membezakan perbuatan
dan jenis-jenis tindak tanduk yang disukai oleh orang lain atau sebaliknya. Ia gembira jika orang lain
puas dengan perbuatannya. Sebaliknya ia kecewa, menyesal jika orang lain marah kepadanya. Ini
adalah permulaannya yang betul bagi proses pembentukan akhlak yang luhur.

Perkembangan akhlak yang positif ini menyebabkan kanak-kanak selalu berusaha untuk
menyelaraskan antara kehendak dirinya dengan kehendak orang lain. Antara kecenderungan dan
motivasi dengan nilai agama, akhlak, tradisi, guru, peraturan dan undang-undang. Dalam peringkat
ini terteralah kesedaran tentang tanggungjawab akhlak dalam diri kanak-kanak sehingga ia mencapai
tahap perkembangan akhlak yang ke-3. Dalam peringkat ini ibu bapa dan guru perlu perihatin
kepada kecendurangan ini dan amat perlu diarahkan secara yang bijaksana sehingga kanak-kanak
dapat memperolehi model yang utama (role model) di samping mengembangkan kearah nilai-nilai
kebaikan.

Peringkat yang ketiga iaitu peringkat baligh dan remaja


Perkembangan akhlak pada masa ini mula berakar dan mantap. Fizikal kanak-kanak mula
berkembang dan membesar. Perkembangan ini diikuti oleh perkembangan sosioemosinya di mana
anak tersebut mula memperolehi keperibadiannya yang unik. Ia mula merasakan 'sense of
belonging' kepada kelompok yang lebih besar. Peringkat ini adalah peringkat yang amat komplikated
(rumit) dan ia disertai oleh pengalaman-pengelaman baru serta peranan dan peluang-peluang yang
baru. Menyerlahnya dorongan kejantinaan semakin merumitkan hubungannya dengan orang lain.
Keupayaan fizikalnya semakin kukuh dan mencapah. Tanggungjawab persekolahan ikut bertambah,
disiplin hidupnya mula terbentuk.

Kanak-kanak mula berubah menjadi manusia yang berupaya mengawal kehendak nalurinya. Ia mula
menundukkan diri kepada contoh utama yang telah terserap jauh dalam batinnya. Ia menjadikan
contoh utama tersebut sebagai kriteria dalam tingkah laku dan situasi yang bersifat moral. Ia akan
beriltizam dengan saranan-saranan dan contoh yang ditunjukkan sama ada wujud dalam bentuk
undang-undang, sistem, adat dan budaya sosial atau ketiadaannya.

Kesempurnaan perkembangan akhlak berkaitan dengan kesempurnaan perkembangan akal,


kejiwaan dan sosial. Huzaifah meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda : "Janganlah kalian menjadi
pak turut. Kalian menyatakan kalau orang lain buat baik kalian buat baik. Kalau mereka jahat kalian
buat jahat. Akan tetapi mantapkanlah pendirian kalian. Jika orang baik kalian wajar berbuat baik. Jika
mereka melakukan kejahatan janganlah pula kalian melakukan."

Pembentukan Akhlak Remaja Islam

Pembentukan akhlak di dalam Islam dimulai dengan pengukuhan akidah melalui ikrar bahawa tidak
ada Tuhan sebenarnya yang disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah Rasulullah. Bagi kanak-
kanak yang baru lahir pendedahan ini dimula dengan azan dan iqamat. Dalam peringkat berikutnya
kanak-kanak dilatih dengan budaya hidup beragama Islam oleh ibu bapanya . Apabila lidah anak-
anak sudah boleh bertutur mereka dilatih menyebut nama Allah dan beberapa ayat ringkas seperti:




( 111)

Dan katakanlah: "Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya
sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya;
dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh!"

atau doa kepada ibu bapa:




(24)
dan lain-lain.

Pengungkapan syahadat sebagai suatu proses pembangunan akhlak bergandingan dengan tujuh
syarat yang mustahak dipenuhi seperti mana yang disebutkan oleh Saikh Yusuf al-Badri:

a) Ilmu yang menafikan kejahilan

b) Kecintaan kepada Allah yang menafikan kecintaan kepada yang lainnya

c) Keyakinan yang menafikan keraguan

d) Penerimaan yang menafikan penolakan

e) Kepatuhan yang menidakkan keingkaran

f) Keikhlasan yang menafikan kesyirikan

g) Kejujuran yang menafikan sifat mendustakan atau sekadar berlakon.

Pemantapan kalimah tauhid ini bermakna pendidikan membentuk pemikiran, perasaan serta
penanaman nilai-nilai keimanan yang dinyatakan oleh Rasulullah sebagai 60 atau 70 lebih cabang
dalam diri umat Islam. Sesungguhnya kesedaran manusia tentang kewujudan, kebesaran, kekuasaan
dan keesaan Allah s.w.t. tentunya akan menimbulkan keperihatinan yang tinggi terhadap arahan-
arahanNya.

Dalam konteks yang sama, perkara utama yang perlu dilakukan oleh seorang muslim ialah
memastikan dirinya bersih dari kekufuran atau tanda-tanda kekufuran kepada Allah dan Rasulnya;
iaitu samada menafikan perkara-perkara asas agama, atau melakukan perkara-perkara yang
membatalkan syahadat. Kemudian, ia harus memastikan dirinya terlepas dari sifat-sifat
kemunafikan, samada yang bersifat tanggapan mahupun yang bersifat amalan. Kemunafikan dalam
tanggapan umpamanya, meyakini sesuatu yang bercanggah dengan hakikat Islam yang sebenar
walhal lidahnya mengatakan ia menurut Islam yang sebenar. Kemunafikan dalam amalan ialah
melakukan akhlak-akhlak orang yang munafik seperti tidak mematuhi janji, membiasakan diri
dengan berdusta dan bersifat khianat. Ia hendaklah memastikan dirinya bersih daripada kefasikan
atau penderhakaan kepada Allah. Tidak melakukan apa yang dilarang oleh Allah. Tidak menyalahi
perintah Allah. Manusia muslim mesti menghindarkan diri dari segala kejahatan ; lahir dan batin.

Pembangunan akhlak bermula dengan perlaksanaan :

1- solat.
2- zakat dan infak.

3- puasa.

4- haji.

5- membaca al qur'an.

6- zikir.

7- memikirkan penciptaan allah.

8- mengingati mati dan memendekkan angan-angan.

9- muraqabah, muhasabah, mujahadah dan mu'atabah.

10- jihad, amal makruf dan nahi mungkar.

11- dedikasi dan bersifat tawadduk.

12- mengenali tipu daya syaitan terhadap manusia serta menangkis dan menutup laluannya.

13- mengenal jenis-jenis penyakit hati serta mengetahui cara-cara merawatnya.

Bagaimana Membangunkan Akhlak Umat Islam

Menurut Syaikh Abdul Rahman al Midani; akhlak manusia memang boleh berkembang dan boleh
dibentuk dengan berbagai cara. Antara cara-cara tersebut ialah melalui:

a- Latihan Amali Dan Amalan-Amalan Menjernihkan Batin

Pendidikan akhlak tidak hanya melalui penjelasan mengenai nilai-nilai akhlak kepada masyarakat di
mana mereka boleh memilih dan menghargai nilai-nilai tersebut tetapi juga pendidikan akhlak boleh
dibuat berdasarkan latih tubi, perlaksanaan atau penghayatan yang berterusan umpamanya.
Walaupun di peringkat awal ia dilaksanakan kerana arahan atau tekanan dari luar, namun lama
kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dan tabiat. Manusia sememangnya berupaya memperolehi
akhlak atau sifat yang mulia melalui pendekatan ini. Rasulullah s.a.w. bersabda ( maksudnya ) :

"Suruhlah anak kalian bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka
kerana meninggalkannya ketika umur mereka ( menjangkau ) sepuluh tahun.
Seandainya sembahyang boleh dibiasakan sejak dari kecil , maka puasa, zikir dan tilawatul Qur'an
pun boleh diamalkan sejak dari kecil dan secara berterusan; sehingga menjadi amalan yang lazim
dan budaya hidup. Amalan amalan ini pastinya lambat-laun akan menjadi adat atau kebiasaan
seseorang.

b- Meletakkan Diri Dalam Lingkungan Persekitaran Yang Soleh

Persekitaran sosial dan budaya kerap mempengaruhi manusia. Persekitaran tersebut merangkum
tradisi, model tingkah-laku dan saranan serta rangsangan yang bersifat akhlak. Manusia memang
sering terpengaruh kepada persekitarannya; dengan cara meniru serta mencontohi figure yang
disanjungi oleh mereka. Kewujudan seseorang dalam lingkungan masyarakat yang baik serta soleh
sudah tentu akan menyebabkan ia beriltizam dengan amalan dan etika yang dihayati oleh kumpulan
tersebut. Ia akan berusaha melaksanakan sesuatu yang disanjungi oleh masyarakatnya. Sebaliknya,
perbuatan yang dianggap keji oleh lingkungannya, ia akan berusaha sedaya upaya untuk
menghindarinya.

Dalam kontek menegaskan kesan lingkungan ini Allah SWT berfirman:

Maksudnya :

"Negara yang baik (makmur) akan menampilkan hasil mahsulnya ( yang baik dan sihat) dengan izin
tuhannya, manakala negara yang buruk, tidak akan dapat menghasilkan kecuali pengeluaran yang
buruk. Demikianlah Kami ajukan tanda-tanda kebesaran Kami kepada kaum yang bersyukur."

Surah al 'Araf, ayat 58 :

Masyarakat yang buruk ialah masyarakat yang tidak melaksanakan syariat Allah. Mereka
menguatkuasakan peraturan dan undang-undang ciptaan manusia yang menyimpang dari jalan Allah
yang lurus. Dengan demikian, warganya sudah pasti akan berkembang di dalam masalah sosial yang
tidak sihat. Mereka akan terpengaruh dengan gejala-gejala kejahatan yang berkembang pesat dalam
masyarakat yang dilanda oleh fenomena moral berkenaan.

c-Qudwah Hasanah
Manusia juga dipengaruhi oleh idolanya. Idola tersebut kerap menjadi rol model dalam kehidupan
mereka. Manusia yang berperanan menjadi rol model tersebut antara lain ialah tokoh politik, artis,
seniman, atlit sukan, ibu bapa, guru dan sebagainya. Meskipun Rasulullah adalah qudwah yang
paling ideal bagi umat Islam, namun penghayatan nilai-nilai yang dibawa oleh Rasulullah hendaklah
dipaparkan oleh golongan idola berkenaan. Mereka sewajarnya sentiasa berusaha menunjukkan
contoh dan teladan yang terpuji agar dapat ditiru oleh generasi muda. Penghayatan golongan idola
tersebut terhadap nilai-nilai yang luhur dan utama pasti akan mengukuhkan keyakinan generasi baru
bahawa keutamaan dan keluhuran memang sebenarnya boleh dilaksanakan. Ia bukan zaman dahulu
kala atau idealisme khayalan belaka; tetapi malah ianya suatu realiti yang tentunya boleh dicontohi
dan direalisasi oleh generasi masa kini.

Allah SWT berfirman:

Bermaksud;

"sesungguhnya Rasulullah itu bagi kamu adalah contoh ikutan yang baik untuk mereka yang
mengharapkan Allah, mengharapkan ( ganjaran ) hari akhirat dan mereka yang kerap mengingati
Allah." Surah al Ahzab, ayat 21.

d- Tekanan Sosial Dari Masyarakat Islam

Antara mekanisme yang digunakan oleh Islam dalam membentuk penganutnya serta memastikan
mereka melaksanakan tata kelakuan berakhlak ialah wujudnya komuniti sosial yang komited dengan
dasar dan prinsip-prinsip Islam. Masyarakat Islam yang mempunyai impak yang besar dan pengaruh
yang kuat dalam memaksa individu mengamalkan atau menurut nilai dan norma-norma akhlak.
Mereka boleh melaksanakan tekanan moral yang berkesan untuk mendisplinkan golongan yang
berkecenderungan untuk melakukan kejahatan. Manusia memang suka dipuji, dihormati dan
disanjung. Manusia juga takut dikeji dan dicemuh oleh kumpulan di mana ia mempunyai sense of
belonging kepada mereka. Faktor-faktor tersebut adalah anak kunci yang sedikit sebanyak
menentukan tindak-tanduk seseorang. Masyarakat Islam yang aktif boleh berperanan menyuburkan
semangat dan amalan hidup berakhlak. Ia juga boleh membendung trend-trend kufur dan maksiat
dalam masyarakat melalui perlaksanaan amal mak'ruf dan nahi mungkar. Apabila masyarakat
kehilangan keprihatinannya terhadap kewajipan menegakkan makruf dan mencegah yang mungkar,
maka bermulalah proses penghakisan moral, akhlak dan martabat umat berkenaan.

e- Kuasa Negara Islam melalui sistem keadilan dan galakannya


Tuntutan akhlak dan nilai-nilainya tidak akan bermaya tanpa digandingi oleh kuasa atau autoriti yang
menguatkuasakan nilai-nilai tersebut. Oleh kerana itu, antara tanggungjawab negara Islam ialah
mewujudkan mekanisme dan jentera-jentera pentadbiran yang dapat beroperasi untuk memastikan
ketertiban serta penghayatan kaedah-kaedah akhlak dalam masyarakat. Jika negara tidak
melaksanakan amanah ini kerana ia tidak berlandaskan sistem perlembagaan dan undang-undang
Islam sudah pasti keadaan akhlak umat akan lebih parah dan malang.Melalui puluhan kementerian,
badan-badan berkanun, agensi-agensi kerajaan akhlak akan digugat dan dihakis. Amalan
pemerintahan yang tidak adil menjanjikan kemusnahan bukan hanya dalam bidang akhlak tetapi
juga dalam semua hal.

Selain dari apa yang telah dinyatakan di atas maka akhlak juga boleh dibentuk oleh media massa,
sekolah, rakan sebaya, masjid atau surau dan sebagainya. Untuk lebih jelas ada baiknya kita
terangkan satu persatu peranan tersebut :

f - Peranan Media Massa

Media massa merupakan satu mekanisme yang mempunyai pengaruh yang amat besar dan
berkesan di dalam pembentukan keperibadian manusia. Ia merupakan agen sosialisasi dan
memainkan peranan penting di dalam menanam dan menggalakkan amalan-amalan berakhlak di
dalam masyarakat. Media massa mampu mencorakkan hati budi, mentaliti dan sahsiah umat
khasnya yang beroperasi 24 jam. Media massa tersebut perlu bebas dari cengkaman faham
sekularisme, budaya komersial yang melampau, faham kebendaan dan dorongan untuk hidup secara
mewah dan berpoya-poya. Media massa hendaklah mempunyai asas falsafah dan dasar-dasar
komunikasi yang selaras dengan nilai-nilai akhlak Islam. Para petugas media massa hendaklah
meningkatkan rasa akauntabiliti, tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk memihak dan
menegakkan nilai-nilai luhur seperti kebenaran, kejujuran dan sebagainya.

Para pengguna media massa terutama golongan yang bertanggungjawab seperti ibubapa, guru,
pemimpin politik dan pentadbir hendaklah lebih bijaksana dalam mengarah, membimbing,
meningkatkan rasionaliti, kematangan dan kewaspadaan serta keupayaan memilih siaran yang lebih
bermanfaat untuk ditontoni oleh anak-anak atau orang-orang yang di bawah jagaan mereka. Media
massa juga sebenarnya boleh menjadi wahana "cultural domination dan imperialisme" melalui
berbagai saluran teknologi maklumat yang canggih seperti internet, multimedia dan sebagainya.

g - Peranan Sekolah
Sekolah mempunyai fungsi yang tersendiri dalam mendidik generasi baru dengan akhlak Islam.
Antara lain sekolah boleh :

1. Menggandakan keberkesanan institusi pendidikan, menambahkan produktivitinya, meningkatkan


kewibawaannya di kalangan setiap anggotanya baik mereka itu pelajar atau petugas.

2. Memperbaiki suasana persekolahan, mendaulatkan undang-undang atau peraturan Islam khasnya


yang berkaitan dengan persekolahan, memperbaiki hubungan antara sesama anggota sekolah atau
institusi.

3. Memancangkan dengan teguh akan nilai-nilai murni dan akhlak yang baik seperti ketaatan atas
dasar kesedaran menghormati peraturan dan pihak yang berwewenang, menjaga perasaan orang
lain, menjaga standard layanan dalam berinteraksi, berkorban untuk kepentingan ramai,
bekerjasama, melakukan self criticism, mengawal diri, menghargai ilmu, menghormati ulama' dan
sebagainya.

4. Membaiki prestasi persekolahan murid-murid dari segi kualiti dan kuantiti, mendidik mereka dari
segi agama, akhlak dan sosial secara wajar dan sihat, mempersiapkan mereka agar dapat memikul
tugas dan tanggungjawab yang bakal mereka hadapi; di samping melatih mereka menghukum atau
menilai diri sendiri sebagai seorang yang berfikiran matang dan bebas.

Para pelajar di sekolah hendaklah dilatih supaya merendah diri dan memuliakan orang yang mereka
bergaul dengan mereka. Mereka hendaklah digalakkan lebih suka memberi dari menerima. Dalam
sanubari mereka patut dicambahkan keinsafan bahawa tangan yang memberi lebih utama dari
tangan yang menerima. Disuburkan pula perasaan zuhud dalam hatinya dan di asuh agar tidak
menjadi mata duitan.

Mereka harus juga diasuh supaya tidak meludah dalam majlis atau berkahak, tidak menguap besar di
hadapan orang, tidak meletakkan kaki di atas sebelah kaki yang lain serta tidak membanyakkan
cakap. Anak-anak harus digalakkan tidak banyak bercakap kecuali sekadar menjawab. Mereka harus
dilatih pandai mendengar tuturan orang, lebih-lebih lagi jika orang yang bercakap itu lebih tua
daripadanya.

Mereka mesti ditegah mengucapkan kata-kata kesat, atau bergaul dengan orang-orang yang celupar.
Justeru antara kaedah mendidik anak-anak ialah melindungi mereka dari rakan-rakan yang jahat.
Selain dari itu elok juga selepas belajar mereka dibenarkan bermain-main untuk menyegarkan tubuh
mereka setelah penat belajar. Mereka hendaklah diasuh supaya patuh kepada ibu bapa, guru dan
menghurmati mereka.

Selain dari latihan serta disiplin seperti di atas, pelajar harus juga dilatih menghargai tugas dan
tanggung jawab dengan cara yang bijak, lemah-lembut tanpa terburu-buru melaksanakan kekerasan
atau pemaksaan melalui penderaan. Kepatuhan yang lahir dari keinsafan dan kesedaran batin
biasanya lebih berkesan dan mantap. Bagi seorang pendidik menggunakan tindakan menghukum
biarlah terhadap perkara yang paling akhir dalam fikirannya; samada mereka golongan guru atau
bapa. Bahkan apabila hukum hendak dikenakan kepada murid biarlah sekadar yang perlu sahaja.

Bimbingan dan nasihat yang lemah lembut tetapi tegas kadang-kadang lebih meninggalkan kesan di
dalam hati serta dipatuhi. Hukuman atau penderaan bukanlah langkah utama yang merupakan satu-
satunya penyelesaian. Penderaan adalah langkah terakhir apabila contoh yang baik, nasihat dan
hubungan kasih sayang antara anak dan bapa atau guru tidak mampu lagi untuk digunakan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud :

"Suruhlah anak-anak kamu menunaikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah
mereka ( kerana enggan sembahyang ) apabila umur mereka sepuluh tahun". (Hadith diriwayatkan
oleh Abu Daud).

Demikianlah dalam Islam pembelajaran tidak dimulai dengan rotan atau hukuman. Malah di dahului
oleh berbagai cara dan pendekatan untuk memupuk kebiasaan dan akhlak yang terpuji seperti
melatih bersembahyang dengan menggunakan kecenderungan meniru yang menjadi pembawaan
kanak-kanak dan dengan rasa yang penuh kasih sayang dari orang dewasa. Misalnya dengan
memaparkan contoh, nasihat, perkataan yang baik, teguran yang lemah lembut tetapi tegas dan
sebagainya. Sekiranya cara-cara tersebut gagal barulah dikenakan sedikit kekerasan yang bertujuan
mendidik bukan yang menimbulkan kecacatan fizikal dan sebagainya.

Firman Allah :

"Dengan rahmat ALlah kepadamu itu maka engkau berlemah lembut menghadapi mereka.
Seandainya hatimu keras dan (sikapmu) kasar nescaya mereka bubar dari sekelilingmu.

(Surah Ali Imran : ayat 159)

Satu hakikat pembelajaran yang lumrah di sekolah ialah murid kerap dipengaruhi oleh sifat,
kebiasaan dan akhlak guru. Sekiranya guru mempunyai akhlak yang baik murid ikut terpengaruh
dengan akhlak ini. Demikianlah sebaliknya. Pandangan negatif murid bukan setakat terhad kepada
guru tetapi juga mungkin menjangkau kepada pelajaran, kepada sekolah dan seterusnya kepada
sistem persekolahan keseluruhannya.
Displin sekolah hendaklah dilaksanakan dengan semangat kerjasama. Guru besar, nazir, guru, murid
malah ibubapa hendaklah sama-sama berperanan. Ini bermakna harus ada penerimaan dan
permuafakatan tentang polisi dan cara-cara merealisasikannya seboleh-bolehnya dari semua pihak
agar masing-masing melindungi dan mempertahankannya.

Usaha mengatasi masalah di sekolah hendaklah dengan menghapuskan sebab-sebab pokok atau
punca dari mana datangnya permasalahan itu. Ini termasuk menghapuskan suasana yang membantu
atau menyokong salah laku dari murid . Di samping itu juga penyelesaian boleh di usahakan dengan
mengambil langkah pencegahan dan mengujudkan suasana yang lebih positif. Ini di dasarkan kepada
prinsip "mencegah lebih baik dari merawat".

Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh sekolah dalam membangun akhlak ialah dengan
mengadakan kempen menyedarkan murid tentang keperluan menghormati disiplin sekolah,
menerangkan tentang mengapa suatu disiplin itu dibuat dan memperbanyakkan aktiviti sekolah
dengan mempelbagaikannya, menggunakan atau memenuhi masa lapang murid, menghubung-
kaitkan sukatan pelajaran dengan keperluan diri dan masyarakat mereka dan langkah-langkah yang
lain.

h - Peranan rakan sebaya

Antara agen sosial yang berpengaruh di dalam membentuk sikap dan akhlak individu ialah rakan
sebaya. Rakan sebaya merupakan kelompok rujukan bagi remaja di dalam tingkah laku mereka.
Perasaan "sense of belonging" kepada kumpulan adalah suatu yang lumrah. Remaja akan
mengubahsuai dan mengadaptasikan nilai-nilai rakan sebayanya untuk mendapat penerimaan dan
pengakuran mereka. Remaja memang menyedari adanya jurang generasi antara mereka dengan
kumpulan dewasa dan mereka sering berhadapan masalah dalam mewujudkan hubungan dengan
generasi yang lebih tua. Kajian yang dilakukan oleh Lambert dan rakan-rakannya ( 1972 )
menunjukkan remaja menghadapi berbagai konflik apabila mereka berusaha merentasi jurang
generasi( generation gap ) tersebut antara pemikiran mereka dan pemikiran ibubapa mereka.

Kajian menunjukkan bahawa masalah remaja lelaki dan perempuan adalah :

1. kesukaran untuk membincangkan permasalahan mereka dengan para ibubapa mereka dan para
penjaga mereka

2. kesukaran untuk memberitahu ibubapa dan penjaga mereka mengenai apa yang mereka lakukan
3. wujudnya jarak yang agak lebar antara jalan fikiran mereka dengan jalan pemikiran ibubapa dan
penjaga mereka.

Oleh kerana itu golongan remaja umpamanya sering merujuk rakan sebaya dan kelompok sosial
tertentu untuk mendapat bimbingan ke arah menyelesaikan masalah mereka. Kesilapan di dalam
memilih kelompok rakan setara samada bersahabat dengan penagih dadah, kutu lepak, gangster
atau kumpulan samseng, bohsia dan sebagainya pasti akan mengakibatkan kemusnahan akhlak
golongan remaja dan dewasa .

i - Peranan rumah ibadah

Bagi umat Islam, rumah ibadat yang paling penting ialah masjid. Di sinilah umat Islam sering
berkumpul untuk menyembah Allah secara berjamaah. Sebab itulah di mana sahaja dalam negara
umat Islam; bahkan di kota-kota besar dunia kedapatan bangunan masjid yang berbagai bentuk dan
rupa. Ada yang kecil dan ada pula yang besar. Masjid sentiasa menjadi lambang kemegahan umat
dan pemerintah Islam. Sebagai tempat ibadah masjid mempunyai peranan dan pengaruh yang besar
dalam meneruskan penghayatan nilai-nilai akhlak dalam masyarakat Islam. Kelangsungan budaya,
cara hidup dan syiar Islam lumrahnya diperkukuhkan oleh institusi ini. Sebab itu perkara pertama
yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ketika baginda berhijrah ke Madinah al Munauwarah ialah
membina Masjid Quba' dan Masjid Nabawi.

Ilmu yang dipelajari di masjid pada masa dahulu bersepadu dengan nilai tauhid, ruh Islam dan akhlak
. Ia mengimbaukan ketakwaan dan mengukuhkan ubudiah manusia kepada Allah . Ilmu yang
dipelajar membawa berkat dan meningkatkan ciri khasyatullah atau takut kepada Allah. Sebab itu
lahir para ulama dan ilmuan yang jujur, soleh dan dedikasi. Apabila semangat dan imbauan seperti
ini sudah tiada lagi ilmu disalut dengan semangat kebendaan dan keserakahan manusia. Sebab itu
muncullah ilmuan-ilmuan sekular yang amat benci kepada Islam dan ajaran Allah itu sendiri .

Ada berbagai bentuk kegiatan keilmuan, kebudayaan dan kemasyarakatan yang boleh dijalankan di
dalam atau di pekarangan masjid untuk tujuan mengukuhkan akhlak dan sahsiah umat . Antaranya
ialah:

1. Kelas Fardu Ain

2. Kelas Tajuid & Qiraat.

3. Kelas Bimbingan Remaja.

4. Kelas Bahasa Arab.

5. Ceramah Berkala.

6. Seminar Motivasi dan Pembentukan Syakhsiah.


7. Kursus Rumahtangga Bahagia.

8. Kursus Pengurusan Jenazah.

9. Madrasah atau Sistem Pengajian Formal.

10. Kursus Dakwah dan Imamah.

11. Acara Tadarus al-Quran.

12. Khemah Ibadan & Qiamullail.

13. Kursus Pengurusan Masjid.

14. Kegiatan Amar Ma'ruf & Nahi Munkar.

15. Seminar Pengurusan Sumber Masjid.

16. Kempin Memakmurkan Masjid.

17. Membentuk organisasi Belia Masjid ( Rakan Masjid )

Seluruh agensi sosial, Jentera Kerajaan, Kementerian dan Badan-badan Berkanun, NGO dan Badan-
badan Korporat, swasta dan awam hendaklah digembling untuk bersama-sama berperanan
meningkatkan kualiti akhlak umat samada dengan mengadakan kempen hidup beretika dan
berakhlak atau melancarkan buku-buku rujukan yang menjelaskan nilai-nilai akhlak tersebut dan
sebagainya.

Rumusan

Gagasan dan tugas untuk membangun, memupuk dan meningkatkan mutu akhlak umat khasnya di
kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Ia tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali
oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusian yang tinggi. Ia harus bermula
dengan melahirkan para pemimpin umat yang berakhlak, beriman dan bertakwa. Pemimpin yang
mempunyai iltizam yang tidak berbelah bagi kepada set-set nilai akhlak Islam, mempunyai
kerohanian yang amat tinggi, mewarisi ciri perjuangan Rasulullah yang diutus untuk membangun
akhlak dan keluhuran akan beroleh kedudukan dalam pemerintahan lantas memastikan semua umat
menunaikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh yang makruf, mencegah yang mungkar,
menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah, mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah.
Mereka menguatkuasakan sistem hidup Islam yang memang membela akhlak. Mereka
melaksanakan undang-undang Allah yang sebenarnya memang melindungi nilai dan norma akhlak
dalam masyarakat.
Dengan adanya pemimpin yang soleh dan bertakwa seluruh agen sosialisasi dan jentera kerajaan
akan menghala ke arah yang sama. Rakyat akan terbentuk oleh media yang beretika dan berakhlak.
Pengaruh luar yang buruk akan disekat samada dalam rancangan tv, filem, internet maupun apa jua
pengaruh lain yang mengancam jatidiri dan maruah umat. Dasar-dasar kementerian dan agensi
pembangunan masyarakat akan selaras dengan tuntutan nilai dan tatanan akhlak. Tidak berlaku
proses pertentangan antara kerja membangun dan merosak akhlak serentak dalam jentera-jentera
berkenaan.

Agenda-agenda khusus menangani gejala keruntuhan dan kemorosatan akhlak akan disusun dengan
lebih berkesan dan menyeluruh. Segala-galanya akan dimanfaatkan dalam menjana kekuatan untuk
meningkatkan mertabat umat dalam segala bidang.Kebenaran keadilan dan ihsan akan didaulatkan .
Manusia diasuh kembali menjadi hamba Allah yang ta'at dan bukan hamba benda, wang,
pembangunan, bangsa atau negara. Semoga semua langkah-langkah yang dicadangkan di atas dapat
membantu mengatasi masalah keruntuhan akhlak yang semakin berleluasa, khasnya di kalangan
remaja kita dewasa ini..

DISIPLIN PELAJAR SEKOLAH SEMAKIN MEROSOT

ponteng

PENGENALAN

Ibu bapa patut bantu sekolah atasi gejala sosial, Buli gugat semangat belajar dan Kerjasama
penting bagi banteras gangsterisme. Begitulah antara tajuk-tajuk berita yang terpapar di dada
akhbar-akhbar tempatan pada masa kini. Berita-berita seperti ini membayangkan kemerosotan
disiplin pelajar dan masalah disiplin di sekolah-sekolah pada masa kini memang amat serius
sehingga mencapai tahap yang membimbangkan Walaupun pelajar sekolah diajar supaya menerima
nilai-nilai murni tetapi nampaknya ini semua hanya retorika semata-mata.

Pelajar merupakan elemen atau aset penting dalam negara dan bakal menjadi pemimpin negara
pada masa hadapan. Merekalah yang akan terus melaksanakan program pembangunan negara
untuk mencapai Wawasan 2020. Pembangunan negara yang pesat dalam sektor ekonomi, sosial dan
budaya serta perkembangan teknologi maklumat telah membawa bersama gejala sosial yang negatif
di kalangan remaja sekolah. Keruntuhan akhlak dan nilai-nilai moral serta gaya hidup yang tidak
sihat telah memberi kesan yang buruk kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Masalah disiplin di sekolah kini telah menjadi lebih kompleks dengan kewujudan kes pelajar yang
terlibat dalam aktiviti pemujaan serta ajaran sesat yang dikenali Black Metal. Hakikatnya jelas dapat
dilihat dengan bertambahnya bilangan pelajar yang terlibat dalam kes-kes disiplin seperti ini serta
penambahan bilangan jenis salahlaku yang dilakukan oleh pelajar-pelajar.

PONTENG SEKOLAH

Sejak kebelakangan ini, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah Malaysia yang
mendadak menimbulkan tanda tanya dan membingungkan kepada pelbagai pihak mengenai punca
sebenar berlakunya fenomena ini. Kes ponteng sekolah terutamanya mencatat bilangan yang
tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin yang lain. Gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar-
pelajar sekolah bertambah dengan kadar yang serius bagai cendawan tumbuh selepas hujan
walaupun berbagai-bagai langkah telah dilaksanakan bagi menangani masalah ini.

Sebenarnya, punca utama wujudnya amalan ponteng sekolah adalah bermula oleh masalah
keluarga seseorang pelajar itu sendiri. Timbulnya pertelingkahan antara ibu dan bapa menyebabkan
kebajikan anak-anak terabai. Segala tindak-tanduk anak-anak mereka di luar rumah dan di sekolah
tidak diambil berat. Ketandusan kasih sayang dan ledakan tekanan pada diri seseorang pelajar
datang daripada keluarga bermasalah akan menyebabkan mereka cuba ponteng sekolah. Ini
menunjukkan keruntuhan institusi keluarga mempengaruhi masalah disiplin di kalangan pelajar .
Dalam sesebuah keluarga yang mempunyai ibu bapa yang bersikap materialistik seumpamanya,
amalan untuk mengambil berat kebajikan dan keperluan anak-anak telah diambil alih oleh sikap
yang ingin mengejar kebendaan semata-mata. Anak-anak mereka dipinggir dan kasih sayang yang
sepenuhnya tidak diberikan. Masalah di atas adalah selari dengan teori fungsionalisme (Durkheim
dan Spencer) di mana ibu bapa tidak menjalankan tugas mereka dengan sempurna (disfungsi). Jadi
tidak hairanlah jika anak-anak memilih untuk ponteng sekolah dan bergaul dengan rakan-rakan luar
sekolah yang dianggap lebih rapat dengan mereka.
KONGSI GELAP (GANGSTERISME) DI SEKOLAH

Mengikut Kamus Dewan edisi ke 3 Dewan Bahasa dan Pustaka 1996 hlm 700, Kongsi gelap
didefinisikan sebagai Perkumpulan sulit dalam sesuatu kegiatan untuk maksud atau kegiatan
jenayah.

Menurut Pengerusi Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor,
En Ng Ching Sea, keadaan kongsi gelap di Johor adalah pada tahap kritikal. Mengulas perkara
tersebut beliau berkata;

" Masalah kongsi gelap di Johor kini sudah pada tahap kritikal dan memerlukan pendekatan
bersepadu daripada agensi kerajaan dan masyarakat untuk memeranginya sehingga ke akar umbi."
(Utusan Malaysia 20 Feb 97)

Penglibatan pelajar dalam kegiatan ini turut mendapat perhatian orang ramai yang membantu
dengan memberi maklumat kepada pihak Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal
Pengguna Negeri Johor berkenaan mereka yang terlibat di dalam kumpulan haram ini. Laporan
akhbar Utusan Malaysia pada 19 Februari 1997 yang memetik kenyataan Saudara Ng Ching Sea,
melaporkan bahawa terdapat 560 orang pelajar dari 39 buah sekolah menengah di seluruh negeri
Johor terlibat dengan 22 kumpulan kongsi gelap. Laporan tersebut menggambarkan betapa
seriusnya masalah penglibatan pelajar sekolah di dalam kegiatan kongsi gelap khasnya di Johor.

Menurut William Gladden Foundation (1992), empat faktor utama yang merangsang pembentukan
kumpulan kongsi gelap di kalangan pelajar adalah:

Remaja mengalami perasaan terasing dan tidak berdaya disebabkan kurangnya struktur sokongan
tradisi seperti keluarga dan sekolah. Situasi ini akan membawa kepada perasaan kecewa dan tegang
lalu mendorong kepada usaha mendapatkan sokongan di luar institusi tradisional.

Keanggotaan kongsi gelap memberikan remaja perasaan "sense of belonging" dan menjadi sumber
utama penampilan identiti oleh ahli-ahli mereka. Seterusnya, keahlian tersebut menjadikan remaja
merasakan diri mereka berkuasa dan menguasai di mana kegiatan kumpulan akan menjadi tempat
mereka melepaskan kemarahan atau pun ketegangan.

Kawalan kawasan adalah perlu demi keutuhan kumpulan di mana kekerasan sering digunakan untuk
mengawal kawasan dan ahli-ahlinya. Pengrekrutan ahli baru dan pengluasan kawasan pengaruh
adalah penting untuk mengukuhkan kekuatan dan kekuasaan kumpulan. Maka, kemasukan ahli
secara sukarela atau paksa dilakukan untuk menampung keperluan dengan penambahan sumber
dan keahlian kumpulan.
Keempat-empat faktor di atas saling menyumbang kepada kewujudan kongsi gelap yang lebih
berkuasa dan kejam seiring dengan usaha mereka untuk mengekalkan dan mengembangkan
pengaruh di kawasan dan dikalangan remaja secara lebih luas.

Selain daripada itu, ada juga beberapa penambahan dari segi punca-punca pelajar atau pun remaja
menyertai kumpulan haram atau kongsi gelap menurut pandangan Schmidt dan Lunghofer (1993)
iaitu:

a. Mencari kasih sayang, struktur dan disiplin berasaskan kefahaman mereka.

b. Perasaan komitmen dan "sense of belonging, dikagumi dan kekuasaan.

c. Persahabatan, latihan, keseronokan dan aktiviti.

d. Tempat di mana diri dirasakan diterima dan dihargai.

e. Keperluan kepada keselamatan fizikal dan perlindungan.

KESAN

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan di Amerika Syarikat pada tahun 1993 didapati bahawa
sekalipun penyertaan remaja atau pelajar di dalam kegiatan kumpulan haram meningkat sebanyak
10 peratus namun, laporan jenayah remaja yang melibatkan kumpulan haram tersebut adalah
kurang daripada 2 peratus (Bodinger-deUriarte, 1993).

Sekalipun perangkaan yang ditunjukkan adalah rendah namun satu perkara yang pasti ialah
kumpulan-kumpulan haram tersebut memainkan peranan yang utama dengan merebaknya kegiatan
salah laku di sekolah.

Kajian oleh National Institute of Education di Amerika Syarikat menyatakan bahawa terdapat
peningkatan keganasan atau salah laku di sekolah sejak 1978 di mana pelajar-pelajar sekolah adalah
pada risiko yang tinggi untuk menjadi mangsa keganasan di sekolah berbanding di tempat-tempat
lain (Gaustad, 1991). Ini menunjukkan sekolah bukan lagi tempat yang selamat sekiranya wujud
kegiatan kumpulan kumpulan haram oleh pelajar-pelajar mereka.

Secara ringkasnya kita dapat menyatakan bahawa implikasi masalah disiplin di sekolah ialah:

a. Wujudnya kegiatan salah laku seperti peras ugut, pergaduhan dan sebagainya.
b. Risiko yang tinggi kepada pelajar-pelajar lain untuk menjadi mangsa mereka.

c. Persekitaran yang tegang di kalangan pelajar-pelajar kerana merasa terancam.

d. Menjejaskan imej dan kredibiliti sekolah sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.

e. Menjejaskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah terbabit.

Menilai aspek-aspek yang telah diketengahkan, maka adalah penting bagi kita menangani
permasalahan disiplin di kalangan pelajar sekolah mahu pun pusat pengajian yang lebih tinggi demi
menjamin keutuhan sekolah sebagai agen sosial yang berwibawa dan dihormati. Prosedur
pencegahan yang sistematik dan berkesan berasaskan pertimbangan punca-punca penglibatan
pelajar kepada masalah disiplin ini adalah perlu demi memelihara masa depan yang positif kepada
pelajar, sekolah dan masyarakat itu sendiri. Oleh itu kerjasama bersepadu antara pelajar, sekolah,
pihak berkuasa dan masyarakat adalah perlu ke arah pelaksanaan program pencegahan yang
berkesan serta menyeluruh.

CADANGAN

1. Laporan serta kerjasama daripada masyarakat amat diperlukan bagi menangani masalah ini.

2. Program Integrasi Negeri Tangani Anti Sosial (PINTAS) adalah program yang dicadangkan untuk
meningkatkan disiplin dan kawalan salah laku pelajar di sekolah. Kaedah pelaksanaan program ini
dibuat agar sesuai dengan pelbagai kes salah laku pelajar di sekolah. Antara jenis-jenis salah laku
pelajar ialah ponteng sekolah , merokok, melawan guru, bertumbuk dan sebagainya.

3. Perkhidmatan Bimbingan & Kaunseling Guru pakar dalam bidang ini perlu dilatih agar dapat
menjalankan tugas dengan baik bagi tujuan memberi nasihat serta dorongan agar mereka yang
terlibat dalam masalah disiplin ini akan insaf dan seterusnya mengikut peraturan sekolah yang
ditetapkan . Adalah menjadi harapan negara pelajar yang tamat dari sekolah-sekolah seluruh negara
mempunyai tahap disiplin yang baik. Ini kerana mereka inilah yang akan membangunkan negara
pada masa akan datang.

4. Penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah & Disiplin di sekolah wajar dan patut diberi sokongan
sepenuhnya. Kementerian Pendidikan memberi kebenaran untuk penubuhan kelab seperti ini yang
bertujuan untuk melatih dan memberi kesedaran di kalangan pelajar tentang pelbagai aspek jenayah
dan pencegahannya. Melalui penerapan nilai moral yang baik dan penekanan kepada pentingnya
sikap yang jujur.
5. Walau apa pun program yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah disiplin ini, namun yang
paling penting adalah peranan ibubapa. Ibubapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak dan
sentiasa mendorong mereka dan cuba menyelesaikan segala masalah yang dihadapi.

PENUTUP

Para guru harus sedar bahawa pelajar yang ada sekarang berbeza dengan pelajar pada zaman 60-an
dan 70-an dulu. Pelajar dulu takut dan hormat kepada guru, mempunyai hala tuju yang jelas dalam
belajar, tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak, bercita-cita tinggi selain daripada
dibesarkan dalam suasana keluarga yang penuh dengan kasih sayang, hormat menghormati di
samping tidak terlibat dalam arus mengejar kebendaan semata-mata.

Pelajar dulu kaya dengan nilai-nilai budaya Timur yang mengutamakan nilai menghormati mereka
yang lebih tua. Kata-kata guru dianggap keramat, teguran guru ibarat nasihat. Paling penting, pada
waktu dulu para pelajar tidak terdedah dengan pelbagai bentuk budaya asing dan popular yang bisa
menghakis nilai-nilai ketimuran yang mulia. Dulu, rotan adalah senjata yang paling berkesan untuk
merawat salah laku pelajar. Apa yang berlaku sekarang sudah amat jauh bezanya.

Sekolah dan golongan guru mesti menerima hakikat bahawa pelajar sekarang lebih lantang dan
sedar akan hak yang melindunginya sebagai pelajar. Mereka adakalanya berani mencabar
kewibawaan sekolah. Oleh itu, kaedah-kaedah tradisional seperti dengan memarahi, merotan,
menggantung dan membuang sekolah sudah tidak sesuai lagi dengan kemelut disiplin sekarang.

Sekolah perlu mewujudkan iklim yang cukup selesa untuk para pelajar menimba ilmu sehingga tidak
ada ruang langsung pun untuk pelajar berasa tidak puas hati dan mendorongnya untuk
memberontak. Percayalah, masalah disiplin yang berlaku di kalangan pelajar sekarang banyak
berpunca daripada masalah keluarga serta kegagalan guru mempersembahkan yang terbaik untuk
para pelanggannya iaitu para pelajar.

PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA PONTENG SEKOLAH

1. Kurang berminat terhadap pengajaran dan pelajaran di sekolah.

Pelajar ponteng sekolah adalah kerana kurang atau tidak berminat terhadap pengajaran dan
pembelajaran di sekolah Keadaan ini mungkin berpunca daripada isi kandungan sukatan pelajaran
yang banyak memberikan tumpuan kepada mata pelajaran yang memerlukan pelajar menghafal
seperti mata pelajaran sejarah, matematik, sains, geografi dan sebagainya.
Di samping itu, pelajar kurang berminat terhadap sekolah kerana mereka mungkin tidak mampu
untuk mengikuti pelajaran dengan sempurna kerana ketinggalan akibat kelemahan diri mereka
sendiri. Alasan ini juga yang menyebabkan berlakunya kes ponteng yang banyak di kalangan pelajar
yang lemah jika dibandingkan dengan pelajar yang cerdas. Pelajar seperti ini biasanya mudah
berputus asa. Mereka kebanyakannya datang ke sekolah semata-mata kerana menurut kehendak
ibu bapa. Oleh itu mereka kerap ponteng kerana telah hilang minat untuk belajar akibat tidak dapat
memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih cerdas.

2. Kurangnya kasih sayang serta pemantauan daripada ibu bapa

Pelajar ponteng sekolah adalah kerana mereka telah hilang pemerhatian, kasih sayang daripada ibu
bapanya dan ibu bapa telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu bapa. Dengan
membuktikan keadaan tersebut, ibu bapa kini sentiasa bekerja di luar dari awal pagi sampai tengah
malam, masa mereka bersama dengan anak semakin berkurang sehingga anak-anak tidak dapat
menyampaikan perasaan mereka kepada ibu bapa. Lama-lama kemudian, anak tersebut akan cuba
menggunakan cara lain iaitu cara negatif seperti ponteng sekolah kerana mereka berjaya mendapat
perhatian daripada ibu bapa mereka. Malangnya anak-anak ini akan berkawan dengan orang luar
semasa mereka memonteng sekolah dan kesannya kawan baru ini akan mengajak mereka pergi ke
tempat lain untuk berhibur sehingga anak-anak ini tidak lagi mementingkan pelajarannya.

Biasanya pihak sekolah akan mengeluarkan surat amaran bagi pelajar-pelajar yang melakukan
kesalahan ponteng terlalu kerap iaitu tiga hari berturut-turut. Surat yang ditujukan kepada waris
atau ibu bapa itu kadang-kadang tidak mendapat respon yang diharap-harapkan. Ibu bapa yang
terlalu sibuk dengan urusan harian mereka tidak dapat hadir untuk berbincang dengan pihak
sekolah. Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu bapa atau penjaga pelajar yang
berkenaan langsung tidak mengambil berat akan hal-ehwal anak-anak mereka. Keadaan ini juga
memberikan rangsangan kepada pelajar yang berkenaan untuk terus memonteng sehingga akhirnya
terpaksa diberhentikan persekolahannya. Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa ibu bapa yang tidak
mengambil berat akan amaran pihak sekolah turut menyumbang ke arah masalah ini.

3. Pengaruh rakan sebaya

Pengaruh rakan sebaya juga turut memainkan peranan yang kuat dalam mempengaruhi pelajar lain
untuk ponteng sekolah. Ajakan daripada rakan sebaya mereka untuk ponteng sekolah akan
mempengaruhi minda pelajar-pelajar yang tidak berfikir secara rasional. Mereka akan menurut
segala ajakan dan pelawaan rakan-rakan mereka tanpa berfikir panjang. Rakan-rakan yang
bercadang untuk ponteng sekolah akan memberikan pelbagai alasan yang munasabah seperti
pelajaran di sekolah sangat membosankan dan sebagainya. Mereka menberi tanggapan bahawa
aktiviti ponteng sekolah dapat menenangkan fikiran dan ini menjadi alasan untuk mereka tidak hadir
ke sekolah.
4. Mencari Keseronokan

Pelajar ponteng sekolah berkemungkinan adalah kerana mereka lebih mementingkan keseronokan
daripada pelajaran. Hal ini jelas kerana terdapat di kalangan pelajar yang ponteng dengan tujuan
untuk melepak atau berkumpul di suatu tempat terutamanya pusat-pusat membeli-belah, pusat
permainan video, dan taman-taman rekreasi. Malahan, terdapat juga pelajar yang ponteng untuk
menonton wayang atau berkelah. Bagi mereka, belajar di sekolah adalah sesuatu yang
membosankan kerana tidak ada unsur-unsur hiburan.

5. Peraturan sekolah yang terlalu ketat

Terdapat juga para pelajar ponteng sekolah kerana takut dimarahi ataupun didenda oleh guru
contohnya semasa mereka tidak sempat menyiapkan kerja sekolah mereka yang diberikan oleh guru,
mereka akan pilih cara ponteng sekolah supaya mereka tidak dapat didenda oleh cikgu.

Selain daripada itu,pelajar yang datang lewat juga akan mengambil keputusan untuk ponteng kerana
takut didenda kerana kesalahan mereka itu. Kumpulan pelajar ini juga menyalahkan pihak sekolah
yang mengamalkan peraturan yang terlalu ketat dan mengenakan hukuman yang pada pendapat
mereka terlalu berat bagi kesalahan yang kecil.

6. Tekanan Ekonomi

Taraf ekonomi keluarga pelajar yang rendah juga menyebabkan mereka malu untuk pergi ke
sekolah. Mereka sering ponteng sekolah bagi mengelakkan dipersenda oleh rakan-rakan. Apabila
ponteng sekolah, mereka mula melakukan sesuatu yang negatif bagi memenuhi masa lapang
mereka. Oleh kerana kedudukan ekonomi yang rendah, maka ibu bapa sibuk untuk mencukupkan
perbelanjaan harian dan menyebabkan tanggungjawab anak terabai. Selain itu, terdapat juga pelajar
yang ponteng kerana terpaksa bekerja secara sambilan dan oleh kerana terlalu keletihan mereka
tidak berdaya untuk bangun awal terutamanya yang bekerja pada waktu malam.

Ponteng

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Ponteng adalah istilah yang digunakan bagi merujuk kepada apa jua kegagalan menghadiri kelas di
sekolah secara sengaja tanpa alasan yang munasabah. Menurut Kamus Dewan, ponteng
didefinisikan sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. Istilah tersebut
digunakan bagi kes ketidakhadiran yang berpunca daripada keinginan pelajar itu sendiri, dan
bukannya kes-kes yang "dimaafkan" seperti sakit, kemalangan dan sebagainya. Definisi sebenar
mungkin berbeza mengikut sekolah, tetapi biasanya diterangkan secara jelas di dalam peraturan
sekolah.

Ponteng juga merujuk kepada pelajar yang menghadiri sekolah tetapi tidak menghadiri kelas, sama
ada salah satu kelas, beberapa kelas ataupun kesemua kelas dalam satu-satu hari.

Di sesetengah sekolah, pelajar yang ponteng akan hilang kelayakan untuk tamat sekolah ataupun
menerima jam kredit bagi kelas yang tidak dihadiri, sehinggalah kekurangan tersebut diisi melalui
tahanan kelas, denda ataupun kelas gantian.

Isi kandungan [sorokkan]

1 Punca gejala ponteng

2 Menangani pelajar ponteng

3 Rujukan

4 Pautan Luar

Punca gejala ponteng[sunting]

Suasana persekitaran sekolah yang berubah akibat proses urbanisasi, seperti pembinaan arked
permainan video, kafe siber atau pusat membeli-belah berhampiran sekolah

Pengaruh media elektronik

Kurangnya kasih sayang serta pemantauan daripada ibu bapa

Pengaruh rakan sebaya

Persekitaran sekolah yang kurang kondusif serta dibebani tekanan, umpamanya guru yang terlalu
garang

Menangani pelajar ponteng[sunting]

Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia amat memandang serius akan gejala ponteng
sekolah, memandangkan gejala ini seterusnya akan membawa kepada permasalahan sosial yang
lebih teruk seperti gejala maksiat dan samseng remaja. Oleh itu, di beberapa tempat seperti di
Lembah Klang, Polis Diraja Malaysia menempatkan beberapa anggota polis bagi memantau kawasan
tumpuan remaja bagi mengesan pelajar ponteng, dan sekiranya pelajar yang didapati ponteng
tertangkap maka ibu bapa berkemungkinan akan dikenakan tindakan.

Untuk membolehkan penguatkuasaan larangan ponteng dapat dilaksanakan secara menyeluruh,


orang ramai diseru agar melaporkan kepada polis sekiranya terserempak dengan pelajar yang
ponteng sekolah.
Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga turut mengambil inisiatif bagi menangani gejala ponteng
dengan menyertakan syarat remaja berpakaian seragam sekolah tidak boleh memasuki premis
mereka sebagai salah satu syarat bagi mengeluarkan lesen bagi kafe siber dan arked permainan
video.

Di samping itu, pihak sekolah juga perlu menyediakan suasana persekolahan yang kondusif serta
tidak menekan pelajar untuk menarik minat pelajar agar terus menghadiri kelas. Guru-guru juga
disaran supaya bersikap ramah serta tidak terlalu garang dengan pelajar.

Paling penting, ibu bapa seharusnya memainkan peranan bermula dari akar umbi bagi mencegah
anak-anak mereka daripada ponteng sekolah. Mereka seharusnya memerhatikan gerak-geri anak
mereka, dengan siapa anak mereka berkawan, kerap menghubungi pihak sekolah serta memeriksa
beg sekolah anak mereka sebagai bukti sama ada anak-anak mereka menghadiri sekolah atau tidak.
Ibu bapa juga tidak seharusnya terlalu mempercayai anak-anak mereka kerana sikap terlalu
memanjakan anak sudah tentunya bakal memakan diri sendiri kelak.

Anda mungkin juga menyukai