Anda di halaman 1dari 24

KRISIS KEWANGAN MALAYSIA

Bagaimana Terjadinya Krisis Kewangan Di Asia Pada Julai 1997

Prawacana

Krisis kewangan yang melanda Asia bermula pada Julai 1997 merupakan satu

fenomena yang telah menjejaskan aktiviti perdagangan dan hampir melumpuhkan ekonomi

negara-negara terbabit. Kedatangannya di tengah-tengah pertumbuhan pesat rantau Asia

khususnya Asia Timur dikatakan angkara spekulator asing, namun tidak dapat dinafikan ada

faktor-faktor lain yang menyumbang kepada fenomena ini dan menyebabkan krisis menjadi

bertambah parah. Krisis yang bermula sebagai krisis mata wang dan kecairan telah

berkembang menjadi krisis struktur seluruh ekonomi dan merebak keseluruh Asia dan

menjejaskan perdagangan dunia.

Pelbagai macam tanggapan dan penjelasan telah dikemukakan bagi menghuraikan

sabab musabbab tercetusnya krisis tersebut. Namun tiada kesepakatan antara mereka. Ahli-

ahli ekonomi mungkin memerlukan beberapa tahun lagi sebelum mencapai suatu penjelasan

yang dipersetujui bersama tentang fenomena ini. Namun pada waktu itu nanti, fenomena ini

mungkin sudah menjadi suatu sejarah bagi tatapan generasi baru.

Krisis Kewangan Di Asia

Secara khususnya krisis kewangan di Asia dapatlah dikatakan bermula pada 2 Julai

1997 iaitu sehari selepas kembalinya Hong Kong kepada pemerintahan China dengan

runtuhnya nilai baht di Thailand. Fenomena ini dengan cepatnya merebak dari negara ke

negara di rantau ini. Namun bibit-bibit krisis sebenarnya sudah mula bercambah lama

sebelum tarikh tersebut lagi. Ia kemudiannya merebak dengan kelajuan yang sama sekali

tidak dijangka oleh sesiapapun. Malah, bahang krisis ini turut dirasai di Amerika Utara dan

Eropah.
Serangan spekulatif terhadap mata wang kali ini dianggap penganalisis sebagai agak

luar biasa iaitu bagaikan teori domino bermula dengan baht di Thailand, diikuti peso Filipina

dan ringgit Malaysia. Tidak terkecuali rupiah Indonesia, dolar Singapura serta won Korea dan

dolar Taiwan. Kegawatan ini telah membimbangkan hampir kesemua pasaran yang baru

muncul yang diibaratkan sebagai pasaran yang hampir tenggelam. Malah krisis ini boleh

menjadi lebih teruk dan menyebabkan kemelesetan ekonomi dunia sama seperti yang pernah

berlaku dalam tahun 60-an.

Presiden Amerika, Bill Clinton pernah menyifatkan krisis kewangan Asia hanya seperti

kerikil kecil di jalan raya. Sebaliknya, krisis tersebut telah bertukar daripada salah tanggapan

sebagai selesema Asian yang bukan hanya menggugat rantau Asia-Pasifik, bahkan

mengancam untuk menyelubungi dunia.[1]

Senario Sebelum dan Semasa Krisis

Sebelum meneroka lebih mendalam tentang isu krisis kewangan ini, adalah wajar

terlebih dahulu kita memahami maksud krisis kewangan dan senario sekitar Asia sebelum

dan sejurus selepas krisis melanda.

Krisis bermaksud keadaan tidak terkawal atau tidak tenteram yang boleh secara tiba-

tiba menyebabkan sesutu kejadian (perkembangan, perubahan dll), keadan yang lazimnya

mendatangkan kesan buruk, keadaan yang genting, kegentingan, ketegangan dan keributan.

Kewangan pula merujuk perihal wang (keadaan atau urusan wang), segala sesuatu yang

dikaitkan dengan wang. Manakala frasa krisis kewangan adalah bermaksud keadaan yang

membimbangkan mengenai soal-soal kewangan (seperti kekurangan wang dll).[2]


Dalam tempoh beberapa tahun sebelum krisis, ekonomi Asia Timur termasuk Malaysia

mengalami pertumbuhan yang begitu pesat. Pertumbuhan ini telah disertai dengan kadar

inflasi yang rendah, pendapatan per kapita yang meningkat dan kadar kemiskinan yang

berkurangan.

Malaysia misalnya, telah mencatat kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar

(KDNK) sebenar sebanyak 8.5 peratus bagi tempoh 1991-1997, manakala pendapatan per

kapita telah meningkat dua kali ganda dalam dolar Amerika Syarikat (USD) pada tahun 1997.

Di samping itu, kadar kemiskinan telah berjaya dikurangkan daripada 16.5 peratus kepada

6.1 peratus dalam tempoh yang sama.[3]

Di Thailand, pada penghujung tahun 1996, Kementerian Kewangan Thailand begitu

positif terhadap masa depan ekonomi negaranya dengan meramalkan pertumbuhannya kekal

pada purata antara tujuh hingga 7.5 peratus setahun serta mengekalkan inflasi pada kadar

maksimum lima peratus sepanjang tuga tahun lagi. Mereka turut meramalkan akaun defisit

semasa negara berada pada kadar antara 7.5 dan 7.9 peratus daripada Keluaran Dalam

Negara Kasar (KDNK) pada 1997. Eksport juga dijangka meningkat.

Suasana ekonomi makro serantau yang menggalakkan telah berjaya menarik minat

pelabur untuk menanam modal di rantau ini. Menurut Dana Kewangan Antarabangsa (IMF),

antara tahun 1990-1996, jumlah modal yang mengalir masuk ke pasaran-pasaran baru

muncul Asia melebihi USD$ 400 billion. Dana tersebut mengalir masuk dalam bentuk

pelaburan langsung (dengan membeli syarikat-syarikat atau membina kilang-kilang),

pinjaman bank serta membeli saham dan bon. Zaman muncah (keajaiban Asia, ekonomi

naga, ekonomi harimau) berlaku apabila modal asing itu ditukar menjadi mata wang

tempatan dan dibelanjakan dalam pelbagai sektor. Maka pastilah tidak mungkin bahawa

segala wang tersebut telah disalurkan kepada pelaburan yang bijaksana.[4]


Aliran masuk modal terhenti malah berbondong-bondong merempuh keluar apabila

para si peminjam (creditors) itu membuat tafsiran bahawa dana tersebut semakin banyak

yang digunakan untuk membina bangunan, kilang dan pejabat yang sebenarnya tidak

diperlukan. Maka tinggallah negara-negara tersebut sebagai mangsa krisis ekonomi dan

penanggung hutang luar yang amat besar jumlahnya.[5]

Implikasi daripada fenomena ini amat mendalam yang bukan setakat menurunkan

nilai mata wang dan harga saham sesebuah negara yang telibat, bahkan membawa kepada

kegawatan ekonomi secara keseluruhannya di samping memberi kesan jangkitan kepada

negara-negara serantau. Penurunan nilai mata wang menular ke seluruh Asia.

Negara Thailand umpamanya, mengalami kejatuhan nilai mata wang baht ke paras

paling rendah dalam tempoh 30 tahun, satu situasi yang menggegarkan seluruh Thailand.

Sejak 2 Julai 1997, nilainya susut sehingga 25 peratus. Seterusnya ekonomi Thailand diramal

sekadar meningkat 2.5 hingga 3 peratus sahaja pada 1997, iaitu kadar paling perlahan dalam

tempoh tiga dekad, berbanding 6.4 peratus pada 1996.[6]

Sejak bulan Julai 1997, nilai ringgit telah jatuh dengan ketaranya. Dari RM2.50

kepada satu dolar AS, ringgit turun nilai kepada RM4.16 (8 Julai 1998) kepada satu dolar AS.

Sebaliknya dolar AS mengukuh sebanyak 66 peratus berbanding ringgit. Kejatuhan dalam

mata wang adalah berkait rapat dengan kejatuhan di bursa saham. Indek Komposit Bursa

Saham Kuala Lumpur (BSKL) umpamanya menjunam daripada paras tertinggi 1271 pada 25

Februari 1997 kepada 262.7 mata pada 1 September 1998. Nilai pasaran ini merosot melebihi

dua pertiga daripada mata tertinggi tersebut, iaitu daripada RM917 bilion kepada RM181.5

bilion pada tempoh yang sama menyebabkan kerugian melebihi RM700 bilion dalam pasaran

sahamnya.
Insiden Krisis Kewangan Di Asia Bermula Julai 1997

Dalam menghuraikan bagaimana terjadinya krisis kewangan di rantau Asia ini,

pelbagai pendapat dan teori telah dikemukakan oleh ahli-ahli ekonomi. Masing-masing

mempunyai hujah tersendiri untuk menyokong pendapat mereka. Sama ada faktor itu

berbentuk faktor luaran atau dalaman, ataupun faktor di luar batasan kawalan manusia,

semuanya memainkan peranan yang sama penting untuk mencetuskan krisis kewangan.

Faktor-faktor terjadinya krisis.

1. Peranan spekulator mata wang.

Pada amnya, semua orang bersetuju bahawa krisis kewangan di rantau ini adalah

disebabkan mainan spekulator mata wang. Ini dibuktikan dengan pengaliran keluar kira-kira

AS$115 bilion dari lima negara utama yang mengalami krisis (Korea, Thailand, Indonesia,

Filipina dan Malaysia) sejak bermula krisis sehingga September 1998.[7]

George Soros merupakan spekulator mata wang yang dikaitkan dengan faktor ini.

Perdana menteri Malaysia telah menyebut beliau sebagai antara penyangak mata wang dunia

yang berniat jahat untuk memporak-perandakan ekonomi negara-negara miskin dan sedang

membangun khususnya Asean.[8] Beliau dan konco-konconya yang menguasai pengurusan

dana asing yang besar berpakat menyerang pasaran Asean bagi menyekat kelahiran harimau

ekonomi yang bakal mengaum dipasaran antarabangsa. Serangan mereka tidak terhad di

Asean sahaja. Mereka mempunyai strategi untuk menyerang Hong Kong, dan kemudiannya

menyekat kemaraan China sebagai gergasi ekonomi di rantau Pasifik.[9]

Apa yang paling dibimbangi oleh Barat, khususnya Amerika ialah kebangkitan China

sebagai gergasi ekonomi dan politik yang bakal mengubah pusat ketuanan politik dan

perdagangan antarabangsa . Soros dan konco-koncomya sedar, jaringan usahawan China


yang sudah lama bertapak di Asia akan menjadi anarkis pembangunan ekonomi China. Di

Asean sahaja, kira-kira 50 juta rakyat keturunan China memiliki hampir AS$ 3 trilion harta

dan mereka kini menjadi pelabur yang paling aktif di China. Usahawan keturunan China yang

dipanggil China Seberang Laut oleh Barat kini sudah menjalin perkongsian dengan rakyat

tempatan untuk menerokai pasaran antarabangsa.

Dengan melemahkan pasaran Asean yang diramal muncul sebagai pusat pertumbuhan

penting ekonomi dunia pada abad ke-21, anarkis ekonomi Barat berharap dapat menyekat

kemaraan dan penerokaan usahawan Asean ke pasaran China dan pasaran baru di Afrika,

Amerika Selatan dan negara-negara Balkan. Ini adalah strategi politik yang tentunya

mendapat restu daripada pemimpim politik Barat.[10] Ditambah pula dengan keadaan ekonomi

di negara-negara Asia yang seolah-olah menggamit kedatangan mereka.

Bagaimanakah aktiviti spekulasi ini menyebabkan kejatuhan mata wang sesebuah

negara ? Sebagai contoh, sekiranya nilai mata wang sesebuah negara diramalkan akan turun,

para spekulator akan bertindak menjual mata wang tersebut di kedua-dua pasaran semerta

dan pasaran hadapan. Apabila nilai mata wang tersebut benar-benar-turun, maka mata wang

tersebut akan dibeli kembali pada kadar yang murah. Perbezaan antara jualan dengan belian

adalah keuntungan yang akan diperoleh oleh spekulator. Begitu juga sekiranya sesuatu mata

wang akan dinaikkan nilainya, spekulator akan membeli mata wang tersebut di pasaran

semerta dan pasaran ke hadapan. Apabila nilai mata wang tersebut betul-betul meningkat,

spekulator akan menjual dengan memperoleh keuntungan daripada urusniaga

tersebut.[11]

2. Krisis keyakinan dan kesan penularan.

Faktor teknikal yang juga perlu diambil kira walaupun sukar untuk dikuantitikan tetapi

mempunyai kesan yang besar terhadap permintaan dan penawaran sesuatu mata wang.
Faktor teknikal yang dianggap penting dan memerlukan huraian ialah keyakinan oleh pihak

pedagang mata wang dan pelabur terhadap sesuatu mata wang yang diniagakan. Faktor

keyakinan ini selalunya dipengaruhi oleh keadaan ekonomi dan politik sesuatu negara yang

mata wangnya terlibat.

Sekiranya keadaan ekonomi dan politik sesebuah negara itu kurang meyakinkan, para

pelabur, pedagang ataupun spekulator akan menjual mata wang negara tersebut di pasaran.

Ini adalah realiti apa yang telah berlaku ke atas negara-negara di Asia baru-baru ini.

Disebabkan dasar-dasar ekonomi dan politik yang tidak disenangi ini membuatkan para

pelabur hilang keyakinan terhadap mata wang negara-negara tersebut. Oleh sebab itu,

mereka bertindak tidak akan memegang mata wang tersebut, sebaliknya akan menjualnya.

Jadi soal keyakinan terhadap faktor-faktor politik dan ekonomi boleh mempengaruhi

perdagangan pasaran terutamanya kepada pedagang, pelabur dan spekulator terhadap aliran

kadar pertukaran sesuatu mata wang.[12]

Pertumbuhan ekonomi yang pesat di negara-negara Asia Tenggara telah diikuti oleh

pertumbuhan pesat kredit sektor swasta dan inflasi harga aset, termasuk di pasaran hartanah

dan pasaran saham, ini meningkatkan kebimbangan bahawa kadar tukaran para pelabur ini

tidak dapat dipertahankan. Beberapa petunjuk ekonomi makro ini mendedahkan bibit

masalah sejak beberapa tahun sebelum krisis lagi terutama di Thailand, Indonesia dan Korea.

Apabila berlaku masalah di Thailand, para pelabur terutama pelabur asing melihatnya

sebagai suatu risiko, lebih-lebih lagi apabila mereka melihat rantau ini sebagai satu

kelompok.[13] Mereka menganggap Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina ini berada

dalam satu kumpulan ekonomi dan mempunyai ciri-ciri dan struktur ekonomi yang sama. Jika

sekiranya terdapat kelemahan struktur di Thailand dan Filipina umpamanya, mereka

menganggap kelemahan itu juga wujud dalam ekonomi Malaysia, walaupun tanggapan itu
tidak benar. Jadi berdasarkan itu, mereka menarik keluar pelaburan mereka dari negara-

negara lain.[14]

Disebabkan pelabur asing menarik keluar modal mereka, pengaruh mereka ini

menular kepada pelabur tempatan yang menyebabkan mereka turut menarik keluar modal

kerana terpengaruh dan tidak mahu kerugian.

Faktor keyakinan ini turut dipengaruhi oleh kadar simpanan (rizab) negara-negara

terbabit. Lima ekonomi yang boleh bertahan ialah yang mempunyai banyak simpanan, iaitu

Jepun, Taiwan, China, Hong Kong dan Singapura. Simpanan negara-negara ini adalah yang

paling besar di dunia. Tidak semestinya ada banyak perbezaan dari segi pengurusan ekonomi.

Tetapi kerana negara-negara itu mempunyai banyak simpanan, maka pihak yang hendak

berspekulasi akan berfikir beberapa kali sebelum bertindak. Untuk menjatuhkan baht

Thailand, mereka lebih yakin kerana simpanan Thailand hanya cukup untuk membeli bagi

tempoh empat bulan sahaja. Lagipun pertumbuhan eksport dan ekonomi Jepun sudah mulai

perlahan berbanding Malaysia dan Indonesia.[15]

Apabila krisis bermula, putaran ganas ini sukar dibendung. Lebih banyak berita buruk

yang timbul berbanding dengan berita baik. Walaupun para pedagang mata wang ini

bertindak saecara negatif berikutan sesetengah berita buruk, kerosakan yang dibuat mungkin

terhad kepada magnitud pahala itu sahaja. Sekiranya ketelusan itu tidak memadai, orang

ramai akan bergantung kepada sumber maklumat lain seperi laporan media asing dan khabar

angin. Satu masalah kecil yang timbul boleh menjadi kelam kabut apabila pasaran mendapati

bahawa masalah yang timbul berkemungkinan lebih teruk daripada apa yang diberitahu.

Malahan berita buruk dan statistik rasmi diterima dengan mencurigakan. Pasaran

mengandaikan bahawa pihak berkuasa ataupun pihak yang berkepentingan ada

menyembunyikan sesuatu.
Dalam keadaan yang begitu, pasaran akan membuat pendirian yang paling

konservatif, seperti melambakkan saham-saham tempatan dan memindahkannya ke tempat

yang dianggap selamat. Satu perubahan sahaja oleh sesiapa atau atas sebab apa sekalipun,

terutama pengguna dan pelindung akan menyemarakkan lagi pemindahan saham dari

pasaran.[16]

3. Intergrasi dalam pasaran sejagat.

Perkembangan pesat teknologi maklumat mutakhir ini mendekatkan sesebuah negara

dngan negara lain. Era globalisasi atau dikaitkan dengan dunia tanpa sempadan turut menjadi

penyumbang kepada krisis ini. Ia bagaikan satu kemestian arus dunia menuntut semua

negara berintegrasi dalam sistem ekonomi global. Lantas tanpa persediaan yang rapi negara-

negara sedang membangun termasuk di Asia ini terpaksa mengikut arus ini.

Suatu pandangan yang pernah dikemukakan oleh Kumiharu Shigehara, Timbalan

Ketua Setiausaha Organisasi Kerjasama Dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam kertas

kerjanya yang berjudul Causes And Implication of The East Asian Financial Crisis, beliau

menulis bahawa penyebab yang lebih utama bagi krisis tersebut ialah sejauh mana

terintegrasinya sesebuah negara itu ke dalam sistem pasaran kewangan global. Menurut

beliau, Sifat turun naik kadar pertukaran (di Asia) sebahagian besarnya disebabkan oleh

peralihan dalam aliran modal dan hilang kepercayaan yang bersifat self-fullfilling (apa yang

diramal ialah yang terjadi) memain peranan penting dalam memperdalam dan

memperluaskan krisis tersebut.[17]

Hari ini pasaran mata wang global dalam sistem tersebut hampir RM 10 trilion sehari

dagangannya dengan berbilion-bilion lagi menyerapi pasaran saham dan pasaran bon.

Pasaran itu merupakan pasaran elektronik yang bersifat berbondong-bondong (herd). Bila
gerombolan-gerombolan besar itu dengan tiba-tiba berebut-rebut lari keluar, maka negara-

negara besar dan kecil yang telah mengintegrasikan diri kepada sistem global itu akan

menanggung kesannya yang amat parah.

Sebenarnya, sejauh mana terintegrasinya atau terserapnya ke dalam pasaran global

terserah kepada pilihan sendiri. Dengan tahap integrasi yang kurang, maka mungkin lebih

sedikit pulalah jumlah modal dan aset yang dapat dimanfaatkan dan besar kemungkinannya

kadar pertumbuhan ekonomi di rantau ini tidak semudah dan secepat itu mencapai tahap

keajaibannya. Namun godaan untuk melakukan integrasi sepenuhnya itu tentulah amat kuat

pula kerana dengan itu tentulah lebih banyak wang panas yang dapat dimanfaatkan untuk

merealisasikan pembangunan yang dirancang.[18]

Tetapi hakikatnya, negara-negara sedang membangun ini masih belum mempunyai

sistem kewangan yang mantap untuk menerima sepenuhnya globalisasi dan liberalisasi urus

niaga akaun modal (capitai account transaction).

Penubuhan Bangkok International Banking Facility (BIBF) atau Kemudahan Perbankan

Antarabangsa Bangkok pada 1993 adalah bagi memudahkan syarikat atau bank-bank

tempatan membuat pinjaman dari luar negara. Keadaan ini secara langsung memudahkan

kemasukan mata wang asing ke Thailand dengan kira-kira AS$ 50 bilion mengalir ke negara

tersebut antara 1993 hingga 1996. Dalam tempoh tersebut KNK Thailand tumbuh sebanyak

8.1 peratus.[19]

Kesan penubuhan BIBF ini menyebabkan urus niaga akaun modal sukar dikawal oleh

kerajaan Thailand. BIBF, tidak seperti pasaran luar pantai yang konvensional , telah

melibatkan diri dalam urus niaga keluar-masuk, iaitu modal yang diperoleh daripada

pemodal asing dipinjamkan kepada peminjam tempatan. Sebahagian modal itu


mengakibatkan berlakunya aktiviti spekulatif dalam pasaran harta, sehingga akhirnya sistem

kewangan dibebani oleh hutang lapuk yang besar jumlahnya. Keadaan begini ternyata

memberi ruang yang luas kepada para spekulator dan pengurus dana yang rakus.[20]

Pada 1996 IMF sendiri telah memberi amaran bahawa Thailand akan menghadapi

krisis, namun tiada apa yang dilakukan ketika itu untuk menghadapi sebarang musibah atau

untuk mengelak risiko yang diramal bakal berlaku. Akhirnya Thailand menjadi mangsa krisis

kewangan pertama di kalangan negara-negara Asia berikutan serangan spekulator terhadap

mata wangnya.

Begitulah juga apa yang berlaku ke atas Indonesia apabila tenaga-tenaga pasaran

global itu memutuskan bahawa pertumbuhan ekonomi Indonesia tidak lagi boleh dianggap

sebagai mapan. Maka berlakulah pelarian keluar berbondong-bondong modal.

Begaimanapun suara mangsa krisis ekonomi global ini pada asasnya berpaut pada

semacam teori konspirasi mengandaikan terdapat satu persekongkolan di kalangan

orang atau kuasa luar terhadap negara Asia dalam suatu rencana besar untuk kembali

menjajah negara-negara Asia itu sebagaimana yang pernah terjadi dalam sejarah. [21]

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir ketika berucap di Tokyo ada

menyebut bahawa krisis kewangan di Asia ini adalah merupakan satu penjajahan cara baru

untuk menguasai negara melalui globalisasi ekonomi. Beliau mengemukakan suatu senario

yang amat menakutkan tentang kemungkinan sebuah dunia tanpa sempadan dan tanpa

peraturan yang akan menaggung kesan penaklukan mutlak golongan kapitalis dan kolonialis

baru itu terhadap negara-negara membangun. [22]


Negara yang berada pun boleh dijajah dengan menjadikannya negara miskin dan

mengemis dalam masa yang amat singkat, tanpa seorangpun askar penjajah terbunuh dan

tercedera. Apabila negara menjadi miskin, maka politiknya akan menjadi tidak stabil dan

rebutan kuasa akan berlaku. Dengan itu, pemimpin akan ditukar sehingga terdapat yang

sanggup mengikut kehendak kuasa dunia. Dengan perkataan lain, penjajahan sudah

berlaku.[23] Begitulah Dr. Mahathir mengemukakan teori imperialisme ekonomi kapitalis

baru.

Sebenarnya, tahap integrasi yang diputuskan sendiri oleh sesebuah negara untuk

dilaksanakan dalam sistem ekonomi global yang baru bercirikan peranan teknologi maklumat

itu adalah lebih kuat menentukan krisis tersebut. Kehebatan konsprasi dan niat jahat kuasa

luar sahaja tidak memadai bagi menghuraikan tahap krisis kerana negara-negara inilah

dikatakan mengundang mereka.

Kesimpulan yang dapat dibuat daripada pandangan ini ialah bahawa penyertaan dalam

sistem global itu mestilah diambil secara suatu keseluruhan (package) tidak boleh secara

berpilih-pilih. Tidak boleh dinikmati wang panas yang disediakan melalui globalisasi ekonomi

tanpa mengambil tanggungjawab membina institusi kewangan, undang-undang dan politik

untuk memastikan pengagihan hasilnya dibuat secara adil.[24]

4. Kelemahan polisi ekonomi dalaman.

Menyalahkan orang lain semata-mata tanpa melihat kelemahan diri sendiri merupakan

satu tindakan yang kurang tepat. Para pemimpin negara yang menjadi mangsa krisis lebih

suka menuding jari kepada spekulator semata-mata kononnya meruntuhkan sistem ekonomi

yang mereka bina selama ini. Walhal para pedagang mata wang ini merupakan golongan yang

oportunis terhadap peluang-peluang pelaburan yang dapat memberi keuntungan lumayan

kepada mereka. Kebetulannya, negara-negara sedang membangun di Asia ini gagal


melaksanakan polisi ekonomi mereka dengan sempurna lantaran ingin menikmati

pembangunan yang cepat dan berterusan. Kesempatan inilah yang telah direbut sebaiknya

oleh spekulator mata wang untuk membuat untung.

Kelemahan polisi dalaman ini boleh kita lihat dari beberapa aspek :

1. Ekonomi yang meruap/ bertumbuh melebihi potensi sebenar.

Kebanyakan negara di Asia ini berada dalam kelompok negara sedang membangun

seperti Thailand, Malaysia, Indonesia dan sebagainya. Jadi dalam usaha membangunkan

ekonomi dan negara mereka, pelbagai pendekatan dan diamalkan bagi memantap,

menyaingi dan memperkukuhkan ekonomi masing-masing.

Dalam beberapa tahun sebelum krisis, ekonomi Asia timur ini khususnya telah

mengalami pertumbuhan yang begitu pesat. Pertumbuhan ini telah disertai dengan kadar

inflasi yang rendah, pendapatan per kapita yang meningkat dan kemiskinan yang

berkurangan.

Di Thailand umpamanya, pada penghujung tahin 1996, Kementerian kewangan

Thailand begitu pasif terhadap masa depan ekonomi negaranya dengan meramalkan

pertumbuhan kekal pada purata 7-7.5 peratus setahun serta mengekalkan inflasi pada

kadar maksima lima peratus sepanjang tiga peratus lagi. Mereka turut meramalkan defisit

akaun semasa berada pada kadar antara 7.5 hingga 7.9 peratus daripada Keluaran Dalam

Negara Kasar (KDNK) pada 1997. Eksport pula dijangka meningkat. [25] Keadaan ini

melekakan kerajaan Thailand daripada membuat sebarang langkah menghadapi sebarang

musibah yang tidak dijangka.

Begitu juga dengan Malaysia, KNDK sebenar telah mencatat pertumbuhan sebanyak

8.5 peratus bagi tempoh 1991 hingga 1997, manakala pendapatan perkapita telah
meningkat dua kali ganda dalam nilai dolar AS pada 1997. Di samping itu, kadar

kemiskinan berjaya dikurangkan dari 16.5% kepada 6.1% dalam tempoh yang sama.Ini

ditambah pula dengan asas ekonomi yang kukuh.[26]

Pertumbuhan yang pesat ini tanpa disedari mengundang musibah. Kadar pertumbuhan

ekonomi Malaysi sejak 1987 hingga 1997 dikatakan telah melebihi potensinya iaitu

melebihi kadar sumber yang dimiliki. Maksudnya, kadar pertumbuhan sebenar (real

growth rate) Malaysia melebihi kadar potensi pertumbuhan (potential growth rate)

berdasarkan sumber yang ada. [27]


Dengan demikian sudah tentu ia akan menimbulkan

tekanan kepada negara.

2. Defisit akaun semasa dalam imbangan pembayaran.

Defisit akaun semasa dalam imbangan pembayaran juga menyumbang kepada krisis

yang berlaku ini. Akaun semasa imbangan pembayaran merekodkan urus niaga barangan,

perkhidmatan dan bayaran pemindahan. Sekiranya sesebuah negara mengalami defisit

dalam akaun semasa pembayaran disebabkan jumlah import barangan dan perkhidmatan

lebih banyak daripada jumlah eksport, nilai mata wang sesebuah negara itu akan susut.

Ini disebabkan apabila sesebuah negara importnya meningkat, permintan terhadap mata

wang negara pengeksport atau mata wang negara ketiga sekiranya digunakan dalam urus

niaga juga akan meningkat. Kesan terhadap mata wang negara pengimport ialah

penurunan nilainya. Ini disebabkan penawaran mata wang tersebut akan meningkat di

pasaran dan dengan itu nilainya akan menurun. Imbangan pembayaran sesebuah negara

akan mewujudkan peningkatan permintaan terhadap mata wang negara tersebut dan

dengan ini akan meningkatkan nilainya.[28]

Dari segi teorinya, defisit akaun semasa, terutamanya untuk jangka masa sementara

waktu adalah tidak mengapa. Ia merupakan ciri-ciri bagi negara sedang membangun yang
ekonominya berkembang pesat, kerana barang-barang modal dan barang perantaraan

perlu diimport sebagai keperluan dalam pembangunan negara. Misalnya kapal minyak,

kapal terbang, jentera berat dan mesin perlu diimport kerana tanpanya pembangunan

tidak dapat dijalankan.

Yang menjadi masalahnya ialah bagaimana untuk membiayai atau menutup defisit

tersebut. Pada masa beberapa tahun dahulu, ia dibiayai sebahagian besarnya, kira-kira

80 peratus oleh pelabur asing melalui pelaburan secara langsung dan selebihnya melalui

urus niaga modal antara kerajaan, seperti Bank Dunia, IMF dan sebagainya. Tetapi

beberapa tahun kebelakangan ini, modal jangka pendek atau pelaburan portfolio masuk

lebih banyak daripada pelaburan secara langsung.[29] Ia mendedahkan kepada aliran

keluar-masuk modal jangka pendek yang akan menyebabkan keadaan ekonomi tidak

stabil. Defisit dalam akaun semasa berlaku apabila jumlah yang diimport lebih besar

daripada jumlah yang diimport sabagaimana yang diterangkan sebelum ini. Walau

bagaimanapun negara yang mempunyai defisit akaun semasa yang kecil seperti Filipina

pun terkena juga krisis ini. Jadi, itu menunjukkan bahawa bukan defisit akaun semasa

samata-mata yang menjadi faktornya.

3. Produktiviti yang rendah dan pertumbuhan kredit dalam sektor yang

tidak produktif.

Dikatakan dalam 3-4 tahun lepas, perkembangan dalam sektor hartanah adalah

melampau. Maksud hartanah ini termasuklah juga tanah untuk tapak rumah, dan padang

golf, bangunan untuk ruang pejabat dan seumpamanya. Sektor inilah yang paling tidak

produktif kerana ia tidak memberikan apa-apa sumbangan kepada ekonomi.[30]

Di Thailand, sehingga 400,000 buah rumah bernilai AS$2 bilion dikatakan tidak

mampu dijual. Para pemaju seterusnya tidak mampu menjelaskan pinjaman bank masing-
masing.[31] Ini akan menyebabkan berlaku inflasi harga aset iaitu apabila pembeli-pembeli

tidak dapat membayar harga rumah dan pemaju tidak mendapat pulangan daripada

pelaburan mereka. Pinjaman tak berbayar bank-bank akan meningkat.

Di Malaysia, industri yang berkembang pada pertengahan 90-an bukanlah industri

yang berdaya saing diperingkat antarabangsa, tetapi industri yang dilindungi seperti

Proton dan juga projek-projek pembinaan seperti KLCC, Empangan Bakun,dan lain-lain

projek mega. Projek-projek seperti ini bukan meningkatkan daya saing sebaliknya

menjadi beban kepada ekonomi negara kita. Pembangunan sektor hartanah telah

menggunakan 50 peratus daripada jumlah pinjaman yang diluluskan. Ini menunjukkan

arah pertumbuhan ekonomi yang tidak efisien.

Ditambah pula dengan daya pengeluaran atau produktiviti sektor perkilangan yang

amat rendah. Walaupun Malaysia merupakan pengeksport air-conditioner yang terbesar

di dunia dan pengeksport semiconductor kedua terbesar di dunia, namun semua itu

memberi nilai tambah yang sangat kecil. Misalnya, dalam pengeluaran televisyen, bagi

sebuah televisyen yang dikeluarkan, pengilang hanya mendapat kurang daripada RM100

upah pemasangan. Vacum cleaner yang harganya RM300-RM400, pengilang hanya

mendapat RM5 bagi setiap satu yang dipasangnya. Walaupun pertumbuhan sektor

perkilangan dikatakan sangat pesat, nilai tambah sektor ini sangat rendah, malah lebih

rendah daripada sektor pertanian.[32]

Pertumbuhan sektor eksport Thailand berupa komponon komputer merosot kerana

penjualan komputer dunia merosot. Eksport barangan kelas bawahan seperti tekstil dan

kayu Indonesia juga merosot .


Disamping itu, sumber buruh dikatakan masih berada pada tahap lama dengan

pemindahan teknologi yang berlaku amat perlahan. Sebahagian besar kemahiran yang

diperlukan belum ada. Dengan lain perkataan tidak ada kecekapan dalam pengeluaran.

4. Unsur kronisme dan nepotisme dalam pengagihan kekayaan negara.

Faktor ini sebenarnya kurang kukuh kerana bukti yang nyata untuk mensabitkan krisis

dengan aktiviti ini kurang jelas. Walau bagaimanapun ia tetap ada tetapi berjaya

disembunyikan oleh pemerintah.

Unsur kapitalisme kuncu dapat dilihat dalam usaha menyelamatkan kepentingan pihak

tertentu menunjukkan ia memainkan peranan mempengaruhi siapa yang hendak dipilih.

Misalnya tabung RM60 bilion yang diumumkan kerajaan Malaysia untuk menyuntik semula

syarikat yang hampir lemas yang diumumkan pada Mac 1998 melibatkan nama seperti

Mirzan Mahathir (Konsortium Perkapalan Berhad), KUB (Koperasi UMNO) dan Tajudin

Ramli (MAS). Yang jelasnya, ketiga-tiga individu di atas melibatkan orang yang rapat

dengan orang atasan pemerintah. Tetapi kita tidak dapat membuktikan bahawa sejauh

mana kapitalisme kuncu memberi kesan langsung menyebabkan sistem ini runtuh. Yang

nyata, sejumlah besar kredit yang dikeluarkan pihak bank adalah untuk membiayai

projek-projek besar syarikat-syarikat tertentu. Sumber pembiayaan ini diperolehi

daripada dana asing.

Namun begitu, pembolotan harta oleh segelintir individu tertentu yang terpilih

ini menunjukkan ketidakadilan dalam pengagihan kekayaan negara telah berlaku.

Golongan yang rapat dan mempunyai kepentingan dengan pemerintah mendapat

keutamaan dalam pembiayaan. Kemampuan individu-individu terpilih ini untuk muncul

sebagai usahawan-usahawan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa

bagaimanapun boleh dipertikaikan. Bagaimana orang-orang yang dihidangkan dengan

projek-projek pasti untung, tanpa pengalaman atau modal boleh muncul sebagai
usahawan tulen bertaraf antarabangsa yang penuh mencabar. Di Indonesia pengagihan

kekayaan dikatakan berlegar dalam keluarga bekas presidennya, Suharto.

Walau bagaimanapun faktor korop dianggap lemah kerana sehingga kini tiada bukti

yang nyata untuk membuktikan tuduhan tersebut.

5. Teori pusingan ekonomi.

Krisis kewangan yang membawa kepada krisis ekonomi seperti yang melanda rantau

Asia ini dikatakan merupakan satu fenomena semulajadi dalam suatu ekonomi. Keadaan

kemelesetan ini adalah sesuatu yang pasti berlaku kepada sesuatu ekonomi dalam lingkungan

setiap sepuluh tahun.

Mengikut pendapat Dr. Barjoyai Bardai, Malaysia sepatutnya telah pun menyambut

kemelesetan ekonomi ini tiga atau empat tahun yang lalu. Kedatangan fenomena ini

merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan sunnatullah umpama

pasang surut air. Bahkan al-Quran sendiri ada menerangkan fenomena ini dalam surah Yusuf

ayat 47 hingga 49.

Allah S.W.T. berfirman yang mafhumnya :

Yusuf berkata : Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa;

maka hendaklah kamu biarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan.

Kemudian akan datang sesudah itu tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan

apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit). Kecuali sedikit dari (bibit

gandum) yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya

manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memeras anggur.

Dalam surah Yusuf ini memang ada mengatakan ada pusingan, di mana tujuh tahun

yang mewah sebagai persedian untuk tujuh tahun yang susah. Cuma maksud tujuh tahun
tidak dapat difahami secara literal, kerana dalam bahasa Arab sesuatu yang lebih daripada

dua adalah tujuh.[33]

Mengikut analisis ahli ekonomi, kemelesetan akan berlaku apabila pasaran hartanah

memuncak. Hal ini berlaku di Thailand dan Malaysia satu setengah atau dua tahun yang lalu.

Selepas pasaran hartanah mencapai puncak , bank akan menaikkan kader faedah, dan

kemudian kecairan dalan pasaran akan menjadi kecut. Ini merupakan permulaan kepada

krisis. Selepas itu, kecairan sepatetnya semakin kecut dalam pasaran, sehingga peniaga

peniaga menjadi sesak dan pasaran saham serta-merta akan turun kerana tidak ada kecairan

untuk menyokong. Lima tahun menurun dan lima atau enam tahun menaik.[34]

Walau bagaimanapun, disebabkan pertumbuhan yang berterusan selama beberapa

tahun, pemimpin-pemimpin di negara-negara Asia cuba menafikan ekonomi boleh turun naik.

Di Malaysia misalnya, krisis ini sepatutnya berlaku tiga atau empat tahun yang lalu jika

diikutkan pusingan yang normal. Tetapi kerajaan telah mengolah ekonomi itu dan

menolaknya dengan cara yang tidak natural. Contohnya dengan melaksanakan pelbagai

projek mega dan menolak naik nilai pasaran hartanah. Itu memberi sumbangan yang banyak

terhadap kenaikan Keluaran Negara Kasar (KNK). Jadi, walaupun sebenarnya ekonomi sedang

mengalami situasi menurun, tetapi ia disembunyikan oleh projek-projek mega ini.

Kalau kemelesetan itu dirancang dengan baik, ia boleh menjadi sesuatu yang sangat

positif. Kita tidak akan mengalami krisis yang teruk , kerana memang dengan sengaja

menekan ekonomi itu turun dan menyediakan infrastruktur baru sesuatu membuat

pelancaran baru untuk sesuatu pusingan yang baru.[35] Tingkat kecekapan dan produktiviti

ditingkatkan di samping sumber teknologi yang ada dibangunkan dan diganti mengikut

keperluan semasa.
6. Peringatan daripada Tuhan.

Teori yang berkaitan dengan pemikiran keagamaan ini sukar hendak diuji. Ada orang

mengatakan ini adalah keadaan yang menunjukkan kita banyak melakukan perkara-perkara

yang bertentangan dengan ajaran agama, menyebabkan kita dilanda musibah satu demi satu

seperti jerebu, kekurangan air, tanah runtuh dan pelbagai bala lagi. Tetapi teori ini sukar

untuk disahkan.[36]

Sebagai orang Islam, kita sewajarnya mengambil pengajaran daripada apa yang

berlaku di masa silam dan mengaitkannya dengan apa yang dilakukan di masa kini. Segala

kemewahan dan kemajuan yang dianugerahkan oleh Allah adalah merupakan pemberian-Nya

yang tidak terhingga. Kita hendaklah menjadi hamba yang taat setia serta bersyukur atas

segala nikmat tersebut. Antara nikmat yang dianugerahkan-Nya ialah nikmat kemerdekaan

dan kekayaan sumber asli seperti minyak, kelapa sawit bijih timah dan sebagainya.

Allah mempunyai sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim, apabila Dia menyatakan kemurkaan-

Nya tentulah pihak yang dimurkai itu benar-benar bersalah. Secara analoginya, seseorang

bapa yang terkenal dengan sifat penyayangnya kalau pada suatu hari beliau memukul

anaknya, tentulah si anak itu telah melakukan kesalahan yang besar.[37]

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di lautan dengan

sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya yang demikian)

kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbutan buruk

yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan

bertaubat). Surah Ar-Rum ayat 41.


Allah menurunkan bala sebagai pengajaran supaya manusia sedar akan kesalahan

yang mereka lakukan dan kembali bertaubat kepada-Nya. Krisis kewangan dan krisis ekonomi

jika dilihat dari perspektif keagamaan atau dari sudut syariah, memang ada hubung kaitnya

dengan amalan bisnes dan sistem ekonomi yang diamalkan sekarang. Sistem ekonomi

kapitalis yang berasaskan riba tidak mengambil kira dosa dan pahala, sedangkan dalam Al-

Quran memerintahkan supaya meninggalkan saki baki amalan berunsurkan riba. [38]

Pengajaran Daripada Krisis

Terdapat beberapa iktibar dapat diambil oleh para pemerintah negara yang terlibat

ekoran krisis ini agar pembangunan yang ingin dibuat nanti tidak terdedah kepada risiko yang

tinggi.

Pertama, krisis kewangan ini wajar dijadikan iktibar tentang betapa pentingnya

langkah berjaga-jaga yang berterusan dilaksanakan dalam semua sektor ekonomi, khususnya

sektor kewangan. Kecuaian dan kealpaan dalam menyelia dan menyelenggara sistem dan

struktur asas ekonomi, serta kegagalan menjangkakan perubahan drastik atau fenomena

yang mengancam dari luar negara, sudah pasti akan mendedahkan kestabilan dan

kedinamikan ekonomi kepada serangan spekulatif.[39]

Antara faktor yang dianggap penting untuk memperkukuhkan asas ekonomi ialah

produktiviti. Produktiviti yang rendah menurut penganalisis ekonomi bukan sahaja menjadi

pendorong berlakunya spekulasi dalam pasaran kewangan, tetapi juga mencetuskan defisit

akaun semasa yang besar serta pertumbuhan eksport yang lembab. Sebaliknya apabila

produktiviti tinggi, kadar eksport akan meningkat dan dengan penurunan nilai mata wang,

daya saing barangan eksport itu akan lebih meningkat.[40]


Kedua, kepentingan memahami dan mengkaji risiko globalisasi dan integrasi ekonomi.

Krisis yang berlaku ini ada kaitannya dengan kegagalan mengambil kira dan mengenal pasti

risiko sampingan globalisasi seperti kesan penularan atau kesan jangkitan. Negara-negara

membangun di rantau ini sebenarnya masih belum mempunyai sektor kewangan yang

mantap, tetapi bersikap terburu-buru meliberalisasikan akaun modal seperti yang berlaku di

Thailand dan akhirnya mendedahkan peluang kepada aktiviti spekulatif yang seterusnya boleh

meruntuhkan seluruh sistem yang telah dibina.

Pengajaran ketiga ialah jangan terlalu leka dengan kesenangan. Dalam sepuluh tahun

terakhir ini, negara-negara membangun di Asia ini telah mencatatkan pertumbuhan yang

memberansangkan. Keadaan ini berjaya menarik minat para pelabur asing menanam modal

dalam pelbagai sektor terutamanya dalam bentuk pelaburan portfolio. Secara langsung

banyak modal dapat dikumpul hasil dari wang panas tersebut.

Modal yang banyak ini bagaimanapun disalurkan sektor-sektor yang tidak produktif,

misalnya bidang hartanah dan pasaran saham. Keadaan ini telah menggalakkan spekulasi

dan inflasi aset. Oleh itu, menjadi peranan pemerintah memastikan pertumbuhan ekonomi

adalah selari dengan kemampuan sebenar sesebuah negara dan dalam masa yang sama

memantau perkembangan yang berlaku di sekelilingnya. Pemerintah seharusnya memastikan

tidak berlaku pelaburan atau perbelanjaan yang melampau dan dibiayai pula dengan

pembentukan hutang yang terlampau besar. Dengan kata lain, semua pihak harus bertumbuh

selaras dengan kemampuan sumber yang ada.

Seterusnya pengajaran keempat, melalui krisis ini telah membuktikan betapa

kemantapan dan keposifan asas ekonomi mampu menjadi benteng penghalang ancaman dan

aktiviti spekulasi. Sekiranya petunjuk ekonomi seperti defisit pembayaran dan defisit akaun

semasa, kadar pertumbuhan, inflasi, indeks perindustrian, jumlah pinjaman domestik dan
pinjaman luar negara dan lain-lain menunjukkkan aliran perkembangan positif, maka para

spekulator itu akan berfikir beberapa kali sebelum melaksanakan muslihat masing- masing.

Oleh itu, kerjasama semua sektor perlu untuk mengekalkan petunjuk ekonomi positif.

Akhir sekali, krisis ini juga memberi pengajaran tentang pentingnya kerjasama

serantau dalam mewujudkan strategi kolektif untuk menentang sebarang spekulasi dalam

pasaran pertukaran asing, khususnya spekulasi yang bukan semata-mata bermotifkan

keuntungan, tetapi mempunyai agenda politik di sebaliknya.[41] Tanpa kesepaduan pendapat

dan tindakan, sesuatu langkah untuk menangani krisis kurang mencapai objektifnya.

Kesimpulan dan Penutup

Daripada perbincangan kita di atas, dapatlah dirumuskan bahawa krisis kewangan di

rantau Asia tidak mungkin separah ini sekiranya disebabkan satu faktor sahaja. Umpama

sebatang pokok yang teguh tidak mungkin akan tumbang dengan mudah walaupun tiupan

ribut. Ia pasti dibantu oleh keadaan akarnya yang mereput atau keadaan sekitar tempat ia

tumbuh yang mudah terdedah kepada pelbagai perubahan iklim.

Faktor spekulator bolehlah dikatakan sebagai pencetus kepada krisis, di samping

dibantu oleh faktor-faktor persekitaran dan kepincangan polisi ekonomi dalaman. Namun

untuk menuduh spekulator mata wang semata-mata sebagai pemusnah ekonomi di rantau

ini adalah satu tuduhan yang melulu. Sebagai pedagang yang oportunis, mereka pasti mahu

membuat untung yang banyak. Dan pada masa yang sesuai, apabila berlaku masalah-

masalah dalam pelaksanaan dasar ekonomi khususnya di Asia, mereka mengambil peluang.

Sebelum Julai 1997, petanda-petanda krisis sudah mula kelihatan dan pakar-pakar

ekonomi sendiri mengakuinya berasaskan perangkaan ekonomi sepanjang beberapa tahun

kebelakang ini. Garis-garis yang menyebabkan krisis ini kebetulan bersilang pada
pertengahan Julai 1997 untuk menjadikannya satu krisis kewangan. Faktor-faktor serangan

spekulator, integrasi ke dalam pasaran global tanpa prasarana yang secukupnya, kelemahan

dasar ekonomi dalaman, teori pusingan ekonomi dan balasan daripada Tuhan yang bertemu

pada masa yang sama, menyerlahkan krisis ini.

Kita juga boleh menilai apa sebenarnya yang tersirat di sebalik tindakan spekulator

terhadap beberapa negara di sebelah sini. Hal ini mungkin ada kaitannya dengan kebangkitan

negara-negara Asia yang berpotensi untuk menguasai ekonomi dunia menjelang abad ke-21.

Oleh itu, sebelum Harimau-harimau Asia mengaum adalah lebih baik kuku dan taringnya

dicabut. Mungkin itu merupakan salah satu tindakan Barat untuk menyekat kemaraan Asia

daripada mengatasi penguasaan ekonomi dan ketamadunan mereka.

Kesannya, bagi negara yang teruk dilanda krisis akhirnya terpaksa akur menerima

bantuan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) beserta pakejnya sekali. Dengan itu, negara-

negara ini terpaksa mengikut telunjuk IMF dalam pelaksanaan dasar-dasar bagi

menyelesaikan kemelut ekonomi negara masing-masing. Secara langsung Barat telah berjaya

untuk campur tangan terhadap urusan ekonomi negara tersebut. Inilah yang dimaksudkan

dengan penjajahan emperialisme kapitalis baru terhadap negara-negara Asia.

Sebagai manusia biasa, kita juga perlu menerima hakikat pusingan alam yang telah

ditentukan Tuhan. Ada ketika berada di atas dan pastinya akan turun semula. Ada kala

menguntungkan dan ada masa merugikan pula. Ini semua adalah bukti kekuasaan dan

keadilan Tuhan bagi mereka yang berfikir.

Anda mungkin juga menyukai