Anda di halaman 1dari 4

Pengenalan

Kecekapan membaca merupakan keperluan asas dalam proses pembelajaran.


Pumfrey (1977) berpendapat bahawa membaca bukan setakat bersifat mekanik, iaitu
membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab soalan-soalan tentang apa
yang dibaca, ia adalah lebih jauh daripada itu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2005), membaca bermaksud memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak
dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Hal ini jelas menunjukkan
bahasa proses membaca menekankan kefahaman yang mantap. Kemahiran
membaca penting untuk mendapatkan maklumat, pengetahuan dan fakta mengenai
sesuatu perkara. Di samping itu, kemahiran membaca merupakan kemahiran yang
merentas semua mata pelajaran. Justeru, guru tidak boleh memandang enteng
terhadap masalah kegagalan murid menguasai kemahiran membaca. Sekiranya murid
gagal menguasai kemahiran membaca dengan baik, hal ini akan mencetuskan
pencapaian rendah dalam pelajaran murid di sekolah.
Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, murid membaca untuk mendapatkan
maklumat atau fakta, mendapatkan gambaran keseluruhan tentang sesuatu tajuk,
memahami sesuatu persoalan, mengumpul pelbagai pendapat berkaitan dengan
sesuatu persoalan dan sebagainya. Untuk tujuan tersebut, setiap murid mesti
menguasai dua kemahiran membaca, iaitu membaca pantas dan juga membaca kritis.
Berbagai-bagai kaedah dan teknik pengajaran kemahiran membaca terdapat dalam
bahasa Melayu yang boleh digunakan oleh para guru untuk memastikan penguasaan
kemahiran membaca oleh para murid. Menurut Mangantar Simanjuntak (1982), teknik
merupakan muslihat, strategi atau taktik yang digunakan guru untuk mencapai hasil
segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu.
Ringkas kata, teknik ialah cara yang dicipta sebelum sesuatu perlakuan dijalankan dan
paling berkesan untuk mencapai objektif tertentu. Antara contoh teknik pengajaran
kemahiran membaca yang terdapat dalam bahasa Melayu ialah teater pembaca,
bimbingan menjangka, teknik DRTA, teknik SQ4R dan teknik KWLH.

Teknik SQ4R diperkenalkan oleh Pauk (1984) dan merupakan teknik membaca
melalui langkah-langkah seperti berikut: tinjau (survey), tanya (question), baca (read),
catat (record), imbas kembali (recite) serta membuat bayangan atau gambaran
(reflect).

Sebagai langkah permulaan, murid-murid dikehendaki membaca secara pantas untuk


mendapatkan gambaran awal tentang isi bacaan mengikut pemahaman masing-
masing. Fokus mereka hanya ada pada tajuk utama, subtajuk, symbol, ilustrasi, grafik
dan sebagainya. Seterusnya, guru meminta murid membina soalan daripada tinjauan
yang telah dilakukan dengan menggunakan prinsip 5W1H iaitu what, when, where,
why who dan how. Selepas itu, barulah murid-murid membaca teks dengan teliti dan
memberi perhatian ke atas soalan yang sudah dibina. Langkah yang seterusnya,
catatan dibuat di tepi petikan bagi memberi panduan menyatakan semula isi.
Langakah imbas kembali adalah menyatakan dalam bentuk lisan berdasarkan catatan
yang sudah dibuat dan akhir sekali memikirkan cara menggunakan idea yang sudah
dibaca.

Teknik SQ4R mencapai objektif kemahiran membaca dengan melibatkan kedua-dua


kemahiran membaca yang diperlukan, iaitu membaca dengan pantas dan juga
membaca secara kritis. Murid perlu membuat analisis mendalam tentang bahan yang
dibaca dan hal ini dapat mempertingkatkan pemahaman mereka terhadap teks yang
dibaca dalam jangka masa yang lebih singkat. Rasionalnya adalah teknik ini
memerlukan murid menyeranaikan satu siri soalan berkenaan dengan teks tersebut
yang menunjukkan keinginan mereka tentang maklumat yang ingin diperoleh dari
bahan tersebut. Seterusnya, murid akan cuba mencari jawapan kepada soalan-soalan
tersebut dengan membaca bahan tersebut secara aktif. Langkah-langkah tersebut
membolehkan murid-murid memahami makna tersirat sesuatu bahan bacaan selain
daripada isi yang tersurat. Kajian Sutarjo (2008) dan Siti Khuzaimatun (2009)
membuktikan bahawa teknik SQ4R dapat meningkatkan kemampuan membaca
pemahaman murid melalui peningkatan jumlah para murid yang dapat melahirkan idea
pokok, mampu memilih isi-isi penting, membuat kesimpulan bacaan, membuat
rangkuman isi serta dapat membezakan fakta dan pendapat daripada teks bacaan
pada setiap isi. Di samping itu, peningkatan minat membaca murid telah dibuktikan
melalui peningkatan nilai purata hasil minat membaca daripada sesi pertama hingga
sesi ketiga.

Sudah terang lagi bersuluh, ramai murid menghadapi masalah lupa apa yang telah
dipelajari. Justeru, teknik ini amat bertepatan digunakan untuk mengatasi masalah
tersebut. Bukan sahaja membantu murid memahami apa yang dibaca, teknik ini juga
dapat membolehkan murid-murid mengingat maklumat yang dibaca melalui satu siri
tindakan yang berurutan. Langkah imbas kembali memerlukan murid untuk cuba
mengingat kembali apa yang telah dibaca. Tidak dapat dinafikan bahawa teknik ini
memang berkesan untuk membantu pembelajaran dan ingatan pelajar.

Sebelum teknik ini diperkenalkan kepada murid, guru harus menggunakan kaedah
pandang sebut untuk menyampaikan kemahiran membaca terlebih dahulu. Melalui
kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan.
Perkataan-perkataan tersebut disertakan gambar dan hal ini dapat menarik minat
murid kerana terdapatnya unsur visual. Kaedah pandang sebut dapat meningkatkan
dan memperkaya perbendaharaan kata murid yang seterusnya membantu dalam
menguasai kemahiran membaca secara insentif. Sekiranya murid tidak menguasai
perbendaharaan kata yang banyak, mereka akan menghadapi masalah memahami
apa yang mereka baca.

Sebagai kesimpulan, pengetahuan tentang pelbagai teknik bacaan dalam kalangan


guru mampu membantu mengatasi masalah kegagalan murid menguasai kemahiran
membaca yang tidak boleh dipandang remeh. Setiap guru perlu melengkapkan diri
dengan pengetahuan tersebut supaya dapat murid dapat menguasai kemahiran
membaca dengan menyeluruh. Walau bagaimanapun, setiap teknik mesti mempunyai
kekuatan dan juga kekurangannya yang tersendiri. Guru perlu mempunyai
kebijaksanaan untuk memilih teknik pengajaran kemahiran membaca berdasarkan
kesesuaiannya dengan situasi dan tahap intelektual murid-murid. Guru mesti bijak
mengaplikasikan kekuatan dan kelemahan setiap teknik supaya dapat memanfaatkan
sepenuhya teknik tersebut seterusnya melahirkan murid yang dapat membaca dengan
berkesan.

Anda mungkin juga menyukai