Anda di halaman 1dari 2

Contoh Jawapan Karangan Berformat (Rencana/Wawancara)

Rencana

Anda ingin menulis rencana yang bertajuk “Sekolah Bebas Dadah” sempena kempen
antidadah peringkat sekolah. Tulis rencana tersebut dengan lengkap.

1. Mengadakan program antidadah pada peringkat sekolah.


2. Pembimbing rakan sebaya antidadah di sekolah juga harus ditubuhkan
3. Program ujian urin perlu diwujudkan di sekolah-sekolah
4. Pihak sekolah hendaklah mengadakan kempen tak nak sepanjang tahun

Jawapan:

Sekolah Bebas Dadah


Oleh Mohd. Amirul Bakri

Dadah adalah satu-satunya masalah sosial paling rumit yang sedang dihadapi oleh
negara. Dadah merupakan satu istilah khas kepada sejenis bahan yang
mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi jasmani, rohani,
mental dan emosi serta tingkah laku pengguna apabila digunakan. Maka, pihak
kerajaan telah bercadang untuk memulakan pencegahan dari awal lagi. Langkah ini
dimulakan dengan menjadikan pelajar sebagai sasarannya. Oleh itu, usaha
menjadikan sekolah supaya bebas daripada dadah merupakan langkah yang baik
kerana jika kita hendak mendidik biarlah bermula dari awal bak kata pepatah
“melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Salah satu langkah yang perlu diambil ialah mengadakan program antidadah pada
peringkat sekolah. Banyak aktiviti yang dapat dilakukan untuk menanamkan sifat
benci akan dadah seperti ceramah, taklimat, pameran tentang jenis dadah yang
berbahaya dan pertandingan melukis poster. Program seperti ini sudah tentu akan
meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar tentang bahayanya
dadah .Sebagai contoh, sebelum memulakan pelajaran, setiap guru akan
menceritakan kesan-kesan buruk yang diakibatkan oleh dadah. Tegasnya, program
seperti ini akan meningkatkan kesedaran dan kos bagi menyediakan
kemudahan-kemudahan rawatan dan pemulihan dadah dapat dikurangkan.

Selain itu, kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) antidadah di sekolah juga harus
ditubuhkan. Mereka yang menjadi ahli dalam kelab ini haruslah memainkan peranan
mereka dengan memberikan nasihat dan motivasi kepada pelajar yang terlibat
dalam kegiatan merokok. Hal ini demikian kerana ketagihan rokok dan perasaan
ingin mencuba sesuatu akan mendorong mereka mengambil dadah Berdasarkan
kajian oleh ahli psikologi, para remaja lebih mudah menerima nasihat dan
pandangan daripada rakan sebaya mereka.. Dengan adanya pasukan seperti ini, kita
dapat melakukan sesuatu dalam usaha untuk menyekat masyarakat terutamanya
golongan pelajar terlibat dalam gejala penagihan dadah.

Bukan itu sahaja, program ujian urin perlu diwujudkan di sekolah-sekolah. Melalui
cara ini, pihak polis dapat membantu pihak sekolah mengesan kes-kes berisiko
dadah di sekolah dan membantu pelajar yang terlibat bebas daripada dadah. Apabila
seseorang itu dikenal pasti terlibat dalam penagihan dadah, pelajar tersebut
hendaklah dimasukkan terus ke pusat pemulihan untuk pencegahan awal. Sebagai
contoh, mana-mana pelajar yang disyaki menagih dadah atau ketagihan rokok yang
melampau hendaklah dipanggil untuk ujian urin. Program seperti ini sudah tentu
akan meningkatkan kesedaran pelajar supaya menjauhi amalan merokok dan juga
gejala penagihan dadah.

Seterusnya, pihak sekolah hendaklah mengadakan Kempen Tak Nak sepanjang


tahun. Kempen ini penting kerana remaja perlu diingatkan dari semasa ke semasa
tentang gejala penagihan dadah bermula dengan aktiviti merokok. Kempen ini
hendaklah dijalankan dengan menampal poster di tempat yang menjadi tumpuan
remaja di sekolah, papan-pan iklan, dan sebagainya. Sebagai contoh, setiap sekolah
mestilah mempunyai sekurang-kurangnya dua papan iklan yang tertulis “Tak Nak
Merokok” di kawasan sekolah. Melalui cara ini, remaja akan sentiasa ingat bahawa
aktiviti merokok merupakan jalan atau laluan utama mereka untuk melibatkan diri
dalam gejala penagihan dadah.

Sebagai kesimpulannya, semua pelajar memainkan peranan yang penting dalam


menangani masalah sosial ini. Kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan
untuk membasmi gejala penagihan dadah dalam kalangan remaja. Kata-kata hikmat
“cegah sebelum parah” harus ada pada setiap warga sekolah bagi merealisasikan
sekolah bebas daripada dadah Tegasnya, pendidikan pencegahan dadah merupakan
strategi utama dalam program pencegahan dadah pada peringkat awal. Oleh hal
yang demikian, tidak mustahil matlamat kita, iaitu sekolah bebas daripada dadah
pada tahun 2012 akan terlaksana.

Anda mungkin juga menyukai