Anda di halaman 1dari 14

TIGA FALSAFAH MATEMATIK: INTUISISME,

LOGIKISME DAN FORMALISME


Oleh:
Azlan Bin Budun, Jolly Geofrey, Marinus Joe Peter & Zulhariszan Abd. Manan

1.0 PENGENALAN
1.1 Pendahuluan
Bidang falsafah matematik merupakan bidang pengetahuan yang diperolehi hasil daripada pemikiran
ahli falsafah tentang matematik itu sendiri. Bidang ini agak baru diperkenalkan di rantau ini, tidak
seperti bidang-bidang matematik yang lain yang telah lama bertapak seperti Geometri dan Teori
Nombor. Negara-negara Barat khususnya, falsafah matematik telah lama diajar di pusat-pusat
pengajian tinggi dalam pelbagai jabatan seperti di Jabatan Matematik sendiri ataupun di Jabatan
Falsafah.

Anggapan tentang matematik itu sendiri merupakan sebab utama bidang falsafah matematik ini
lambat tersebar di rantau ini. Pada umumnya, masyarakat beranggapan bahawa matematik ialah ilmu
teknikal yang hanya berkaitan dengan nombor dan tidak dipengaruhi oleh sebarang nilai. Oleh itu,
tidak ada maknanya jika kita memperkatakan falsafah matematik itu. Selain itu, penjajahan mental
di kalangan ahli matematik tempatan yang merasa kerdil untuk memberikan ataupun menaja
pembaharuan-pembaharuan dalam matematik yang lebih sesuai dengan budaya tempatan. Golongan
ahli matematik ini lebih selesa mengambil jalan mudah dengan hanya menyampaikan kesemua ilmu
matematik yang dipelajari daripada sesetengah pusat pengajian tinggi di Barat.

Umumnya, mentaliti manusia yang dibelenggu dengan penjajahan sentiasa memandang tinggi kepada
bangsa yang menjajahnya, sehingga golongan ini memandang ilmu matematik yang disahkan oleh
universiti-universiti tertentu di Barat sahajalah yang boleh dianggap sebagai ilmu matematik yang
sebenar. Oleh yang demikian, ahli matematik perlu meneliti kembali asas dan andaian matematik
yang dihayati oleh mereka selama ini secara langsung ataupun tidak langsung dan mengenal pasti
sama ada relevan atau tidak relevan dengan perkembangan matematik tempatan. Penelitian kembali
tentang gagasan matematik tidak mungkin terlaksana tanpa kesedaran yang mendalam tentang
falsafah yang mendasari ilmu matematik itu sendiri.

1.2 Apakah Itu Falsafah?


Menurut Abdul Latif Samian (1999), dari segi etimologinya, falsafah berasal daripada sebutan Latin
(sic), ‘philosophia’ yang bermaksud cinta kepada kebenaran. Mat Rofa Ismail (2004) pula
menyatakan, falsafah atau ‘philosophia’ dalam bahasa Yunani (sic) bermaksud mencintai ilmu secara
mendalam. Terdapat sebuah kisah menarik berkenaan Putera Leon dengan Pithagoras dalam
pertemuan mereka di Sukan Olimpik. Putera Leon bertanya kepada Pithagoras maksud falsafah.
Pithagoras menjelaskan: “Wahai Putera Leon, kehidupan ini bolehlah dibandingkan dengan Sukan
Olimpik ini. Ada yang datang untuk kemenangan, ada pula yang datang untuk kemasyhuran nama,
tetapi hanya sebahagian kecil daripada mereka yang datang untuk memerhati, mengkaji, memahami
apa yang berlaku di sini. Golongan terakhir inilah yang dinamai ahli falsafah” (Mat Rofa Ismail, 2004).

1.3 Apakah Itu Matematik?


Mat Rofa Isamil (2004) menjelaskan bahawa matematik ialah koleksi ilmu yang dibina berdasarkan
aksiom, yang mengkaji hubungan antara aspek kualitatif dengan aspek kuantitatif yang dibina secara
deduksi atau induksi. Matematik mempunyai banyak cabang yang lebih kecil seperti aritmetik,
mantik, geometri, astronomi, muzik dan yang seumpamanya. Namun begitu, Abdul Latif Samian
(1999) membahas matematik berkisar kepada dua aspek iaitu istilah dan perkembangan.

Istilah mathematics berasal daripada bahasa Latin Mathematicus. Mathematicus dalam bahasa Latin
berakar umbi kepada bahasa Yunani Mathematikos. Istilah ‘Mathematikos’ itu berpunca daripada
istilah ‘manthanein’ yang bermaksud ‘mempelajari’. Istilah ‘manthanein’ juga bermaksud
‘menumpukan perhatian sepenuhnya’, di samping maksud-maksud lain seperti ‘ketepatan yang jitu’
dan ‘keyakinan’. Menurut Prof. Osman Bakar dalam Abdul Latif Samian (1999), al Farabi menamakan
sains matematik sebagai ‘ulum al-ta’alim. Cabang-cabang ‘ulum al-ta’alim ialah aritmetik (‘ilm al-
adad), geometri (‘ilm al-handasah), optik (‘ilm al-manazir), ilmu kaji benda-benda di langit (‘ilm al-
nujum), ilmu muzik (‘ilm almusiqa), ilmu mengukur berat (‘ilm al-athqal) dan ‘ilm al-hiyal iaitu ilmu
membuat alat-alat untuk cabang-cabang ‘ulum al-ta’alim.

Perkembangan matematik boleh dilihat dalam Tamadun Purbakala Lembah Nil. Pandangan hidup
dalam tamadun ini dipengaruhi oleh pandangan Haramisah (Abdul Latif Samian, 1999). Menurut
pandangan Haramisah ini, matematik dilihat sebagai ilmu yang dapat memudahkan fahaman
pengamalnya tentang adanya tahap-tahap realiti. Tahap realiti yang dimaksudkan ialah tahap realiti
dunia luaran iaitu tahap peringkat terendah dan tahap realiti tahap tertinggi iaitu zat Tuhan. Bidang-
bidang ilmu matematik Mesir ini telah dibawa ke Yunani oleh orang-orang Yunani yang belajar ilmu
ini di Lembah Nil. Tokoh-tokoh matematik yang terkenal dalam tamadun Yunani ialah Phytagoras,
Plato dan Aristotle. Selanjutnya, kebanyakan bidang ilmu matematik Yunani ini kemudiannya telah
sampai ke dalam tamadun Islam sekitar tahun 800 M. Tokoh-tokoh terkemuka dalam bidang
matematik ketika itu antaranya ialah al-Kindi, al-Biruni, al-Battani, al-Karkhi, ibn Khaldun, al-Ikhwan
as-Safa, al-Urdi, ibn Shatir, Nasiruddin al-Tusi, al-Haytham dan al-Khwarizmi. Setelah itu, barulah
bidang matematik ini sampai ke Eropah melalui penterjemahan oleh orang-orang Eropah. Matematik
yang sampai ke Eropah ketika itu berkembang dalam ruang lingkup agama Islam. Setiap
perkembangan dalam pelbagai tamadun yang telah disebutkan sebelum ini, memandang matematik
dalam dimensi yang berlainan. Takrif tentang matematik tidak ada yang benar-benar komprehensif
dan sesuai untuk semua tempat dan masa. Perubahan ini berlaku disebabkan oleh faktor luaran dan
dalaman. Akan tetapi, matematik masih lagi berteraskan konsep-konsep asas berkaitan nombor dan
geometri. Aktiviti peniskalaan masih lagi menjadi aktiviti utama dalam bermatematik.

1.4 Kesimpulan
Bab ini telah pun membincangkan tentang bidang falsafah matematik, maksud falsafah dan
matematik. Bidang falsafah matematik merupakan bidang yang masih baru khususnya di
Malaysia. Perbincangan tentang falsafah dan matematik dalam membincangkan maksudnya telah
memberikan khazanah ilmu yang cukup luas bagi kita untuk terus mengkajinya.

2.0 INTUISISME

2.1 Pendahuluan
Bab ini akan membincangkan tentang sejarah perkembangan awal intuisisme, intuisisme Brouwer dan
kritikan terhadap falsafah ini.

2.2 Sejarah Perkembangan Awal Intuisisme


Intuisisme bermaksud keupayaan seseorang untuk memahami suatu masalah tanpa penaakulan
formal, sama ada yang bersifat induksi ataupun deduksi. Pengetahuan yang diperoleh melalui intuisi,
sering dikaitkan dengan pengetahuan yang datang serta merta, jelas dan diyakini kesahihannya. Pada
peringkat awal, Rene Descartes salah seorang ahli falsafah yang terkenal ada menyentuh persoalan
intuisi ini. Kaitan falsafah Descartes dalam perkembangan awal intuisisme ialah penekanan beliau
terhadap aktiviti berfikir. Descartes menulis dalam bukunya Rules for the Direction of the Mind,
“...Pemahaman kita boleh bertukar kepada ilmu pengetahuan tanpa kita perlu merasa takut
melakukan kesilapan. Ada dua cara pemahaman boleh menjadi ilmu pengetahuan, iaitu melalui intuisi
dan deduksi. Saya tidak bermaksud bahawa intuisi sebagai maklumat-maklumat yang sering berubah
yang diperoleh melalui deria rasa (sic) ataupun pendapat yang diperoleh melalui khayalan yang
berlebihan, tetapi yang saya maksudkan dengan intuisi itu adalah memahami sesuatu yang sangat
jelas dan unik, sehingga tidak ada ruang untuk meragui kebenaran yang dimaksudkan oleh objek
pemikiran itu...”. Menurut Joachim, H. H. (1957) “...Descartes speaks at times as if intuitus and
deductio were two quite distinct powers, faculties, or activities of the mind. It is, however, unlikely
that he ever held so crude a view, or, if he did, he soon abandoned it. Nevertheless, he begins by
characterizing intuitus as a distinct act or function of mind directed upon a distinct and special kind
of object. It is intellectual 'seeing' and has a certainty peculiar to itself, which must not be confused
with the vividness of sense-perception or imagination”. Selain Descartes, ahli falsafah matematik
yang turut menyentuh tentang intuisi ialah Immanuel Kant (1724-1804), Leopold Kronecker (1823-
1891) dan Jules Henri Poincare (1854-1912).
2.3 Intuisisme Brouwer
Intuisisme sebagai salah satu aliran falsafah matematik yang sistematik mula diperjuangkan oleh
seorang anak murid Kronecker bernama Luitzen E.J. Brouwer (1881-1966). Brouwer memperjuangkan
aliran falsafah ini apabila selesai menyiapkan tesis Ph.D beliau yang bertajuk On the Foundations of
Mathematics (1907). Aliran ini selaras dengan falsafah umum yang dicetuskan oleh Immanuel Kant
(1724-1804). Intusionis mendakwa bahawa matematik berasal dan berkembang di dalam fikiran
manusia. Ketepatan dalil-dalil matematik tidak terletak pada simbol-simbol di atas kertas, tetapi
terletak dalam akal fikiran manusia. Hukum-hukum matematik tidak ditemui melalui pemerhatian
terhadap alam, tetapi ditemui dalam fikiran manusia. Brouwer konsisten dengan falsafahnya. Hal ini
dinyatakannya apakah matematik perlu diselesaikan agar sesuai atau tidak dengan matematik klasik
adalah soalan yang kurang penting lagi dan tidak dijawab. Pandangannya terhadap matematik
tradisional, dia menganggap dirinya hanya sekadar menjadi seorang tukang semak. Disimpulkan, di
mana aritmetik intusionistik adalah bahagian (sub-sistem) dari aritmetik klasik, namun hal ini tidak
berlaku bagi analisis.

Walau bagaimanapun, tidak semua analisis klasikal diterima atau difahami secara intusionistik,
tetapi tidak ada analisis intusionistik secara klasik diterima. Brouwer mengambil langkah ini dengan
segala akibatnya sepenuh hati. Ini bukan bererti pandangan Brouwer ini tidak ada yang menyokong.
Di luar negara Belanda, pandangan ini disokong oleh Herman Weyl.

Brouwer memegang prinsip bahawa matematik adalah aktiviti tanpa perlu diutarakan (languageless)
yang penting, dan bahasa itu sendiri hanya dapat memberi gambaran-gambaran tentang aktiviti
matematikal setelah ada fakta. Hal ini membuat Brouwer tidak mengendahkan kaedah aksiomatik
yang memegang peranan utama dalam matematik. Membina logik sebagai kajian tentang pola dalam
linguistik yang diperlukan sebagai jambatan bagi aktiviti matematik, sehingga logik bergantung pada
matematik (suatu kajian tentang pola) dan bukan sebaliknya. Semua itu digunakan sebagai
pertimbangan dalam memilah antara matematik dan metamatematik (istilah yang digunakan untuk
'matematik peringkat kedua'), yang didiskusikannya dengan David Hilbert.

Berdasarkan pandangan ini, Brouwer siap merombak kembali teori himpunan Kant. Ketika usaha ini
mula dilakukan dengan 'membongkar' kategori bilangan sekunder (bilangan ordinal tak terhingga
/ infinite) dan kategori bilangan ordinal infiniti yang lebih besar, tapi juga gagal. Disedari bahawa
kaedahnya tidak berlaku dan tidak dapat menyelesaikan kategori-kategori bilangan lebih tinggi dan
hanya meninggalkan bilangan ordinal terbatas (finite) dan tidak dapat diselesaikan atau terbuka
(open-ended) bagi sekumpulan bilangan ordinal tak terhingga/ infinite.

Tetap konsisten dengan pandangan falsafahnya, Brouwer cuba membuat semua itu dan mahu
memahami matematik apa adanya. Akhirnya dia juga mahu menerima prinsip dalam logik, prinsip
tidak termaktub di tengah (PEM / Principle of the Excluded Middle), salah satu tulisanannya pada
tahun 1908, The Unreliability of The Logical Principles, Brouwer mengformulasikan, dalam istilah-
istilah umum, kritikannya terhadap PEM. Walaupun dalam bentuk sederhana, prinsip yang tidak akan
mencetuskan percanggahan, dimana Brouwer memberikan contoh-contoh, diucapkan, tanpa ada
alasan positif untuk menerima bahawa hal itu benar dan sahih.

Inovasi ini memberi intuisisme mempunyai ruang gerak lebih besar daripada matematik konstruktif
aliran-aliran yang lain (termasuk di sini disertasi Brouwer) adalah pilihan-pilihan dalam melihat suatu
deret. Banyak diketahui bahagian-bahagian bilangan tak terhingga (atau objek-objek matematik lain)
dipilih mendahului yang lain oleh setiap matematik sesuai keinginan mereka masing-masing. Memilih
suatu bahagian memberi mereka impresi awal secara intuisi menerima objek yang ditulisnya pada
buku yang terbit pada tahun 1914. Prinsip yang membuat secara matematik mudah dikerjakan, prinsip
berterusan, yang dirumuskan pada kuliah Brouwer pada tahun 1916.

Tujuan utama memilih bahagian merupakan rekonstruksi analisis; titik-titik dalam (bidang)
kontinuum (bilangan-bilangan nyata) yang dikenalpasti dengan memilih bahagian yang memenuhi
syarat-syarat keadaan-keadaan tertentu. Memilih pelbagai pilihan bahagian boleh dilakukan dengan
menggunakan alat wang disebut dengan 'spread', yang mempunyai fungsi serupa dengan analisis klasik
Cantorian dan awalnya Brouwer menggunakan istilah 'gabung' ('himpunan') untuk pelbagai
sebaran. Oleh itu, untuk mengukuhkan teori sebaran dan teori titik-titik ini yang digunakan sebagai
dasar, termaktub dalam dua makalah yang diterbitkan pada tahun 1918/1919, Founding Set Theory
Independently of the Principle of the Excluded Middle.

Selain itu, murid Brouwer yang mempunyai pengaruh besar pada perkembangan intuisionisme falsafah
matematik adalah Arend Heyting. Heyting membina sebuah formalisasi logik intuisionisme yang
sangat tepat. Sistem ini dinamakan "Predikat Kalkulus Heyting". Heyting menegaskan bahawa dari
andaian metafizik yang asal dalam kebenaran realism-logik klasik, bahasa matematik klasik adalah
pengertian faktor-faktor objektif syarat-syarat kebenaran yang terbaik. Semantik matematik klasik
menggambarkan suatu keadaan dalam kenyataan benar atau salah. Semantik seperti ini tidak tepat
untuk intuisinisme. Justeru, sebagai pengganti, bahasa intuisionisme seharusnya difahami dalam
faktor-faktor syarat-syarat penyelesaian. Semantik akan menggambarkan suatu perhitungan seperti
sebuah penyelesaian kanonikal untuk setiap permasalahan.

Heyting dalam bukunya "Intuitionism" mengemukakan pendapat Brouwer, bahasa adalah media tidak
sempurna untuk menyampaikan pembinaan nyata matematik. Sistem formalnya adalah dirinya sendiri
sebagai sebuah legitimasi pembinaan matematik, tetapi satu yang tidak diyakini sistem formal
menggambarkan secara kekal domain pemikiran matematik. Pada suatu penemuan kaedah baru
membolehkan kita untuk memperluaskan sistem formal. Heyting menegaskan logik bergantung pada
matematik bukan pada yang lain. Oleh kerana itu, Heyting tidak bermaksud kerjanya pada logik
untuk menyusun pertimbangan intuisionistik.

Selain itu ahli falsafah matematik Dummett, menyatakan matematik dan logik adalah linguistik dari
awal. Falsafahnya lebih kepada pada logik intuisionistik daripada matematik itu sendiri. Akan tetapi,
seperti Brouwer, tetapi tidak seperti Heyting, Dummet tidak mempunyai orientasi memilih. Dummet
menjelajah matematik klasik dengan menggunakan bentuk pemikiran yang tidak sah pada suatu jalan
legitimasi penguraian pernyataan alternatifnya. Ia mencadangkan beberapa pertimbangan mengenai
logik adalah benar yang pada akhirnya harus bergantung pada erti soalan. Ia juga mengguna pakai
pandangan yang diperolehi secara meluas, yang kemudian disebut sebagai terminologi logik.

Dummet menegaskan bahawa erti suatu kenyataan tidak boleh mengandungi suatu unsur yang tidak
menunjukkan penggunaannya. Justeru, untuk membuatnya, harus berdasarkan pemikiran individu
yang memahami erti tersebut. Jika dua individu secara bersama bersetuju dengan penggunaan
pernyataan yang dibuat, maka mereka pun bersetuju ertinya. Alasannya bahawa erti pernyataan
mengandungi aturan instrumen komunikasi antara individu. Jika seorang individu dikaitkan dengan
simbol matematik atau formula, di mana hubungan tersebut tidak berdasarkan kepada penggunaan,
kemudian dia tidak dapat menyampaikan muatan tersebut dengan erti simbol atau formula tersebut,
maka penerima tidak akan dapat memahaminya. Acuan erti pernyataan matematik secara umum,
harus mengandungi keupayaan untuk menggunakan kenyataan pada alur yang benar. Pemahaman
seharusnya dapat disampaikan kepada penerima.

2.4 Kritikan Terhadap Falsafah Intuisisme


Bantahan terhadap aliran ini adalah bahawa pandangan kaum intusionis tidak memberikan gambaran
yang jelas bagaimana matematik sebagai pengetahuan intuitif bekerja dalam fikiran. Konsep-konsep
mental seperti cinta dan benci berbeza-beza antara manusia yang satu dengan yang lain. Menurut
Brouwer, dasar dari intuisionisme adalah fikiran. Namun pemikiran-pemikiran yang dicetuskannya
banyak dipengaruhi oleh pandangan Immanuel Kant. Matematik ditakrifkan oleh Brouwer sebagai
aktiviti berfikir secara bebas, namun sesuatu aktiviti yang didapati dari intuisi pada suatu ketika
tertentu. Selain itu, dalam pandangan intuisionisme tidak ada realisme terhadap objek-objek dan
tidak ada bahasa yang menyatukan, sehingga boleh dikatakan tidak ada penentu kebenaran
matematik diluar aktiviti berfikir. Kedudukan hanya berlaku ketika subjek dapat dibuktikan
kebenarannya (dibawa keluar dari kerangka pemikiran). Umumnya Brouwer mendedahkan bahawa
"tidak ada kebenaran tanpa dilakukan pembuktian".

2.5 Kesimpulan
Bab ini telah pun membincangkan berkenaan sejarah perkembangan awal intuisisme, intuisisme
Brouwer dan kritikan terhadap falsafah ini. Berteraskan kepercayaan mereka bahawa hakikat
matematik ialah intuisi manusia, maka intuisisme membina matematik berasaskan konsep-konsep
yang jelas. Mereka berjaya menunjukkan bahawa ahli matematik mesti lebih berhati-hati tentang
erti kewujudan dalam bermatematik. Tafsiran tentang set juga telah dikukuhkan iaitu set sebagai
kaedah dan bukannya sebagai koleksi. Di samping itu, mereka dapat menunjukkan bahawa bahasa
formal bukanlah aspek asasi yang mesti ada pada matematik sebagaimana anggapan masyarakat
umum ketika itu.

3.0 LOGIKISME

3.1 Pendahuluan
Bab ini akan membincangkan tentang sejarah perkembangan awal logikisme, logikisme Russell dan
Whitehead dan kritikan terhadap falsafah ini.

3.2 Sejarah Perkembangan Awal Logikisme


Logikisme merupakan salah satu daripada aliran pemikiran (schools of thought) di dalam falsafah
matematik. Logikisme ialah teori falsafah mengenai status sesuatu kebenaran dalam matematik iaitu
sama ada bersifat logik atau analisis. Ia menyatakan teori iaitu matematik sebagai pengembangan
kepada logik yang mana sebilangan atau semua unsur matematik juga boleh diturunkan kepada
logik. Logik berasal daripada perkataan Greek iaitu logos yang bermaksud fikiran, idea, hujah, alasan
atau prinsip. Menurut logikisme, matematik itu bersifat a priorori atau matematik sering dipandang
sebagai paradigma pengetahuan a priori, iaitu pengetahuan yang mendahului dan bebas daripada
pengalaman. Matematik itu sendiri tidak berdasarkan pada sebarang pengalaman atas kejadian yang
nyata di alam ini. Konsep-konsep dan objek-objek matematik boleh didefinisikan dalam terminologi
logik. Dengan definisi-definisi ini, teorem-teorem dalam matematik dapat diperolehi daripada
prinsip-prinsip logik. Jadi menurut sudut pandangan ini, kebenaran matematik harus berdasarkan
pada logik dan semua pernyataan matematik memerlukan kebenaran logik. Ringkasnya, hakikat
matematik adalah logik. Kemunculan logikisme adalah disebabkan ahli matematik tidak mahu
menerima anggapan bahawa semua masalah matematik ialah masalah agama. Mereka mahu keluar
daripada belenggu keagamaan dan mula mengutarakan pandangan bahawa kebenaran adalah
sepatutnya berasaskan prinsip- prinsip logik. Kebenaran harus diperoleh melalui tatakaedah
pemikiran dan bukannya melalui kaedah empirik. Kaedah empirik hanya menghasilkan teorem yang
berubah-ubah mengikut peredaran zaman tetapi pernyataan logik adalah sentiasa benar. Ahli
matematik tahu bahawa pernyataan ialah sesuatu ayat yang sama ada benar atau palsu. Contoh
pernyataan ialah ‘sama ada hari ini hujan atau tidak’; jika semua A ialah B, maka setiap A ialah B
dan semua A sama dengan A.

Gottfried Wilhelm Leibniz (1646-1716) merupakan ahli matematik awal yang menyatakan bahawa
wujud hubungan istimewa antara logik dan matematik. Beliau percaya bahawa matematik boleh
diterbitkan daripada logik. Tidak ada bidang ilmu lain yang boleh memastikan kebenaran matematik
seperti logik. Umpamanya, beliau berpendapat bahawa antonim bagi sebarang pernyataan yang akan
membawa kepada percanggahan ialah pernyataan yang menunjukkan kebenaran. Contohnya,
pernyataan ‘segiempat tepat mempunyai 4 sudut 90⁰’ adalah benar. Antonim kepada pernyataan ini
iaitu ‘segiempat tepat tidak mempunyai 4 sudut 90⁰’ akan menjadikannya palsu. Begitu juga
sebaliknya. Apa yang menarik dalam pandangan Leibniz ini ialah pendirian beliau bahawa logik boleh
memberikan kebenaran pasti. Jika diambil kira anggapan yang kebenaran pasti begitu banyak
terdapat dalam matematik, tidaklah menghairankan jika seseorang itu berpendapat bahawa
matematik diterbitkan daripada logik.

Richard Dedekind (1831-1916) juga salah seorang ahli matematik yang membayangkan kepentingan
logik terhadap matematik. Beliau berhujah bahawa nombor bukanlah berpunca daripada intuisi
manusia berkenaan ruang dan masa. Sebaliknya pengetahuan tentang nomborlah yang memberikan
kita pengetahuan yang mendalam dan terperinci tentang ruang dan masa. Nombor ialah hasil
pemikiran yang berpunca daripada tatacara manusia berfikir, iaitu logik. Jadi, jika matematik
khususnya pematematikan ialah aktiviti berfikir dan berfikir ada tatacaranya yang tersendiri, maka
sesungguhnya matematik juga ialah hasil berfikir tatacara tersebut. Namun begitu, Leibniz dan
Dedekind tidak mengembangkan kepercayaan mereka iaitu matematik ialah logik.

Salah seorang lagi tokoh logikisme adalah Gottlob Frege (1848-1925). Beliau yakin bahawa setiap
pernyataan yang diketahui mesti memiliki suatu alasan atau hujah yang asas. Suatu pernyataan
bersifat a priori (deduktif) jika ia adalah suatu hukum umum yang tidak dapat dibuktikan atau jika ia
memiliki justifikasi bukti yang hanya bersandarkan pada hukum -hukum umum yang tidak dapat
dibuktikan. Suatu pernyataan bersifat analitik jika ia suatu hukum logik umum atau definisi atau ia
memiliki suatu bukti yang bersandarkan hanya pada hukum-hukum logik umum dan definisi-definisi
seperti demikian. Pandangan Frege mengisyaratkan bahawa hanya pernyataan-pernyataan yang dapat
diketahui atau terjustifikasi saja yang dapat bersifat analitik atau a priori. Contohnya, ayat ‘Semua
orang bujang tidak berkahwin’, kebenaran ayat tersebut dapat diketahui hanya dengan memeriksa
pengertian ayat itu sahaja, tidak lebih dan tidak kurang. Walhal orang yang telah bercerai pernah
berkahwin; kanak-kanak tidak layak untuk berkahwin kerana belum matang, ataupun istilah ‘belum
sampai jodoh’. Kebenaran matematik tersirat dalam logik. Buku Frege yang bertajuk Fundamental
Laws of Mathematics (1894), beliau berusaha menunjukkan bahawa konsep-konsep penting dalam
aritmetik boleh diterbitkan daripada andaian-andaian logik.

Namun begitu, usaha Frege tidak mendapat sambutan ketika itu kerana istilah-istilah yang
diperkenalkan oleh beliau sangat kompleks dan juga banyak simbol baru. Akhirnya Frege mengakui
bahawa beliau gagal dalam menunjukkan hakikat bahawa matematik ialah logik. Kegagalan ini
berpunca daripada penggunaan yang berleluasa konsep ‘set yang mengandungi kesemua set’ yang
membawa kepada percanggahan.

3.3 Logikisme Russell dan Whitehead


Kesilapan Frege ini telah ditunjukkan oleh seorang ahli matematik, Bertrand Russell (1872- 1970)
yang juga merupakan salah seorang ahli logik. Konsep ‘set yang mengandungi kesemua set’ ialah
konsep yang sangat mengelirukan. Set mengandungi unsur - unsur. Contohnya, set A ialah set yang
mengandungi ‘semua katalog’. Set A itu sendiri juga merupakan sebuah katalog, iaitu sebuah katalog
yang mempunyai senarai katalog-katalog. Akan tetapi, bagi set B, katakan set yang mengandungi
‘semua binatang’. Set B bukannya seekor binatang.

Russell memberikan contoh antinomi ini dengan contoh yang menarik yang dikenali sebagai ‘paradoks
Russell’ dalam tahun 1918. Paradoks ini juga dikenali sebagai paradoks tukang gunting
rambut. Menurut paradoks ini, dalam sebuah kampung, hanya ada seorang tukang gunting. Tukang
gunting ini hanya menggunting rambut mereka yang tidak menggunting rambut mereka sendiri. Ini
adalah kenyataan umum kerana sekiranya kita menggunting rambut sendiri, ia akan menjadi tidak
sempurna. Persoalannya, siapa yang menggunting rambut tukang gunting itu? Kalau tukang gunting
itu menggunting rambutnya sendiri, menurut definisinya ‘beliau hanya menggunting rambut mereka
yang tidak menggunting rambut sendiri’. Jadi sebagai tukang gunting, beliau tidak boleh
menggunting rambut ‘orang yang menggunting rambutnya sendiri’. Tetapi jika beliau tidak
menggunting rambutnya sendiri, beliau layak untuk digunting oleh tukang gunting iaitu dirinya
sendiri. Konsep ini sungguh membingungkan. Ada ‘penyelesaian’ lain yang cuba diberikan seperti
tukang gunting itu seorang yang botak. Ini tidak menyelesaikan masalah kerana senantiasa ada
tukang gunting yang tidak botak. Sesungguhnya, paradoks Russell ini mempunyai kesan yang
mendalam terhadap penyelidikan tentang hakikat matematik.

Russell kemudiannya memperincikan program logikisme bersama-sama dengan rakannya, Alfred


North Whitehead (1861-1947) lalu menghasilkan buku Principa Mathematica (1910-1913) yang
menjadi kitab rujukan utama selepas Frege. Antara persoalan yang mereka ingin tangani ialah untuk
mengenal pasti tatacara kebenaran suatu premis itu mengimplikasikan kebenaran premis yang
lain. Konsep implikasi yang digunakan oleh mereka ialah konsep implikasi kebendaan. Menurut
konsep ini, jika U benar, maka R mesti benar atau ringkasnya, ‘Jika U, maka R’. Premis yang palsu
mengimplikasikan sebarang implikasi lain. Contohnya, ‘ Jika g ialah nombor genap, maka 2g ialah
nombor genap’. Jika U benar, tidak mungkin R palsu. Oleh itu, untuk sebarang nombor genap,
gandaannya juga menghasilkan nombor genap. Akan tetapi katakanlah U palsu, iaitu ‘g bukan nombor
genap’ seperti nombor 3 atau 22/3. Ini akan menghasilkan kesimpulan iaitu ‘2g ialah nombor genap’
dan ‘2g bukan nombor genap. Justeru, dengan menggunakan sesuatu sifat set untuk mendefinisikan
sesuatu set, mereka berjaya mendefinisikan juga set tak terhingga kerana menurut kaedah definisi
demikian, mereka tidak perlu menamakan satu per satu kesemua setiap unsur yang ada di dalam
sesuatu set itu. Russell dan Whitehead telah cuba untuk mengatasi masalah Frege untuk mendapat
matematik yang bebas daripada keraguan. Secara terperincinya, mereka mengemukakan ‘teori
penjenisan’ untuk menangani masalah ‘set yang mengandungi kesemua set’.

3.4 Kritikan Terhadap Falsafah Logikisme


Menurut Kline (1980) dalam Abdul Latif Samian (1999), teori penjenisan mereka ini menimbulkan
masalah apabila digunakan untuk menerangkan beberapa konsep matematik. Antara masalahnya, ia
menyukarkan penaakulan matematik dalam teori nombor. Berdasarkan masalah ini, mereka
mengetengahkan lagi aksiom yang dikenali sebagai aksiom penurunan. Namun begitu, menurut
seorang ahli logik yang terkenal, Frank Plumpton Ramsey, aksiom ini tidak dapat dibuktikan sebagai
aksiom logik. Maksudnya, kedudukan aksiom ini sebagai aksiom logik tidaklah jelas. Akhirnya, pada
tahun 1959, Russell mengakui dalam bukunya, My Philosophical Development bahawa keyakinan yang
beliau fikir boleh ditemui dalam matematik akhirnya hilang bersama-sama dengan segala kekusutan
yang timbul. Akhirnya beliau sendiri mengalami kepahitan dengan kenyataannya yang terkenal, iaitu
‘matematik ialah satu-satunya bidang ilmu yang kita tidak akan tahu apa sebenarnya yang kita
cakapkan dan sama ada perkara yang dicakapkan itu benar’.

3.5 Kesimpulan
Bab ini telah pun membincangkan tentang sejarah perkembangan awal logikisme, logikisme Russell
dan Whitehead dan kritikan terhadap falsafah ini. Aliran falsafah logikisme diketengahkan sebagai
usaha ahli matematik Eropah, terutamanya Bertrand Russell, untuk mengenal pasti hakikat
matematik selepas bidang ilmu ini terkeluar dari mandala keagamaan sejak akhir abad yang ke-
19. Akan tetapi, perlu dicatat bahawa usaha ini tidak beroleh kejayaan dan diakui sendiri oleh Russell
yang merupakan seorang atheis.

4.0 FORMALISME

4.1 Pendahuluan
Bab ini akan membincangkan tentang sejarah perkembangan awal formalisme, formalisme David
Hilbert dan kritikan terhadap falsafah ini.

4.2 Sejarah Perkembangan Awal Formalisme


Formalisme melihat matematik sebagai satu disiplin yang formal dan sistematik yang diwakili oleh
simbol. Falsafah ini adalah tergolong di dalam golongan absolutist (falsafah bebas nilai). Golongan
formalisme sentiasa melibatkan pembentangan yang jelas tentang langkah-langkah yang digunakan
dalam mana-mana prosedur diikuti dengan usaha yang meluas untuk memastikan penghafalan.
Menurut Brown, J.R. (2008), “The whole school of (early or pre-Hilbert) formalism was crushed by
Frege (1884). I’ll only mention two of Frege’s points. First, mathematics couldn’t possibly be about
individual symbols (tokens) but must instead be about classes of symbols (types). The string: ♠♠♠♠♠
consists of five distinct tokens all of the same type. Tokens are concrete individuals, but types are
abstract. The tokens may themselves be meaningless symbols, the very thing that nominalists hanker
after, but types will give them heartburn. If we’re going to have abstract objects anyway, we might
as well hang for an eggplant as an okra. Second, the meta-theory of games can be meaningful
mathematics. (This, perhaps, was Frege’s strongest point.) For example, consider: ‘The proof of the
(above) theorem is five steps long.’ ‘The king and two knights cannot force mate.’ These are meta-
theorems about games – and they are meaningful. The game of chess and the formal system S are
perhaps meaningless games in the very sense that formalists claim. But the meta-claims about those
meaningless games are themselves not meaningless. They are mathematical and they have an
objective truth-value”.

4.3 Formalisme David Hilbert


David Hilbert (1862-1943) menghabiskan masanya sepanjang tahun 1920 dengan membuat kajian
berkaitan falsafah matematik. Aksiom logik yang diutarakan oleh Hilbert tidak berbeza daripada
Russell, malahan Hilbert telah membuat banyak aksiom. Menurut Hilbert, logik sahaja tidak boleh
dijadikan sandaran untuk membuat kesimpulan dalam matematik. Beliau berpendapat bahawa cara
terbaik untuk ‘menyelamatkan’ matematik ialah dengan menganggap matematik sebagai lebih
daripada pengetahuan yang nyata, iaitu sebagai disiplin formal yang simbolik. Deduksi adalah cara
memanipulasi simbol-simbol tadi dan mesti selaras dengan prinsip-prinsip logik. Hilbert telah
memutuskan bahawa semua pernyataan logik dan matematik mestilah dalam bentuk simbolik. Ini
bagi menghindarkan kekaburan bahasa dan penggunaan yang hanya berdasarkan pengertian intuisi
dan untuk mencapai ketepatan pembuktian yang objektif. Beliau yakin pendekatan simbolik ini boleh
mengelakkan paradoks. Selain itu, Hilbert juga menganggap simbol-simbol ini sebagai unsur-unsur
sempurna yang diperlukan untuk membina semua matematik. Walau bagaimanapun, beliau percaya
bahawa dalam alam nyata ini hanya objek-objek yang terhingga sahaja yang wujud. Justeru, perkara
penting ialah menyusun unsur nombor-nombor terhingga.

Sehubungan dengan itu, Hilbert berpendapat bahawa nombor-nombor tak nisbah tidak mempunyai
pengertian intuisi sebagai nombor. Malahan, boleh memperkenalkan konsep panjang sebagai ukuran
tak nisbah. Pada tahun 1870, Hilbert telah menggunakan pendekatan berkenaan dengan nombor
kompleks, iaitu penglibatan nombor -1. Semua tanda dan simbol konsep dan juga operasi adalah
bebas daripada pengertian intuitif. Oleh itu, sebagai tujuan asas pemikiran matematik, simbol dan
usulan ini mestilah berhubung atau merupakan rangkaian simbol sahaja.
Umumnya, ahli formalis berusaha bagi mendapatkan kekonsistenan dengan mengabaikan pengertian
simbol. Mujurlah simbol logik telah berkembang sepanjang abad yang ke-19 dan awal abad ke-20,
maka Hilbert mendapati alat yang beliau kehendaki. Simbol seperti “~” untuk “tidak”, “.” untuk
“dan”, “v” untuk “atau”, “à” untuk “mengimplikasikan” dan “Ǝ” untuk “wujud” telah digunakan
pada masa itu. Simbol-simbol ini tidak tertakrif sifatnya.

4.4 Kritikan Terhadap Falsafah Formalisme


Namun demikian, terdapat beberapa kritikan yang diajukan kepada pengikut-pengikut
formalisme. Salah satu kritikan yang diajukan kepada aliran ini ialah oleh Bertrand Russell dalam
bukunya The Principles of Mathematics. Menurut Russell, B. (1931), “Accordingly the symbols 0, 1,
2, ...do not represent one definite series, but any progression whatever. The
formalists have forgotten that numbers are needed, not only for doing sums, but for counting. Such
propositions as " There were 12 Apostles" or "London has 6,000,000 inhabitants" cannot be
interpreted in their system. For the symbol " " may be taken to mean any finite integer, without
thereby making any of Hilbert's axioms false ; and thus every number-symbol becomes infinitely
ambiguous. The formalists are like a watchmaker who is so absorbed in making his watches look
pretty that he has forgotten their purpose of telling the time, and has therefore omitted to insert
any works.”

4.5 Kesimpulan
Bab ini telah pun membincangkan tentang sejarah perkembangan awal formalisme, formalisme David
Hilbert dan kritikan terhadap falsafah ini. Kritikan yang ditujukan kepada aliran formalisme telah
menyebabkan aliran fahaman itu kini semakin terpinggir. Akan tetapi, menurut kajian Wan Zah Wan
Ali, et. al. (2005), yang mengkaji kefahaman guru tentang nilai matematik, mendapati bahawa
mazhab pemikiran logikisme dan formalisme merupakan corak pemikiran matematik yang menjadi
pegangan responden. Kajian deskriptif yang menggunakan kaedah kualitatif ini dilakukan ke atas
empat orang guru di Selangor dan Wilayah Persekutuan. Data dikumpulkan melalui temubual
mendalam yang dilakukan beberapa kali sehingga mencapai tahap ketepuan data yang dikehendaki.
Transkripsi temubual ini dianalisis secara induktif.

5.0 KESIMPULAN

Setelah membincangkan falsafah matematik berkaitan intuisisme, logikisme dan formalisme, maka
dapat difahami tokoh-tokoh yang terlibat seperti Brouwer, Russell dan Hilbert ingin mengemukakan
hakikat sebenar matematik. Mengakhiri perbincangan, penulis ingin melemparkan satu persoalan,
apakah takrif yang paling tepat untuk matematik? Itulah persoalan yang masih bermain dan akan
terus bermain dalam minda para pengkaji. Umum mengetahui, matematik merupakan koleksi ilmu
yang luas di bawah induk falsafah. Matematik tidak hanya terbatas kepada aritmetik dan geometri
sahaja. Akan tetapi, aritmetik dan geometri merupakan dua komponen popular dalam matematik.
Masih banyak lagi cabang matematik yang lain termasuklah mantik, astronomi, muzik, trigonometri
dan analisis. Kita telah melihat melalui perbincangan sebelum ini, pelbagai takrifan diberikan untuk
matematik, namun dalam perkembangan kemudian, telah muncul cabang matematik lain yang tidak
termasuk dalam takrifan. Golongan masyarakat awam memahami matematik sebagai ilmu pengiraan,
sedangkan pengiraan hanya melibatkan cabang aritmetik sahaja yang merupakan komponen kecil
matematik. Penghujahan dan penakulan mantik atau analisis merupakan unsur asas matematik tetapi
bukan berbentuk pengiraan. Tambahan lagi, matematik seperti muzik melibatkan irama dan
kesenian. Keragaman takrif matematik berkait pula dengan sistem nilai pentakrifnya yang melihat
matematik menerusi sudut pandangnya. Barat menganggap matematik sebagai ilmu abstrak yang
menganalisis proposisi kuantitatif menerusi pengoperasi mantik, sedangkan matematik di sisi ilmuwan
silam dilihat sebagai penghubung antara sains dan metafizik yang sarat dengan nilai sama ada dari
segi kualitatif, kuantitatif atau kedua-duanya sekali. Berbalik kepada perbincangan di atas, walaupun
ketiga-tiga mazhab mempunyai perbezaan pendapat dalam mengemukakan apakah matematik itu,
namun kita tidaklah dengan mudah boleh menyalahkan pendapat-pendapat tersebut. Kajian secara
menyeluruh perlu dibuat untuk menganalisis keunggulan dan kekuranganya. Ini memerlukan
pengorbanan masa, tenaga dan fikiran untuk memahaminya secara benar. Apa yang boleh dikatakan
disini, sebagai komponen falsafah, matematik perlulah mempunyai unsur kuantitatif, kualitatif,
abstraksi, analisis dan sistem nilai. Sebagai masyarakat Asia pula khususnya di Malaysia, matematik
memiliki takrifan yang tersendiri yang tentu sangat berbeza dengan takrifan Barat walaupun ada
domain sepunya yang berbentuk sejagat.

Logikisme ialah teori falsafah mengenai status sesuatu kebenaran dalam matematik iaitu
sama ada bersifat logik atau analisis. Ia menyatakan teori iaitu matematik sebagai
pengembangan kepada logik yang mana sebilangan atau semua unsur matematik juga
boleh diturunkan kepada logik. Logik berasal daripada perkataan Greek iaitu logos yang
bermaksud fikiran, idea, hujah, alasan atau prinsip. Menurut logikisme, matematik itu bersifat
priorori atau matematik sering dipandang sebagai paradigmpengetahuan priori, iaitu
pengetahuan yang mendahului dan bebas daripada pengalaman. Matematik itu sendiri tidak
berdasarkan pada sebarang pengalaman atas kejadian yang nyata di alam ini. Konsep-
konsep dan objek-objek matematik boleh didefinisikan dalam terminologi logik. Dengan
definisi-definisi ini, teorem-teorem dalam matematik dapat diperolehi daripada prinsip-prinsip
logik. Jadi, menurut sudut pandangan ini, kebenaran matematik harus berdasarkan pada
logik dan semua pernyataan matematik memerlukan kebenaran logik. Ringkasnya, hakikat
matematik adalah logik.
Intuisisme pula membina matematik berasaskan konsep-konsep yang jelas dan berteraskan
kepercayaan bahawa hakikat matematik ialah intuisi manusia. Menurut aliran intuisisme,
naluri merupakan sumber pengetahuan. Intuisi umumnya bermaksud keupayaan seseorang
untuk memahami suatu masalah tanpa penaakulan formal, sama ada yang bersifat induksi
ataupun deduksi. Pengetahuan yang diperoleh melalui intuisi, sering dikaitkan dengan
pengetahuan yang datang serta merta, jelas dan diyakini kesahihannya. Ahli intuisisme juga
yakin bahawa kesemua konsep matematik boleh diterbitkan daripada jujukan nombor asli
dengan menggunakan kaedah intuisi yang jelas. Bahasa dan simbol-simbol komunikasi
yang lain bukanlah alat matematik tetapi media yang tidak sempurna yang kegunaannya
hanyalah untuk mengkomunikasikan idea-idea matematik.

Anda mungkin juga menyukai