Anda di halaman 1dari 11

TUGASAN INDIVIDU PENULISAN ARTIKEL

KOD KURSUS : BML 3083


TAJUK ARTIKEL : “PENGGUNAAN BAHASA SLANGA DALAM
KALANGAN MASYARAKAT”

NAMA : NOR ZUZIANI BINTI SAID


NO. MATRIK : D20121058851
KUMPULAN : F
NAMA PENSYARAH : DR. ANIDA BINTI SARUDIN

1.0 PENGENALAN

Slanga bermaksud penggunaan bahasa yang tidak rasmi dan kosa kata tersebut tidak dianggap
sebagai standard dalam dialek atau sesuatu bahasa. Dalam istilah etimologi, kata slanga berasal
dari kata “sling” yang dihubungkaitkan dengan “beggar language and rogues language” iaitu
bahasa kelompok pengemis dan anak jalanan. Marcapada, penggunaan bahasa slanga semakin
luas digunakan oleh semua masyarakat tanpa mengira usia. Meskipun pada hakikatnya,
penggunaan bahasa ini banyak membawa pengaruh dalam kalangan golongan remaja sahaja,
namun impak daripada ledakan arus pemodenan negara kita pada masa ini, maka penggunaan
bahasa slanga menjadi suatu bahasa yang tidak begitu asing lagi.
Dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara (Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei : 2003),
bahasa slanga diertikan sebagai ragam bahasa yang tidak rasmi dan tidak baku yang sifatnya
tidak tetap atau mengikut musim. Penggunaan bahasa slanga ini tidak hanya digunakan dalam
pertuturan seharian sahaja, tetapi ia turut digunakan dalam wahana penulisan. Wadah-wadah
dalam bentuk penulisan ini meliputi bahan-bahan penulisan seperti komik, majalah-majalah
remaja, majalah-majalah hiburan dan sebagainya. Penggunaan bahasa slanga ini semakin popular
dan menjadi gaya hidup kelompok masyarakat pada masa kini untuk membuktikan bahawa
mereka mengikuti arus perkembangan semasa. Walhal, Bahasa Melayu baku yang dianggap
sebagai bahasa Kebangsaan adalah lebih baik nilai tarafnya berbanding dengan bahasa slanga
yang semakin melunturkan Bahasa Melayu.
Menurut Nik Safiah Karim (1996:43-49), kosa kata slanga ditakrif seusia atau lebih awal
dengan sesebuah bahasa untuk bangsa itu sendiri. Namun, bagi Asmah (1993:85) pula
menyatakan bahawa, bahasa slanga mempunyai sifat yang unik dalam bentuk ungkapan dan
pengujarannya sehingga bahasa tersebut mampu membentuk suatu identiti dalam sesebuah
masyarakat.

2.0 OBJEKTIF KAJIAN


Penulisan artikel ini dilakukan adalah untuk mengetahui tentang penggunaan bahasa slanga
dalam kalangan masyarakat pada masa kini. Seperti mana yang kita ketahui bahawa penggunaan
bahasa ini tidak begitu asing lagi dan semakin meluas penggunaannya oleh semua golongan.
Tujuan utama penganalisian ini dijalankan adalah bagi mengetahui mengenai faktor-faktor
yang menyebabkan berlakunya ledakan penggunaan bahasa slanga ini yang semakin membanjiri
masyarakat. Selain itu, analisis ini juga dilakukan untuk memahami impak penggunaan bahasa
slanga ini terhadap masyarakat, negara serta kedudukan Bahasa Melayu itu sendiri yang menjadi
semakin tergugat. Oleh itu, dalam menangani fenomena ini daripada terus berleluasa, beberapa
uslub dan minhaj wajar dilakukan bagi mengekang bahasa slanga ini daripada terus merosakkan
bahasa jati Melayu.

3.0 PERMASALAHAN KAJIAN


Dalam menulis artikel ini, wujud beberapa persoalan yang menimbulkan tanda tanya dalam
menyampaikan maklumat mengenai isu ini. Tunjang persoalan yang utamanya ialah dari
manakah asal-usulnya bahasa slanga yang wujud dalam majoriti kelompok masyarakat pada hari
ini. Meskipun bahasa ini tidak diiktiraf sebagai bahasa yang mempunyai kedudukan yang
tertinggi dan bukan juga bahasa baku, namun mengapa bahasa ini mampu digunakan secara
meluas dalam masyarakat kita sedangkan jika dilihat, kebanyakan bahasa ini hanyalah
dipertuturkan dalam kalangan golongan remaja sahaja kesan daripada pengaruh budaya luar.
Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa ini semakin giat digunakan tanpa mengira
peringkat umur, latar belakang dan budaya masing-masing. Bahasa slanga turut menjadi bahasa
rojak iaitu dengan mencampuradukkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris terutamanya dalam
aspek pertuturan. Di samping itu, persoalan mengenai kepentingan penggunaan bahasa ini
terhadap individu, masyarakat, bahasa dan negara. Apakah penggunaan bahasa slanga ini mampu
memberikan impak yang positif ataupun sebaliknya.

4.0 KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian penulisan artikel ini adalah penting dilakukan untuk mengenal pasti tahap penguasaan dan
penggunaan bahasa slanga ini dalam masyarakat pada masa kini. Banyak pengaruh luar yang
secara tidak langsung telah menyebabkan berlakunya perkembangan dalam penggunaan bahasa
slanga ini. Tidak kira sama ada media cetak, media elektronik ataupun media massa dan
pengaruh medium-medium lain, semuanya banyak membawa pengaruh kepada masyarakat ke
arah wujudnya fenomena ini.
Meskipun ramai pihak yang menunding jari sesama sendiri menyalahkan antara satu sama
lain terhadap ledakan penggunaan bahasa ini, namun dalam situasi ini sebenarnya masing-
masing tidak harus saling mempersoalkan mengenai hal ini. Sudah menjadi suatu kelaziman
bahawa perkembangan kemajuan dalam sesebuah negara turut akan membawa kepada perubahan
terhadap corak dan gaya hidup sesebuah masyarakat. Bukan hanya ia dapat dilihat dalam aspek
pemakaian dan budaya hidup sahaja, namun turut dapat dilihat implikasinya terhadap bahasa
ibunda itu sendiri.
Bahasa Melayu merupakan bahasa Kebangsaan kita di negara ini. Walau bagaimanapun,
sekiranya penggunaan bahasa Melayu baku ini kurang mendapat perhatian umum dalam
kalangan masyarakat, tidak mustahil sekiranya bahasa ini akan luntur ditelan arus pemodenan
dunia. Oleh itu, kita sebagai individu yang berpegang pada slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’
perlulah mempertahan dan memartabatkan Bahasa Kebangsaan kita daripada terus-terusan
disalahgunakan oleh sesetengah pihak yang kurang peka terhadap kepentingan bahasa
kebangsaan kita.

5.0 METODOLOGI KAJIAN


Pengkaji telah menggunakan beberapa kaedah bagi memperoleh hasil mengenai wujudnya
kekangan yang berkaitan dengan penggunaan bahasa slanga ini ke atas kefahaman mereka dalam
bahasa Melayu. Kaedah pertama yang digunakan oleh pengkaji ialah menjalankan penyelidikan
ke perpustakaan untuk mendapatkan maklumat tentang penggunaan bahasa slanga ini. Kajian ke
perpustakaan ini adalah bertujuan untuk pengkaji lebih memahami tentang konsep kajian
pengkaji. Beberapa buah perpustakaan telah dilawati oleh pengkaji bagi mendapatkan maklumat
tambahan. Pengkaji juga telah meneliti beberapa sumber berkenaan dengan unsur ketaksaan
makna dalam penggunaan bahasa slanga ini. Tambahan pula, makna daripada bahasa slanga ini
perlu diteliti terlebih dahulu supaya pengkaji tidak tersilap mentafsir konteks sesuatu makna
tersebut.
Di samping itu, apabila pengkaji telah memahami makna bahasa slanga itu, pengkaji mula
melakukan pemerhatian bebas terhadap sekelompok golongan masyarakat. Pemerhatian ini
hanya dilakukan secara rawak di sekitar-sekitar kawasan pasar, kompleks membeli-belah dan
sebagainya. Melalui kaedah pemerhatian ini, serba sedikit maklumat mengenai bahasa slanga ini
dapat dikenal pasti tentang penggunaannya dalam pertuturan dan komunikasi seharian
masyarakat pada dewasa ini. Selain itu, pengkaji turut meninjau bahan-bahan berilmiah yang lain
dan juga kajian-kajian lepas yang telah dijalankan oleh para pengkaji sebelum ini mengenai
konsep penggunaan bahasa slanga dalam masyarakat umum khususnya. Pengkaji telah merujuk
beberapa buah jurnal, artikel-artikel tertentu dan pelbagai lagi wahana yang lain.
Seterusnya, penelitian juga dilakukan terhadap faktor-faktor yang menyebabkan
penggunaan bahasa slanga ini yang begitu meluas dalam kalangan masyarakat dan kepentingan
serta implikasi penggunaan bahasa slanga terhadap masyarakat. Kemudian, setelah pengkaji
memperoleh maklumat-maklumat tersebut, maka penulisan artikel mula dijalankan berdasarkan
dengan maklumat yang telah diperoleh berserta dengan pandangan tokoh dalam usaha
menguatkan lagi hujah yang hendak disampaikan. Bagi mendapatkan pandangan tokoh-tokoh
mengenai isu penggunaan bahasa slanga ini, buku majalah dan laman sosial turut digunakan
sebagai rujukan kajian yang dilakukan.

6.0 DAPATAN KAJIAN

 Faktor-faktor Penggunaan Bahasa Slanga

1. Mudah difahami

Penggunaan bahasa slanga dalam masyarakat pada hari ini semakin membawa
pengaruh yang luas. Hal ini demikian kerana, penggunaan bahasa ini amat mudah
untuk difahami. Namun, dalam pergaulan umum, golongan remaja di bangku sekolah
lebih dominan menggunakan bahasa ini. Sebagai contohnya :

“Perghh.. cun giler budak baru yang pindah kat sekolah kita nie”
“Alah, kacang je tu.. bukan payah sangat pun buat keje tu”
“Jatuh saham aku hari ni depan awek, duit pokai”

Bahasa seperti contoh di atas, kerap kita dengar dalam kalangan remaja untuk
proses komunikasi mereka antara satu sama lain. Sememangnya tidak dapat dinafikan
lagi bahawa, bahasa ini lebih mudah difahami dalam hubungan rakan yang lebih
akrab. Selain itu, bahasa ini juga dapat mewujudkan suatu hubungan yang mesra dan
erat serta ia dapat diterima sebagai satu bahasa yang unik.

2. Faktor Persekitaran
Dalam kehidupan kita seharian, persekitaran di sekeliling kita banyak membawa
pengaruh yang besar dan cukup penting terhadap semua masyarakat. Persekitaran
merupakan alam sekeliling yang luas dan saujana mata memandang. Namun, menurut
pendapat Amran Schienfield pula, persekitaran ialah merujuk kepada luaran
seseorang individu dan faktor bakanya yang bermula daripada peringkat
persenyawaan. Manakala, W. Edger Vinacke pula berpendapat bahawa persekitaran
ialah kuasa dalaman yang rumit dan mampu mempengaruhi tingkah laku seseorang
individu.
Dalam hal ini, penggunaan bahasa slanga turut dikatakan berpunca daripada
pengaruh faktor persekitaran terutamanya bagi pelajar mahasiswa dan mahasiswi
yang berada dalam kawasan kampus. Kebanyakan pelajar di insitusi-institusi
pengajian tinggi ini mempunyai latar belakang yang berbeza-beza. Tambahan pula,
terdapat pelbagai pelajar yang berasal dari negeri-negeri yang berlainan antara satu
sama lain seperti Kedah, Perak, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak dan
sebagainya. Oleh sebab mereka semua berasal dari tempat yang berbeza-beza, maka
loghat ataupun dialek yang digunakan dalam pertuturan seharian juga turut berbeza-
beza antara seseorang dengan seseorang yang lain. Tamsilan bahasa slanga yang
digunakan mengikut dialek ataupun loghat negeri masing-masing ialah seperti :

Kedah : “amboii bak hang”


Terengganu : “berat nanang sungguh mung Joe, dok orok cetong sungguh la”
Kelantan : “gewe deme ore mane”, “demo loghat, demo gi dulu”
Sabah : “ohhh…tidak apa-apa ya bha, saya mahu beli jugak”

Walau bagaimanapun, faktor persekitaran ini bukan hanya terhad pada sifat
masyarakat itu sendiri. Hal ini kerana, faktor persekitaran yang lain iaitu wahana
medium media elektronik, media massa dan media cetak turut membawa banyak
pengaruh terhadap penggunaan bahasa slanga ini. Jika kita lihat di tepi-tepi jalan raya,
banyak iklan yang dipamerkan menggunakan bahasa slanga bagi menarik perhatian
khalayak untuk membaca dan melihat iklan-iklan tersebut. Dalam majalah dan
televisyen juga tidak kurang hebatnya terhadap penggunaan bahasa slanga ini.

3. Pengaruh rakan sebaya


Pengaruh rakan sebaya turut membawa impak yang begitu besar dalam diri seseorang
tanpa mengira aspek apa yang dikemukakan. Golongan remaja sangat mudah
terpengaruh dengan rakan-rakan mereka berbanding dengan orang lain malahan ahli
keluarga mereka sendiri pun mereka tidak begitu rapat. Justeru, tidak hairanlah
sekiranya dinyatakan di sini bahawa, kecenderungan untuk golongan ini terjebak
sama dalam mengikut jejak rakan-rakan mereka bertutur menggunakan bahasa slanga
dalam pergaulan sesama mereka. Misalnya, perbualan antara Ahmad dengan Zari
seperti di bawah :
Ahmad : Oiii broo, apa macam jawab exam tadi?
Zari : Susah giler kentang aku nak jawab tadi Mad.
Ahmad : Rileks ar broo, kacang je pun soalan tadi. Wehh, ko tengok sana tu!
Zari : Tengok ape? woooo… siottt giler awek tu. Weeewittt.. cunnya awak..
Daripada dialog di atas, kita dapat rumuskan di sini bahawa penggunaan bahasa
slanga dalam kalangan pelajar dapat dilihat jelas dalam pertuturan antara mereka.
Mereka lebih mudah untuk menerima sesuatu dan tidak mahu dikatakan orang yang
kuno dalam kalangan mereka sendiri.
4. Penggunaan bahasa yang lemah
Masyarakat kita mempunyai pelbagai bangsa dan identiti mereka yang tersendiri. Ada
yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Terdapat juga etnik-etnik yang
lain seperti Kadazan, Dusun, Bajau, Kelabit, Murut dan pelbagai lagi. Setiap etnik-
etnik ini juga mempunyai berbagai-bagai jenis bahasa yang digunakan dalam budaya
hidup mereka seharian. Tidak semua orang fasih dan mahir dalam bertutur
menggunakan Bahasa Melayu baku. Kebanyakan yang dilihat pada hari ini, ramai
masyarakat yang menggunakan bahasa daerah atau dialek masing-masing dalam
komunikasi mereka. Dengan menggunakan bahasa seperti ini menyebabkan dalam
kalangan mereka ramai yang mengambil pendekatan yang mudah untuk bertutur
dengan menggunakan bahasa slanga.
Tambahan pula, fenomena ini jelas dilihat apabila seseorang pelajar itu ingin
berkomunikasi dengan pelajar yang memiliki latar belakang budaya dan bangsa yang
berlainan. Mencampuradukkan bahasa slanga ini mula berlaku dalam komunikasi
mereka untuk menunjukkan kelebihan masing-masing dan untuk saling
mempertahankan bahasa ibunda mereka antara satu sama lain. Kebanyakan mereka
yang selalu menggunakan bahasa slanga ini, mereka juga kurang dapat menguasai
Bahasa Melayu dengan baik.

 Kesan-kesan Penggunaan Bahasa Slanga

1. Menghakis Bahasa Melayu

Sekiranya penggunaan bahasa slanga ini tidak dipantau secara berkala oleh pihak-
pihak yang terlibat, maka ia akan dapat menghakis fungsi Bahasa Melayu itu sendiri.
Hal ini demikian kerana, impak daripada penggunaan bahasa slanga yang begitu
berleluasa pada masa kini mampu mencemarkan Bahasa Melayu asli. Bahasa Melayu
sangat penting digunakan dalam semua aspek. Bahasa Melayu ini tidak seharusnya
dipandang enteng oleh segelintir pihak kerana bahasa tersebut merupakan bahasa
kebangsaan negara kita. Seperti mana yang telah termaktub dalam Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan, menetapkan bahawa Bahasa Melayu ialah bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi utama negara kita.

Sementelahan, Bahasa Melayu juga memainkan peranan yang cukup penting


dalam aspek-aspek lain. Tamsilannya, Bahasa Melayu turut digunakan sebagai bahasa
pengantar, bahasa pentadbiran, bahasa rasmi dan lain-lain. Kita sebagai seorang
masyarakat Melayu seharusnya menjunjung tinggi bahasa ini, dan bukannya
menjadikan bahasa ini semakin luntur digunakan dalam konteks komunikasi seharian
masyarakat.

2. Penggunaan bahasa yang kurang sopan


Tidak dapat dinafikan bahawa, penggunaan bahasa slanga dalam pertuturan ada
kalanya bersifat kasar dan kurang sopan untuk didengar. Kamus Dewan telah
mendefinisikan bahasa kasar sebagai bahasa yang tidak manis atau bahasa kesat yang
digunakan dalam komunikasi atau tulisan seseorang yang menyebabkan timbulnya
perasaan sakit hati orang lain apabila mendengar atau membacanya. Bahasa slanga
juga dianggap sebagai bahasa yang tidak sopan bagi seseorang yang begitu
mementingkan nilai keindahan bahasa itu sendiri. Penggunaan bahasa slanga ini
bukanlah sesuatu agen yang baru kerana bahasa ini sudah lama digunakan dalam
kelompok masyarakat dalam kalangan sesama mereka.

3. Mempengaruhi penulisan

Seterusnya, kancah ini bukan sahaja melibatkan dalam pertuturan lisan, malahan juga
turut merebak dalam wahana penulisan. Majalah-majalah hiburan amnya, banyak
menggunakan bahasa slanga dalam wadah penulisan mereka. Hal ini sememangnya
akan mempengaruhi para pembaca untuk membaca artikel-artikel yang ditulis. Selain
itu, bukan hanya dalam penulisan majalah penggunaan bahasa ini menjadi begitu
meluas tetapi turut dicemari dalam penulisan laman sesawang.

Majoriti yang menggunakan televisyen dan internet sebagai medium utama


untuk mendapatkan sesuatu maklumat lebih terdedah dengan penggunaan bahasa
slanga ini. Para pelajar juga mampu membawa pengaruh penggunaan bahsa slanga ini
dalam aspek penulisan-penulisan mereka di sekolah. Situasi ini bukan sahaja akan
menyebabkan kualiti atau mutu sesuatu hasil penulisan semakin menurun, bahkan
juga turut berkurangnya pengetahuan dalam Bahasa Melayu mereka.

4. Pencampuran bahasa

Impak daripada penggunaan bahasa ini yang tidak terlalu terkawal menyebabkan
wujudnya kod percampuran bahasa tidak kira sama ada dalam proses komunikasi
seharian ataupun dalam lapangan penulisan. Dalam konteks hari ini, sekiranya
menggunakan Bahasa Melayu dalam sesuatu pertuturan adalah dianggap kolot
ataupun kuno. Hal ini demikian kerana, wujud sesetengah pihak ayng menyatakan
bahawa, percakapan yang terlalu menggunakan Bahasa Melayu baku itu adalah
terlalu formal dan dianggap seperti masyarakat yang ketinggalan zaman. Walhal,
sekiranya kita lihat pada hari ini, Bahasa Melayu semakin giat untuk dinaiktarafkan
martabatnya seiring dengan kemajuan negara. Namun begitu, akibat berlakunya
banyak ledakan bahasa slanga ini yang kian membarahi masyarakat menyebabkan
Bahasa Melayu dalam masyarakat kita semakin hari semakin dipinggirkan.

Di samping itu, Bahasa Melayu juga menjadi kian tercemar disebabkan oleh
ketidakprihatinan masyarakat terhadap penggunaan sesuatu bahasa itu sendiri.
Masyarakat dengan suka hati mencampuradukkan bahasa-bahasa lain dengan Bahasa
Melayu. Penggunaan bahasa slanga tidak terhad kepada umur-umur tertentu sahaja,
tetapi penggunaannya semakin menyeluruh dalam semua masyarakat.

7.0 KESIMPULAN

Tuntasnya, dapatlah disimpulkan di sini bahawa penggunaan bahasa slanga telah banyak
membawa pengaruh yang begitu besar dalam masyarakat pada hari ini. Banyak faktor yang
telah mendorong kepada berlakunya penggunaan bahasa ini. Kita tidak sayugianya
menunding jari untuk menyalahkan mana-mana pihak dalam fenomena ini. Fenomena ini
banyak berakar umbikan daripada sikap kita sendiri sebagai seorang penutur bahasa. Namun,
keadaan ini tidak begitu diambil teliti oleh masyarakat kerana menganggap hal ini tiada
membawa apa-apa kepentingan untuk mereka. Walhal, sekiranya penggunaan bahasa slanga
ini tidak dikawal, tidak mustahil sekiranya suatu hari nanti Bahasa Melayu itu sendiri akan
pupus ditelan dek waktu.

Implikasi buruk dapat dilihat dalam jangka masa yang panjang sekiranya penggunaan
bahasa ini masih berleluasa dalam kalangan masyarakat. Kancah ini sewajarnya ditegah agar
bahasa slanga tidak menjadi bahasa yang akan memusnahkan Bahasa Melayu. Pelbagai uslub
dan minhaj yang sewajarnya dilakukan demi memelihara Bahasa Melayu ini agar tidak
dicemari oleh anasir-anasir lain yang boleh merosakkan bahasa kebangsaan kita. Justeru,
semua pihak tidak kira berlatarbelakangkan apa jua sekalipun perlu sama-sama menangani
isu ini daripada terus membarahi masyarakat. Cintailah bahasa kita kerana bahasa itu
merupakan lambang keperibadian masyarakat. Bak kata pepatah, “Bahasa Jiwa Bangsa”.
RUJUKAN

Abdul Ghani Nasir. 2012. Bahasa Melayu Tercemar dengan Penggunaan Slanga dan
Singkatan. Berita Harian. 13 Januari.

Asmah Hj. Omar. 1983. Penggunaan Bahasa dalam Surat Rasmi : Bahasa dalam
Komunikasi. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pusataka dan Kementerian
Pendidikan Malaysia.

Abdullah Yusof, Adenan Ayob & Mohd Ra’in Shaari. 2014. Penyelidikan Makna.
Tanjong Malim, Perak : Emeritus Publications.

Kamaruddin Haji Husin. 1995. Laras Bahasa. Kuala Lumpur : Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd.

Kamus Dewan Edisi Keempat. 2005. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai