Anda di halaman 1dari 18

Bab 1: Pengenalan

Bab 1: PENGENALAN

Setelah selesai Babi ni, anda akan dapat: Menjelaskan apa itu linguistik dan bidang linguistik Memerihalkan sejarah perkembangan linguistik Membezakan di antara bidang-bidang linguistik Menerangkan implikasi linguistik dalam pengajaran bahasa Melayu

1.1 1.2 1.3 1.4 1.5 1.6 1.7

Apa itu linguistik? Apa itu bahasa? Bidang linguistik Sejarah perkembangan linguistic Jenis linguistic Linguistik dan pengajaran bahasa Kesimpulan

Bab 1: Pengenalan

1.1 APAKAH ITU LINGUISTIK?

Ilmu linguistik ialah suatu kajian saintifik tentang bahasa manusia secara teratur dan empiris menggunakan bukti dari pemerhatian dan mengikut teori tertentu.
Linguistik bolehlah didefinisikan sebagai kajian bahasa secara saintifik. Definisi ini memanglah tidak mencukupi untuk seseorang pembaca mendapat sebarang penunjuk positif tentang prinsip asas yang terdapat dalam bidang ini. Definisi ini akan menjadi lebih jelas apabila diberi penjelasan yang lebih terperinci tentang implikasi yang terdapat dalam istilah saintifik. Kajian bahasa secara saintifik itu bermaksud kajian itu dilakukan dengan cara pengamatan yang terkawal dan dapat diuji kebenarannya dengan membuat rujukan kepada beberapa teori umum struktur bahasa. Linguistik merupakan suatu bidang ilmu yang masih belum begitu dikenali ramai. Kebanyakan kita menganggap kebolehan bertutur itu sebagai salah satu daripada kebolehan asasi manusia. Bahasa yang digunakan dalam pertuturan merupakan satu alat perhubungan yang penting antara manusia dengaan manusia. Alat perhubungan ini amat kompleks tetapi teratur dengan menggunakan kod-kod tertentu. Sebenarnya hanya sebahagian daripada linguistik melibatkan pengajaran dan pembelajaran bahasa. Linguistik adalah lebih luas daripada itu. Kata linguistik (linguistics-Inggeris) berasal dari bahasa Latin lingua yang bererti bahasa. Dalam bahasa Perancis langage-langue; Italia lingua; Spanyol lengua dan Inggeris language. Akhiran ics dalam linguistics berfungsi untuk menunjukkan nama sebuah ilmu, yang bererti ilmu tentang bahasa, sebagaimana istilah economics, physics dan lain-lain. Linguistik ialah suatu sains yang mengkaji bahasa (Abdullah Hassan, 1984 : 2). Linguistik ialah pengkajian saintifik mengenai bahasa kerana linguistik memenuhi syarat yang diperlukan seperti pengkajian sains yang lain. Linguistik juga dikatakan saintifik kerana kaedah yang digunakan empirikal berdasarkan sesuatu yang dilihat, dirasa, didengar.

Bab 1: Pengenalan

1.2 APAKAH ITU BAHASA


Jarang sekali kita memikirkan tentang bahasa, iaitu satu fenomena penting dalam kehidupan kita. Ini kerana ia merupakan satu kegiatan yang sangat biasa sama seperti kita berjalan dan bernafas, dan oleh itu tidaklah kita pedulikan sangat apakah dia bahasa itu? Kebanyakan kita hanya menganggap kebolehan bertutur itu sebagai salah satu daripada kebolehan asasi manusia. Selain itu, tidak pernah misalnya kita menyoal tentang sama ada kebolehan manusia bertutur itu sebagai satu kejadian semula jadi, iaitu satu kejadian yang berlaku dengan tidak sengaja, ataupun adalah ia satu perkara yang mesti dipelajari oleh manusia? Jika kita fikirkan betul-betul, kebolehan bertutur itu merupakan satu keanehan. Sebenarnya bertutur bukanlah sama seperti berjalan. Dalam hal berjalan, tidak ada pengertian sosial atau kebudayaan. Kanak-kanak telah lengkap atau sempurna bagi menghadapi keperluan otot dan saraf untuk berjalan. Wujudnya otot dan sistem saraf pada tempatnya yang tertentu itu, boleh dikatakan yang ia disesuaikan untuk sesuatu kemahiran. Sebenarnya manusia telah ditakdirkan untuk berjalan, bukan kerana telah diajar oleh ibu bapanya tetapi kerana alat-alat untuk berjalan itu telah sedia sejak lahir lagi. Jadi berjalan itu adalah satu fungsi biologi manusia yang diwarisnya turun-temurun. Bahasa tidaklah begitu keadaannya. Memang benar manusia yang dilahirkan itu ditakdirkan untu bertutur. Tetapi yang berpengaruh dalam hal ini ialah kenyataan tentang kelahirannya dalam satu masyarakat yang akan melenturnya menurut tradisinya yang tersendiri. Kalaulah kita hapuskan masyarakat, kanak-kanak itu terus juga akan berjalan tetapi tidak bertutur. Ataupun kalau diletakkan dalam satu masyarakat lain, maka ia akan tentu berjalan sama seperti dalam hal masyarakatnya yang lama, tetapi bahasanya akan berubah menurut masyarakat baru itu. Jadi sebenarnya berjalan adalan fungsi biologi tubuh, secara naluri, tetapi pertuturan adalah fungsi kebudayaan yang harus dipelajari. Kalau kita perhatikan perkembangan bahasa dalam kalangan kanak-kanak, kita betul-betul akan dapat mengetahui bahawa kebolehan bertutur itu adalah berperingkat-peringkat, dari semasa anak itu berumur lapan minggu hinggalah fasih bertutur. Katakana, mula-mula ia akan mengeluarkan bunyi-bunyi saja, kemudian mengeluarkan suku kata dan seterusnya perktaan; hinggalah ia bertutur dalam ayat penuh. Ini membuktikan yang kebolehan bertutur itu sebagai satu kebolehan yang dipelajari oleh manusia. Pertuturan itu hanyalah menggunakan alat-alat yang sedia ada di dalam rongga mulut. Fungsi utama alat-alat tersebut adalah sebagai alat-alat biologi untuk membolehkan manusia melumatkan makanan untuk hidup.

Bab 1: Pengenalan Pertuturan adalah fungsinya yang kedua, samalah seperti jari kita mempelajari menulis, iaitu satu kemahiran yang asing daripada tugas asalnya. Jadi fungsinya bertutur itu merupakan satu kebolehan yang kedua yang dipelajari, dan bukan semula jadi. Bahasa yang digunakan dalam pertuturan merupakan satu alat perhubungan yang penting antara manusia dengan manusia (kadang-kadang dengan binatang). Alat perhubungan ini amat kompleks tetapi teratur dengan menggunakan kod-kod tertentu. Walau bagaimanapun, bahasa tidaklah boleh dianggap sebagai hanya satu alat perhubungan antara manusia. Malah ada banyak lagi cara lain untuk manusia berhubung antara satu sama lain, misalnya seperti gerak-geri, simbol, atau kod telegraf, muzik dan lain-lain lagi. Tetapi perhubungan melalui perantaraan bahasa itu semula jadi dan paling sempurna. Cara lain itu ialah dengan menggunakan beberapa unsur atau perantaraan yang berlainan seperti gambar, bunyi, panjang pendek sinaran cahaya lampu dan sebagainya. Tetapi bahasa menggunakan bunyi suara. Daripada bunyi suara itulah pula diterbitkan lambing-lambang yang berlainan yang boleh digambarkan di atas kertas dan lain-lain seperti tulisan dan isyarat.

a) Jelaskan asal-usul perkataan linguistik? b) Terangkan maksud linguistik. c) Mengapakah penguasaan bahasa adalah suatu keanehan?

1.3 BIDANG LINGUISTIK

Bidang linguistik merupakan suatu kajian saintifik tentang bahasa tabii manusia dan juga suatu bidang kajian menarik yang sedang berkembang. Linguistik ialah satu kajian bahasa secara saintifik. Dalam hal ini, linguistik menjadi satu cawangan ilmu yang mempunyai disiplinnya yang tersendiri, sama tarafnya dengan disiplin-disiplin lain dalam bidang ilmu. Bidang linguistik merupakan komponen penting dalam bidang sains kognitif yang baru muncul, iaitu kajian tentang struktur dan fungsi proses kognitif manusia. Ada prinsip-prinsip yang tertentu dalam pengkajian linguistik. Linguistik ini juga membolehkan seseorang itu mengetahui dan memahami masalah dan kesukaran yang terdapat dalam bahasa, serta cuba untuk menghuraikan atau menyelesaikan masalah itu. Pada dasarnya, bidang ini berkaitan dengan sifat bahasa dan komunikasi. Manusia tertarik dengan bahasa dan komunikasi sejak beribu-ribu tahun, tetapi dalam banyak hal kita hanya
4

Bab 1: Pengenalan baru mula memahami sifat kompleks aspek kehidupan manusia ini. Ilmu Linguistik ini pada keseluruhannya merupakan suatu percubaan untuk memecahkan soalan yang luas mengenai sifat semula jadi bahasa dan komunikasi kepada soalan yang lebih kecil dan dapat ditangani atau dijawab. Cara demikian dapat mewujudkan hasil yang munasabah yang dapat dijadikan asas untuk mendekati jawapan kepada soalan yang lebih besar. Dengan tidak membataskan fikiran dan mengehadkan diri pada rangka kerja tertentu untuk meneliti aspek bahasa dan komunikasi yang berbeza, maka jawapan kepada soalan-soalan yang luas dapat diperolehi. Bidang ini merangkumi berbagai-bagai tajuk yang sangat luas yang berkaitan dengan bahasa dan komunikasi. Linguistik secara am terbahagi kepada dua jenis: Linguistik Tulen, seperti fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik. Linguistik Terapan, seperti sosiolinguistik, psikolinguistik.

Dalam bahagian ini kita akan meneliti struktur bahasa manusia, dan dengan cara ini, kita akan menemui suatu sistem yang sangat kompleks. Pelajar linguistik pada peringkat permulaan selalunya terkejut mendapati bahawa ahli bahasa menghabiskan masa yang agak banyak merumuskan teori untuk menggambarkan pemerian tentang struktur dan fungsi bahasa manusia. Bertutur dalam bahasa asli sendiri merupakan tugas yang semula jadi sifatnya dan mudah dilakukan dengan cepat dan senang. Malahan, kanak-kanak kecil dapat melakukannya tanpa banyak bersusah payah. Selain beberapa peraturan tatabahasa dan sebutan, tiada apaapa lagi yang perlu diterangkan tentang bahasa manusia. Ternyata banyak perkara yang perlu dibincangkan. Jika kita keluar sedikit daripada bahasa dan melihatnya sebagai objek yang perlu dikaji dan dihuraikan, dan bukan sahaja digunakan, kita akan menemui bidang pengetahuan manusia yang menarik yang sebelum ini tersembunyi daripada kita. Dalam memulakan kajian tentang sifat struktur bahasa manusia, perlulah diambil perhatian tentang tema-tema umum yang dibincangkan dalam kursus ini:

Bab 1 Pengenalan Linguistik: Bidang linguistik telah berkembang dengan pesatnya dan mengambil tempat yang agak istimewa dalam bidang ilmu. Dari apa yang dimulakan oleh de Saussure, berkembanglah linguistik moden. Tujuan linguistik ini ialah untuk membolehkan seseorang itu memahami betul-betul apa dia masalahmasalah yang terdapat dalam sesuatu bahasa itu. Bab 2 Morfologi: Merupakan suatu bidang pengkajian tentang sifat kata dan rumus pembentukan kata. Dalam bidang ini merangkumi struktur perkataan, perkataan kompleks dan morfem, neologisma, infleksi dan morfologi derivisional, dan analisis morfologi. Bab 3 Fonetik: Memperkenalkan fisiologi yang terlibat dalam pengeluaran bunyi pertuturan dan juga sistem transkripsi fonetik dan fonemik yang digunakan untuk

Bab 1: Pengenalan melambangkan bunyi dalam bahasa. Ia turut membincangkan konsep-konsep penting, transkripsi fonetik, jenis-jenis bunyi dan perwakilan bunyi. Bab 4 Sintaksis: Mengemukakan kajian tentang struktur ayat dan frasa. Ia merangkumi kajian tentang struktur ayat, konsep-konsep penting, jenis-jenis ayat , dan struktur ayat dan anaphora. Ia merupakan suatu bidang pengkajian tentang tatacara binaan frasa, klausa, dan ayat-ayat; iaitu berhubung dengan cara ia dibentuk. Bab 5 Semantik: Meninjau sifat makna dan denotasi dalam bahasa. Ia membincangkan konsep-konsep penting, teori-teori makna, mood dan makna, dan anaphora dan koreferensi. Semantik merupakan suatu bidang pengkajian tentang aspek makna dalam bidang pengajian ilmu linguistik. Bab 6 Variasi Bahasa: Memperkatakan cara penutur dan kumpulan penutur dapat berbeza antara satu sama lain dari segi pelbagai bentuk bahasa yang digunakan oleh mereka. Ia merangkumi gaya bahasa, bahasa dialek, bahasa pasar dan variasi bahasa lain. Bab 7 Pragmatik: Memeriksa dengan teliti beberapa isu yang terlibat dalam menghuraikan komunikasi manusia dan mencadangkan strategi komunikasi yang tertentu yang digunakan orang apabila bercakap antara satu sama lain. Ia merangkumi penggunaan bahasa dan komunikasi, konsep-konsep penting, teori komunikasi- model mesej, teori komunikasi iaitu model inferensi, dan discourse dan perbualan. Bab 8 Psikolinguistik: Merangkumi pertuturan bahasa, kecekapan, perlakuan dan pemerolehan bahasa, dan kefahaman bahasa. Bahasa digunakan dalam fikiran dan komunikasi, dan menjadi tugas psikolinguistik untuk menemukan cara pengetahuan tentang bahasa dilambangkan dalam otak seseorang penutur yang fasih, cara maklumat ini digunakan dalam penghasilan dan pemahaman penyataan, dan cara penutur memperoleh kemampuan ini. Bab 9 Otak Manusia dan Bahasa: Memperkatakan cara bahasa disimpan dan diproses dalam otak. Ia merangkumi konsep-konsep penting, di mana letaknya bahasa dalam otak manusia, cara otak mengekod dan mendekod bahasa dan pertuturan, serta pemerolehan bahasa kanak-kanak. Pakar bahasa dan otak percaya bahawa kajian tentang bentuk dan penggunaan bahasa akan memperlihatkan prinsip fungsi otak, dan kajian fungsi otak mungkin menyokong atau menolak teori linguistik yang tertentu. Bab 10 Sosiolinguistik: Merangkumi konsep-konsep penting, skop kajian sosiolinguistik, bahasa dan status sosioekonomi individu, dan persekitaran sosial dan perkembangan bahasa. Manusia menggunakan bahasa dalam kebanyakan fikiran kita.

Bab 1: Pengenalan

a) b) c) d)

Apakah perbezaan di antara linguistik tulin dan linguistik terapan. Nyatakan perbezaan di antara morfologi, sintaksis dan pragmatik. Manakah bidang yang terlibat dengan makna? Apakah perbezaan di antara psikolinguistik dan sosiolinguistik?

1.4 SEJARAH PERKEMBANGAN ILMU LINGUISTIK

Zaman Yunani Mungkin dari sini dapat kita katakan bahawa perkembangan yang tidak putus-putus dalam pengkajian ilmu linguistik itu bermula dari zaman Yunani, iaitu melalui tokoh-tokoh seperti Plato, Aristotle, Thrax dan lain-lain lagi. Mungkin juga ada antara pembaca yang biasa mendengar istilah tatabahasa tradisi. Ini satu daripada hasil pengkajian linguistik yang dimulakan oleh sarjana-sarjana Yunani pada masa dahulu. Sarjana-sarjana Yunani itu telah lama cenderung dan maju dalam mengkaji ilmu falsafah. Bahasa adalah sebahagian datipada bidang kajian mereka. Mereka cenderung mengkaji ilmu atau falsafah secara keseluruhannya. Oleh sebab orang Yunani itu lebih mementingkan falsafah, maka mereka lebih suka mengkaji apa yang kita anggap sebagai epitomologi; iaitu pengkajian tentang bagaimana kata-kata itu terbentuk. Perbincangan ini berputar di sekeliling pendapat yang mengatakan sama ada perkataan-perkataan terbentuk dengan cara semula jadi ataupun dibentuk oleh manusia melalui kebudayaan. Dari sini timbullah pertentangan pendapat antara dua puak pada zaman Yunani itu, iaitu puak naturalis dan puak konvensyen. Naturalis mengatakan bahawa katakata terbit secara kebetulan tetapi puak konvensyen mengatakan perkataan terbit secara kebiasaan. Perbezaan ini berlanjutan ke peringkat lain dalam sejarah perkembangan ilmu linguistik dan bahkan hingga akhir zaman ini masih ada lagi ahli-ahli linguistik yang masih berbincang tentang konsep-konsep ini. Perbezaan antara naturalis dengan konvensyen telah timbul dalam bentuk lain iaitu analogi dan anomali pada peringkat selanjutnya dalam perkembangan linguistik. Sarjana berfahaman anologi mengatakan unsur bahasa harus dapat diseragamkan melalui analogi. Tetapi yang berfahaman anomali, mereka merasakan bahasa mengandungi ketakseragaman (Abdullah Hassan, 2001). Zaman Romawi Setelah runtuhnya kegemilangan Yunani, pusat pengkajian berpindah ke Romawi. Pada zaman Romawi, kajian linguistik agak pesat dan pada zaman ini juga timbul tatabahasa Latin yang agak lengkap oleh ahli-ahli ilmu bahasa seperti Varro, Priscian dan lain-lain lagi. Sebenarnya apa yang berlaku pada zaman ini ialah sarjana-sarjana Romawi itu hanya mengubahsuaikan saja segala tinggalan sarjana Yunani tersebut dan digunakan untuk bahasa
7

Bab 1: Pengenalan Latin. Dengan erti kata lain, satu pengkodifikasian pemikiran dan konsep nahu Yunani telah berlaku pada zaman Romawi itu (Abdullah Hassan, 2001). Zaman Arab Selanjutnya apabila runtuhnya zaman Romawi, maka perkembangan ilmu linguistik dan juga semua bidang ilmu telah berpindah ke kerajaan Islam di Baghdad, iaitu pusat pengajian tinggi dalam sejarah Islam. Pada masa Eropah mengalami sejarah gelap, cahaya ilmu pengetahuan ini dilanjutkan oleh sarjana Islam dan pada masa inilah timbulnya ahli-ahli bahasa dalam sejarah Islam seperti Al-Khalil dan Al-Masri. Pada Zaman Pertengahan, benua Eropah mengalami sejarah gelap dalam bidang ilmu dan perkembangan ilmu linguistik ini agak terhad. Kajian-kajian linguistik telah dijalankan oleh paderi di gereja-gereja. Tetapi pengkajian ini hanya berupa kajian yang menitikberatkan sejarah perkembangan kata-kata. Walau bagaimanapun, terdapat perkembangan-perkembangan yang penting pada zaman ini. Tradisi Yunani dan Romawi mempengaruhi deskripsi bahasa Eropah yang lain. Buku nahu yang ditulis oleh Thrax diterjemahkan ke dalam bahasa Armenia pada kurun kelima Masihi, dan kemudian ke dalam bahasa Syria dan Sepanyol. Bahasa Yahudi juga telah dipengaruhi oleh buku itu. Seterusnya dari Syria ke dalam bahasa Arab. Akhirnya semua tatabahasa Eropah, Armenia, Syria, Yahudi dan Arab dipengaruhi oleh tradisi Yunani-Romawi. Pada masa itulah ahli bahasa Islam berkembang. Kajian mereka sudah agak maju, mencakupi deskripsi fonetik yang agak lengkap demi kepentingan mengekalkan sebutan dalam Quran. Dalam bahagian lain, tatabahasa juga telah berkembang maju. Paradigma atau pola bentuk digunakan dalam deskripsi bahasa. Hal ini diperlakukan sehingga tidak perlu memasukkan golongan perkataan dalam bahasa Arab, hanya cukup dengan merujuk bentuk paradigmanya sahaja. Satu sumbangan lain daripada sarjana Arab ialah dalam bidang leksikografi. Banyak kamus yang lengkap dan memuaskan ditulis oleh ahli bahasa Arab tersebut (Abdullah Hassan, 2001). Zaman India Tradisi ilmu bahasa India tidak pula kurang pengaruhnya terhadap perkembangan ilmu linguistik moden. Pengetahuan linguistik di India adalah lebih awal daripada Yunani, dan juga berkembang bebas daripada perkembangan di Yunani. Bidang yang dikaji agak luas dan dalam beberapa hal lebih maju berbanding dengan pengetahuan di Yunani dan Romawi. Hasil Panini (kurun keempat sebelum Masihi) berjumlah lebih kurang seribu makalah berkenaan tatabahasa dan semuanya masih ada. Ahli bahasa India mengumpulkan teks dan karya agama untuk dikaji dan sebutannya dideskripsi secara terperinci supaya jangan berubah melalui zaman. Cara ahli nahu India membezakan kata nama, dan kata kerja agak selari dengan apa yang dilakukan oleh Plato, tetapi ahli bahasa India menamainya proposisi dan partikel. Ahli bahasa India melebihi kejayaan ahli linguistik Yunani dan Romawi dalam bidang fonetik dan morfologi. Bunyi dideskripsikan dengan rapi supaya sebutannya tidak berubah. Dalam hal morfologi pula, Panini tidak sahaja mengkaji teks agama tetapi juga bahasa
8

Bab 1: Pengenalan sebutan semasa yang diketepikan oleh orang Yunani. Mereka telah mula menggunakan simbol dalam pemerian tatabahasa demi kepentingan ekonomi. Karya Panini yang menyeluruh, konsisten dan ekonomik itu telah mempengaruhi ahli bahasa pada masa kini.

Zaman Linguistik Perbandingan Perkembangan sejarah linguistik moden boleh dikatakan bermula pada abad ke-19. Pendekatan yang agak objektif terhadap pengajian bahasa boleh dikatakan bermula kerana dipengaruhi oleh zaman-zaman baru dalam pengkajian ilmu antropologi dan sosiologi. Ahli sosiologi seperti Durkheim, Malinowski, Von Humboldt dan lain-lain adalah sarjana yang mengkaji ilmu kemasyarakatan dari segi bukti-bukti yang dapat dipertanggungjawabkan. Ahli-ahli linguistik pada kurun ke-19 telah terpengaruh dengan pendekatan ini dalam mengkaji sesuatu bahasa. Sebenarnya ilmu linguistik timbul sebagai satu cabaran daripada antropologi. Dalam mengkaji sesuatu masyarakat, maka tidaklah dapat ditinggalkan kebolehan masyarakat itu bertutur sebagai satu unsur pengkajian terhadap daya mereka dalam berhubung dan lain-lain. Dari sini timbullah keinginan ahli-ahli antropologi dan ahli-ahli bahasa untuk menjalankan kajian terhadap bahasa-bahasa. Pada awalnya, pengkajian bahasa ini dilakukan secara tradisi, iaitu dengan cara mengambil susuk tatabahasa Yunani atau Latin dan kemudiannya mendeskripsikan sesuatu bahasa lain dalam rangka nahu tersebut. Perbuatan yang begini telah menimbulkan banyak kekeliruan dan kesalahfahaman dalam konsep tatabahasa. Misalnya, dalam tatabahasa Melayu kita, masih terdapat buku-buku seperti buku Maxwell (1882), Winstedt (1927) dan Kwee (1965) yang mengatakan bahasa dalam bahasa Melayu terdapat unsur-unsur kala sebagai satu kategori tatabahasa, padahal unsur ini tidak terdapat dalam bahasa Melayu. Ini pengaruh tatabahasa daripada tradisi Latin. Dalam kajian bahasa selanjutnya pada kurun ke-19, terdapat juga kegiatan yang membandingkan bahasa. Ada terdapat dua peringkat persamaan antara bahasa-bahasa. Bahasa boleh menunjukkan perkataan yang seakan-akan seperti mother (Inggeris) dan moeder (Belanda) yang bererti emak. Persamaan ini mungkin timbul daripada peminjaman. Daripada kajian yang rapidan berdisiplin, maka teori linguistik perbandingan tercipta untuk menentukan bahasa induk sesuatu rumpun bahasa. Maka dengan ini, digolongkan rumpunrumpun bahasa dunia; Indo-Eropah, Semitik, Fino-Ugria, Bantu, Altaik, Sino-Tibet, Austronesia, Oceania, dan lain-lain. Bidang kajian yang sedemikian telah dipelopori oleh sarjana seperti Grimm dan Verner dengan hokum pergeseran bunyi untuk mencari induk-induk bahasa Eropah. Induk bahasa Eropah itu dibandingkan pula dengan bahasa Sanskrit. Dari situ, dihasilkan pula induk bahasa Indo-Eropah.

Bab 1: Pengenalan Zaman Struktur Dalam suasana begini, timbullah tokoh-tokoh yang menjalankan kajian terhadap bahasa secara objektif dengan tidak dipengaruhi oleh tatabahasa Yunani dan Latin. Mungkin orang yang mula-mula sekali berpendapat demikian dalam mengkaji linguistik ialah Von Humboldt, seorang sarjana filologi di Jerman. Tetapi orang yang lebih terkenal dalam mempelopori bidang linguistik struktur itu ialah seorang sarjana yang hidup selepas Humboldt, iaitu Ferdinand de Saussure. Beliau ialah seorang bangsa Perancis yang menjadi pensyarah linguistik di Venice. Beliau tidak menulis apaapa buku berkenaan dengan linguistik tetapi muridmuridnya telah mengumpulkan bahan-bahan kuliahnya dan menjadikannya buku yang biasa dikenali sebagai Kursus Linguistik Am. Dalam buku ini, beliau Ferdinand de Saussure 1857-1913 membincangkan konsep-konsep yang penting dalam ilmu linguistik. De Saussure ialah orang yang pertama mengemukakan konsep sinkronik/dikronik, langue/parole dan struktur mengenai bahasa. Konsep-konsep inilah yang membolehkan berkembangnya linguistik moden. Istilah sinkronik bermaksud satu kajian yang dilakukan terhadap bahasa pada satu masa dalam titik sejarah, dan menerangkan apa sahaja unsur yang wujud dalam bahasa itu pada waktu itu dengan tidak dipengaruhi oleh perkembangan bahasa tersebut dari segi sejarah ataupun daripada satu bahasa lain. Sebaliknya, kajian dikronik merupakan satu pendekatan terhadap kajian bahasa dari segi sejarah atau perbandingan. Ini bererti bahawa kajian dikronik berasaskan dua atau lebih kajian sinkronik.

Apa yang de Saussure maksudkan dengan langue ialah lebih dekat dengan apa yang kita anggap sebagai loghat. Parole ialah segala ciri-ciri individu yang terkandung dalam pertuturan seorang individu pada sesuatu masa. Parole mempunyai unsur- unsur persendirian. Langue mempunyai ciri-ciri yang umum yang terdapat pada sekumpulan parole. Ciri-ciri umum itulah yang membuatnya dikenali sebagai satu langue. Sebagai lanjutan daripada inilah ciri-ciri umum daripada sekumpulan langue pula terkandung dalam langage dan membolehkan kita mengenalinya sebagai satu satuan tersendiri. Language ini lebih biasa kita kenali sebagai bahasa. Sebagai lanjutan daripada pemikiran beliau, maka dapatlah dikatakan ramai orang berpendapat bahawa dalam cerakinan bahasa, kita dapat mengerat-ngerat bunyi bahasa kepada unit-unit yang asas, seperti bunyi yang dilambangkan oleh huruf-huruf dan begitu juga kata-kata dan seterusnya ayat-ayat. Anggapan begini berdasarkan fahaman bahawa bahasa itu terdiri daripada jisim, iaitu sesuatu yang boleh mengambil berbagai-bagai bentuk
10

Bab 1: Pengenalan yang boleh berlaku dalam struktur yang berlainan dalam bahasa-bahasa yang berlainan. Bentuk dan struktur inilah yang dicerakinkan untuk membentuk tatabahasa. Dari apa yang dimulakan oleh de Saussure, berkembanglah linguistik moden. Beliau digelar sebagai bapa linguistik moden. Linguistik moden ini mempunyai sejarah yang agak pendek tetapi telah berkembang dengan pesat dalam seratus tahun ini. Pada tahun 1930-an ini terjadilah perkembangan yang berasingan di England, Eropah dan Amerika Syarikat. Di Eropah, terdapat juga fahaman yang dipelopori oleh Trubetskoy yang kemudiannya dilanjutkan oleh Ramon Jakobson (yang kemudiannya berpindah ke Amerika Syarikat). Di Denmark pula terdapat Hjemslev dan Uldall. Di London pula terdapat Firth dan di Amerika Syarikat terdapat Bloomfield dan pengikut mereka masing-masing. Pengkajian terhadap bahasa-bahasa menjadi begitu giat sekali dijalankan dan ini merupakan titik permulaan pengkajian linguistik moden sebagai lanjutan daripada konsep-konsep yang diberikan oleh sarjana-sarjana ini, maka timbullah pula berbagai-bagai fahaman dan kaedah dalam pengkajian linguistik pada masa kini. Skop ilmu linguistik adalah apa yang seorang ahli linguis itu lakukan; Mengetahui dan memahami masalah yang terdapat dalam sesuatu bahasa; Menghuraikan dan menyelesaikan masalah dalam sesuatu bahasa; Membatas diri dan mendefinisikan bidang itu dengan cara yang tersendiri. Ilmu linguistik juga dikatakan sebagai ilmu pengetahuan spesifik. Ini bermakna bidang kajian linguistik, seperti juga disiplin ilmu yang lain, mempunyai sistem yang teratur bagi merealisasikannya sebagai salah satu bidang ilmu yang dipelajari. Selain itu, ilmu linguistik dikaitkan juga dengan ilmu yang bersifat empiris. Ini bermakna ilmu linguistik dan bidang ilmu yang lain dikaitkan dengan fakta dan data yang dapat diuji kesahihannya oleh ahli-ahli tertentu dan semua ahli yang lain. Di dalam kajian ilmu linguistik ini juga, bahasa sering dikaitkan sebagai objek bagi kajian bidang ini. Istilah-istilah bahasa di dalam kajian ilmu linguistik pula dikaitkan dengan pelbagai tafsiran. Umpamanya, bahasa dikaitkan dengan erti kiasan yang membawa pelbagai tafsiran makna. Selain daripada itu, bahasa juga dikaitkan dengan istilah harfiah, yakni dalam ungkapan 'ilmu bahasa ' seperti dalam contoh bahasa Melayu, bahasa Indonesia dan sebagainya. Dalam menjelaskan tafsiran bahasa, istilah harfiah ini dianggap sebagai objek dalam bidang ilmu kajian linguistik. Terdapat banyak definisi linguistik yang telah dikemukakan oleh ahli linguistik sejak dahulu hingga kini. Banyak definisi yang dikemukakan oleh mereka berfokus kepada pengertian kata linguistik itu sendiri yang membawa pelbagai tafsiran yang berbeza dalam kalangan mereka.

11

Bab 1: Pengenalan

a) Siapakah pengasas linguistik pada zaman Yunani? b) Apakah bahasa terkenal pada zaman Romawi? c) Apakah linguistik perbandingan? Siapakah pengasas linguistik perbandingan? d) Jelaskan sumbangan de Saussure.

1.5 JENIS LINGUISTIK

Terdapat beberapa jenis linguistic seperti berikut: a) Linguistik Am dan Linguistik Deskriptif (General Linguistics & Descriptive Linguistics) Linguistik am membekalkan konsep dan kategori untuk membolehkan sesuatu bahasa yang khusus itu dianalisis. Linguistik deskriptif pula membekalkan data untuk mengukuhkan atau menyangkal sesuatu usul dan teori yang dikemukakan dalam linguistik am. Contohnya, ahli linguistik am mungkin merumuskan hipotesis bahawa semua bahasa mempunyai kata nama dan kata kerja. Ahli linguistik deskriptif pula boleh menyangkalkannya dengan bukti-bukti empirik bahawa terdapat sekurang-kurangnya satu bahasa yang mempunyai kata nama dan kata kerja yang tidak boleh diasingkan pemeriannya. Walau bagaimanapun, ahli linguistik deskriptif mesti menggunakan beberapa konsep kata nama dan kata kerja yang diberikan oleh ahli linguistik am bagi menyangkal atau mengukuhkan hipotesis mereka. b) Linguistik Sejarah (Historical Linguistics) Pada sepanjang abad ke-19, ahli linguistik menumpukan perhatian kepada kajian tentang perkembangan sejarah sesuatu bahasa. Cabang disiplin yang memerikan bidang sejarah dikenali sebagai linguistik sejarah. Dalam linguistik sejarah, seseorang boleh menumpukan minat dalam bahasa am atu bahasa-bahasa yang khusus. Pada tahap ini digunakan istilah diakronik dan sinkronik oleh Saussure. Pemerian diakronik bagi sesuatu bahasa ialah mengesan perkembangan sejarah bahasa tersebut dan merekodkan perubahan yang berlaku antara suatu jangka masa dengan jangka masa yang lain. Dengan itu, diakronik dapat disamakan dengan sejarah.

12

Bab 1: Pengenalan Pemerian sinkronik bagi sesuatu bahasa pula tidak bercorak sejarah. Pemerian sinkronik memberikan maklumat tentang bahasa dalam satu-satu tahap masa yang tertentu.

c) Linguistik Teoretis dan Linguistik Gunaan (Theoretical Linguistics & Applied Linguistics) Linguistik teoretis mengkaji bahasa dengan tujuan untuk membentuk suatu teori tentang struktur dan fungsi bahasa. Linguistik gunaan pula menitikberatkan penggunan konsep dan penemuan linguistik kepada sebilangan tugas secara praktis termasuk pengajaran bahasa. Selalunya, matlamat linguistik teoretis ialah merumuskan suatu teori struktur bahasa yang memuaskan secara am.

a) Apakah perbezaan di antara linguistik gunaan dan linguistik deskriptif? b) Nyatakan perbezaan di antara linguistik sejarah dan linguistik teoretis?

1.6 LINGUISTIK DAN PENGAJARAN BAHASA

Betulkah Guru Bahasa Memerlukan Pengetahuan Linguistik? Perkara ini memang telah lama dan selalu dipersoalkan oleh guru dan orang ramai. Semenjak linguistik menjadi satu disiplin yang popular, ahli linguistik juga kerap bertanyakan hal yang sama. Hal ini berlaku bukan kerana mereka tidak tahu kegunaan linguistik. Memang betul ramai antara ahli linguistik yang jarang memikirkan tentang kegunaan linguistik. Mereka hanya kerap berkecimpung dengan teori dan analisis linguistik sahaja. Sebenarnya memang ramai ahli linguistik yang telah mencuba menggunakan linguistik dalam bidang lain. Ramai ahli linguistik yang telah lama berkecimpung dalam bidang pengajaran bahasa. ada pula yang berusaha dalam bidang terjemahan, sosiolinguistik, psikolinguistik, dan sebagainya. Di samping itu banyak lagi kegunaan linguistik. Mungkin juga bukan ahli linguistik yang harus menentukan bahawa ilmu linguistik itu berguna dalam pendidikan, tetapi, terpulanglah kepada para pendidik untuk menentukan kegunaan linguistik dalam bidang pengajaran.

13

Bab 1: Pengenalan Walau bagaimanapun, linguistik ialah satu ilmu baharu yang berkembang pesat, walaupun sebenarnya ilmu ini telah mula dikenali sejak zaman kesarjanaan Yunani dahulu lagi. Tetapi ilmu ini tidak begitu mudah difahami. Tambahan pula, kebanyakan buku linguistik sukar untuk dibaca dan difahami. Perkembangan linguistik amat pesat berlaku dan ini menambahkan kesukaran untuk memahaminya. Hal ini dapat dibuktikan dengan melihat bilangan jabatan pengajian linguistik yang telah dibuka di universiti-universiti, dan banyak pula kajian dijalankan serta penerbitan dihasilkan tentang linguistik. Kesemua perkembangan ini telah menambahkan kebingungan orang ramai. Itulah sebabnya linguistik dilihat dengan penuh kesangsian dan sukar diterima, dan malah kadang-kadang ada pihak yang terus menolaknya. Sebenarnya, kalau linguistik ini ditolak, bukanlah kerana kegunaannya kurang, tetapi kerana linguistik itu tidak dimengertikan dan tidak digunakan dengan baik.

Robert Lado (1980: 12), menegaskan: "Kalau hendak menjadi guru bahasa, maka kebolehan bercakap dalam bahasa itu sahaja tidak mencukupi. Penutur bahasa ibu itu sekalipun tidak dapat memandu pelajar melainkan dia dapat mengasing-asingkan dan menunjukkan pelbagai-bagai unsur dalam bahasa tersebut. Dia mestilah mengetahui deskripsi bahasa tersebut. Dia harus mengetahui fakta-fakta linguistik mengenai bahasa ibu pelajar supaya dia mengetahui masalah mereka dalam mempelajari bahasa matlamat mereka."

Linguistik dan pengajaran bahasa berhubung rapat antara satu sama lain. Ini disebabkan pengajaran bahasa seiring dengan pertumbuhan bahasa. Sehubungan dengan itu, ilmu linguistik banyak memberi manfaat dalam pengajaran bahasa. Bidang linguistik yang digunakan dalam pengajaran bahasa merupakan linguistik gunaan atau terapan, iaitu sebagai suatu bidang ilmu yang mempunyai tempat yang tersendiri dalam dunia keilmuan. Linguistik gunaan berdasarkan teori dan prinsip dan bukan hanya semata-mata bergantung kepada teknik, ataupun prosedur mempraktik sesuatu tetapi cuba melihat prinsip, rasional, generalisasi, hipotesis serta teori yang dapat membantu menerangkan fenomena atau aktiviti yang dihadapinya secara praktikal. Penggunaan linguistik dalam pengajaran selalunya dikenali sebagai linguistik gunaan dan ini termasuklah kajian fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, semantik dan kadang-kadang termasuk juga tajuk-tajuk lain seperti psikolinguistik dan sosiolinguistik yang masing-masing memberi tumpuan pada teori pemerolehan dan situasi bahasa. Dalam pengajaran bahasa, bidang-bidang linguistik seperti linguistik teoritis, sosiolinguistik dan psikolinguistik tidak dapat dipisahkan kerana semua disiplin ini memberi sumbangan yang berguna dalam menjayakan sesuatu program pengajaran dan pembelajaran bahasa. Terdapat hubungkait antara bidang-bidang tersebut dengan pengajaran bahasa.

Ilmu linguistik telah lama digunakan oleh guru bahasa. Cuma yang berbeza mereka menggunakan linguistik tradisi yang penuh dengan pernyataan perskriptif dan normatif,
14

Bab 1: Pengenalan manakala linguistik moden pula bersifat struktural dan deskriptif. Bagi guru yang menggunakan sebuah buku tatabahasa lama untuk mengajar sebutan, tatabahasa atau semantik sebenarnya menggunakan pengetahuan linguistik, iaitu linguistik tradisional. Aspek fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik berguna dalam pengajaran sesuatu bahasa. Asas teori sesuatu bahasa, iaitu deskripsi linguistik akan memberi deskripsi bahasa; struktur dan fungsi bahasa itu. Ahli linguistik dan guru bahasa menggunakan bahan yang sama, iaitu bahasa. Terdapat hubungan yang penting antara kedua-duanya. Bahasa tidak dapat diajar tanpa sebuah deskripsi bahasa, tetapi ini perlu penyesuaian kerana pengajaran bahasa sentiasa mempengaruhi deskripsi bahasa. Terdapat hubungan antara linguistik dengan guru bahasa. Sebagai guru bahasa, hubungan tersebut perlu diketahui. D.A. Wilkins (1985) mengatakan terdapat tiga jenis hubungan iaitu: 1) Linguistik memberi deskripsi bahasa yang sempurna tentang bahasa, tetapi tidak memberi cara mengajar bahasa yang paling baik. 2) Sebarang perkembangan dalam bidang linguistik itu, janganlah disalah mengertikan sebagai suatu sebab untuk membuat perubahan. 3) Linguistik selalu mempengaruhi pengajaran bahasa, tetapi pengaruhnya perlu dihadkan pada keperluan semasa. Terdapat banyak kegunaan linguistik dalam pengajaran bahasa. Antaranya:

Kegunaan Linguistik dalam Pengajaran Bahasa

Teori linguistik memberi maklumat tentang struktur dan fungsi-fungsi bahasa dan ini dapat menentukan tujuan, isi dan pendekatan dalam pengajaran bahasa. Pengetahuan struktur bahasa asli berkenaan. penutur akan membantu guru

Teori linguistik tentang pemerolehan bahasa mempengaruhi perkaedahan mengajar bahasa. Deskripsi bahasa memberi suatu sistem rumusan yang boleh digunakan untuk membentuk bahan pengajaran. Kesalahan sistematik adalah bukti yang berguna kepada guru yang pelajarnya mempelajari rumus-rumus utama.

15

Bab 1: Pengenalan Teori linguistik juga memberi suatu bahasa perantaraaan kepada guru. Ini merupakan kesejagatan bentuk seperti jenis-jenis rumusan yang berlainan dalam tatabahasa transformasi generatif dan keseragaman kategori seperti frasa nama, frasa kerja atau ciri-ciri nahuan kata dan perkara ini boleh digunakan oleh guru dalam pengajaran bahasa. Deskripsi bahasa juga memberi pengetahuan kepada guru tentang unit-unit unsur seperti fonem, morfem dan sebagainya. Ini merupakan suatu sistem rumusan bagi sesuatu bahasa yang boleh digunakan dalam pengajaran bahasa. Pengetahuan linguistik membawa kepada penggunaan bahasa secara kreatif dalam situasi baru. Sesebuah deskripsi bahasa akan menyedarkan guru tentang struktur bahasa yang diajar dan dapat meningkatkan mutu pengajaran bahasa. Orang yang mempelajari sesuatu bahasa perlu kenal pasti perbezaan fonologi bahasa dan menghasilkan perbezaan yang dikenal pasti.

a) Sejauh manakah guru bahasa perlu mengetahui tentang linguistik? b) Berikan contoh jenis ilmu linguistik yang dapat guru bahasa dapat mengajar dengan lebih berkesan.

1.7 KESIMPULAN

Pengetahuan tentang linguistik ini yang didapati dari sejarah perkembangannya dapat memberikan maklumat kepada kita mengenai dasar untuk meninjau bahasa secara sistematik. Hingga ke hari ini, aplikasi linguistik agak sederhana, tetapi belum tiba masanya lagi untuk memperkatakan potensi aplikasi ini. Walau bagaimanapun, ia mungkin merupakan hubung kait antara tatabahasa dan mekanisme yang terlibat dalam pemprosesan bahasa semakin difaham, dan menjadikan teori linguistik dapat menyumbang kepada terapi pertuturan. Apabila pemahaman yang lebih terhadap interaksi linguistik dan prinsip perbualan dalam wacana yang semakin bertambah dapat membantu kerja menerapkan linguistik dalam perundangan. Apabila teori leksikon semakin mantap, maka amalan leksikologi akan
16

Bab 1: Pengenalan memperoleh faedah. Masa depan teori linguistik sudah memperlihatkan aplikasi kepada sejumlah masalah yang berkaitan dengan bahasa, yakni daripada pembelajaran bahasa kedua kepada pemprosesan bahasa tabii hingga kepada linguistik sebagai teras kurikulum 1. Linguistik bermaksud ilmu atau suatu kajian saintifik tentang bahasa manusia secara teratur dan empiris menggunakan bukti dari pemerhatian dan mengikut teori tertentu. Linguistik secara am terbahagi kepada dua jenis: Linguistik tulen, seperti fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik. Linguistik terapan, seperti sosiolinguistik, psikolinguistik. 2. Skop ilmu linguistik adalah: Mengetahui dan memahami masalah yang terdapat dalam sesuatu bahasa; Menghuraikan dan menyelesaikan masalah dalam sesuatu bahasa; Membatas diri dan mendefinisikan bidang itu dengan cara yang tersendiri.

RINGKASAN
Kajian bahasa secara saintifik itu bermaksud kajian itu dilakukan dengan cara pengamatan yang terkawal dan dapat diuji kebenarannya dengan membuat rujukan kepada beberapa teori umum struktur bahasa. Linguistik ialah suatu sains yang mengkaji bahasa. Kebanyakan kita hanya menganggap kebolehan bertutur itu sebagai salah satu daripada kebolehan asasi manusia. Kata linguistik (linguistics-Inggeris) berasal dari bahasa Latin lingua yang bererti bahasa. Linguistik am membekalkan konsep dan kategori untuk membolehkan sesuatu bahasa yang khusus itu dianalisis. Linguistik deskriptif pula membekalkan data untuk mengukuhkan atau menyangkal sesuatu usul dan teori yang dikemukakan dalam linguistik am. Linguistik secara am terbahagi kepada dua jenis: Linguistik Tulen, seperti fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis dan semantic dan Linguistik Terapan, seperti sosiolinguistik, psikolinguistik.

17

Bab 1: Pengenalan Pemerian diakronik bagi sesuatu bahasa ialah mengesan perkembangan sejarah bahasa tersebut dan merekodkan perubahan yang berlaku. Pemerian sinkronik memberikan maklumat tentang bahasa dalam satu-satu tahap masa yang tertentu. Linguistik memberi deskripsi bahasa yang sempurna tentang bahasa, tetapi tidak memberi cara mengajar bahasa yang paling baik. Teori linguistik tentang pemerolehan bahasa mempengaruhi perkaedahan mengajar bahasa

RUJUKAN
Abdullah Hassan, 1974. The Morphology of Malay: Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdullah Hassan, 2001. Rencana Linguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdullah Hassan, 2006. Linguistik Am. Petaling Jaya: Fajar Bakti. Abdullah Hassan, 2007. Linguistik Am. PTS Professional. Akmajian,A., Demers, R.A., Farmer, A.K. dan Harnish,R.M. 1995. Linguistics: An Introduction to Language and Communiction. Massachusetts, Amerika Syarikat: The MIT Press. Cohen, A.D.1990. Language Learning . Mass: Newburry House Publisher. Forgas,J.P.1985. Language and Social Situations. New York: Springer. Fromkin,V. dan Rodman,R. 1983, An Introduction to Language. New York: Holt, Rinehart and Winston. Harimurti Kridalaksana. 1984. Kamus Linguistik Edisi Kedua. Jakarta: Graamedia. Parker, F. dan Riley,K. 1994. Linguistics for Non-Linguists. Boston, London: Allyn and Bacon. Zulkifley, H. 2006. Linguistik Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

18

Anda mungkin juga menyukai