Anda di halaman 1dari 4

DRAMA ABSURD DI MALAYSIA

(BAHAGIAN 1)
Drama adalah sebuah fiksyen atau cereka yang mementingkan dialog atau
aksi watak. Ia juga disebut sebagai suatu persembahan pentas yang
melakonkan cerita dari skrip yang ditulis oleh dramatisnya dan
pementasan itu diadakan di suatu tempat sama ada di panggung atau di
pentas tanah lapang (Abd. Rahman Hanafiah, 1984). Drama telah
mengalami banyak perubahan sejak dari zaman sandiwara lagi. Pada
tahun-tahun 1970-an, drama Malaysia telah berubah daripada bentuk
realisme kepada bentuk baru. Bentuk drama tersebut dikenali sebagai
drama absurd, teater kontemporari atau teater eksperimen. Kertas kerja ini
membincangkan tentang pemikiran drama absurd di sekitar tahun1970-an.
Oleh itu, skop perbincangan akan difokuskan pada kemunculan karya
drama absurd dan dramatis-dramatis yang menonjol pada dekad tersebut.

Secara praktiknya, teater absurd meninggalkan watak realistik dan


situasi yang berkaitan dengan teater konvensional. Masa, tempat dan
identiti adalah kabur dan tidak jelas malah, kebiasaan-kebiasaan yang asas
kerap tidak diikuti. Plot yang tidak bermakna, berulang-ulang atau dialog
yang tidak masuk akal dan berbentuk absurd sering digunakan untuk
mencipta sesuatu yang bersifat mimpi atau mood mimpi ngeri
(http://en.wikipedia.org/wiki/Theater_of_the_Absurd). Fokusnya ialah
kekeliruan manusia tentang persoalan asas kewujudan seperti ”Mengapa
kita hidup?, Mengapa kita mesti mati? Serta mengapa ada ketidakadilan
dan penderitaan?” .

Di Barat, dramatis yang menjadi pelopor teater absurd ialah Samuel


Beckett dengan karya kotroversinya Waiting For Godot. Karya ini
mengemukakan falsafah absurd oleh Albert Camus yang mengatakan
manusia yang sudah putus dari sejarah, dari akar agama dan metafizik,
kehilangan, segala tindakan menjadi tidak bermakna, absurd dan tidak
berguna (http://www.theatrehistory.com/french). Dramatis-dramatis
absurd di Barat menggambarkan alam di mana manusia tidak ada harapan
untuk hidup, kerana tidak mereka tidak memahami diri mereka sendiri,
tidak memahami alam persekitaran mereka, dan tidak memahami atau
mempercayai Tuhan (Solehah Ishak: 1982). Gambaran dalam suasana
mencari, menanti, kecewa dan putus asa lebih ketara akibat Perang Dunia
Ke-2 yang telah menyebabkan penderitaan dan kesengsaraan.

CIRI-CIRI DRAMA ABSURD

Ciri-ciri drama absurd sangat bertentang dengan drama realistik.


Antaranya ialah (Solehah Ishak: 1982 dan Rahmah Hj Bujang: 1987);

1 Drama absurd bersifat universal iaitu tidak mewakili mana-mana identiti.


2 Dalam drama absurd tidak ada cerita atau plot.
3 Tidak terdapat perwatakan. Penonton hanya dihadapkan dengan patung-
patung mekanikal yang menurut perintah, dan tidak bergerak dengan
sendirinya. Dengan kata lain watak-wataknya tidak benar-benar
berkembang dan digambarkan sebagai manusia yang mencari-cari,
menanti-nanti, bahkan tidak ada harapan masa depan. Watak-watak
ini terus wujud tanpa memerlukan pengenalan atau latar belakang.
4 Kebanyakan drama absurd mempunyai struktur bulat (circular
structure). Drama-drama absurd selalunya berakhir sepertimana ia
bermula iaitu tiada permulaan dan pengakhiran. Pengarang bersikap
terbuka dalam karya mereka iaitu mereka bukan mahu mengajar atau
menentukan sebaliknya; hanya memaparkan satu andaian.
5 Dialog dalam drama absurd gagal berfungsi untuk berkomunikasi kerana
bersifat asumsi yang mengelirukan dan bukan bertujuan untuk
menerangkan watak atau situasi dalam karya.

Sehingga tahun 1975, aktiviti teater eksperimen telah meningkat. Lebih


banyak drama dipentaskan, artikel, cadangan dan penglibatan beberapa
institusi. Namun ironiknya, audien Malaysia semakin berkurangan (Nur
Nina Zuhra: 1992). Antara sebabnya ialah;
1 Teater bersifat eksperimen semakin terasing daripada arus masyarakat
perdana. Skrip sangat dipengaruhi oleh gaya teater dengan kesan
absurd. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, drama sebegini bersifat
kabur dan tidak memberi apa-apa kesan kepada mereka. Dalam
masyarakat Melayu, seni lazimnya mestilah berkait rapat dengan
masyarakat untuk membolehkan seni itu dihargai.
2 Falsafah absurd tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia yang dilihat
sebagai masyarakat yang beragama.
3 Lakonan abstrak pada tahun 1970-an tidak dapat memuaskan kehendak
audien yang kebanyakannya mahu lari daripada tekanan hidup
seharian. Teater kontemporari masih avant-garde (kumpulan yang
membawa pembaharuan) dan tidak memajukan komponen komersial
teater. Filem, televisyen, dan video berterusan mengambil alih teater.
4 Dengan kejayaan teater Melayu pada awal 1970-an, para penaungnya
berpuas hati kerana matlamat mereka telah terlaksana dan mereka
mula bersifat berat sebelah antara drama yang baik dan drama yang
lemah.

Rusuhan Kaum pada 13 Mei 1969 merupakan faktor utama yang


membentuk arah teater pada tahun 1970-an. Tragedi itu telah
menimbulkan persoalan identiti nasional dan memberi kesan kepada hidup
rakyat Malaysia. Asas Kebudayaan Kebangsaan adalah penekanan kepada
penggunaan bahasa kebangsaan dan budaya Melayu. Polisi dan
keprihatinan budaya ini telah secara langsung mempengaruhi teater.
Drama Melayu mula menggali akar sebab musabab kemiskinan khususnya
orang Melayu. Pada masa itu, lontaran pendapat tidak dapat diluahkan
secara terbuka atau secara terus terang. Oleh itu, gaya persembahan teater
menolak gaya realisme dan cuba bereksperimen dengan seni tradisional
untuk menyampaikan mesej secara intrinksik. Secara tidak langsng, hal ini
bukan sahaja menekankan budaya Melayu, tetapi juga memberi gambaran
dan maksud dinamik kontemporari.

Pada tahun 1970, Noordin Hassan mementaskan drama muzikal


berbentuk surrealisme iaitu Bukan Lalang Ditiup Angin. Berinspirasikan
produksi advancer Noordin Hassan ini, muncul drama-drama lain yang
menggunakan pendekatan baru terhadap drama. Dramatis-dramatis
absurd yang muncul pada dekad ini ialah Dinsman, Hatta Azad Khan dan
Johar Jaafar dan Mana Sikana.

Anda mungkin juga menyukai