Anda di halaman 1dari 1

Lingkaran Api

Indonesia dilanda beberapa gempa bumi kuat, termasuk sekuat 9.1 pada skala Richter, dan letusan
gunung berapi sejak 2004. Ini kerana negara kepulauan luas itu terletak dalam kawasan yang digelar
Lingkaran Api Pasifik. Apakah Lingkaran Api Pasifik?

BERADA di luar Lingkaran Api Pasifik, Malaysia sepatutnya tidak perlu resah dengan kemungkinan
berdepan gempa bumi yang kesannya melangkaui batas pemikiran, terutama peningkatan angka
korban.

Bagaimanapun, jangkaan itu sedikit meleset kerana berdasarkan pakar seismologi, beberapa negeri di
Malaysia, terutama Sabah adalah paling berisiko dilanda fenomena alam berkenaan.

Terletak kira-kira 1,087 kilometer dari Filipina, kedudukan Negeri di Bawah Bayu itu cukup hampir untuk
menerima tempias gegaran seismik dihasilkan titik dalam Lingkaran Api Pasifik.

Dipisahkan Selat Melaka, Laut Andaman dan kepulauan Sumatera, risiko Semenanjung dilanda gempa
bumi lebih tipis berbanding Sabah. Malah, kedudukan strategik geografi Malaysia Barat seolah-olah
terlindung daripada sebarang gegaran yang lazimnya berpusat di luar persisiran Lautan Hindi.

Hanya beberapa lokasi di Semenanjung seperti Bukit Tinggi dan Kuala Pilah yang mengalami gegaran
kecil berikutan gempa bumi di sekitar kepulauan Sumatera.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Felix Tongkul, berkata
gempa bumi berskala Richter 5.9 yang melanda Ranau, manakala gegarannya turut dirasai hingga Kota
Belud, pagi Jumaat lalu itu sudah dijangka.

Katanya, jangkaan bersandarkan kitaran seismik setiap 25 tahun itu, antara lain berpandukan rekod
terdahulu kerana tenaga tersimpan dalam kerak tektonik selalunya meletus mengikut sela masa
tersendiri.

"Gempa bumi terakhir melanda Ranau dan Kundasang adalah tahun 1991 dengan magnitud 5.1, justeru
gempa berikutnya dijangkakan berlaku pada 2015.

"Berdasarkan kitaran seismik ini, gempa bumi seterusnya akan berlaku 25 tahun daripada sekarang, iaitu
pada tahun 2039 dengan kemungkinan kekuatan gegaran yang sama," katanya.

Gempa bumi terkuat di Malaysia sebelum ini direkodkan di Lahad Datu, Sabah pada 1976 yang
mengakibatkan kemusnahan harta benda dan struktur bangunan.

Anda mungkin juga menyukai