Anda di halaman 1dari 9

PENGURUSAN MASJID :

PENGALAMAN REPUBLIK SINGAPURA


Oleh:
Ustaz Haji Mohamed Ali bin Haji Atan

1. Pendahuluan

Masjid merupakan institusi yang utama dan penting kepada umat Islam. Ini boleh dilihat
daripada peristiwa bagaimana Rasulullah s.a.w. telah memulakan ketibaannya di Quba’ dan di
Madinah dengan terlebih dahulu membina masjid. Sejarah juga telah menerangkan
bagaimana Rasulullah s.a.w. telah mengurus dan menjadikan masjid sebagai pusat ibadah,
pusat pendidikan, pusat kegiatan sosial, pusat pembangunan masyarakat, pusat penerangan
dan maklumat, pusat kehakiman, pusat perhubungan, pusat interaksi masyarakat, pusat
rawatan dan kecemasan, pusat pemulihan dan pusat seni.

Rasulullah S.A.W. juga telah mengajar kita dalam pengurusan masjid hendaklah
mesra masyarakat atau jemaah. Sebagaimana di dalam suatu peristiwa yang diriwayatkan
oleh Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik r.a katanya:

“Pernah datang seorang Arab dusun, lalu ia kencing di sudut masjid, lalu ia dibentak
oleh orang ramai. Maka mereka dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Setelah orang itu
selesai kencingnya, diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. mengambil setimba air, lalu
disiramkan di atas kencingnya itu”.

Ini jelas menunjukkan peri pentingnya kemahiran dan kepakaran dalam pengurusan
masjid sebagaimana yang telah dipaparkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam konteks ketika itu
untuk merealisasikan peranan institusi masjid sebagai “jantung dan nadi” masyarakat. Jika
“jantung” lemah, seluruh anggota badan atau masyarakat akan menjadi lemah.

Di Singapura, masjid merupakan institusi strategik bagi pembangunan, pembelajaran


dan sosial umat Islam Singapura. Terletak di setiap estet perumahan awam, masjid berada di
depan dalam menangani isu dan pembangunan sosio-agama ummah. Justeru, dengan
berlatarbelakangkan masyarakat yang pesat berubah dan untuk memastikan masjid proaktif
dan sentiasa relevan dengan perubahan masa, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam
konvensyen Masjid 2005 telah memberi fokus dalam membentuk semula masjid. Penekanan
telah diberi kepada membentuk semula isi Pembelajaran Islam dan Pembangunan Sosial,
Penyusunan Semula Pimpinan dan Mengatur Semula Sistem.

Kertas ini akan membentangkan secara ringkas dasar-dasar dan sistem-sistem yang
telah diusahakan oleh MUIS dari Konvensyen Masjid 2005 untuk membentuk semula masjid
di Singapura (sila lihat lampiran A) demi berperanan lebih aktif dalam melentur kehidupan
beragama dan menempa jati diri Muslim Singapura dengan memberi penumpuan pada
“membuat perkara yang betul bukan sekadar membuat sesuatu dengan betul” (do the right
things not just do things right) yang perlu dilakukan demi membolehkan masjid menjadi lebih
menjurus dan penentu agenda dalam kehidupan beragama Muslim Singapura.

2. Latar belakang Pengurusan Masjid Singapura


Di Singapura, MUIS adalah badan yang bertanggungjawab dalam pelantikan anggota
Lembaga Pentadbir Masjid dan pengurusan masjid. Sekarang terdapat 69 buah masjid di
Singapura yang mana 22 buah masjid adalah masjid yang telah dibina di estet perumahan
melalui Dana Pembinaan Masjid (DPM). DPM telah dimulakan sejak tahun 1975 di mana
pemerintah telah membantu dengan mekanisme potongan gaji sumbangan pekerja Islam
kepada dana tersebut. Masjid ini, selain mempunyai dewan musolla untuk solat, juga
dilengkapi dengan ruang maslahah untuk kegunaaan jemaah, bilik persidangan, dewan
serbaguna atau oditorium, bilik-bilik darjah untuk madrasah, kelas-kelas dan bengkel, pejabat
pentadbiran dan madrasah, bilik aktiviti untuk program pembangunan sosial dan lain-lain lagi.

Untuk memastikan masjid mempunyai sistem pengurusan dan ditadbir dengan baik,
suatu proses pelantikan yang ketat lagi terperinci dilakukan bagi memastikan hanya calon-
calon yang terbaik akan menerajui kepimpinan masjid-masjid Singapura. Proses ini bermula
dengan mengundang individu yang berminat untuk berkhidmat di masjid yang dibuka kepada
seluruh masyarakat Islam Singapura melalui iklan surat khabar dan notis di masjid-masjid.
Antara syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh para pemohon adalah latar belakang yang baik
dan bersih dari rekod jenayah dan tidak pernah muflis. Para pemohon yang pernah
berkhidmat sebagai sukarelawan dalam jawatankuasa kecil di masjid akan diberi keutamaan.
Selain dari itu, MUIS juga mengambil kira nasihat dan pandangan pemimpin-pemimpin
masyarakat yang disegani sebelum pelantikan dilakukan.

MUIS juga telah mengadakan Sistem Pembangunan Masyarakat Masjid iaitu suatu sistem
sukarelawan di masjid-masjid agar aktivis-aktivis yang berkhidmat di masjid dapat dipantau
untuk tujuan perluasan tanggungjawab, pengiktirafan dan penghargaan menerusi anugerah
dan sebagainya.

Satu mekanisme juga telah dikuatkuasakan oleh MUIS untuk memastikan keutuhan
penjanaan pimpinan baru masjid, bagi mengelakkan masalah penyalahgunaan kuasa dan
pentadbiran di kalangan pemimpin-pemimpin masjid. Selain dari mempunyai Peraturan
Pengurusan Masjid dan Peraturan Kewangan Masjid, seseorang individu tidak boleh
memegang jawatan-jawatan penting seperti Pengerusi atau Bendahari untuk lebih dari dua
penggal berturut-turut (setiap penggal adalah untuk jangkamasa dua tahun). Usaha juga
dilakukan kemungkinan mentauliahkan sebahagian dari jawatan-jawatan penting ini untuk
memastikan hanya mereka yang mempunyai kelayakan profesional dapat menyandang
jawatan-jawatan tersebut.

Dari segi pengurusan, setiap masjid dikehendaki merakam semua mesyuarat dan
keputusan-keputusan masjid dalam minit mesyuarat dan dihantarkan ke MUIS. Semua masjid
di Singapura dikehendaki oleh undang-undang di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang
Islam (Amla) untuk menyerahkan akaun kewangan mereka untuk diaudit pada setiap tahun
(diaudit oleh juruaudit luar yang diluluskan). Ini adalah untuk memastikan segala akaun yang
telah disiapkan mengikut Piawai Perakaunan Singapura dan Peraturan Kewangan Masjid
(MFR). Ini memandangkan sebahagian besar daripada sumber kewangan masjid adalah
daripada derma ihsan masyarakat (selain daripada yuran yang dikenakan masjid untuk
beberapa khidmat dan program). Ini adalah untuk memastikan ketelusan dan memberikan
keyakinan dan kepercayaan kepada masyarakat Islam Singapura yang telah menyumbang
kepada dana masjid.

2.1. Membentuk Semula Masjid

Dalam usaha membentuk semula masjid, trend-trend baru dan pengaruh sekitaran yang
mempengaruhi landskap kehidupan masyarakat telah diambilkira oleh MUIS beserta cabaran-
cabaran Pensejagatan, Pemodenan, Tren Sosial dan Kependudukan. Muis setelah melalui
proses perbincangan dan musyawarah yang menyeluruh dengan semua pemimpin-pemimpin
masjid, bersetuju untuk:

10 Membentuk Semula Perisian


11 Penyusunan Semula Kepimpinan
12 Penyusunan Semula Sistem

I) Membentuk Semula Perisian

Masjid perlu membentuk semula perisian atau kandungan kegiatannya dengan menumpukan
kepada Pembelajaran Islam dan Pembangunan Sosial yang mencorakkan kehidupan Muslim
kita demi menghayati agama dan bersikap progresif. Sudah tentu ini memerlukan pendekatan
berbeza untuk menyampaikan dengan lebih berkesan ilmu agama untuk menangani cabaran
kumpulan usia yang berbeza. Ini juga memerlukan masjid kita dibangunkan sebagai masjid
kejiranan (constituency) yang menyentuh setiap kalbu masyarakat sekitarannya. Membentuk
Semula Perisian ini dibahagikan kepada dua aspek iaitu Membentuk Semula Perisian
Pembelajaran Islam dan Pembangunan Sosial.

A) Membentuk Semula Perisian – Pembelajaran Islam

Dalam konteks Singapura, masjid telah memberi banyak sumbangan dalam memenuhi
keperluan pembelajaran Islam bagi ummah. Namun, kita perlu menyemak dan menilai
kembali keadaan pembelajaran Islam yang ada iaitu sejauh mana ia relevan dan berkesan
dalam memenuhi keperluan masyarakat yang sentiasa berubah di sebuah negara sekular
yang moden. Justeru, dua strategi dan enam cadangan telah dipersetujui dan diberikan fokus.
Dua strategi itu ialah:

Strategi 1: Rombak Kurikulum dan Metodologi Pembelajaran


Strategi 2: Membentuk Jati Diri Muslim Singapura Menerusi Masjid

Strategi 1: Merombak Pendidikan Asas Islam

Strategi utama dalam membentuk kehidupan beragama ummah sudah tentulah memastikan
setiap Muslim menerima Pendidikan Islam sesuai dengan golongan usianya. Ini memerlukan
perisian Pendidikan Islam di masjid dirombak dan program jangkauan ini hendaklah
mendekati setiap Muslim di sekitaran masjid. Berdasarkan semakan Sistem Pendidikan Islam
Singapura (Singapore Islamic Education System - SIES) pada Julai 2004, MUIS telah
mempelopori Pendidikan Asas Islam siri program a.L.I.V.E (Learning Islamic Values
Everyday) untuk semua peringkat daripada kanak-kanak hingga dewasa yang direka untuk
memastikan pendidikan agama mengisi keperluan khusus masyarakat Islam dalam suasana
kosmopolitan dan moden. Pendekatannya yang merangsang dan intreraktif serta
mengambilkira keperluan menyeluruh masyarakat Islam daripada sekadar beribadat telah
mendapat respon yang sangat menggalakkan daripada pelajar, ibubapa, guru-guru dan
masyarakat di Singapura. Sebagai permulaan melalui program Kids a.L.I.V.E (yang ditujukan
untuk kumpulan usia 5 hingga 8 tahun) dan Teens a.L.I.V.E (untuk kumpulan usia 13 hingga
15 tahun) yang boleh dipersembahkan dalam pelbagai format sama ada dalam kelas atau
luar kelas pada hari biasa atau hujung minggu atau rancangan intensif cuti, pendidikan agama
akan menjadi lebih berkesan kerana masyarakat Islam dapat mengamalkan dan memahami
Islam dalam konteks realiti yang sedia ada.

Selanjutnya MUIS juga ada memperkenalkan Tweens a.L.I.V.E (untuk kumpulan usia
9 hingga 12 tahun), Youth a.L.I.V.E (untuk kumpulan usia 16 hingga 24 tahun) dan Adult
(Dewasa) (untuk kumpulan usia 25 tahun ke atas).

Pusat Pendidikan Islam Khusus (Specialised Islamic Learning Centre)

Selain pendidikan asas untuk masyarakat Islam, beberapa buah masjid di Singapura juga
telah dikenalpasti sebagai Pusat Pendidikan Islam khusus dalam beberapa bidang
Pembelajaran Islam. Antara bidang ini termasuklah pengajian Al-Quran dan Hadis,
kefahaman antara agama dan Peradaban Islam. Ini adalah untuk membangunkan kepakaran
dan khidmat agama setempat yang mencukupi demi mengisi keperluan menyeluruh ummah.
Masjid-Masjid tersebut ialah :
Masjid Kampong Siglap - Pengajian Al-Quran/Tahfiz
Masjid Omar Kg Melaka - Pengajian Al-Quran/Tahfiz
Masjid Assyafaah - Pengajian Hadis
Masjid Assyakirin - Tamadun Islam
Masjid An-Nahdhah - Pusat Harmoni
Masjid An-Nur - Pengajian Bahasa Arab
Masjid En-Naeem - Pemikir Islam
Masjid Darussalam - Islam dan Pemikiran Barat
Masjid Al-Iman - Pengajian Fiqh

Jati Diri Muslim Singapura

Sebagai strategi menyeluruh untuk menjadikan masyarakat Islam yang makmur, cemerlang
dan memberi sumbangan aktif kepada Singapura, MUIS dengan sokongan pihak-pihak
kepentingan (stakeholders), telah mencipta satu model masyarakat cemerlang. Agendanya
ialah untuk membangun Masyarakat Islam Cemerlang yang menghayati agamanya di
samping berjaya dengan mengamalkan 10 ciri luhur Masyarakat Islam Cemerlang Singapura
iaitu:

13 Berpegang teguh akan prinsip Islam sambil menyesuaikan diri dengan konteks
yang berubah.
14 Mempunyai moral dan sifat kerohanian yang utuh, mampu mengatasi cabaran
kehidupan masyarakat moden.
15 Progresif, mengamalkan Islam lebih daripada sekadar ritual/bentuk dan dapat
menyesuaikan diri dengan arus pemodenan.
16 Menghayati tamadun dan sejarah Islam dan berupaya memahami isu semasa.
17 Menghargai lain-lain ketamadunan dan yakin diri untuk berinteraksi serta
belajar daripada masyarakat lain.
18 Percaya bahawa Muslim yang baik adalah rakyat yang baik.
19 Dapat menyesuaikan diri sebagai golongan yang memberi sumbangan dalam
masyarakat berbilang agama dan negara sekular.
20 Membawa kesejahteraan kepada semua dan menggalakkan nilai dan prinsip
sejagat.
21 Tidak menyendiri dan mengamalkan kehidupan majmuk tanpa bercanggah
dengan Islam.
22 Menjadi contoh dan inspirasi kepada semua.

Namun pendekatan ini bukanlah untuk mewujudkan satu jenama baru Islam.
Sebaliknya ia adalah suatu pengiktirafan kepada kehidupan masyarakat Singapura yang
majmuk dan rencam serta tidak menafikan aneka cabaran yang dihadapi setiap anggotanya
dalam usaha membentuk jati diri Muslim Singapura. Pada bulan Ramadan yang lalu dengan
tema “Muslim yang baik adalah jiran yang baik”, contohnya beberapa buah masjid di
Singapura telah sama-sama mengagihkan makanan seperti bubur kepada jiran-jiran masjid
dan juga kepada masyarakat yang bukan Islam seperti di rumah orang-orang tua.

B) Membentuk Semula Perisian – Pembangunan Sosial

Masjid-masjid di Singapura juga berperanan penting dalam pembangunan sosio-


agama masyarakat. Walaupun penting bagi masjid menjadi tempat berwenang bagi ibadah
dan pembelajaran Islam, konteks Singapura menuntut masjid juga memainkan peranan lebih
besar lagi dalam pembangunan sosio-agama bagi masyarakat.

Dalam konteks kini, usaha masjid ini dapat memberi nilai tambah kepada agensi yang
ada dengan melengkapi usaha mereka menerusi rancangan perkongsian dan
menghubungkan golongan yang memerlukan dengan penyedia khidmat sosial. Tiga strategi
dan sembilan cadangan telah dikenalpasti dan disetujui. Antara tiga strategi itu ialah :

Strategi 1 : Menjadikan Masjid Lebih Mesra Belia


Strategi 2 : Menjadikan Masjid Lebih Mesra Keluarga
Strategi 3 : Mewujudkan Masjid Mesra Masyarakat

Strategi 1 : Masjid Mesra Belia

Belia merupakan golongan yang besar dalam masyarakat Islam Singapura. Dengan arus
pemodenan yang sangat pesat, sekitaran sosial yang mencabar dan kian meruncing, agenda
belia ini telah diambil secara serius oleh pimpinan masjid menerusi panduan mesra belia
untuk mewujudkan ruang dan kecenderungan yang selesa untuk belia ketika di masjid.
Kawasan ‘lepak’ belia yang ‘gerek’ dengan ciri tersendiri telah dilaksanakan di beberapa
masjid dan pendekatan lebih mesra untuk menarik belia ke masjid. Pekerja sosial belia (youth
worker) juga telah digajikan di beberapa masjid untuk menangani persoalan belia secara
profesional untuk mengadakan program pembangunan belia secara lebih teratur dan
berkesan.

Strategi 2 : Masjid Mesra Keluarga

Untuk menjadi masjid yang mesra keluarga, beberapa buah masjid juga telah disesuaikan
untuk menjadi pusat bagi kegiatan bersama keluarga. Pendekatan ini telah diambil demi
menjadikan masjid mesra keluarga dan menangani masalah keluarga. Antara langkah yang
telah diambil ialah dengan meningkatkan peranan Imam Eksekutif masjid selain sebagai
memimpin pembangunan kerohanian jemaah juga meliputi tugas Naib Kadhi. Lantas
pasangan muda yang dinikahkannya akan terus mendapat bimbingannya sebagai
pembimbing (mentor) pasangan tersebut.
Strategi 3 : Masjid Mesra Masyarakat

Usaha juga telah dilakukan oleh beberapa buah masjid untuk menjadikan masjid mesra
masyarakat sama ada jemaah dalaman (internal), luaran (external), pemimpin akar umbi,
organisasi/institusi sekitaran masjid dan organisasi pemerintah. Antara yang telah dilakukan
untuk jemaah dalaman masjid ialah seperti Sesi Bertemu Jemaah (Meet Jemaah Session) di
mana sesi bual mesra bersama jemaah untuk lebih kenal, mendapatkan maklum balas dan
memaklumkan program masjid kepada jemaah. Bagi jemaah luaran program lawatan ke
rumah-rumah penduduk Islam telah dilakukan untuk selain berkenal mesra, mendapatkan
maklum balas dan menyampaikan program kegiatan masjid kepada penduduk adalah juga
untuk memantau sekiranya ada penduduk yang bermasalah maka dapat diberi bantuan atau
disalurkan kepada badan-badan bantuan.

Sistem ‘qaryah’ juga telah dilaksanakan oleh beberapa buah masjid sebagai
rangkaian jawatankuasa kecil masjid di estet-estet perumahan untuk memberi maklum balas
masyarakat, merangsang semangat sistem sokongan keluarga berangkai dan menyalurkan
keluarga susah dalam kejiranan kepada masjid.

Dalam konteks yang lebih besar, MUIS dengan beberapa masjid juga telah
mengadakan usaha untuk menonjolkan imej positif Islam menerusi projek “Rahmatan Lil
Alamin”. Ini adalah projek muhibah masyarakat dan bantuan ihsan tanpa mengira kaum dan
agama. Ini adalah sejajar dengan agama Islam sebagai “rahmat” atau kesejahteraan kepada
setiap orang di Singapura khususnya dan amnya di seluruh alam. Contoh projek yang telah
dijalankan di luar negeri ialah bantuan mangsa Tsunami di Aceh dan di dalam negeri seperti
membersih pantai Sembawang di Singapura setiap bulan sekali bersama badan-badan akar
umbi penduduk bukan Islam. Ini adalah antara usaha untuk membetulkan tanggapan negatif
terhadap Islam akibat gambaran tidak tepat oleh media sejagat.

B) Menyusun Semula Kepimpinan


Dalam usaha untuk meningkatkan pengurusan masjid agar lebih berkesan dan efektif. MUIS
sentiasa berusaha untuk memperkasa kepimpinan masjid dengan meningkatkan kemahiran
pengurusan dan pembangunan masjid. Tiga strategi dan lapan cadangan telah dipersetujui
dalam menyusun semula kepimpinan. Tiga strategi itu ialah :

Startegi 1 : Menilai kembali struktur pimpinan masjid untuk meningkatkan


martabat kepimpinan.
Strategi 2 : Memperkukuh dan meningkatkan lagi kepimpinan masjid
Strategi 3 : Menyemai semangat sivik melibatkan masyarakat sekitaran

Strategi 1 : Menyusun Semula Kepimpinan Masjid


Pimpinan merupakan faktor utama dalam melaksanakan agenda pembentukan semula
masjid. Dengan isu masyarakat yang kian rumit, pimpinan masjid perlu mengambil peranan
yang lebih strategik dengan melakarkan rencana jangka pendek dan panjang diterap serta
dipantau secara tetap. Ini bermakna pengurusan masjid harus ditugaskan kepada pekerja
sepenuh masa dan mempunyai kepakaran dalam ilmu pengurusan. Justeru itu Muis telah
memperkenalkan skim Pemimpin Eksekutif Profesional (PEL) seperti Pengerusi Eksekutif,
Setiausaha Eksekutif dan Pengurus Masjid.

C) Menyusun Semula Sistem


MUIS dalam usaha untuk menyusun semula sistem telah mengenalpasti tiga strategi dan
tujuh cadangan. Tiga strategi itu ialah :

Strategi 1 : Mengenal dan Melaksanakan Idea Keusahawanan Sosial


Strategi 2 : Memaksimumkan Pulangan dengan Perkongsian
Sumber
Strategi 3 : Mempromosikan Sistem Masjid Cemerlang

Strategi 1 : Melaksanakan Idea Keusahawanan Sosial


Sebagai usaha sosial, masjid mesti mengadakan rancangan kukuh dan mampu menampung
biaya sendiri. Masjid di Singapura dengan aset secara kumpulan melebihi $200 juta, kos
operasi sekitar $30 juta dan menggajikan lebih 700 pekerja dari segi kewangan, mesti mantap
pada operasi dan strateginya. Dengan adanya sumber kewangan mencukupi, rancangan
masjid dapat diteruskan dan dikendalikan dengan baik.

Strategi 2 : Perkongsian Sumber/Khidmat


Sebuah pusat urusan perkongsian khidmat telah ditubuhkan dengan usahasama MUIS dan
masjid. Dengan ditadbirkan secara profesional, pusat ini telah memberikan khidmat bersama
yang bermutu dan mematuhi syarat berkanun. Proses khidmat penting seperti buku kira-kira
dan perakaunan, pentadbiran sumber manusia, teknologi maklumat dan penyenggaraan
masjid telah dipusatkan atau dikongsi demi menikmati penjimatan besar ekonomi. Hasilnya,
kos pengendalian keseluruhan dapat dikurangkan, sumber digerak untuk tugas-tugas utama
dan syarat-syarat berkanun dipatuhi dengan lebih baik. Beberapa buah masjid di Singapura
telah mula menggunakan khidmat bersama (shared services) ini.

Startegi 3 : Masjid Contoh Cemerlang


Selain daripada Anugerah Masjid Cemerlang yang dianjurkan MUIS sejak tahun 2000, ia juga
telah memperkenalkan Sistem Masjid Cemerlang (Mosque Excellence System - MES) demi
pengurusan yang baik. Sistem ini menyediakan kerangka menyeluruh bagi masjid untuk
mencapai peningkatan, pertumbuhan dan pembangunan. Ia mengandungi ‘benchmark’ bagi
Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) untuk menyediakan khidmat bermutu tinggi kepada jemaah,
di samping memastikan sistem dan sumbernya dapat tumbuh demi mencapai
kecemerlangan.

MES telah dibangunkan berdasar kerangka Anugerah Kualiti Singapura (Singapore


Quality Award - SQA) yang disandarkan pada Anugerah Kualiti Kebangsaan Malcolm
Baldridge Amerika Syarikat, Anugerah Kualiti Eropah dan Anugerah Kecemerlangan Niaga
Australia.

Masjid yang ingin mendapatkan Pensijilan Masjid melalui MES hendaklah membuat
penilaian MES terlebih dahulu sebelum proses pengiktirafan boleh dianugerahkan. Masjid
yang dianugerahi sijil ini boleh berkongsi amalan terbaik mereka dan boleh juga mendapat
pengiktirafan kebangsaan dengan memohon Anugerah Kelas Kualiti Singapura (Singapore
Quality Class - SQC) dan meneruskan perjalanan ke arah kecemerlangan.

3. Penutup

Berlatarbelakangkan masyarakat yang pesat berubah di sebuah negara maju, masjid di


Singapura perlu dipastikan bertindak proaktif agar sentiasa relevan dengan perubahan masa.
Institusi masjid harus terus dibangunkan agar dapat menjadi nadi utama dalam jalinan
pembangunan dan khidmat masyarakat seluruh negara. Dari segi sistem, masjid di Singapura
telah mengalami penyusunan semula agar setaraf dengan organisasi dan institusi terkemuka
di Singapura.

MUIS telah melancarkan usaha yang sangat penting ini untuk membentuk semula
masjid Singapura. Masjid akan terus dilengkapi dengan tampungan dan keupayaan untuk
membantu membentuk kehidupan Muslim yang mendalami agamanya dan maju sebagai
sebuah masyarakat.

Usaha ini telah menampakkan hasilnya dengan institusi masjid di Singapura telah
berjaya mengubah diri untuk menjadi institusi akar umbi yang kukuh dan disegani dengan
menempatkan diri secara strategik di kawasan-kawasan kejiranan serta menawarkan
pelbagai program keagamaan, selain dari program kemasyarakatan yang disokong dengan
rangkaian kerjasama yang kuat dengan jawatankuasa-jawatankuasa penduduk dan kejiranan
(qaryah).

Peranan Muis, sebagai penguasa agama tertinggi Singapura, adalah untuk


memastikan bahawa usaha murni ini berterusan dengan peningkatan mutu dan pengukuhan
pengurusan institusi masjid sebagai pusat kecemerlangan bagi pembelajaran Islam dan
pembangunan sosial, sesuatu yang menjadi inspirasi kepada semua.

Anda mungkin juga menyukai